Tetamu Rindu

Wednesday 20 July 2016

QARTAL... PEMUSNAH HATI ( Bab 3 )



ASAP rokok dihembus dengan kasar daripada mulutnya. Anak matanya tegak memandang wajah orang suruhannya yang lebam-lebam. Malah kepala salah seorang daripada pengikutnya turut berdarah.
“Siapa punya kerja ni?” soalnya dengan riak wajah yang tegang.
“Ni semua kerja King, bos. Dia cuba rampas kawasan kita. Dia sailang kita punya tapak projek. Elok kami rangka strategi untuk rompak bank tu alih-alih geng dia yang gerak dulu. Masa terserempak dengan mereka dekat Lorong Tun Ismail, kami seranglah.” Cerita Jeff mewakili rakan-rakannya yang lain.
“King? Geng AK47? Bedebah tu memang tak serik-serik cari pasal dengan aku. Sekarang berani sailang aku punya tempat pulak. Memang nak kena betullah. Baik, dia orang yang mulakan, kita kena ikut rentak dia orang. Nak main sangat, jom kita tengok siapa yang kalah.” Ujar Razak Hitam sambil mengurut janggutnya yang kelihatan panjang.
“Apa yang kita nak buat, bos? Mereka makin melampau. Hari ni saja dua orang geng kita tumbang. Nasib baik tak ada polis yang campur tangan. Kalau tidak, masak kita bos.” Sambung Jeff sambil mengelap peluh.
“Kita serang tempat mereka, bos!” sampuk Abdul yang menahan rasa sakit akibat dihentak di bahagian perut oleh orang-orang suruhan King.
“Tak boleh! King bukan sembarangan orang. Pengikut dia ramai. Kita kena fikirkan cara lain. Aku tak kisah macam mana caranya asalkan King tu sembah kaki aku.” Ujar Razak sambil memandang wajah-wajah orang suruhannya satu per satu sebelum anak matanya terhenti pada seraut wajah yang agak janggal di pandangannya.
“Kau siapa?” tanya Razak sambil mengangkat kepalanya pada seorang anak muda yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.
Lelaki muda berkulit sawo matang itu mara ke hadapan. Riak wajahnya tenang. Anak rambut yang menganggu pandangan diselak ke belakang.
“Err..maaf, bos. Lupa aku nak kenalkan. Inilah lelaki yang selamat kami semasa bertempur dengan geng King. Dia ni hebat, bos. Tak guna pistol pun tapi boleh tumbangkan lima orang sekali gus.” Puji Jeff sambil menepuk-nepuk belakang badan lelaki muda itu.
“Aku tak nak tahu dia hebat atau tidak, tapi aku nak tahu siapa dia!” sergah Razak kasar. Mencerun anak matanya memandang wajah anak muda itu.
“Aku bukan sesiapa. Aku cuma bantu apa yang aku rasakan perlu. Aku nampak geng kau kena serang dulu. Jadi aku tolong. Kalau kau tak suka, aku boleh berambus dari sini.” Jawab lelaki itu selamba tanpa rasa takut.
Razak terdiam. Lama dia mengamati figura lelaki yang berdiri di hadapannya ini. Rambut lelaki itu kelihatan panjang dibiarkan lepas bebas. Sangat serabai di pandangan Razak. Wajahnya bengis. Malah janggut dan jambang dibiarkan tumbuh meliar di mukanya yang berkulit sawo matang. Nampak benar-benar tidak terurus.
“Siapa nama kau?” soal Razak tidak lama kemudian.
Lelaki itu terdiam lama seperti memikirkan sesuatu. Dia memandang Jeff sekilas sebelum kembali membalas pandangan Razak yang penuh curiga.
“Aku tak tahu nama sebenar aku apa. Tapi kau boleh panggil aku Qartal.” Ujar lelaki itu setelah agak lama mendiamkan diri.
“Qartal? Pelik nama kau tapi aku tak peduli. Asal kau mana?” soal Razak lagi.
“Dari jalanan. Aku membesar di jalanan. Jadi aku tak tahu mana asal aku yang sebenarnya.” Jawab Qartal.
“Dia tak ada IC, bos. Kita boleh ambil dia untuk kuatkan geng kita bos. Dia memang hebat bos. Kalau bos tak percaya, bos boleh tanya geng kita yang ada kat tempat kejadian.” Jeff menyampuk lagi membela Qartal. Ahli kumpulan mereka yang lain hanya menganggukkan kepala tanda mengiyakan.
Masih segar dalam ingatan Jeff saat kumpulan mereka diserang oleh geng AK47. Ahli kumpulan mereka seramai lapan orang hampir saja tersungkur akibat diserang bertubi-tubi oleh dua belas orang anggota geng AK47. Jeff sendiri pun hampir putus nyawa, namun saat itulah Qartal muncul. Dengan berbekalkan buku lima dan pisau rambo, lelaki muda itu mampu menghalau kuncu-kuncu King yang hampir mencabut nyawa mereka.
Razak terdiam sejenak. Dia meneliti penampilan Qartal daripada atas ke bawah. Melihat daripada perwatakan Qartal, dia rasakan lelaki itu memang sesuai untuk menjadi anggota kumpulan mereka tapi dia masih was-was untuk mengambil orang asing sebagai salah seorang kumpulan mereka.
“Kau ada keluarga?” soal Razak ingin tahu.
“Dah mati.”
“Kenapa?” soal Razak lagi.
“Aku yang bunuh! Dia orang selalu bising-bising depan aku. Ayah aku yang keparat tu selalu pukul mak aku depan mata aku sendiri. Aku tak tahan, aku bunuh kedua-duanya. Baru aman hidup aku.” Cerita Qartal. Dia mengepal kedua belah tangannya dengan erat. Seolah-olah menahan perasaan sendiri.
Razak tersentak. Dia menelan rengkungnya sendiri. Sejahat-jahat dirinya, Razak takkan sesekali membunuh orang yang telah membesarkan dirinya selama ini. Inilah kali pertama dia berjumpa dengan orang seperti Qartal. Lalu, bibirnya mengukir senyuman penuh makna.
“Baiklah, aku terima kau jadi salah seorang anggota kumpulan ni. Golden Eagle memang perlukan orang yang berani macam kau! Selamat datang!” ucap Razak lalu bangun.
Dia menghulurkan tangannya pada Qartal untuk berjabat. Kedengaran Jeff bersorak keriangan.
Lama Qartal memandang tangan Razak sebelum dia menyambut huluran itu. Razak tersenyum lebar sedangkan Qartal hanya tersenyum nipis. Perjalanan hidupnya baru bermula.

