Tetamu Rindu

Tuesday 9 August 2016

QARTAL...PEMUSNAH HATI ( Bab 13 )




LANGKAH Aisy semakin longlai. Dia kepenatan. Hampir berjam-jam mereka berdua berjalan namun bayang sungai pun tidak kelihatan. Di kiri dan kanan dipenuhi dengan pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan hutan yang jarang dilihat. Aisy mengeluh panjang sebelum dia terduduk di atas tanah buat kesekian kali. Perutnya yang lapar minta diisi makin menyukarkan untuk dia bergerak kerana telah banyak kehilangan tenaga.
“Penatnya, Ya Allah!” Keluh Aisy lalu dia terbaring di atas tanah. Matanya dipejamkan.
Qartal hanya menggelengkan kepala melihat tingkah Aisy. Jelas, dia pun kepenatan. Bukan setakat penat tapi panas dan rimas dengan topeng yang tersarung di wajahnya. Perlahan-lahan, Qartal menjatuhkan hoodie yang tersakut di kepalanya. Topeng hitam yang sentiasa menutupi hidung dan mulutnya juga ditanggalkan.
Wahhh… Selesanya. Getus hati Qartal saat wajahnya yang sekian lama terlindung disebalik topeng disapa dengan angin hutan. Memang menyegarkan. Dia mengibas-ngibas tubuhnya yang terasa panas dan melekit.
“Kau tak rasa lapar ke? Aku nak….”
Kata-kata Aisy mati di situ saat matanya tertangkap pada seraut wajah yang cukup asing di pandangannya. Terkebil-kebil dia memandang wajah Qartal yang sebenar. Sedikit ternganga dia melihat wajah lelaki itu tanpa topeng.
‘Biar betul muka mamat ni? Cukup sifat rupanya tapi kenapa dia sembunyikan selama ni?’ Soal hati Aisy sambil mengamati wajah Qartal sedalam-dalamnya.
Nak kata buruk, taklah buruk. Cuma wajah itu nampak serabut kerana dipenuhi dengan misai dan janggut yang disimpan menjadi goatees. Kulit wajahnya tidak cerah dan tidak terlalu gelap. Sawo matang. Rambutnya panjang hingga ke paras bahu dan kelihatan berserabai seperti tidak pernah dirapikan. Malah, anak rambut dibiarkan terjuntai di dahi sehingga hampir menutupi separuh dahi lelaki itu.
“Dah puas tilik muka aku? Hensem tak?” Soalan Qartal mematikan lamunan Aisy.
Segera Aisy berpaling ke arah lain. Dia berdeham sambil bingkas bangun dan membetulkan duduk. Tiba-tiba saja dia rasa tidak selesa dengan renungan tajam milik Qartal.
“Mana ada aku tilik muka kau. Buang masa je.” Balas Aisy tidak mahu mengaku.
Qartal tersenyum sinis. Sudah terang lagi bersuluh minah hoi, kau tenung muka aku macam muka aku ni ada ketumbuhan. Itu pun tak nak mengaku. Dasar perempuan! Omel hati Qartal.
“Lantak kaulah. Kau tunggu sini, aku nak cari makanan.” Ujar Qartal lantas bingkas bangun.
“Hah? Kau suruh aku tunggu sini? Aku tak nak. Aku nak ikut kau. Aku takut!” Ujar Aisy terus bangun.
Qartal mendengus. Dia mencekak pinggang.
“Jangan banyak songeh boleh tak? Duduk ajelah dekat sini. Aku pergi bukannya jauh. Kau tu suka buat bising, susah aku nak cari makanan. Ke kau nak mati kebulur dalam hutan ni?” Soal Qartal garang. Sengaja dia meninggikan suaranya agar Aisy takut.
Aisy menggeleng laju. Dia menarik lengan baju Qartal. Dia betul-betul takut jika ditinggalkan keseorangan. Dia bimbang jika orang-orang Razak datang menyerang.
“Tapi aku takut. Macam mana kalau orang-orang Razak jumpa aku. Aku tak nak kena kurung lagi. Aku tak nak kena rantai. Tolonglah, Qartal. Biar aku ikut kau cari makanan. Aku janji aku tak buat bising.” Pinta Aisy sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya seolah-olah berikrar.
