Tetamu Rindu

Wednesday 18 October 2017

INGKAR CINTA ( BAB 10 )



Saat lakonan dirasakan satu kenyataan, getarannya mampu menggoncang perasaan.

SILING bilik tidurnya direnung kosong. Sesekali bibirnya akan mengukir senyuman manis. Kadangkala dia akan tergelak kecil. Entah apa yang bermain di fikirannya saat ini. Fikirannya asyik teringatkan gadis itu.
“Memang ramai perempuan yang nak jadi kekasih aku, tapi gadis sebelah aku ni, tak nak pulak,”
Zafran tergelak sendiri apabila teringatkan kata-kata yang diucapkan pada Wardah pagi tadi di hadapan Amira dan Athira. Masih lekat di ingatan Zafran wajah merah Wardah yang tersedak kerana mendengar kata-katanya. Sungguh, Zafran pun tidak tahu bagaimana mulutnya boleh terlepas cakap begitu padahal sebelum ini dia tidak pernah bersikap seperti itu dengan Wardah.
Memang benar Wardah dan dia bersahabat sejak kecil lagi memandangkan mereka berjiran dan bersekolah di sekolah yang sama. Tetapi Zafran tidak pernah menyimpan apa-apa perasaan pada Wardah kerna baginya Wardah adalah sahabat dan mungkin Wardah pun sama dengannya. Sejak kecil lagi Wardah amat baik dengan Zafran, pantang jika ada sesiapa yang ingin membuli, pasti Wardah orang yang pertama akan melindunginya. Zafran tersenyum mengenangkan kenangan zaman kecilnya dengan Wardah.
Kadangkala Zafran rasa pelik setiap jalan hidupnya pasti akan berkaitan dengan Wardah seolah-olah takdir hidupnya tertulis bersama dengan Wardah walaupun bukan itu yang dia inginkan. Tengoklah, ketika dia menerima tawaran menyambung pelajaran di IKIP International College dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia di Kuantan, Wardah turut mendapat tawaran yang sama. Satu kursus pula tu.
Kini, mereka berada di tahun terakhir dan sikap prihatin Wardah masih tidak berubah. Apabila ada ujian bulanan, kuiz atau tugasan, gadis itu terlebih dahulu mengingatkannya. Zafran keliru apa yang Wardah fikirkan. Adakah gadis itu menyukainya?
Jika Wardah menyukainya, adakah dia turut menyukai Wardah? Zafran meraup wajahnya. Teringat kembali pertaruhan antara dia dan Riduan untuk mendapatkan Wardah. Adakah dia mampu mendapatkan Wardah sekali gus menang dalam pertaruhan itu atau dia sendiri akan tersungkur? Ada kalanya Zafran rasa seperti orang bodoh kerana menyahut cabaran Riduan sedangkan Wardah adalah kawannya sendiri. Tetapi apa yang telah dilakukan tidak boleh ditarik balik dan sekarang dia mula dihimpit pelbagai rasa.
“Mungkin aku boleh batalkan pertaruhan antara aku dan Duan tapi….” Kata- kata Zafran mati di situ.
“Kalau kau menang pertaruhan ni, kau akan dapat RM1000 dan memang aku respect kau sebagai kasanova yang serba boleh. Lagi tinggilah saham kau Zaf,” suara Riduan terngiang- ngiang seolah menghasut.
“Seribu ringgit, mana ada orang nak kasi duit suka-suka macam tu. Ayah pun bagi aku lima ratus je tiap-tiap bulan. Kalau dapat duit ni boleh jugak aku enjoy. Tapi macam mana dengan Wardah?” dia mula menyoal diri sendiri.
Persetanlah dengan Wardah Zaf, yang penting sekarang duit. Siapa nak bagi kau duit? Setakat ayah kau bagi lima ratus je sebulan, lekat celah gigi je duit tu. Lebih baik kau cari duit lebih. Bukannya kau rosakkan si Wardah tu, cuma kau bertaruh untuk dapatkan dia je. Bukan luak pun. Suara itu menghasut lagi.
“Betul jugak. Bukan aku nak sentuh dia pun, cuma berlakon sukakan dia. Lepas aku cakap kat Duan yang aku dah dapat dia, aku terangkan pada dia dengan baik tak pun aku rahsiakan je terus,” Zafran menjawab suara hatinya. Dia bermain dengan jari-jemarinya sendiri. Cuba menimbal balik keputusan yang diambil.
Zafran tersengih sendirian. Keputusan telah dibuat, dia akan meneruskan pertaruhan itu. Bukan namanya anak jantan kalau cabaran tidak disahut. Tekad Zafran. Buat seketika  wajah Wardah hilang daripada ingatan yang ada hanyalah bayangan duit yang bertaburan. Dia dapat rasakan yang Wardah sudah hampir ke dalam genggaman.

