Tetamu Rindu

Monday 18 July 2016

QARTAL...PEMUSNAH HATI ( BAB 1 )



SUASANA Kampung Apal yang terletak di daerah Besut, Terengganu kelihatan tenang dan damai. Udara di waktu pagi begitu segar tanda udara di sini tidak terdedah dengan sebarang pencemaran. Bunyi kicauan burung yang keluar mencari makan, begitu riuh namun bunyi kicauan itu cukup menenangkan.
“Aisy!” laung Nek Hajar memanggil cucu kesayangannya yang hilang entah ke mana.
Nek Hajar menolak pintu jendela yang tertutup. Terbentang sawah padi yang menghijau di pandangan matanya. Dari jendela itu dia dapat melihat hampir keseluruhan sawah padi yang diusahakan hampir lima puluh tahun lepas.
“Isy, mane pulok budok ni hilang?” soal Nek Hajar dengan loghat Terengganu yang pekat. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Aisy!” panggil Nek Hajar lagi. Kali ini dengan suara yang lebih lantang.
“Saya, nek!” jerit Aisy dari kejauhan.
Dia berlari-lari anak ke arah Nek Hajar. Kakinya yang dipenuhi selut tidak dihiraukan. Tudung yang tersarung di kepala, dibetulkan sedikit.
Bakpe nenek cari Aisy?” soal Aisy dengan nafas yang tercungap-cungap. Sudahlah badannya agak berisi, apabila berlari terkejar-kejar seperti ini pasti cepat dia diserang mengah.
“Ho gini, nenek nak mintok Aisy gi ambik baju hok nenek tempah kat rumah Mak Munah. Rasanya dah siap semalam.” Ujar Nek Hajar sambil memandang wajah cucunya yang manis.
“Okey, nek. Aisy pergi sekarang.”
“Jangan lupa bowok payung. Nampok hari macam nak hujang je.” Laung Nek Hajar lagi apabila melihat Aisy sudah berlalu untuk mencapai basikal yang disandarkan di dinding rumah.
Pesanan Nek Hajar dibalas dengan lambaian oleh Aisy. Nek Hajar tersenyum nipis melihat kelibat cucunya yang sudah menghilang di pandangan mata. Itulah satu-satunya cucu perempuan yang dia miliki setelah kematian anak perempuannya beberapa tahun yang lalu. Ayah Aisy pula jarang sekali pulang ke kampung untuk menjenguk Aisy. Segala urusan Aisy diserahkan seratus-peratus pada Nek Hajar dan Tok Awang.
Nek Hajar mengeluh berat. Apa khabar agaknya menantunya itu? Takkan sibuk sangat di bandar sampai terlupa untuk menjenguk anak sendiri di kampung. Kadang-kadang Nek Hajar terkilan dengan sikap menantunya itu. Suka lepas tangan jika berkaitan dengan Aisy. Itulah orang zaman sekarang, terlalu mengejar kekayaan sehingga melupakan keluarga sendiri.