Qartal mula serba-salah. Dia tidak betah apabila melihat anak mata yang redup itu. Apa yang dah jadi pada kau ni, Qartal? Kau kena kuatkan hati. Kena garang sikit dengan perempuan ni. Nanti dia pijak kepala kau. Hatinya bersuara.
“Tak boleh! Kau tunggu sini. Kalau kau ikut aku, aku tak teragak-agak nak tamatkan riwayat kau. Pistol aku ni peluru pun penuh lagi. Setakat tembak kepala kau yang kecil ni apalah sangat. Pisau aku pun tajam juga ni. Sekali tikam, gerenti mati. Jadi kau buatlah pilihan sekarang.” Ucap Qartal cukup bersahaja. Dia menepis tangan Aisy yang bergayut di lengan baju jaketnya.
Aisy menelan liur. Apabila menyebut soal pistol pasti dia akan menyerah kalah. Lelaki di hadapannya ini bukan boleh dibuat main. Silap gaya, nyawanya juga akan melayang. Lantas, satu sengihan ditayangkan pada Qartal sebelum dia duduk kembali di atas tanah sambil menyandarkan tubuhnya di batang pokok.
“Baiklah, aku tunggu sini. Kau pergilah cari makanan.” Balas Aisy akhirnya. Dia menampar lembut lengannya yang digigit nyamuk yang berterbangan.
Qartal tersenyum nipis. Tahu takut. Pantang diugut pasti Aisy akan menyerah kalah. Hati kuman juga perempuan ni. Komen Qartal cuma dalam hati.
“Bagus. Mulai saat ni, aku akan tetapkan syarat. Kau kena ikut semua cakap aku kalau kau nak selamat keluar dari hutan ni. Boleh?” soal Qartal.
Aisy angguk kepala. Memang itulah yang dilakukan sekarang. Ikut segala arahan Qartal tanpa banyak soal. Iya ke tanpa banyak soal? Aisy memicit dahinya sendiri.
“Satu lagi, jangan banyak tanya. Aku tak suka perempuan yang banyak soal.” Tambah Qartal lagi.
“Habis tu kau suka perempuan macam mana?” Soal Aisy. Qartal menjengilkan matanya. Aisy menepuk mulutnya sendiri.
“Maaf, tak sengaja. Baik, aku takkan tanya apa-apa lagi tentang kau.” Jawab Aisy sambil menundukkan pandangan. Akur dengan arahan Qartal. Dalam keadaan sebegini, dia tidak boleh mencari pasal dengan Qartal kerana hanya lelaki itu saja harapannya untuk keluar dari hutan yang tebal ini. Walaupun dalam hatinya masih ada rasa ragu-ragu dengan lelaki itu.
“Sekarang, kau ambil pisau ni untuk jadikan senjata. Jangan tidur sewaktu aku tak ada. Ingat, dalam hutan ni bukan orang-orang Razak je yang berbahaya, binatang pun berbahaya. Faham?” Sambung Qartal lagi.
Aisy hanya menganggukkan kepala tanda faham. Dia mencapai pisau rambo yang dihulurkan oleh Qartal. Dia mengenggam kemas pisau yang diberi sambil anak matanya melilau memandang sekeliling.
Qartal tersenyum nipis melihat Aisy yang akur dengan setiap kata-katanya. Dia mula mengatur langkah. Namun, langkahnya terhenti apabila namanya diseru oleh Aisy. Dia merengus kasar.
“Qartal…” Panggil Aisy perlahan.
“Apa lagi ni?” Bentak Qartal. Geram.
“Jangan pergi lama-lama. Aku betul-betul takut ni…” Ucap Aisy dengan suara yang tenggelam timbul akibat menahan tangis.
“Kau takut apa pulak ni?” Dengus Qartal sambil berpaling sedikit ke belakang. Memang jelas di pandangannya wajah Aisy bertukar keruh. Nampak seperti ingin menangis.
“Takut kau tinggalkan aku dalam hutan ni sorang-sorang.” Balas Aisy sambil menahan sebak.
Qartal menggigit bibir mendengar kata-kata Aisy. Sayu saja suara itu kedengaran di peluput telinganya.
“Jangan nak mengarut!” Balas Qartal lantas meneruskan langkah tanpa menoleh ke belakang lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.