Tetamu Rindu

Thursday 28 July 2016

QARTAL...PEMUSNAH HATI ( Bab 7 )



TIDUR Aisy terganggu apabila dia merasa kepalanya seperti dibaling dengan benda keras. Perlahan-lahan, kelopak matanya terbuka luas. Anak mata hitamnya melilau-lilau memandang ke sekeliling sebelum dia terdengar suara seakan berbisik memanggil dirinya.
“Kak, bangun. Orang jahat tu dah keluar.” Panggil satu suara membuatkan Aisy bingkas bangun. Dia terduduk sambil mencari pemilik suara halus itu.
Anak matanya tertancap pada  salah seorang daripada dua orang anak gadis yang sedang duduk di satu sudut tidak jauh daripada tempatnya dirantai. Di tepi anak-anak gadis itu kelihatan lima kanak-kanak lelaki dan perempuan sedang tidur dengan tangan dan kaki turut diikat. Terbit rasa simpati dalam diri Aisy apabila melihat kanak-kanak yang tidak berdosa dikurung dan dipukul sebelum dijual ke negara seberang.
“Akak okey ke? Saya Ida.” Ucap Ida memperkenalkan dirinya.
Aisy tersenyum tawar.
“Panggil akak Kak Aisy. Akak okey. Berapa lama Ida kena kurung kat sini?” soal Aisy.
Ida berpandangan dengan dua rakannya lain. Mereka menjongketkan bahu.
“Saya tak pasti, kak. Rasanya dah lama kami dekat sini. Saya dengar mereka nak hantar kami ke jeti hari ni. Kami tak nak, kak! Kami nak balik. Kami takut.” Jawab Ida dengan air mata yang bergenangan. Terpancar riak ketakutan di wajah anak gadis itu.
Aisy mengeluh berat. Kalau Ida takut, dia apatah lagi. Tidak pernah terbayang dalam fikirannya selama ini yang dia akan berhadapan dengan situasi sebegini.
“Akak tahu. Akak pun sama. Kita cuba lepaskan diri sama-sama dan berdoa supaya polis datang cari kita.” Ujar Aisy cuba menyedapkan hatinya sendiri.
“Tapi bila bantuan akan sampai kak? Sekarang ni kita kat tengah-tengah hutan. Bukan mudah polis nak kesan tempat ni.” Sampuk seorang lagi rakan Ida.
Anak mata Aisy teralih pada laman wajah gadis muda yang berambut panjang. Gadis yang berusia kira-kira dua puluh tahun itu memang cantik. Kulitnya putih kemerahan namun kesan lebam tetap menghiasi wajah cantik itu.
“Memang tak mudah tapi tak ada yang mustahil bagi Allah. Kita memang tak ada polis yang dapat tolong kita sekarang, tapi kita masih ada Allah. Dia akan bantu kita untuk lepas daripada penculik tu.” Ujar Aisy berbaur nasihat.
Aisy memandang tangannya yang dirantai. Telapak tangannya masih lagi luka malah luka itu terasa berdenyut-denyut. Tetapi Aisy tetap tahankan jua. Dia nekad untuk melarikan diri. Tapi macam mana? Tangan dan kakinya masih terpasung. Lalu keluhan berat dilepaskan.
“Kita kena lakukan sesuatu, kak. Semalam saya dengar dia orang cakap, bos besar mereka nak datang hari ni. Saya takut kak. Saya tak nak kena jual. Kesian dekat mak ayah saya. Dia orang tentu risau sekarang ni.” Keluh kawan Ida dengan wajah yang murung.
Aisy tidak menjawab sebaliknya kata-kata kawan Ida itu mengingatkan dia pada Tok Awang dan Nek Hajar. Apa agaknya nasib nenek dan datuknya sekarang ini?
“Akak pun sama tapi kita…” Kata-kata Aisy tergantung apabila pintu pondok buruk itu dikuak dari luar. Aisy  mengesot punggungunya ke belakang. Matanya dipejam apabila terkena pancaran matahari saat pintu itu terbuka.
Perlahan-lahan, Aisy membuka mata. Tegak anak matanya memandang ke hadapan. Kelihatan seorang lelaki bertopeng menutupi separuh wajahnya berjalan ke arah Aisy dengan membawa sebungkus makanan di tangan. Aisy menjeling benci.
Qartal duduk mencangkung berhadapan dengan Aisy. Wajah Aisy yang lebam-lebam dipandang sekilas sebelum anak matanya beralih pada Ida dan rakannya yang terkebil-kebil memandang ke arah mereka berdua.
“Kau orang lapar?” soal Qartal perlahan.
Ida mengangguk laju. Bukan setakat lapar malah tahap kebulur. Kali terakhir mereka diberi makanan pada petang semalam. Itu pun sekadar roti.
“Tunggu sampai makanan sampai. Sekarang aku nak bagi tuan puteri ni makan dulu. Kalau tuan puteri ni kebulur, aku pulak yang susah.” Ujar Qartal sambil pandangannya kembali pada Aisy.
