Tetamu Rindu

Tuesday 13 November 2012

Di Sebalik Rindu Dalam Sepi

Menjauh bukanlah keputusan yang terbaik untuk hubungan kita...Tapi, jika kau merinduiku dalam sepi kau akan mengerti perasaanku terhadapmu selama ini....




AMMAR- seorang lelaki yang sukar untuk melafazkan perkataan I Love You walaupun dia sudah mempunyai kekasih hati yang cantik jelita, Lydia. Sudah bertahun dia menjalinkan hubungan cinta dengan Lydia namun tidak terdetik dalam hatinya bahawa itu adalah cinta. Sikap Ammar yang dianggap tidak romantik oleh Lydia langsung tidak dipedulikan oleh Ammar kerana hanya dia yang tahu apa yang ada di dalam hatinya.
 Namun, segalanya berubah apabila dia ditakdirkan untuk bertemu dengan Ainur Mardiyah yang bertugas sebagai setiausahanya. Saat pertama kali bertentangan mata dengan Mardiyah, Ammar dapat rasakan ada sesuatu terdetik di dalam hatinya namun rasa itu dibuang jauh. Malahan, kehadiran Mardiyah tidak disukai kerana gadis itu berani melawan cakapnya. Keadaan Ammar bertambah rumit apabila dia dan Mardiyah ditakdirkan terikat dalam ikatan keterpaksaan. Ammar pasrah tetapi dengan syarat pernikahan mereka dirahsiakan dan Mardiyah tidak dibenarkan tinggal di rumah mereka.

  “ Mama nak Am kahwin dengan perempuan ni, Am dah kahwin. Sekarang Am tak nak tinggal dengan dia ataupun tengok muka dia dalam rumah kita. Am menyampah dengan perempuan yang dah hancurkan hidup Am ni,”



AINUR MARDIYAH - Seorang gadis yang cantik namun tidak menyedari kecantikan yang ada dalam dirinya kerana terlampau merendah diri akibat ditinggalkan tunang tersayang ketika hampir mendirikan rumah tangga. Mardiyah membawa kedukaan hati dengan berkhidmat sebagai sukarela di Rumah Anak Yatim Nur Cahaya bersama sahabat baiknya, Quraisya dan sepupunya Yusuf. Sikap mulia yang ditunjukkan oleh Mardiyah telah menambat hati Datin Zarina dalam diam.
 Namun, pertukaran Mardiyah sebagai setiausaha Ammar mengubah hidupnya. Walaupun sikap Ammar kadangkala menjengkelkan Mardiyah tetapi dia tetap bertahan demi sebuah pekerjaan untuk menyara keluarganya. Sikap Ammar yang seolah- olah membenci diri Mardiyah membuatkan Mardiyah bingung. Apa salahnya sehingga Ammar begitu membenci dirinya? Kebencian Ammar bertambah apabila peristiwa malam itu berlaku. Mardiyah dipersalahkan seratus peratus sedangkan Ammar tahu perkara yang sebenar.
  Perasaan Mardiyah terus diuji apabila ayahnya pergi mengadap Ilahi kerana kejadian malam itu. Dirinya dipersalahkan dan dituduh sebagai pembunuh oleh ibunya sendiri. Mardiyah dibuang keluarga. Dia pergi meninggalkan kampung halamannya tanpa kerelaan hati. Kehadiran Raqeem menguji perasaan Mardiyah namun dia sudah bertekad, tiada lagi cinta dalam kamus hidupnya!

  “ Saya takkan paksa untuk encik terima saya sebab saya bukannya pengemis cinta orang. Saya pernah rasa sakit disebabkan cinta, jadi saya takkan paksa encik untuk terima pernikahan ini. Saya redha dengan apa yang terjadi dan saya dah tahu apa penghujung pernikahan kita ini. Cuma saya nak tahu kenapa encik begitu membenci saya?”

Apabila hati mula terasa sesuatu.
Sejauh mana benci Ammar pada Mardiyah namun jauh di sudut hati dia turut terasa dengan kehadiran Mardiyah yang mampu memberi kegembiraan pada keluarganya. Penerimaan keluarganya sedikit sebanyak mempengaruhi fikiran Ammar untuk mengenali Mardiyah dengan lebih dekat. Kehadiran Raqeem yang cuba mendekati Mardiyah menjemput rasa lain di hati Ammar. Menguji perasaannya. Adakah itu cemburu? Ammar sendiri keliru dengan perasaannya. Dia berbelah bahagi antara cemburu dan benci. Disebabkan perkara itu terus- terusan hati Mardiyah di sakiti.
 
 “ Cemburu? Am tak ada masa nak cemburu pada perempuan macam ini. Berlambak lagi perempuan yang lebih baik daripada dia kalau mama nak Am carikan. Am tak perlukan perempuan macam dia dalam hidup Am. Kalaupun mama boleh terima dia, Am tetap takkan terima.”
 
 Namun, saat maruah Mardiyah hampir diragut oleh Datuk Hasyim, Ammar merasakan kehadiran Mardiyah dalam hidupnya. Dia tidak sanggup kehilangan gadis itu walaupun hatinya masih lagi sangsi dengan perasaannya yang sebenar. Dia cuba menafikan tetapi jauh dalam hati kehadiran Mardiyah telah menjemput satu rasa lain di dalam hati yang tidak pernah dirasakan sebelum ini. Tetapi untuk mengakuinya amat payah bagi Ammar.

Perkara tersebut berlaku sebaliknya pada Mardiyah. Cukup sekali hatinya dikecewakan, cukup sekali kesetiaannya dirobek. Dia tidak akan tunduk lagi pada cinta. Namun, cinta bukan sesuatu yang boleh dikawal, ia boleh menyapa hati sesiapa sahaja yang menginginkan cinta. Selama mana Mardiyah cuba menafikan, akhirnya hatinya turut terkesan dengan sikap lembut Ammar dalam melayaninya. Dia terasa di sayangi. Namun, saat hati mula menerima Ammar, lelaki itu berubah sikap. Berita pertunangan Ammar dan Lydia menghancurkan hati Mardiyah yang sudah mula terisi dengan cinta.

Akhirnya, Mardiyah nekad. Dia pergi meninggalkan kehidupan Ammar. Dia pergi meninggalkan segalanya yang berkaitan dengan Ammar. Dia pergi membawa hatinya yang terluka.

Tiada istilah terlambat dalam cinta.
Saat Ammar sudah boleh mengakui cintanya pada Mardiyah, segalanya sudah terlambat. Isterinya telah pergi meninggalkan hidupnya seperti yang dijanjikan. Hampir berbulan dia mencari jejak Mardiyah tetapi hampa, gadis itu seolah- olah tidak mahu bertemu dengannya lagi. Ammar pasrah, dia berserah pada Allah untuk mempertemukan dia dengan Mardiyah, satu- satunya gadis yang berjaya menambat hatinya.
 Akhirnya, doanya di makbulkan. Dia bertemu kembali dengan  cinta hatinya tetapi sikap dingin Mardiyah sekali lagi menguji keegoan Ammar. Dia cuba menambat hati Mardiyah tetapi gadis itu keras hati menolak cintanya mentah- mentah. Tetapi Ammat tetap tidak mengalah. Hati Mardiyah perlu ditakluki kerana dia percaya rindunya pada Mardiyah tidak akan dibiarkan sepi tanpa jawapan.

" Boleh jadi kita menyukai sesuatu sedangkan ia tidak baik untuk kita tetapi boleh jadi sesuatu yang kita benci itulah adalah yang terbaik untuk kita."

5 comments:

Note: only a member of this blog may post a comment.