Tetamu Rindu

Thursday 19 October 2017

INGKAR CINTA ( BAB 11 )



MATA Wardah melilau mencari meja Zahirul di dalam bilik pensyarah. Terkejut juga Wardah tadi sebaik sahaja tamat kelas Pengurusan Sumber Manusia, dia mendapat mesej daripada Zahirul supaya berjumpanya di pejabat. Entah apalah yang abang Zafran nak daripada Wardah.
Wardah melemparkan senyuman manis saat matanya berlaga dengan anak mata Zahirul. Dari jauh kelihatan lelaki itu tersenyum manis. Nampak kacak dengan kemeja lengan panjang berwarna biru laut dan bersluar slack berwarna hitam. Adik dengan abang, sama saja kacaknya. Patutlah Athira dengan Amira hampir gila bayang dengan pensyarah muda ni. Sempat lagi hati Wardah mengomel.
“Assalamualaikum, Encik Zahirul nak jumpa saya?” sapa Wardah sambil berdiri di hadapan meja Zahirul. Senyuman ikhlas dilemparkan.
Zahirul membalas senyuman Wardah yang manis. Dalam hati dia turut tercuit melihat keayuan wajah Wardah yang kelihatan sopan dengan baju kurung cotton berwarna pink lembut dan dipadankan dengan tudung yang turut berwarna pink.
Waalaikummusalam, Wardah. Haah, memang saya nak jumpa awak. Awak sibuk ke?” soal Zahirul lagi.
Wardah menggelengkan kepala. Dalam hati dia terasa berdebar. Kenapa agaknya Encik Zahirul nak jumpa aku? Entah-entah markah kuiz aku teruk kut. Hatinya mula meneka perkara yang bukan-bukan.
“Kalau macam tu, jemputlah duduk..” pelawa Zahirul. Wardah hanya menurut.
“Ada apa, encik? Encik buat saya berdebar je…” Wardah berterus- terang. Bulat matanya memandang wajah Zahirul yang tenang mengukir senyuman.
Zahirul ketawa kecil melihat tingkah Wardah yang sedikit gelabah. Dia menggelengkan kepala.
“Kenapa encik geleng? Apa yang tak betul?” tanya Wardah selamba. Akibat rasa berdebar, dia menjadi seorang yang kelam-kabut. Dia mengerutkan dahi apabila terdengar bunyi ketawa yang terbit daripada celah bibir Zahirul.
“Awak ni Wardah, tunggulah saya habis cakap dulu…” Zahirul mula bersuara. Wardah terdiam dan menunggu bicara seterusnya daripada Zahirul.
“Saya nak cakap pasal markah kuiz….”
“Kenapa dengan markah kuiz saya, encik? Saya tak lulus ke? Tapi untuk soalan tempoh hari, saya boleh jawab. Macam mana saya boleh tak lulus, encik?” soal Wardah bertubi- tubi. Dia pasti gelabah jika pensyarah menyebut tentang markah kuiz. Risau betul dia.
Zahirul menepuk dahi. Ish, dia ni, tadi aku dah cakap jangan potong cakap aku tapi dia potong juga. Kadang-kadang aku tengok dia ni comel juga. Bisik hati Zahirul.
“Memanglah saya nak bincang pasal markah kuiz tapi bukan markah kuiz awak. Markah kuiz adik saya,” terang Zahirul akhirnya. Nampaknya dia tak boleh menggunakan mukadimah yang panjang bila berbual dengan Wardah, gadis itu suka salah sangka.
Wardah menarik nafas lega.
“Alhamdulillah… Saya ingat apalah tadi…” Wardah mengurut dada tapi tiba- tiba…
“Hah? Kejap… Encik nak bincang markah Zafran? Apa kaitan dengan saya?” soal Wardah masih dengan kelam-kabut menjadikan suaranya sedikit meninggi. Matanya kembali membulat.
Zahirul tergelak kecil. Dia menyandarkan belakang badannya di kerusi sambil matanya terus merenung anak mata Wardah yang masih membulat.
“Memang ada kaitan dengan awak pun. Awak tahu tak?”
“Tak tahu…” potong Wardah cukup bersahaja membuatkan Zahirul tergelak lagi.
“Wardah, cuba awak diam sekejap biar saya cakap sampai habis, faham?” Zahirul terpaksa bercakap seperti berada di dalam kelas bagi mengelak Wardah memotong percakapannya.
Wardah yang sedar akan keterlanjurannya, terus menekup mulut.
“Saya minta maaf, encik.” Ujar Wardah kemudiannya.
