Tetamu Rindu

Thursday 29 November 2012

Rindu Dalam Sepi (Bab 7 & 8)


BAB 7

MARDIYAH menarik nafas lega apabila laporan yang di minta oleh Ammar siap sepenuhnya. Masih kedengaran suara Ammar yang tegas meminta supaya dia menyiapkan laporan minit mesyuarat itu secepat mungkin dan perlu dihantar pada lelaki itu sebelum tengah malam.

“ Saya tak kira macam mana awak nak siapkan laporan itu, apa yang saya tahu saya nak laporan itu awak hantar ke bilik saya sebelum tengah malam ini,” arahan Ammar bagai terngiang di telinga Mardiyah membuatkannya mencebik benci.

“ Dia ingat aku ni robot agaknya nak kena buat itu dan ini dengan cepat. Dahlah tak ada printer macam mana aku nak print report ni. Kalau aku tulis tangan nanti dia cakap tulisan aku tak cantik. Cerewet betul mamat tu. Ah, aku hantar guna pen drive ni jelah. Kalau dia nak ke tak nak ke lantak dia,” bebel Mardiyah sendirian.

Lantas, dia menarik pen drive tersebut dan menutup komputer ribanya. Beberapa dokumen lagi dicapai untuk diserahkan kepada Ammar. Buat seketika dia menjeling ke arah jam yang berada di pergelangan tangan. Sudah hampir pukul 11 malam. Entah tidur ke belum majikannya itu.

Mardiyah berdiri di hadapan pintu bilik Ammar. Dia berasa serba salah untuk mengetuk pintu tersebut memandangkan hari sudah lewat malam dia risau jika kedatangannya menganggu waktu lelaki itu. Tapi dia jugak yang nak aku hantar laporan ini, bisik hatinya.

Lalu Mardiyah cekalkan hati untuk mengetuk pintu bilik yang berwarna coklat itu. Nafas ditarik sedalamnya apabila tiada jawapan dari dalam bilik Ammar. Ke mana pula dia ni pergi? Hatinya tertanya. Lantas sekali lagi Mardiyah mengetuk pintu namun hampa. Tiada jawapan.

Tanpa berfikir panjang Mardiyah memulas tombol pintu yang tidak berkunci. Dengan rasa berdebar dia melangkah masuk ke dalam bilik tersebut walaupun di satu sudut yang lain hatinya rasa gelisah. Pintu itu dibiarkan terbuka sedikit.

Mardiyah memandang ke kiri dan kanan namun kelibat Ammar tidak kelihatan.

“ Assalamualaikum. Encik Am kat mana?” laung Mardiyah agak kuat cuba mencari bayang Ammar di balkoni tetapi batang hidung pun tiada.

Serentak Mardiyah berpaling namun alangkah terkejutnya dia apabila melihat Ammar yang berdiri di hadapannya dengan hanya memakai tuala menutupi tubuhnya. Dengan pantas Mardiyah menutup mata dan berpaling membelakangkan lelaki itu. Jantungnya berdebar tidak menentu.

“ Siapa suruh kau masuk bilik aku hah?” soal Ammar sedikit garang. Dia mengelap rambutnya dengan menggunakan  tuala yang dibalut pada tubuhnya yang sasa.

“ Sa…sa..ya dah ketuk bilik encik banyak kali tapi encik tak jawab. Saya hanya nak hantar laporan minit mesyuarat yang encik mintak dan profil syarikat yang encik saya minta carikan tu. Saya tak tahu yang encik tengah mandi,” ujar Mardiyah sedikit tergagap. Dia cuba meredakan debaran di dalam dada. Melihat keadaan Ammar separuh siap cukup membuatkan dia gelisah.

Ammar hanya merengus. Dia memandang gadis bertudung hitam itu dari atas ke bawah.

“ Mananya laporan tu?” tanya Ammar.

“ Err, tapi terlebih dulu saya nak mintak maaf sebab saya tak sempat nak print jadi laporan tu saya ada savekan dalam pen drive ni. Saya harap encik tak kisah,” Mardiyah cuba memberanikan diri untuk berdiri berhadapan dengan Ammar. Namun, pandangannya ditundukkan ke lantai cuma tangannya sahaja yang menghulurkan pen drive dan juga beberapa helai dokumen.

Ammar menyambut huluran tersebut. Buat seketika dia menjeling pada Mardiyah yang sedang menundukkan wajah. Dia tersenyum dalam hati. Pasti gadis itu malu melihat keadaannya yang tidak berbaju hanya tuala membaluti tubuhnya. Itulah datang masa aku tengah mandi, padam muka kau. Detik hati Ammar.

