Tetamu Rindu

Sunday 24 November 2013

Ingkar Cinta ~ teaser


“Apabila membicarakan soal jodoh ni, kita tak mampu untuk mengatakan dia jodohku atau dia bukan jodohku. Ianya rahsia Allah yang tak mampu kita rungkaikan. Seringkali cinta membawa kepada jodoh tapi kebanyakannya jodoh itu yang menghadirkan cinta. Bila dia bukan ditakdirkan untuk anta, maknanya Allah telah menyediakan seseorang yang terbaik menurut pandangan-Nya buat anta. Anta kena yakin dengan janji itu,” balas Ustaz Mustakim memujuk.
Zafran menghela nafas panjang. Wajahnya diraup.
“Ana yakin janji Allah itu pasti malah tiada keraguan pun dalam hati ana tentang itu tetapi hati ana ini rapuh sangat. Ana tak mampu lupakan dia walaupun sudah empat tahun ana tak jumpa dengan dia. Dia mengajar ana tentang cinta dengan caranya tersendiri. Dia banyak mengubah ana menjadi yang lebih baik. Ana sayangkan dia bukan sekadar seorang sahabat tetapi lebih daripada itu. Tetapi ana sedar, ana mungkin tak dapat bersama dengannya lagi…” luah Zafran dengan rasa sebak.
“Kalau begitu jadikan dia sebagai sahabat kerana persahabatan itu satu ikatan yang tidak boleh diputuskan begitu saja…”
“Malangnya, ana bukan sahabatnya lagi. Kesilapan yang ana lakukan dulu membuatkan dia memutuskan persahabatan kami. Ini hukuman yang ana perlu terima sebagai balasan mempermainkan perasaannya,” pintas Zafran.
Ustaz Mustakim terdiam. Lama dia menatap wajah keruh Zafran.
“Tidak ada orang jahat yang tidak punya masa depan, Zafran dan tiada orang baik yang tak punya masa lalu. Zafran yang ana lihat depan ana sekarang ini jauh berbeza dengan Zafran yang dulu. Inilah dikatakan ujian, Zaf. Dia sedang menguji sejauh mana keikhlasan anta dalam menghadapi cabaran yang diberikan-Nya. Ana harap anta dapat bersabar,” balas Ustaz Mustakim memujuk.
Zafran mendiamkan diri. Dia mengetap bibir. Memang dia sedang bersabar. Tidak guna dia menyalahkan takdir kerana yang nyata Wardah tetap tidak akan menjadi miliknya kerana dia tahu lumrah manusia lebih mengingati orang yang sering melukakannya daripada orang yang menyayanginya. Zafran redha tentang itu.
“Bukan ana tak cuba untuk lepaskan perasaan ini, ustaz. Malah berkali-kali ana cuba buang perasaan ini daripada hati dan fikiran ana tetapi semakin ana buang semakin kerap ia ganggu fikiran ana. Ana tak tahu apa lagi yang perlu ana lakukan agar cinta ana untuk dia dapat dihapuskan. Sakitnya hati ana hanya Allah yang tahu. Memang sakit apabila mencintai orang yang tak pernah mencintai kita sedangkan hati kita hanya menyebut nama dia,” balas Zafran setelah agak lama mendiamkan diri.
“Ana faham apa yang berlaku pada anta Zaf, cinta itu adalah unsur yang berasal daripada emosi dalaman manusia, ia tidak dapat dinafikan walaupun mampu disembunyikan. Ia tidak dapat diubah walaupun mampu dinasihati. Keteguhan terhadap cinta itu mampu mengubah sejarah tetapi tidak mampu mengubah takdir yang Allah tetapkan.” Ujar Ustaz Mustakim menasihati Zafran.
Simpatinya tertumpah saat melihat wajah Zafran yang muram. Sudah hilang sinar kebahagiaan pada wajah yang sentiasa tenang itu. Hanya kerana cinta manusia boleh berubah dalam sekelip mata. Detik hati Ustaz Mustakim.
Zafran menghela nafas panjang mengakui kata-kata Ustaz Mustakim di dalam hati.
‘Wardah, cinta ini sudah tertanam dalam hati, telah menyatu dengan jiwa malah telah bersatu dengan jiwa mengalir dalam aliran darahku sehingga melahirkan nafas cinta yang takkan pernah mati. Semoga kau bahagia buat selama-lamanya.’ Bisik hati Zafran.
....................................................................................................................................

