Tetamu Rindu

Monday 12 August 2013

Cerpen : Aidilfitri Rindu Dalam Sepi

AidilFitri Rindu Dalam Sepi
IBU, kak long dengan abang long dah sampai!” laung Rifqie yang sedang menyapu sampah di halaman rumah. Dia berlari mendapatkan Puan Kamariah dan Aisya yang sedang menganyam ketupat di belakang rumah.
“Hah, dah sampai? Awalnya…” Puan Kamariah mula kelam- kabut. Lantas, dia berlari ke halaman rumah untuk menjemput anak dan menantunya yang datang dari bandar. Maklumlah, ini kali pertama menantunya akan beraya di kampung, rasa seronok dan teruja untuk menyambut kepulangan menantu sulungnya.
Ammar dan Mardiyah turun daripada kereta. Mereka tersenyum lalu mendapatkan Puan Kamariah, Aisya dan Rifqie yang sedang tersenyum di depan tangga.
“Assalamualaikum, ibu…” sapa Mardiyah sambil menyalami tangan Puan Kamariah sebelum tubuh tua ibunya didakap erat.
“Waalaikummusalam, awalnya sampai…” ucap Puan Kamariah dengan rasa gembira. Dia membalas pelukan Mardiyah.
“Ibu apa khabar?” soal Ammar. Dia tersenyum manis lalu menyalami Puan Kamariah.
“Ibu sihat. Alhamdulillah. Mana mama dengan papa Am kata nak datang sekali,” soal Puan Kamariah sambil merenung wajah menantunya yang kacak.
“Mama dan papa datang masa hari raya pertama nanti, ibu. Buat masa sekarang ni kami bertigalah yang datang dulu. Nak sambut malam raya dekat kampung, mesti best kan…” ujar Ammar.
Best, abang long. Boleh main mercun…” sampuk Rifqie tersengih.
“Mercun jelah yang kau tahu. Putus tangan baru padam muka!” balas Mardiyah garang.
Ammar ketawa. Mardiyah memang cukup garang dan tegas apabila dengan adik- adiknya tetapi bila dengan dia, wanita itu cukup lembut. Perlahan- lahan, Ammar memeluk bahu Mardiyah dan mengelus dengan lembut.
Aik, tadi kata datang bertiga. Mana yang ketiganya. Cucu ibu mana?” soal Puan Kamariah sambil menjenguk ke arah kereta Ammar.
Ammar menepuk dahi.
“Alamak, lupa pulak yang Akhil ada dekat dalam kereta..” ucap Ammar sambil menepuk dahi. Mardiyah hanya ketawa melihat reaksi suaminya yang agak kalut.
Ammar beredar ke kereta lalu pintu di tempat duduk belakang, dikuak. Muncul seorang jejaka yang segak berseluar jeans dan berkemeja T sedang memangku seorang bayi yang sedang tidur lena dalam dakapan.
“Along ni, sakit tekak Akhil panggil along tapi along boleh buat derk je. Along ni, mentanglah ada Kak Diya lupa terus pada Rizqan…” bebel Akhil geram.
Kemudian matanya terarah pada keluarga Puan Kamariah yang sedang berdiri tegak di sebelah Mardiyah. Akhil tersengih malu. Matanya menangkap wajah seorang gadis yang ayu berbaju kurung kedah dan berkain batik sedang tersenyum manis padanya. Ish, siapa awek tu? Adik Kak Diya? Soal hatinya.
“Kau ni mengalahkan Kak Diya kau je kalau dah membebel…” ujar Ammar.
Mardiyah yang mendengar hanya membeliakkan matanya.
“Apa, bang? Bila masa Diya membebel pada abang? Abang tu adalah…” bantah Mardiyah sambil mencekak pinggang. Bulat matanya memandang wajah Ammar yang sudah tersengih.
Ammar menayang giginya yang putih. Dia mengangkat dua jarinya. Peace, sayang!
“Dahlah tu, bergaduh. Dah dua tahun kahwin asyik nak bergaduh je kamu berdua ni. Gaduh je keluar sorang. Kalau gaduh sekali lagi, keluar sorang…” Hah, giliran Puan Kamariah pula yang membebel.
Wajah Mardiyah merona merah. Selamba dia mencubit perut Ammar.
Ammar ketawa keci dan mengelak. Spontan satu ciuman hinggap di pipi Mardiyah. Wajah Mardiyah bertambah merah.
“Apa salahnya, yang. Biarlah Rizqan ada teman,” ucap Ammar sambil memain- mainkan keningnya. Dia tersenyum nakal.
“Hah, memang syoklah baby Rizqan ada adik, yang tak syoknya Akhil ni yang kena jaga dari KL sampai ke sini. Lastly, biar Akhil jelah jadi papa Rizqan…” Akhil membebel lagi.
Namun, bebelannya terhenti apabila Aisya mendekatinya. Dia merenung wajah Aisya yang berkulit sawo matang. Matanya bulat. Alis tebal. Hidungnya mancung manakala bibirnya merekah dengan senyuman.  Akhil terkelu seketika.
“Saya nak pegang baby boleh?” soal Aisya lembut.
Spontan Akhil mengangguk. Bibirnya kelu untuk berbicara. Lalu, Rizqan yang sedang lena tidur dihulurkan pada Aisya yang tersenyum manis. Mata itu bercahaya sebaik saja memandang wajah polos Rizqan. Namun, Akhil bagaikan terkena kejutan elektrik apabila secara tidak sengaja jari-jemari Aisya tersentuh lengannya. Jantungnya berdetak.
“Maaf…” ucap Aisya sambil tertunduk.
“Eh, tak mengapa…” balas Akhil tergagap- gagap.
“Akhil, kenalkan itu adik Kak Diya, Aisya Humayra namanya. Ini adik bongsu Kak Diya namanya Rifqie Raihan tapi panggil Iqie je. Ibu, Isya, Iqie, itu adik abang long, Akhil Mursyid namanya…” Mardiyah memperkenalkan Akhil pada keluarganya.
Akhil tersenyum pada Aisya dan Puan Kamariah sebelum dia mendapatkan Rifqie dan bersalaman dengan adik bongsu kakak iparnya itu.
“Kacak betul adik Am ye. Macam Am jugak…” ucap Puan Kamariah sambil tersenyum.
“Biasalah, ibu. Menantu ibu mesti kacak…” balas Ammar bergurau.
Mardiyah mencebik. Lengan suaminya ditampar lembut.
“Perasan betul abang ni…” balas  Mardiyah. Ammar hanya ketawa kecil.