“Aku tak lapar.” Jawab Aisy mendatar. Dia mengalih pandangan ke tempat lain. Rasa benci untuk melihat wajah penculik yang berhadapan dengannya ini.
“Kau cakap apa?” soal Qartal kembali. Dia menyuakan telinganya pada Aisy.
Aisy mendengus benci.
“Aku tak lapar! Pekak ke?” bentak Aisy berani.
Qartal tersentak. Dadanya berombak kecil menahan rasa marah dengan keberanian yang ditunjukkan Aisy. Lalu, Qartal membuka bekas polistrina lalu ditolak ke arah Aisy.
“Makan sekarang!” arah Qartal.
Aisy membeku. Dia memeluk lututnya sendiri. Enggan mengikuti arahan Qartal. Dia lebih rela berlapar daripada menerima pemberian penjenayah seperti Qartal.
“Kau degil? Kau nak aku paksa kau ke?” suara Qartal meninggi.
Aisy tidak menjawab sebaliknya dia hanya menjeling.
“Aku tak nak makan! Kau tak faham bahasa?” balas Aisy berkeras.
“Kau ni dah lebih, perempuan. Kau nak mati agaknya…”
“Lebih baik aku mati daripada jadi mangsa manusia tak guna macam kau ni!” tengking Aisy. Dadanya berombak-ombak menahan kesabaran yang sudah terbang melayang. Dia memberanikan diri menentang pandangan Qartal yang tajam.
“Tak guna!” Marah Qartal. Serentak tangannya diangkat namun terhenti apabila melihat sepasang mata bundar milik Aisy merenung tajam ke arahnya.
“Kenapa tak pukul je aku? Takut kalau bos kau yang keparat tu tahu? Pengecut!” hambur Aisy lagi. Dia sudah tidak peduli tentang siapa lelaki di hadapannya itu.
Qartal hilang kesabaran. Lantas, satu tamparan kecil hinggap di pipi gadis itu sekadar untuk mendiamkan Aisy.
“Sekali lagi kau berbunyi, aku tak agak-agak nak robek mulut kau tu.” Ugut Qartal.
Aisy mencebik. Ingat aku takut agaknya. Silap-silap mulut kau tu aku pijak. Jawab Aisy cuma dalam hati.
“Makan sekarang!” arah Qartal lagi. Dia menolak bekas makanan tersebut dekat dengan Aisy.
Namun, Aisy tetap enggan. Dia menolak kembali bekas makanan tu pada Qartal.
“Aku tak nak makan. Aku nak keluar daripada sini. Lepaskan aku! Sia-sia saja kau kurung aku sebab memang aku tak tahu apa-apa pasal berlian tu. Kalau betul abah aku ada curi berlian tu daripada kau, kau mintak dengan dia bukan aku!” ujar Aisy. Air matanya menitis tanpa dia sedar apabila menyebut tentang ayahnya.
“Nak mintak dengan bapak kau? Sampai mampus pun dia takkan bagi. Satu-satunya cara nak dapatkan berlian tu balik, kita orang terpaksa gunakan kau. Orang yang dia sayang. Tapi tak tahulah kalau-kalau dia lebih sayangkan berlian tu daripada nyawa anak dia sendiri.” Jawab Qartal sambil menilik kukunya sendiri.
Aisy terdiam. Kedengaran esakan kecil terbit daripada bibirnya. Puas dia cuba menguatkan hatinya tetapi apabila menyebut tentang ayahnya, hati Aisy sedikit rapuh. Terbayang di ruang mata wajah Tuan Zabir yang semakin berusia. Rindunya semakin mengasak jiwa tetapi masih wujudkan peluang untuk dia menatap wajah ayahnya itu?
“Sekarang aku letak makanan ni kat sini. Lantaklah kalau kau nak makan ke tak. Peduli apa aku. Kau yang kebulur bukan aku.” Sambung Qartal apabila Aisy tidak membalas kata-katanya.
Pantas, dia bangkit dan menuju ke satu sudut yang disediakan untuk mengawasi tawanan-tawanan mereka. Qartal melabuhkan punggung di kerusi plastik yang telah disediakan. Anak matanya dibiarkan mengawasi gerak-geri Aisy yang kelihatan termenung panjang. Wajah gadis yang bertudung itu diamati dalam diam.
Dia tidak menyangka orang sejahat King mempunyai anak semanis Aisy. Tampak sopan tapi kuat melawan. Malah berkali-kali dia dihamburkan dengan kata-kata pedas oleh Aisy. Qartal mencebik sendirian.
“Kak Aisy…” panggil Ida sambil anak matanya memandang Qartal dan Aisy silih berganti. Dia bimbang jika Qartal menyedari yang dia sedang memanggil Aisy.
Aisy mengesat sisa air matanya dengan menggunakan lengan sebelum berpaling pada Ida. Dia mengangkat kening pada gadis remaja itu.
