Tetamu Rindu

Thursday 28 July 2016

QARTAL...PEMUSNAH HATI ( Bab 8 )



TIDUR Qartal terganggu apabila kedengaran pintu pondok yang sedang dijaga olehnya dikuak kasar dari arah luar. Dia terjaga. Anak matanya menebar ke muka pintu. Dia menelan air liur apabila melihat figura Razak Hitam sedang melangkah masuk ke dalam markas mereka. Serta-merta Qartal berdiri dan menunduk hormat.
“Bos…” Sapa Qartal perlahan saat Razak menghampiri dirinya.
“Kau yang jaga budak-budak ni? Geng kita yang lain mana?” soal Razak ingin tahu. Kelihatan Jamal turut datang bersama tiga orang lagi ahli kumpulan mereka yang lain.
“Jeff dan Bob pantau keadaan dekat jeti, bos. Malam nanti budak-budak, dan dua perempuan tu kita akan hantar ke seberang. Openg dan Lan keluar beli makanan.” Terang Qartal.
Razak menganggukkan kepala tanda faham. Perhatiannya teralih pada sebatang tubuh yang dirantai kemas di sebatang tiang. Kelihatan gadis muda itu sedang menyandarkan diri dalam keadaan lemah dan tidak berdaya. Razak tersenyum sinis lantas menghampiri. Dia duduk mencangkung berhadapan dengan gadis bertudung hitam itu.
“Jadi ini anak si King tak guna tu?” soal Razak sambil memaut kasar dagu Aisy.
Aisy yang hampir terlelap tersedar. Pantas dia menepis apabila wajahnya disentuh tanpa kebenaran. Anak matanya tegak memandang wajah yang cukup asing di pandangannya. Siapa pulak ni? Detik hatinya.
“Kau yang tak guna! Lepaskan aku sekarang!” bentak Aisy tanpa menunggu lama. Dia meronta-ronta di hadapan Razak.
Razak ketawa lepas. Dia memandang pada Jamal yang kelihatan serius. Anak mata Jamal tidak lepas daripada merenung Aisy. Kelihatan lelaki itu seperti sedang menahan amarah. Pandangannya sudah cukup untuk menjelaskan segala-galanya.
“Oh, kuat melawan. Macam bapak dia jugak. Tapi tak sangka King ada anak perempuan yang manis macam ni. Aku rasa kalau kita jual pasti hasilnya lumayan. Maklumlah, raja dunia hitam kononnya, tapi ada anak yang setaraf dengan ustazah.” Ejek Razak bersama tawa yang bersambung-sambung.
“Tapi bos lebih baik kita serahkan dia pada Kitai sebagai hadiah sebelum berlian tu kita jumpa.” Abdul memberi cadangan.
Razak terdiam sambil menjuihkan bibirnya. Ada benarnya juga cadangan Abdul tu. Dia mengamati batang tubuh milik Aisy daripada atas hingga ke bawah. Satu helai rambut pun dia tidak mampu lihat apatah lagi ingin melihat kulit mulus milik gadis genit itu.
“Aku setuju tapi sebelum tu aku kena check sama ada perempuan ni tak cacat apa-apa. Mana tahu dia tak ada rambut ke. Takkan Kitai tu nak perempuan yang tak cukup sifat. Abdul, kau tanggalkan tudung perempuan tu sekarang!” arah Razak dengan riak wajah yang serius.
Aisy terpempan. Air liur ditelan berkali-kali. Apa? Mereka nak tanggalkan tudung aku? Ya Allah! Jerit hati Aisy bersama gelengan yang laju. Dia menangis. Apabila Abdul semakin mendekati, semakin kuat tangisan Aisy.
“Tolong jangan tanggalkan tudung aku! Tolong jangan sentuh aku! Aku sanggup mati tapi tolong jangan buka tudung aku!” rayu Aisy dengan rontaan semakin menjadi-jadi.
