BAB 23
ARYANI tersenyum simpul apabila semua mata memandang padanya. Dia
tersengih apabila mama dan papanya tidak berkelip memandang tubuhnya daripada
atas ke bawah. Begitu juga dengan Ammar dan Mardiyah.
“ Kenapa pandang Yani macam tu mama, papa?” Aryani bersuara
memecah kesunyian di meja makan itu.
“ Macam mana mama dan papa tak pandang Yani kalau penampilan Yani
hari ini memang lain sangat. Cantik!” puji Datin Zarina sambil meneliti
penampilan Aryani yang baharu.
Walaupun hanya mengenakan baju kurung dan berselendang yang
dililitkan menutupi dadanya cukup membuatkan anak daranya itu kelihatan manis
dan ayu. Sejuk hatinya sebagai ibu memandang perubahan yang berlaku pada anak
gadisnya itu.
“ Ha’ahlah Kak Yani. Sejak bila akak pakai tudung?” Akhil
menyampuk. Dia melabuhkan punggung di sebelah Ammar sementara Mardiyah duduk di
samping Aryani di hadapan Ammar.
Aryani tersenyum pada Akhil. Dia memandang wajah ahli keluarganya
satu persatu. Bertuah sungguh kerana dia mendapat mama dan papa yang selalu
mendokong dirinya dalam segala hal. Abang yang penyayang dan juga adik yang
manja. Dia tidak mahu apa- apa lagi dan sudah tiba masanya untuk dia berhijrah
ke arah yang lebih baik memandangkan tidak lama lagi dia akan bergelar isteri
orang.
“ Dah lama akak teringin tapi baru semalam akak terbuka hati nak
cuba pakai tudung itupun selepas tengok Kak Diya manis apabila bertudung.
Tudung akak ni pun Kak Diya yang bagi. Akak rasa dah tiba masanya akak
berubah,” jawab Aryani tenang. Dia menghirup air kopi yang tersedia. Wajah
Mardiyah yang tersenyum dipandang.
“ Alhamdulillah…” ucap mereka serentak.
“ Papa pun dah lama berharap yang Yani akan berubah dan ternyata
doa mama dan papa akhirnya terkabul jugak. Terima kasih Diya sebab membantu
Yani dalam mencari diri dia yang sebenar,” Datuk Zainal mula bersuara.
“ Diya tak buat apa- apa pun papa. Yani yang nak berubah kerana
diri dia sendiri. Diya Cuma bantu apa yang termampu lagipun ini kan
tanggungjawab Diya sebagai muslim,” jawab Mardiyah petah membuahkan senyuman di
bibir Datuk Zainal dan Datin Zarina.
Ammar hanya mendengar butir bicara Mardiyah tanpa berkata apa-
apa. Sesungguhnya dia cukup gembira dengan perubahan adik perempuannya itu. Dia
sendiri tidak menyangka Mardiyah mampu mengubah adiknya ke arah kebaikan.
Namun, lamunan diganggu dengan bisikan daripada Akhil yang berada di
sebelahnya.
“ Cuba along tengok, Kak Diya berjaya lembutkan hati Kak Yani
untuk bertudung takkan hati along masih keras untuk membenci Kak Diya? Kalau
along lepaskan Kak Diya, Akhil gerenti along takkan dapat perempuan yang sebaik
dan sesolehah Kak Diya. Akhil pun nak cari perempuan macam Kak Diya…” bisik
Akhil membuatkan Ammar tidak dapat berkata apa- apa. Dia kelu untuk membalas
ucapan Akhil. Haruskah aku menerima wanita ini menjadi sebahagian hidup aku?
Hati Ammar tertanya- tanya.
“ Kak Diya, boleh tak kalau Yani nak pinjam kereta akak untuk pagi
ni?” soalan Aryani membantutkan lamunan Ammar.
“ Kereta Yani?” soalan di balas soalan.
“ Road tax kereta Yani
dah tamat. Yani ingat nak pergi klinik dulu sebelum pergi sambung road tax. Tengah hari nanti Yani hantar
kereta akak kat pejabat,” ujar Aryani seperti yang dirancang.
“ Hmm, boleh je Yani gunakan kereta akak tu. Akak tak kisah,”
jawab Mardiyah tanpa berfikir panjang.
