Tetamu Rindu

Thursday 29 November 2012

Rindu Dalam Sepi (Bab17&18)


BAB 17

MARDIYAH pelik melihat kereta Marcedes berwarna hitam berhenti di hadapannya ketika dia sedang menunggu teksi untuk pulang ke rumah. Kebetulan ketika ini hanya dia seorang sahaja di perhentian bas itu. Kegelisahan mula melanda bila tuan punya kereta menurunkan cermin kereta.

‘ Datuk Hasyim?’ hati kecilnya berbisik penuh dengan tanda tanya.

Datuk Hasyim keluar daripada kereta dengan membawa sejambang bunga ros yang disembunyikan di belakangnya. Dia menghampiri Mardiyah yang ayu bertudung litup. Gadis itu kelihatan gelisah.

“ Hai Diya, lama kita tak jumpa. Rindu betul I kat you.” Tegur Datuk Hasyim tanpa segan silu.

Mardiyah hanya diam membisu. Dia tidak mahu melayan kerenah Datuk Hasyim yang cukup membuat Mardiyah meluat.

“ You tunggu teksi ke?” tanya Datuk Hasyim lagi. dia masih tidak berputus asa untuk membuat Mardiyah membuka mulut.

Mardiyah hanya mengangguk.

“ Kalau begitu marilah I hantarkan you. I tak kisah kalau nak hantar gadis secantik you ni.” Datuk Hasyim mula mengayat.

Perlahan- lahan dia mengeluarkan jambangan bunga yang disorokkan di belakang dan dihulurkan kepada Mardiyah. Ternyata Mardiyah terkejut besar bila melihat jambangan bunga itu sama dengan jambangan yang dia dapat sebelum ini.

Mardiyah keliru. Tak mungkin selama ini bunga yang dia terima datangnya daripada Datuk Hasyim? Kenapa dan untuk apa?

  Apa semua ini datuk? Saya tak faham.” Mardiyah bertanya.

Datuk Hasyim tersenyum menggoda.

“ I harap you dapat terima bunga ini daripada I. sebenarnya I dah lama sukakan you cuma you je jual mahal. I tahu kebanyakan bunga yang I kirimkan, semuanya you buang sebab you tak terima bunga dari orang yang you tak kenal tapi memandangkan sekarang ini you dah tahu, I hope you like it.” Ujar Datuk Hasyim dengan senyuman yang lebar.

Dia yakin Mardiyah tidak akan menolak dia kali ini. Tambahan dia tahu sangat semua jenis perempuan jika ditabur dengan duit pasti akan cair.

“ Saya harap datuk jangan salah faham tapi saya memang tak dapat terima pemberian datuk ini. Saya rasa datuk salah kalau datuk fikir saya akan terima semua pemberian datuk saya bukan jenis perempuan macam itu.” jelas Mardiyah.

Lantas Mardiyah berdiri. Bunga yang dihulurkan tidak diendahkan langsung. Dia bukan perempuan murahan. Dia cuba untuk tidak mengendahkan kehadiran Datuk Hasyim ketika ini. Hatinya rasa gelisah seperti benda buruk yang akan berlaku. Dia berisghtifar di dalam hati.

“ Tapi I ikhlas nak kenal dengan you dengan lebih dekat lagi. I jatuh hati pada you sejak I tengok you buat kali pertama. Maybe it was love at the first sight.” Ujar Datuk Hasyim bersungguh- sungguh.

Kata- kata itu membuat Mardiyah ketawa sinis. Dasar lelaki semuanya menggunakan ayat yang manis padahal itu semua racun yang berbisa.

“ Mungkin ayat itu datuk boleh guna untuk perempuan lain tapi bukan saya. Macam mana kalau isteri- isteri datuk tahu apa yang datuk lakukan ini. Pasti mereka kecewa.” Tutur Mardiyah sambil berpeluk tubuh.

“ Tapi I sanggup ceraikan isteri I kalau you sanggup jadi isteri I. I serius Diya memang I sukakan you.” Ucap Datuk Hasyim separuh merayu.

Dia tidak akan lepaskan Mardiyah kali ini. Hatinya telah terpaut bila melihat wajah yang menenangkan hati itu sejak kali pertama dia melihat Mardiyah bekerja di Hotel Saga. Bermacam cara dia gunakan untuk mendekati Mardiyah namun satu pun tidak dilayan. Ternyata sikap jual mahal Mardiyah membuatkan Datuk Hasyim makin berkobar- kobar untuk memiliki gadis genit itu.

