Tetamu Rindu

Tuesday 27 November 2012

Rindu Dalam Sepi ( Bab 5 & 6 )


BAB 5

SEHARIAN dia berada di rumah anak yatim Nur Cahaya  membuatkan hatinya tenang. Hari ini Mardiyah keseorangan kerana Yusuff tidak dapat menemani. Melihat anak- anak itu bermain membuatkan hati Mardiyah lapang. Seketika mereka menjerit sesama sendiri dan berlari- lari mengejar bola. Namun suara Umi Zaira kedengaran memecah kesunyian petang itu.

“ Anak- anak pergi masuk. Mandi, sembahyang lepas itu berkumpul di meja makan. Kejap lagi Umi hidangkan makan malam.” Laung Umi Zaira pada kanak- kanak yang sedang leka bermain. Mereka cepat- cepat berlari- lari anak menuju ke dalam rumah dua tingkat yang tersergam indah yang telah menjadi tempat tinggal mereka sejak kehilangan ibu dan bapa mereka.

Umi Zaira menghampiri Mardiyah yang sedang termenung. Ditepuk bahu anak gadis itu bagi menyedarkan gadis itu ke alam realiti. Mardiyah melemparkan senyuman yang manis pada Umi Zaira yang dianggap seperti ibu sendiri.

“ Jom masuk dah dekat Maghrib ni. Diya boleh bantu umi sediakan makan malam. Hari ini ada tetamu nak datang.” Ajak Umi Zaira beserta senyuman.

“ Siapa yang nak datang umi?” Soal Mardiyah pula. Wajah umi yang tenang direnung dalam.

“ Datin Zarina. dia tu peyumbang dana terbesar rumah ini. Dia nak sangat makan malam dengan anak- anak kat sini. Diya boleh bantu umi tak?” tanya Umi Zaira pula.

Mardiyah tersenyum lantas mengangguk. Apa sangatlah tenaga yang diperlukan untuk memasak makan malam jika dibandingkan dengan pahala yang diperolehi.

Selepas segalanya siap dihidangkan, bunyi riuh rendah suara anak- anak kedengaran. Mardiyah pula sedang sibuk menghidangkan lauk pauk yang telah dimasak oleh umi. Semuanya enak-enak belaka membuatkan kecur air luir pada siapa yang melihat. Umi Zaira memang pandai memasak. Segala masakannya mengingatkan Mardiyah pada masakan ibunya yang berada di kampung.

“ Assalamualaikum…” bunyi suara memberi salam mengejutkan mereka yang berada dalam rumah itu.

“ Tetamu kita dah sampai agaknya. Fatimah tolong bukakan pintu. Auntie Ina dah sampai tu.” pinta Umi Zaira pada Fatimah yang sememangnya sedang berjalan menuju ke pintu utama.

Mardiyah hanya mendiamkan diri menantikan kemunculan Datin Zarina yang diceritakan oleh Umi Zaira sebentar tadi. Sebelum ini dia belum pernah berjumpa dengan Datin Zarina. menurut Umi Zaira, Datin Zarina merupakan seorang yang baik hati walaupun bergelar seorang datin namun wanita itu tidak pernah meninggi diri dan selebih daripada itu Mardiyah tidak mahu mengambil tahu.

“ Jemput masuk Datin.” Pelawa Umi pada seorang wanita yang hampir sebaya dengan Umi Zaira tetapi masih kelihatan cantik dan anggun dengan selendang yang terikat kemas di kepala. Mardiyah melemparkan senyuman yang manis pada Datin Zarina. senyumannya berbalas.

“ Oh nampaknya kita ada tetamu juga ya umi.” Ujar Datin Zarina lembut.

“ Datin ni saya kenalkan nama dia Ainur Mardiyah panggil Diya je. Dia ni dah biasa sangat datang rumah ni dah saya anggap macam anak sendiri. Biasanya dia datang bertiga tapi hari ini kawan- kawan dia yang lain tak dapat datang.” Umi Zaira memperkenalkan Mardiyah pada Datin Zarina yang masih setia merenung wajah Mardiyah.

