Tetamu Rindu

Monday 1 August 2016

QARTAL...PEMUSNAH HATI ( Bab 9 )



SELEPAS urusan pengebumian Tok Awang selesai, Nek Hajar terus pulang ke rumahnya. Air mata masih lagi tidak henti-henti mengalir mengenangkan keadaan keluarganya yang huru-hara. Takdir kematian Tok Awang diterima dengan hati yang reda tetapi kehilangan Aisy yang diculik tempoh hari masih tidak dapat diterima oleh akal Nek Hajar.
Sebaik saja sampai di rumah, Nek Hajar terus melangkah masuk ke dalam rumah. Waktu ini rumahnya kembali sunyi. Semua jiran tetangga telah pulang ke rumah masing-masing sebelum datang kembali selepas asar untuk menyediakan kelengkapan majlis tahlil untuk arwah Tok Awang.
Nek Hajar menyeka peluh dan air mata yang membasahi wajah tuanya. Dia menghela nafas panjang dan menghembuskannya dengan perlahan.
“Kenapa polis datang tadi, mak?” sergah satu suara mengejutkan Nek Hajar. Dia berpaling.
Kelihatan Tuan Zabir berdiri berhadapan dengannya sambil anak mata lelaki itu melilau memandang ke luar rumah melalui tingkap.
Bakpe mung macam takut je bila polis datang. Mung ada buat saloh ke?” soal Nek Hajar kembali tanpa menjawab soalan Tuan Zabir.
Tuan Zabir terkelu dengan soalan yang terbit daripada mulut Nek Hajar. Seboleh mungkin dia cuba mengawal riak wajahnya. Dia berdeham kecil.
“Mana ada Zabir takut, mak. Zabir cuma tak suka polis tu datang, lagi pun buat apa dia datang. Ayah meninggal sebab sakit biasa je kan?” Jawab Tuan Zabir cuba berdalih.
Nek Hajar mengeluh kecil. Wajahnya yang sudah berkedut, diraup dengan kedua belah telapak tangannya. Kesal dengan sikap yang ditunjukkan Tuan Zabir. Selama ini dia percaya menantunya itu bekerja keras untuk menyara kehidupan mereka sehinggalah mereka tiga beranak dapat hidup dengan senang lenang di kampung. Ternyata di sebalik kemewahan yang  dilimpahkan kepada Nek Hajar dan sekeluarga ada hak orang lain yang dirampas kejam oleh Tuan Zabir. Nek Hajar kecewa. Cukup kecewa.
“Ayah mung meninggal bukan sebab sakit biasa tapi sebab mung!” Suara Nek Hajar mula meninggi. Melotot anak matanya merenung wajah Tuan Zabir yang selamba. Dia cuba menahan sabar tapi bayangan peristiwa sewaktu empat lelaki bertopeng menyerang rumah mereka disebabkan berlian yang dicuri oleh Tuan Zabir, kesabaran Nek Hajar terbang entah ke mana.
“Apa yang mak merepek ni? Zabir tak tahu menahu pasal ayah. Macam mana ayah boleh meninggal sebab Zabir pulak.” Jawab Tuan Zabir sambil ketawa kecil.
“Mak bukan bodoh, Zabir. Mung ingat mak dok tahu benda hok mung buat belakang mak. Malam sebelum ayah mung meninggal, rumah ni kena ceroboh dengan empat orang lelaki yang cari berlian dia hok mung curi. Mung buat benda ni, Zabir? Mung tahu dok, Aisy sekarang jadi tawanan orang-orang jahat tu!” Jawab Nek Hajar dengan esakan halus mula kedengaran.
Tuan Zabir tersentak. Aisy diculik? Hati Tuan Zabir tersentap. Berubah terus wajahnya.
“Aisy kena culik, mak? Siapa yang culik? Kenapa mak tak bagi tahu Zabir awal-awal?” bertubi-tubi soalan yang muntah daripada mulut Tuan Zabir. Kedua-dua belah bahu Nek Hajar digoncang kuat.
“Sepatutnya mak tanya mung, Zabir. Mung lebih kenal siapa musuh mung. Dia nak mung pulangkan semula berlian tu sebelum dia orang apa-apakan Aisy. Mak dok mintak banyok dengan mung, Zabir. Mak mintak mung selamatkan Aisy. Pulangkan semula barang yang bukang milik mung.” Ujar Nek Hajar dengan suara yang lirih.
