Tetamu Rindu

Saturday 1 August 2015

JADIKAN AKU YANG KEDUA ( BAB 3 )



BAB 3
PUAN MARYAM tersenyum- senyum saat melihat Nuha yang menyusukan Dani dan Dania menggunakan susu botol. Walaupun wajah gadis itu masih kelihatan kebudak- budakkan namun aura seorang ibu tetap terpancar di wajah Nuha yang lembut. Ternyata keputusannya untuk mengambil Nuha sebagai pengasuh sementara untuk cucunya adalah keputusan yang betul.
“Nuha dah ada boyfriend?” soal Puan Maryam tiba- tiba. Dia mendekati Nuha yang sedang ketawa sambil mengagah-agah Dania.
Tawa Nuha terhenti. Dia mengangkat muka dan tersenyum memandang majikannya itu. Wajah Puan Maryam mengingatkan Nuha pada Cikgu Thaqif. Tidak hairanlah wajah Cikgu Thaqif boleh tahan kacaknya, tengoklah wajah ibunya. Cantik, walaupun sudah berusia.
“Nuha ni makcik, siapalah yang nak kan?” balas Nuha sambil ketawa kecil.
Puan Maryam tersenyum. Dia membelai lembut rambut Dania yang halus. Dia perlu tahu tentang Nuha sebelum dia membuat keputusan. Dia dapat rasakan istikarah yang dilakukan tiga hari lepas akan terjawab.
“Maknanya, tak adalah kan?” tanya Puan Maryam lagi.
Nuha menggeleng laju. “Tak ada pun, makcik,” balasnya.
Puan Maryam menarik nafas lega.
“Nuha suka budak- budak tak?” soalnya lagi.
Nuha terdiam. Entah kenapa dadanya berdebar- debar dengan soalan Puan Maryam. Belum pernah Puan Maryam menanyakan hal peribadi dengannya tapi kali ini soalan Puan Maryam kedengaran pelik di telinga Nuha.
“Suka, makcik. Nuha ni tak ada adik. Harapkan ada kakak je dua orang. Itu pun semua perempuan. Mak pula tak boleh mengandung lagi.  Bila tengok Dani dengan Dania rasa macam nak ada adik pulak,” balas Nuha sambil ketawa kecil.
Puan Maryam tersenyum lebar. Dia memandang wajah Nuha. Wajah itu sungguh tenang apatah lagi saat gadis itu tersenyum, sangat manis pada pandangan tua Puan Maryam. Budi bahasa gadis itu pun tinggi dan sangat menghormati orang tua. Sopan santunnya pun boleh tahan juga. Hati Puan Maryam membuat penilaian.
“Oh, Nuha anak bongsulah ye? Kakak Nuha yang dua orang lagi tu ke mana?” soal Puan Maryam ingin tahu.
“Ya, makcik. Nuha anak bongsu. Kakak- kakak Nuha  semuanya tak duduk dengan Nuha. Seorang tinggal kat Johor ikut suaminya. Seorang lagi kat KL, belajar. Tinggallah Nuha dengan mak dan ayah. Tapi sekarang Kak Nurin tengah cuti, jadi meriah sikitlah rumah Nuha tu.” jelas Nuha dengan ramah.
Puan Maryam mengangguk.
“Balik nanti, Nuha balik dengan mak cik ye. Mak cik nak kenal juga dengan mak Nuha. Boleh?”
Nuha tersenyum  dan mengangguk.
“Boleh sangatlah mak cik,”
Namun perbualan mereka diganggu dengan kedatangan seorang lelaki yang mampu mengegarkan hati dan perasaan Nuha. Jantungnya berdenyut tanpa henti. Sepantas kilat Nuha menumpukan perhatiannya pada Dani yang sedang merengek.
Eh, Qif nak air ke?” soal Puan Maryam.