“ Habis itu Kak Diya nak pergi kerja dengan apa?” Akhil menyampuk.
Mardiyah mengetuk dagu. Dia mengelap mulutnya selepas menghabiskan
bihun goreng.
“ Diya pergi kerja dengan Am jelah. Lagipun pejabat korang kan
sama,” sampuk Datuk Zainal.
Mardiyah tersentak. Ammar tersedak. Mereka berpandangan.
“ Errr, tak mengapalah papa Diya boleh pergi sendiri naik teksi
tak pun Diya boleh mintak tolong Yusuf sepupu Diya ambilkan Diya kat sini,”
jawab Mardiyah tersekat- sekat. Panahan mata Ammar menikam kalbunya.
Ammar bungkam di tempat duduknya. Berderau juga darahnya apabila
Mardiyah menyebut nama lelaki lain walaupun lelaki itu sepupu Mardiyah. Apa dah
jadi dengan aku ni? Batin Ammar menjerit.
“ Buat apa susahkan orang lain Diya, tempat kerja kamu dan Ammar
kan sama. Tak perlu susah- susah kamu nak naik teksi atau telefon Yusuf,”
tambah Datin Zarina mengiakan cadangan Datuk Zainal.
“ Err tapi Diya…”
“ Kalau tak sudi cakap jelah tak sudi. Senang cerita,” Ammar mula
bersuara.
“ Bukan macam tu nanti apa staff lain cakap kalau nampak saya
datang kerja dengan Encik Am,” akhirnya terluah juga apa yang berada di dalam
fikiran Mardiyah.
Dia risau jika ada yang terserempak dengan mereka berdua pasti akan
ada gosip yang melanda dalam pejabat itu memandangkan dia hanya setiausaha
Ammar sahaja sedangkan lelaki itu bakal menjadi pengarah syarikat.
“ Takut staff lain nampak ke takut Raqeem yang nampak?” tempelak
Ammar dalam diam. Dia merenung wajah Mardiyah cuba menduga gadis itu.
Mardiyah terkelu. Dia memandang wajah Datin Zarina cuba meminta
bantuan daripada ibu mentuanya itu namun Datin Zarina hanya tersenyum dan
mengangguk supaya dia pergi bersama dengan Ammar.
Apabila tiada jawapan daripada Mardiyah, Ammar bingkas dari
tempatnya dan pergi menyalami Datuk Zainal dan Datin Zarina.
“ Ma, pa Am pergi dulu. Yang duduk termenung lagi tu kenapa? Nak
kena dukung ke baru nak bangun,” selamba Ammar berkata pada Mardiyah membuatkan
yang lain ketawa.
Mardiyah tersentak lantas dengan pantas dia bangun dan membuntuti
langkah Ammar selepas bersalaman dengan Datuk Zainal dan Datin Zarina.
“ Nampaknya reaksi along makin positif mama. Ada nampak tanda-
tanda along cemburu dengan Abang Raqeem,” Akhil membuat kesimpulan selepas
kelibat Ammar dan Mardiyah menghilang di sebalik pintu utama.
Datin Zarina tersenyum ceria. Rancangan dia untuk mendekatkan
Ammar dan Mardiyah semakin menampakkan sinarnya. Dia tahu dalam diam Ammar
sedang berperang dengan perasaan antara benci dan cemburu. Walaupun anak
lelakinya itu tidak berkata apa- apa tapi bahasa tubuh Ammar telah menceritakan
segalanya.
“ Tapi kita kena fikirkan rancangan seterusnya mama sebab Yani
tengok hati along tu bukan main keras lagi apatah lagi along masih berhubungan
dengan Kak Lydia tu,” tambah Aryani.
Datin Zarina hanya tersenyum nipis.
“ Kamu jangan risau, cepat atau lambat along kamu pasti akan tewas
dengan perasaan dia sendiri. Sekeras mana pun hati along kamu pasti dia akan
tertawan dengan budi pekerti Kak Diya kamu tu. Mama yakin sangat yang satu hati
nanti along kamu yang akan tinggalkan Lydia,” ucap Datin Zarina penuh
pengharapan.
SUASANA sepi menyelubungi kereta Ammar hanya suara deejay radio
sahaja yang kedengaran. Mardiyah pula hanya termenung memandang ke luar jendela.