Tuan Zabir tertunduk. Dia mengetap bibir. Pautan di bahu Nek Hajar terlepas. Dadanya mula berombak menahan rasa marah. Selama ini bukan main dia menjaga rahsia tentang keluarganya dan sengaja dia hantar Aisy jauh kampung arwah isterinya di hulu Terengganu semata-mata tidak mahu musuhnya mengesan keberadaan satu-satu warisnya. Kini semuanya hancur. Dia yakin pasti ada seseorang dalam kumpulan AK47 yang membelot padanya.
“Tak guna!” Bentak Tuan Zabir tiba-tiba. Pantas, satu tumbukan dilepaskan di dinding batu rumahnya. Buku limanya yang berdenyut, tidak dipedulikan.
“Mak dok tahu bakpe mung jadi gini. Mak dok sangka jalan ni yang mung pilih, Zabir. Patutlah mung dok pernah balik ke sini rupa-rupanya benda ni mung rahsiakan pada Aisy dan mak. Mak kecewa dengan mung. Lebih baik mung serah diri jelah kat polis. Biar polis yang selamatkan Aisy. Bendalah nasib cucu mak tu sekarang.” Keluh Nek Hajar dengan ngongoian yang semakin jelas.
Tuan Zabir berpaling pada Nek Hajar. Menyerah diri pada polis? Tidak akan sesekali!
“Mati hidup balik pun Zabir takkan serah diri pada polis, mak. Takkan!” balas Tuan Zabir dengan suara melengking tinggi.
Nek Hajar tersentak. Dia memandang Tuan Zabir dengan pandangan tidak percaya. Air mata yang mengalir laju disapu kasar dengan lengan bajunya.
“Habis tu mung nak biar je Aisy tu kena culik? Mung lebih suka tengok anak mung dalam bahaya daripada serah diri? Mung tahu dok benda hok mung buat selama ni saloh? Mana iman mung Zabir? Mana?” Nek Hajar turut bertempik dengan soalan-soalan yang menyesakkan fikiran Tuan Zabir.
“Zabir buat semua ni untuk kita, mak. Dengan cara dan jalan ni saja yang boleh bagi kita kesenangan. Masa Zabir susah, tak ada siapa pun yang sudi berkawan. Semua orang kampung pandang rendah pada Zabir, tapi sekarang bila Zabir dah kaya, semua berlutut nak mintak Zabir tolong. Zabir dah buktikan pada mereka yang Zabir jugak boleh berjaya. Zabir boleh beri mak dan Aisy kekayaan dan kesenangan.” Balas Tuan Zabir dengan suara yang kembali mengendur.
“Dengan mengorbankan nyawa ayah mung? Dengan meletakkan nyawa Aisy dalam bahaya? Ni yang mung kabor kesenangan, Zabir? Aku takboh semua tu!”
“Habis tu mak nak terus miskin? Kena hina, kena caci dengan orang sebab miskin, mak nak ke semua tu? Zabir tak nak!” pintas Tuan Zabir berkeras.
Nek Hajar menggelengkan kepala perlahan. Dia tidak menyangka sikap Tuan Zabir berubah sejauh ini.
“Tapi kalau kaya dengan cara yang salah, mana keberkatannya? Mung ingat hidup mung akan tenang dengan merompak, jual perempuan, jual dadah tu? Sudahlah tu Zabir. Taubatlah!” nasihat Nek Hajar lagi.
Berdesing telinga Tuan Zabir mendengar perkataan taubat yang keluar daripada mulut Nek Hajar. Dia mengepal penumbuk. Hatinya memberontak marah.
“Mak nak suruh Zabir taubat? Selama ni Zabir berdoa siang malam untuk dapat kesenangan, ada Tuhan bagi? Tak ada, mak. Makin Zabir susah adalah. Sekarang bila Zabir dah senang dengan cara Zabir, mak nak suruh Zabir bertaubat? Kembali pada Dia? Memang taklah!” balas Tuan Zabir dengan senyuman sinis.
Nek Hajar terkesima. Dia mengurut dada. Terkejut dengan kata-kata Tuan Zabir berbaur riak.
Astaghfirullah-al-azim. Bawak mengucap Zabir. Jangan kufur nikmat, nak. Harta yang mung dapat sama ada jalan halal atau haram, itu tetap dengan izin Allah. Mung tu bukan sesiapa pun tanpa pertolongan Allah!” Bantah Nek Hajar mematahkan bicara Tuan Zabir.
Arghhh! Semuanya karut!”
Mung tu yang kena berubah, Zabir. Baik, kalau mung takboh serah diri, biar mak yang serahkan mung kat polis…” ujar Nek Hajar lalu melangkah laju menuju ke telefon yang terletak di atas meja hiasan.