“Jomlah kita masuk. Panas dekat luar ni, kesian pulak pada cucu ibu tu. Nanti kamu semua boleh berehat…” ucap Puan Kamariah.
Ammar dan Mardiyah mengangguk. Lalu, Mardiyah mengambil Rizqan daripada dukungan Aisya dan berjalan bersama- sama menuju ke dalam rumah.
“Maaflah, Khil rumah mak cik ni tak berapa selesa macam rumah Akhil tapi kalau setakat nak tumpang teduh tu bolehlah…” ujar Puan Kamariah merendah diri.
Akhil yang berdiri di sebelah Ammar hanya tersenyum. Tak selesa apanya, rumah batu setingkat yang cukup luas dan cukup selesa. Ada lima bilik ke semuanya. Rumah ini nampak seperti baru di ubah suai pasti ini kerja abangnya.
“Eh, tak mengapalah, mak cik. Akhil okey je. Janji dapat berpuasa dan raya. Dengar kata raya dekat kampung ni lebih meriah. Akhil nak juga rasa beraya dekat kampung maklumlah Akhil ni mana ada kampung…” ucap Akhil ramah.
“Memang best, bang. Nanti Iqie bawak abang pusing- pusing kampung. Kita pergi cari buluh, kita panjat pokok kelapa…” Rifqie bersuara setelah agak lama mendiamkan diri.
“Ya ke? Mesti seronok. Bila nak pergi cari buluh?” soal Akhil teruja. Memang dia tidak pernah melalui semua ini. Maklumlah sejak kecil dia dibesarkan di Kuala Lumpur, beraya pun di Kuala Lumpur cuma kali ini saja dia berpeluang untuk beraya bersama dengan kakak iparnya.
Kut ya pun sabarlah dulu. Akhil kan baru sampai, berehatlah dulu…” Mardiyah bersuara.
Akhil hanya tersengih.
“Itulah kalau kau nak beraya dekat kampung, kau cari isteri yang ada kampung macam along ni. Tiap- tiap raya boleh balik kampung,” ucap Ammar bangga. Dengan selamba dia merangkul pinggang Mardiyah.
Akhil mencebik. Nak berlagaklah tu. Mentang- mentang dapat isteri yang ada kampung plus cantik pula tu. Aku ni entah bila nak membujang. Bebel hati Akhil sebelum matanya terhenti pada Aisya yang sedang mengacah Rizqan yang berada di dalam dukungan Mardiyah. Sejuk saja hatinya melihat wajah lembut itu.
“Sudahlah tu. Akhil meh sini mak cik tunjukkan bilik kamu…” ucap Puan Kamariah.
Akhil hanya tersengih. Dia membuntuti langkah Puan Kamariah.

MARDIYAH tersenyum melihat Ammar yang sedang duduk termenung di atas pangkin di bawah pokok rambutan di hadapan rumahnya. Dia tidak menyangka ternyata sudah dua tahun mereka berdua mendirikan rumah tangga. Walaupun permulaannya tidak seindah orang lain tetapi hari ini Mardiyah bersyukur sangat kerana dibukakan hati untuk terus mencintai satu- satunya lelaki bernama Ammar Mukhriz.
Mardiyah tersenyum lagi sebelum melangkah menghampiri Ammar. Dia duduk di sisi suaminya. Peha lelaki itu ditampar lembut.
“Jauhnya abang termenung. Ingatkan apa?” soal Mardiyah dengan senyuman manis tersungging di bibirnya dihadiahkan buat Ammar.
Ammar terkejut kemudian dia berpaling pada Mardiyah yang sedang memandang ke arahnya. Perlahan- lahan dia mencapai tangan Mardiyah yang melekap di atas pehanya lalu digenggam erat.
Baby kita mana?” soal Ammar lembut.
“Rizqan tidur lepas menyusu tadi. Aisya tolong jagakan. Suka benar dia tengok si Rizqan tu…” balas Mardiyah.
Ammar hanya tersenyum. Sebelah tangannya memeluk bahu Mardiyah.
“Diya ingat tak lagi tempat ni?” soal Ammar cuba mengimbau kenangan lalu.
Dahi Mardiyah berkerut. Dia cuba mengingati sesuatu. Kemudian dia tersenyum.
“Mestilah ingat. Inikan tempat abang menyanyi untuk Diya dulu. Wah, masa tu abang bukan main romantiknya lagi. Sampaikan Diya nak panjat pokok pun abang tak bagi…” ucap Mardiyah dengan tawa kecil.
“Mestilah abang tak bagi. Ada ke nak panjat pokok. Awak tu isteri saya tau. Takkan abang nak bagi Diya buat kerja- kerja lasak macam tu…” ucap Ammar sambil menarik lembut hidung Mardiyah.
Mardiyah mengaduh kecil.
“Diya dah biasalah, bang. Arwah ayah pun tak marah Diya panjat pokok…” balas Mardiyah.
“Memanglah ayah tak marah sebab masa tu, Diya kecil lagi. Ini dah besar panjang takkan nak buat lagi perangai tak senonoh tu…” Ammar tidak mahu mengalah.
Mardiyah ketawa lepas. Memang perangai dia pelik daripada perempuan lain. Jika perempuan lain sibuk bersolek, dia akan menyibukkan diri dengan memanjat pokok. Jika perempuan lain sibuk berdandan, dia akan menyibukkan diri dengan memancing ikan dengan Rifqie. Itulah rutin hariannya sewaktu zaman remajanya. Namun, apabila tinggal bersama dengan Ammar, dia sudah membuang segala perangai budak-budaknya itu. Dah jadi mak budak, takkan nak panjat pokok lagi. Desis hatinya.
“Abang, abang ingat tak lagi raya tahun lepas?” soal Mardiyah manja. Dia melentokkan kepalanya di bahu Ammar.
“Mestilah ingat, sayang. Itukan kali pertama abang beraya sebagai suami orang…” balas Ammar sambil menarik hidung Mardiyah dengan lembut. Satu ciuman menyapa dahi sang isteri.
“Tapi masa tu abang sombong sangat dengan Diya. Bercakap pun bukan main kasar lagi. Aku-kau. Sakit tau hati Diya…” rengek Mardiyah sambil memuncungkan mulutnya.
Ammar ketawa kecil. Dia menggenggam kemas jari-jemari Mardiyah yang runcing.
“Diya pun apa kurangnya, asyik panggil ‘Encik Am’ je dekat abang. Mana abang tak sombong, tapi kalau Diya nak tahu sebenarnya masa tu abang dah jatuh cinta pada Diya cuma abang tak berani nak cakap,” balas Ammar sambil tersenyum penuh makna.