Selepas membelek dokumen tersebut Ammar mendongak memandang wajah Mardiyah yang masih lagi tertunduk. Lantas dia meletakkan dokumen tersebut di atas katil.

“ Semuanya okey, laporan tu aku check kemudian. Sekarang dah tak ada apa-apa you can go now,” ucap Ammar sambil berpeluk tubuh.

Mardiyah menarik nafas lega. Dia tersenyum nipis lantas mengorak langkah untuk keluar daripada bilik itu. Sewaktu dia ingin memulas tombol pintu kedengaran suara asing memberi salam. Mardiyah berpandangan dengan Ammar yang kelihatan cuak. Dia menelan air liur. Siapa?

 

 

“ASSALAMUALAIKUM…” kedengaran suara lelaki memberi salam luar daripada bilik Ammar.

Dengan jantung yang berdegup kencang, Ammar menarik lengan Mardiyah lantas membuka pintu dan saat pintu itu terkuak, kelihatan lima orang lelaki berkopiah putih berdiri di hadapan Ammar yang sedang berdiri kaku. Mindanya tidak dapat mentafsir apa yang sedang berlaku.

“ Wa’alaikummusalam. Ada apa encik?” tanya Ammar gugup. Berpeluh dahinya menahan rasa gementar. Sedangkan Mardiyah hanya diam kaku di belakang Ammar.

“ Maaf encik kerana menganggu, kami dari JAIP ingin membuat pemeriksaan dalam bilik ini. Mana tahu kalau- kalau ada perkara yang tak elok berlaku. Boleh kami masuk?” tanya pegawai agama yang bernama Ustaz Khairi itu dengan sopan selepas menunjukkan kad kuasa yang berada di tangannya.

Ammar serba salah. Bukan kerana dia bersalah tetapi di dalam biliknya sekarang ada seorang gadis yang bukan muhrimnya dan itu boleh menimbulkan syak kepada pegawai agama itu. Ammar buntu.

“ Saya rasa encik tak perlulah buat pemeriksaan sebab tiada apa yang mencurigakan pun di sini.” Jelas Ammar cuba membuat alasan. Dia risau jika tertangkap memang hancur hidupnya.

Ustaz Khairi tersenyum. Dia mula mengesyaki sesuatu kerana daripada butir bicara anak muda ini nampak sangat cuba melindungi sesuatu.

“ Dah nama pun pemeriksaan encik, jadi dah jadi tugas kami untuk membuat pemeriksaan. Semua bilik kami dah check dan sekarang giliran bilik encik pula. Sila beri kerjasama dengan kami atau encik ada sembunyikan sesuatu.” Ustaz Khairi menduga.

Namun, Ammar berkeras untuk tidak membenarkan Ustaz Khairi dan anak buahnya masuk. Tidak dapat tidak Ustaz Khairi terpaksa merempuh Ammar yang berdiri bagi di muka pintu bagi menghalang Ustaz Khairi. Dia melakukan semua itu kerana terpaksa bagi menyelamatkan keadaan tapi ternyata keadaan menjadi lebih buruk bila Ustaz Khairi melihat Mardiyah yang berdiri di belakang Ammar.

“ Siapa perempuan ini? Isteri kamukah?” tanya Ustaz Khairi sinis.

Ammar terperangkap. Dia menjatuhkan muka akibat malu kerana rahsianya sudah pecah.

“ Saya tanya perempuan ini isteri kamu atau bukan?” Ustaz Khairi mengulang pertanyaannya buat kali kedua tapi kali ini kedengaran lebih serius.

Lambat- lambat Ammar mengelengkan kepalanya. Dia tidak tahu harus di mana lagi hendak dia letakkan mukanya. Malu hanya ALLAH yang tahu.

“ Bukan encik. Dia setiausaha saya.” Jawab Ammar lemah.

“ Jadi ini yang kamu cuba sembunyikan dari saya. Kamu dah buat kesalahan yang paling berat kamu tahu tak? Berdua-duaan tanpa ikatan boleh menimbulkan syak. Kamu ingat dia setiausaha kamu, kamu boleh buat dia macam bini. Kamu tahu tak zina itu hukumnya dosa besar? Apa kamu tak takut pada ALLAH?” Ustaz Khairi mula berceramah. Dia mengelengkan kepala melihat pasangan muda itu yang sedang tertunduk. Matanya beralih pada gadis bertudung hitam yang berdiri di belakang pemuda itu. Kelihatan gadis itu menangis.