Thaqif yang berdiri tidak jauh dari ibunya hanya mengangguk. Sesekali matanya mengerling pada Nuha yang sedang bermain dengan anak kembarnya. Entah kenapa hatinya bagaikan terdetik sesuatu yang tidak mampu diluahkan oleh kata- kata.
“Boleh jugak ibu. Qif dah haus ni. Cucu- cucu ibu ni meragam tak?” soal Thaqif lalu mendapatkan Dania yang sedang bermain dengan patung beruang. Manakala Dani masih lagi dalam dukungan Nuha. Memang Dani sangat manja dengan Nuha, itu yang Thaqif perasan.
“Cucu ibu ni takkan meragam selagi mama dia orang ada bersama,” ucap Puan Maryam selamba. Kemudian dia berlalu tanpa mempedulikan reaksi anak lelakinya itu.
Nuha tersentak. Thaqif terpempan. Mereka berpandangan. Lama pandangan mereka bertaut sebelum Thaqif melarikan pandangannya ke tempat lain. Hatinya tidak selesa dengan panahan anak mata gadis itu. Walaupun redup tetapi cukup menikam hatinya.
“Apa ibu ni, kan Nuha dah malu tu. Dia kan muda lagi, mana boleh jadi mama,” balas Thaqif sambil ketawa yang dibuat- buat.
Puan Maryam tersengih. Sekilas dia memandang wajah Nuha yang sudah merah.
“Nak jadi mama bukan bergantung pada usia, sebaliknya bergantung pada kematangan. Kematangan pulak bukan bergantung pada umur tapi bergantung pada diri sendiri,” balas Puan Maryam membuatkan Thaqif terdiam.
“Mak cik, Nuha pergi tidurkan Dani dululah ye. Kesian, dah mengantuk sangat budak comel ni,” sampuk Nuha setelah agak lama mendiamkan diri.
Dia sendiri tidak selesa apabila berhadapan dengan Cikgu Thaqif saat ini. Sejak Dani memanggilnya mama tempoh hari, hati Nuha bagaikan dilanda gundah gulana. Wajah Cikgu Thaqif asyik terbayang di ruang mata. Itu yang semakin meresahkan jiwa perempuannya.
“Pergilah Nuha, kejap lagi budak- budak ni nak keluar rehat. Susah pulak kamu nak menjual nanti,” balas Puan Maryam.
Nuha mengangguk. Dia ingin berlalu namun panggilan daripada Dania yang sedang memegang tangan Thaqif membuatkan langkah Nuha terhenti.
“Mama…mama…” panggil Dania lalu terkedek- kedek mendapatkan Nuha yang sudah berdiri.
Sekali lagi Thaqif terkedu. Dia hanya mampu memandang Puan Maryam, mengharapkan penjelasan namun ibunya hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.
“Ya sayang, mari sini…” Nuha mengamit Dania untuk ke sisinya. Tangan kecil Dania dicapai dan dipimpin hingga ke dalam bilik. Panggilan Dania menyentuh hatinya.
“Ibu macam mana si kembar tu boleh panggil Nuha macam tu?” soal Thaqif pelik. Dia menghampiri Puan Maryam yang meletakkan segelas milo ais di atas meja.
“Mana ibu tahu. Anak kamu tu dah berkenan dengan Nuha, kut. Selama ni mana pernah dia panggil orang lain mama, Nuha jelah yang jadi pilihan. Qif kena terima kenyataan yang Dani dan Dania tu perlukan seorang mama,” balas Puan Maryam.
Thaqif mengeluh.
“Manalah Qif nak cari mama untuk kembar tu ibu. Qif ni bukannya ada ramai kawan perempuan pun. Lagipun Qif dah malas nak fikir pasal semua ni. Qif dah janji dengan arwah yang Qif takkan ada perempuan lain,” balas Thaqif.
Puan Maryam hanya tersenyum  sinis. Dia memegang tangan Thaqif.
“Kan ibu dah cakap, jangan fikirkan pasal perkara lepas, apa yang Qif buat ni hanya untuk menjalankan tanggungjawab Qif sebagai seorang ayah pada anak- anak Qif,” nasihat Puan Maryam.