DUMMM!
Bunyi pintu dirempuh dari luar mengejutkan Razak. Segera dia berpaling apabila mendengar bunyi riuh-rendah. Kelihatan Samad sedang mengheret seorang lelaki yang pernah dia lihat sebelum ni.
“Sekarang kau menghadap bos aku!” jerkah Samad sambil menghumban tubuh kurus milik seorang lelaki yang sudah kelihatan lemah. Wajah lelaki itu calar-balar dan lebam-lebam. Malah pinggir bibir lelaki itu pecah berdarah.
“Apa kecoh-kecoh ni, Mad?” soal Razak sambil memandang wajah Samad dan lelaki yang jatuh tersungkur di kakinya silih berganti.
“Budak tak guna ni orang suruhan King. Aku jumpa dia mengintip depan tempat kita, bos.” Jelas Samad sambil cuba mengatur nafasnya yang termengah-mengah.
“Orang King? Macam mana dia boleh lepas masuk ke kawasan kita? Kau nak apa hah?” sergah Razak lantas mencekak kolar baju lelaki itu dengan kemas.
“Aku…aku…” lelaki itu tergagap-gagap. Bibirnya bergetaran saat berhadapan dengan Razak Hitam yang memang terkenal dengan sikap bengisnya.
“Aku apa?” tempik Razak. Lantas, tidak semena-mena satu tumbukan keras dihadiahkan tepat ke wajah lelaki itu. Bunyi jeritan bergema dalam ruang bangunan tinggal itu.
“Siapa budak tak guna ni?” soal Razak pada Samad yang sudah tersenyum sinis.
“Jamal,bos. Orang kuat King.” Jawab Samad.
Razak menghela nafas panjang. Jari-jemarinya dipatah-patahkan sebelum dia mengatur langkah ke mejanya. Sebilah pedang samurai yang berkilat dicapai lalu dibawa ke arah Jamal yang sedang menggeletar ketakutan.
“Lebih baik kau cakap kenapa King hantar kau ke sini, sebelum kepala kau terburai aku kerjakan!” keras suara Razak kedengaran.
Tanpa rasa bersalah dia menghunus pedang samurai tersebut rapat ke tengkuk Jamal yang sudah terketar-ketar. Tajam anak matanya menikam tepat anak mata Jamal.
“Nanti dulu, Raz. Aku datang bukan nak bermusuh dengan kau. Aku tak datang sebagai orang kanan King. Aku nak kau hancurkan King untuk aku!” Jamal bersuara juga akhirnya setelah agak lama suaranya tersekat di kerongkong.
Razak pegun seketika. Pedang yang dihunus, dijatuhkan kembali. Lama dia memandang wajah Jamal yang berdarah sebelum dia duduk mencangkung sambil menarik baju Jamal supaya mendekatinya.
“Kau nak aku hancurkan King? Kau buat lawak?” soal Razak sambil menolak kasar tubuh Jamal. Dia bangkit kembali lantas memalingkan tubuhnya daripada menghadap Jamal. Rambutnya diraup ke belakang.
Jeff dan Qartal hanya berpandangan sesama sendiri. Mereka membuat bulatan mengelilingi Jamal yang kelihatan tidak berdaya. Agak pelik jika orang kanan King menyerah diri. Pasti ada yang tak kena. Tebak mereka.
“Kali ini aku tak buat lawak. Aku nak kau buat dia merana setelah apa yang dia buat pada aku!” ucap Jamal sarat dengan dendam.
“Apa yang dia pada kau?” soal Razak kemudian berpaling menghadap Jamal yang sedang melutut di atas lantai.
“Dia bunuh adik aku selepas adik aku bersumpah untuk taat setia pada dia!” jawab Jamal.
Nafasnya dibiarkan turun naik tidak sekata. Masih tergambar jelas di mindanya wajah Sham yang hancur kepalanya akibat ditembak oleh Tuan Zabir. Wajah adiknya sering menghantui ke mana saja Jamal pergi. Itulah satu-satunya keluarga yang dia ada. Walaupun mereka hidup susah dan merempat namun tidak pernah sesekali Sham meninggalkannya. Tetapi Tuan Zabir merenggut nyawa Sham dengan begitu kejam. Jamal bersumpah tidak akan memaafkan Tuan Zabir walaupun nyawa terpisah daripada badan.