“ Tak guna kamu menangis kalau kesalahan itu datang dari kamu sendiri. Sia- sia kamu menutup aurat kalau maruah diri tak boleh nak dijaga. Kalau dah kemaruk sangat kenapa tak kahwin je.” Sambung Ustaz Khairi lagi.

Panas juga hatinya melihat umat Islam sekarang mengambil remeh soal agama. Bersekedudukan tanpa ikatan yang sah sudah menjadi trend masyarakat pada zaman moden ini. Sudah lupakah pada azab yang dijanjikan oleh ALLAH jika bergelumang dengan maksiat ini. Sungguh Ustaz Khairi tidak akan memaafkan pada sesiapa yang tertangkap jika melakukan maksiat terutama sekali berkhalwat seperti yang berlaku kepada pasangan muda ini.

“ Tapi encik saya dengan dia tak buat apa-apa pun. Saya boleh jelaskan apa yang berlaku sekarang ini tapi tolong jangan tuduh kami buat perkara yang tak senonoh itu.” Rayu Mardiyah. Air matanya sudah lebat membasahi pipi. Dia tidak sanggup mendengar tuduhan yang keluar daripada mulut Ustaz Khairi.

Ustaz Khairi memandang anak buahnya yang lain. Mereka merupakan saksi pada malam itu.  pembantu Ustaz Khairi mengangguk memberi tanda supaya Ustaz Khairi membenarkan gadis itu membuat penjelasan sebelum sebarang tindakan diambil.

“ Baiklah apa alasan kamu?” tanya Ustaz Khairi. Suaranya kembali mendatar.

“ Kami tak bersalah encik dan saya datang ke bilik majikan saya atas urusan kerja. Saya cuma hantarkan laporan itu sahaja. Saya dan dia tak buat perkara seperti yang encik sebutkan itu.” jelas Mardiyah bersungguh-sungguh. Dia berharap dengan penjelasannya itu segalanya akan selesai.

Ustaz Khairi tersenyum sinis. Sedikit pun kata- kata gadis itu tidak boleh dipercayai. Sudah hampir berbelas tahun dia bekerja di jabatan agama dan lebih beribu alasan yang dia terima dan alasan yang digunakan oleh gadis itu bukan alasan yang baharu.

“ Awak ada saksi?”

Pertanyaan itu tidak mampu dijawab oleh Mardiyah mahu pun Ammar. Mereka diam membisu.

“ Dengan keadaan encik ini yang separuh siap dan keadaan awak yang yang tidak mampu mengemukakan saksi atas alasan awak tadi, saya boleh simpulkan yang awak berdua bersalah kerana berdua- duaan dalam bilik yang sunyi tanpa ikatan yang sah dengan keadaan yang mencurigakan. Sila berikan kad pengenalan dan ikut kami ke balai.” Putus Ustaz Khairi.

Ternyata kata- kata itu umpama halilintar buat kedua-dua insan itu. Ammar tergamam manakala Mardiyah hanya mampu menangis dia atas kesalahan yang tidak pernah dia lakukan. Tiada apa yang boleh dia lakukan untuk membela diri lagi. Dia memandang Ammar yang memandangnya dengan pandangan yang sarat dengan kebencian.

“ Ini semua salah kau. Kau yang harus bertanggungjawab!” bisik Ammar dengan nada yang kasar. Bahasanya sudah bertukar dengan serta merta.

Mardiyah terkedu saat itu. kesalahan itu diletak atas bahunya. Apa yang harus dikatakan pada ayah dan ibunya nanti?

 

 

BAB 8

“ SAYA minta maaf datuk, tak ada apa- apa yang boleh saya lakukan lagi. memang anak datuk bersalah kerana berdua- duaan dalam bilik tanpa ada mahram yang boleh dijadikan saksi. Alasan yang diberikan juga tidak boleh diterima akal. Memang datuk cakap mereka ke situ atas urusan kerja tapi itu tidak bermakna mereka boleh berdua-duaan hingga boleh mendatangkn fitnah dan syak.” Ujar Ustaz Khairi memberi penjelasan pada Datuk Zainal dan Datin Zarina.

Datuk Zainal mengeluh. Sementara Datin Zarina tidak kering air mata mengenangkan apa yang berlaku pada anak sulungnya itu. Satu kenyataan yang tidak dapat diterima apabila anak yang menjadi kebanggaannya telah ditangkap basah dengan seorang gadis yang dikenalinya. Sungguh Datin Zarina malu untuk berhadapan dengan masyarakat nanti apatah lagi dengan kawan- kawannya bila mendapat tahu Ammar ditangkap basah.