It’s okey. Anyway tak ada perkara yang besar pun, cuma saya nak ucapkan terima kasih pada awak sebab tindakan saya untuk ambil awak jadi tutor pada Zaf, berhasil. Markah kuiz dia meningkat jika nak dibandingkan markah yang lepas. Walaupun masih tak dapat menandingi markah awak tapi peningkatan Zaf kali ini buat saya gembira,” ucap Zahirul dengan senyuman manis yang masih terlukis di bibirnya.
Wardah menghela nafas. “Boleh saya cakap?” soalnya sedikit polos.
Zahirul hanya ketawa kecil kemudian dia mengangguk. Suka benar dia dengan sikap lurus bendul Wardah.
“Alhamdulillah encik kalau prestasi dia meningkat. Saya hanya jalankan amanat yang encik nak saya lakukan lagipun Zaf tu kawan saya, jadi saya tak nak tengok pelajaran dia merosot. Selama ni semua subjek dia okey tapi bila kena baca-membaca atau kena hafal, dia macam malas sikit…”
“Bukan sikit Wardah, tapi banyak. Adik saya tu, entah apalah yang dia nak dalam hidup dia. Pointer setiap semester hanya cukup-cukup makan je nasib baiklah dia ada kawan macam awak, boleh juga awak bimbing dia,” sambung Zahirul memintas percakapan Wardah.
Wardah hanya menundukkan wajah. Segan apabila dipuji dengan pensyarah sendiri. Dia tersenyum kecil.
“Sahabat yang baik takkan biarkan sahabatnya gagal. Sahabat yang baik takkan tinggalkan sahabatnya sendirian dalam gembira atau pun duka. Itu yang saya pegang encik. Saya dan Zaf dah berkawan sejak kecil dan saya rasa encik tahu tentang ni kan. Zaf itu saya dah anggap macam darah daging saya sendiri,” balas Wardah jujur.
Zahirul hanya tersenyum mendengar kata- kata Wardah yang kedengaran ikhlas. Dia cukup kenal dengan Wardah, malah keluarga Wardah pun Zahirul kenal. Maklumlah tinggal berjiran. Dia sedia maklum hubungan Wardah dan Zafran sangat akrab. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman nipis.
“Kenapa encik senyum pula ni?” soalan Wardah mematikan senyuman Zahirul. Dia berdeham kemudian membetulkan duduknya.
“Tak ada apa-apa saya cuma teringatkan Zafran. Dia satu-satunya adik kandung yang saya ada tapi perangai dia yang prejudis pada perempuan dan suka berfoya-foya dengan perempuan dalam kolej ni buatkan saya geram. Saya harap awak sebagai kawan dia yang dah lama kenal dia dapat nasihatkan dia, jangan terlalu ikutkan sangat naluri remaja dia tu nanti padah kemudian hari,” balas Zahirul.
Kadang-kadang Zahirul sendiri tidak faham dengan perangai Zafran yang terlalu buruk sangka tentang wanita padahal setiap malam adiknya itu keluar dengan wanita. Bezanya bukan wanita yang sama. Katanya, nak jadi playboy. Playboy apanya kalau bercinta pun tak, setakat keluar dengan lain-lain perempuan, bukan boleh dikatakan kaki perempuan lagi. Benak hatinya membuat kesimpulan.
 “Dah banyak kali saya nasihatkan Zaf tentang perkara ni tapi encik lebih kenal adik encik tu. Keras kepala memang tak boleh nak tolong. Tapi hari tu ada juga saya nasihatkan dia supaya dia balik kampung jenguk mak dan ayah dia memandangkan sepanjang dia belajar di sini, jarang sangat dia balik kampung. Kalau balik pun, hari raya puasa selebihnya dia pergi jalan-jalan. Cuma saya tak tahulah kali ni dia nak balik ke tak,” ucap Wardah separuh mengeluh.
Zahirul tersentak. Wardah nasihatkan Zafran supaya balik kampung? Biar betul? Aku tak salah dengar ke ni? Hatinya tertanya- tanya.
Are you serious, Wardah? Awak yang nasihatkan dia supaya balik kampung?” soal Zahirul ingin tahu.
Wardah mengangguk tanpa rasa curiga. Zahirul tidak membalas sebaliknya dia hanya tersenyum. Senyuman yang penuh makna. Patutlah sejak dua menjak ini, perangai adiknya itu sedikit berubah. Markah kuiz pun meningkat dan perkara yang tak disangka-sangka, adiknya itu sudah terbuka hati untuk balik ke kampung. Selama ini, balik kampung merupakan perkara yang cukup pantang buat insan yang bernama Ahmad Zafran Wazien.
“Kenapa encik macam pelik je? Ada yang tak kena ke?” soal Wardah kembali.