KAYUHAN kaki Aisy terhenti sebaik saja sampai di tanah perkuburan. Dia turun daripada basikal kemudian menolak basikalnya menyelusuri tanah perkuburan yang dipenuhi dengan orang ramai. Dahi Aisy berkerut. Siapa meninggal? Soalan itu menerjah ke benak hatinya.
Kepalanya dijengukkan ke arah pusara yang dikelilingi oleh orang ramai. Hatinya berdetak kencang apabila melihat Mak Munah yang sedang menangis teresak-esak sambil ditenangkan oleh mak cik yang lain. Kenapa Mak Munah menangis pula? Bisik hati kecil Aisy.
Perlahan-lahan, dia menghampiri pintu pagar tanah perkuburan. Selesai talkin dibacakan, seorang demi seorang meninggalkan tanah perkuburan.
“Kiah, siapa yang meninggal?” Soal Aisy sebaik saja menangkap lengan Rokiah yang lalu disebelahnya.
“Anak saudara Mak Munah, Kak Haniza…” jawab Rokiah perlahan.
Mata Aisy membuntang. Bibirnya terketar-ketar apabila mendengar berita yang disampaikan oleh Rokiah.
“Kak Hani? Bila dia meninggal? Bakpe dia meninggal?” soal Aisy dengan air mata yang mula bertakung di kelopak mata. Terbayang wajah lembut milik Kak Haniza yang sentiasa ceria setiap kali bertemu muka dengannya. Sungguh Aisy tidak menyangka, ajal Kak Haniza seawal ini.
“Semalam, aku pun dok tahu bakpe dia meninggal. Mak Munah dok bagitahu pulok bakpe. Apa pun sebab dia meninggal, kita doakan supaya dia tenang di sana.” Ucap Rokiah membuatkan Aisy terdiam. Dia mengangguk perlahan.
Aisy termenung seketika sambil anak matanya dihalakan ke arah pusara Kak Haniza yang mulai lengang. Hanya tinggal seorang lelaki sedang berdiri menghadap pusara yang sepi itu. Wajah lelaki itu tidak kelihatan di mata Aisy kerana batang tubuh itu membelakangi Aisy. Mungkin saudara-mara Kak Haniza. Bisik hati Aisy.
Perlahan-lahan, Aisy mengorak langkah menuju ke pusara Kak Haniza. Hujan renyai-renyai tidak dihiraukan. Sungguh, dadanya sebak dengan pemergian Kak Haniza. Masih segar di ingatan Aisy saat dia ke hulu ke hilir menjual kuih di sekeliling kampung, Kak Haniza datang membeli semua kuihnya. Saat dia menunggu bas untuk ke bandar, Kak Haniza jua yang berhenti mempelawa dirinya. Bagi Aisy, Kak Haniza seperti kakaknya sendiri walaupun wanita itu jarang pulang ke kampung.
Aisy duduk melutut di hadapan pusara yang masih merah. Dia mengusap lembut batu nisan yang berada di hujung tanah. Sayu. Itulah dirasakan saat ini.Terasa seperti dia kehilangan keluarganya sendiri.
“Aisy macam tak percaya akak akan pergi tinggalkan Aisy seawal ini. Aisy rasa baru semalam Aisy dengar akak gelak. Senyuman akak Aisy takkan lupa sampai bila-bila. Rehatlah akak dekat sana. Rehatlah sepuas-puasnya. Aisy doakan akan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Dunia ini bukan untuk kita sepenuhnya sebab tempat kita yang kekal adalah di sana. Semoga kita bertemu lagi dalam kasih-sayang-Nya.” Ucap Aisy perlahan.
Dia menadah tangan membaca surah al-Fatihah. Kehadiran lelaki yang berdiri kaku di tepinya langsung tidak dihiraukan. Dia menyeka air mata yang mengalir deras. Buat apa menangis jika ini pengakhiran yang telah ditetapkan sejak azali lagi.
Selesai berdoa, Aisy bangkit. Dia mengerling sekilas pada lelaki yang berdiri di sebelahnya. Lelaki itu tidak bersuara walaupun sepatah. Wajahnya tidak kelihatan kerana diselubungi dengan sweater berwarna hitam dan berhoodie. Ada kaca mata hitam yang tersungging di hidungnya yang mancung. Namun, hujung hidung lelaki itu kelihatan merah. Mungkin lelaki itu menangis. Teka hati Aisy. Baju lelaki itu basah kuyup akibat disimbah hujan yang tidak henti-henti membasahi tanah perkuburan Islam itu. Timbul simpati dalam diri Aisy melihat keadaan lelaki itu.
“Setiap yang hidup pasti merasai mati, itu janji Allah pada setiap makhluknya. Kak Haniza sudah dijemput oleh Allah dan segala tanggungjawabnya atas dunia ini dah selesai. Biarkan dia berehat dengan tenang kerana Allah akan menjaganya. Kita yang hidup harus teruskan hidup sebab kita tak tahu bila giliran kita pula dijemput. Salam takziah daripada saya.” Ucap Aisy perlahan lalu mengundurkan dirinya ke belakang.
Dia yakin lelaki itu mendengar segala tutur bicaranya. Namun, lelaki yang berbaju hitam itu kaku tidak beriak. Malah tiada suara yang kedengaran. Aisy mengangkat bahu. Dia ingin melangkah pergi tetapi langkahnya tiba-tiba terhenti apabila anak matanya terpandang pada payung yang sedang digunakannya.
Pandangan Aisy beralih pada batang tubuh milik lelaki itu yang basah kuyup. Timbul simpati dalam dirinya lantas payung yang berada di tangannya, diletakkan di tepi lelaki itu.
“Gunalah payung ni. Saya harap masih tak terlambat untuk menggunakannya.” Ujar Aisy lalu berlalu meninggalkan payung berwarna merah di tepi lelaki itu.
Dia meneruskan langkah tanpa berpaling ke belakang. Ada sendu yang bermain di jiwa apabila memikirkan arwah Kak Haniza. Kak Haniza sudah tenang di sana, giliran aku bila pula? Detik hati Aisy. Insaf.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.