Tiada apa yang perlu dikatakan dan dibicarakan dengan majikannya itu.
“ Terima kasih sebab kau Yani dah berubah,” suara Ammar memecah
kesunyian. Dia tidak betah dengan berdiam diri sahaja. Dia mengerling sebentar
pada Mardiyah yang hanya membisu di sebelahnya. Entah apa yang berada di dalam
fikiran gadis itu.
“ Oit, dah sampai ke mana tu?” soal Ammar sambil mencuit lengan
Mardiyah selepas tiada balasan daripada
gadis itu.
Mardiyah tersentak lantas menarik tangannya. Tidak suka disentuh
atau dicuit oleh lelaki itu. Mardiyah berpaling.
“ Encik cakap apa? Saya tak dengar,”
“ Macam mana nak dengar kalau asyik nak termenung je. Aku nak
ucapkan terima kasih sebab kau dah berjaya mengubah Yani,” ulang Ammar.
Mardiyah tersenyum.
“ Saya tak buat apa- apa pun Yani yang berubah mengikut kata hati
dia. Lagipun dia memang cantik walaupun bertudung,” ucap Mardiyah merendah
diri.
Ammar hanya tersenyum mendengar jawapan Mardiyah. Walaupun dia
cuba untuk tidak mempedulikan gadis ini tetapi jauh di sudut hatinya ada perasaan
untuk lebih mengenali isterinya ini. Ah, mana janji aku dulu untuk melihat dia
terseksa?hati Ammar menjerit.
“ Aku tak tahu apa istimewanya kau sampaikan family aku boleh
terima kau dengan senang sedangkan mama begitu payah nak terima Lydia walaupun
Lydia tu pilihan hati aku,” ujar Ammar membuatkan Mardiyah tertunduk.
“ Saya tak mintak keluarga Encik Am terima saya dan layan saya
dengan baik sebab saya tiada apa yang istimewa dibandingkan dengan Lydia tapi
saya bersyukur sebab mama, papa dan adik- adik terima saya dan hormat saya
sebagai seorang wanita biasa. Saya tak akan ganggu hubungan encik dengan
kekasih encik Cuma saya harap encik tak halang untuk saya dekat dengan mama,
papa dan adik- adik encik sebab saya rasa saya mula sayang pada mereka,” ucap
Mardiyah lembut. Dia mematah- matahkan jarinya.
Ammar terdiam. Apa yang perlu dikatakan lagi? melihat wajah lembut
gadis itu menimbulkan rasa simpati dalam diri Ammar bila terkenangkan gadis itu
sekarang sudah kehilangan ayah. Mungkin kehadiran keluarganya mampu mengubat
sedih gadis itu. Fikir Ammar. Lantas dia tersenyum nipis.
“ Baiklah aku takkan halang kau untuk rapat dengan keluarga aku
dengan syarat jangan kau harap yang aku akan terima kau sebagaimana mama aku
terima kau,” Ammar masih lagi tetap utuh dengan egonya walaupun hatinya tidak
berbisik seperti apa yang terluah di bibirnya.
“ Terima kasih encik saya sedar siapa yang di mata encik dan saya
akan sentiasa ingat tentang taraf saya,” ujar Mardiyah sayu cuba melindungkan
sebak yang terasa.
Ammar tidak membalas dia hanya mendiamkan diri namun dalam hati
dia tertanya ke mana perginya perasaan benci yang dia tanamkan untuk gadis itu
kerana saat ini hatinya terasa lapang bila gadis itu berada di sisinya. Dia
terasa seolah- olah dirinya lengkap. Apakah ini hanya mainan perasaan ataupun
satu petunjuk?
BAB 24
“ CANTIKNYA Kak Diya…”
puji Aryani selepas puas menyolekkan wajah Mardiyah. Dia memalingkan wajah
Mardiyah ke cermin supaya gadis itu dapat melihat wajahnya sendiri di hadapan
cermin.
Berkelip- kelip Mardiyah
memandang wajahnya di hadapan cermin. Aku ke ni? Soalnya dalam hati. Dia nampak
begitu berlainan apabila di solek sebegitu oleh Aryani. Pada awalnya dia
menolak untuk disolekkan tapi apabila Aryani memujuk, Mardiyah tewas juga.
Akhirnya dia membiarkan sahaja Aryani wajahnya di solek dan rambutnya di dandan
oleh Aryani.
