Tetamu Rindu

Friday 22 July 2016

QARTAL...PEMUSNAH HATI ( Bab 4 )



KAYUHAN basikal Aisy terhenti apabila tiba-tiba sebuah kereta Toyota Hilux berwarna hitam menyekat laluannya. Aisy terpaksa berhenti di pinggir jalan. Dia mengamati kereta tersebut. Cermin tingkap kereta itu diturunkan. Membulat biji mata Aisy melihat pemilik kereta tersebut.
“Masuk!” Arah suara garau itu.
“Abah!” jerit Aisy teruja. Lantas dia menghempaskan basikalnya lalu meluru masuk ke dalam kereta. Tempat duduk sebelah pemandu dibuka lalu dia melompat masuk ke dalam pancuan empat roda tersebut.
“Tak sangka abah balik. Ayah sihat? Aisy rindu sangat kat abah!” ujar Aisy dengan girang. Dia memeluk lengan ayahnya dengan erat. Kepalanya sengaja dilentokkan ke bahu lelaki itu. Rasa rindu yang menggunung tinggi surut serta-merta apabila dapat menatap wajah lelaki yang amat dirinduinya ini.
“Abah pun rindu tapi abah banyak kerja dekat bandar tu. Bukan abah saja-saja tak nak jumpa Aisy. Ini pun abah curi masa untuk jumpa Aisy. Abah tak nak dengar lagi Aisy merajuk dengan nenek dan tok. Faham?” ujar Tuan Zabir dengan lembut.
Aisy tersengih lalu mengangkat tangan kanannya seolah-olah berikrar. Anak matanya bersinar-sinar apabila melihat senyuman di wajah abahnya.
“Aisy janji takkan susahkan hati tok dan nenek tapi dengan syarat abah selalu balik jenguk Aisy. Boleh?” Giliran Aisy pula yang membuat tawaran.
Tuan Zabir terdiam. Bagaimana dia ingin menjenguk Aisy selalu jika keluarganya tidak mengetahui pekerjaan sebenarnya? Dia tidak ingin musuh-musuhnya mengetahui kewujudan keluarganya yang sengaja dirahsiakan sebaik saja dia terjerumus ke kancah gelap ini.
“Abah tak dapat janji, Aisy. Tapi abah nak Aisy buat yang terbaik untuk hidup Aisy. Jadi perempuan yang baik. Jadi cucu yang baik untuk nenek dan tok. Jangan susahkan mereka. Soal duit, Aisy jangan risau. Abah boleh tanggung Aisy. Aisy minta apa saja yang Aisy nak, abah akan tunaikan.” Jawab Tuan Zabir sambil mengusap lembut kepala satu-satunya waris yang dia ada.
“Aisy tak perlukan duit yang banyak, abah. Aisy cuma perlukan abah berada di sisi Aisy. Aisy rindukan abah Aisy. Dahlah ibu tinggalkan Aisy. Takkan abah sanggup tinggalkan Aisy kat sini. Sekurang-kurangnya tunjuklah kat mana rumah abah. Bawalah Aisy tinggal dengan abah.” Pinta Aisy sambil memegang lengan Tuan Zabir.
Tuan Zabir mengeluh berat. Dia meraup wajahnya yang kusut. Permintaan Aisy membuatkan Tuan Zabir diserang serba-salah.
“Buat masa sekarang ni tak boleh, sayang. Abah tak boleh bawak Aisy tinggal dengan abah.”
“Tapi kenapa, abah?” pintas Aisy mematikan percakapan Tuan Zabir.
“Abah kerja apa sebenarnya ni? Berat sangat ke kerja abah sampaikan Aisy pun tak boleh nak tahu?” sambung Aisy lagi.
Tuan Zabir hanya mendiamkan diri. Hanya itu yang mampu dilakukan saat ini. Jika dia berkata jujur, itu akan mengahancurkan sekeping hati milik anaknya. Mana ada anak yang dapat terima kenyataan apabila ayahnya merupakan ketua samseng!