WARDAH duduk tenang bersimpuh di atas bantal di ruang tamu rumahnya sambil sabar menunggu ketibaan pengantin lelaki. Sesekali kakaknya mengelap peluh yang memercik di dahi Wardah. Dia tersenyum pada Kak Wardeena yang berada di sisinya.
“Ada, kenapa Emir ni lambat sangat? Patutnya dah sampai ni…” keluh Kak Wardeena sambil menjeling jam di tangan.
Wardah tersenyum hambar. Hatinya gelisah mengenangkan bayang Emir Rehan yang tak kunjung tiba. Ramai tetamu yang sudah berbisik-bisik bertanyakan kelewatan Emir Rehan tetapi tiada apa yang boleh dilakukan selain berdoa agar perjalanan Emir Rehan selamat.
Tadi ayahnya sudah menelefon Encik Husin malah katanya mereka sekeluarga sudah dalam perjalanan dan sepatutnya mereka sudah sampai ke sini. Tetapi kenapa sampai sekarang masih belum muncul? Soal hati Wardah.
Tiba- tiba, kelihatan Puan Syifa yang berada di luar rumah berlari-lari anak mendapatkan Wardah yang masih setia menanti. Dia melihat Puan Syifa menangis lantas Wardah berdiri.
“Ada, Ada, Emir!” Jerit Puan Syifa termengah-mengah.
Hati Wardah mula dipagut resah lantas dia terus memegang lengan Puan Syifa dan cuba menenangkan Puan Syifa yang kelihatan termengah-mengah.
“Kenapa dengan Emir, ibu?” Soal Wardah kegelisahan. Suasana dalam rumah Wardah menjadi tegang. Semua mata memandang Wardah dan Puan Syifa.
“Emir, Emir, Ya Allah, macam mana ibu nak cakap ni….” keluh Puan Syifa sambil meraup wajahnya.
“Ibu, bawak bertenang. Apa dah jadi pada Emir? Mana Emir ibu? Patutnya Emir dah datang. Emir tak apa-apakan ibu?” soal Wardah cuba menyakinkan hatinya bahawa tiada apa-apa yang berlaku pada Emir Rehan.

Saturday 23 November 2013

PENGUMUMAN!!!

TEMPAHAN untuk mini novel kedua SK ( JIKA BENAR KAU CINTA ) sudah DIBUKA sekarang... Ada sesiapa yang berminat x? hihi..Sesiapa BERMINAT boleh berikan NAMA dan NO.TEL untuk tempahan terlebih dahulu sebab terhad kepada 100 buah sahaja...HARGA akan dimaklumkan kemudian...boleh PM SK di FB ataupun beri nama dan no phone kat email mujahidah_khadijah25@yahoo.com