“ Hmm, tapi ada yang
kurang. Rambut akak ni kalau dilepaskan baru cantik lagipun along suka
perempuan yang berambut panjang,” ujar Aryani sambil jari jemarinya bermain di
rambut Mardiyah.
Mardiyah terdiam apabila
nama Ammar di sebut. Dia teringat kata- kata Ammar pagi tadi, walaupun keluarga
Datin Zarina menerima dirinya, namun Ammar tidak akan sesekali menerima
Mardiyah sebagai isteri walaupun ikatan sah. Itu yang membuatkan Mardiyah
sedikit berjauh hati. Dia sedar dia tidak layak untuk lelaki sehebat Ammar dan
tidak akan pernah sepadan dengan lelaki itu dan dia akan cuba elakkan untuk
menjaga hatinya agar tidak terjebak dengan perasaan aneh yang dulu pernah
menghiasi hatinya.
“ Akak dengar tak apa
yang Yani cakapkan ni?” soalan Aryani menghentikan lamunan Mardiyah. Dia
mendongak memandang wajah cantik Aryani yang seiras dengan Datin Zarina.
“ Maaflah akak tak
dengar. Yani cakap apa?” balas Mardiyah membuatkan Aryani tergelak kecil.
“ Yani cakap along tu
memang nampak kasar dengan garang tapi along manja tau. Along jugak suka
perempuan yang berambut panjang macam Kak Diya nampak lebih feminin,”
“ Mungkin sebab itulah
along jatuh cinta dengan Cik Lydia kan?” soal Mardiyah selamba.
Aryani terdiam sebentar.
Dia memegang kedua belah bahu Mardiyah dan cuba merenung ke dalam mata kakak
iparnya itu. Ada sendu di mata itu.
“ Yani tak rasa pun yang
along cintakan Kak Lydia…”
“ Kenapa Yani cakap
macam tu? Bukan ke along memang cintakan Cik Lydia?” pintas Mardiyah tanpa
sempat Aryani menghabiskan ayatnya. Pandangannya di fokuskan pada laman wajah
Aryani yang mencebik. Dia hanya membiarkan Aryani menyapu blusher di pipinya.
“ Sebab Yani kenal
dengan abang Yani tu. Dia memang bukan anti perempuan dan bukan anti dengan
cinta tapi untuk mengungkap kata cinta pada seseorang tu agak payah bagi along.
Yani tahu yang semua perempuan yang pernah mama kenalkan pada along cakap yang
along ni tak romantik. Malah, Kak Lydia pun pernah cakap macam itu tapi Yani
tak hairan sebab memang along macam tu entah sampai bila dia dapat jumpa dengan
cinta sejati dia,” jelas Aryani tentang abang kesayangannya itu.
“ Habis itu macam mana
Encik Ammar boleh bercinta dengan Cik Lydia kalau tak saling mencintai?” soal
Mardiyah pelik.
Aryani mengeluh. Dia
meletakkan sikat di atas meja solek kemudian dia berlalu menuju ke almari. Sepasang
baju kebaya berwarna putih dan bermanik dibawa keluar kemudian di hulurkan pada
Mardiyah.
“ Setahu Yani, Kak Lydia
yang nak jalinkan hubungan dengan along. Waktu itu along tengah pening kepala
sebab mama asyik carikan perempuan untuk jadikan isteri untuk along jadi untuk
elakkan daripada mama mencarikan jodoh along terima Kak Lydia tapi sejauh mana
along cintakan Kak Lydia Yani tak tahu pulak,” terang Aryani. Mardiyah hanya
menganggukkan kepala.
“ Nah, cuba akak try pakai baju ni mesti bertambah
cantik,” Aryani menghulurkan baju kebaya tersebut pada Mardiyah.
“ Inikan baju Yani. Tak
naklah akak pakai. Yani yang nak jadi pengantin, Yani yang kena pakai bukan
akak,” tolak Mardiyah lembut. Dia menggelengkan kepala.
“ Yani cuma nak tengok
akak pakai baju pengantin ni mesti cantik. Bolehlah kak sekejap je,” pujuk
Aryani lembut. Dia memegang tangan Mardiyah.
Mardiyah mengetap bibir.
