CAHAYA pagi mula menampakkan sinarnya. Bunyi burung-
burung berkicauan menemani pagi yang hening itu. Ternyata bunyi burung yang
bernyanyi riang mengejutkan Ryan daripada lenanya. Perlahan- lahan dia membuka
mata. Aku di mana ni? Hatinya bertanya. Lantas dia bingkas bangun daripada
pembaringan dan memandang ke kiri dan kanan.
Spontan matanya tertacap pada sekujur tubuh yang
terlena sambil bersandar di dinding yang usang. Lama Ryan merenung wajah Balqis
yang masih nyenyak di buai mimpi. Teringat peristiwa semalam di mana Balqis
sanggup meminjamkan pangkuannya untuk dia tidur dengan selesa. Sungguh Ryan
cukup terharu dengan sikap ambil berat Balqis. dia dapat rasakan ada perasaan
halus mula menyelinap ke dalam sanubarinya dan menyentuh tangkai hatinya apatah
lagi bila melihat wajah mulus itu yang sedang tidur.
Ryan
tersenyum. dia merenung anggota wajah Balqis yang masih belum sedarkan diri.
Dari kening gadis itu yang lebat, matanya turun ke mata gadis itu yang tertutup
rapat. Kemudian hidung gadis itu yang sederhana mancung direnung penuh minat
sebelum matanya singgah di bibir Balqis yang merah merekah. Ryan tersenyum
lagi. Kalaulah Balqis sedar yang dia sedang diperhatikan mesti gadis itu akan
mengamuk kerana Balqis memang tidak suka wajahnya ditenung lama apatah lagi
kalau yang merenungnya adalah Ryan.
Perlahan- lahan Ryan mengangkat tangan untuk
menyentuh pipi Balqis. namun, saat tangannya ingin mendarat di pipi mulus itu,
tiba- tiba kepala Balqis tergerak- gerak sebelum mata bundar itu terbuka luas.
Dengan pantas Ryan menjatuhkan tangannya dan duduk berpeluk lutut di sebelah
Balqis. Berlagak seperti tiada apa yang berlaku.
“ Lamanya kau tidur tak nak sambung sampai pagi
besok ke?” tanya Ryan selamba.
Balqis menggosokkan matanya berkali- kali. Dah pagi
ke? Soalnya sendirian. Dia berpaling ke sisi, kelihatan Ryan sedang merenungnya
lantas Balqis melarikan pandangan ke arah lain.
“ Dah pagi ek? Jomlah kita gerak nanti mesti umi
risau.” Balas Balqis tiba- tiba. Dia menggeliat sedikit.
“ Dah. Jomlah kita cari public phone kat hujung jalan sana. Mesti umi ingat kita sesat.”
Ryan menyokong Balqis. dia berdiri dan menggeliatkan badannya yang terasa
sengal. Baju sejuk Balqis di sangkutkan di bahunya.
Balqis cuba untuk bangun tetapi tiba- tiba dia rasa
kakinya seakan tidak boleh bergerak. Mungkin kebas kerana terlampau lama
bersila. Namun, Balqis cuba untuk berdiri sekali lagi tetapi gagal dia jatuh
kembali.
Ryan terkejut lantas dia mendapatkan Balqis yang
sedang menahan sakit. Tetapi yang peliknya gadis itu tergelak walaupun dahinya
berkerut seribu.
“ Kenapa Qis?” tanya Ryan risau.
Balqis menggelengkan kepala. Dia ketawa kerana
kakinya terasa geli seperti ada sesuatu yang menjalar di segenap tapak kakinya.
Kemudian, dia meluruskan kakinya agar rasa kebas hilang.
“ Kaki kau kebas ek?” Tanya Ryan lagi.
Kemudian dia mendapat satu akal untuk mengenakan
Balqis. Spontan, tanpa amaran tangan Ryan mencuit kaki Balqis yang kebas. Dia
tergelak bila Balqis menjerit.