Dengan tenaga perempuannya yang tidak seberapa kuat, dia cuba menendang betis Abdul yang semakin merapat. Dia meracau-racau seperti orang gila kerana tidak mahu disentuh oleh lelaki asing.
“Bos, perempuan ni bisinglah!” marah Abdul kerana tidak dapat melaksanakan arahan yang disuruh oleh Razak.
Razak mengetap bibir. Dia menghampiri Aisy. Lantas, rambut Aisy yang berbalut dengan tudung direntap kasar.
Arghhh!” Jerit Aisy. Kesakitan.
“Kau nak melawan? Kau lebih pilih mati daripada tanggalkan tudung buruk kau ni?” soal Razak sambil mengancing giginya.
Aisy cuba meleraikan pautan tangan Razak namun dia tidak berdaya. Tercungap-cungap dia cuba mengatur nafas yang tidak sekata. Rasa perit dan pedih ditahan dengan sekuat hati. Hanya doa yang terus dipanjatkan dalam hati.
“Ya! Kalau nyawa boleh gantikan maruah aku, aku sanggup kalau kau bunuh aku sekarang! Walaupun kau selamat dalam dunia ni tapi kau jangan lupa akhirat kau masih menunggu. La illa haillah inni kuntum minal zholimin.” Sebaris doa terlafaz di bibir Aisy yang pucat tidak berdarah.
Razak tersentak. Pantas, pautan di rambut Aisy terlerai. Telinganya seakan sakit mendengar ayat yang dilafazkan oleh Aisy. Dia menggelengkan kepala lalu menjarakkan diri daripada Aisy.
“Kenapa bos?” soal Abdul pelik melihat tingkah-laku Razak yang tiba-tiba berubah. Lelaki itu kelihatan resah tanpa punca.
Call King secepat mungkin. Aku nak tengok macam mana reaksi dia bila dia tahu anak kesayangannya dalam genggaman aku. Aku nak dia sendiri yang melutut serahkan berlian tu pada aku.” Ujar Razak.
Abdul hanya menganggukkan kepala. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Tidak lama kemudian gambar Aisy yang sedang dirantai diambil dari setiap sudut.
“Kita ambil gambar dulu bos sebab kalau nak call pun dalam hutan ni. Tak ada coverage.” Ujar Abdul sambil tersengih.
Razak hanya mendengus. Terlupa pula yang mereka sekarang berada di tengah hutan. Lalu, Razak kembali mengorak langkah menuju ke Aisy yang sedang duduk merapati dinding. Wajah gadis itu kelihatan pucat. Malah ada kesan lebam menghiasi pinggir bibirnya. Razak tersenyum sinis.
“Berapa kali aku nak cakap aku tak ada berlian tu kenapa kau tak percaya? Tolonglah lepaskan aku! Aku tak bersalah!” rayu Aisy lagi. Air matanya kembali bercucuran.
“Lepaskan kau?” perli Razak sambil menghembus asap rokok ke muka Aisy. Terbatuk kecil gadis itu dibuatnya.
“Baik aku akan lepaskan kau…” sambung Razak dengan wajah bersahaja. Dia merenung anak mata Aisy yang berair.
Aisy tersentak.
“Betul kau akan lepaskan aku?” soal Aisy kembali. Dia teruja.
“Betul. Tapi selepas kau jadi pelacur!” jawab Razak bersama tawa yang kuat.
Serentak, satu pondok buruk itu gamat dengan bunyi ketawa yang cukup menyakitkan telinga Aisy. Tawa yang mengejek dirinya.
Dada Aisy berombak kencang. Geram kerana diperkotak-katikkan. Lantas, tanpa amaran dia meludah muka Razak. Langsung tidak dihiraukan akibat yang bakal dia terima di atas sikapnya itu.
Tawa Razak terhenti. Dia menyentuh pipinya yang terasa melekit dengan sisa air liur milik Aisy. Dadanya mula turun naik menahan amarah yang semakin bergumpal di dalam dada. Tidak pernah sekali walau dalam hidupnya dia diludah sebegini. Hari ini, dia dimalukan oleh seorang perempuan kampung di hadapan anak-anak buahnya. Sungguh, Razak tidak dapat menerima kenyataan.