Kalau dengan pujukan Aryani pasti dia akan tewas. Tidak dapat tidak akhirnya
Mardiyah mengikuti kemahuan Aryani lagipun hanya mereka berdua di dalam bilik
itu. Dia berlalu ke bilik air untuk menyalin pakaian. Selepas beberapa minit
dia keluar.
“ Wah, akak memang
cantiklah pakai baju tu. cuba akak tengok diri akak dalam cermin,” Aryani
seakan tergamam melihat figura Mardiyah yang kelihatan cantik dan ayu apabila
mengenakan kebaya yang diberi sentuhan moden dari segi rekaannya. Lantas,
Aryani menarik Mardiyah ke hadapan cermin. Dia membiarkan Mardiyah mengamati dirinya
di dalam cermin.
Mardiyah memandang
wajahnya di depan kaca. Wajahnya memang tampak lain setelah disolekkan.
Rambutnya juga di dandan dengan cantik tapi kenapa wajahnya seperti tidak
bermaya. Mardiyah menundukkan wajah. Ada satu yang hilang di wajahnya iaitu
senyuman kegembiraan. Selepas peristiwa itu berlaku dalam hidupnya, kegembiraan
Mardiyah bagaikan sirna sehinggakan dia sudah tidak tahu bagaimana untuk ketawa
riang seperti dahulu. Mardiyah rasakan dia sudah tidak seperti dahulu lagi,
jika dahulu dia seorang yang suka melawan tetapi sekarang dia lebih mudah
mengalah dan tunduk dengan kehendak takdir dalam menentukan jalan hidupnya. Dia
sudah pasrah dengan apa yang akan berlaku pada masa depannya.
Mardiyah mengangkat
muka. Dia berpaling ke kanan dan kiri apabila dia tidak melihat kelibat Aryani
di dalam bilik itu.
“ Aik, mana pula Yani
ni? Masa bila pulak dia keluar?” soal Mardiyah sendirian. Dia memandang pintu
bilik yang terbuka sedikit. Mungkin Yani keluar. Bisik hati Mardiyah. Akhirnya
dia melangkah ke tepi tingkap untuk mengambil angin.
“ AKHIL yang kau beria-
ria suruh along masuk dalam bilik Yani ni kenapa? Along banyak kerjalah kat
bawah tu nak tolong mama. Kau pergi sendiri ambil kunci tu tak boleh ke?” bebel
Ammar apabila Akhil meminta dia mengambil kunci kereta Aryani yang berada di
dalam bilik.
“ Alah along ni banyak
bunyi betullah. Tolonglah sekejap, Akhil nak tolong papa kemas ruang depan
malam nanti kawan- kawan mama nak datang tolong siapkan hantaran,” ujar Akhil
sambil bercekak pinggang.
“ Kak Yani mana?” tanya
Ammar pula. Dia masih berada di anak tangga.
“ Tak tahu tak nampak
batang hidung pun hari ni. Tidur agaknya,”
“ Dah dekat maghrib
takkan tidur lagi? memang nak kena budak ni sorang,” bebel Ammar sambil
memanjat tangga menuju ke bilik Aryani.
Akhil hanya tersenyum
penuh makna kemudian dia mengangkat ibu jari kepada Aryani yang bersembunyi di
ruang dapur bersama dengan Datin Zarina. Rancangan sedang berjalan dengan
lancar.
Ammar menguak pintu
bilik Aryani yang sedikit terbuka tanpa
mengetuknya terlebih dahulu. Dia mencari- cari kelibat Aryani namun kosong
kemudian matanya beralih pada seseorang yang termenung di tepi tingkap. Dahi
Ammar berlapis melihat Aryani yang memakai baju kebaya ditempah untuk majlis
akad nikah itu. Dah gila nak kahwin ke adik aku ni? Soal Ammar dalam hati. Tapi
sejak bila Yani rambut panjang hingga hampir menyentuh pinggang?
“ Kenapa Yani keluar tak
bagitahu akakkk…” kata- kata Mardiyah mati di situ apabila dia berpaling. Bukan
Aryani yang berada di hadapannya tetapi Ammar! Mardiyah terpaku.
Ammar juga terkedu.
Orang yang disangkakan Aryani rupa- rupanya Mardiyah. Tidak berkelip dia
memandang Mardiyah dari atas hingga bawah. Amat berlainan sekali penampilan
gadis itu.