Tuan Zabir cuak. Pantas, dia segera berlari mendapatkan Nek Hajar yang sedang mengangkat gagang telefon. Lengan Nek Hajar dipaut kasar lalu gagang telefon tersebut dirampas sebelum dibaling ke lantai.
Terbeliak mata Nek Hajar melihat telefonnya yang pecah berderai. Lagi dia terkejut apabila Tuan Zabir mencengkam kuat lengannya.
“Lepaskan mak, Zabir! Sakit!” Adu Nek Hajar cuba menepis tangan Tuan Zabir.
“Aku memang pantang kalau ada orang yang cuba tunjuk pandai dengan aku. Kau nak repot polis? Kau belum kenal aku siapa.” Bahasa Tuan Zabir mula berubah kasar. Melotot anak matanya merenung mata Nek Hajar yang sudah berair.
Nek Hajar menggeletar ketakutan. Sikap Tuan Zabir yang berubah dalam sekelip mata membuatkan dia kecut perut. Sudah hilang kelembutan dalam diri menantunya itu. Malah sinar mata lelaki itu sarat dengan kebencian dan kesakitan yang terpendam.
“Jangan buat mak macam ni, Zabir. Lepaskan tangan mak. Mak sakit ni.” Rayu Nek Hajar masih cuba melepaskan diri.
Namun, Tuan Zabir tidak peduli sebaliknya dia ketawa. Ketawa yang sengaja dibuat-buat. Dia puas apabila melihat Nek Hajar merayu-rayu padanya. Terasa dirinya lebih berkuasa. Tapi kau jangan termakan rayuan tu, Zabir. Perempuan tua ni nak serahkan kau pada polis. Kau kena tamatkan riwayat dia secepat mungkin sebelum dia laporkan kau pada polis. Kalau polis tahu dekat mana kau berada, habis kau, Zabir. Semua harta kau pun akan hilang macam tu aje. Paling penting, kau akan masuk penjara. Kau nak masuk penjara? Suara halus berbisik di peluput telinga Tuan Zabir.
Tuan Zabir menggelengkan kepalanya dengan laju. Tidak dapat dibayangkan jika dia ditangkap polis dan dihumban ke dalam penjara. Jika nasibnya buruk pasti dia ke tali gantung. Tidak! Aku takkan benarkan perkara itu terjadi! Tingkah Tuan Zabir.
“Orang macam kau ni selalu dengki dengan aku. Aku dah bagi kau hidup senang, sekarang kau nak khianat aku? Aku takkan biarkan. Kau terimalah padahnya sebab cuba melawan aku!” ujar Tuan Zabir.
Lantas, tanpa rasa belas kepala Nek Hajar dihentak ke almari dengan kuat. Nek Hajar bertempik kuat. Tuan Zabir semakin geram. Lalu, sekali lagi kepala Nek Hajar dihentak kuat tapi kali ini ke dinding. Darah mula menyembur ke serata tempat.
“Kau nak aku bertaubat? Kau nak aku pasrah dengan takdir? Takdir bodoh tu takkan mampu halang aku untuk kaya!” ucap Tuan Zabir dengan penuh rasa amarah. Tangannya yang berlumuran dengan darah Nek Hajar tidak dipedulikan. Sebaliknya dia rasa puas apabila Nek Hajar diam membisu.
Dia terus menghentak kepala Nek Hajar sehingga kulit wajah Nek Hajar tersiat. Perbuatan Tuan Zabir terhenti apabila tiada lagi suara Nek Hajar yang kedengaran. Lalu, tubuh Nek Hajar yang terkulai laju dihempas ke lantai. Dia hanya mampu merenung tubuh tua itu yang berlumuran darah.
Tuan Zabir memandang tangannya yang dibasahi dengan darah pekat. Dadanya turun naik menahan perasaan yang bercampur-baur. Zabir, apa yang kau dah buat ni? Kau bunuh mak kau? Kau bunuh orang yang kau sayang? Bertalu-talu suara halus itu berbisik membuatkan hati Tuan Zabir diserang rasa bersalah yang maha hebat.
“Aku tak sengaja nak bunuh mak. Dia nak serahkan aku pada polis. Aku tak nak! Aku cuma bela diri!” Tuan Zabir bersuara sendirian. Nadanya terketar-ketar menahan rasa takut.
Anak matanya mula melingas melihat sekeliling rumahnya yang sunyi sebelum anak matanya kembali memandang tubuh Nek Hajar yang sudah bertukar mayat. Dia menelan rengkungnya sendiri. Peluh mula mencurah-curah membasahi wajah dan tubuhnya.
“Mak maafkan, Zabir. Apa aku nak buat ni?” soal Zabir.