“Apa yang aku dapat kalau aku musnahkan King?” soal Razak kembali. Dia masih menimbal baik buruk jika dia menghancurkan King.
“Kau boleh ambil alih perniagaan King. Kau akan lebih berkuasa. Semua orang-orang King akan tunduk pada kau. Itu janji aku pada kau.” Jawab Jamal penuh dengan perasaan.
Razak mencebikkan bibir. Dia mematah-matahkan jari-jemarinya.
“Berat aku nak percaya pada kau ni…”
“Kali ini kau kena percayakan aku. Aku nak sangat tengok dia terseksa macam mana dia seksa adik aku. Kau kena tolong aku, Raz. Aku sanggup buat apa saja untuk kau asalkan kau hancurkan King!” pinta Jamal sambil memegang kaki Razak.
Razak menggaru-garu keningnya yang berparut. Kesungguhan Jamal membuatkan Razak serba-salah. Tapi inilah peluang yang dia ada untuk mengambil alih takhta King. Selama ini King kerap kali menganggu perniagaannya. Jika dia seludup senjata api ke seberang, King akan turut seludup dengan menawarkan harga yang lebih murah. Jika dia jual anak-anak gadis untuk dijadikan pelacur di Thailand, King juga akan berbuat perkara yang sama. Dendam yang Razak tanamkan pada King sudah terpahat lama dalam dirinya. Kini, dia mendapat peluang yang terbaik untuk menghancurkan King. Adakah ini masanya?
“Apa yang kau boleh tolong aku untuk hancurkan King?” soal Razak setelah lama mendiamkan diri.
Jamal tersenyum nipis dan cuba untuk berdiri tegak. Dia mengibas-ngibas bajunya yang berdebu.
“Aku tahu satu rahsia terbesar yang King sorokkan daripada pengetahuan semua orang.” Ucap Jamal dengan senyuman penuh  makna.
“Rahsia apa?” Wajah Razak berkerut seribu.
“Dia masih ada keluarga. Malah dia ada anak  yang dijaga oleh mak dan ayah King sendiri.” jawab Jamal sambil terbatuk kecil.
Razak tersentak. Dia benar-benar terkejut. Dia tidak menyangka orang sekejam King masih mempunyai keluarga. Punya anak dan ibu bapa.
“Kat mana keluarga King sekarang?”
“Itu aku belum tahu. Tapi aku akan ekori King sampai aku tahu mana keluarga dia.”
Razak berjeda. Dia melabuhkan punggungnya di tepi meja.
“Apa yang aku nak buat dengan keluarga King? Tak ada faedah pun untuk aku.” Ujar Razak.
“Tapi bos, kalau anak King tu perempuan, kita boleh culik dan jual kat seberang. Rasanya kalau anak King, harganya lagilah mahal.” Jeff menyampuk memberi cadangan.
Qartal mengalih pandangan pada Jeff. Dia mendengar dengan teliti setiap butir bicara samseng-samseng yang berada di hadapannya ini.
“Jual? Cantik juga idea kau tu. King akan lebih merana jika kita jadikan anak dia hamba! Hahaha!” Razak ketawa kuat. Dalam otaknya sudah terangka pelbagai jenis rancangan untuk menjatuhkan King.
Jamal hanya tersenyum sinis. Impiannya untuk melihat Tuan Zabir hancur akan tercapai tidak lama lagi. Dia akan pastikan hidup orang kesayangan Tuan Zabir musnah kerana itu adalah senjata yang paling ampuh untuk Tuan Zabir merana. Dendam harus dibalas dengan dendam!


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.