Bammm!
Bunyi pintu yang ditarik
daripada luar mengejutkan kedua insan itu. Ammar berpaling dan menuju ke pintu.
Dia memulas tombol pintu. Terkunci! Ini semua pasti kerja Akhil. Ammar mengetap
bibir. Dia terkena kali ini.
Dia berpaling semula
pada Mardiyah. Kelihatan gadis itu sedang mencari sesuatu kemudian Ammar
terlihat selendang yang tersangkut di penyidai tidak jauh darinya. Pasti gadis
itu mencari selendang untuk menutup rambutnya. Teka Ammar kemudian dia
tersenyum penuh makna.
“ Kau cari selendang
ni?” tanya Ammar sambil mengangkat selendang tersebut.
Mardiyah mendongak.
Pantas dia mengangguk. Mardiyah tidak tahu apa yang harus dilakukan, auratnya
sudah terdedah pada lelaki itu walaupun lelaki itu suaminya tetapi dia tidak
rela auratnya dilihat oleh lelaki yang tidak pernah menerimanya sebagai isteri.
Namun, segalanya sudah terlambat lelaki itu sudah melihat rambutnya.
“ Kau nak buat apa
dengan selendang ni? Bukan ada lelaki lain pun dalam bilik ni,” ujar Ammar
selamba sambil mencampakkan selendang tersebut ke belakang jauh dari Mardiyah.
“ Encik tu selendang
saya…” ucap Mardiyah. Dadanya terasa sesak dengan kehadiran Ammar dalam bilik
itu. Manalah Yani ni? Hati Mardiyah resah.
“ Yang kau pakai macam
ni kenapa? Dah gian nak kahwin ke?” tempelak Ammar. Matanya tajam merenung
Mardiyah yang berkebaya menampakkan susuk tubuh gadis itu yang menawan.
“ Yani yang mintak saya
cuba baju ni kalau ikutkan saya tak nak. Saya mintak maaf kalau encik tak suka
saya boleh tukar sekarang,” jawab Mardiyah tergagap- gagap. Dia menundukkan
wajah kerana tidak tahan dengan panahan mata Ammar yang tajam menikam bola
matanya.
“ Aku tak cakap yang aku
tak suka,” balas Ammar membuatkan Mardiyah sepantas kilat mendongak. Mata
mereka bertentangan. Mardiyah gelisah melihat senyuman yang tersungging di
bibir Ammar. Senyuman yang sukar dimengertikan oleh Mardiyah.
“ Saya rasa lebih baik
saya keluar dahulu…” ucap Mardiyah.
Dia menghayunkan langkah
menuju ke pintu tetapi dengan pantas lengannya ditarik oleh Ammar. Mardiyah
tersentak lantas menarik kembali tangannya.
“ Pintu itu berkunci,”
beritahu Ammar lembut.
“ Hah?”
“ Kalau tak percaya
cubalah kau buka,”
Tanpa berlengah,
Mardiyah memulas tombol pintu dan ternyata Ammar tidak berbohong.Pintu itu
berkunci daripada luar. Alamak, mati aku!
“ Siapa yang kunci pintu
ni? Macam mana saya nak keluar?” soal Mardiyah seperti mahu menangis. Dia tidak
mahu berada di dalam bilik itu dengan Ammar. Dia tak sanggup.
“ Kalau aku tahu siapa
yang kunci takkan aku ada dalam bilik ini dengan kau. Bukan kau sorang je yang
nak keluar aku pun nak keluar jugak,” bisik Ammar rapat di telinga Mardiyah.
Mardiyah berpaling
apabila terasa Ammar rapat berada di belakangnya. Pantas dia melarikan diri ke
meja solek. Laci meja tersebut di buka untuk mencari kunci bilik. Mana tahu
kalau- kalau Aryani ada menyimpan kunci pendua dalam laci meja solek.
“ Kau cari apa?” tanya
Ammar selamba tanpa riak risau kerana dikurung di dalam bilik yang sama dengan
Mardiyah.
“ Saya cari kunci
pendua. Mana tahu kalau Yani ada simpan kat dalam laci ni,” ujar Mardiyah.
Ammar tersenyum melihat
sikap Mardiyah yang kelam- kabut. Lantas tanpa amaran, dia memalingkan Mardiyah
supaya mengadapanya.
