Tetamu Rindu

Friday 22 July 2016

QARTAL...PEMUSNAH HATI ( Bab 5 )



“TOK, NEK, Aisy pergi rumah Kak Mona sekejap ya? Nak ambil baju yang Aisy tempah. Esok dah nak pergi konvo. Baju nenek, baju tok Aisy dah tempah sekali. Tak sabar Aisy nak tengok nenek dan tok pakai baju baru.” Ucap Aisy dengan girang.
Dia mendapatkan Nek Hajar dan Tok Awang yang sedang duduk menonton televisyen. Atok dan neneknya itu hanya tersenyum melihat wajah Aisy yang ceria.
“Pergilah, Aisy. Tapi mung kena balik awal. Jangan nak derak tempat lain pulak.” Pesan Tok Awang sambil mengusap kepala Aisy yang sedang tunduk menguncup tangannya.
Aisy hanya tersengih kemudian mengangguk laju. Wajah tua datuk dan neneknya dipandang lama.
“Tok janganlah risau, Aisy pergi sekejap je. Nanti Aisy balik awal. Lagipun Aisy kena tidur awal hari ni. Esok kita nak pergi kolej kan?” ujar Aisy.
“Yelah. Mung tu kalau tok cakap ada aje nak jawab. Bawok basikal tu molek sikit. Malam-malam ni bahaya.” Pesan Tok Awang lagi.
Aisy hanya menganggukkan kepala lalu meminta diri untuk beredar.
“Cucu kita tu dah besor, bang. Saya harap sangat dia dapat kerja yang molek-molek. Dapat suami yang molek perangai.” Ucap Nek Hajar setelah kelibat Aisy hilang daripada pandangan.
“Abang pun harap gitu. Abang risaukan Aisy ni kalau kita tak ada nanti. Siapalah nak jaga dia? Harapkan si Zabir tu. Baru semalam dia balik sini. Itu pun sekejap je. Entah apa yang dia buat kat bandor tu pun kita dok tahu.” Balas Tok Awang sambil mencicip kopi panas yang dihidangkan oleh Nek Hajar sebentar tadi.
“Pasal Zabir pun saya risau gok, bang. Sampai bila dia nak mengelak bila kita tanya pasal kerja dia. Aisy tu dah banyak kali tanya saya pasal kerja Zabir. Sampaikan saya pun dok tahu nak kabor benda ke Aisy.” Ucap Nek Hajar sambil menghela nafas panjang sebelum menghembuskannya dengan perlahan.
“Macam nilah, kalau ada masa kita….”
Tok! Tok!
Bunyi pintu kayu yang berukir cantik itu diketuk dari luar membuatkan perbualan Nek Hajar dan Tok Awang terhenti. Mereka berpandangan sesama sendiri.
“Siapa yang datang tu? Takkanlah Aisy dah balik.” Ujar Tok Awang. Entah mengapa hatinya terasa seperti ada sesuatu yang tak kena.
“Mungkin Aisy tertinggal barang kut. Aisy tu kan selalu aje lupa beg duit dia.” Jawab Nek Hajar lalu bangun menuju ke pintu.
Tok Awang hanya memandang langkah Nek Hajar yang menghampiri pintu. Bunyi ketukan tanpa salam itu begitu membuatkan Tok Awang gundah tetapi dia hanya memerhati riak Nek Hajar yang bersahaja membuka selak pintu.
Mung ni Aisy selalu gini. Kalau dok lupa, memang dok boleh agaknya.” Bebel Nek Hajar dengan dialek Terengganu yang pekat.
Tok Awang hanya mampu menggelengkan kepala. Anak matanya dilarikan ke kaca televisyen. Berita tentang berlian yang bernilai 20 bilion yang hilang daripada simpanan Muzium Negara menarik perhatiannya.
Sedangkan Nek Hajar sudah terkaku di hadapan pintu. Di depan matanya sekarang berdiri empat orang lelaki yang lengkap bertopeng sedang merenung tajam ke arahnya. Nek Hajar tergamam. Hanya jantungnya saja yang berdetak laju.
Mung siapa?” soal Nek Hajar dengan nada suara yang bergetaran. Setapak kakinya diundurkan ke belakang.
“Kau kenal Zabir?” soalan dibalas soalan oleh lelaki yang berambut merah itu.