“Kau ludah aku? Berani kau ludah aku?” tempik Razak lantas tangannya dihayunkan tepat ke muka Aisy.
Panggg!
Aisy rebah. Pipinya terasa pijar namun dia puas. Puas kerana dapat membalas sakit hatinya. Lantas, Aisy bangkit kembali. Darah yang memenuhi ruang mulutnya diludah ke lantai. Kesakitan dialami langsung tidak memberi kudis dalam diri Aisy untuk menentang lelaki di hadapannya ini.
“Air ludah aku tu terlalu suci untuk orang yang hina macam kau!” maki Aisy lagi dengan suara yang perlahan. Dia senyum sinis apabila melihat wajah Razak mula memerah.
“Betina tak guna!” marah Razak.
Dengan amarah yang semakin memuncak, Razak menghadiahkan satu lagi tamparan di pipi kanan Aisy. Tidak kurang itu, perut Aisy ditumbuk dengan kejam. Jeritan Aisy langsung tidak memberi bekas dalam hati Razak.
Semua yang berada dalam pondok itu tidak mampu menghentikan keganasan Razak terhadap Aisy. Ida hanya mampu memejamkan mata. Dia menangis ketakutan melihat Aisy dikasari sebegitu.
“Kau nak lawan aku? Kau ingat kau siapa?” hambur Razak lagi sambil menendang kaki Aisy dengan kuat.
“Allah!” Raung Aisy kuat. Dia mengerekotkan tubuhnya. Kesakitan yang menjalar di seluruh tubuh melemahkan diri Aisy untuk melawan balik. Dia terbatuk kuat sehingga tersembur darah daripada mulutnya.
Hasbunallah wa nikmal wakeel.” Desis Aisy perlahan. Tiada daya upaya untuk dia melawan saat ini. Hanya pertolongan daripada Tuhan Yang Satu dia pohonkan.
“Kalau kau berdoa sekali pun, takkan ada sesiapa yang dapat selamatkan kau daripada aku!” balas Razak sambil menarik kasar rambut Aisy yang berbalut dengan tudung.
“Tiada satu pun yang terlepas daripada balasan Allah termasuk kau!” Aisy masih mampu untuk melawan padahal matanya mula berbinar. Kepalanya turut berpusing.
“Kurang ajar!” tempik Razak lagi lantas dia mengeluarkan pistol revolver daripada jaketnya lalu diletakkan tepat dia dahi Aisy.
“Jangan bos!” Suara Qartal menahan.
Semua mata memandang ke arah Qartal yang mula maju mendekati Razak yang kelihatan hilang kewarasan.
“Qartal, lebih baik kau jangan masuk campur urusan bos.” Jamal pula menegah.
“Aku bukan nak masuk campur tapi kalau perempuan tu mati, bos jugak yang rugi. Berlian kita tak dapat, dendam kau pada King pun akan jadi sia-sia. Kau nak sangat tengok King merana sama macam kau merana tapi kalau satu-satunya anak yang dia ada mati, macam mana kau nak tengok dia terseksa?” Hujah Qartal mendiamkan Jamal.
Kata-kata Qartal membuatkan Razak kembali menjatuhkan pistolnya. Ada benarnya omongan Qartal. Bagaimana dia ingin menentang King jika senjata utamanya sudah lenyap. Tidak. Dia tidak akan benarkan semua itu terjadi. Apa pun yang berlaku King harus jatuh tersungkur di kakinya. Tidak sabar rasanya Razak ingin melihat King melutut di kakinya. Dia akan pastikan saat itu akan tiba.
“Aku nak kau jaga perempuan ni dengan ketat. Kalau dia melawan, pukul aje tapi jangan sampai mampus. Aku nak tengok King jadi gila bila dia tahu anak dia dalam tawanan kita.” Ujar Razak membuat keputusan.