“Qif tak mampu, ibu. Cinta Qif pada Wahi takkan boleh berubah,”
“Habis tu Qif tak sayangkan anak- anak Qif?” soal Puan Maryam sedikit geram.
“Tentulah Qif sayang, ibu…”
“Habis tu Qif nak tengok anak Qif tu membesar tanpa kasih sayang ibu padahal Qif boleh berikan mereka seorang mama?” tempelak Puan Maryam.
“Bukan macam tu ibu…”
“Habis tu, macam mana?” pintas Puan Maryam.
Thaqif mengeluh buat kesekian kalinya. Dia menyandarkan belakang badannya ke belakang. Wajah ibunya yang inginkan jawapan dipandang lama. Haruskah aku turuti kemahuan ibu? Nanti apa kata Waheeda pula? Waheeda? Arghhh…aku terlalu rindukan Wahi. Detik hatinya. Dia meraup rambutnya ke belakang.
“Kita bincang perkara ni nantilah, ibu. Qif ada kelas,”  balas Thaqif lalu beredar.
Puan Maryam hanya tersenyum nipis melihat kelakuan anaknya yang cuba mengelak. Bukan dia memaksa tetapi dia tidak mahu anak lelakinya itu terus menyeksa diri dengan bersikap demikian.

BUNYI tangisan Dania mengejutkan Thaqif daripada lenanya. Dia mengerling jam yang berada di atas meja. Baru pukul 10 malam. Kemudian dia bangun dan mendapatkan Dania yang sedang menangis di dalam buaian. Tubuh kecil itu dipangku namun cara itu masih belum dapat meredakan tangisan Dania.
“Anak papa ni kenapa? Lapar ke?” soal Thaqif sambil menepuk- nepuk punggung anak kecilnya itu.
Dania yang baru berusia satu tahun itu menangis. Mungkin kerana terdengar kembarnya menangis, Dani yang berada di dalam buaian juga turut menangis. Thaqif mula panik. Dia meletakkan Dania kembali di sisi Dani. Langkahnya dihayunkan di muka pintu. Dia perlu mendapatkan pertolongan daripada ibunya.
Pintu bilik Puan Maryam diketuk bertalu- talu. Tidak lama kemudian, terjengul wajah Puan Maryam yang terpisat- pisat. Thaqif jadi serba salah.
“Hah, Qif ada apa ni? Kenapa tak tidur lagi?” soal Puan Maryam pelik. Dia menyanggulkan rambutnya yang mengerbang.
“Cucu ibu menangislah. Puas Qif pujuk langsung tak berhenti. Qif tak tahu nak buat apa,” adu Thaqif sambil menggarukan kepalanya yang tidak gatal.
Sebaik saja mendengar nama cucunya, terus saja Puan Maryam meluru masuk ke bilik Thaqif. Bunyi tangisan Dani dan Dania silih berganti membingitkan telinga pada sesiapa yang mendengarnya.
Pantas, Puan Maryam menghampiri buaian cucunya. Tubuh Dani dipangku, susu botol yang tersedia di atas meja dicapai lalu disuakan ke mulut Dani, namun anak kecil itu mengelak daripada disusukan. Apa kenalah dengan cucu aku ni? Soal hati kecil Puan Maryam. Dia mula gelisah.
Dia membuang pandang pada Thaqif yang cuba memujuk Dania, namun tangisan Dania semakin kuat sehingga meresahkan hati kecil Puan Maryam. Apa yang boleh aku buat ni? Desis hati tua Puan Maryam. Kemudian kepalanya mula terfikirkan sesuatu. Dengan pantas dia berlalu ke biliknya bersama dengan Dani yang masih menangis di dalam dukungan.
Telefon bimbit dicapai lalu nombor seseorang didail. Puan Maryam berharap agar gadis itu masih belum tidur. Mungkin inilah satu- satunya cara yang terakhir yang mampu dilakukan untuk menghentikan tangisan Dani dan Dania.