Datin Zarina tersenyum manis pada Mardiyah. Manis budak ni, sejuk mata memandang. Detik hati kecil Datin Zarina.

Mardiyah membalas senyuman Datin Zarina seikhlas mungkin. Tangannya dihulurkan untuk bersalaman dengan wanita itu. dikucup tangan itu penuh sopan santun membuatkan hati tua Datin Zarina terpaut akan kelembutan yang terukir di wajah anak gadis yang mungkin sebaya dengan anak lelakinya itu.

“ Apa khabar datin?” tanya Mardiyah sekadar berbasa basi.

“ Khabar baik. Kamu?”

“ Alhamdulillah sihat.”

Mardiyah mempersilakan Datin Zarina untuk menjamu selera dengan anak- anak  yang lain. Ternyata apa yang dikatakan oleh Umi Zaira adalah benar belaka kerana Datin Zarina memang bukan seorang yang sombong seperti kebanyakkan orang yang berpangkat. Lihat sahaja sewaktu mereka bertembung pandang wanita itu tidak kekok melemparkan senyuman. Tetapi ada sesuatu di wajah Datin Zarina membuatkan Mardiyah teringatkan seseorang. Tetapi siapa?

“ Diya dah kahwin?” soal Datin Zarina tiba- tiba. Mardiyah tersentak. Dia mengangkat muka memandang Datin Zarina yang masih menanti jawapan.

“ Err..belum lagi datin. Belum ada jodoh kot.” Jawab Mardiyah ramah.

“ Orang cantik macam Diya takkan tak jumpa jodoh lagi?” Tanya Datin Zarina dengan nada bergurau.

Mardiyah tersipu malu. Dia memandang Umi Zaira yang turut tersengih kepadanya.

“ Tak adalah datin, saya bukan cantik pun sebab itu jodoh tak sampai lagi. Tiada siapa yang nakkan saya ni. Lelaki sekarang semua pilih perempuan yang cantik- cantik dan seksi. Perempuan macam saya ni cuma boleh jadikan pilihan terakhir je.” Ujar Mardiyah petah. Sikap merendah diri tidak pernah hilang sejak bekas tunangannya lari mengikut perempuan yang lebih cantik dan seksi.

Sejak daripada itu pintu hati Mardiyah sudah tertutup untuk memberi dan menerima cinta. Pada Mardiyah cinta hanya membuatkan jiwa dan hatinya sakit. Lebih baik sendirian daripada menanggung seksa. Masih segar di ingatan Mardiyah bekas tunangnya, Nizam melafazkan kata perpisahan di saat hari bahagia bakal menjelma. Hatinya sakit tidak terkata tetapi demi keluarga, Mardiyah cekalkan hati menghadapi semua itu.

“ Kecantikkan bukan terletak pada paras rupa Diya. Kalau hati bersih, kecantikan itu akan terserlah. Macam kamu sekarang ini. Bukan ramai anak gadis yang mahu datang melawat rumah anak- anak yatim. Kebiasaannya mereka lebih suka menghabiskan masa dengan shopping dan berfoya- foya. Auntie bangga dengan kamu.”

Kata- kata Datin Zarina yang ikhlas itu mengembalikan Mardiyah ke dunia sebenar. Kenangan pahit tentang Nizam terkubur begitu sahaja.

“ Eh tak adalah datin. Sejak zaman universiti lagi saya memang suka buat kerja komuniti ini. Saya rasa tenang dengan mereka ini. Walaupun saya masih mempunyai ibu dan ayah tapi saya dapat rasakan bagaimana kehilangan orang yang amat penting dalam hidup kita. Apabila saya rapat dengan mereka, saya sedar bahawa nikmat dah rahmat itu kurniaan daripada ALLAH. Kita harus bersyukur dengan apa yang diberikan sebelum ia ditarik balik.” Ucap Mardiyah panjang lebar.