Mardiyah terkejut. Dia
berdiri kejap di hadapan Ammar. Kedudukan lelaki itu yang begitu rapat
membuatkan nafas Mardiyah bagaikan terhenti. Jantungnya mula berdetak tidak
menentu. Pantas wajahnya ditundukkan lagi. Mardiyah tidak berani menatap wajah
Ammar di saat ini.
“ Dalam rumah ni hanya
ada satu kunci pendua itu pun ada kat dalam laci meja tingkat bawah jadi kau
jangan nak berangan Yani akan simpan kunci dalam bilik dia,” ujar Ammar sambil
menatap wajah isterinya.
Kesempatan yang ada
Ammar meneliti wajah gadis yang sedang tertunduk malu dihadapanya itu. Tipu
jika Ammar tidak terasa getar bila berada dekat dengan gadis itu. Jantungnya
bagaikan tidak berhenti berdegup melihat wajah Mardiyah yang sebenar. Rambut
gadis itu yang panjang hitam pekat mampu memukau pandangannya buat kali
pertama. Ditambah pula dengan sikap gadis itu yang malu- malu semakin
membangkitkan keinginan Ammar untuk menyakat gadis itu.
“ Saya nak keluar.
Tolonglah encik lakukan sesuatu…” pinta Mardiyah.
“ Kenapa? Kau takut
berada dalam bilik ini dengan aku?” duga Ammar sambil melangkah setapak lagi
menghampiri Mardiyah.
Mardiyah berdebar lantas
dia mengundur langkah ke belakang tetapi langkahnya di halang oleh meja.
Mardiyah terperangkap lagi!
“ Saya….saya….” suara
Mardiyah tersekat- sekat
“ Saya apa?” bisik Ammar
lembut. Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Mardiyah yang sedang tertunduk. Wajah
gadis itu sudah kemerahan membuahkan senyuman di bibir Ammar.
“ Please stay away from me…” Mardiyah memberanikan diri untuk
bersuara.
“ Kau takut aku apa- apa
kan kau macam tu?” soal Ammar pula sambil ketawa kecil.
Mardiyah tidak menjawab
kerana memang itu yang ditakutkan. Tubuh Ammar yang berada begitu rapat dengan
tubuhnya membuatkan Mardiyah tidak selesa. Kalau ikutkan hati Mardiyah mahu
saja dia menolak tubuh sasa lelaki itu supaya menjauh tetapi apakan daya dia
bimbang jika dia bertindak sebegitu, Ammar akan membalas kerana lelaki itu
seorang yang sukar diramal tindak tanduknya.
“ Diam tanda setuju.
Hmmmm…” bisik Ammar lagi.
Dengan selamba Ammar
menyentuh jari jemari Mardiyah yang terasa dingin. Jemari runcing itu diramas
lembut sebelum dengan pantas Mardiyah menarik tangannya daripada disentuh oleh
Ammar. Ammar hanya tersenyum nipis.
“ Saya tak suka encik
sentuh saya!” bentak Mardiyah sambil menjeling. Dia memalingkan wajah ke tempat
lain.
“ Tapi aku berhak untuk
sentuh kau,” balas Ammar bersahaja.
“ Encik tak ada hak
untuk bercakap soal hak dengan saya. Saya bukan kekasih encik yang encik boleh
sentuh dan pegang sesuka hati. Saya ada maruah dan harga diri walaupun maruah
saya encik dah campak ke tepi,” tegas Mardiyah berani. Kali ini dia berani
menentang wajah Ammar. Dia menentang pandangan mata itu tanpa rasa gentar demi
mempertahankan harga dirinya.
Ammar membalas renungan
mata itu dengan senyuman. Dia sedikit tidak terkesan dengan kata- kata Mardiyah
yang berani. Perlahan-lahan anak matanya turun ke bibir gadis itu yang merah
basah sebelum dia kembali menatap mata gadis itu yang bersinar.
“ Aku belum bodoh
sampaikan tak boleh bezakan yang mana halal yang mana haram,” ucap Ammar.
Ammar merapatkan lagi
jaraknya dengan Mardiyah sehinggakan tiada lagi ruang yang memisahkan mereka.