Dahi Mardiyah berkerut. Dia mengangkat muka. Lama wajah Ammar dipandang untuk kepastian.
“Serius, bang?” soal Mardiyah.
Ammar tidak menjawab. Menggeleng pun tidak mengiyakan pun tidak. Hanya senyuman manis yang dileretkan pada Mardiyah sebelum matanya dikenyitkan pada isterinya yang kelihatan kebingungan.
“Mama, mana butang baju melayu Am?” soal Ammar mendapatkan Datin Zarina yang berada di ruang dapur. Kelihatan wanita itu sedang memasak bersama dengan Mak Mah.
Datin Zarina menoleh pada Ammar yang kelihatan segak berbaju melayu berwarna hijau pucuk pisang. Rambut anak lelakinya itu tersisir rapi cuma leher baju Ammar yang sedikit terbuka. Datin Zarina tersenyum.
“Butang baju? Mama ada berikan pada Diya. Am pergi mintak dengan Diya…” ujar Datin Zarina sambil tangannya lincah mencedok rendang ayam untuk diletakkan di dalam mangkuk.
Ammar menganggukkan kepala. “Diya mana, mama?” soal Ammar.
“Diya ada dalam bilik.” Balas Datin Zarina.
Ammar hanya mengangguk. Dia beredar menuju ke tingkat atas. Tombol pintu bilik tetamu dipulas sebelum pintu berwarna putih itu ditolak perlahan. Sebaik saja kakinya menapak ke dalam bilik berhawa dingin itu, kaki Ammar bagaikan kaku apabila melihat Mardiyah yang sedang menyisir rambut di hadapan cermin. Di tubuh genit itu tersarung jubah labuh berwarna hijau pucuk pisang sedondon dengan baju Melayunya. Cukup cantik pada pandangan Ammar apatah lagi rambut gadis itu dibiarkan lepas mengurai. Mata Ammar langsung tidak berkelip memandang Mardiyah.
“Cantiknya…” tanpa sedar bibirnya mengungkap kata- kata itu.
Mardiyah tersentak lantas berpaling. Jantungnya berdenyut laju apabila kelihatan Ammar berdiri di muka pintu sambil mata lelaki itu tertumpu pada wajahnya. Sepantas kilat, Mardiyah menundukkan wajah. Dia malu secara tiba- tiba.
Errr..ada apa yang boleh saya tolong, Encik Am?” soal Mardiyah tergagap- gagap.
“Mama ada bagi butang baju melayu aku pada kau tak?” soalan dibalas soalan.
Butang baju? Mardiyah mula berfikir. Lama dia berfikir kemudian barulaha dia teringat yang semalam Datin Zarina ada memberinya sekotak butang baju melayu. Katanya butang baju melayu Ammar.
Err…ada- ada. Saya lupa nak bagi pada encik semalam. Sekejap saya carikan,” balas Mardiyah lalu membuka laci meja solek. Satu kotak butang baju melayu berwarna perak dicapai lalu diserahkan pada Ammar.
Ammar hanya kaku berdiri di hadapan Mardiyah. Dia memandang kotak tersebut silih berganti dengan wajah Mardiyah.
“Tolong pakaikan untuk aku…” pinta Ammar mengejutkan Mardiyah.
“Hah?” Mardiyah kebingungan. Terkebil- kebil dia memandang wajah Ammar.
“Tolong pakaikan butang baju ini dekat aku, aku tak pandai pakai. Biasanya mama yang tolong pakaikan tapi tadi aku tengok mama macam sibuk sangat. Boleh tak? Kalau tak boleh tak mengapalah…” ujar Ammar sambil mengambil kotak butang tersebut yang berada di atas tangan Mardiyah.
“Eh, boleh. Mari sini saya tolong pakaikan.” Ucap Mardiyah menghentikan langkah Ammar.
Ammar tersenyum manis. Lalu dia mendekati Mardiyah dan berdiri tegak di hadapan gadis itu.
Mardiyah membuka kotak tersebut. Butang baju Melayu yang berantai itu dicapai lalu dipakaikan ke baju Ammar. Dia dapat rasakan wajahnya merona merah apabila berada begitu dekat dengan Ammar sehinggakan tangannya sedikit terketar- ketar.
Ammar tersenyum simpul. Suka pula dia melihat wajah Mardiyah yang sudah merona merah. Perlahan- lahan tangannya diangkat lalu tanpa segan silu dia memeluk pinggang Mardiyah yang melekuk. Tubuh itu ditarik supaya lebih dekat dengan tubuhnya.
Mardiyah tersentak. Air liur ditelan berkali- kali. Betapa hatinya sangat berdebar saat ini. Tangannya sudah menggigil dengan perlakuan Ammar.
“Dekat sikit baru senang nak pakaikan butang ni…” ucap Ammar perlahan seolah-olah menggoda.
“Ya ke? Sa..saya..saya..ra..rasa…” Mardiyah tergagap- gagap. Bibirnya terasa kering, manakala dahinya sudah berpeluh. Pautan tangan Ammar dipinggangnya meresahkan Mardiyah.
“Rasa apa?” bisik Ammar lagi. Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Mardiyah. Dia bagaikan terbuai dengan bau haruman yang terbit daripada setiap helai rambut Mardiyah yang panjang mengurai. Batinnya terjentik dengan satu rasa yang mengasyikkan.
Namun, Mardiyah hanya menggelengkan kepala. Dia cuba untuk menyudahkan kerjanya. Jari jemarinya beralih pada butang baju yang kedua. Tetapi kali ini dia terpaksa mendekatkan sedikit jaraknya agar senang untuk dia memasang butang tersebut.
Ammar mengambil kesempatan dengan merenung wajah Mardiyah yang kelihatan begitu rapat dengan wajahnya. Matanya tertumpu pada bibir Mardiyah yang merah basah. Dia tersenyum nakal. Perlahan- lahan, dagu Mardiyah diangkat. Anak mata gadis itu ditenung sedalam-dalamnya sebelum dia mendekatkan lagi wajahnya ke wajah Mardiyah. Pelukan di pinggang gadis itu dieratkan lagi.
Mardiyah benar- benar terkedu dengan tingkah laku Ammar kali ini. Dia bagaikan beku untuk membalas segala tindakan Ammar. Renungan mata lelaki itu seolah- olah memukau jiwa wanitanya. Perlahan- lahan, dia memejamkan mata.
