Tetamu Rindu

Wednesday 3 August 2016

QARTAL... PEMUSNAH HATI ( Bab 11 )




LANGKAH terus dipercepatkan tanpa menghiraukan apa pun rintangan yang bakal menunggunya di hadapan. Saat  ini Aisy hanya fikirkan maruah dan keselamatan dirinya. Dia tidak sanggup lagi menjadi tawanan dan hampir-hampir menjadi alat pemuas nafsu pada manusia yang tidak berakal seperti empat orang lelaki yang sedang mengejarnya kini.
“Jangan lari!” Jerit suara itu dari arah belakang membuatkan Aisy meneruskan lariannya.
Habis semua ranting-ranting kayu dilanggarnya malah kakinya seakan tidak jejak ke bumi kerana terlampau laju berlari. Keadaan hutan yang gelap pekat menyukarkan Aisy untuk mencari arah. Dia hanya mengikut langkah kakinya saja.
Nafas Aisy semakin semput. Dia tidak berdaya lagi untuk berlari lantas lariannya berhenti secara perlahan-lahan. Dia duduk bersandar di sepohon pokok yang berakar banir. Bertujuan untuk melepaskan lelahnya buat sementara waktu. Air liur terus ditelan dengan dada yang turun naik mengawal nafas.
“Ya Allah, aku takut.” Desis hati Aisy sambil anak matanya melilau memandang ke sekeliling.
Tiada satu pun yang kelihatan di matanya hanya daun-daun kayu yang terbuai lembut mengikut rentak angin yang bertiup. Dia cuba mencari jalan keluar namun hampa. Aisy memejamkan mata buat seketika.
“Kau ingat kau boleh lepas daripada aku dengan senang macam ni?” soal satu suara mengejutkan Aisy. Matanya terbuka luas.
Jelas di pandangannya empat orang lelaki sedang berdiri di hadapannya. Seorang daripada mereka mengaju muncung pistol di dahi Aisy. Dada Aisy mula berdetak kencang. Saat ini hanya maut yang berada dalam fikiran Aisy.
“Kau orang nak apa? Lepaskan akulah!” Jerit Aisy. Geram.
“Bob, Jamal kau pegang perempuan ni. Dia nak tunjuk lagak pulak dengan kita!” Arah Jeff sambil anak matanya masih mengawal setiap pergerakan Aisy.
Aisy cuba mengelak. Wajah Bob dan Jamal yang cuba mendekat ditampar sekuat hati malah kaki lelaki itu turut dipijak. Namun, usaha Aisy sia-sia apabila dengan senang, Jamal merentap tangannya dan memulas kedua belah tangannya ke belakang. Aisy menjerit kesakitan.
“Kau memang degil kan? Kalau aku tak boleh jual kau hidup-hidup, aku rasa mayat kau pun berharga!” Ujar Jeff.
Dia mengangkat pistol lalu diacukan tepat ke dahi Aisy. Kemarahannya sudah tidak mampu dikawal. Kedegilan Aisy membuatkan dia lupa seketika pada arahan Razak. Mungkin dengan melihat kematian Aisy itu merupakan satu kepuasan buat dirinya.
“Lebih baik kau ucap selamat tinggal. Aku benci dengan perempuan yang kuat melawan macam kau!” Sambung Jeff lagi sambil menarik picu pistol. Bila-bila masa saja tembakan akan dilepaskan.
Aisy memejamkan mata. Mungkin inilah penamat hidupnya. Ya Allah, ampunkan segala dosa-dosa aku. Detik hati Aisy. Pasrah.
Jeff ketawa melihat reaksi Aisy. Dia sudah bersedia untuk melepaskan tembakan. Lalu…
Bang!
Ada darah terpercik di wajah Aisy. Dia membuka mata. Sungguh dia terkejut melihat batang tubuh Jeff yang jatuh melurut ke atas tanah sebelum menggelupur seperti ayam disembelih.
“Jeff!” Jerit Jamal, Bob dan Abdul. Mereka tergamam melihat Jeff yang sudah bertukar menjadi mayat dengan sekelip mata. Mereka berpaling ke belakang.