BOLA mata Wardah dihalakan tepat ke dada langit yang kelam. Kelihatan bulan purnama menerangi kepekatan malam. Dia selesa duduk di tepi tingkap sambil memandang bulan yang kelihatan indah ditemani dengan kilauan bintang yang bertaburan. Udara malam memberi ketenangan kepada hatinya saat ini. Sekilas, bayang wajah milik Emir Rehan melintas di ruang fikiran. Wardah tersenyum sendirian.
Akan tetapi, senyumannya tidak lama apabila bayang wajah Emir Rehan digantikan dengan wajah Zafran. Senyuman nakal lelaki itu terpapar di ruang mata. Serta-merta senyuman Wardah mati dengan sendiri. Wajahnya terasa berbahang. Peristiwa tengah hari tadi kembali berputar umpama putaran filem di layar putih.

Imbas kembali…
ZAFRAN menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Lama dia merenung wajah Wardah yang tidak jemu menjelaskan tentang topik Undang-Undang Perniagaan yang perlu dibaca sebelum menjawab kuiz yang diadakan petang ini. Satu keluhan terbit dari celah bibir Zafran.
Wardah menghentikan bicara. Dia mendongak memandang Zafran dengan wajah penuh tanda tanya.
“Kenapa? Kau tak faham ke apa yang aku terangkan ni?” Soal Wardah dengan mata yang terkebil-kebil. Cermin mata yang terletak elok di batang hidung, dibetulkan sedikit.
Hanya senyuman nipis diukirkan oleh Zafran.
“Abang aku tu suka susahkan kau kan? Tak pasal-pasal kau jadi tutor aku.” Keluh Zafran sambil memutar-mutar pen yang berada di tangan.
“Oh pasal tu. Aku okey ajelah. Abang kau minta semua ni untuk kebaikan kau juga. Dia nak kau berjaya. Sama macam aku. Kalau kau tak boleh markah paling tinggi, cukuplah kalau lepas untuk subjek ni,” jawab Wardah.
“Kau nak aku berjaya, Ada? Penting ke aku pada kau?” Soal Zafran tiba-tiba. Tepat matanya merenung anak mata Wardah yang hitam pekat.
Dupp! Jantung Wardah berdetak secara tiba-tiba. Renungan Zafran membuatkan Wardah kelu. Dia cuba menayang senyum tapi terasa janggal.
“Pentinglah. Kau kan kawan baik aku.” Jawab Wardah dengan yakin. Anak matanya dilarikan ke tempat lain.
“Takkan kawan baik je kut?” Zafran masih belum puas menguji.
“Yalah, sekali kawan selamanya tetap kawan.” Balas Wardah lagi.
Zafran terdiam. Wajahnya berubah sedikit mendengar bicara Wardah. Entah kenapa hatinya seakan tidak dapat menerima istilah kawan yang dikatakan oleh Wardah sedangkan selama ini dia tidak suka jika dikaitkan dengan gadis itu. Adakah hatinya berubah? Atau mungkin ini hanya kesan daripada pertaruhan antara dia dan Riduan?
“Tapi kawan boleh kahwin kan?” Soalnya kemudian dengan tawa yang sengaja dibuat-buat.
Wardah membuntangkan mata. Tangan yang dikepal ditayangkan di hadapan Zafran.
“Kau jangan nak mengarutlah, Zaf. Sekarang ni lebih baik kita fokus pada kuiz undang-undang ni. Kau nak gagal lagi ke?” Soal Wardah cuba mengubah topik perbualan mereka. Dia menggelengkan kepala.
“Tapi kau kena tahu fakta juga, Ada. Kau tahu tak, berkahwin dengan kawan baik sendiri boleh menyingkirkan risiko penceraian sebanyak 70 peratus dan kebanyakkannya perkahwinan antara kawan baik ni, kekal hingga ke akhir hayat.” Tambah Zafran masih tidak mahu mengalah.
Wardah mencebikkan bibir. Kadang-kadang geram juga dengan sikap Zafran yang tidak pernah serius dalam soal pelajaran. Kita bercakap pasal kuiz, dia bercakap pasal kahwin. Kata tak percaya cinta, tapi sibuk nak kahwin. Apa dah jadi dengan sahabat aku ni? Bebel hati Wardah. Satu jelingan dihadiahkan  buat Zafran. Buku Undang-Undang Perniagaan ditutup.
“Sekarang ni kau nak kahwin ke nak belajar?” Soal Wardah sambil mengancing gigi.