“ Saya malu ustaz, saya tak sangka anak saya akan buat perkara itu. Saya tak tahu apa lagi yang boleh saya lakukan saat ini.”

“ Saya pun tak tahu nak cakap apa. Selama ini Mardiyah tak pernah buat perkara yang tak senonoh seperti ini. Saya kenal benar dengan anak saudara saya tu. nak cakap dengan lelaki pun dia malu- malu itu yang saya tak percaya dengan apa yang berlaku.” Sampuk Pak Din, bapa saudara Mardiyah.

Pak Din tidak menyangka panggilan yang diterima lewat malam itu mendatangkan bala buat keluarga adiknya. Selepas menerima telefon daripada Kamariah yang mengatakan bahawa anak saudaranya telah ditangkap basah dengan majikannya di Kuantan. Dengan tergopoh gapah dia memandu dari Kuala Terengganu ke Kuantan. Dia terpaksa menjadi wakil Yasir selaku ayah Mardiyah kerana adiknya itu diserang sakit jantung sebaik sahaja mendapat berita ini. Entah apa nasib adiknya sekarang.

“ Hanya satu yang saya dapat cadangkan di sini untuk menutup malu keluarga datuk dan Encik Din sekarang ini. Tapi saya tidak tahu sama ada cadangan ini akan diterima oleh anak- anak encik atau tak..” Ustaz Khairi bersuara mematikan lamunan Pak Din.

“ Apa dia ustaz? Kami akan lakukan apa sahaja untuk menyelamatkan maruah keluarga kami.” Pak Din membalas sambil Datuk Zainal mengiyakan.

Ustaz Khairi tersenyum.

 

NO way papa, Am tak setuju dengan apa yang papa cakapkan itu. Am tak nak kahwin dengan dia. Am tak bersalah!” tegas Ammar.

Dia berpeluk tubuh. Dia tidak akan sesekali menerima cadangan papanya supaya mengahwini Mardiyah bagi menutup aib yang telah dilakukannya. What the hell? Cuit dia pun tidak, takkan aku nak kena kahwin pulak. Batin Ammar menjerit.

Mardiyah tidak berkata apa- apa dia hanya diam di samping Pak Din namun air matanya tidak berhenti mengalir saat melihat mama Ammar. Dia tidak sangka Datin Zarina yang dikenalinya minggu lepas di rumah Nur Cahaya adalah mama kepada Ammar. Terasa ingin pengsan dengan kejutan yang diterimanya saat itu. terasa tebal mukanya saat berhadapan dengan wanita yang dihormati olehnya itu.

“ Am, papa minta sangat dengan kamu sekarang ini tolong ketepikan ego kamu itu dan fikir pasal keluarga kita. Pasal nama baik papa dan mama. Papa tak sangka kamu boleh buat kerja kotor ni dan sekarang papa nak kamu bertanggungjawab dengan apa yang berlaku.” Tegas Datuk Zainal.

Datuk Zainal tahu jika dia tidak bertegas dengan anaknya itu, Ammar tidak akan mengikuti kata- katanya kerana Ammar memang seorang yang keras kepala dan kadang- kadang dia akan lakukan hanya mengikut kata hati sahaja tanpa memikir baik buruknya.

Bilik itu sunyi sepi. Tiada siapa yang bersuara. Masing- masing hanya mendiamkan diri. Ammar semakin tertekan dengan permintaan Datuk Zainal yang dianggap keterlaluan. Jika dia bernikah dengan Mardiyah, apa yang hendak dijawab pada Lydia nanti. Pada rakan perniagaan yang lain. Ini semua salah Mardiyah, jika gadis itu tidak datang ke biliknya pasti semua ini tidak akan terjadi. Dia benci Mardiyah. Benci sebenci-bencinya.

“ Saya merayu pada awak Ammar tolong nikahi Mardiyah. Saya tak mahu dia dijadikan bahan cacian nanti. Memang saya marah atas apa yang dia lakukan ini kerana perbuatannya ini telah memalukan kami sekeluarga tapi tolong jangan tambahkan malu kami dengan membiarkan perkara ini tidak diselesaikan.