Kelihatan seorang lelaki berpakaian hitam dan bertopeng merenung tajam ke arah mereka bertiga. Kecut juga perut mereka apabila melihat lelaki misteri itu memegang pistol yang masih berasap. Mereka cuak. Malah, pegangan di tangan Aisy turut terlerai.
“Tak guna! Siapa kau?” Soal Jamal dengan suara yang terketar-ketar. Keadaan yang gelap menyukarkan mereka untuk mengecam wajah lelaki yang berbadan tegap itu. Sekali dilihat gerak gayanya seakan-akan Qartal tetapi tidak mungkin Qartal membunuh Jeff. Telah hati mereka bertiga.
“Siapa pun aku, bukan urusan kau!” Suara garau itu berbunyi.
“Qartal?” Abdul menyoal pelik.
Serentak Abdul menyebut sebaris nama itu, sepantas kilat lehernya dihujah dengan peluru membuatkan Abdul terus terdiam. Dia jatuh tersembam di atas tanah dengan mata yang terbeliak.
“Abdul!” Jerit Jamal dengan mata yang terbuntang.
Kini tinggal dia dan Bob. Mereka cuba meraba pistol yang biasa tersisip di pinggang namun kali ini nasib mereka tidak baik, pistol tertinggal di pondok. Bob mengetap bibir mengawasi setiap pergerakan lelaki misteri itu.
“Tak guna. Lebih baik kau cakap, kau dari kumpulan mana!” Jamal cuba melengah-lengahkan masa. Anak matanya tertangkap sebatang kayu yang mungkin boleh dijadikan senjata untuk mempertahankan diri.
“Aku dari kumpulan maut!” Jawab lelaki itu.
Lantas, dua das tembakan dilepaskan tepat mengenai bahu dan rusuk kedua-dua penjahat itu. Kedua-dua lelaki itu tumbang menyembah tanah.
Aisy menggeletar ketakutan. Kepalanya mula berbinar-binar. Melihat pembunuhan di hadapan mata bukan impian hidupnya selama ini! Akhirnya, Aisy turut jatuh melurut di atas tanah. Matanya terpejam rapat.

“NENEK!” Jerit Aisy lantang sebelum matanya yang terpejam dibuka dengan seluas-luasnya. Aisy cuba mengatur nafasnya yang tidak teratur. Mimpi ngeri semalam membuatkan lenanya terganggu.
Anak mata Aisy melilalu melihat kawasan sekeliling. Aik, dah cerah? Bukan ke semalam hutan ni gelap? Dah pagi ke? Aku kat mana ni? Bertubi-tubi soalan menjengah minda Aisy. Namun, dia tiada jawapan.
“Dah besar-besar pun, tidur masih mengigau,” sapa satu suara mengejutkan Aisy. Dia terlompat daripada tempat duduk.
Pandangan dihalakan pada sebatang tubuh yang duduk bersandar di sebatang pokok. Lagaknya cukup santai dengan jaket hitam berhoodie dan memakai topeng yang turut berwarna hitam. Hanya menampakkan sepasang mata dengan renungan yang cukup tajam.
Lelaki tu! Jerit hati Aisy ketakutan. Masih segar dalam ingatannya bagaimana lelaki bertopeng itu menembak tepat kepala lelaki yang menculiknya. Malah lelaki itu berjaya menumpaskan tiga lagi lelaki yang mengejarnya semalam. Jadi kenapa lelaki misteri ini menyelamatkannya? Aisy mula cuak. Dia cuba mengintai peluang untuk melarikan diri.
“Nak lari ke? Pergilah kalau berani.” Ujarnya dengan bersahaja.
Aisy menelan air liur. Dia dapat rasakan wajahnya pucat tidak berdarah dan jika ditoreh dengan pisau sekali pun pasti lukanya tidak mengeluarkan darah.
“Kau siapa? Kau nak apa dengan aku? Aku tak ada duit. Aku bukan anak orang kaya.” Balas Aisy cuba meraih simpati lelaki di hadapannya ini.