Dia memusingkan tubuh dan meninggalkan Aisy yang terkulai layu di atas lantai. Kedengaran bibir itu terbatuk kecil. Dia sudah tidak berdaya. Sakit yang dia rasa begitu mencucuk-cucuk sehingga terasa ke segenap urat-saraf. Adakah ini pengakhiran hidup aku? Detik hatinya.
Sedangkan Qartal hanya mampu memandang tubuh lemah Aisy dengan pandangan kosong.

“KAK AISY!” panggil Ida sewaktu semua penculik-penculik itu keluar dari pondok. Dia memandang pintu masuk pondok yang tertutup rapat. Bimbang jika suaranya membuatkan penculik itu datang kembali.
“Kau rasa Kak Aisy hidup lagi tak?” soal Hidayu perlahan.
Ida menjeling tajam pada Hidayu. Kurang gemar dengan soalan yang diajukan oleh gadis muda itu.
“Insya-Allah Kak Aisy tak apa-apa. Kak Aisy kuat.” Jawab Ida sambil pandangannya terarah pada tubuh Aisy yang masih terdampar di atas lantai.
“Kakak, bila kita boleh keluar daripada sini? Saya lapar.” Suara halus menyampuk membuatkan Ida dan Hidayu mengalih pandangan ke arah kanan mereka.
Wajah kelima-lima kanak-kanak yang turut ditawan dipandang dengan rasa sayu. Rata-rata kesemuanya kurus kering kerana berhari-hari mereka dijamu dengan roti dan air masak.
“Akak tak tahu, dik. Akak pun nak balik juga. Kita berdoa ajelah supaya Allah kirimkan orang untuk selamatkan kita.” Ucap Ida buntu.
“Tapi kak…”
Belum sempat budak lelaki itu bersuara, pintu pondok terkuak dari luar. Muncul Qartal dengan membimbit satu plastik berisi nasi bungkus dan air mineral. Dia mendekati Ida dan Hidayu. Bungkusan itu diletakkan di hadapan mereka berdua.
“Ni makanan untuk kau orang. Lepas ni jangan banyak bunyi. Aku tak suka dengar orang yang banyak cakap. Faham?” tekan Qartal sambil merenung tajam pada tawanan-tawanannya.
Hidayu dan Ida hanya mengangguk laju. Dia mencapai nasi bungkus itu lalu turut diberikan pada kanak-kanak yang lain. Agak sukar untuk dia menjamah makanan kerana tangannya masih terikat kemas. Namun dek kerana lapar, Ida terpaksa menopang nasi bungkus itu dengan kedua belah tapak tangannya. Kepalanya ditundukkan lalu dengan hanya menggunakan mulut, Ida menjamah nasi yang diberikan.
Sesekali anak mata Ida menyoroti tingkah laku lelaki bertopeng yang berada di hadapannya. Kelihatan lelaki itu merapati Aisy dengan membawa sebotol air mineral. Selama dia menjadi tawanan, belum pernah walau sekali pun dia melihat wajah sebenar lelaki bertopeng yang dipanggil Qartal itu. Apa yang Ida dapat lihat, hanya Qartal lebih berhati perut berbanding penculik yang lain.
Qartal menghampiri tubuh Aisy yang mengerekot di atas lantai. Anak matanya beralih pada wajah Aisy yang berbirat malah masih ada sisa darah di hidung dan di pinggir mulut gadis itu kesan daripada tamparan Razak Hitam.
Perlahan-lahan, Qartal mengeluarkan tuala kecil daripada poket seluarnya lalu sedikit air mineral dituangkan ke atas tuala itu. Dengan berhati-hati, dia mengesat darah kering yang terdapat di pinggir bibir Aisy.
Aisy yang terasa seperti wajahnya disentuh sesuatu lantas terjaga. Dia membuka mata dengan perlahan-lahan. Sebaik saja matanya dicelikkan, pandangannya terus bertaut dengan sepasang anak mata yang hitam pekat. Aisy terkedu. Malah, jantungnya mula berdengup laju. Tanpa membuang masa, dia bingkas bangun dan duduk merapati dinding. Dia memeluk lutut.