Saturday 16 November 2013

Ingkar Cinta ~ Teaser


“Berapa lama kau kenal dia, Ada?” soal Zafran tiba-tiba.
Wardah mengerutkan kening. Pandangannya dilabuhkan di wajah Zafran.
“Siapa?” soalnya pendek.
“Bakal suami kaulah takkan aku pulak,” balas Zafran bergurau.
Wardah tersenyum nipis.
“Sejak semester akhir aku kenal dia sampailah sekarang,” balas Wardah sambil tangannya lincah membentangkan alas meja lalu diletakkan dihamparkan di atas meja.
“Kau betul-betul kenal dia ke, Ada?” soal Zafran lagi. Dia merenung anak mata Wardah yang duduk agak jauh daripadanya.
“Apa maksud kau?”
“Kau kenal dia tak sampai setahun dan kau ambil keputusan untuk hidup dengan dia buat selama-lamanya? Kau betul-betul kenal dia ke?” soal Zafran sekali lagi.
Wardah mengetap bibir. Dia sedikit tersentap dengan soalan Zafran yang seolah-olah menguji ketahanan hatinya sedangkan lelaki itu sudah sedia maklum yang Emir Rehan akan menjadi suaminya tidak lama lagi.
“Kadang-kadang untuk mengenali seseorang itu tidak perlu masa lama kerana hanya hati yang mengenal hati. Kau kena ingat Zaf jodoh kita tak semestinya dengan orang yang lama kita kenal, mungkin jodoh kita dengan baru kita kenal. Aku percaya tentang itu,” balas Wardah tenang.
Zafran terpempan. Kata-kata Wardah tepat mengenai batang hidungnya sendiri. Dia menundukkan wajah.
“Aku tahu aku dah tak ada peluang tu tapi kau kena tahu sesuatu Ada, apa yang aku cakapkan pada kau dulu tak pernah berubah sama ada kau terima aku sebagai sahabat ataupun tidak. Cinta bukan sesuatu yang mudah untuk dialihkan, Ada. Bila ia dah menyapa hati, ia akan terus lekat dalam hati seperti digam. Itulah yang aku rasakan saat ini. Bukan aku tak cuba lupakan apa yang pernah aku katakan pada kau tapi mustahil semua itu boleh hilang dalam sekelip mata kan, Ada?” balas Zafran mengharapkan pengertian daripada Wardah.
Wardah terdiam sejenak. Dadanya mula bergendang tidak menentu mendengar kata-kata Zafran. Kenapa kisah lalu juga yang ingin diungkit? Sedangkan dia ingin melupakan semua itu.
“Aku tahu kau dah berubah, Zaf. Aku yakin kau bukan Zaf yang dulu lagi…”
“Tapi kenapa susah sangat kau nak terima aku walaupun aku terlambat untuk jadi teman hidup kau tapi tak boleh ke kalau kau terima aku sebagai kawan kau semula? Hina sangat ke aku pada mata kau, Ada? Hina sangat ke?” kali ini Zafran seolah-olah emosi. Dia mendekati Wardah.
Wardah gelisah. Dia mengundurkan langkah setapak ke belakang. Renungan anak mata yang hitam pekat itu meresahkan dirinya. Apa yang aku nak jawab?
“Zaf, tolong jangan paksa aku. Aku dah maafkan kau, itu sudah cukup untuk kau tahu kan. Apa lagi yang kau nak selain kemaafan atas kesalahan kau dulu?” soal Wardah pula. Langkahnya terhenti apabila tubuhnya terlanggar meja. Dia berdiri kaku di hadapan Zafran.
Mata Wardah melilau memandang sekeliling, bimbang juga jika ada mata yang memandang mereka berdua. Nanti boleh menimbulkan fitnah.
“Aku sayangkan kau, Wardah. Aku sayangkan kau…” luah Zafran sayu.

Thursday 14 November 2013

Ingkar Cinta ( Teaser )

Memandangkan ramai yang bertanyakan kisah Zaf dan Wardah jadi SK letakkan teaser untuk tatapan anda semua ye...Sebenarnya entry Ingkar Cinta dah berakhir dekat blog...untuk sambungan kena nantikan novelnya ye...okey, SK letakkan teaser sikit ye untuk lepaskan rindu korang semua pada Zaf dan Ada...