“Aku tak nak duit kau tu.”
“Habis tu kau nak apa?” Pintas Aisy dengan laju. Dia menyeka peluh yang mula memercik di dahi.
Lelaki itu mencebik. Dia menjongketkan bahu dan mula merapati Aisy.
“Entah. Mungkin aku nak cari hiburan sikit. Selama ni aku asyik ikut telunjuk orang, jadi kali ni aku nak orang pula ikut telunjuk aku!” Balas lelaki itu sambil berdiri bertentangan dengan Aisy yang sudah terperangkap di batang pokok.
“Jangan dekat! Jangan dekat aku!” Aisy menjerit.
“Syhhhh! Jangan buat bisinglah. Kau nak ke geng-geng Razak tu datang tangkap kau lagi?” Lelaki itu bersuara keras sambil meletakkan jari telunjuknya di bibir.
Aisy terdiam apabila mendengar nama Razak disebut. Itulah nama ketua kumpulan samseng yang menculiknya. Jadi lelaki di hadapannya ini siapa? Takkan….
“Kau orang Razak kan? Kau lelaki bertopeng yang ceroboh rumah aku hari tu. Kau bunuh kawan-kawan kau semalam?” soal Aisy dengan mata yang membulat besar. Dia tidak percaya lelaki yang berada di hadapannya ini adalah salah seorang penculik yang bertanggungjawab memerangkap dia di dalam hutan ini dan semalam, lelaki itu juga telah menyelamatkan nyawanya.
“Baguslah kalau kau dah kenal. Tak perlulah aku susah payah kenalkan diri. Semalam tu, bukan sengaja pun aku nak selamatkan kau tapi perbuatan mereka dah melampau. Elok sangatlah kalau mati pun.” Balas Qartal cukup bersahaja tanpa perasaan bersalah.
Dengan selamba, dia membelek-belek pistol revolver yang masih berada di tangannya. Setiap kelosong peluru diperiksa sebelum ditambah dengan peluru yang baru.
Aisy memerhati setiap perilaku Qartal dengan rasa curiga. Dia masih tidak dapat meneka apa yang berada di dalam fikiran lelaki misteri itu. Dahlah rupa pun tak tahu. Hati budi jauh sekali nak kenal. Mustahil dia selamatkan aku tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Detik hati Aisy membuat telahan sendiri.
“Aku nak balik rumah!” ucap Aisy tiba-tiba.
Qartal mendongak. Pandangan mata mereka bertaut sejenak sebelum Qartal mengalihkan bola matanya ke arah lain.
“Pergilah balik. Siapa yang halang? Tapi aku tak jamin akan selamatkan kau sekali lagi kalau geng-geng Razak tu tangkap kau. Kalau semalam dia orang hampir rogol kau, aku rasa kali ni gerenti kau jadi lauk je untuk dia orang. Aku tumpang tengok jelah.” Jawab Qartal selamba.
Aisy meneguk liur buat kesekian kali. Terimbas kembali perbuatan kurang ajar koncu-koncu Razak semalam. Kalau bukan disebabkan Qartal yang datang tepat pada masanya, dia pasti nyawanya sudah melayang saat ini. Jadi apa yang harus aku buat sekarang?
“Errrr…aku tak nak. Kalau aku ikut kau boleh?” Soal Aisy antara yakin dan tidak yakin.
“Kau nak ikut aku? Kau tak takut aku hantar kau pada Razak semula?” Qartal ingin menguji. Dia merenung tepat ke anak mata Aisy yang kelihatan tidak tentu arah. Masih ada perasaan was-was yang terbias di sebalik anak mata bundar itu.
“Tak mungkin kan kau kembali pada Razak lepas kau bunuh orang-orang dia. Aku pasti Razak pun tengah cari kau juga sekarang. Nyawa kau dan aku sama-sama dalam bahaya jadi apa kata kalau kita cari jalan untuk keluar dari hutan ni sama-sama.” Jawab Aisy sambil tersengih.
