Tetamu Rindu

Saturday 1 August 2015

JADIKAN AKU YANG KEDUA ( PROLOG )



PROLOG
 AKU mengandung, Wawa.” Kedengaran suara lembut itu menyapa telinga Wawa.
“Serius, Wahi? Alhamdulillah. Seronoknya aku dapat anak saudara. Tapi aku tak dapat nak rasakan kegembiraan dengan kau sekarang. Aku busy sangat dekat sini,” ujar Wawa sambil tangannya kemas memegang telefon bimbit. Sebelah tangannya lagi menyelak buku rujukan yang terbentang di hadapan mata.
Wahi tersenyum hambar. Dia begitu mengharapkan kehadiran kembarnya ini. Rasa rindu semakin mencengkam kalbu. Perlahan-lahan, perutnya yang ditutupi dengan baju, digosok perlahan.
“Masa aku kahwin kau tak balik, masa aku nak bersalin nanti mesti kau pun tak dapat balik. Agak-agak kalau aku tak ada, kau balik tak?” soal Wahi tiba-tiba.
Wawa terkaku. Pen yang dipegang terlepas dari genggaman. Jantungnya berdenyut pantas mendengar soalan daripada Wahi.
“Wahi, apa yang kau mengarut ni? Kau tahu kan aku memang payah nak balik. Bukan aku tak nak balik, aku rindukan kau tahu tak? Tapi aku banyak assignment nak kena buat. Kau kembar aku, patutnya kau faham.” Ujar Wawa. Suaranya berubah sayu apabila mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Wawa.
Wahi ketawa kecil. Kembarnya ini cukup sensitif orangnya. Pantang diusik cepat saja emosinya terganggu.
“Aku bergurau jelah. Aku tahu kau sibuk tapi boleh tak aku nak mintak sesuatu daripada kau?” soal Wahi membuatkan Wawa terdiam.
“Kau nak apa?” soalnya kembali. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal apabila terpaksa menyalin segala nota-nota untuk dijadikan rujukan sebelum peperiksaan menjelang.
“Misalan, kalau terjadi apa-apa pada aku kemudian hari, boleh tak kalau kau tolong jagakan anak aku?” soal Wahi.
Wawa terdiam. Hatinya resah dengan soalan yang diutarakan oleh Wahi. Sekarang, tumpuannya hanya pada Wahi. Dahinya berkerut seribu.
“Maksud kau apa, Wahi? Aku tak faham. Kau sihat je kan? Abang Qif layan kau dengan baik kan?” bertalu-talu soalan terbit dari bibir Wawa.
Kedengaran Wahi ketawa kecil di hujung talian.
“Alhamdulillah, Abang Qif seorang suami yang baik. Kalau jadi apa-apa pada aku, aku nak kau janji yang kau akan jaga anak aku dengan Abang Qif, boleh?” soal Wahi lagi.
“Apa kau merepek ni, Wahi?” soal Wawa makin pelik.
“Janji dengan aku, Wawa. Janji yang kau akan jaga anak aku dengan Abang Qif,” gesa Wahi lagi. Kedengaran suara itu seperti menahan sebak.
“Aku…aku…”
“Aku hanya percayakan kau sebab kau kembar aku. Sebahagian diri aku ada dalam diri kau. Aku yakin kau boleh jaga anak aku. Boleh ya, Wawa? Tolong janji dengan aku.” Rayu Wahi lagi.
Wawa tidak mampu untuk membantah. Dia menganggukkan kepala seolah-olah anggukan itu mampu dilihat oleh Wahi.
“Insya-Allah, aku janji akan jaga anak kau dengan baik.”