“Aisy kan abah dah pernah pesan dulu jangan tanya kerja abah. Tak penting pun untuk Aisy tahu.” Jawab Tuan Zabir sambil membuang pandang ke tempat lain.
Aisy mengeluh hampa. Inilah sikap Tuan Zabir yang sering membuatkan dia gundah. Apabila soal kerja dipersoalkan pasti Tuan Zabir akan mengelak. Bukan sehari dua malah sejak kecil lagi dia tidak tahu apa pekerjaan Tuan Zabir yang sebenarnya.
“Tak penting bagi abah tapi penting bagi Aisy.” Jawab Aisy perlahan.
“Aisy…apa pun yang abah buat, abah buat untuk kesenangan Aisy dan keluarga kita.” Ucap Tuan Zabir perlahan.
Dia memegang kedua belah pipi Aisy. Dahi anaknya dikucup lembut.
“Sekurang-kurangnya abah cakaplah abah kerja dekat mana.” Aisy masih belum berputus asa untuk mengorek rahsia daripada Tuan Zabir.
“Abah kerja kat bandar Kuantan. Lepas ni jangan tanya apa-apa lagi kat abah.” Ujar Tuan Zabir sambil menarik lembut hujung hidung Aisy.
Aisy tersengih. Kasih sayang inilah yang sering dirindukan. Alangkah bahagia hidupnya jika Tuan Zabir tinggal bersama sebagai satu keluarga. Tapi itu cuma mimpi. Ketegasan Tuan Zabir tidak mampu dilunturkan oleh sesiapa.
“Yelah, abah ni suka sangat rahsia. Kerja apalah yang abah buat sampai rahsia sangat tu. Jangan cakap abah jadi perdana menteri sudah.” Gurau Aisy sambil ketawa kecil.
Tuan Zabir turut ketawa. Inilah kali pertama dia ketawa sepanjang hidupnya. Rasa tenang saat bersama anak gadisnya ini sukar untuk diungkapkan. Andai mampu diundurkan masa, dia mahu menjadi ayah yang mampu dibanggakan oleh anaknya tetapi semuanya sudah terlambat. Dia harus tamatkan apa yang telah dimulakan.
“Abah nak Aisy ingat pesan abah, jaga diri Aisy baik-baik. Jaga tok dan nenek. Walau siapa pun abah, jangan pernah berhenti sayangkan abah sebab abah sayangkan Aisy sampai abah mati. Ingat tu.” Pesan Tuan Zabir sambil menatap terus ke dalam mata Aisy yang jelas kelihatan kebingungan.
Dahi Aisy berkerut. Kurang faham dengan kata-kata Tuan Zabir.
“Apa maksud abah ni? Aisy tak faham.” Ucap Aisy. Terkebil-kebil dia memandang Tuan Zabir.
Tuan Zabir hanya tersenyum nipis. Soalan Aisy dibiarkan tergantung tanpa jawapan. Perlahan-lahan dia menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan seutas rantai emas lalu dihulurkan pada Aisy.
Aisy melopong. Besar matanya melihat rantai emas 916 yang halus berkilat dihulurkan oleh Tuan Zabir. Kelihatan ada loket berbentuk hati tergantung kemas di rantai tersebut. Sedikit sebanyak Aisy rasa teruja.
“Cantiknya, abah. Abah belikan untuk siapa? Untuk nenek ke?” soal Aisy sambil menyambut huluran daripada Tuan Zabir.
Tuan Zabir hanya mampu tersenyum melihat telatah anak gadisnya ini. Nampak jelas sikap kebudak-budakkannya walaupun umur Aisy sudah menjangkau ke angka 25 tahun.
“Abah belikan untuk Aisy. Untuk nenek Abah beli yang lagi besar.” Jawab Tuan Zabir dengan senyuman melebar.