Datin Zarina mengangguk kepala tanda bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh anak gadis bertudung biru itu. Selain wajahnya yang ayu, gadis ini mempunyai pemikiran yang matang dan cerdik. Bertuah pada siapa yang memiliki gadis ini.

“ Diya memang begini datin, kalau bab bercakap memang petah tapi agak pemalu sikit.” Celah Umi Zaira. Dia gembira melihat Datin Zarina dan Mardiyah berbual seperti kenalan lama.

“ Ala umi jangan cakap macam tu, malu Diya.” Mardiyah tersipu- sipu malu. Dia menundukkan wajah membuatkan Datin Zarina dan Umi Zaira tergelak.

Lama Datin Zarina merenung wajah Mardiyah sebelum dia tersenyum sendirian.

 

 

 

 

BAB 6

HARI ini satu lagi jambangan bunga diterima Mardiyah dengan perkataan yang sama. Seingat Mardiyah dia tidak pernah melemparkan senyuman pada orang sewenang-wenangnya hingga membuatkan orang jatuh cinta dengan dia. Pelik betul dengan orang zaman sekarang, mudah benar jatuh cinta.

“ Hai, termenung jauh nampak.” Tegur satu suara mengejutkan Mardiyah yang leka memandang jambangan bunga itu. dia mengangkat muka.

“ Eh. Datuk saya ingat siapa tadi? Datuk nak jumpa Encik Ammar ke?”tanya Mardiyah lembut. Datuk Hasyim yang berdiri di hadapannya dipandang dengan senyuman.

Datuk Hasyim merupakan salah satu pelanggan tetap Hotel Saga dan juga merupakan salah seorang pemegang saham di hotel ini. Disebabkan itulah Ammar selalu mengingat dia supaya melayan Datuk Hasyim dengan baik.

“ Taklah saya nak jumpa dengan awak. Boleh?” tanya Datuk Hasyim sekadar bergurau. Namun dalam hatinya hanya ALLAH yang tahu. Dia tersenyum penuh makna.

Mardiyah membalas senyuman Datuk Hasyim dengan sekadarnya sahaja kerana daripada cara Datuk Hasyim bergurau dengannya selama ini seperti ada yang tak kena. Macam gatal pun ada tetapi Mardiyah cuba membuang semua prasangka buruk itu.

“ Datuk ni bergurau pulak. Kalau datuk nak jumpa Encik Ammar dia ada dalam bilik.” Ujar Mardiyah cuba menukar topik lain, dia mula tidak selesa dengan pandangan Datuk Hasyim yang galak itu.

“ Saya serius Ainur, jom kita pergi lunch saya belanja awak.” Pujuk Datuk Hasyim tidak berputus asa.

Memang sejak kali pertama dia melihat Mardiyah pada kali pertama dia dapat rasakan hati dia terpaut pada senyuman gadis itu yang manis. Tapi agak payah untuk dia mendekati gadis ini kerana Mardiyah bukan gadis yang mudah termakan dengan pujukan ataupun kebendaan.

Mardiyah mula rasa lain. Dia tersenyum hambar. Lelaki yang beristeri dua itu makin mendesak membuatkan Mardiyah berasa kurang senang. Dengan penuh sopan dia menolak namun Datuk Hasyim masih belum berputus asa.

“ I akan belanja you dekat mana- mana tempat yang you mahu. You just name it. You temankan I ya.” Pujuk Datuk Hasyim lagi. Bahasanya pun sudah bertukar membuatkan Mardiyah kegelian. Makin menjadi- jadi pulak orang tua ni.

“ I think I can’t datuk I mintak maaf.” Mardiyah menolak.