“ Astaghfirullah al azim datuk. Kalau datuk sanggup ceraikan isteri- isteri datuk pun saya takkan pernah setuju untuk menerima datuk. Saya dah anggap datuk ni macam ayah saya takkan datuk tergamak hendak memperisterikan saya. Tolonglah jangan tambah masalah saya datuk.” Pinta Mardiyah.

Datuk Hasyim menghampiri Mardiyah dan tanpa segan silu tangan Mardiyah diraih membuatkan Mardiyah terkejut besar dan dengan pantas tangannya direntap. Dia tidak akan benarkan sesiapa menyentuhnya sebarangan.

“ Apa ini datuk?! Datuk carilah orang lain dan jangan kacau saya lagi.” bentak Mardiyah geram.

Datuk Hasyim sudah melampui batas. Dah tua bukannya nak buat ibadah banyak- banyak tapi ini asyik nak kacau anak dara orang. Mardiyah membebel dalam hati. dia berharap agar ada orang yang dapat menolongnya ketika ini.

“ Tapi I sanggup bagi apa sahaja yang you nak asalkan you sudi jadi isteri I. come on Diya, I’m damn serious.” Datuk Hasyim merayu lagi.

Kali ini dia cuba untuk memegang tangan Mardiyah namun dengan pantas Mardiyah mengelak.

“ Sekali lagi datuk cuba sentuh saya, saya akan menjerit. Saya tak peduli berapa banyak duit yang nak datuk taburkan tapi jawapan saya tetap sama. Saya tak nak jadi isteri datuk. Datuk carilah perempuan lain yang lebih cantik dan lebih padan dengan datuk.” Ujar Mardiyah tegas.

Dia sendiri tidak menyangka yang Datuk Hasyim akan meluahkan perasaannya. Patutlah selama ini dia merasakan yang layanan Datuk Hasyim berlainan daripada biasa.

Please Diya kalau I tak dapat you, orang lain pun takkan dapat.”

Datuk Hasyim bersuara dengan serius. Nadanya tidak nampak dia bergurau.

Mardiyah terpempan. Nekadnya Datuk Hasyim. Namun perbualan mereka diganggu dengan bunyi hon kereta yang berhenti di hadapan perhentian bas itu. serentak Datuk Hasyim dan Mardiyah berpaling.

Ammar keluar daripada kereta bila melihat kereta Datuk Hasyim tersadai di perhentian bas itu dan paling mengejutkan Ammar bila melihat Mardiyah sedang bertengkar dengan Datuk Hasyim. Kenapa agaknya? Ammar tertanya- tanya.

Sebaik sahaja Mardiyah melihat kelibat Ammar, dia terus mendapatkan lelaki itu tanpa memikirkan reaksi Datuk hasyim yang kecewa bila cintanya ditolak mentah- mentah.

What going on?” tanya Ammar pelik. Cermin mata hitam yang tersungging di hidung mancungnya ditanggalkan. Dia memandang Datuk Hasyim dan wajah pucat Mardiyah silih berganti.

“ Tak ada apa- apa Encik Ammar. Datuk Hasyim cuma berbual- bual dengan saya. Boleh tak encik tumpangkan saya. Saya nak balik tapi teksi tak ada.” Mardiyah bermanis muka cuba menyembunyikan gejolak hati. dia tidak mahu Ammar mengetahui apa yang Datuk Hasyim cakapkan kerana dia tahu Ammar tidak akan mempercayai apa yang bakal dia cakapkan. Jika begitu, lebih baik dia diamkan sahaja.

Ammar semakin pelik melihat sikap Mardiyah yang agak terburu- buru. Dia mengalih pandangan ke arah Datuk Hasyim yang masih merenung ke arah mereka berdua. Kelihatan lelaki separuh umur itu sedang memegang sejambak bunga ros merah. Untuk siapa bunga itu? hati Ammar tertanya lagi.

“ Encik Ammar..” panggil Mardiyah.

Ammar tersentak dan mengangguk. Lantas dia melompat masuk ke dalam kereta BMW dan  diikuti oleh Mardiyah. Namun dalam kepalanya penuh dengan tanda tanya yang tidak mampu dijawab olehnya sendiri.