Err... Tak ada apa-apa,” balas Zahirul. Biarlah dia seorang saja yang tahu tentang perkara ini. Mungkin Zafran masih belum kata apa- apa tentang hal ini pada Wardah.
Zahirul menjeling jam di pergelangan tangan kemudian dia kembali menatap wajah Wardah. Senyuman yang manis dilemparkan lagi buat gadis itu yang masih setia duduk di hadapannya.
“Baiklah Wardah, saya rasa itu saja yang saya nak cakapkan dengan awak. Dah dekat waktu lunch ni, pasti Zaf cari awak.  Awak boleh pergi lunch sekarang,” tutur Zahirul lembut.
Wardah hanya mengangguk lantas berdiri. Fail yang diletakkan di atas meja Zahirul dicapai dan dilekap ke dada.
“Terima kasih, encik.” Ucapnya spontan.
Dahi Zahirul berkerut. Terima kasih?
“Untuk apa?” tanyanya bersahaja.
“Entah. Dah biasa ucap terima kasih. Heee…” balas Wardah selamba. Dia tersengih.
Zahirul ketawa lepas sambil menggelengkan kepala
 “Kalau macam tu, sama- sama.” Balas Zahirul.
Wardah turut tergelak. Dia mula mengorak langkah untuk meninggalkan meja Zahirul namun panggilan Zahirul membuatkan langkah Wardah terhenti. Dia berpaling.
“Ya, encik?”
“Takkan selamanya awak nak jadi sahabat Zaf? Lelaki seperti Zaf perlukan seorang wanita seperti awak untuk bantu dia kenal siapa diri dia yang sebenar. Awak tahu kan, setiap kejayaan seseorang lelaki itu pasti ada wanita di belakangnya, begitu juga Zaf,” ucap Zahirul penuh dengan makna yang tersirat. Dia harap Wardah dapat menangkap apa yang ingin disampaikan walaupun bukan secara secara terang-terangan.
Dahi Wardah berkerut seribu, cuba menafsir apa yang pensyarah muda itu ingin katakan. Namun, dia masih tidak mengerti. Matanya berkelip-kelip memandang wajah Zahirul. Apalah yang Encik Zahirul Haq ni merepek? Tak faham aku.
“Maksud Encik Zahirul?” soalan yang cukup pendek diutarakan oleh Wardah.
Zahirul sudah agak. Sah, budak ni tak faham apa yang aku nak sampaikan. Akhirnya, Zahirul hanya tersenyum dan mengenyit mata sebagai jawapan bagi soalan Wardah.
Wardah tersentak. Dia terpana seketika melihat reaksi Zahirul. Haish, sekali lagi dia kenyit mata, mahu pengsan aku dalam bilik pensyarah ni. Apa aku nak buat? Nanti kalau aku balas ‘kenyitan’ mata dia tu, aku takut dia pula yang kena sawan terkejut. Baik aku blah cepat. Bisik hati kecil Wardah.
Akhirnya, tanpa sepatah kata Wardah berlalu. Kata-kata Zahirul dibiarkan dibawa angin yang lalu.

SELESAI makan tengah hari, semua pelajar yang mengambil subjek Proses Pembuatan terpaksa masuk ke bengkel bagi menyiapkan projek akhir. Memang pelik apabila pelajar bidang pengurusan masuk ke bengkel sedangkan selama ini memang jarang pelajar yang berada dalam bidang pengurusan masuk ke bengkel, tetapi itulah yang menjadi salah satu keistimewaan bagi pelajar yang berada di dalam bidang Pengurusan Teknologi, kerana setiap pelajar diberi pendedahan untuk mempelajari mata pelajaran Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Awam.
 Itu yang menjadikan bidang ini sangat unik walhal kalau diikutkan subjek pengurusan tiada kaitan dalam bidang-bidang kejuruteraan. Tetapi jika diteliti secara mendalam, dalam setiap bidang tidak kira sama ada kejuruteraan ataupun perniagaan, semuanya memerlukan pengurusan dan sebagai pihak pengurusan mempelajari subjek yang baharu adalah sangat penting bagi memudahkan untuk menguruskan sesuatu organisasi.
“Ada, hari ni giliran kau pulak kan yang welding?” suara Athira mengejutkan Wardah yang sedang memakai apron keselamatan. Wardah berpaling.
“Haah, hari ni giliran aku dengan Zaf. Kau dah siap kan?” soal Wardah kembali.
“Belum, sikit lagi. Satu task lagi aku tak siap. Hari ni aku gerenti siap!” ujar Athira seakan berkobar- kobar. Dia tersengih pada Wardah.