‘Lari! Lebih baik kau lari sebelum polis datang.’ Suara itu berbisik lagi.
Tuan Zabir mengangguk laju. Dengan tergesa-gesa dia menuju ke dapur untuk mencuci tangannya yang dibasahi darah sebelum dia hilang di sebalik pintu belakang rumahnya. Apa pun terjadi, dia harus selamatkan diri terlebih dahulu. Harus!

“LEPASKAN aku! Lepaslah!” Suara jeritan Ida dan Hidayu bergema diikuti dengan tangisan lima kanak-kanak yang dipaksa untuk mengikut langkah pengikut Razak Hitam.
“Diamlah, perempuan!” Jerkah Jeff lantas menghadiahkan telapak tangannya di pipi Ida dan Hidayu. Kedua-dua gadis itu terdiam bersama tangisan yang berpanjangan.
Aisy hanya mampu melihat Ida, Hidayu dan lima kanak-kanak tersebut dibawa keluar dari pondok tempat dia dikurung. Dia pasti mereka bertujuh akan dibawa ke jeti untuk dijual. Aisy menangis lagi mengenangkan untung nasib dirinya.
“Perempuan tu banyak bising, ma.” Komen Ah Leong dengan pelat Cina yang masih kedengaran.
Razak hanya tersenyum sinis sambil menghembuskan asap rokoknya.
“Takkan lu tak biasa, Ah Leong. Mula-mula memang melawan, lama-lama bila dah dapat banyak duit, hilang semua bising tu.” Jawab Razak ketawa kecil.
“Tapi gua rasa macam tak cukup saja dua perempuan tu. Apa kata kalau lu bagi gua perempuan tu…” Ucap Ah Leong sambil memuncungkan mulutnya pada Aisy yang tersandar di tepi dinding.
Razak mengalihkan pandangan ke arah yang ditunjukkan Ah Leong. Dia turut berpandangan dengan pengikutnya yang lain.
“Lu nak perempuan ni? Berapa lu boleh bagi?” soal Razak sambil mengangkat keningnya yang berparut.
Ah Leong terdiam seketika. Dia mengetuk dagu memikirkan sesuatu.
“Sepuluh ribu, boleh?” soal Ah Leong. Anak matanya menikam tepat ke wajah Razak yang mundar-mandir di hadapannya.
“Sepuluh ribu? Banyak murah, mey. Perempuan ni ‘ayam kampung’ tau. Masih fresh. Takkan sepuluh ribu kut. Lagi pun kalau lu nak tahu inilah anak perempuan King.” Ujar Razak. Jelas Ah Leong terlopong.
“Maksud lu King ketua Geng AK47 ada anak perempuan?” Soal Ah Leong inginkan kepastian.
Razak mengangguk laju.
“Inilah rupa anak si bedebah yang dia sembunyikan selama ni. Dia pasti akan merana kalau tahu anak dia aku jadikan pelacur!” ucap Razak penuh dengan dendam. Dia ketawa kuat.
Aisy mula tidak senang duduk. Bicara Razak dengan lelaki Cina itu cukup menggerunkan Aisy. Namun, tiada apa yang dapat dia lakukan saat ini selain daripada berdoa dan terus berdoa. Bukankah berdoa itu senjata orang mukmin? Aisy yakin dia akan selamat juga suatu hari nanti.
“Seratus ribu gua offer lu. Setuju?”
“Sejuta. Gua bagi lu angkat. Kalau lu tak mau, gua kasi orang lain.” Razak membuat tawaran.
Aisy menangis tersedu-sedan apabila mengenangkan dirinya dijadikan bahan dagangan. Bilakah sengsara ini akan berakhir, Ya Allah? Keluh hati Aisy.
“Sejuta? Wow, banyak mahal woi.”
“Mestilah, still fresh ma. Kalau lu tak percaya gua boleh buktikan. Qartal, tanggalkan baju perempuan tu!” Arah Razak tanpa perasaan.
Aisy tersentak. Dia tergamam seketika. Pantas, kepalanya digelengkan bersama air mata yang laju menuruni lekuk pipi.
Bukan setakat Aisy, Qartal turut tergamam dengan arahan yang diberikan oleh Razak. Dia terkaku di tempatnya berdiri sambil anak matanya memandang tepat pada Aisy yang kelihatan gelabah.
“Qartal, apa yang kau tunggu lagi tu? Pergi tanggalkan baju perempuan tu. Cepat!” Gesa Razak membuatkan Qartal tersedar. Dia mengangguk laju.