Saya tahu Ammar sekeluarga orang berada, tidak ada orang yang berani bercakap- cakap pasal apa yang berlaku ini tapi bagi kami orang yang hidup dengan serba kekurangan apa yang penting bagi kami adalah maruah dan harga diri. Saya tak minta banyak Cuma tolong nikahi Mardiyah hari ini juga.” Pinta Pak Din penuh diplomasi. Jika diikutkan hatinya yang mendidih dengan sikap Ammar yang mengambil remeh soal maruah, memang teruk dia belasah anak muda itu namun kekerasan tidak membawa ke mana.

“ Pak Long, kalau Encik Ammar tak bersetuju tak payahlah paksa. Diya tak kisah kalau Diya tak kahwin pun, Diya sanggup bayar denda itu pak long. Diya sanggup pergi jauh dari keluarga kita asalkan ayah dan ibu tidak dicaci.” Ujar Mardiyah lemah. Air matanya sudah tidak henti- henti mengalir.

Dia bertambah hiba bila mendapat tahu ayahnya tengah sakit tenat akibat terkejut dengan apa yang berlaku. Memang perkara yang berlaku ini memberi impak yang besar pada keluarga mereka tambahan lagi ayah Mardiyah merupakan bilal di kampungnya. Tentu ayahnya malu besar bila mendapat tahu anak gadis yang disayanginya di tangkap basah di tengah malam.

“ Ya memang kau yang patut bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Aku tak ingin nak nikah dengan perempuan macam kau ni. Kau tahu tak?” Ammar bersuara tiba- tiba menyentakkan mereka yang berada di situ.

Datin Zarina terkejut dengan bahasa yang digunakan anaknya itu. sungguh kasar. Tidak seperti selalunya.

“ Am, kenapa cakap macam itu. Kalau kamu menyalahkan Diya pun tiada gunanya juga sebab perkara ini dah berlaku. Mahu atau tidak kamu mesti bertanggungjawab. Anggap sahaja ini pengorbanan yang kamu lakukan untuk keluarga kita.” Datin Zarina mula bersuara. Dia perlu menyedarkan anak lelakinya itu supaya tidak terus hanyut dengan perasaan benci pada Mardiyah. Ammar perlu bersikap matang dan rasional.

“ Tapi mama Am tetap tak mahu kahwin dengan dia. Am tak nak perjudikan hidup Am dengan hidup dengan perempuan ni.”

Ammar tetap dengan pendiriannya. Dia memandang wajah Mardiyah yang tertunduk. Rasa benci makin meresap ke dalam jiwanya saat melihat wajah sendu gadis itu. rasa ingin dibunuh sahaja wanita yang telah menghancurkan masa depannya itu.

“ Am, mama tak nak dengar apa-apa alasan lagi daripada kamu. Keputusan mama muktamad kamu harus kahwin dengan Mardiyah malam ini juga. Tolong buang sifat pentingkan diri kamu itu dan cuba fikirkan maruah keluarga kita. Ini bukan perkara kecil tapi ia melibatkan maruah dan harga diri kita.” Ucap Datin Zarina.

Dia tidak akan memberikan Ammar peluang untuk lari dari tanggungjawab lagi. Pak Din dan Datuk Zainal sekadar menjadi pemerhati Datin Zarina dan Ammar.

Ammar mengeluh berat. Dia tiada pilihan tetapi itu bukan beerti dia kalah pada pujukan Datin Zarina kerana dia ada agenda dia yang tersendiri.

 

“ AM dah gila ke? Am tahu tak apa yang Am buat ni akan mengeruhkan lagi keadaan.” Datin Zarina gelisah dengan keputusan Ammar yang dianggap gila.

“ Mama nak Am kahwin dengan perempuan ni, Am dah kahwin. Sekarang Am tak nak tinggal dengan dia ataupun tengok muka dia dalam rumah kita. Am menyampah dengan perempuan yang dah hancurkan hidup Am ni,” jawab Ammar selamba tanpa sedikit pun memandang wajah Mardiyah yang basah dengan air mata.

Mardiyah menangis teresak- esak. Sungguh pilu hatinya bila hidupnya diperkotak- katikkan oleh lelaki itu. Dia sendiri tidak redha dengan pernikahan itu tetapi dia tidak berdaya untuk merubah apa yang telah tersurat untuknya. Hanya kepada ALLAH dia meletakkan segala harapan bila takdir telah mempermainkan hidupnya.

“ Astaghfirullah al azim Am, cuba bawak mengucap. Ingat ALLAH nak, ingat ALLAH. Kamu harus terima takdir hidup kamu dengan redha. Diya dah jadi isteri kamu dan dia harus sentiasa berada di sisi kamu,” Suara Datin Zarina lembut. Dia akan cuba sedaya mungkin bagi menghalang Ammar daripada melakukan perkara yang buka- bukan.