KAD undangan perkahwinan yang berwarna merah jambu itu direnung lama. Sedaya upaya dia cuba menahan rasa sebak yang bermukim di hati. Kad ini diberikan oleh abangnya semalam dan baharu hari ini dia mempunyai kekuatan untuk membuka kad tersebut. Sudah sekian lama dia menyepikan diri daripada kampung dan semalam dia mendapat satu berita yang tidak disangka-sangka.
“Ini kad kahwin dia. Abang harap kau dapat bersabar, ya. Abang boleh je tak bagi kad ini pada kau tapi abang tak nak kau salahkan abang kalau dapat tahu perkahwinan dia daripada orang lain lagipun mak dia memang nak kau datang majlis anak dia ni. Dia pun pernah jadi kawan kau dulu. Sampai bila kau nak sembunyikan diri macam ni, dik?” soalan daripada abangnya membuatkan dia termenung panjang.
Sampai bila aku nak sembunyikan diri? Sampai bila aku nak mengelak daripada bertemu dengannya? Tetapi apabila aku bersemuka dengannya, hati aku akan bertambah sakit apabila mengetahui dia bukan untukku. Monolog hatinya.
“Kadang-kadang melarikan diri itu lebih baik daripada menghadapi kenyataan yang hanya menyakitkan hati, bang.” Jawabnya dengan hati yang membengkak.
“Zafran yang abang kenal sejak kecil bukan macam ni. Mana pergi Zafran Wildan yang gagah dan perkasa yang tak pernah mengaku kalah dengan cinta mahupun wanita? Mana pergi adik abang yang tak pernah kisah tentang soal hati, yang tak pernah kisah tentang perasaan orang lain? Mana perginya adik abang yang itu?” soal Zahirul sambil menggoncangkan bahu Zafran yang kelihatan lemah.
Zafran tidak menjawab sebaliknya dia hanya menundukkan wajah. Dia cuba menyembunyikan rahsia hatinya yang kecewa dengan berita yang diterimanya tadi.
“Zaf manusia biasa, bang. Zaf berubah jika ada sesuatu yang berjaya mengubah hati Zaf dan dia telah berjaya mengubah hati Zaf yang dingin terhadap cinta sehinggakan Zaf rasa terbuai dengan rasa cinta itu. Mungkin salah Zaf juga kerana mendekatinya dengan cara yang salah tapi cara yang salah itu menunjukkan Zaf satu rasa yang betul,” balas Zafran dengan suara yang sayu.
Dia menggenggam kad jemputan yang berada di tangannya. Hembusan bayu petang menyejukkan hatinya yang tidak keruan. Dia tidak menyangka dalam tempoh masa empat tahun ini, akhirnya gadis itu akan menjadi milik orang lain dalam masa dua minggu dari sekarang. Bukan dia tidak redha tetapi hatinya sedikit terkilan.
Sepanjang empat tahun dia melarikan diri dari kampung, banyak perkara telah merubah pandangannya tentang cinta dan kehidupan. Kehidupannya di Madrasah Darul Iman membuatkan dia lebih tenang. Ternyata selangkah kita mendekati Allah, seribu langkah Dia akan menghampiri kita.

Allah itu lebih dekat kepada manusia daripada urat lehernya sendiri. (Qaf: 16)

Sekarang ini baharu Zafran sedar, untuk mendapatkan cinta manusia dia perlu meraih cinta Ilahi terlebih dahulu. Hampir setahun dia menuntut di Madrasah Darul Iman dan cuba mencari jati dirinya sendiri akhirnya dia sudah menemui ketenangan yang dicari selama ini. Biarpun tanpa gadis itu, biar pun tanpa sesiapa akhirnya dia sudah bertemu dengan cinta yang hakiki itu.

Thursday 7 November 2013

PENGUMUMAN!!!

BERITA BAIK...pada sesiapa yang masih belum memiliki mini novel terhad daripada SK boleh buat tempahan dengan SK...tempahan dah DIBUKA kembali...hanya 50 unit saja yang dicetak...

Jika berminat boleh mesej di FB SK ya...nanti SK akan bagi maklumat untuk pembayaran...

Harga ( termasuk postage)

Semenanjung: RM26
Sabah dan Sarawak: RM31