“Lagi besar? Mana aci. Untuk Aisy abah beli halus je.” Omel Aisy sambil menyangkutkan rantai tersebut ke lehernya.
Tawa kecil meletus di bibir Tuan Zabir. Mulut Aisy yang memuncung mencuit hatinya. Sikap manja itulah yang sering dirinduinya.
“Tapi Aisy ni lebih istimewa daripada rantai nenek tau.” Jawab Tuan Zabir.
Aisy mendongak.
“Serius abah? Apa yang istimewanya?” soalnya ingin tahu.
“Rantai Aisy ada loket yang betul-betul special. Nenek pun tak ada loket macam ni tau.” Balas Tuan Zabir.
Aisy tidak menjawab sebaliknya dia membelek rantai yang berbentuk hati. Mulutnya sedikit ternganga apabila loket tersebut boleh dibuka. Terpampang gambar Tuan Zabir dan gambar arwah ibunya yang diselit kemas di dalam loket tersebut. Serentak, rasa sebak menghentak dada Aisy apabila terpandang gambar arwah ibunya.
“Ada gambar ibu…” perlahan saja suara itu kedengaran namun sempat ditangkap oleh telinga Tuan Zabir. Ada sendu yang terbias di anak mata Aisy yang bundar. Sayu sungguh dirasakan oleh Tuan Zabir. Namun, sepantas kilat dia membuang rasa itu jauh-jauh.
“Sebab itulah abah nak Aisy jaga rantai ini macam Aisy jaga nyawa Aisy sendiri. Nak tahu kenapa abah selitkan gambar abah dan arwah ibu dekat loket tu?” soal Tuan Zabir lembut.
Aisy mengangkat pandangan. Anak mata Tuan Zabir ditenung lama.
“Kenapa?” soalnya pendek.
Tuan Zabir meleretkan senyuman.
“Sebab loket tu akan berada dekat di dada Aisy. Dalam dada ada apa? Ada hati kan? Jadi abah nak abah dan arwah ibu sentiasa dekat di hati Aisy.” Ucap Tuan Zabir perlahan.
Aisy terharu. Spontan dia memeluk tubuh Tuan Zabir dengan erat.
“Aisy sayang abah.” Ucap Aisy dengan air mata yang menitis perlahan di pipi. Sebelah tangannya mengenggam kemas loket yang tergantung di lehernya.
“Abah pun sayangkan Aisy.” Balas Tuan Zabir.
Dia membalas pelukan Aisy. Belakang tubuh Aisy dielus lembut. Maafkan abah, Aisy. Abah akan lakukan apa saja asalkan anak abah hidup senang-lenang. Bukan niat abah untuk rahsiakan perkara sebenar tetapi abah terpaksa lakukan semua ini untuk kebahagiaan kita. Desis hati Tuan Zabir.
Tanpa mereka sedar, gerak-geri mereka diperhatikan oleh sepasang mata yang tajam.




QARTAL hanya mendiamkan diri saat melihat meja yang diterbalikkan oleh Razak. Habis ruang itu berselerakan akibat diamuk oleh Razak. Dia tidak tahu harus berbuat apa. Hanya pandangan gusar yang dilemparkan. Bimbang jika amukan Razak membawa nahas pada dirinya.
“Macam mana berlian tu boleh terlepas ke tangan King?” tempik Razak.
Jeff dan rakan-rakan yang lain yang menundukkan kepala. Tidak berani untuk menentang wajah Razak yang menyinga. Dia yakin pasti mereka akan mendapat habuannya sekejap lagi.
“Kami dah berjaya curi berlian tu daripada muzium tapi masa kami nak balik ke markas, orang-orang King block kereta kami. Dia ramai, bos. Kami cuma sempat pertahankan diri je. Berlian tu…”
“Bodoh! Aku dah cakap kan, walau apa terjadi berlian tu lebih penting daripada nyawa kau sendiri! Sekarang apa aku nak jawab dengan Kitai, hah? Berlian yang dia nak sangat tu dah terlepas pada King. Sah-sah, Kitai tak percayakan geng kita lagi.” Bentak Razak sambil mengenggam rambutnya yang sememangnya kusut.