Ammar tersenyum nipis. Dia mendekatkan lagi wajahnya. Begitu hampir malah hembusan nafas Mardiyah lembut menyapa wajahnya. Malah, hidungnya sudah bersentuhan dengan hidung isterinya. Bibir Ammar semakin dekat. Semakin rapat. Ammar juga turut memejamkan mata dan….
“Am dah jumpa belum butang baju melayu tu?” soal Datin Zarina sambil menolak daun pintu yang sudah terbuka. Namun, tiba- tiba langkah kakinya terhenti apabila melihat keadaan anak menantunya yang begitu mesra.
“Oppssss!!!” Datin Zarina tersalah langkah kali ini.
Ammar dan Mardiyah tersedar. Perbuatan Ammar terbantut kali ini. Dengan pantas Mardiyah menolak dada Ammar supaya menjauhi dirinya. Dia berdiri sambil menundukkan wajah. Mardiyah benar- benar malu untuk berhadapan dengan Datin Zarina kali ini.
“Ada apa, mama?” soal Ammar dengan wajahnya yang sudah merona merah. Dia menggosok hidungnya yang tidak gatal. Huh,  nasib baik tak kantoi depan mama. Desis hatinya.
“Mama datang salah masa, erk? Tak mengapalah. Kamu berdua sambunglah apa yang tergendala tadi,” ucap Datin Zarina dengan tawa yang kuat. Dia menarik daun pintu dan menutupnya dengan rapat.
Mardiyah tersipu- sipu malu. Tak sanggup rasanya untuk memandang wajah Ammar. Rasa mahu tercabut jantungnya.
“Cepatlah bersiap. Nanti kita nak beraya pulak…” ujar Ammar. Suaranya kedengaran tenggelam timbul. Jiwanya turut kacau saat ini. Baru nak romantik, mama pula kacau. Haih. Bisik hatinya.
Mardiyah hanya menganggukkan kepala.
Sementara itu, Datuk Zainal dan Datin Zarina duduk di sofa sambil menunggu anak- anaknya turun untuk sesi bermaaf- maafan. Maklumlah pagi raya memang digalakkan untuk memohon maaf kerana inilah waktu mereka sekeluarga dapat berkumpul.
Kelihatan Ammar dan Mardiyah turun dari tingkat atas berjalan beriringan. Nampak sedondon dengan baju yang berwarna hijau tersarung di tubuh mereka berdua. Datin Zarina dan Datuk Zainal berpandangan. Mereka berdua tersenyum. Nampaknya, Ammar sudah menunjukkan perubahan yang positif dan kelihatan Ammar tidak lagi memusuhi Mardiyah malah apa yang dilihat oleh Datin Zarina di dalam bilik tadi itu merupakan satu bukti yang Ammar sudah mula dapat menerima Mardiyah secara perlahan- lahan.
Kemudian, kelihatan Akhil dan Aryani berjalan keluar daripada bilik. Aryani kelihatan cantik dengan baju kurung moden berlabuci tersarung di badannya. Manakala, rambut gadis itu yang lurus dibiarkan lepas melepasi bahu. Akhil juga kelihatan tampan dengan baju Melayu cekak musang berwarna ungu tersarung di tubuh tegapnya.
“Anak- anak papa dah siap untuk beraya? Aik, Am kenapa baju kamu je yang lain warna? Mama tak tempahkan baju untuk kamu ke?” soal Datuk Zainal dengan senyuman penuh makna.
Ammar menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Dia menjeling pada Mardiyah yang berada di sebelahnya. Hanya sengihan yang mampu dilemparkan pada Datuk Zainal.
“Ada, papa. Cuma Am rasa macam nak pakai baju warna hijau je hari ni…” bohong Ammar.
Datuk Zainal ketawa kecil melihat wajah Ammar yang terkulat- kulat.
“Along tipu, papa. Sebenarnya along memang dah plan nak pakai baju yang sedondon dengan Kak Diya. Sehati sejiwalah katakan…” sampuk Akhil. Dia ketawa.
“Sibuklah kau, Khil.” Marah Ammar sambil menunjukkan penumbuknya pada Akhil yang sedang ketawa mengekek.
“Sudah- sudah. Asyik nak bergaduh je korang berdua ni. Sekarangkan raya. Cepat minta maaf…” sampuk Datin Zarina.
Akhil dan Ammar hanya tersengih. Lantas, mereka berempat beratur untuk meminta maaf. Ammar memulakan sesi bermaaf- maafan. Dia mencapai tangan Datuk Zainal dan mencium tangan kasar itu.
“Papa, Am nak minta maaf sepanjang tahun ni Am banyak sakitkan hati papa. Selalu sajah buat papa pening dengan perangai Am. Am dah malukan papa. Memang banyak kesalahan yang Am lakukan pada papa dan mama jadi Am nak ambil kesempatan ni untuk memohon keampunan dan kemaafan daripada papa dan juga mama. Halalkan makan dan minum, Am. Halalkan segalanya yang telah mama dan papa berikan pada Am. Am sayang mama dan papa…” ucap Ammar sebelum mendongak memandang wajah Datuk Zainal dan Datin Zarina yang sudah mengalirkan air mata. Terharu dengan ucapan maaf daripada Ammar.
“Am jangan risau. Papa dah maafkan semua kesalahan Am sejak Am lahir sehinggalah sekarang ni. Cuma papa nak Am cuba terima Diya sebagai isteri Am. Dia tanggungjawab Am..” sempat lagi Datuk Zainal memberi kata- kata nasihat.
Ammar terdiam. Sekilas dia memandang Mardiyah yang berada di belakangnya sebelum dia kembali memandang wajah Datuk Zainal.
“Insya-Allah, papa.” Jawab Ammar perlahan.
Datuk Zainal dan Datin Zarina tersenyum gembira. Kemudian, Ammar menyalami Datin Zarina.
“Maafkan Am, mama. Am tahu Am degil. Am tahu Am banyak menyusahkan hati mama. Am keras hati tapi Am harap mama dapat maafkan Am ye. Halalkan air susu mama mengalir dalam tubuh Am,” ucap Ammar sambil mengucup tangan Datin Zarina.
Datin Zarina tersenyum manis.
“Mama maafkan. Am jangan risau. Am anak mama, sampai bila- bila pun mama akan doakan kebahagiaan anak mama ni,” balas Datin Zarina sambil menarik bahu Ammar meminta supaya anaknya itu berdiri.
Ammar tersenyum lega. Dia duduk di sisi Datin Zarina.