“ Ryan, janganlah!” marah Balqis. dia cuba mengelak
namun Ryan lebih pantas mengetuk kakinya membuatkan Balqis menjerit lagi.
“ Ryan, kalau kau buat lagi, aku tak nak kawan
dengan kau.” Ugut Balqis.
Ryan menghentikan perbuatannya. Lama dia merenung
wajah Balqis sebelum tubuh isterinya itu di angkat lalu dicempung. Perbuatannya
itu cukup membuatkan Balqis terpana.
“ Ryan apa ni?” Balqis mula kelam- kabut.
“ Ish, diamlah. Kau bukannya ringan sangat. Kalau
aku tak dukung, entah pukul berapa kebas kau tu boleh hilang. Kita dah lambat
ni.” Balas Ryan. dia mula mengatur langkah untuk meneruskan perjalanan.
“ Tapi Ryan, kau kan tak sihat lagi. Tolong turunkan
aku. Aku boleh jalan sendiri.” Pinta Balqis. Dia jadi tidak keruan dengan
gelagat Ryan yang di luar dugaan.
“ Qis, jangan bising boleh tak. Aku dah nak berjalan
ni. Kau jangan risau, aku dah sihat.” Jawab Ryan.
Balqis terdiam. Dia hanya membiarkan Ryan
mendukung tubuhnya. Balqis kehilangan kata- kata. Mulutnya terkunci rapat.
Hatinya mula berdetak laju. Ryan memang pandai membuat hatinya menjadi tidak
keruan.Akhirnya dia hanya membiarkan Ryan mencempung tubuh genitnya.
“ QIS, awak tak apa- apa?” Tanya Daniel sewaktu Ryan
dan Balqis sampai di villa keluarga mereka.
Tidak lama kemudian Pak Din masuk untuk menghantar
beg pakaian pasangan suami isteri itu. Balqis tersenyum dengan pertanyaan
Daniel. Nasib baik waktu itu hanya Ryan, dia dan Daniel sahaja yang ada di
kawasan taman itu kalau tidak apa pula kata umi Ryan. Daniel seolah- olah
mengambil berat pasalnya. Hati Balqis sedikit berbunga bahagia.
“ Saya okey je Dani. Awak jangan risau.” Balas
Balqis tersenyum manis.
“ Macam mana saya tak risau, banyak kali saya call
awak dengan Ryan semua tak dapat. Nak cari awak dengan Ryan, semalam hujan
lebat. Nasib baik awak okey je.” Ucap Daniel. Cermin mata yang hampir terlucut,
ditolak sedikit.
“ Dani, mana yang lain?” sampuk Ryan. Wajahnya
kelihatan tegang. Sakit betul hatinya bila kewujudannya seolah- olah tidak
kelihatan di situ. Balqis begitu lembut dalam melayani Daniel malah senyuman
tidak lekang daripada bibirnya buat Daniel. Menyampah Ryan dibuatnya. Hai, Ryan
cemburu ke?
“ Mak ngah dengan yang lain ada dalam rumah. Dah
lama mereka tunggu korang berdua. Jomlah masuk.” Ajak Daniel lembut. Dia
tersenyum ramah. Kemudian matanya beralih pada laman wajah Balqis. satu
senyuman dilemparkan.
Akhirnya mereka bertiga melangkah masuk ke dalam
rumah. Balqis sedikit kekok berada di dalam rumah banglo dua tingkat yang besar
bagaikan istana itu. ruang tamu rumah rehat itu cukup mewah dengan pelbagai
jenis perabot yang tersusun rapi. Rumah rehat yang berkonsepkan Inggeris kontemporari
ini menarik minat Balqis.
Balqis tidak pernah tahu Ryan sekaya ini. Dahulu
semasa bersekolah di kampung, Ryan biasa- biasa sahaja orangnya walaupun semua
rakan- rakan sekelas selalu mengatakan yang Ryan adalah pelajar paling kaya di
dalam kelas mereka. namun, Balqis tidak mengambil pusing semua itu kerana
baginya dia berkawan dengan Ryan disebabkan Ryan yang ingin berkawan dengannya
bukan atas sebab lain. Tetapi persahabatan mereka selalu disalah anggap oleh
peminat Ryan sampaikan ada yang memfitnah Balqis. Mereka mengatakan yang Balqis
ingin menggoda Ryan dan ingin mengikis duit Ryan. Ada ke patut? Balqis tak
hingin langsung harta yang ada pada Ryan.
