Tetamu Rindu

Wednesday 28 September 2016

PESTA BUKU!






BAGI YANG MASIH MENCARI NOVEL NI TAPI MALAS BELI SECARA ONLINE, BOLEH DAPATKAN DI PESTA BUKU SOGO. CARI BOOTH GOJES NOVELIS TAU. PESTA NI BERLANGSUNG DARI 22 SEPTEMBER - 3 OKTOBER. JANGAN LEPASKAN PELUANG! NOVEL NI MEMANG TAK ADA KAT KEDAI BUKU. DIULANG! TAK ADA KAT KEDAI BUKU JADI SK BAWAKAN KHAS DI PESTA BUKU SOGO. JANGAN LUPA DAPATKAN SEKARANG SEBELUM KEHABISAN STOK!

KALAU NAK TAHU CERITANYA MACAM MANA, BOLEH BACA KAT ENTRY YANG ADA KAT DALAM BLOG NI. NILAI DULU BARU BELI! ;-)

Friday 23 September 2016

QARTAL... PEMUSNAH HATI (BAB 15)




QARTAL menggarukan kepalanya yang tidak gatal sambil matanya tidak lepas memandang Aisy yang masih pengsan tidak sedarkan diri.
“Apa aku nak buat ni? Time inilah dia nak pengsan.” Bebel Qartal lantas membongkokkan tubuhnya.
Dia mencapai seketul batu besar lalu diletakkan di hujung kepala Aisy. Dengan berhati-hati dia mengangkat kepala Aisy lalu diletakkan di atas batu. Anak matanya menangkap dahi dan pinggir bibir Aisy yang berlumuran darah. Pasti akibat terhantuk di pokok sewaktu gadis itu jatuh tadi.
Qartal mengetap bibir. Dia meraup wajahnya yang kelesuan. Dia harus lakukan sesuatu agar Aisy sedar. Tetapi dia perlu membersihkan kesan darah itu terlebih dahulu.
“Aku nak cuci dengan apa? Aduhhh…” Keluh Qartal. Kemudian dia memandang baju t-shirt yang dipakainya. Lalu tanpa berfikir panjang, Qartal mengeluarkan pisau lipat jenis browning folding yang tersimpan di dalam poket seluar sebelum mengoyakkan hujung baju t-shirt miliknya.
Cebisan t-shirt yang telah dikoyakkan diambil lalu dia menuju ke pinggir sungai. Cebisan kain tersebut dicelup ke dalam air lalu diperah sebelum dibawa ke tempat Aisy terbaring. Lantas, Qartal menarik lembut kepala Aisy lalu diletakkan di atas ribaannya.
Sisa darah merah yang mula mengering di dahi Aisy dicuci dengan cukup berhati-hati. Wajah gadis itu yang sedikit kotor turut dilap dengan lembut. Qartal mengambil kesempatan untuk merenung wajah Aisy yang masih tidak sedarkan diri. Tanpa sedar dia tersenyum kecil.
“Kau ni nampak aje lembut tapi boleh tahan garangnya.” Desis Qartal sambil tangannya turun ke pinggir bibir Aisy.
Kesan calar-balar di pipi Aisy turut dicuci dengan berhati-hati. Bimbang akan menyakiti gadis genit itu. Riak wajah Qartal berubah apabila melihat kelopak mata Aisy bergerak-gerak sebelum mata itu terbuka luas.
Aisy memegang kepalanya yang terasa berpusing sebelum anak matanya tegak memandang ke atas.
Duppp!
Jantungnya berdetak secara tiba-tiba apabila anak matanya bersabung pandang dengan sepasang anak mata yang cukup tajam. Aisy menelan air liur sebelum dia bingkas bangun lalu menjarakkan tempat duduknya.
Dia memandang ke belakang. Bola matanya membulat apabila menyedari dia terbaring sambil kepalanya beralaskan peha Qartal.
“Kau nak buat apa kat aku?” Soalnya spontan. Dia memegang kolar bajunya yang ditutupi tudung.
Qartal mencebik. Dia duduk mencangkung di belakang Aisy yang kelihatan tidak keruan. Jelas wajah gadis itu berubah rona. Merah. Malu mungkin.
“Kau rasa aku buat apa? Kau pengsan, bukannya kau sedar apa yang aku buat kat kau.” Usik Qartal sambil berbisik di telinga Aisy.
Aisy tersentak. Spontan, dia menolak dada Qartal supaya menjauhinya. Dia bingkas bangun dan berundur ke belakang.
“Lebih baik kau cakap apa yang kau dah buat pada aku masa aku pengsan tadi. Kalau tak…kalau tak…aku….” Aisy gelabah.