Kini giliran Mardiyah pula untuk memohon kemaafan. Hatinya sangat sayu saat ini. Sepatutnya saat dan ketika ini dia berada di kampung dan melutut untuk memohon kemaafan daripada Puan Kamariah namun semuanya telah ditentukan. Dia berada di sini bersama- sama dengan kedua mentuanya untuk memohon kemaafan. Tanpa sedar air mata Mardiyah sudah merembes laju.
“Papa, mama, Diya mintak maaf, minta ampun atas apa yang terjadi. Diya tahu kehadiran Diya dalam keluarga ini amat mendadak malah Diya tak layak untuk menjadi menantu dalam rumah ni tapi ketetapan Allah buatkan Diya pasrah. Diya minta maaf mama, papa. Disebabkan Diya semuanya menjadi kacau bilau. Halalkan makan dan minum Diya sepanjang Diya menumpang di rumah ni,” ucap Mardiyah dengan linangan air mata yang tidak henti- henti.
Datuk Zainal memegang kedua belah bahu menantunya. Dia tersenyum nipis.
“Papa dan mama sudah maafkan segala kesalahan Diya. Kehadiran Diya bukan satu musibah pada keluarga ni tapi satu rahmat yang diberikan Allah pada kami. Diya jangan sedih- sedih. Kami akan sentiasa terima Diya sebagai keluarga ni. Lepas ni jangan lupa cepat- cepat bagi kami cucu. Kami ni dah mengidam nak pegang baby,” sempat lagi Datuk Zainal mengusik.
Wajah Mardiyah terus merona merah apabila soal baby diungkit. Dia memandang Ammar dan serentak Ammar juga memandang ke arahnya. Mereka berpandangan membuatkan Mardiyah terus menundukkan wajah. Dia gementar.
Errr…tu Diya tak tahulah…” balas Mardiyah tergagap- gagap.
“Alah, Diya tak payah risau kalau tanya pada Am gerenti hari ni pun dia boleh bagi mama cucu, betul tak, Am?” soal Datin Zarina sambil menyiku lengan Ammar.
Ammar tersentak. “Hah? Ya, mama. Eh tak..Eh, bukan macam tu maksud Am..” Ammar mula kalut apabila disergah oleh Datin Zarina.
Serentak mereka sekeluarga ketawa mendengar Ammar yang tiba- tiba melatah cuma Mardiyah yang kelihatan malu- malu. Dia bergerak ke arah hadapan Datin Zarina. Tangan Datin Zarina dikucup lembut.
“Maafkan Diya, mama..” ucap Mardiyah lembut.
“Mama maafkan. Diya tak ada salah dengan mama malah Diya adalah menantu pilihan hati mama. Diya anggaplah mama ni macam ibu Diya sendiri. Jangan bersedih di pagi raya ni, okey?” Datin Zarina menyeka air mata Mardiyah yang masih bersisa.
Mardiyah mengangguk lemah.
“Diya minta maaf pada Am pula.” Arah Datin Zarina.
Gulrp, air liur ditelan. Perlahan- lahan, Mardiyah bergerak ke hadapan Ammar. Dia melutut sambil tangannya dihulurkan untuk bersalaman dengan Ammar.
Ammar teragak- agak namun akhirnya tangannya digenggam lembut oleh tangan Mardiyah menjemput debar di hatinya yang sememangnya asyik berdenyut apabila berhadapan dengan Mardiyah. Matanya langsung tidak lepas daripada merenung wajah Mardiyah yang bersih.
“Saya minta maaf atas semua kesalahan yang saya lakukan pada encik selama ini. Saya sedar kedudukan saya dalam hidup encik tapi berilah saya masa untuk stabilkan semuanya selepas itu saya janji saya takkan kacau hidup encik lagi…” ucap Mardiyah.
Ammar terpempan. Lama dia merenung anak mata hitam pekat itu.
“Aku maafkan…” balas Ammar sebelum satu ciuman kudus menyapa dahi Mardiyah kemudian beralih pada pipi Mardiyah yang mulus.
Mardiyah terpana. Terkebil- kebil dia memandang wajah Ammar.
Ammar membalas pandangan Mardiyah dengan senyuman sebelum dia memandang ke sisi. Kelihatan Datin Zarina, Datuk Zainal, Akhil dan Aryani sedang memandang ke arahnya dengan matanya membulat. Mereka kelihatan seperti terkejut.
“Kenapa pandang Am macam tu?” soal Ammar memecah kesunyian mereka sekeluarga.
“Eh tak ada apa- apalah…” balas Datin Zarina tersengih.

MARDIYAH ketawa kecil apabila teringatkan peristiwa hari raya yang berlaku pada tahun lepas. Walaupun ketika itu mereka masih lagi berusaha untuk menerima diri masing- masing namun hari itu merupakan hari yang terindah buat Mardiyah.
“Sebenarnya masa Diya cakap nak balik kampung, abang rasa down sangat. Abang rasa kosong, rasa macam hati abang ni macam nak ikut je Diya balik tapi abang tetap tinggikan ego abang masa tu. Bila Akhil cakap Diya balik, abang bukan main gembiranya lagi. Nasib baik tak melompat tau…” ucap Ammar sambil ketawa kecil mengenangkan apa yang terjadi tahun lepas.
“Kenapa abang tak cakap pun pada Diya yang abang dah jatuh cinta pada Diya?”
“Sebab abang susah nak cakap tiga perkataan tu. Tapi lama- lama barulah abang tahu yang abang hanya boleh ungkapkan perkataan tu hanya pada Diya. I love you, my love.” Ucap Ammar lembut.
Mardiyah tersenyum suka. Spontan pipi Ammar dikucup lembut.
I love you too, sayang.” Balas Mardiyah. Lengan Ammar dipeluk. Ammar mengusap kepala Mardiyah yang bertudung. Dia begitu bahagia saat ini. Segala kedukaan dan kesedihan telah dibawa pergi saat lahirnya anak mereka yang pertama yang diberi nama Muammar Rizqan.
“Eh, abang. Masa kita lalu dekat Cherating tadi kan, Diya macam teringatkan sesuatu. Kenapa masa Diya tengok iklan tu dekat TV, tak ada pun muka kita berdua?” soal Mardiyah setelah agak lama mereka mendiamkan diri.
Ammar ketawa mendengar soalan yang terbit daripada bibir Mardiyah.
“Kenapa abang gelak pula?” soal Mardiyah pelik.