“Zaa..biirr?” soal Nek Hajar dengan suara yang tersekat di kerongkong. Dia benar-benar ketakutan saat ini. Tubuhnya tambah menggigil apabila tiga lagi lelaki yang berdiri di sisi lelaki itu menunjukkan pistol jenis revolver yang tersisip di pinggang mereka.
“Aku tanya kau kenal tak dengan Zabir?” sergah lelaki bertopeng itu dengan kuat.
Tok Awang tersentak. Segera pandangannya dikalihkan pada Nek Hajar yang terpegun memandang ke hadapan. Serentak, kedengaran pintu hadapan rumah mereka dihempas dengan kasar.
“Siapa tu?” soal Tok Awang lalu bangun mendapatkan Nek Hajar yang kelihatan ketakutan.
Keempat-empat lelaki itu berpaling pada Tok Awang. Satu pandangan yang cukup bengis dihadiahkan pada kedua-dua warga emas itu.
“Aku tanya kau kenal tak siapa Zabir?” soal lelaki yang berada di tengah-tengah.
“Mestilah aku kenal. Zabir tu anak menantu aku!” jawab Tok Awang lancar. Dia memegang kedua belah bahu Nek Hajar daripada belakang.
Tubuh Nek Hajar ditarik lalu disembunyikan di belakang tubuhnya. Hanya dia berdiri bertentangan dengan penceroboh rumah mereka itu.
“Bagus! Sekarang aku nak kau bagi aku berlian tu. Aku nak berlian tu sekarang!”
“Berlian benda pulok ni? Aku dok paham!” jawab Tok Awang kebingungan.
Kedengaran lelaki bertopeng tu mengetap gigi. Mencerun anak matanya memandang wajah tua milik Tok Awang.
“Kau jangan main-main dengan aku, orang tua. Serahkan berlian tu kalau kau nak nyawa kau selamat. Anak kau dah curi berlian tu daripada aku dan sekarang aku nak kau pulangkan balik!” jerkah lelaki itu lagi. Bergema satu rumah dengan jerkahannya.
Terhinjut bahu Tok Awang dan Nek Hajar mendengar suara lelaki itu yang memetir. Mereka cuba meredakan debaran di dada. Dalam otak Nek Hajar sekarang ini ligat mencari akal untuk menyelamatkan diri.
“Mustahil Zabir curi berlian. Mung semua ni dah salah orang. Anak aku orang baik-baik.” Balas Tok Awang membela anaknya.
Kedengaran suara lelaki yang tidak terlihat wajahnya itu ketawa lepas. Ketawa yang kedengaran cukup sinis di pendengaran Tok Awang dan Nek Hajar.
“Kau cakap anak kau baik? Eh, orang tua kalau kau nak tahu anak kau tu ketua samseng kat bandar tu. Kau ingat duit yang dia bagi kat kau tu duit halal? Tu semua duit jual perempuan, jual dadah, rompak bank, dan terbaru….rompak berlian yang aku curi. Sekarang aku nak berlian aku!” bentak lelaki itu lagi sambil menarik kolar baju milik Tok Awang.
Tok Awang terdorong ke hadapan. Dia masih lagi terkaku dengan pengakuan yang terbit daripada mulut lelaki bertopeng itu. Zabir ketua samseng? Tidak! Jerit hatinya.
“Bang, menantu kita…dia..dia buat kerja haram?” soal Nek Hajar dari belakang dengan suara yang lirih. Ada air mata yang bergenangan.
Arghhh, aku bukan nak tengok drama air mata. Aku nak berlian aku! Mana jantan bedebah tu sembunyikan?” tempik lelaki bertopeng itu lagi.
Tidak semena-mena dia menghentak kepala Tok Awang menggunakan pemegang pistol revolver miliknya. Tok Awang menjerit kesakitan akibat hentakkan yang keras di tempurung kepalanya. Terasa berdengung sekejap otaknya sebelum dia rebah di atas lantai.
“Abang!” jerit Nek Hajar turut melurut jatuh sambil memegang tubuh Tok Awang yang mengerang kesakitan.
“Jeff, aku rasa orang tua ni tak tahu apa-apa pasal berlian tu. Lebih baik kita jangan buang masa. Kita geledah aje rumah ni.” Cadang lelaki yang memakai topeng menutupi hidung hingga ke bahagian mulutnya.