Zafran tersengih. Dia tahu Wardah sedang menahan sabar dengan kerenahnya.
“Nak dua-dua, boleh?”
“Tak boleh! Pilih satu je.” Tegas Wardah.
“Baik. Aku pilih kau.” Jawab Zafran selamba. Matanya dilarikan ke arah nota yang terbentang di hadapan mata.
Wardah tersentak. Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan perlahan. Sabar ajelah Ada dapat kawan playboy seperti Zafran ni. Dengan aku pun dia mengayat juga ke? Omel hati Wardah lagi.
“Kau pilih aku? Tapi aku pilih….” Wardah meleretkan kata.
Zafran terus mendongak.
“Kau pilih apa?” Soalnya teruja.
“Aku pilih… Aku pilih masuk kelas dulu. Lagi setengah jam kelas dah nak mula. Lebih baik aku study sorang-sorang.” Balas Wardah membuatkan Zafran mengeluh panjang.
“Alah, kelas lambat lagi. Tunggulah dulu.” Halang Zafran.
Wardah mencebikkan bibir. Dia bingkas bangun. Saat dia ingin mencapai beg galasnya yang diletakkan di belakang kerusi, tiba-tiba matanya terpaku kepada sesuatu yang melekat di tempat duduk kerusinya. Cecair berwarna merah sebesar ruas jari kelingking membuatkan Wardah beku seketika. Hatinya diserang debaran. Terasa wajahnya berbahang panas. Takkan darah? Hatinya mula gundah. Pantas, dia menjenguk ke bahagian belakang kain kurungnya. Matanya terbuntang. Alamak!
Macam mana boleh terkeluar pula ni? Apa aku nak buat ni? Wardah mula cemas. Di hadapannya sekarang Zafran, sedangkan di kelilingnya sekarang, dipenuhi dengan pelajar lain. Malah, di meja belakangnya sekarang ini ada beberapa orang pelajar lelaki sedang bersembang.
“Ada, kenapa dengan kau? Berdiri tegak aje aku tengok. Kau nak menyanyi lagu Negaraku ke?” Soal Zafran pelik. Dia memandang Wardah dari atas hingga ke bawah. Kebisuan gadis itu menimbulkan tanda tanya dalam dirinya.
Wardah hanya diam. Wajahnya bertukar keruh. Dia malu saat ini.
“Kau okey tak ni, Ada?” Soal Zafran lagi setelah tiada jawapan daripada Wardah. Dia bangun dan cuba untuk menghampiri Wardah.
“Jangan datang dekat aku!” halang Wardah membuatkan langkah Zafran terbantut. Dahinya berkerut melihat reaksi Wardah. Wajah tenang gadis itu berubah menjadi keruh.
Pantas, Wardah mencapai tisu yang berada di dalam begnya. Tompokan kecil darah dikesat sebelum Zafran menyedari keadaannya.
“Okey, aku takkan dekat. Tapi kenapa pelik sangat aku tengok kau ni? Kau ada masalah ke?” Soal Zafran masih tidak berpuas hati dengan sikap Wardah.
“Tak ada apa-apa.” Jawab Wardah dengan suara yang jelas bergetar.
Zafran mengamati wajah Wardah dengan lama. Dia tahu gadis itu sedang menyembunyikan sesuatu. Anak mata Zafran jatuh pada tangan Wardah yang sedang menggenggam sesuatu sedangkan belakang badan gadis itu sudah melekap rapat di dinding.
“Kalau tak ada apa-apa, jomlah masuk kelas.” Ajak Zafran cuba menguji.
Errr… Kau masuklah dulu.” Balas Wardah tergagap-gagap.
“Tak apa. Aku tunggu kau.” Zafran masih lagi berdegil.
Wardah menggigit bibir. Wajahnya diraup dengan tangan kanan. Apa yang aku nak buat ni? Takkan aku nak terus terang dengan Zafran? Malulah.
“Aku tak boleh masuk kelas lagi. Aku… Aku…” Kata-kata Wardah terhenti di situ. Dia menundukkan wajah menahan rasa malu yang datang menyerbu.
“Kenapa? Cuba kau terus terang dengan aku. Mana tahu aku boleh tolong.” Pujuk Zafran lembut. Dia cuba mencari raut wajah Wardah yang tertunduk.
“Aku… Aku…” Wardah tetap tidak dapat meneruskan kata. Inilah kali pertama dia merasakan perasaan malu sebegini.
Zafran cuba untuk memahami. Dahinya berkerut seribu. Namun, apabila dia melihat Wardah menarik-narik bahagian belakang baju kurungnya, Zafran dapat merasakan sesuatu. Lantas, dia mendekati Wardah. Dia memandang ke kiri dan kanan.