Datuk Hasyim melihat kereta Ammar meluncur laju dengan perasaan berbaur. Dia tahu Mardiyah cuba melarikan diri daripadanya tapi Datuk Hasyim tidak akan mengalah. Gadis itu telah mencabar kelakiannya dengan menolak lamaran yang telah diberikan. Datuk Hasyim bertekad dia tidak akan melepaskan Mardiyah.

“ Kalau aku tak dapat kau dengan cara baik, aku guna cara lain. Yang penting kau jadi milik aku Mardiyah.” Datuk Hasyim bercakap sendirian.

Dia memandang jambangan bunga yang berada di tangannya. Dia mencium bungan ros yang mekar mewangi itu seolah- olah dia melihat Mardiyah di hadapannya. Tidak lama kemudian Datuk Hasyim ketawa lepas.

 

ARE you okey?” tanya Ammar sewaktu mereka berdua di dalam kereta.

Walaupun dia membenci gadis itu tapi itu tidak bermakna dia tidak mengambil berat pasal gadis itu kerana dia masih teringat permintaan mamanya supaya cuba mengenali isi hati Mardiyah terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Tambahan pula gadis itu pernah menolongnya sewaktu dia demam tempoh hari dan sedikit sebanyak rasa benci yang dipupuk untuk gadis itu terhakis sedikit walaupun masih bersisa. Betul ke? Entah Ammar sendiri ragu- ragu dengan rasa hatinya.

“ Saya tak apa- apa. Encik boleh berhenti kat depan tu nanti saya naik teksi je.” Jawab Mardiyah menyedarkan Ammar daripada lamunan. Dia memandang ke sisi.

“ Apa yang Datuk Hasyim nak dengan kau?” tanya Ammar lagi tanpa membalas percakapan Mardiyah sebentar tadi.

Mardiyah menunduk. Perlu ke dia ceritakan hal sebenar? Jika dia ceritakan pun pasti Ammar menuduh dia perempuan murahan seperti yang selalu lelaki itu ucapkan.

“ Tak ada yang penting pun encik.” Jawab Mardiyah pendek. Wajahnya ditundukkan.

“ Kalau tak pandai nak tipu, lebih baik tak payah tipu. Mesti kau sembunyikan sesuatu daripada aku kan?” duga Ammar.

Dia memandang wajah Mardiyah yang sugul melalui kaca mata hitam yang dipakainya. Ammar yakin isterinya itu sedang menyembunyikan sesuatu kerana sikap gadis itu tidak seperti biasanya.

“ Encik tolong berhenti di hadapan tu. biar saya balik sendiri.” Mardiyah menukar topik perbualan. Dia tidak mahu lelaki itu tahu apa yang berlaku pada dirinya. Biarlah dia menanggung sendiri segala masalah yang sedang menyelubunginya.

“ Kau tak payah nak berdalih dengan aku Diya. Aku tahu pasti kau lakukan sesuatu sampaikan Datuk Hasyim sanggup jumpa kau dekat bus stop tadi. Mesti kau goda dia kan. Dasar perempuan murah.” Serkap jarang Ammar benar- benar merobek hati Mardiyah. Apa yang difikirkan menjadi kenyataan. Ammar tidak pernah berfikir baik- baik tentangnya.

“ Cukup encik! Walaupun saya orang kampung saya tak pernah nak rampas suami orang ataupun hak orang lain. Encik tak boleh menghukum saya dengan berkata begitu tanpa mengenali saya. Saya masih ada maruah walaupun maruah saya begitu rendah di mata encik. Lagipun buat apa encik tahu apa yang berlaku antara saya dengan Datuk Hasyim. Saya bukan siapa- siapa dengan encik dan kita tiada hubungan yang membolehkan encik untuk mencampuri urusan saya.” Ujar Mardiyah. Suaranya kedengaran tegas.

Ammar mendengus.

“ Baiklah kalau itu kata kau. Sekarang aku tak ada masa untuk campur urusan kau. Kau nak mati ke nak hidup ke jangan cari aku.” Tutur Ammar. Suaranya ditinggikan.

Tanpa berlengah dia memberhentikan keretanya di pinggir jalan. Sedikit pun wajah Mardiyah tidak dipandang. Buat apa dia memandang wajah yang hanya menyakitkan hatinya.

“ Tunggu apa lagi? keluarlah! Tadi nak sangat keluar!” Tengking Ammar.

