Tetamu Rindu

Saturday 1 August 2015

JADIKAN AKU YANG KEDUA ( BAB 7 )



BAB 7
MAJLIS pernikahan di antara Thaqif dan Nuha berjalan dengan lancar. Dengan sekali lafaz Nuha telah selamat menjadi isteri kepada lelaki yang dipuja dalam diam. Saat lelaki itu melafazkan ijab dan kabul, Nuha telah menanamkan kesetiaannya hanyalah untuk lelaki itu dan dia akan sentiasa menunggu pintu hati Cikgu Thaqif akan terbuka untuknya walaupun ia akan mengambil masa seumur hidupnya. Dia rela asalkan Cikgu Thaqif sentiasa berada di sisinya.
“Aku tak sangka rupa- rupanya kaulah lelaki yang beruntung tu sebab dapat jadi suami Nuha. Patutlah aku nak usha dia kau selalu banyak alasan, rupa- rupanya kau pun syok dekat dia,” Cikgu Izuan bersuara.
Memang dia terkejut saat Thaqif menghulurkan kad kahwin kepada mereka di bilik guru tempoh hari apatah lagi saat terbaca nama pengantin perempuan di kad kahwin lagilah Cikgu Izuan terperanjat. Nuha, gadis yang diintai dalam diam rupanya sudah menjadi milik Thaqif. Cuma satu saja yang dia musykil, khabarnya Thaqif sangat setia pada arwah isterinya tetapi kenapa lelaki itu menikahi Nuha? Soalan itu berlegar- legar di kepala Cikgu Izuan.
“Dah jodoh, Iz. Kau terima jelah, ye…” sampuk Cikgu Rashid sambil ketawa melihat wajah Cikgu Izuan yang cemberut.
Thaqif hanya ketawa kecil. Dari jauh dia dapat melihat Nuha yang sedang bersembang dengan beberapa orang kawan sekolahnya. Adiknya, Taufiq turut berada di sisi Nuha.
“Tapi Nuha itu kan sebaya dengan adik kau, Qif. Dia boleh terima ke Nuha jadi kakak ipar dia?” soal Cikgu Rashid sambil meneguk air sirap yang diambil sebentar tadi.
“Entahlah, aku tengok okey je. Mungkin dia orang boleh ngam kut lepas ni maklumlah sebaya,” balas Thaqif bersahaja.
“Kau jangan biarkan dia orang bergaul bebas, Qif. Kau kena jaga batas pergaulan isteri kau tu, dia tu muda lagi darah pun masih panas, jangan dia terpikat dekat adik kau sudahlah,” Cikgu Izuan membalas.
Dengan pantas Cikgu Rashid menyiku lengan Cikgu Izuan. Dia mencerlang memandang wajah Cikgu Izuan yang agak celopar. Ada ke cakap macam tu pada kawan sendiri?
Namun, Thaqif hanya tersenyum tawar. Dia tak peduli Nuha suka pada siapa pun kerana di dalam hatinya tiada langsung perasaan cemburu kerana dia sudah menanam batas antara dia dan Nuha. Biarlah kalau Nuha terpikat dengan Taufiq sekali pun, dia tidak kisah. Kalau dah jodoh, siapa boleh halang? Bisik hati Thaqif seolah- olah menyerah.
“Aku yakin dia orang boleh berkawan baik. Adik aku tu peramah orangnya, aku tak kisah pun kalau dia orang baik sebab aku yakin Nuha pandai jaga hati dia dan hati aku,” balas Thaqif membela Nuha.
Cikgu Izuan hanya tersenyum kelat.
“Untunglah kau dapat pucuk muda. Tiap- tiap malam, honeymoon,” tambah Cikgu Izuan lagi disambut gelak oleh Cikgu Rashid.
Thaqif hanya tersenyum hambar. Dia tidak pernah terfikir ke arah itu kerana baginya rasa itu telah mati bersama dengan Waheeda. Sejak isterinya meninggal tiada seorang perempuan pun yang menarik hatinya termasuklah Nuha. Rasanya telah mati, itu yang pasti.
