SUDAH seminggu Wafiya
tinggal dan bekerja di rumah Tan Sri Syed Umar yang gah dan mewah seakan istana
itu. Selepas tinggal dengan Tan Sri Syed Umar baharulah Wafiya tahu bahawa Tan
Sri Syed Umar merupakan seorang usahawan yang berpangkat Tan Sri. Sikap Tan Sri
Syed Umar yang merendah diri tidak menampakkan lelaki yang separuh umur itu
seorang yang berpangkat.
Namun, keramahan Tan
Sri Syed Umar tidak sama dengan isterinya Puan Sri Sharifah Mastura. Sejak
pertama kali Wafiya melangkah kaki ke dalam rumah tersebut dia dapat melihat
wajah kurang senang Puan Sri Sharifah Mastura mungkin kerana dia anak kampung
yang tiba- tiba muncul bersama dengan Tan Sri Syed Umar.
Wafiya cuba bersikap
sebaik mungkin untuk mengambil hati Puan Sri Sharifah Mastura namun jelingan
wanita itu cukup membuatkan Wafiya kecut perut. Akhirnya Wafiya mengalah kerana
dia tidak setaraf dengan wanita itu malah Puan Sri Sharifah Mastura tidak suka
pembantu rumah dekat dengannya kerana bagi Puan Sri Sharifah Mastura pembantu rumah
adalah orang kelas bawahan dan tidak layak untuk mendekati orang sepertinya.
Wafiya menggelengkan
kepala. Kenapa perlu dibezakan antara pangkat dan darjat jika di akhirat nanti
hanya amalan yang akan dihitung bukannya pangkat dan darjat? Di rumah itu hanya
Wafiya dan Mak Milah sahaja yang bekerja sebagai pembantu rumah bersama dengan
Pak Ismail selaku pemandu peribadi keluarga Tan Sri Syed Umar.
“Apa yang kamu
menungkan tu, Fiya?” sapaan dari Mak Milah menyedarkan Wafiya daripada lamunan.
Dia mendongak memandang Mak Milah dengan senyuman manis.
“Tak ada apa, Mak
Milah. Tan Sri dah balik ke? Kenapa Fiya dengar macam bising- bising je dekat luar tu?” tanya Wafiya sambil
menjengukkan kepalanya ke luar.
“Anak Tan Sri dari luar
negara baru je sampai. Tan Sri
panggil Fiya tadi. Pergilah,” ujar Mak Milah sambil mengeluarkan sayur- sayuran
daripada peti sejuk.
“Anak Tan Sri? Muzamil
maksud Mak Milah?” Dahi Wafiya berlapis.
Mak Milah tersenyum.
Pasti Wafiya kebingungan apabila dia membicarakan perihal anak Tan Sri Syed
Umar kerana anak tunggal Tan Sri Syed Umar jarang pulang ke Malaysia kerana
menyambung pelajaran di luar negara.
“Muzamil bukannya anak
Tan Sri yang sebenarnya. Amil tu cuma anak angkat je, Fiya. Anak tunggal Tan Sri selama ni tinggal di luar negara
sambung belajar dekat sana. Sekarang dah tamat jadi baliklah dia ke Malaysia
semula,” terang Mak Milah.
“Saya tak tahu pun
pasal hal ni, Mak Milah. Saya ingatkan Amil tu anak Tan Sri,” ujar Wafiya
sambil mengelap tangannya menggunakan tuala kecil.
Mak Milah hanya
tersenyum nipis.
“Sudahlah, kalau kamu
nak kenal anak Tan Sri kamu pergilah ke depan nanti Tan Sri bising kalau kamu
tak muncul- muncul lagi,”
“Tapi saya malulah, Mak
Milah..” balas Wafiya sambil menundukkan wajah.
“Nak malu apanya,
Fiya? Anak Tan Sri bukannya orang lain
anak majikan kamu jugak,” ujar Mak
Milah sambil menepuk bahu Wafiya. Mak Milah faham sangat dengan perangai Wafiya
yang pemalu dan pendiam orangnya pasti agak kekok apabila berjumpa dengan orang
yang asing bagi dirinya apatah orang itu adalah lelaki.