Terhinjut bahu Mardiyah mendengar tengkingan Ammar. Sampai hati lelaki itu menengkingnya tanpa belas kasihan. Memang Ammar tiada perasaan belas terhadapnya.

‘ Ayah, kenapa ini yang terpaksa Diya lalui?’ rintih Mardiyah. Tiba- tiba sahaja dia teringat pada arwah Yasir yang hampir sebulan meninggalkannya.

“ Kenapa lembab sangat ni? Aku cakap keluar, keluarlah. Kau nak aku heret kau ke?” suara Ammar semakin meninggi membuatkan Mardiyah kecut perut.

Dengan perlahan dia membuka pintu kereta mewah itu dengan berhati- hati. namun sempat lagi dia berpaling pada Ammar yang tegak memandang ke hadapan. Wajah bengis Ammar dipandang sebelum mutiara jernih mula bertakung di kelopak matanya.

“ Terima kasih sebab tumpangkan saya dan saya nak mintak maaf sebab sudah menyusahkan encik.” Ucap Mardiyah sebelum melangkah keluar dengan hati yang hiba.

Ammar tidak membalas kata- kata isterinya malah dengan pantas dia memecut kereta kesayangannya meninggalkan Mardiyah bersendirian di kawasan sepi itu. Namun, bila sampai di satu kawasan yang agak jauh daripada tempat Mardiyah ditinggalkan, Ammar memberhentikan keretanya. Dia meraup wajahnya berkali- kali.

Dia terasa serba salah kerana meninggalkan Mardiyah di tempat yang sunyi dan agak tersorok daripada orang ramai. Bagaimana kalau ada sesuatu yang berlaku kepada isterinya itu? pasti dia yang akan disalahkan. Terbayang- bayang wajah Mardiyah yang suram bila ditengking olehnya sebentar tadi. Rasa bersalah mula menerjah ke kamar hati Ammar.

‘ Kasihan pula dengan dia aku tinggalkan kat situ. Nanti apa- apa terjadi mesti mama bebelkan aku.’ Ammar bercakap seorang diri.

‘ Tapi buat apa aku fikirkan dia. Dia juga yang tak nak aku masuk campur dalam urusan dia. Itulah degil sangat asyik nak bantah cakap aku. Memang padam dengan muka dia.’ Suara lain mula menghasut Ammar.

Dia mengangguk- angguk kepalanya bersetuju dengan suara itu.

‘ Tapi dia isteri kau, tanggungjawab kau.’ Suara hatinya berkata.

‘ Dia bukan isteri aku. Aku tak pernah ada isteri murahan seperti dia.’ Bantah Ammar.

Dia meraup rambut hitam keperangannya ke belakang.

‘ Tapi kau tetap tidak boleh abaikan dia. Walaupun kau masih tak terima dia tapi fikirkanlah keselamatan dia sebagai seorang wanita. Kasihan dia kalau apa- apa terjadi. Sudahlah dia anak yatim. Come on Am, kau bukan lelaki jenis begini.’ Pujuk hati kecilnya.

Sedikit sebanyak Ammar termakan pujukan hatinya. Tanpa menunggu lama dia menghidupkan enjin kereta dan membuat pusingan untuk ke tempat di mana dia menurunkan Mardiyah tadi.

Dari jauh kelihatan Mardiyah menunggu di pinggir jalan sambil memeluk lutut. Gadis itu kelihatan mengesat titisan air mata yang jatuh membasahi pipi mulusnya. Ammar memberhentikan keretanya di hadapan Mardiyah. Dia menurunkan cermin kereta.

“ Masuk!” panggil Ammar.

Namun, Mardiyah masih lagi beku di tempat duduknya.

“ Diya, kau dengar tak aku panggil ni? Cepatlah masuk.” Arah Ammar. Dia cuba bersabar dengan Mardiyah yang sedikitpun tidak mempedulikan panggilannya.

Dengan hati yang memberontak Ammar keluar daripada perut kereta.

Kenapalah aku perlu bersusah payah begini? Sungut hati Ammar. Lantas  dia duduk di sisi Mardiyah. Wajah Mardiyah yang sugul dipandang. Gadis bertudung biru itu seakan tidak mengendahkan kehadiran Ammar di sisi. Dia dapat melihat titisan air mata dari pipi gadis itu yang sedang termenung jauh. Entah apa yang difikirkannya.