“Kenapa?” soalnya pendek.
Ida tidak menjawab sebaliknya dia memuncungkan bibirnya menunjukkan ke arah makanan yang tersadai di hadapan Aisy.
Aisy yang faham dengan isyarat Ida lantas mencapai bekas makanan tersebut dengan tangan yang masih berantai lalu makanan tersebut ditolak ke arah Ida. Sekilas dia mengerling ke arah Qartal yang kelihatan memejamkan mata. Tidur agaknya. Fikir Aisy.
“Terima kasih…” ucap Ida hanya menggerakkan bibirnya. Dia mengambil bekas makanan yang berisi nasi putih dan ayam goreng lalu dimakan dengan rakus.
Aisy hanya tersenyum nipis melihat Ida dan rakannya. Mungkin nasib Ida lebih teruk daripada aku. Bisik hatinya.
Tanpa sedar perbuatan Aisy diintai oleh Qartal. Seulas senyuman terukir di bibir Qartal yang ditutupi dengan topeng.

TUAN ZABIR menolak pintu dengan kasar. Dadanya turun naik menahan rasa yang bercampur baur. Antara risau, sedih dan amarah berkumpul dalam hatinya saat ini. Namun, langkah kakinya terhenti di muka pintu. Kelihatan sekujur tubuh yang ditutupi dengan kain pelekat terbaring kaku di atas lantai. Kedengaran alunan surah Yassin bergema di rumah batu itu.
“Ayah….” Desis Tuan Zabir perlahan. Dia melurut jatuh di muka pintu sambil anak matanya tuntas memandang tubuh tua yang ditutupi kain hingga ke kepala. Dia tidak dapat menahan kesedihan. Akhirnya, mutiara jernih menitis juga daripada sepasang mata tuanya.
Bacaan Nek Hajar terhenti. Dia mendongakkan kepala. Serentak, anak matanya tertangkap pada wajah yang amat dikenali. Spontan, air mata yang telah kering kembali bertakung. Zabir! Jerit hatinya.
Nek Hajar bangun lalu mendapatkan Tuan Zabir yang termenung panjang. Menantunya itu tidak berkata apa-apa sebaliknya hanya air mata yang lebat menuruni lekuk pipi.
“Apa yang dah mung buat, Zabir?” soal Nek Hajar perlahan tetapi cukup tegas.
Tuan Zabir mengalih pandangan. Wajah tua ibu mentuanya dipandang dengan pandangan kosong.
“Apa dah jadi, mak? Macam mana ayah boleh meninggal?” soalan dibalas soalan oleh Tuan Zabir.
Nek Hajar mengeluh panjang. Dia duduk bersimpuh di sebelah Tuan Zabir yang kelihatan murung. Itulah satu-satunya menantu yang dia ada. Selepas ketiadaan anak tunggalnya, Tuan Zabir yang menyara kehidupan mereka sekeluarga. Segala kemewahan dilimpahkan pada dia dan Tok Awang. Katanya sebagai membalas jasa kerana sudi menjaga Aisy. Tetapi kini baharu Nek Hajar sedar, kemewahan yang dilimpahkan bukan daripada sumber yang halal!
“Soalan tu bukan untuk mak. Sepatutnya mak yang tanya apa yang mung dah buat sampai ayah mung meninggal. Kenapa jalan ini yang mung pilih?” Nek Hajar membalas. Dia menundukkan wajahnya menahan rasa kecewa yang menggunung.
Tuan Zabir tersentak. Lama dia menatap wajah Nek Hajar mencari jawapan terhadap kata-kata ibu mentuanya itu.
“Apa maksud, mak? Apa kena mengena Zabir dengan kematian ayah?” soal Tuan Zabir tidak pelik.
Baharu saja Nek Hajar ingin membuka mulut, muncul Pian di hadapan muka pintu.
“Assalamualaikum, nek. Ada polis nak jumpa Nek Hajar.” Ucap Pian sambil menunjuk ke arah belakang.
Nek Hajar menjengah ke belakang. Salam Pian dijawab perlahan. Dari jauh kelihatan dua anggota polis berpangkat inspektor sedang berjalan di halaman rumah menuju ke ruang rumahnya. Nek Hajar tersenyum tawar sebelum anak matanya mengerling pada Tuan Zabir yang kelihatan gelisah.
“Polis? Buat apa polis datang sini?” soal Tuan Zabir lebih pada diri sendiri. Dia mula resah. Dahinya berpeluh lebat. Dia tidak boleh menunjukkan wajahnya pada pihak polis. Buruk padahnya nanti.
Lantas, Tuan Zabir bingkas bangun dan berlari menuju ke dalam bilik saat salam dihulurkan oleh salah seorang anggota polis tersebut.
Nek Hajar hanya memandang tingkah-laku Tuan Zabir dengan hatinya yang membengkak. Dia tidak menyangka jalan hitam yang dipilih oleh menantunya telah menghancurkan hidup mereka sekeluarga dengan sekelip mata.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.