“Sayang, kalau sayang nak tahu sebenarnya iklan untuk resort tu dah lama Akhil siapkan. Akhil berkomplot dengan papa untuk kenakan kita…”
“Komplot dengan papa? Nak kenakan kita? Diya tak faham…”
“Sayang, masa itukan abang ego sebab menidakkan perasaan abang pada Diya disebabkan itulah papa buat rancangan supaya Akhil bagitahu abang yang iklan untuk resort itu belum disiapkan lagi. Dia memang sengaja minta Diya jadi model dan ugut abang untuk carikan model lelaki lain untuk digandingkan dengan Diya. Abang tak setuju, sebab itulah abang jadi model sementara untuk iklan yang kononnya Akhil aturkan itu. Rupa- rupanya selepas Diya hilangkan diri abang baru dapat tahu yang Akhil hanya tipu abang semata- mata nak satukan kita,” terang Ammar.
Mulut Mardiyah melopong. Dia tidak sangka sampai begitu sekali keluarga Ammar berusaha untuk menyatukan mereka berdua.
“Patutlah model iklan tu lain. Akhil ni memang licik. Samalah dengan papa…” ucap Mardiyah.
“Mereka berdua buat untuk kita juga. Sekarang, tengoklah. Abang bahagia dengan Diya. Mungkin berkat daripada restu ibu bapa kita, sayang.” Ucap Ammar.
Mardiyah hanya mengangguk. Ya, restu ibu bapa itu sangat penting untuk sebuah perkahwinan. Tanpa restu rumah tangga yang dibina atas dasar kasih sayang pun boleh retak kerana redha Allah terletak pada redha ibu bapa. Betapa besarnya nilai sebuah restu dan doa seorang ibu bapa.
“Along!” laung Akhil mengejutkan Mardiyah dan Ammar. Mereka berpaling ke belakang.
Kelihatan Akhil dan Rifqie yang sedang tersengih pada mereka berdua. Di tangan Akhil terdapat beberapa biji kelapa dan pucuk kelapa manakala Rifqie pula memikul beberapa batang buluh. Mungkin untuk dibuat lemang dan pelita.
Ammar dan Mardiya bangun lalu mendapatkan adik- adik mereka.
“Iqie dan Akhil pergi mana ni?” soal Mardiyah.
“Iqie bawak Akhil pergi cari buluh. Seronok gila, kak. Lepas tu kita orang pergi panjat pokok, sakit betul kaki Akhil kena gigit kerengga,” cerita Akhil teruja. Rifqie hanya tersenyum.
“Padam dengan muka kau. Kerengga tu gigit orang yang degil je,” balas Ammar selamba.
Akhil mengetap bibir. Namun, kehadiran Aisya membuatkan dia terdiam. Secara diam dia merenung wajah Aisya yang sedang menuju ke arah mereka.
Mardiyah yang perasan dengan perbuatan Akhil, sepantas kilat menyiku lengan Ammar. Ammar berpaling pada isterinya.
“Kenapa, sayang?” soal Ammar.
“Tu…” Mardiyah memuncungkan mulut pada Akhil yang ralit memerhati lenggang lenggok Aisya. Dia tersenyum penuh makna. Adik aku ni dah berkenan dengan Aisya ke?
“Iqie, mana kelapa dengan pucuk kelapanya? Ibu asyik tanya je. Dah boleh kalau nak bakar lemang ni. Nanti tak sempat pulak,” ucap Aisya pada adiknya yang sedang memikul buluh.
“Ni hah buluhnya, Kak Isya. Kelapa dengan pucuk kelapa tu ada dengan Abang Akhil. Lepas ni bolehlah bakar lemang,” balas Rifqie pula.
Aisya mengalihkan pandangan pada wajah Akhil yang diam seribu bahasa. Hanya mata lelaki itu saja yang terkebil- kebil memandang ke arahnya. Dahi Aisya berkerut.
“Awak, saya nak kelapa tu. Nanti ibu bising pula tak dapat kelapa,” ujar Aisya menyedarkan Akhil ke alam realiti.
Dengan pantas dia menyerahkan kelapa dan daun tersebut pada Aisya. Dia tersengih namun sengihannya dibalas dengan senyuman nipis oleh Aisya.
“Aisya tu belum berpunya tau. Tapi dia agak susah nak berkawan dengan lelaki yang baru dia kenal. Kalau Akhil berkenan, mesti Akhil tahu apa nak buat kan?” bisik Mardiyah di telinga Akhil.
Akhil tersentak. Lama dia memandang wajah Mardiyah yang tersenyum nakal. Kemudian dia memandang wajah Ammar. Lelaki itu hanya mengangkat- angkat kening. Hai, along dengan Kak Diya ni macam tahu je apa yang ada dalam fikiran aku. Tapi nak ke si gadis melayu ni dekat aku? Soal hati Akhil.

MALAM raya menjelma. Rumah Mardiyah sibuk dengan persiapan raya untuk kali terakhir. Ammar, Rifqie dan Akhil sibuk membakar lemang di halaman rumah. Manakala, Mardiyah sibuk menyalakan pelita yang diperbuat daripada buluh di tepi halaman rumah. Aisya pula sibuk menggantungkan langsir baru. Semuanya sibuk dengan kerja masing- masing.
“Alamak, tak sampailah pulak,” bebel Aisya apabila tidak sampai untuk menggantungkan langsir di tingkap.
Kebetulan waktu itu Akhil melalui ruang tamu. Dia tersenyum melihat Aisya yang terkial- kial cuba memasukkan penyakut di roda langsir. Kemudian, dia menghampiri Aisya.
“Nak saya tolong ke?” soal Akhil ramah. Aisya yang sedang berdiri di atas kerusi di pandang penuh minat.
Aisya terkejut kemudian menoleh pada Akhil yang berada di hadapannya. Dengan pantas dia menundukkan pandangan apabila matanya bertemu pandang dengan anak mata Akhil yang coklat pekat. Senyuman yang tersungging di bibir lelaki itu mendebarkan hati Aisya namun dia cuba bersikap selamba.
“Errr…tapi awak ada kerja lain kan. Kesian abang long sorang je bakar lemang…” Aisya berdalih. Sebenarnya dia malu untuk berhadapan dengan adik kepada abang iparnya ini.
“Iqie ada tolong along. Saya tengok awak macam susah sangat je. Meh sini saya tolong,” ujar Akhil sambil mencapai langsir daripada tangan Aisya.
Tidak dapat tidak, Aisya turun daripada kerusi. Dia membiarkan Akhil yang memasangkan langsir tersebut di kekisi tingkap.
“Awak tolong pegang langsir ni ya,” pinta Akhil lembut.
Aisya hanya mengangguk.
“Awak belajar dekat mana?” soal Akhil sambil matanya fokus pada penyakut langsir.
“Hah?” Aisya sedikit terkejut. Dahinya berkerut dengan pertanyaan Akhil.