Beberapa bulan berikutnya….
SEORANG lelaki merenung kosong tanah kubur yang masih merah. Hujan renyai- renyai membasahi bumi tidak dipedulikan. Air mata yang bercucuran di pipi juga tidak dihiraukan. Sayu hatinya apabila mengenangkan jasad orang yang disayanginya telah selamat disemadikan sebentar tadi.
Betapa seksa hatinya kerana terpaksa berpisah dengan isteri tersayang walaupun baru setahun mereka mendirikan rumah tangga. Pilu hatinya apabila teringatkan anak kembar mereka berdua yang masih dalam jagaan ibunya di rumah. Apalah nasib anak kembarnya nanti, membesar tanpa kasih sayang seorang ibu. Dia menyeka air mata yang menuruni laju pipinya.
Tepukan di bahu mengejutkan lelaki itu. Dia mengangkat pandangan yang masih berbalam dengan sisa air mata yang tidak kering. Ditambah dengan air hujan yang menitis membasahi wajahnya. Lelaki itu tersenyum dalam kepayahan.
“Sudahlah tu nak, jangan menangis lagi. Kesian arwah kat dalam sana. Bersabarlah, semua ini ujian daripada Allah. Jika kamu redha dengan pemergiaannya insya-Allah, Allah akan tempatkan isteri kamu dalam kalangan orang yang beriman,” nasihat seorang lelaki tua sambil tersenyum tawar.
Lelaki itu membalas senyuman dengan hambar. Nasihat bapa mentuanya itu lekat di kepala namun mata dan hatinya tidak mampu membendung rasa yang bermain di jiwa. Dia cintakan wanita itu malah cintanya tak mungkin berubah. Baru dia ingin menyulam cinta dan hidup bahagia tetapi pemergian wanita itu meragut segalanya.
Sebak apabila terkenangkan wanita itu yang masih sempat tersenyum walaupun ajal semakin menjemput.
“Saya hadiahkan abang dengan sepasang kembar. Inilah lambang cinta saya pada abang. Tolong jaga mereka baik- baik. Bila dia besar nanti, abang tolong cakapkan pada mereka yang saya sangat sayang dan rindukan mereka. Saya tahu masa saya tak lama tapi saya nak abang tahu yang saya akan selalu sayang dan cintakan abang biarpun saya tiada di sisi abang,” ucap isterinya dengan suara yang lemah.
Dia menggelengkan kepalanya dengan laju. Air mata sudah menuruni lekuk pipi. Dia meletakkan jari telunjuk di bibir isterinya yang terbaring lesu. Sebaik saja selepas pembedahan, keadaan wanita itu menjadi semakin kritikal kerana penyakit barah rahim yang di alaminya semakin teruk. Dia sendiri tidak menyangka yang isterinya sanggup menyembunyikan penyakit itu semata- mata ingin memberinya zuriat penyambung cinta mereka.
“Sayang akan sihat, percayalah cakap abang. Abang tak boleh hidup tanpa sayang di sisi. Tolonglah sayang jangan cakap macam tu. Sayang tak boleh tinggalkan abang. Abang sangat cintakan sayang,” balas lelaki itu sambil mengusap pipi sang isteri yang tersenyum tawar.
“Saya pun sayangkan abang tapi mungkin jodoh kita sampai di sini. Tapi itu tak bermakna saya lupakan abang. Saya sayangkan abang meskipun jasad saya sudah tiada,” ucap isterinya dengan linangan air mata yang tidak berkesudahan. Dia mengenggam tangan suaminya dengan erat. Dia mengucup tangan itu, mungkin untuk kali terakhir.
Lelaki itu menggelengkan kepala. Tidak! Tidak! Jerit hatinya saat melihat mata wanita itu tertutup.
“Sayang jangan tinggalkan abang!” jeritnya.
Dia tersedar apabila terdengar bunyi guruh yang berdentum. Akhirnya dia bangun. Dengan langkah yang berat dia berlalu meninggalkan tanah perkuburan itu dengan perasaan yang sayu. Tak sangka, sayang tinggalkan abang juga akhirnya!
Siapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, nescaya Allah mengujinya. – HR al-Bukhari.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.