Mardiyah terasa ingin menjerit sedangkan Ammar tersenyum suka. Lalu, demi untuk
menyelamatkan diri, Mardiyah cuba menolak tubuh Ammar supaya menjauh tetapi
langkahnya agak tersasar apabila Ammar menangkap tangannya dan digenggam
lembut.
“ Encik, lepaskan tangan
saya,” dengus Mardiyah geram.
Ammar menggelengkan
kepala. Seperti hilang pertimbangan Ammar mengucup lembut jari jemari Mardiyah.
Pipi gadis itu diusap lembut sebelum jarinya membelai rambut Mardiyah yang
panjang. Matanya tidak lepas dari memandang bibir Mardiyah yang merah. Terasa
ada sesuatu yang menjentik tangkai hatinya dan merasuk jiwa lelakinya. Naluri
lelaki Ammar bagaikan tergoda melihat keindahan ciptaan Tuhan yang berada di
hadapan matanya.
Hati Mardiyah semakin
parah. Dia menjadi tidak keruan apabila sentuhan tangan itu menyapa di
wajahnya. Apa sebenarnya yang lelaki ini inginkan? Hati Mardiyah menjerit namun
lidahnya bagaikan kelu untuk berkata- kata.
“ Encik tolong jangan
jadi gi…la…” kata- kata Mardiyah mati di situ apabila bibir spontan di kucup
oleh Ammar. Mardiyah terpana!
ARYANI menutup daun
pintu dengan pantas. Lajunya saja jantungnya berlari apabila melihat adengan
romantik yang dilihat dengan mata kepalanya. Dia meraup wajahnya. Memang dia
dan Akhil sudah berpakat untuk mengunci bilik itu apabila Ammar masuk. Itu
rancangan mereka untuk menyatukan Ammar dan Mardiyah namun apa yang berlaku di
luar jangkaan Aryani. Dia tersenyum sipu bila teringatkan apa yang dia lihat
sebentar tadi.
“ Kak Yani mengintai
along dengan Kak Diya ya? Apa yang berlaku kak? Akhil nak tengok jugak,” ujar
Akhil sambil cuba merapati pintu.
Dengan pantas Aryani
menolak tubuh Akhil.
“ Kau ni menyibuk je.
Kau tak boleh tengok, kau tu budak- budak lagi. Pergi main jauh- jauh,” halau
Aryani.
“ Tapi ni rancangan
Akhil tau…” Akhil berjauh hati.
“ Ye akak tahu rancangan
kau tapi kau tak boleh mengintai berdosa. Jomlah kita turun bawah kita bagitahu
mama yang rancangan kita dah berjaya,” ucap Aryani ceria.
“ Berjaya? Betul ke
kak?” Akhil kelihatan teruja.
Aryani hanya tersenyum
dan mengenyit mata. Kemudian dia menarik tangan Akhil untuk ke tingkat bawah.
Pintu bilik yang dikunci dibiarkan tidak berkunci lagi.
Sementara itu, Ammar
mengangkat muka memandang wajah Mardiyah sebaik sahaja dia tersedar akan
perbuatannya itu. Ammar menjarakkan tubuhnya daripada Mardiyah. Dia menggigit
bibir. Apa yang aku dah buat ni? Soal hatinya. Wajah keruh Mardiyah di pandang.
Mardiyah terdiam seribu
bahasa. Dia bagaikan kehilangan kata- kata dengan apa yang berlaku. Tanpa
disedari setitis air matanya gugur membasahi pipinya.
“ Diya, aku tak berniat
untuk buat perkara tu dengan kau. Please
forget it, it just an excident,” ucap Ammar tanpa memikirkan hati Mardiyah
yang remuk dengan kata- kata itu.
Mardiyah mengangkat
muka. Air matanya dibiarkan mengalir laju. Dia menentang wajah Ammar yang
kelihatan serba salah.
“ An excident awak kata. Tolong jangan hina saya dengan perbuatan
awak Encik Ammar. Saya pun ada hati dah perasaan! Saya tak dapat terima apa
yang awak buat pada saya kali ini,” ujar Mardiyah.
Tanpa berlengah Mardiyah
mencapai selendangnya dan keluar dari bilik tersebut dengan hati yang hancur
berkecai. Sementara Ammar hanya mengeluh bila terkenangkan apa yang terjadi.
Macam mana aku boleh hilang pertimbangan? Arghhhh!
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.