Akhil ketawa kecil.
“Kak Diya cakap awak belajar lagi. Awak belajar dekat mana?” Akhil mengulang kembali soalannya.
“Oh, saya study dekat UIAM Kampus Kuantan.” Balas Aisya perlahan.
“Kos apa?”
“Syariah dan Perundangan.” Jawab Aisya spontan.
“Oh, nak jadi peguamlah ni? Berapa tahun lagi dekat situ?” soal Akhil lagi.
“Insya-Allah. Lagi dua tahun.” Balas Aisya.
Akhil tersenyum. Otaknya ligat mengira sesuatu.
“Dua tahun lagi umur saya 27 tahun. Umur awak berapa?” Akhil meneruskan soalan.
Dahi Aisya mula berlapis. Dia kurang faham untuk apa soalan tersebut ditanya oleh Akhil. Mungkin saja- saja kut. Bisik hatinya.
“25 tahun…” jawab Aisya pendek.
“Good! Saya boleh tunggu awak lagi dua tahun…” ucap Akhil selamba. Dia tersenyum manis.
“Hah? Maksud awak apa?” Aisya benar- benar terkejut. Tunggu? Buat apa nak tunggu aku? Hatinya berdebar- debar.
“Maksud saya, lagi dua tahun saya nak ambil awak jadi yang halal untuk saya. Saya malas nak cerita panjang, nanti mama dan papa saya datang, saya minta dia orang pinangkan awak untuk saya, okey?” ujar Akhil cukup bersahaja.
Bulat mata Aisya mendengar kata- kata Akhil. Hujan tak ada, ribut tak ada, tiba- tiba nak pinang aku? Gila ke sawan? Detik hatinya.
“Kenapa awak begitu yakin yang saya setuju dengan pinangan awak? Kita kenal pun baru sehari. Awak nak pinang saya? Awak dah tak betul ni…” Aisya meluahkan rasa hati. Sudahlah malam ni, malam raya. Dia boleh pulak buat perangai.
Akhil tersenyum manis. Dia turun daripada kerusi dan berdiri berhadapan dengan Aisya. Wajah gadis itu ditatap lembut. Hatinya sudah terpaut saat pertama kali melihat wajah Aisya yang lembut. Senyuman gadis itu seolah- olah memberi ketenangan padanya.
“Untuk mengenali awak, saya tak perlu berkenalan dengan awak. Cukuplah saya mengenali awak melalui ibu dan kakak awak. Kak Diya seorang wanita yang sangat baik jadi saya yakin adiknya mesti seorang yang baik lagipun ibu awak dan Iqie dah ceritakan latar belakang awak pada saya. Jadi semua kisah hidup awak, perangai awak, saya dah tahu. Infact, Kak Diya pun setuju kalau awak jadi kekasih halal saya,” balas Akhil.
Aisya benar- benar tidak percaya. Dalam masa sehari dia berkenalan dengan Akhil, dia terus dilamar? Rezeki ke jodoh? Dia tertunduk malu.
“Beri masa saya untuk fikirkan semua ni. Ini soal jodoh. Biar saya serahkan pada Allah…” ucap Aisya lembut.
Akhil tersenyum simpul. Hatinya tekad untuk memiliki Aisya sebagai suri hidupnya. Entah dari mana datangnya kekuatan itu tetapi tekadnya mesti dilaksanakan juga.
“Ambillah banyak mana pun masa yang awak nak. Saya tak nak ganggu hati awak tapi saya yakin awak jodoh saya dan saya jodoh awak. Memang jodoh itu rahsia Allah tapi Allah akan bagi isyarat untuk kita mengenali jodoh kita dan saya harap awak temui isyarat itu seperti mana saya menemuinya,” balas Akhil. Kemudian dia berlalu meninggalkan Aisya yang masih termangu- mangu.
“Awak kena ingat, tak semestinya jodoh awak dengan orang yang awak lama kenal sebab boleh jadi jodoh awak itu orang yang baru awak kenal…” sambung Akhil lagi. Dia mengenyitkan mata sebelum melangkah pergi.
Ammar dan Mardiyah yang mengintai di sebalik pintu hanya melopong mendengar keberanian Akhil melamar Aisya tanpa perlu berkias- kias. Akhil betul- betul berani mati.
“Diya tak sangka yang Akhil seberani itu, bang. Gentleman habis…” ucap Mardiyah sambil melopong.
“Abang pun tak sangka. Patutlah dia selalu desak abang luahkan perasaan abang pada Diya dulu rupa-rupanya dia memang bercakap serupa bikin. Very straight forward. Abang memang tabiklah pada Akhil kali ni…” balas Ammar sambil menggelengkan kepalanya.
Mereka masih lagi mengendap Akhil dan Aisya yang berbual- bual tanpa menyedari yang Puan Kamariah sudah berada di belakang mereka berdua.
“Buat apa tu?” soal Puan Kamariah sambil menempel di tengah- tengah mereka berdua.
“Tengok Akhil dengan Aisya…” balas Mardiyah selamba tanpa memandang ke tepinya.
“Dah tak ada kerja lain ke? Lemang dengan ketupat tu dah nak hangus, korang berdua boleh skodeng adik- adik korang lagi? Apa nak jadi ni?” marah Puan Kamariah sambil bercekak pinggang.
Ammar dan Mardiyah terkejut. Mereka berpandangan sebelum mata mereka tuntas pada wajah Puan Kamariah. Mereka berdua tersengih.
Heee…Diya dengan abang rehat sekejap tadi. Nanti kami sambung buat kerja.” Balas Mardiyah sambil tersengih- sengih. Ammar turut mengiyakan kata- kata isterinya.
“Kalau nak berehat, pergilah duduk dalam rumah bukannya skodeng tepi pintu. Hah, sejak bila pandai buat kerja tak senonoh malam- malam raya ni?” Puan Kamariah mengetap bibir.
Dengan selamba, dia memulas telinga Ammar dan Mardiyah dan menarik anak menantunya ke dapur.
“Mari ikut ibu…”
“Ibu sakit, bu. Sakit!” Ammar dan Mardiyah menjerit tetapi Puan Kamariah hanya ketawa lepas.

TAKBIR raya mula bergema di pagi hari raya memuji kebesaran Yang Maha Esa menambahkan lagi kemeriahan hari raya buat Mardiyah dan keluarga. Bibirnya tidak henti- henti mengukir senyuman bahagia apabila melihat Ammar yang terkial- kial untuk memakai butang baju melayu. Perlahan- lahan, dia menghampiri suaminya yang segak berbaju Melayu berwarna merah hati. Amat sesuai dengan kulitnya yang putih kemerahan.