Talian bersambung. Puan Maryam menarik nafas lega.
“Assalamualaikum, Nuha dah tidur ke? Maaflah mak cik menganggu malam- malam ni,” Puan Maryam berbasa- basi apabila suara ditalian menjawab panggilannya.
Waalaikummusalam, Nuha belum tidur lagi mak cik. Nuha tengah baca novel ni. Ada apa mak cik? Kenapa Nuha macam dengan suara Dani menangis je?” soal Nuha bertalu- talu.
“Haah, memang Dani menangis pun. Dania pun sama. Tak henti- henti menangis. Sampai mak cik dengan Qif pun tak tahu nak buat apa. Boleh tak Nuha bercakap dengan Dani tak pun Nuha nyanyikanlah apa- apa lagu pun asalkan Dani boleh tak menangis lagi,” pinta Puan Maryam sambil menepuk- nepuk punggung cucunya dengan perlahan.
“Nuha nak nyanyi apa mak cik. Tapi tak apalah, Nuha cuba. Mak cik letak telefon dekat telinga Dani ye,” pinta Nuha di hujung talian.
“Okey,” balas Puan Maryam lalu melekapkan telefon bimbitnya ke telinga Dani yang terkapai- kapai menangis.
“Dani sayang, jangan menangis ye sayang…” Nuha bersuara.
Sebaik saja mendengar suara Nuha, tangisan Dani semakin berkurangan. Puan Maryam benar- benar terpegun saat itu. Suara lembut Nuha yang menyanyikan lagu untuk Dani menyentuh hati tuanya. Gadis ini baru berusia belasan tahun namun aura seorang ibu begitu kuat dalam dirinya membuatkan tangisan cucunya reda dengan sendirinya. Mungkin ini satu petunjuk yang Allah kirimkan untuknya. Tanpa sedar, air mata berlinangan di kelopak mata Puan Maryam.
Dia mengesat matanya sambil mengalih pandangan ke arah muka pintu. Puan Maryam terkedu apabila melihat Thaqif yang turut berada di dalam bilik itu bersama- sama Dania. Lelaki itu kelihatan terkaku, Cuma langkahnya saja dihayunkan ke arah Puan Maryam.
Percaya atau tidak, Dania turut terdiam apabila mendengar suara Nuha yang menyanyikan lagu untuk mendodoikan Dani yang sudah terlena kembali. Dania terdiam dan tidak lama kemudian anak kecil itu kembali melelapkan mata.
“Siapa tu, ibu?” soal Thaqif sambil mengerutkan kening. Suaranya diperlahankan agar tidak mengejutkan Dani dan Dania yang sudah kembali tenang.
Puan Maryam tidak menjawab soalan Thaqif sebaliknya dia mengambil kembali telefon bimbitnya dan dilekapkan ke telinga.
“Terima kasih, Nuha. Si kembar tu dah tidur…” ucap Puan Maryam sambil mengerling pada Thaqif.
Sebaik saja mendengar nama itu yang disebut oleh Puan Maryam, Thaqif benar- benar tersentak. Nuha? Kenapa mesti dia?
“Sama- sama, mak cik. Kesian pula dengar kembar tu menangis. Kalau tak ada apa- apa, Nuha minta diri dululah,” ucap Nuha lembut.
Puan Maryam tersenyum.
“Baiklah, mungkin kembar ni rindukan Nuha. Esok kita jumpa ye. Nuha pergilah tidur,” ucap Puan Maryam.
“Okey, assalamualaikum, mak cik,” ucap Nuha menamatkan talian.
Waalaikummusalam,” jawab Puan Maryam lalu meletakkan telefon bimbitnya di atas meja. Pandangannya dihalakan ke arah Thaqif yang masih tercegat berdiri.