Tidak dapat tidak
akhirnya Wafiya menurut kata Mak Milah. Dengan langkah yang tersusun dia
berjalan menuju ke ruang tamu. Di ruang tamu dia melihat Tan Sri Syed Umar
sedang berbual mesra dengan pemuda yang duduk bersandar di sofa
membelakangkannya. Wafiya tercari- cari wajah lelaki itu namun hampa kerana
lelaki tersebut sedang rancak berbual dengan Tan Sri Syed Umar.
“Assalamualaikum, Tan
Sri panggil saya?” lembut suara Wafiya menghulurkan salam membuatkan Tan Sri
Syed Umar terdiam sebentar dan berpaling.
“Wa’alaikummusalam, eh Fiya mari sini uncle kenalkan dengan anak uncle.
Pasti Fiya belum kenal lagi, kan?” ucap Tan Sri Syed Umar dengan ramah.
Wafiya tersenyum ramah
namun dalam hatinya terasa berdebar- debar. Eh,
kenapa pulak dengan jantung aku ni? Benaknya
tertanya- tanya. Jantung Wafiya bertambah debar saat lelaki tersebut berpaling
ke arahnya. Mata mereka bertentangan buat seketika sebelum Wafiya menundukkan
pandangan. Dia dapat rasakan wajahnya berbahang panas. Entah apa yang terjadi
pada hatinya saat memandang wajah lelaki itu. Kacak! memang itu Wafiya tidak
nafikan.
“Fiya ini uncle kenalkan anak tunggal uncle, Syed Aryan Haidar dan Ary ini Wafiya
Khadeeja,” suara Tan Sri Syed Umar mematikan renungan Syed Aryan terhadap
Wafiya.
Syed Aryan berpaling
wajah pada ayahnya semula. Dia tersengih apabila dia melihat ada senyuman yang
tersungging di bibir Tan Sri Syed Umar. Entah kenapa dia bagaikan terpaku saat
melihat gadis yang berdiri di belakangnya itu. Wajah itu lembut penuh keayuan
dan keaslian wanita Melayu membuatkan hati Syed Aryan terdetik sesuatu tetapi
rasa itu hilang di bawa angin lalu.
“Err…siapa dia ni, papa?” tanya Syed Aryan sambil menunjukkan pada
Wafiya.
“Emm, Fiya ni anak kawan papa tapi ibu dan ayahnya dah meninggal
dunia jadi sekarang ni Fiya tinggal dengan kita sebagai anak angkat papa dan
pembantu rumah,” terang Tan Sri Syed Umar.
Syed Aryan hanya
mengangguk. Sementara Wafiya masih lagi terasa kekok dengan kehadiran pemuda
itu. Kenapalah anak Tan Sri ni lelaki? Aku dahlah fobia dengan lelaki. Gumam
hati Wafiya.
“Tan Sri, kalau tak ada
apa- apa lagi saya mintak diri ke
dapur dulu nak siapkan makan tengah hari,” Wafiya bersuara selepas lama
mendiamkan diri.
Tan Sri Syed Umar
mendongak memandang wajah manis Wafiya kemudian dia mengangguk dan menghantar
langkah Wafiya dengan pandangan matanya sebelum dia kembali memandang wajah
anaknya yang kacak.
“Apa pendapat Ary
tentang Fiya?” soal Tan Sri Syed Umar tiba- tiba. Dia tersenyum manis.
Syed Aryan tersentak.
Lain macam saja soalan papa ni. Hatinya terdetik.
“Pendapat yang macam
mana maksud papa?” soalnya kembali.
“Yelah, apa sahaja pendapat kamu tentang Fiya,”
Syed Aryan mengerutkan kening.
Apa yang boleh dikatakan pasal gadis bertudung yang baharu saja dikenalinya
itu? Cuma hati kecil dapat mengatakan bahawa wajah itu sekadar sedap mata
memandang.
“Dia okey je. Kenapa
papa tanya Ary macam tu?” Syed Aryan masih lagi pelik dengan pertanyaan Tan Sri
Syed Umar.
“Tak ada apa- apa. Papa
saja je tanya kamu. So lepas ni apa plan kamu? Nak kerja terus atau nak buat apa?” Tan Sri Syed Umar
mengalihkan topik perbualan.
Syed Aryan tersenyum.