“Abang ni memang tak pernah berubah. Sampai sekarang pun tak pandai lagi pakai butang baju ni?” soal Mardiyah lembut. Dia melekapkan tapak tangannya di dada Ammar sambil tersenyum manis.
Ammar membalas senyuman isterinya. Dengan selamba dia merangkul pinggang isterinya dengan mesra.
“Bukan tak pandai tapi bila abang cuba nak pakai tetap tak boleh. Diya tolong pakaikan untuk abanglah, boleh?” soal Ammar manja.
Mardiyah tersenyum lalu mengangguk. Tidak sampai beberapa minit butang baju melayu milik Ammar sudah siap dipasang. Dia kembali mendongak memandang wajah Ammar yang kacak. Sampai sekarang dia tidak jemu menatap wajah suaminya itu. Wajah yang sentiasa manis dengan senyuman itu sudah lama melekat dalam hatinya. Sukar untuk dia menghakis bayangan Ammar dalam mindanya.
“Kenapa pandang abang macam tu? Abang kacak sangat ke hari ni?” soal Ammar berlawak.
Mardiyah ketawa kecil. Dia membalas pelukan Ammar dengan mesra.
“Hari- hari abang kacak dekat mata Diya. Abang jangan risau ye,” balas Mardiyah turut bergurau.
Ammar ketawa kecil. Dia menarik hidung Mardiyah dengan lembut.
“Abang, sempena hari raya yang mulia ni, Diya nak minta maaf banyak- banyak dengan abang. Mungkin sepanjang dua tahun kita berkahwin ni banyak kekurangan dalam diri Diya yang tidak memuaskan hati abang. Diya minta ampun. Halalkan segala makan dan minum Diya yang abang berikan pada Diya. Diya sayang abang. Diya cinta abang sampai akhir hayat Diya…” ucap Mardiyah. Tangan Ammar dicapai lalu dikucup lembut.
Ammar terharu. Dia turut mencapai kedua tangan Mardiyah lalu dikucup lembut.
“Kenapa setiap kali Diya cium tangan abang, abang cium tangan Diya balik?” soal Mardiyah pelik. Sejak dia melahirkan Rizqan, begitulah sikap Ammar. Lelaki itu pasti akan mencium tangannya kembali selepas dia mencium tangan Ammar. Sudah lama dia ingin menanyakan soalan ini pada Ammar tetapi ada saja yang menghalang niatnya. Tapi hari ini dia berpeluang untuk mengetahui sebabnya.
“Tangan Diya ni bukan tangan biasa. Tangan Diya ini telah menggenggam kekuatan saat ingin melahirkan anak untuk abang. Tangan Diya ini menggenggam kesabaran saat melayani sikap abang yang begitu menyakitkan hati Diya dahulu. Tangan Diya ni yang akan membelai dan menjaga abang dan Rizqan. Pengorbanan dan perhatian yang Diya berikan tak mampu untuk abang balas malah tangan abang tak mampu menandingi apa yang tangan Diya telah lakukan. Terima kasih sebab menjadi isteri abang,” ucap Ammar penuh makna.
Mardiyah terkedu. Dia benar- benar terharu dengan ucapan Ammar. Setitis air matanya gugur membasahi pipi.
“Hey, kenapa menangis ni? Abang ada cakap yang salah ke?” soal Ammar panik.
Mardiyah menggelengkan kepala.
“Tiada yang salah apa yang abang cakapkan cuma Diya rasa terharu. Diya bersyukur sebab Allah takdirkan abang jadi suami Diya. Tiada yang baik dan selayak untuk jadi suami Diya selain abang. Abang anugerah buat Diya. Walaupun Diya cuba menidakkan perasaan Diya dulu tapi rindu itu mengajar Diya keikhlasan cinta abang,” balas Mardiyah.
Ammar tersenyum bahagia. Dia menyeka air mata yang menitis di pipi Mardiyah. Dia memegang kedua belah pipi Mardiyah sebelum sebuah ciuman lekat di pipi Mardiyah.
“Diya tahu tak kenapa Allah ciptakan ruang di antara jari- jari kita ni?” soal Ammar tiba- tiba.
Dengan pantas Mardiyah menggelengkan kepala.
“Tak. Kenapa bang? Diya lupa pulak nak kaji…” ucapnya sambil tersengih.
Ammar ketawa kecil lantas dia mencapai tangan Mardiyah. Dia merenung jari- jemari Mardiyah yang meruncing.
“Sebab satu hari nanti Allah akan hadirkan seseorang untuk melengkapi jari-jemari kita dan menggenggamnya erat macam ni…” ucap Ammar. Kemudian, jari- jemarinya dimasukkan di celah- celah jari Mardiyah. Jari- jemari mereka bercantum. Kuat dan utuh.
Mardiyah tersenyum melihat jari-jemarinya dalam genggaman tangan Ammar.
“Dan Allah telah menghadirkan abang untuk melengkapi genggaman tangan Diya. Abang lengkapi hidup Diya sama seperti lengkapnya jari-jemari Diya berada dalam genggaman abang…” ujar Mardiyah.
“Pandai pun isteri abang. Begitu juga dengan Rizqan. Kehadiran Diya dan Rizqan telah melengkapi kedua- dua belah tangan abang. Abang akan genggam tangan Diya dan Rizqan buat selama- lamanya dengan izin Allah. Selamat hari raya, sayang.” bisik Ammar ke telinga Mardiyah kemudian matanya memandang Rizqan yang sudah mula mencelikkan mata.
“Selamat hari raya, honey.” Balas Mardiyah turut berbisik.
Dia memandang Rizqan yang seakan- akan tersenyum pada mereka berdua sebelum matanya tuntas pada tangannya yang berada dalam genggaman tangan Ammar. Dia bahagia. Syukur kepada Allah yang memberi nikmat kebahagiaan itu. Kadang- kadang Allah selalu menghadirkan hujan, ribut dan petir dalam hidup kita untuk menguji sejauh mana kita berharap pada Dia untuk mendapatkan kebahagiaan. Namun, di setiap hujan itu pasti Allah akan anugerahkan pelangi yang akan menceriakan hari. Begitu jugalah dengan hidup, ujian diibaratkan seperti hujan dan ribut manakala pelangi adalah kebahagiaan. Kebahagiaan bukan untuk dinanti tapi kebahagiaan itu perlu dicari.








7 comments:

Note: only a member of this blog may post a comment.