“ Sudahlah menangisnya. Jom aku hantarkan kau balik. Dah nak malam ni kan tak pasal- pasal kenan culik di hantu hutan simpan pulak.” Usik Ammar seakan memujuk.

“ Kenapa encik patah balik?” tanya Mardiyah serentak berpaling. Mata mereka bertentangan buat seketika membuatkan lidah Ammar kelu secara tiba- tiba untuk menjawab pertanyaan gadis itu. Panahan mata Mardiyah seolah- olah menikam kalbunya. Dengan pantas Ammar mengalih pandangan ke arah jalan raya yang lengang. Dia mengigit bibir.

“ Kenapa aku tak boleh patah balik ke?” tanya Ammar balik.

Mardiyah tersenyum sedikit. Dia terpana seketika bila Ammar menghulurkan sapu tangan kepadanya. Dia memandang wajah kacak milik Ammar.

“ Ambillah sapu tangan ini. Lap air mata tu.” Arah Ammar lembut tapi suaranya sengaja dikeraskan.

Ammar sendiri tidak tahu kenapa dia boleh berlembut dengan Mardiyah petang itu. Semuanya terjadi sebaik sahaja dia melihat wajah Mardiyah yang basah dengan air mata hingga membuatkan hati Ammar serta merta menjadi lembut. Dia sendiri tidak tahu mengapa dan kenapa.

Mardiyah mencapai sapu tangan berwarna merah itu. perlahan- lahan dia mengesat air matanya yang masih bersisa. Dia menangis bukan kerana ditinggalkan tetapi dia menangisi apa yang telah terjadi padanya sejak kebelakangan ini. Dia sendiri tidak menyangka yang Ammar berpatah balik cuma hatinya terdetik dengan siapakah lagi dia ingin meminta pertolongan memandangkan Yusuf dan Quraisya berada di luar kota buat masa sekarang.

Kehadiran Ammar seolah- olah lelaki itu mendengar bisikan hatinya yang memerlukan pertolongan saat itu dan apa yang  dia tidak sangka adalah  Ammar boleh berlembut dengannya. Walaupun suara itu masih lagi kedengaran kasar tetapi kelembutannya tetap ada.

“ Apa yang kau menungkan tu? Tak nak balik ke?” suara Ammar kedengaran mengejutkan Mardiyah daripada lamunan. Dia tersenyum malu.

“ Atau kau nak aku dukungkan?” tambah  Ammar lagi sambil tergelak kecil.

Sedangkan wajah Mardiyah sudah bertukar kemerahan. Dia malu kerana ditegur begitu oleh lelaki itu. Dia hanya tersenyum bila mendengar tawa Ammar buat pertama kali dalam hidupnya. Tanpa berlengah dia mengikuti langkah Ammar memasuki kereta dan buat pertama kali mereka tidak bertikam lidah.

 



BAB 18

“ LAMBAT along balik hari ini? Pergi dating dengan Kak Lydia ke?” Tanya Aryani sewaktu melihat abang sulungnya melintasi taman mini tempat dia bersantai petang itu.

Ammar tersenyum melihat adik bongsunya yang sedang santai sambil mengirup teh bersama dengan Datin Zarina. Ammar mendekati mereka.

“ Taklah Yani. Orang tak dating petang- petang macam ni. Malam-malam baharu syok.” Jawab Ammar sambil mengenyit matanya.

“ Eleh, kalau nak dating tak perlu tunggu malam along. Kan lebih afdal kalau dating siang hari syaitan pun tak ada.” Jawab Aryani bergurau.

Datin Zarina hanya tergelak mendengar jawapan anak perempuannya yang agak lucu.

“ Syaitan kalau nak keluar tak kira siang atau malam cik adik oii. Kalaupun syaitan tak ada, nafsu tu tetap ada. Sebab itulah kita kena kuatkan iman untuk mengelakkan godaan syaitan ataupun hawa nafsu. Faham tak adikku sayang?” tanya Ammar.

Aryani hanya tersengih lebar. Betul apa yang dikatakan oleh abangnya itu tetapi mengapa abangnya tetap memilih Lydia yang boleh dikatakan seksi tahap dewa kalau itu semua bukan sebab nafsu?