“ Akhirnya sampai jugak kamu berdua. Risau umi
dibuatnya. Kamu ke mana semalam Ryan, Qis?” Tanya Puan Rahina menyentakkan
lamunan Balqis. Pantas kepalanya di arahkan kepada Puan Rahina yang sedang
duduk di ruang tamu bersama Tuan Razlan serta kakak dan abang Ryan.
“ Kami tersangkut dalam hujan lebat semalam umi.
Masa perjalanan nak datang sini, Ryan ikut shortcut
yang selalu Ryan gunakan tapi entah macam mana tiba- tiba kereta rosak. Ryan
nak call umi tapi telefon Ryan masuk
air, telefon Qis pulak tak ada bateri sebab itulah Ryan terpaksa tunggu waktu
pagi dahulu sebelum cari telefon awam. Ryan mintak maaf sebab buat umi dengan
abah risau.” Ryan menjelaskan perkara sebenar dan memohon maaf. Kepalanya
ditundukkan.
“ Qis pun mintak maaf umi, abah.” Sampuk Balqis.
Puan Rahina tersenyum. “ Umi tak marahkan kamu
berdua. Cuma umi risau je.” Balas Puan Rahina lembut. Dia mengenggam tangan
Balqis yang duduk di sebelahnya.
“ Terima kasih umi. Ryan janji Ryan tak buat lagi.”
Ujar Ryan sambil mengangkat tangannya seolah- olah berikrar.
Serentak kedengaran ketawa meletus di dalam Villa
Bougenvilla itu.
“ Alah umi, sebenarnya adik tu saja je buat- buat
kereta rosak padahal nak cari alasan nak duduk berdua- duaan dengan Qis.
Maklumlah masih dalam mood pengantin baharu.” Sampuk Rasya cuba menceriakan
sesuasana.
“ Sibuklah kak ngah ni. Mana ada Ryan nak buat- buat
kereta rosak. Tak ada kerja namanya tu.” Balas Ryan tidak mahu mengaku kalah.
Dia mencebik pada Rasya sambil matanya melirik pada Balqis yang sudah tertunduk
malu.
“ Eleh, tak nak mengaku pulak. Kau bermalam dekat
mana semalam?” Tanya Rasya lagi. dia belum puas menyakat adik bongsu
kesayangannya itu.
“ Dalam hutan kak ngah sambil ditemani dengan
binatang- binatang buas. Puas hati? sibuknya dia.” balas Ryan sedikit geram.
Kemudian Rasya ketawa melihat wajah Ryan yang sudah
mula memerah. Dia tahu adiknya itu sedikit malu bila diasak dengan soalan
sebegitu.
“ Rasya sudahlah tu, kesian mak long tengok Qis
dengan Ryan. Biarlah mereka rehat dahulu. Kan semalaman tak dapat rehat.” Puan
Suhaila menyampuk setelah agak lama menjadi pemerhati anak beranak itu berbual.
Ryan tersenyum kemenangan kerana mak long berpihak
kepadanya. Dia menjelirkan lidah kepada Rasya yang sedang menunjukkan penumbuk.
Balqis hanya mendiamkan diri sahaja. Sekali sekala dia menjeling ke arah Daniel
yang tenang duduk di sisi ibunya, Puan Suhaila. Argh, Daniel memang seorang
yang tenang. Disebabkan itulah Balqis suka melihat wajah Daniel yang berkaca
mata itu.
Dup! tiba- tiba jantung Balqis berdetak apabila
Daniel membalas pandangan dengan satu senyuman yang cukup manis. Balqis
tersentak lantas mengalihkan pandangan ke tempat lain. Kemudian tanpa diduga
bibirnya mengukir senyuman tanpa dipaksa.