“Aku balik dululah, Qif. Jumpa dekat sekolah dua minggu lagi. Pergilah honeymoon jauh- jauh sikit, mana tahu boleh bagi adik untuk si kembar tu,” gurau Cikgu Rashid sambil memeluk tubuh Thaqif.
Thaqif hanya ketawa dan membalas pelukan Cikgu Rashid.
“Lupakan kisah lama, mulakan hidup baru. Hargai isteri kau sekarang, jangan dera perasaan dia dengan kenangan kau dulu,” nasihat Cikgu Rashid lembut kedengaran di telinga Thaqif.
Thaqif terpana seketika sebelum meleraikan pelukan. Dia hanya mampu tersenyum sebagai balasan. Semua orang ingin dia melupakan cerita lama tetapi mampukah dia untuk melupakan Waheeda yang telah sebati dalam dirinya?
“Insya- Allah, aku berserah pada Allah dalam menentukan hidup aku,” balas Thaqif pasrah.
Tidak lama kemudian, Cikgu Rashid dan Cikgu Izuan pulang ke rumah masing- masing. Thaqif berpusing untuk kembali ke dalam rumah. Namun, langkahnya terhenti apabila Nuha berdiri betul- betul di belakangnya. Gadis itu tersenyum manis sehingga menjemput debaran di hati Thaqif.
“Abang, ibu panggil,” ucap Nuha lembut. Dia tersenyum pada suaminya yang kelihatan kacak dengan baju Melayu yang masih tersarung di badan.
“Okey, nanti saya masuk. Nuha, boleh tak saya nak minta sesuatu dengan awak sikit?” Thaqif memandang wajah Nuha yang kelihatan berseri- seri.
“Apa dia, bang? Abang nak air ke? Abang nak makan?” soal Nuha bertalu- talu. Seboleh mungkin dia ingin melayani Thaqif dengan sebaik- baiknya. Dia tahu lelaki itu pernah kecewa, jadi sebagai isterinya sekarang sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mengubati kekecewaan lelaki itu.
“Tolong jangan panggil saya abang. Saya rasa hati saya sakit sangat bila awak panggil saya macam tu. Panggilan itu hanya boleh dipanggil oleh Wahi, arwah isteri saya. Saya harap awak faham, saya masih tidak boleh gantikan awak dengan dia,” ucap Thaqif selamba.
Namun kata- kata itu telah menikam hati Nuha. Cukup tajam dan memedihkan. Mati terus senyuman manisnya cuma yang tinggal hanyalah senyuman yang dibuat- buat sedangkan matanya sudah berkaca menahan rasa sebak yang menyerang dada. Sampai hati cikgu buat saya macam ni! rintih hati Nuha.
“Oh, tak apalah. Saya nak panggil apa?” soal Nuha sedaya upaya menceriakan suaranya.
“Panggillah apa pun asalkan bukan abang,” balas Thaqif tanpa perasaan. Dia memandang sekeliling mencari kelibat bekas mentuanya yang tidak kelihatan padahal semasa dia akad nikah, bekas mentuanya ada di sisi.
Hmmm…kalau macam tu saya panggil cikgu dengan panggilan biasa jelah. Lagipun saya dah terbiasa panggil cikgu dengan ‘cikgu’,” ucap Nuha pura- pura ceria.
“Ikut awaklah. Saya tak kisah, tapi depan ibu pandai- pandailah awak cover saya tak nak ibu banyak soal pulak nanti. Saya pergi dulu,” ujar Thaqif kemudian beredar meninggalkan Nuha yang termangu sendirian.
Dari belakang, Nuha hanya memerhati lenggok tubuh Thaqif yang berjalan ke halaman rumah. Sikap lelaki itu yang dingin begitu menyentuh hati Nuha. Siapa lagi yang awak tunggu? Saya kan ada untuk awak. Pandanglah sekali saya di sini, saya sentiasa menunggu awak. Desis hati Nuha bersama titisan air mata yang mula gugur. Namun, Thaqif tidak berpaling walaupun sekilas pada Nuha yang sudah menitiskan air mata.