“Kalau kamu benci pada Diya, kamu lepaskan dia,” sambung Datin Zarina tiba- tiba membuatkan Ammar berpaling memandang mamanya. Satu senyuman sinis dilemparkan.

Tanpa membalas percakapan Datin Zarina, Ammar menapak ke hadapan Mardiyah. Direnung wajah gadis yang amat dibenci itu sedalamnya. Dia harus membalas segala perbuatan gadis itu. Dia tidak akan memberikan gadis itu hidup dengan bahagia.

“ Aku nak kau tahu yang aku amat benci pada kau dan aku tak mahu kau jadi sebahagian daripada hidup aku tapi aku takkan lepaskan kau. Melihat penderitaan kau adalah keutamaan aku sekarang. Aku nak kau rasa apa yang aku rasa perempuan tak guna. Kalau kau fikir kau boleh perangkap aku dengan idea bodoh kau tu, kau silap besar. Kau terimalah padahnya!”

Tajam kata- kata Ammar menusuk jantung Mardiyah menambah luka di hari Mardiyah yang ternyata terluka. Air mata sudah tidak dapat ditahan lagi. Dia tidak dapat membalas kata- kata Ammar yang cukup tajam bagaikan belati membelah sanubarinya. Lidahnya bagaikan kelu.

“ Am, apa yang merepekkan ni, terimalah kenyataan nak. Kalau kamu terus bersikap seperti ini masalah takkan selesai,” pujuk Datin Zarina

“ Keputusan Am muktamad mama. Kalau mama boleh terima perempuan ni tapi tidak Am. Am takkan ceraikan dia tapi itu tidak bermakna Am akan terima dia sebagai isteri Am. Dia dah hancurkan hidup Am dan Am takkan sesekali memaafkan dia. Am harap mama rahsiakan perkahwinan ni daripada sesiapa pun terutama Lydia. Kalau ada siapa yang tahu, mama tahulah nasib perempuan tak guna ni,”ugut Ammar.

Ammar sudah membuat kata putus. Tanpa menunggu lama dia beredar dari situ dengan hati yang membengkak. Dia benci perempuan itu. cukup benci.

“ Baiklah Am mama terima.” Ucap Datin Zarina walaupun kelibat anaknya telah hilang daripada pandangan.

Datin Zarina mengangkat wajah Mardiyah yang basah dengan air mata. Dia tersenyum dalam kepayahan kerana yang nyata dia juga turut mengalirkan air mata melihat penderitaan yang diciptakan oleh anaknya pada gadis lurus seperti Mardiyah. Dia menyeka air mata gadis itu yang tidak pernah henti- henti mengalir.

“ Diya jangan risau mama ada. Jangan ambil hati dengan kata- kata Ammar dia tengah marah tu. Bila semua dah reda mama pasti dia akan terima Diya”  Pujuk Datin Zarina.

Mardiyah cuba menenangkan dirinya sendiri tetapi panggilan daripada Pak Din mengejutkan Mardiyah yang sedang hanyut dengan perasaan sedihnya.

“ Diya, kita kena balik sekarang, ayah kamu..ayah kamu..” Pak Din tidak dapat meneruskan ayatnya. Terasa berat untuk menyampaikan berita itu kepada anak saudaranya itu.

“ Kenapa dengan ayah pak long? Kenapa?” tanya Mardiyah gelisah.

Pak Din memejamkan mata cuba mencari kekuatan agar dapat menjelaskan perkara itu pada Mardiyah.

“ Ayah kamu dah..”

“ Apa pak long? Jangan buat Diya tertanya- tanya begini.” Gesa Mardiyah dengan air mata yang merembes laju.

“ Ayah kamu dah tak ada Diya, ayah kamu dah meninggal!” 

Ternyata kata- kata Pak Din tadi membuatkan dunia Mardiyah jadi gelap gelita. Dia dapat rasakan hanya dia seorang yang berada di situ. Dunia bagaikan berhenti berputar bila mengetahui bahawa ayah kesayangannya telah dijemput Ilahi. Terbayang- bayang wajah tua si ayah yang menanti kepulangannya di muka pintu. Tetapi tiba- tiba wajah itu semakin menghilang dan menghilang.

“ Ayah!”  jerit Mardiyah sebelum dia jatuh terjelepok di lantai.

 

 

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.