Matanya melingas mencari sesuatu yang boleh dijadikan senjata untuk menakutkan Qartal. Anak matanya tertancap pada batu-batu sungai yang melatari tanah di pinggir sungai tersebut. Tanpa berlengah, dia mencapai seketul batu yang sederhana besar lalu digenggam kemas.
“Aku apa?” Cabar Qartal sambil mengorak langkah cuba menghampiri Aisy yang tidak keruan, tidak ubah seperti cacing kepanasan.
“Jangan dekat! Aku tak teragak-agak nak hempuk batu ni kat kepala kau!” Aisy memberi amaran dengan langkah yang terundur ke belakang.
Qartal senyum sinis. Dia menghentikan langkah. Kedua-dua belah tangan dicekakkan ke pinggang.
“Kau ni memang perasanlah perempuan. Aku tak inginlah nak sentuh kau tu. Aku cuma nak bersihkan luka kat dahi kau tu je. Kau nak ke kuman membiak dalam luka kau tu?” Suara Qartal kedengaran keras. Dia merenung tajam wajah Aisy yang terkebil-kebil.
Aisy terdiam. Mamat tak ada perasaan ni nak bersihkan luka aku? Biar betul? Detik hati Aisy seraya meraba dahinya.
“Auchhh!” Dia berdecit apabila jarinya tersentuh kesan luka yang masih basah. Berkerut wajahnya.
“Janganlah sentuh! Tangan kau kotor tu!” Suara Qartal meninggi. Segera dia menghampiri Aisy lalu tangan Aisy ditepis kasar. Dia menekan-nekan tempat luka Aisy menggunakan kain sama digunakan untuk mengelap luka gadis itu.
Aisy berdecit kesakitan. Dia memejamkan mata namun dalam hatinya Tuhan saja yang tahu. Entah mengapa ada sedikit getaran bermukim di jiwa saat tubuh sasa itu berada dekat dengannya. Aisy mencuri pandang pada Qartal yang masih ralit membelek lukanya.
Anak mata Aisy terus merayap ke wajah Qartal yang serius. Memang jelas di pandangan Aisy mata Qartal yang cukup tajam. Ada tahi lalat kecil terletak elok di hujung mata lelaki itu. Wajah itu tampak sempurna dengan hidungnya yang mancung. Ditambah pula dengan bibirnya yang sensual, cukup membuatkan lelaki itu nampak seperti orang yang baik-baik. Tetapi goatees yang menghiasi atas bibir hingga ke dagu lelaki itu mengganggu pandangan Aisy. Sungguh serabut. Ditambah pula dengan rambutnya yang panjang. Aisy mencebik.
“Kau tunggu sini sekejap, aku nak cari ubat.” Ujar Qartal lantas menundukkan pandangan mencari anak mata Aisy.
Zappp!
Hatinya terpanah. Dia menelan air liur sebelum terkaku dengan sendirinya. Redup pandangan itu menjadikan jiwanya gelisah tanpa sebab. Tetapi Qartal tidak membiarkan perasaan itu meracuni fikirannya lantas tubuh Aisy ditepis sebelum dia berlalu meninggalkan gadis itu sendirian.
Aisy terkebil-kebil. Dia cuba mengatur sistem pernafasannya yang terasa semput dengan tiba-tiba. Bibir yang kering dibasahkan dengan lidah. Dadanya yang turun naik diurut perlahan.
“Aku dah gila agaknya! Pergi tenung muka mamat tu kenapa? Ingat sikit Aisy, dia yang culik kau. Sepatutnya kau berhati-hati dengan dia. Entah apa motif dia selamatkan kau pun kau tak tahu. Entah-entah dia berhajat nak jual kau kat Siam sebab tu dia pura-pura baik dengan kau. Padahal dia nak culik kau daripada Razak Hitam tu.” Aisy berbicara sendirian.
Anak matanya masih memerhatikan tingkah Qartal yang mundar-mandir di pinggir hutan. Sedaya-upaya Aisy cuba mempercayai apa yang dikatakan pada dirinya tadi. Mungkin lelaki itu berpura-pura baik kerana ada sebab. Mustahil untuk seorang pembunuh, penculik dan penjenayah berhati kering seperti Qartal boleh berubah menjadi baik dalam sekelip mata. Sangat mustahil!