“Ary rasa Ary nak rehat
seminggu dan Ary nak melancong sekitar Malaysia sebelum Ary start kerja. Lagipun Ary rindu dengan
Malaysia. Boleh ya papa Ary nak bercuti dulu?” pinta Syed Aryan manja.
“Yelah-yelah papa benarkan
janji lepas bercuti kamu kena bekerja dengan papa. Banyak kerja yang menanti
kamu dekat office tu,” ujar Tan Sri
Syed Umar membuatkan Syed Aryan tersenyum. Nampaknya bolehlah dia bercuti
dengan kekasih hatinya sebelum memulakan tugas.
Tan Sri Syed Umar
tersenyum puas melihat wajah gembira Syed Aryan. Dalam benaknya sedang
memikirkan sesuatu. Sesuatu yang akan dilakukan semata- mata untuk menyambung
cintanya yang tidak kesampaian.
MUZAMIL merenung wajah
ayah angkatnya lama. Kata- kata Tan Sri Syed Umar membuatnya termenung
seketika.
“Betul ke keputusan
ayah ni?” soal Muzamil untuk kedua kalinya.
Tan Sri Syed Umar
mengangguk dengan yakin. Apa yang diputuskan adalah untuk kebaikan syarikat dan
keluarga mereka. Keputusan untuk melantik Syed Aryan sebagai pengarah baharu
syarikat adalah keputusan yang terbaik kerana Tan Sri Syed Umar tidak tahu
sampai bila dia harus bertahan dengan penyakit jantung yang di hidapinya sejak
beberapa tahun dulu. Perkara itu di rahsiakan daripada Puan Sri Sharifah Mastura
dan juga Syed Aryan. Dia tidak mahu keluarganya risau dengan keadaannya yang
sudah berada di peringkat terakhir.
“Ayah rasa ini yang
terbaik, Mil. Walaupun Ary fresh graduate
tapi selepas ayah tengok cara dia bekerja untuk masa tiga bulan ni, ayah rasa
Ary memang layak untuk ganti tempat ayah. Apa pendapat kamu?” soal Tan Sri Syed
Umar sambil memandang tepat ke wajah Muzamil.
“Amil tak berhak untuk
membantah keputusan ayah sebab ayah sudah pun membuat keputusan. Apa sahaja
yang ayah putuskan Amil rasa adalah yang terbaik. Lagipun Amil pun rasa ayah
perlu berehat,”
“Tapi sebelum Ary
dilantik jadi pengarah, ayah rasa dia patut kahwin,” ujar Tan Sri Syed Umar
tiba- tiba.
“Kahwin?” Muzamil
terkejut.
“Haah untuk dia menjadi
ketua syarikat dan mengendalikan syarikat dia perlukan seseorang untuk berada
di belakangnya memberi kata- kata semangat dan dorongan. Ayah nak sangat tengok
Ary berkahwin sebelum ayah menutup mata,”
Ucapan Tan Sri Syed
Umar membuatkan Muzamil tersentak. Sejak kebelakangan ini, Tan Sri Syed Umar
sering bercakap perkara- perkara yang pelik. Lelaki separuh abad itu acap kali
menyebut tentang kematian. Memang tidak salah mengingati mati tetapi cara Tan
Sri Syed Umar berkata- kata seolah- olah lelaki itu ingin pergi jauh.
“Ayah, kenapa ayah cakap
macam ni? Ajal maut di tangan Allah dan insya- Allah ayah akan dapat tengok Ary
kahwin lagipun takkan ayah tak tahu anak ayah tu dah ada girlfriend. Bila- bila masa ayah nak dia kahwin, Amil yakin dia
akan ikut cakap ayah,” balas Muzamil dengan senyuman.
“Tapi ayah tak nak dia
kahwin dengan Sharifah Akyra tu walaupun Kyra tu anak kawan ayah. Ayah tak
berkenan dengan dia,” ujar Tan Sri Syed Umar dengan serius.
“Habis tu ayah nak Ary
berkahwin dengan siapa? Ayah dah ada
pilihan untuk Ary ke?” soal Muzamil bertubi- tubi. Dia membetulkan duduknya
dengan lebih tegak dan memberikan sepenuh perhatian pada Tan Sri Syed Umar yang
sedang tersenyum penuh makna.