“Kau nak apa?” soal Aisy garang.
Qartal mengetap bibir. Kedegilan Aisy kadangkala menguji dirinya.
“Jangan banyak tanya boleh tak? Aku nak tolong cucikan luka kau tu. Kang tak pasal-pasal berulat pulak.” Ujar Qartal bersahaja.
Aisy menjeling benci. Tidak sedikit pun dia percaya pada lelaki di hadapannya ini. Sudahlah rupa pun tak kenal. Alih-alih nak tunjuk baik. Pasti ada yang tak kena. Detik hatinya.
“Tolong cucikan luka? Baik tak payahlah. Aku tak nak kau tolong cucikan luka, aku nak kau tolong lepaskan aku. Boleh?” cabar Aisy.
Qartal terdiam. Dia tetap merapati Aisy. Tuala yang telah dibasahkan sengaja disuakan ke wajah Aisy. Kata-kata Aisy dibiarkan tanpa balasan.
Aisy menepis apabila Qartal cuba menyentuh kulit wajahnya dengan menggunakan tuala. Dia memalingkan wajahnya ke tempat lain. Enggan menatap wajah lelaki itu.
“Sombong! Lantak kaulah!” bentak Qartal lalu mencampakkan tuala kecil itu tepat ke wajah Aisy. Dia bingkas bangun dan memusingkan tubuhnya untuk keluar.
Dia tergamam apabila melihat Jamal berada tepat di belakangnya. Renungan tajam lelaki itu tidak dipedulikan oleh Qartal. Dia menayang wajah selamba.
“Kau buat apa pada perempuan tu?” soal Jamal ingin tahu. Dia memandang Qartal dengan rasa curiga.
“Bukan urusan kau. Ini arahan Razak untuk aku jaga perempuan tu. Kenapa kau ada dekat sini? Sepatutnya kau ikut Razak balik.” Ujar Qartal mengalih topik perbicaraan mereka.
Jamal mengalih pandangan ke arah lain. Dia meneguk liur. Tidak betah dengan sorotan mata Qartal itu.
“Razak arahkan aku untuk pantau tempat ni. Kejap lagi budak-budak ni dan dua orang perempuan tu akan dihantar ke jeti Sungai Golok. Malam karang ada orang yang akan beli budak-budak ni.” Jawab Jamal sambil anak matanya tuntas memandang Aisy yang sedang menyandar lesu di tepi dinding.
Sebaik saja terpandang wajah lembut milik gadis itu hatinya tiba-tiba disengat amarah apabila terkenangkan adiknya yang mati di tangan Tuan Zabir. Api dendam yang menyala sukar untuk dipadamkan. Dia akan pastikan lelaki keparat seperti Tuan Zabir rasa apa yang dirasakan semenjak kematian Sham.
“Kalau macam tu aku keluar dulu. Aku nak cari orang kita yang lain. Boleh buat persiapan untuk malam ni. Kau jaga budak-budak ni. Aku nak keluar sekejap. Pastikan kau jangan tinggalkan tempat ni.” Qartal memberi arahan.
Jamal hanya menganggukkan kepala. Dia tersenyum tawar. Kalau ikutkan hatinya yang menggunung marah, sudah lama Aisy menjadi mangsa untuk dia melunaskan dendam. Tetapi Jamal berusaha untuk memujuk dirinya supaya bersabar. Dia tidak mahu segalanya menjadi kacau-bilau jika dia campur tangan. Biar Razak Hitam yang uruskan segalanya. Dia hanya ingin melihat. Melihat sejauh mana Tuan Zabir mampu bertahan melihat satu-satu anak kesayangannya diseksa oleh lelaki yang berhati binatang seperti Razak Hitam.
Satu senyuman sinis tersungging di bibir Jamal. Anak matanya dibiarkan memandang Aisy dengan penuh kebencian. Kau harus tanggung apa yang bapak kau telah lakukan!

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.