RYAN merebahkan badannya ke atas tilam yang empuk.
Badannya betul- betul keletihan kerana semalaman dia tidak dapat tidur dengan
sempurna. Apatah lagi semalam dia hanya tidur beralaskan pangkuan Balqis
sahaja. Walaupun dia tidur ditempat yang tidak selesa namun tidurnya tetap lena
kerana ada Balqis yang menemani. Dia tersenyum sendirian.
Ryan bingkas dan duduk di birai katil. Pandangannya
dibiarkan terpaku pada sekujur tubuh yang terbaring di atas sofa. Gadis itu
diam membisu hanya matanya sahaja yang terbuka.
“ Qis, kau nak tidur kat situ ke?” Tanya Ryan
memecah kesunyiaan antara mereka berdua.
Balqis berpaling ke arah Ryan. “ Yelah, takkan aku
nak tidur sekatil dengan kau pulak.” Balas Balqis selamba. Kepalanya ditegakkan
ke hadapan semula.
“ Marilah tidur sekali dengan aku. Aku bukan nak
apa- apakan kau pun. Aku kan dah janji dengan kau.” Ucap Ryan pula.
Balqis hanya menggelengkan kepala. Dia tidak mahu
tidur sekatil dengan Ryan. Muktamad. Surat menyurat tidak akan dilayan. Pantas
dia memejamkan mata. Namun, sebaik sahaja dia ingin melelapkan mata, Balqis
dapat rasakan ada seseorang duduk di sebelahnya di sofa yang sama membuatkan
mata Balqis terbuka luas.
“ Kau nak apa lagi Ryan? Aku dah cakap aku tak nak
tidur atas katil tu. Takkan itu kau tak faham.” Gerutu Balqis. dia turut
bingkas bangun. Tudung yang berada di kepalanya ditarik dan diletakkan di atas
riba. Rambutnya yang sedikit kusut dibiarkan lepas hingga ke bahu.
“ Kau mesti tak selesa tidur atas sofa ni kan.
Dahlah kau pergilah tidur atas katil biar aku tidur atas sofa ni sepanjang kita
ada kat sini.” Ujar Ryan tiba- tiba.
Balqis tersentak. Biar betul Ryan ni?
“ Apa kau merepek ni Ryan? Aku selesalah tidur atas
sofa ni. Kau jangan risau. Kau yang patut tidur atas katil itu ni rumah kau.
Aku tetamu je.” Balas Balqis perlahan. Dia merenung wajah Ryan yang sedang
merenung wajahnya. Mata mereka bertautan. Ryan tersenyum dan melarikan
pandangan ke tempat lain.
“ Kenapa aku rasakan kau dah lain Qis? Kau marahkan
aku ke atau aku ada buat salah dengan kau? Kalau ada aku mintak maaf.” Soal
Ryan. dia dapat rasakan Balqis semakin dingin dengannya malah sudah tiada lagi
tawa gembira yang terbit dari bibir comel itu. 24 jam hanya tayang muka tak ada
perasaan. Itu yang menggusarkan Ryan.
Balqis mendengus. Lantas dia berdiri. Malas mahu
melayan pertanyaan Ryan. Sendiri buat salah, sendirilah sedar. Bisik hati
Balqis.
“ Aku nak mandi dulu. Kejap lagi zohor dah nak
masuk.” Balas Balqis tanpa menjawab soalan Ryan. Dia berkira- kira untuk
melangkah namun ada tangan Ryan yang menghalang. Balqis berpaling.
“ Kau nak apa lagi ni?” tanya Balqis bengang. Dia
menarik kembali tangannya daripada genggaman tangan Ryan.
“ Terima kasih sebab kau jaga aku semalam. Aku takkan
lupakan apa yang terjadi.” Ucap Ryan lembut seakan berbisik. Dia tersenyum pada
Balqis sebelum berlalu meninggalkan gadis itu yang terpinga- pinga.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.