“Kau ‘tu’ ke?” Soal Zafran dengan julat suara yang cukup perlahan. Walaupun segan, namun Zafran gagahkan jua untuk bertanya. Melihat wajah Wardah seperti ingin menangis, menimbulkan rasa simpati dalam dirinya.
Berderau darah Wardah mendengar pertanyaan Zafran. Tidak dapat tidak dia terpaksa menganggukkan kepala.
“Kau tak tahu ke yang tarikhnya hari ni? Kau boleh kira kan?” Soal Zafran.
“Mana aku tahu ‘dia’ nak datang. Selalunya bukan tarikh ni.” Jawab Wardah dengan sisa malu yang masih menebal.
“Habis tu nak buat apa sekarang? Aku call Ati dan Amira, ya?” Zafran cuba memberi cadangan.
“Ati dan Mira ada kelas. Hari ni dia orang ada test.” Jawab Wardah membuatkan Zafran mengeluh panjang. Dia memicit kepala memikirkan sesuatu.
“Kalau macam tu, jom aku bawak kau ke klinik.” Ajak Zafran spontan.
Wardah terkebil-kebil. Rasa ingin ketawa ditahan dalam hati.
“Nak buat apa pergi klinik. Aku bukan sakit.” Ujar Wardah.
Zafran hanya tersengih menayang giginya yang putih bersih. Dia turut resah dalam memikirkan masalah yang melanda Wardah. Ligat otaknya memikirkan cara membantu Wardah. Dia memandang ke kiri dan kanan. Semakin ramai pelajar yang memasuki student center saat ini pasti agak susah untuk Wardah bergerak.
Lantas, tanpa berfikir panjang, Zafran menanggalkan baju kemeja berwarna hitam yang tersarung di tubuhnya meninggalkan baju kemeja T berwarna putih yang sentiasa dijadikan alas bajunya. Kemeja hitam tersebut diserahkan pada Wardah.
“Kau buat apa ni?” Soal Wardah terkejut. Dia memandang keliling. Sah, memang mereka berdua menjadi perhatian pelajar-pelajar lain saat ini.
“Kau ambil baju aku ni, kau ikat dekat pinggang kau. Tutup bahagian belakang baju kau tu. Lepas tu kau pergi tandas. Tunggu aku kat situ,” Zafran memberi arahan dengan wajah yang serius.
“Kau nak buat apa? Baju kau ni, kau nak pakai kan? Kotorlah nanti.” Bantah Wardah. Dia tidak mahu menyusahkan Zafran walaupun dalam hatinya dia terharu dengan sikap prihatin Zafran saat ini.
“Kau tak payah risau. Pasal baju tu nanti aku pinjam baju abang aku. Dia selalu bawa baju spare. Kau pergi tandas dulu, nanti aku datang. Jangan lupa bawa phone sekali,”
“Kau nak pergi mana?” Soal Wardah.
“Aku nak pergi kedai. Mesti kau tak bawa ‘benda’ tu kan? Nanti dah sampai kedai, aku call kau. Dah, pergi cepat. Nanti nak masuk kelas pulak.” Arah Zafran.
Walaupun teragak-agak Wardah tetap menyambut huluran Zafran. Baju kemeja Zafran diikatkan ke pinggang sebelum dia mengorak langkah menuju ke tandas. Sekilas dia berpaling ke belakang, kelihatan Zafran masih setia memerhati dirinya sehinggalah Wardah hilang di sebalik pintu. Sungguh, hati Wardah tersentuh!

Masa kini…
APA yang kau menungkan tu, Ada?” Soal satu suara memancung lamunan Wardah. Dia tersentak lantas berpaling. Senyuman dilemparkan pada Athira yang menapak menghampirinya.
“Tak ada apalah. Saja ambil angin malam,” balas Wardah dengan senyuman nipis terukir di bibir.
Athira mengecilkan mata. Dia tahu Wardah sedang menyembunyikan sesuatu. Tetapi apa dia?
“Kalau kau ada masalah, kau ceritalah dekat aku. Mana tahu aku boleh tolong,” tambah Athira lagi.
Wardah hanya menggelengkan kepala. Tingkap biliknya ditutup lalu dia menuju ke katil.
“Aku nak tidurlah. Esok kelas pagi. Selamat malam,” ucap Wardah tanpa membalas kata-kata Athira. Dia merangkak naik ke atas katil lalu merebahkan dirinya sebelum selimut ditarik hingga ke paras dada. Mata dipejamkan.
Athira hanya menjongketkan bahu.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.