“Ayah rasa ayah dah ada
calon untuk Ary. Orangnya manis, ayu, sopan santun, berbudi bahasa dan yang penting
agama yang ada dalam diri dia membuatkan ayah terpikat untuk jadikan dia
menantu ayah,” ujar Tan Sri Syed Umar bersungguh- sungguh dengan penuh
semangat. Matanya bercahaya seolah- olah gadis itu adalah pilihan terbaiknya
untuk dijodohkan dengan anak kesayangannya itu.
Muzamil mula memikirkan
sesuatu berkenaan dengan ciri- ciri wanita yang ayahnya sebutkan tadi. Jangan-
jangan…
“Siapa gadis itu ayah?
Amil kenal ke?” Dada Muzamil mula berdebar- debar.
“Of course Amil kenal. Ayah nak jodohkan Ary dengan Wafiya,” ucap
Tan Sri Syed Umar dengan selamba.
Bagaikan halilintar
kedengaran di telinga Muzamil apabila Tan Sri Syed Umar menyebut nama Wafiya.
Dia terdiam seketika sebelum tersenyum hambar. Haruskah dia menutup lagi rasa
hatinya yang kecewa dengan apa yang berlaku. Sewaktu cintanya mula berputik
dalam diam buat Wafiya, ayahnya sudah merancangkan sesuatu yang tidak pernah
terlintas di fikiran Muzamil.
“Tapi kenapa Fiya,
ayah? Mil tak rasa yang Ary akan setuju,”
“Sebab Fiya adalah anak
kepada Soleha dan ayah pernah berjanji pada Soleha dulu untuk menyatukan cinta
ayah yang tidak kesampaian dahulu. Walaupun ayah tidak dapat memiliki Soleha
sebagai isteri tapi cinta Soleha selalu di hati ayah dan ayah akan pastikan
yang cinta ayah dan Soleha akan menyatu dengan bersatunya Wafiya dan Ary. Ayah
tahu dan ayah pasti Ary akan menentang tapi kali ini tidak ada siapa yang akan
dapat menghalang ayah daripada menjadikan Wafiya menantu ayah,” ucap Tan Sri
Syed Umar tegas.
Muzamil menarik nafas
panjang. Nampaknya dia terpaksa melupakan cintanya pada Wafiya buat selama-
lamanya kerana impian ayah angkatnya adalah lebih penting. Tapi mampukah dia
melupakan cinta pertama yang telah lahir di hatinya sejak terpandang wajah
Wafiya buat kali pertama?
PUAN SRI SHARIFAH
MASTURA menahan air mata yang hampir tumpah tatkala mendengar kata- kata yang
terbit daripada mulut suaminya itu. Sungguh dia tidak percaya suami yang
diharapkan memberikan kasih dan sayang tidak pernah mencintainya selama mereka
berkahwin. Puan Sri Sharifah Mastura sedar selama mereka berkahwin tidak pernah
sekalipun Tan Sri Syed Umar menyatakan cinta padanya. Pada permulaan Puan Sri
Sharifah Mastura merasakan perkara itu biasa tetapi selepas mendengar segalanya
baharulah dia sedar yang selama ini dia hanya memiliki jasad suaminya sahaja
dan bukannya cinta.
Hati Puan Sri Sharifah
Mastura sakit malah sakitnya seperti mencucuk- cucuk tangkai hatinya. Jadi
selama ini gadis yang berada di dalam rumahnya itu adalah anak kepada bekas
kekasih suaminya dulu. Begitu bijak Tan Sri Syed Umar menyembunyikan perkara
itu daripada Puan Sri Sharifah Mastura sehinggakan dia percaya bahawa kehadiran
Wafiya ke dalam keluarga itu hanya untuk menjadi pembantu rumah rupa- rupanya
ada udang di sebalik batu.
Puan Sri Sharifah
Mastura menyeka air matanya yang mengalir. Dia tidak perlu mengalah. Dia perlu
menghalang rancangan Tan Sri Syed Umar untuk menjodohkan anak tunggalnya dengan
perempuan kampung itu. Dia tidak sesekali membiarkan impian Tan Sri Syed Umar
tercapai selepas hatinya di sakiti dengan begitu kejam tapi bagaimana caranya
untuk menghalang rancangan itu?
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.