Dia berpura-pura sibuk. Segala kertas yang telah tersusun dengan rapi disusun sekali lagi oleh Mardiyah. Nak berlakonlah katakan. Jambangan bunga yang tadinya di dalam genggaman dibuang ke dalam tong sampa tanpa perasaan bersalah.

Datuk Hasyim tersentak melihat Mardiyah dengan selamba membuang jambangan bunga yang cantik itu.

“ Kenapa you buang bunga itu Ainur.”

Mardiyah hanya menjongketkan bahu. Satu lagi perkara yang dia tidak berkenan dengan Datuk Hasyim ini ialah lelaki itu suka sangat memanggil namanya Ainur walaupun berpuluh kali dia mengatakan dia lebih selesa jika dipanggil Mardiyah. Entah buang tabiat apa entah.

“ Saya tak mintak orang bagi bunga pada saya lagipun saya tak minat bunga warna merah. Jiwang sangat. Satu lagi saya tak tahu siapa pengirimnya jadi saya tak boleh terima pemberian daripada orang yang saya tak kenal.” Ucap Mardiyah.

Dia pelik Datuk Hasyim masih lagi berdiri tegak di hadapannya. Tak penat ke? Kalau diikutkan Datuk Hasyim tidaklah seburuk mana rupanya Cuma perangai playboy Datuk Hasyim menjengkelkan Mardiyah. Walaupun sudah berusia dan hampir sebaya dengan ayah Mardiyah, Datuk Hasyim masih lagi mahu ‘merenyam’ dengan anak- anak dara yang cantik. Tapi takkanlah aku masuk carta juga? Hati Mardiyah berbisik.

“ Datuk nak jumpa Encik Ammar ke tak ni?” soal Mardiyah sekali lagi itupun dengan perasaan malas.

“ I dah cakap I nak jumpa you. Nak ajak you lunch dengan I. bolehlah?

Mardiyah mengelengkan kepala. Entah bahasa apa lagi yang dia mahu gunakan untuk fahamkan orang tua yang kemaruk mahu makan tengah hari dengan dia ini. Nak cakap puasa, baharu sekejap tadi dia mengunyah gula- gula itu pun di hadapan Datuk Hasyim. Apa alasan nak bagi ni?

 

“ I RASA Mardiyah tak boleh keluar dengan datuk sebab dia ada date dengan I.” bunyi suara daripada arah belakang itu menyentakkan dua insan yang sedang kebingungan dengan alasan yang tersendiri.

Mardiyah dan Datuk Hasyim berpaling serentak. Mardiyah melongo memandang empunya suara manakala Datuk Hasyim diterpa perasaan marah kerana acara mengurat Mardiyah diganggu oleh Raqeem yang sedang berdiri tidak jauh dari mereka.

“ Betul tak Diya kita kan dah janji nak keluar  lunch hari ini. Takkan awak dah lupa?” tanya Raqeem sambil mengenyitkan matanya yang menawan.

Jelas Mardiyah kebingungan. Lama dia merenung Raqeem yang tersenyum penuh makna sambil menjeling ke arah Datuk Hasyim. Daripada jelingan itu Mardiyah dapat rasakan yang Raqeem cuba menyatakan sesuatu. Lama Mardiyah terdiam sebelum mengangguk tanda faham dengan apa yang cuba disampaikan oleh lelaki tinggi lampai itu.

“ Oh, betullah hampir saya terlupa. Maaf datuk semalam saya ada janji dengan Encik Raqeem nak lunch sama so saya mintak maaf sangat- sangat sebab tak dapat nak penuhi permintaan datuk.” Mardiyah memohon maaf dengan muka sengaja disedihkan. Namun di dalam hati hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa gembiranya dia kerana Raqeem datang tepat pada masanya. Macam dalam drama pula.