MALAM yang hening, Thaqif berbaring di atas katil sambil matanya dibiarkan tertancap di siling rumah. Kemudian matanya meliar memandang bilik pengantin yang dihias cantik. Walaupun bilik itu sederhana tapi matanya cukup selesa melihat keadaan bilik itu yang kemas dan berbau wangi.
Dia mengeluh. Malam ini adalah malam pertama antara dia dan Nuha sebagai suami isteri namun hatinya langsung tidak berasa gembira malah dia rasa terbeban dengan gelaran suami itu. Kalau dulu lainlah, dia berkahwin atas dasar suka sama suka, sekarang semuanya berbeza. Dia menerima Nuha sebagai isteri adalah atas dasar tanggungjawab terhadap anak- anaknya tidak lebih daripada itu. Mampukah dia melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami kepada Nuha yang sudah dianggap seperti adik sendiri? Thaqif pening dalam mencari jawapan. Ditambah dengan kata- kata bekas mentuanya masih lagi bermain di fikiran membuatkan otak Thaqif semakin kusut.
“Ayah tak sangka kau kahwin jugak, Qif. Ayah ingatkan kau setia cintakan anak ayah,” sebaris perkataan itu cukup membuatkan Thaqif tersentak. Dia memandang Haji Lokman yang kelihatan sugul.
“Siapa kata Qif tak setia, ayah? Sampai sekarang Qif masih cintakan arwah. Tiada seorang pun yang dapat gantikan tempat arwah dalam hati Qif ni cuma Qif berkahwin dengan Nuha disebabkan tanggungjawab Qif pada Dani dan Dania. Qif mahukan si kembar tu membesar dengan sempurna seperti anak orang lain, ada mama dan papa dan kalau ayah nak tahu Dani dan Dania yang suka pada Nuha bukannya Qif,” ucap Thaqif memujuk.
Haji Lokman mengeluh berat. Wajah isteri Thaqif yang baru dipandang dari jauh. Nampak lembut dan ayu tetapi sayang masih muda untuk memikul tanggungjawab seorang ibu.
“Kenapa Qif tak tunggu Wawa balik dulu? Qif boleh nikah dengan Wawa lagipun Wawa tu kembar Wahi, mesti rindu Qif pada Wahi terubat bila tengok wajah Wawa,” sampuk Hajah Latifah menyebelahi suaminya.
Thaqif terdiam. Hampir dia terlupa tentang kembar Waheeda yang kini sedang menuntut di University of Yarmouk, Jordan. Semasa mereka bernikah dulu, Wawa tidak dapat pulang jadi sehingga sekarang, Thaqif masih tidak berpeluang untuk bertemu dengan kembar Waheeda. Hanya cerita yang selalu dia dengar tentang adik kembar arwah isterinya itu.
“Ini semua dah tertulis ibu, ayah. Qif pun tak pasti kalau Wawa balik sekalipun belum tentu dia nak nikah dengan Qif. Pasti dia dah ada pilihan hatinya sendiri,” balas Thaqif lemah.
“Ibu yakin Wawa tak ada pilihan hati. Tentu dia kesian tengok anak saudaranya yang membesar tanpa ibu. Wawa pun macam Wahi, Qif. Lemah lembut dan baik orangnya,” tambah Hajah Latifah cuba menyakinkan.
Thaqif mengeluh panjang. Namun, lamunannya terhenti apabila kedengaran pintu ditolak daripada luar. Thaqif berpaling ke muka pintu dan kelihatan Nuha melangkah masuk ke dalam bilik. Pintu bilik di tutup dengan rapat.
Thaqif bingkas bangun dan duduk di birai katil. Dia merenung isterinya yang masih lengkap berbaju kurung dan tudung. Wajah itu selalu ditundukkan apabila berhadapan dengannya, itu yang selalu Thaqif perhatikan.
