Tetamu Rindu

Monday 18 July 2016

QARTAL...PEMUSNAH HATI ( PROLOG )



“JANGAN lari!” bunyi jeritan yang bergema dalam hutan yang gelap pekat itu membuatkan si gadis terus membuka langkah seribu. Dia berpaling ke belakang seketika bagi memastikan jarak di antara dia dan orang yang mengejarnya jauh. Bertalu-talu tembakan kedengaran di telinganya. Dia kecut perut.
‘Allah, selamatkan aku.’ Detik hati kecil si gadis. Dia terpaksa merempuh segala jenis tumbuhan yang menghalang laluannya. Dia tahu langkahnya semakin jauh tersasar ke dalam hutan. Tetapi dia terpaksa demi menyelamatkan nyawa, maruah dan hidupnya.
Entah apa silapnya dia menjadi mangsa kepada manusia yang zalim. Hidupnya mahu digadaikan semata-mata kerana duit. Kebebasannya ingin disekat oleh orang yang tak berguna. Namun, Allah masih menyayanginya. Dia terselamat dari terus menjadi mangsa. Melarikan diri adalah cara yang terbaik walaupun dia tidak tahu bahaya apa yang akan mendatang selepas ini.
Langkah si gadis semakin perlahan. Peluh semakin membasahi pakaian yang dipakai. Baju kurung yang tersarung di tubuhnya menyukarkan pergerakkannya. Nafasnya semakin laju. Jantungnya juga mengepam darah dengan deras. Aliran pernafasannya semakin semput dan langkahnya terhenti.
Dia menyandarkan belakang badannya pada pokok bertujuan untuk melepaskan lelah. Dia dapat rasakan kepedihan di bahagian wajah dan kakinya, mungkin terkena ranting-ranting kayu sewaktu berlari tadi.
Si gadis memandang ke kiri dan kanan, semuanya gelap gelita. Bau hutan semakin mencucuk hidungnya. Tanpa sedar dia menangis sambil tubuhnya melurut jatuh di atas tanah.
“Ya Allah, aku takut…” ngongoi si gadis dengan tangisan yang semakin menjadi-jadi.
Berseorangan di dalam hutan yang gelap memang menakutkan. Ditambah dengan bunyi burung hantu yang sahut bersahutan menambah lagi rasa gerun dalam dirinya. Pantas, dia memeluk lutut.
Klik! Bunyi pemicu ditarik membuatkan mata si gadis terbuntang. Dadanya mula berombak ganas. Terasa kepalanya diacu dengan benda yang keras. Ya Allah, selamatkan aku! Rintih hatinya berkali-kali.
“Kau ingat, kau boleh lari? Kalau aku tak dapat jual kau hidup-hidup, mungkin mayat kau pun berharga!” suara garau itu berbunyi.
“Aku rela mati dari jadi mangsa kau, binatang!” jerit si gadis dengan lantang. Dia bangun dan menyerang lelaki bertubuh sasa yang berada di hadapannya sekarang ini dengan tangan kosong.
Namun, nasibnya malang apabila dua lagi lelaki yang berbadan tegap merentap tangannya dengan kasar. Kedua belah tangannya dipulas ke belakang. Tanpa belas kasihan, pipinya ditampar sekuat hati.
Lelaki bertubuh sasa itu meludah ke tanah. Terasa sakit wajahnya akibat dicakar oleh gadis itu. Rasa amarah semakin memuncak. Pistol diacukan ke kepala gadis itu dan….
Bang!!!
“Arghhhhh!!” bunyi jeritan gadis itu bergema di segenap hutan.
“Jeff!” Kedua-dua lelaki yang memulas tangan si gadis terus melepaskan pegangannya.
Mereka terkejut apabila melihat peluru melepasi kepala salah seorang rakan mereka. Darah memancut dari kepala lelaki bertubuh sasa itu sebelum tubuh tersebut tumbang menyembah tanah. Buntang mata mereka melihat tubuh  rakan seperjuangan mereka menggelupur seperti ayam disembelih.
Si gadis semakin tidak keruan. Dia tergamam tanpa riak. Melihat pembunuhan di hadapan mata bukan impian hidupnya selama ini.
“Siapa kau? Dasar pengecut!” maki salah seorang lelaki itu.
Dushhh!!
Hentakan keras di wajahnya membuatkan lelaki itu mengundur ke belakang. Seorang lelaki berambut panjang dan bertopeng muncul di hadapan mereka bertiga.
“Siiaa..paa kau?” soal lelaki itu tergagap-gagap.
Agak gentar dirinya apabila berhadapan dengan lelaki misteri yang memegang pistol di tangan. Bila-bila masa saja nyawanya boleh dicabut dengan pistol itu.
“Kau tak perlu ambil kisah siapa aku sebalik kau perlu kisahkan nyawa kau!” balas lelaki itu dengan kasar.
“Argghh, kau ingat aku takut? Baik kau cakap, kau dari kumpulan mana?”
Kelihatan lelaki bertopeng itu hanya merenung tajam kedua lelaki yang berada di hadapannya sebelum anak matanya beralih pada gadis yang masih kaku di belakang kedua lelaki itu.
“Aku? Aku dari kumpulan maut!” ucap lelaki itu.
Pantas, dua das tembakan dilepaskan. Sekelip mata mereka rebah menyembah tanah.
Si gadis menggeletar ketakutan. Dia terus jatuh melurut di atas tanah. Terasa seperti ada cecair melekit tersimbah di wajahnya dan itu adalah darah! Dia ingin menjerit tapi tiada suara yang terkeluar. Dia ingin menangis namun air matanya bagaikan beku. Akhirnya dia hanya mampu memandang lelaki bertopeng itu menghampirinya sebelum dia turut rebah tidak sedarkan diri.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.