Dalam ketakutan dia melihat penampilan Qartal yang misteri tetapi jauh dalam hatinya, timbul perasaan selamat jika Qartal ada bersama. Sekurang-kurangnya dia masih ada tempat untuk meminta pertolongan walaupun dia tidak pasti sejauh mana kebaikan Qartal.
“Nak cari jalan? Kau ingat ada GPS tak pun Waze yang boleh bagi kau petunjuk. Lima ratus meter, belok ke kanan. Jalan terus, seratus meter belok ke kiri. Macam tu?” Balas Qartal sambil mengajuk arahan yang biasa didengari apabila menggunakan aplikasi Waze.
Aisy mengetap bibir menahan tawa. Tak sangka, mamat serba hitam ni tahu buat lawak. Detik hati Aisy.
“Okey, aku tahu payah nak keluar. Tapi kita cubalah redah dulu. Takkan kau tak ingat jalan masuk ke sini. Kau kan biasa keluar masuk markas Razak tu.” Aisy bersuara.
Qartal mendengus.
“Masalahnya, jalan yang aku biasa guna tu kat depan. Sekarang mungkin kita dah semakin jauh daripada markas Razak. Semalam masa kau pengsan, aku terpaksa pikul kau bawak lari. Faham!” tekan Qartal dengan suara yang tertahan-tahan.
Aisy melongo mendengar kata-kata lelaki yang tidak diketahui namanya itu. Terkebil-kebil dia cuba menganalisa bait-bait yang dimuntahkan tadi.
“Kau pikul aku?” Soal Aisy sambil menghalakan jari telunjuk ke mukanya sendiri.
“Hmmm….” Qartal menggumam.
Wajah Aisy berubah rona. Merah.
“Kau bawak aku lari sampai ke sini?” Soalnya lagi.
Qartal menjeling. Berapa kali aku nak ulang benda yang sama minah ni pun. Sekali aku luku dengan pistol ni, pengsan seumur hidup kang. Bebel hati Qartal.
“Yalah. Kalau tak, kau tu dah lama jadi arwah kena cincang dengan Razak.” Balas Qartal.
Tetapi Aisy tidak dapat menerima. Malunya hanya Tuhan yang tahu. Tidak dapat dibayangkan bagaimana Qartal memikul tubuh genitnya sehingga jauh ke tengah hutan dalam keadaan dia tidak sedarkan diri. Malunya aku! Jerit hati Aisy. Tiba-tiba dia jatuh terduduk di atas tanah. Dia memeluk lutut sambil menekup wajahnya dengan kedua belah telapak tangan.
Qartal memandang pelik tingkah laku Aisy. Kedengaran esakan halus terbit daripada celah bibir gadis itu. Lantas, Qartal menghampiri.
“Kau ni dah kenapa tiba-tiba je nak menangis?” soal Qartal sambil menolak perlahan bahu Aisy.
Aisy menepis kemudian menggelengkan kepala.
“Malulah!” jawabnya dengan suara yang tenggelam timbul.
“Malu?” Dahi Qartal berlapis.
“Nak malu sebab apa pulak?” Soalnya kembali.
“Malulah sebab kau dukung aku. Aku tak suka tahu tak!” Bentak Aisy.
Qartal berjeda. Tidak lama kemudian dia ketawa.
“Hoi, kau tak payah nak perasan. Aku tak rasa apa-apa pun masa dukung kau tu. Kau bukan jenis perempuan yang aku suka!” Balas Qartal setelah tawanya reda.
Aisy tersentak. Serta-merta tangisannya terhenti. Dia mendongak memandang lelaki bertopeng itu. Satu jelingan dihadiahkan.
“Orang macam kau ada perasaan ke? Pembunuh! Penculik! Penceroboh!” Jerit Aisy tiba-tiba. Dia jadi geram dengan setiap bait yang dituturkan oleh Qartal.
Berdesing telinga Qartal. Serentak pada masa yang sama, dia terdengar ranting kayu dipijak sesuatu. Sepantas kilat, dia menekup mulut Aisy. Rontaan gadis itu tidak dihiraukan. Dia yakin ada seseorang sedang mengekori mereka. Tapi siapa?

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.