“ Apa yang dikatakan along itu ada benarnya Yani sebab itulah kita sebagai perempuan kena menjaga maruah diri dengan menutup aurat agar dipandang mulia oleh masyarakat dan kalau lelaki pula, kalau nak memilih isteri kenalah yang pandai menjaga maruah diri dan menutup aurat sebab wanita cantik memang senang dicari tapi isteri yang solehah amat sukar diperolehi ibarat mencari permata dalam lautan. Kalau jumpa dengan permata itu jaga dan peliharalah baik- baik sebab kalau hilang tak mungkin akan bertemu lagi dengan permata yang sama.” Ujar Datin Zarina panjang lebar.

Setiap kata- katanya penuh dengan makna yang tersirat dan sengaja ditujukan buat anak lelakinya itu. dia berharap suatu hari nanti Ammar akan tersedar antara kaca dan permata yang mana satu harus dipilih.

Ammar tertunduk. Dia tahu kata- kata itu ditujukan khas untuknya tetapi dia tidak dapat memaksa hatinya untuk menerima Mardiyah secara drastik kerana hatinya lebih memilih Lydia kerana Lydia merupakan gadis yang sempurna. Cantik, pandai bergaya, popular dan bila mereka keluar bersama pasti ramai mata yang memandang hingga membuatkan Ammar bangga. Tetapi Ammar juga tidak dapat menipu hati kecilnya bila perasaan cinta tiada untuk Lydia. Untuk siapa Ammar sendiri tidak tahu.

Memang Datin Zarina menerima Mardiyah dalam kehidupan mereka walaupun cara pernikahan mereka berlaku dengan sebab yang mengaibkan tetapi mamanya seolah- olah tidak mempedulikan semua itu. Kata mamanya, ALLAH tidak menjadikan sesuatu itu tanpa sebab. Tapi apa sebabnya Ammar masih tercari- cari.

“ Kamu dah jemput Diya untuk makan malam esok Am?” pertanyaan Datin Zarina menyentakkan lamunan Ammar. Dia meraup mukanya.

“ Dah mama tapi dia cakap kemungkinan dia tak boleh datang sebab ada date dengan Raqeem.” Ujar Ammar. Suaranya kedengaran mendatar.

“ Raqeem? Anak Datuk Iskandar ke?” tanya Datin Zarina pelik. Dahinya berkerut.

“ Ha’ah ma. Dia orang dan keluar malam besok. Mama tak payah berharap sangatlah.” Ujar Ammar.

Memang dia tahu sejak kebelakangan ini dia melihat Mardiyah semakin rapat dengan Raqeem dan Raqeem pula seolah- olah menaruh perasaan pada Mardiyah. Dia dapat melihat perasaan itu daripada sinar mata Raqeem bila lelaki itu menatap wajah Mardiyah.

“ Abang Raqeem dan Kak Diya ada hubungan ke long?” tanya Aryani. Dia tahu tentang kewujudan Mardiyah sebagai kakak iparnya cuma dia tidak berpeluang untuk bertemu dengan wanita yang selalu diceritakan oleh mamanya. Walaupun dia tahu abangnya amat membenci gadis yang bernama Mardiyah itu tetapi Aryani tidak mengambil keputusan terburu- buru untuk membenci kakak iparnya itu.

“ Entah along tak tahu. Along tak ambil kisah pun tentang dia.” Ammar menjongketkan bahu.

“ Tapi kalau Raqeem tu suka pada Diya, mama tak hairan.” Kata- kata Datin Zarina membuatkan Ammar berpaling pada mamanya.

“ Maksud mama?” tanya Aryani.

“ Diya seorang yang baik. Sesuai sangatlah dengan Raqeem. Umi Raqeem mesti suka dapat calon menantu seperti Diya.” Jawab Datin Zarina seraya menjeling ke arah anak lelakinya yang sudah berubah wajah.

Ammar mengetap gigi. Nampaknya Datin Zarina suka jika Mardiyah bersama dengan Raqeem. Sedangkan dia? Hatinya semakin sakit melihat keintiman isterinya dengan Raqeem yang sememangnya memiliki segalanya. Rupa, harta dan pangkat. Sesiapa sahaja boleh terpikat tidak terkecuali isterinya.

“ Tapi Kak Diya kan still isteri along. Kalau pun Abang Raqeem suka pada Kak Diya mereka tak boleh bersama selagi along tak lepaskan Kak Diya.” Aryani masih keliru.