“Ibu rasa Qif tahu apa yang perlu Qif buat sebelum perkara macam ni berulang lagi,” ujar Puan Maryam tegas. Dia meletakkan tubuh Dani dengan perlahan di atas katil sebelum mengambil Dania yang sedang nyenyak tidur di dalam dakapan Thaqif. Anak kecil itu diletakkan di sebelah Dani.
Thaqif terdiam. Apa yang perlu aku lakukan? Takkanlah….

IBU tak rasa ke keputusan ini terlalu terburu- buru?” soal Thaqif sambil merenung ibunya yang sedang menyandarkan diri di sofa.
Selepas siap menidurkan Dani dan Dania, kedua beranak itu turun ke ruang tamu untuk berbincang. Perkara ini perlu diselesaikan segera. Puan Maryam sudah tidak tahan dengan perangai Thaqif yang masih tidak dapat menerima kenyataan tentang pemergian Waheeda.
“Ibu dah fikir masak- masak, kalau Qif tak ada calon ibu rasa dia calon yang paling sesuai. Dia pandai layan keletah Dani dan Dania malah ibu rasa si kembar tu sangat sayang pada dia. Qif dah tengok buktinya tadi kan?” balas Puan Maryam. Wajah anak lelakinya ditatap. Wajah itu kelihatan kusut memikirkan masalah yang melanda.
“Tapi dia masih budak lagi bu. Tak matang pun lagi. Qif rasa dia tak sesuai…”
“Habis tu Qif nak tunggu siapa? Nak tunggu Nora Danish tak pun Rozita Che Wan baru Qif sedia nak cari isteri? Atau Qif nak tunggu arwah Wahi muncul depan mata baru Qif nak sedar yang anak- anak Qif perlukan seorang ibu?!” suara Puan Maryam semakin meninggi.
Thaqif tersentak. Lama dia memandang wajah merah ibunya. Marah mungkin. Tapi hatinya sedikit tersentuh apabila Puan Maryam menyebut nama Waheeda. Tiada siapa yang tahu betapa rindunya dia pada Waheeda. Semuanya disimpan di dalam lubuk hatinya.
“Ibu, bukan itu maksud Qif. Qif boleh carikan mama untuk Dani dan Dania kalau itu yang ibu inginkan tapi kenapa mesti dia, bu? Dia bekas anak murid Qif, takkan Qif nak ambil dia jadi isteri Qif pulak,” bantah Thaqif lembut. Dia duduk di sebelah ibunya. Tangan ibunya dicapai lalu digenggam erat.
Puan Maryam berpaling. Wajah anaknya yang berkaca mata itu ditatap sedalamnya. Kelihatan sendu yang cuba diselindungkan di sebalik anak mata yang berwarna perang itu. Bilalah agaknya sendu itu akan berlalu?
“Kenapa salah ke berkahwin dengan bekas anak murid sendiri?” soalan dibalas soalan oleh Puan Maryam membuatkan Thaqif diam membisu.
“Tak salah ibu cuma Qif rasa canggung. Boleh ke dia terima Qif yang duda ni? Boleh ke keluarga dia terima Qif sebagai menantu? Dia muda, perjalanan dia masih jauh, ibu,”  balas Thaqif selepas agak lama mendiamkan diri.
Kedengaran Puan Maryam mengeluh panjang. Susah betul untuk menyakinkan anak lelakinya ini.
“Itu semua di pandangan manusia je, Qif. Ibu tak tahu nak cakap apa dah pada Qif. Ibu rasa Qif dah cukup besar untuk fikirkan semua ni. Kalau Qif rasa Dani dan Dania lebih penting, Qif tahulah apa yang nak dibuat kan? Tapi kalau Qif tetap dengan ego dan pendirian Qif tu, Qif teruskanlah. Tapi Qif jangan salahkan ibu kalau perkara macam tadi terjadi lagi,” ucap Puan Maryam mengakhiri kata.
Dia menepuk bahu Thaqif dengan lembut sebelum berlalu meninggalkan Thaqif keseorangan di ruang tamu.
Thaqif terkelu. Apa yang perlu aku lakukan, Ya Allah?


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.