Muka Datuk Hasyim berubah seratus peratus. Dia masih ragu dengan apa yang diucapkan oleh gadis itu kerana mungkin gadis itu hanya mahu melepaskan diri. Tapi tidak mengapa kali ini dia akan melepaskan gadis yang mampu mencuri hatinya itu. mungkin sekarang bukan masa yang sesuai untuk dia menakluki Mardiyah tapi percayalah suatu hari nanti dia akan jadikan Mardiyah isterinya yang ketiga sama ada dengan cara baik ataupun kotor.

Datuk Hasyim tersenyum penuh makna.

“ Okeylah kalau you dah cakap macam itu. I tak paksa tapi lain kali you mesti temankan I tau Ainur.” Sambung Datuk Hasyim lagi.

“ InsyaALLAH datuk.” Balas Mardiyah hambar.

Tanpa berlengah Datuk Hasyim beredar dari situ kerana dia tahu tiada guna dia terus merayu jika Raqeem ada di situ.

Mardiyah menghantar kelibat Datuk Hasyim dengan pandangan matanya. Sebelum mata bundarnya dialihkan pada laman wajah Raqeem yang sedang berdiri di hadapannya. Dia menguntumkan senyuman yang manis saat melihat bibir lelaki itu tersenyum kepadanya.

“ Terima kasih sebab encik selamatkan saya tadi. Kalau tidak saya tak tahu nak bagi alasan apa kat datuk tu.” ujar Mardiyah berterima kasih.

Raqeem hanya tersenyum. Itu memang tugasnya bagi menyelamatkan gadis sebaik Mardiyah daripada menjadi mangsa kepada lelaki hidung belang seperti Datuk Hasyim itu. Bukan Raqeem tidak tahu muslihat sebenar Datuk Hasyim cuba mendekati Mardiyah hanyalah untuk mempermainkan mana- mana wanita yang dapat dijeratnya. Namun Raqeem yakin Mardiyah bukan seperti perempuan yang mudah dipergunakan.

“ Sama- sama, saya cuma tak suka cara Datuk Hasyim yang nak tackle semua perempuan cantik kat ofis ni. Saya dah lama kerja dekat sini, dah faham benar dengan sikap datuk tu. dia ada banyak cara untuk mendapatkan apa yang dia mahukan. Lebih baik awak hati-hati.” pesan Raqeem lagi.

Mardiyah terdiam sejenak. Perempuan cantik? Tapi aku bukanlah cantik mana pun. Itu yang memeningkan kepala Mardiyah.

“ Tapi encik satu saja yang saya confuse, saya bukan cantik sangat pun sampaikan Datuk Hasyim boleh nak tackle saya. Ramai lagi perempuan yang cantik kat hotel ini.” Jawab Mardiyah lurus.

Memang sejak dari dahulu Mardiyah tidak pernah merasakan dirinya cantik walaupun ramai yang mengatakannya sebegitu. Disebabkan itulah dia pelik bila Raqeem mengatakan Datuk Hasyim cuba menguratnya.

“ Kadangkala kita tak tahu bahawa diri kita ini ada kelebihan yang mungkin boleh menawan hati orang lain. Sebab itulah kita kena kenal diri kita sendiri. Jangan terlampau merendah diri nanti orang akan pijak kepala kita.” Nasihat Raqeem sambil tersenyum. Direnungnya wajah Mardiyah yang kelihatan polos itu. mungkin masih kebingungan dengan apa yang diucapkan tadi.

Mardiyah mengetuk-ngetuk dagunya. Apa kelebihan aku agaknya? Gumam Mardiyah sendirian.

“ Tapi saya rasa saya tiada apa-apa kelebihan pun.” Balas Mardiyah lagi. Memang betul- betul lurus perempuan ini.

“ Dengan senyuman yang manis sudah cukup untuk menambat hati orang dan awak ada senyuman itu. Kalau saya ditempat Datuk Hasyim, saya pun terpikat.” Ucap Raqeem.

Mardiyah terkedu.

 

 

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.