“Maafkan kami bos…” balas Jeff sambil tunduk menekur lantai.
Razak memandang wajah pengikutnya yang bertanggungjawab untuk mencuri berlian The Moussaieff Red Diamond dari Muzium Negara. Sangkanya rancangan yang mereka rangkakan begitu sempurna tetapi ternyata King bertindak lebih licik. Berlian yang berharga puluhan juta itu dirampas dengan sekelip mata oleh pengikut-pengikut King. Perbuatan King ternyata mengundang amarah yang takkan pernah surut dalam diri Razak.
“Maaf kau takkan dapat kembalikan berlian tu!” jerkah Razak.
Pantas, satu tumbukan keras hinggap di muka Jeff terlebih dahulu sebelum mendarat di muka Qartal dan dua rakannya yang lain. Mereka berempat rebah di lantai sambil memegang wajah mereka yang mulai lebam penangan buku lima Razak Hitam.
Qartal menahan sakit. Dia mengetap bibir. Kalau diikutkan rasa marahnya, pasti wajah Razak turut lebam dikerjakan olehnya namun Qartal cuba sabarkan diri.
“Kalau bos tumbuk kami sampai hancur muka kami sekali pun, berlian tu takkan datang bergolek ke sini!” balas Qartal berani. Dia bingkas bangun sambil berdiri bertentangan dengan Razak.
Razak tersentak. Berdesing telinganya mendengar ocehan Qartal. Aik, nak tunjuk berani nampak budak hingusan ni. Desis hati Razak tidak berpuas hati.
“Qartal, apa kau merepek ni?” Jeff bangun lalu menarik lengan Qartal supaya menjauhi Razak.
Qartal menepis. Dia menjeling tajam pada Jeff.
“Kau cakap apa? Kau nak lawan aku? Kau nak tunjuk berani dengan aku?” soal Razak sambil menolak tubuh Qartal dengan kasar.
Qartal menggigit bibirnya yang pecah berdarah. Darah yang memenuhi ruang mulutnya diludah ke lantai.
“Aku bukan nak tunjuk pandai dengan kau tapi rancangan King buat betul-betul teliti. Sekarang kalau kau nak bunuh kami sekali pun, kau takkan dapat balik berlian tu. Jadi lebih baik kita rampas balik apa yang King rampas daripada kita.” Usul Qartal.
Razak termangu seketika. Ada benarnya juga kata-kata Qartal. Kalau dia menjerit, mengamuk dan membunuh pengikutnya sekali pun, King takkan kembalikan semula berlian miliknya. Lantas, dia menghela nafas dan menghembuskannya dengan perlahan. Cuba meredakan kemarahan yang semakin meluap-luap dalam dirinya.
“Betul bos. Saya sokong apa yang Qartal cakap. Kami akan tuntut balik apa yang King rampas daripada kita. Masa nilah kita kena gunakan Jamal. Dia boleh tunjukkan kita kelemahan King. Kita guna kelemahan King tu untuk ugut dia.” Jeff menyampuk memberi cadangan.
Razak memeluk tubuhnya. Kepalanya terangguk-angguk memikirkan cadangan Jeff dan Qartal.
“Baik, kali ini aku bagi kau peluang untuk rampas balik berlian tu. Aku tak nak dengar apa-apa alasan lagi. Aku bagi tempoh dua minggu aje untuk rampas balik berlian tu daripada King. Kalau dalam tempoh tu kau tak dapat berlian tu, sendiri mau ingatlah. Nyawa kau sebagai ganti!” tegas Razak membuat keputusan.
Qartal dan Jeff berpandangan sesama sendiri. Rela dalam terpaksa mereka menganggukkan kepala. Apabila nyawa menjadi taruhan, halal dan haram tidak menjadi persoalan.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.