Datin Zarina tersenyum simpul.

“ Genap tiga bulan daripada sekarang along kau akan lepaskan Kak Diya dan tiada orang akan tahu yang Kak Diya pernah jadi isteri along kau. Betul kan Am?”

Ammar pantas berdiri. Dia tiada jawapan untuk itu. dia sendiri masih keliru dengan apa yang dirasakan sekarang ini.

“ Am masuk dulu la ma. Mengantuklah.” Jawab Ammar tanpa menjawab soalan mamanya tadi.

Datin Zarina hanya melihat kelibat Ammar yang hilang di balik pintu. Dia tersenyum. Ammar tidak mengiakan kata- katanya tadi maknanya masih ada harapan untuk hubungan Ammar dan Mardiyah pulih.

“ Kenapa dengan along itu mama? Nampak macam tak suka je bila mama cakap pasal perpisahan dia dengan Kak Diya. Entah- entah…”

Aryani memandang Datin Zarina yang sudah tersenyum lebar.

“ Kalau betul sangkaan Yani alhamdulillah tapi apa- apa pun kita kena tolong satukan mereka. Yani setuju?”

Of course la mama. Yani lebih suka kalau along dengan Kak Diya daripada dengan Kak Lydia. Walaupun Yani tak pernal jumpa dengan Kak Diya tapi dengar daripada cerita mama, Yani yakin Kak Diya sesuai dengan along. Apa kata kalau masa majlis pernikahan Yani nanti kita jemput Kak Diya bermalam kat rumah. Time tu kita boleh dekatkan along dengan Kak Diya. Okey tak mama?” Aryani memberi cadangan.

Lama Datin Zarina mendiamkan diri sebelum mengangkat ibu jarinya tanda setuju.

 

AMMAR menghempaskan badannya ke tilam yang tebal. Dia merenung siling rumahnya yang terukir indah. Kata- kata mamanya berlegar- legar di ruang mindanya membuatkan Ammar mengeluh berat.

“ Perlu ke aku lepaskan dia untuk lihat dia bersama dengan lelaki lain?” soal Ammar sendirian. Dia mengetuk-ngetuk dagunya.

“ Memang patut pun aku lepaskan dia, aku tak cintakan dia. Aku benci dia dan tak mungkin aku akan suka pada perempuan yang dah musnahkan masa depan aku,” Ammar menjawab sendirian.

Dia memejamkan mata. Namun sebaik sahaja matanya terpejam, bayangan wajah Mardiyah yang manis menyapa ke ruang matanya membuatkan Ammar membuka matanya dengan luas.

“ Ish kenapa muka dia pulak yang aku nampak? Mengarut betul.” Ammar membantah. dia bangun dan mencapai tuala untuk ke bilik mandi namun belum sempat dia melangkah, telefon bimbit  Blackberrynya berbunyi.

Dia mengeluh bila nama Lydia tertera di skrin. Lantas punat hijau ditekan dengan perasaan malas.

“ Hello..”

“ Hello sayang, jom kita keluar.” Ajak Lydia.

I’m sorry Lydia, I’m not in the mood.” Jawab Ammar.

Sejak kebelakangan ini dia memang malas untuk keluar malam apatah lagi berfoya- foya hingga ke pagi. Ammar dapat rasakan yang hatinya sudah malas melakukan aktiviti yang selalu menjadi rutin hariannya suatu ketika dahulu.

“ You selalu macam ni Am. Asal I ajak mesti you bagi alasan. You dah banyak berubah you tahu tak.” Lydia mula membebel.

“ Ye ke I dah berubah. I tak perasan pun.” Jawab Ammar selamba.

“ Betul ni you tak nak keluar dengan I? kalau you tak nak keluar dengan I, I keluar dengan lelaki lain.” Ujar Lydia separuh mengugut.

“ Baguslah, you keluarlah dengan siapa- siapa yang you suka. I tak kisah. I benarkan.” Jawab Ammar tanpa sedikit pun perasaan cemburu. Dah nak keluar sangat, pergi sahajalah tak payah nak susah-susah ajak aku.

Kedengaran Lydia mendengus marah. Ammar benar- benar sudah berubah.

“ You ni kan memang tak romantik!” Marah Lydia lantas gagang telefon diletakkan.

Ammar merenung telefon bimbitnya. Dia menjongketkan bahu.

 

 

 

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.