Lalu, dengan langkah yang memberat, Qartal mengatur langkah menuju ke arah Aisy yang dirantai kemas. Lengan gadis itu ditarik kasar agar berdiri tegak.
“Tolong jangan apa-apakan aku. Tolong jangan ikut apa lelaki tu cakap. Tolong aku!” Rayu Aisy bersama tangisan yang tidak pernah surut.
Qartal mengetap bibir. Dia cuba menguatkan hatinya agar tidak terpedaya dengan rayuan Aisy. Lantas, tangannya diangkat dan mencekak tudung milik Aisy.
Aisy meronta dengan kuat. Dia tidak akan membenarkan sesiapa pun menyentuh dirinya.
“Tolong, aku merayu pada kau. Jangan sentuh aku. Jangan tanggalkan tudung aku. Ini maruah aku. Tolong! Aku tahu kau tak sama dengan kawan-kawan kau yang lain.” Pujuk Aisy lagi dengan suara yang perlahan. Cukup untuk Qartal mendengar.
Qartal terkedu seketika. Bicara gadis itu menghentikan perbuatannya. Anak mata mereka bertentangan. Jelas, anak mata bundar itu berair.
“Kau tunggu apa lagi tu, Qartal?” Jerkah Razak apabila melihat Qartal hanya merenung Aisy tanpa berbuat apa-apa.
Bagai dikejut daripada mimpi, Qartal tersedar. Dia kembali menatap wajah Aisy yang comot. Otaknya ligat memikirkan sesuatu. Manakala tanganya sudah siap sedia untuk merentap pakaian Aisy.
“Tolong jangan! Aku rayu pada kau!” Rayu Aisy lagi dengan esak tangis yang makin kuat. Dia tiada tenaga untuk melawan, hanya inilah cara yang dapat digunakan untuk menyelamatkan dirinya.
Qartal tidak peduli sebaliknya dia terus menarik lengan Aisy sehingga tubuh mereka bertambah rapat.
“Gigit tangan aku cepat!” Arah Qartal sambil berbisik rapat di telinga Aisy.
“Hah?” Aisy kebingungan. Terkebil-kebil dia memandang wajah Qartal yang ditutupi dengan topeng berwarna hitam.
“Kalau kau tak nak aku tanggalkan baju kau, ikut arahan aku!” Tambah Qartal masih lagi berbisik.
Tidak dapat tidak, Aisy terpaksa menurut. Sewaktu tangan Qartal cuba menyelak tudung yang menutupi kepalanya, sepantas kilat Aisy menggigit lengan Qartal dengan kuat.
“Arghhhh!” Qartal menjerit lalu melepaskan pautannya di tubuh Aisy. Lantas tubuh genit itu ditolak keras hingga batang tubuh itu jatuh terhenyak di atas lantai.
Tanpa menunggu lama, Qartal mengeluarkan pistolnya lalu diajukan tepat ke kepala Aisy.
“Perempuan ni kuat melawan, bos! Lebih aku tamatkan aje riwayat dia!” ujar Qartal keras. Anak matanya mengerling pada Razak yang turut terkejut dengan tindakan Aisy.
“Tak guna punya perempuan!” Maki Razak lalu mendapatkan Aisy. Rambut Aisy yang berbalut tudung dicekak kuat.
“Kau nak melawan sangat, hah lawan aku sekarang!” Arah Razak. Satu tamparan hinggap di pipi Aisy yang sudah berbirat.
“Ayoo, jangan kasar macam tu Razak. Nanti muka cantik tu pecah, tak laku ma.” Tegur Ah Leong mematikan niat Razak untuk melayangkan penumbuk sulungnya ke muka Aisy.
“Perempuan macam ni kena ajar sikit!”
“Gua tahu lorh tapi kalau lu nak jual perempuan ni lu kena jaga muka dia baik-baik. Kalau muka buruk, tak ada siapa mahu beli. Tak ada selera mey.” Balas Ah Leong lagi.
Razak mendengus kasar. Lantas, dia melepaskan cengkamannya di kepala Aisy. Sempat lagi dia menendang kaki Aisy sebelum berlalu. Qartal menarik nafas lega. Sekilas dia memandang Aisy yang sedang mengerekot menahan sakit. Pandangannya dibalas dengan redup. Qartal menggelabah lalu melarikan pandangan ke tempat lain.

*Maksud perkataan: 
- Mung - Awak / kamu / kau
- Kabor - beritahu / maklumkan
- Hok - hak / yang (tengok atas ayat)
- Takboh - tak nak
- Saloh - salah
- Dok - tidak / tak
- Bakpe - kenapa / mengapa
- Banyok - banyak


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.