“Nuha, duduk sini sekejap,” pinta Thaqif sambil menggamit Nuha untuk duduk di sisinya. Dia menepuk- nepuk tilam di sebelahnya.
Nuha akur. Dia melabuhkan punggung di sebelah Thaqif. Dia memberanikan diri untuk menatap wajah suaminya itu walaupun wajahnya sudah berbahang panas. Malu.
“Terima kasih sebab sudi jadi ibu kepada anak- anak saya. Selepas ni mesti Dani dan Dania tak sunyi lagi sebab awak dah ada dekat sisi mereka. Lepas bulan madu nanti, kita balik rumah saya. Tak payahlah kita duduk rumah ibu lagi, lagipun Taufiq dah balik ke sini jadi dia boleh jaga ibu, awak okey ke dengan semua tu?” soal Thaqif inginkan pendapat Nuha. Manalah tahu takut- takut gadis itu tidak bersetuju pulak.
“Saya ikut saja, cikgu. Lagipun cikgu suami saya jadi apa pun keputusan cikgu saya terima,” balas Nuha lembut.
Thaqif mengeluh berat. Perkataan suami yang disebut oleh Nuha seperti batu yang menghempap kepalanya. Dia rimas. Dia rasa terjerat. Bayang wajah Waheeda yang kecewa semakin kuat menari- nari di kepalanya.
“Boleh tak kalau awak anggap saya ni abang awak dan bukannya suami. Saya rasa macam tak dapat nak terimalah,” ujar Thaqif tiba- tiba. Wajahnya berubah tegang.
Nuha tersentak. Lama dia memandang wajah Thaqif yang merah. Takkan pasal itu pun nak marah? Bisik hati Nuha. Sedikit sebanyak hatinya tersentuh dengan penerimaan Thaqif yang dingin.
“Tapi kenyataannya, cikgu suami saya. Mana boleh saya anggap cikgu sebagai abang saya je,” balas Nuha berani.
Thaqif meraup wajahnya. Dia semakin tertekan.
“Awak tahu tak yang saya tak dapat nak jalankan tanggungjawab saya sebagai suami awak. Saya tertekan sekarang ni. Saya tak mampu untuk terima wanita lain dalam hidup saya, awak tolonglah faham dan jangan desak saya dengan menggunakan perkataan suami tu. Itu satu beban pada saya!” suara Thaqif sedikit meninggi.
Nuha tersentak. Sebak dadanya apabila Thaqif meninggikan suara. Selama ini lelaki itu cukup halus dalam menyusun kata walaupun kadangkala kedengaran dingin namun kata- katanya tidak menikam hati tetapi hari ini sudah dua kali lelaki itu menyakiti hatinya. Tiba- tiba air mata Nuha bergenang. Dengan pantas dia memalingkan wajah ke tempat lain.
“Saya mintak maaf, cikgu. Saya tak bermaksud nak buat cikgu tertekan. Saya cuma nak ingatkan saja. Saya lupa pula yang saya ni jauh lebih muda daripada cikgu. Sama baya pula tu dengan Fiq. Tentu cikgu anggap saya pun sama macam Taufiq. Okey jugaklah tu kalau cikgu nak saya anggap cikgu macam abang, lagipun saya pun tak ada abang. Cikgu tak payahlah risau sangat, saya takkan bagi cikgu tekanan,” balas Nuha. Suaranya kedengaran ceria. Dia tersengih di hadapan Thaqif.
Thaqif menghela nafas mendengar kata- kata Nuha. Sekurang- kurangnya, Nuha tak akan menuntut haknya sebagai isteri sedangkan saat ini Thaqif belum bersedia untuk melanjutkan hubungan mereka ke peringkat yang lebih serius. Baginya, perkahwinan itu memerlukan penyatuan dua hati kerana kerelaan bukannya rasa terpaksa seperti yang Thaqif rasakan saat ini.