Jeff terdiam seketika sebelum menganggukkan kepala.
“Kau bertiga pergi geledah setiap inci dalam rumah ni. Biar aku awasi orang tua ni.” Jeff memberi arahan pada tiga lagi rakannya.
Ketiga-tiga rakannya menganggukkan kepala. Habis satu rumah milik Tok Awang dan Nek Hajar digeledah. Segala barang-barang dicampakkan ke merata-rata tempat demi mencari sebutir berlian yang berharga jutaan ringgit. Namun, usaha mereka hanyalah sia-sia. Tiada satu barang kemas pun yang tersimpan dalam rumah itu.
“Aku tak jumpa apa-apa pun, Jeff.” Bisik salah seorang lelaki bertopeng itu rapat di telinga Jeff yang sedang mengacukan pistol ke arah Tok Awang dan Nek Hajar yang kelihatan tidak berdaya untuk melawan.
Jeff mengetap gigi. Rasa panas mula meluap dalam hatinya. Jika berlian tidak ditemui bermakna dia akan berdepan dengan masalah besar untuk berhadapan dengan Razak Hitam. Dia tidak mampu membayangkan apa yang ketuanya itu bakal lakukan jika berlian itu tidak ditemui. Apa yang pasti nyawa mereka menjadi cagaran. Rasa amarah pada King yang merampas berlian milik mereka kembali membara. Lantas, dia menghampiri Nek Hajar. Rambut Nek Hajar ditarik kuat.
Arggghhh!” Jerita Nek Hajar bergema.
“Hajar!” Tok Awang cuba mendapatkan Nek Hajar namun Jeff bertindak lebih pantas dengan memijak perut Tok Awang dengan menggunakan kasut butnya. Tok Awang kembali rebah dengan nafas yang tercungap-cungap menahan seksa yang ditanggung saat ini.
“Kau tahu kat mana anak jantan kau sembunyi sekarang?” soal Jeff sambil menarik rambut Nek Hajar dengan kuat. Terjengil anak matanya memandang wajah Nek Hajar yang menyeringai kesakitan. Tangan Nek Hajar yang memukul-mukul tangannya langsung tidak memberi kesan pada Jeff.
“Aku dok tahu. Bakpelah dok caya kat aku. Aku dok tahu dia kat mana. Dah lama dia dok balik kampung ni!” tekan Nek Hajar sambil meronta-ronta meminta pertolongan.
“Kau ingat aku nak percaya, orang tua? Aku memang pantang kalau orang tipu aku!” bentak Jeff lantas menolak kasar tubuh Nek Hajar sehinggakan kepala Nek Hajar terhantuk pada tiang seri sebelum rebah ke lantai. Kulit kepala di bahagian hadapan wanita tua itu terkoyak sehingga mengeluarkan darah yang banyak.
“Hajar…” panggil Tok Awang perlahan. Hanya anak matanya saja yang mampu memandang penyeksaan yang diterima oleh Nek Hajar. Dia tidak berdaya untuk melawan. Kudratnya tidak setanding dengan kudrat penceroboh rumahnya saat ini.
“Jeff, lebih baik kita blah. Sia-sia…”
“Tok, Nek, Aisy dah balik! Assalamualaikum!”
Bunyi suara halus memberi salam dari luar rumah membuatkan seisi rumah itu terdiam. Jeff meletakkan jari di mulutnya meminta agak semuanya diam. Dia tersenyum penuh makna sambil memandang ke arah Tok Awang yang cuba merangkak menuju ke pintu utama. Jeff tidak akan membiarkan perkara itu terjadi. Pantas, dia menarik tubuh Tok Awang dan tubuh Nek Hajar lalu didudukkan sebelum diikat di tiang seri yang tegak di tengah-tengah ruang rumah itu. Mulut kedua-dua warga emas itu diikat dengan kain bagi mengelakkan mereka berdua mengeluarkan suara.
Selepas berjaya mengikat Nek Hajar dan Tok Awang, Jeff mengarahkan ketiga-tiga rakannya yang lain supaya berdiri di tepi pintu. Dia juga turut berdiri di sebalik pintu kayu itu. Menanti pintu itu terkuak dengan penuh debaran. Pistol dipegang kemas.
“Nek, awalnya nenek tidur. Kata nak tunggu Aisy….”
