Tetamu Rindu

Monday 7 November 2016

QARTAL...PEMUSNAH HATI ( Bab 17 )






“Penatnya!” Keluh Aisya sambil memejamkan mata. Dia menyeka peluh yang mula membasahi wajahnya.
Qartal melepaskan nafas dengan kuat.
“Ni baru sekor binatang yang kejar kita. Nanti ke depan entah apa pulak yang menanti.” Ucap Qartal. Dia terduduk di atas tanah bagi melepaskan lelah.
“Tapi macam mana kau tahu kalau jumpa dengan khinzir, kena lari macam tu?” Soal Aisy sambil merenung wajah Qartal dengan penuh tanda tanya.
Qartal terdiam. Anak matanya melilau memandang ke tempat lain.
“Errr…aku lari aje.” Jawab Qartal dengan suara yang tersekat-sekat.
Aisy mencebikkan bibir. Dia tidak percaya. Mustahil Qartal hanya ikut langkah kaki sahaja sedangkan terang-terang lelaki itu sengaja berlari secara bengkang-bengkok seperti yang diajarkan oleh Tok Awang ketika di kampung dahulu.
“Apa yang kau buat tu sama macam atok aku ajar. Kalau kena kejar dengan khinzir, kita kena lari bengkang-bengkok. Aku pun tak tahu apa rasionalnya tapi alhamdulillah petua tu menjadi.” Ujar Aisy turut duduk di atas tanah berhadapan dengan Qartal.
Qartal tersenyum kelat. Dia merenung wajah Aisy tetapi sebaik saja gadis itu berpaling, sepantas kilat Qartal mengalihkan pandangan ke tempat lain.
“Dahlah, jom kita gerak. Aku tak nak binatang tu datang semula bawak geng pulak.” Ujar Qartal lantas bingkas bangun sebelum diikuti oleh Aisy.
Aisy mengibas-ngibas pasir yang melekat di belakangnya. Dia hanya menurut arahan Qartal. Namun tidak sampai beberapa tapak dia melangkah, Qartal mendepangkan tangan menghalang laluannya. Dahi Aisy berkerut. Dia memandang wajah Qartal dengan pelik.
“Kenapa?” Soalnya pendek.
Qartal tidak menjawab sebaliknya kepalanya berpusing memandang sekeliling. Telinganya tidak menangkap sebarang bunyi yang lazimnya kedengaran dalam hutan rimba ini.
“Kau perasan tak, tak ada satu pun bunyi binatang sekarang ni. Selalunya suara monyet atau burung mesti kedengaran.” Ujar Qartal membuat kesimpulan.
“Apa nak pelik, tentu binatang-binatang lain lari bila dengar suara khinzir tu tadi.” Balas Aisy sambil lewa. Dia ingin meneruskan perjalanan tapi ada tangan Qartal yang menghalang.
Qartal mengamati kawasan sekitar dengan teliti. Benar, tiada satu bunyi binatang pun kedengaran waima bunyi burung. Lazimnya, unggas, burung dan monyet akan saling bersahut-sahutan. Tapi kali ini tidak. Hati Qartal terasa sesuatu.
“Biasanya kalau hutan sunyi-sepi macam ni pasti ada ‘benda’ yang sedang menghendap!” Balas Qartal. Suaranya bertukar perlahan. Anak matanya tidak duduk diam memerhatikan keadaan sekitar yang kelihatan sepi.
Jantung Aisy berdengup apabila mendengar kata-kata Qartal. Saat ini baru dia terasa sesuatu yang janggal. Anak matanya juga terus mengawasi kawasan sekitar sebelum bola matanya tertancap pada tumbuhan renek yang kelihatan bergoncang seperti sedang digoyang oleh sesuatu.
“Qartal, kat sana!” Ucap Aisy lantas menuding jari ke arah semak yang sedang bergoyang.
Qartal mengalih pandang. Dia menelan air liur bersama peluh jantan yang mula menitis di dahi. Dia yakin lawannya sekarang ini bukan calang-calang. Lalu, pistol jenis revolver ditarik daripada poket seluarnya.
“Walau apa pun yang berlaku, aku nak kau ikut cakap aku. Faham?” Soal Qartal tanpa memandang wajah Aisy yang berada di belakangnya.
Aisy mengangguk laju. Mereka menanti penuh debaran. Namun, secara tiba-tiba semak yang bergoyang itu terhenti dengan sendiri. Aisy dan Qartal berpandangan.
“Mungkin binatang tu dah lari.” Ucap Aisy membuat andaiannya sendiri.
Qartal menarik nafas lega. Mungkin betul andaian Aisy. Binatang yang sedang menghendap mereka berdua sudah berlalu. Tetapi telinga Qartal menangkap bunyi yang kurang menyenangkan. Bunyi ranting dipijak semakin menambah debar dalam hati Qartal. Lalu, dia mendongak.
Baik Qartal mahu pun Aisy, masing-masing tergamam di tempat mereka berdiri apabila berhadapan dengan situasi yang tidak pernah diduga saat ini. Berhadapan dengan mereka saat ini seekor harimau belang sedang merenung dengan mata yang cukup tajam!
Qartal cuak. Aisy menggigil ketakutan. Inilah kali pertama dia bertentang mata dengan raja rimba. Sungguh, Aisy terasa ingin pitam tetapi dia cekalkan diri. Tanpa sedar dia menarik baju Qartal dek kerana ketakutan.
“Apa kita nak buat ni, Qartal?” Tanya Aisy dengan suara yang cukup perlahan.
Mereka berdua tidak melakukan sebarang pergerakan. Hanya anak mata yang mengawasi setiap langkah si belang.
“Diam!” Balas Qartal turut berbisik.
Aisy terus menutup mulut. Akur dengan arahan Qartal. Kelihatan lelaki itu mengenggam kemas pistol di tangan sebelum perlahan-lahan tangannya diangkat. Muncung pistol tersebut dihalakan tepat ke dahi harimau tersebut.
Si belang mengaum menunjukkan taringnya yang tajam tanda dirinya sedang diancam. Kedua mangsa yang berada di hadapan mata ditatap dengan bengis.
Tangan Qartal menggeletar. Ngauman si belang membuatkan dia kecut perut. Spontan, otaknya beku untuk memberi arahan.
“Kita lari, Qartal! Kita tak boleh buang masa!” Aisy membuat keputusan.
“Tak boleh! Lagi bahaya!” Qartal membantah.
Aisy mengetap bibir. Namun, dia yakin hanya melarikan diri adalah jalan terbaik saat ini. Lalu, tanpa berfikir panjang, Aisy melakukan pergerakan yang menyebabkan pandangan si belang teralih pada Aisy. Aisy menoleh. Pandangannya bersabung dengan anak mata si belang yang tajam.
“Kita lari sekarang!” Jerit Aisy sambil menarik lengan Qartal dengan kuat.
Tubuh Qartal terdorong. Serentak, si belang terus melakukan serangan. Keadaan menjadi kelam-kabut dalam sekelip mata.
“Aisy!” Jerit Qartal kuat lalu menepis tubuh Aisy dengan kuat sehingga gadis itu terhumban ke tanah.