“Baguslah kalau awak faham. Satu lagi saya nak ingatkan awak, jangan pernah jatuh cinta pada saya dan jangan pernah cuba untuk buat saya jatuh cinta pada awak. Saya tak nak awak merana sebab cinta saya sudah lama mati untuk arwah isteri saya. Jadi mulai sekarang saya nak awak layan saya macam seorang abang, boleh?” pinta Thaqif. Walaupun kedengaran kasar tetapi itulah hakikat yang Nuha perlu tahu. Cinta di hatinya hanya untuk Waheeda walaupun wanita itu sudah tiada di sisinya namun untuk mengalihkan cinta itu pada wanita lain, amat sukar buat Thaqif.
Nuha terpempan dengan permintaan Thaqif. Jangan pernah jatuh cinta pada dia? jangan pernah cuba untuk buat dia jatuh cinta? Apa semua ini? Aku tak dapat nak halang hati aku yang sememangnya cintakan dia. Kenapa cikgu tak faham perasaan saya?! Jerit hati Nuha tetapi kata- kata itu hanya melantun di dalam hatinya saja.
“Itu senang je, cikgu. Cikgu tak payah risau semua itu, janji masalah cikgu dah settle, selepas ni saya bolehlah tumpukan perhatian untuk didik Dani dengan Dania, pasal hubungan kita cikgu tak perlu fikir sangat. Semuanya akan berjalan seperti yang cikgu inginkan. Saya takkan kacau hati cikgu,” balas Nuha dengan senyuman yang manis.
“Baguslah kalau macam tu,” ucap Thaqif dengan suara mendatar. Dia percaya akan kata- kata Nuha. Wajah gadis itu pun kelihatan ceria tanpa ada masalah. Mesti gadis itu pun senang dengan keputusannya.
 “Okey, kalau macam tu, saya nak pergi mandi dululah. Solat isyak pun belum lagi. Hari ni saya nak tidur dekat mana?” soal Nuha kemudiannya.
“Awak tidur je atas katil. Biar saya tidur dekat bawah. Selama setahun saya tidur sendiri, jadi saya dah selesa dengan keadaan itu,” jawab Thaqif bersahaja. Dia merenung wajah Nuha yang kelihatan selamba. Wajah itu tidak menunjukkan sebarang riak pun. Marah pun tidak, asyik senyum memanjang. Betul ke dia tak kisah?
“Okey, saya pergi mandi dululah. Cikgu tidurlah,” ucap Nuha.
Dia bergegas masuk ke bilik air selepas mencapai tuala dan pakaian. Sebaik saja masuk ke bilik air, Nuha menghamburkan segala tangisannya yang tidak tertahan- tahan. Air paip di singki dibuka sekuat- kuatnya bagi menghalang Thaqif mendengar esakannya. Setiap kata yang Thaqif ucapkan seolah- olah pita rakaman bermain di fikirannya membuatkan hati Nuha bertambah sakit.
Dia menyandarkan belakang badannya di belakang pintu yang sudah tertutup rapat. Air mata yang merembes laju dibiarkan mengalir tanpa henti. Beginikah sakit mencintai lelaki yang tidak pernah sedar kewujudannya? Beginikah rasa sakitnya kecewa dalam bercinta? Dia sudah kalah tanpa sempat bertanding. Cinta Thaqif bukan miliknya tapi cinta Thaqif milik wanita yang sudah tiada di dunia ini dan yang paling menyakitkan, dia bersaing dengan wanita tiada di depan mata! Hukuman apakah ini? Inikah balasannya kerana mencintai insan yang bernama lelaki?
Pelbagai persoalan menjengah ke ruang fikiran Nuha, tetapi satu pun tidak berjawapan. Akhirnya, Nuha melurut jatuh di belakang pintu sambil tangannya memegang dada yang terasa sakit.Air mata mengalir tanpa henti tidak dihiraukan, dia terduduk dilantai bilik mandi sambil menangisi nasibnya yang tidak tahu hujung pangkalnya.
“Saya tetap akan mencintai awak, maafkan saya kerana tak dapat buang perasaan ni!” bisik Nuha perlahan bersama dengan tangisan yang tidak henti- henti.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.