Aisy menolak daun pintu yang tidak berkunci. Langkahnya terbejat apabila melihat ruang rumahnya yang berselerakan. Tidak ubah seperti baru digeledah. Hati Aisy mula berlagu bimbang apabila anak matanya terpanah pada dua susuk tubuh yang sangat dikenali. Tetapi kedua tubuh itu terikat di tiang seri.
“Nek? Tok?” Panggil Aisy sambil melangkah setapak ke hadapan. Cuba menghampiri Tok Awang dan Nek Hajar dengan dada yang berdebar hebat.
Jelas di pandangan Aisy kepala Tok Awang tergeleng-geleng tanda dia melarang Aisy mendekati dirinya. Anak mata Nek Hajar juga kelihatan berair dan cuba menyampaikan sesuatu.
“Siapa yang buat tok dengan nenek sampai macam ni?” soal Aisy dengan peluh yang mula memercik di dahi.
“Aku yang buat!” sergah satu suara bersama hempasan pintu yang kuat begitu mengejutkan Aisy. Dia berpaling ke belakang.
Matanya terbeliak apabila melihat empat batang tubuh yang tegap berdiri di hadapannya. Keempat-empat lelaki itu memakai topeng menutupi wajah aslinya. Malah di tangan lelaki-lelaki itu terdapat pistol yang digenggam kemas. Aisy tergamam bersama jantung yang berdetak kencang.
“Kau…kau…siaaa..pa?” soal Aisy tergagap-gagap. Wajahnya berubah pucat dengan serta-merta. Setapak demi setapak langkah diundurkan.
Jeff tersenyum sinis di sebalik topeng yang dipakai. Anak matanya menyoroti setiap inci wajah anak gadis yang bertanggungjawab meletakkan nyawanya di dalam bahaya.
“Tak sangka King ada anak dara yang boleh tahan lawanya.” Ucap Jeff sinis. Dia cuba mendekati Aisy.
“Siapa King? Aku tak kenal!” balas Aisy berani. Anak matanya melilau-lilau mencari jalan untuk melepaskan diri namun dia buntu apabila tubuhnya dikepung oleh tiga lagi lelaki yang bertopeng.
“Oh tak kenal? Nanti aku kenalkan!” jawab Jeff sambil ketawa kecil. Ketawa yang cukup menyakitkan telinga Aisy.
Aisy menelan air liur apabila melihat lelaki-lelaki asing itu sedang mara ke arahnya. Hatinya berdengup pantas. Seakan darahnya berhenti mengalir apabila menghadapi situasi seperti ini. Aisy ketakutan.
“Geng, tangkap perempuan ni. Mungkin ni boleh jadi cagaran untuk kita!” arah Jeff.
Ketiga-tiga rakannya pantas menyerbu ke arah Aisy. Kedua belah tangan Aisy yang meronta-ronta sedaya upaya dipulas ke belakang. Jeritan Aisy yang kuat benar-benar menganggu kerja mereka. Lantas, tanpa rasa bersalah satu tamparan keras hinggap di pipi Aisy.
Argghhh!” Aisy menjerit sebelum mukanya terteleng akibat dilempang dengan kuat. Berdengung kuat telinganya. Tetapi Aisy tidak mengalah. Dia terus-terusan meronta.
“Qartal, kau ikat mulut perempuan ni!” arah Jeff lagi.
Qartal hanya mengangguk. Sehelai tuala yang terdampar di atas lantai dicapai lalu mulut Aisy diikat dengan tuala tersebut.
“Lepaskan cucu aku! Dia tak salah!” rayu Tok Awang sambil cuba mengesot untuk menolong Aisy.
“Diamlah kau, orang tua!” jerkah Jeff lantas menghadiahkan tumbukan yang keras ke wajah Tok Awang.
Tok! Hati Aisy menjerit bersama gumaman yang tidak jelas di pendengaran. Air mata semakin laju mengalir di pipi apabila melihat datuk dan neneknya yang diperlakukan seperti binatang.
Aisy meronta lagi. Namun, rontaannya kali ini dihadiahkan dengan tamparan yang kuat. Pandangan Aisy semakin berpinar. Kepalanya turut terasa berpusing. Dia dapat merasakan tubuhnya diheret dengan kasar sebelum pandangannya terus kelam dan gelap.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.