Wardah turut tersengih. Dia pun pening, kenapa dalam ramai-ramai lelaki dalam kelas Proses Pembuatan, Puan Ainul menetapkan Zafran sebagai pasangannya untuk menyiapkan projek. Sudahnya, Athira dan Amira asyik mengusiknya dan Zafran sedangkan Zafran hanya tersenyum. Kadang-kadang, Wardah pelik dengan sikap Zafran sekarang, kalau dahulu lelaki itu akan membantah setiap usikan Amira dan Athira tetapi kebelakangan ini lelaki itu memilih untuk mendiamkan diri dan tersenyum. Apa dah jadi agaknya dengan kawan aku tu?
 “Ada, jauh kau termenung,” bunyi satu suara yang dekat dengan telinganya menyebabkan Wardah tersentak. Lantas, dia berpaling. Bulat matanya memandang Zafran yang begitu rapat dengan dirinya. Jantung Wardah pantas berlari lalu dia menjarakkan diri.
Zafran tersenyum manis.
“Kau ni Zaf, terkejut aku tau. Lain kali jangan lupa bagi salam,” tegur Wardah sambil menjeling.
Sorry, sorry aku tak sengaja. Terlupa terus nak beri salam bila tengok kau depan mata. Comel kau hari ni,” puji Zafran selamba. Lalu, tanpa menunggu balasan daripada Wardah dia berlalu ke rak untuk mencapai kasut keselamatan yang telah disediakan.
Wardah mengerutkan dahi. Comel? Sah, ada yang tak kena dengan Zafran ni. Tak pernah- pernah puji aku comel. Comel apanya? Wardah tertanya pada dirinya sendiri. Dia meneliti penampilannya hari ini. Dia hanya memakai t-shirt muslimah berwarna hitam bercorak oren, dipadankan dengan seluar jeans longgar berwarna hitam. Tudung pula dipakai seperti kebiasaan, tiada apa yang menarik bagi Wardah. Akhirnya, Wardah hanya mampu menjongketkan bahu.
“Hari ni siapa yang masih belum siapkan larik, sila siapkan. Begitu juga dengan kisar. Bagi yang welding, hari ini  saya akan tunjukkan pada sesiapa yang masih belum welding lagi. Sila ikut saya ke belakang. Pastikan cermin mata dan penutup muka itu kamu semua pakai. Pada yang lain teruskan kerja,” Encik Nazam memberi arahan.
Wardah dan beberapa orang rakan sekelas yang lain mengikut langkah Encik Nazam menuju ke tempat kimplan yang terletak di kawasan luar bengkel. Mereka berkumpul mengerumuni Encik Nazam yang telah bersedia dengan kelengkapan untuk membuat kimpalan.
“Ini kamu dah tahu kan apa namanya?” soal Encik Nazam sambil menunjukkan satu barang yang panjang dan berbentuk silinder. Kelihatan seperti lidi sate tapi berwarna kelabu dan diperbuat daripada logam.
“Elektrod guna habis, encik,” jawab Iqram pantas.
Encik Nazam tersenyum dan mengangguk mendengar jawapan daripada Iqram. Kemudian, dia menunjukkan cara-cara meletakkan elektrod tersebut dengan betul. Segala peraturan dan tips- tips sebelum mengimpal diterangkan oleh Encik Nazam secara ringkas.
“Saya akan tunjukkan perkara basic untuk mengimpal sebelum saya tunjukkan bagaimana nak buat kumai lurus. Kamu semua boleh pakai penutup muka tu,” arah Encik Nazam.
Semua pelajar mengikut apa yang dikatakan oleh Encik Nazam. Tak sampai beberapa minit, Encik Nazam dapat menyiapkan satu kumaian yang cukup cantik dan lurus. Wardah cukup terpegun dengan hasil kerja Encik Nazam. Nama pun Eksekutif Kejuruteraan pasti kerjanya cantik dan kemas. Puji Wardah dalam hati.
“Ingat, semasa welding pastikan sentiasa pakai glove yang disediakan. Cermin mata hitam dan penutup muka tu perlu dipakai setiap masa tidak kira waktu kamu nak ketuk hasil kerja kamu itu sekali pun, sebab once habuk tu masuk ke mata, buruk padahnya. Boleh jadi buta. Satu lagi, pastikan suis itu ditutup bila kamu tak guna sebab voltan yang kita gunakan untuk welding ni sangat tinggi dan jika terkena renjatan, boleh bawak maut, faham?” tekan Encik Nazam serius.
“Faham!” ucap mereka serentak.
“Okey, kamu boleh mulakan projek kamu sekarang,” ucap Encik Nazam.
Wardah mendapatkan Zafran yang berdiri tidak jauh daripadanya. Penutup muka dibuka buat seketika.
“Macam mana Zaf?” soal Wardah. Dia terpaksa mendongak untuk memandang Zafran yang agak tinggi daripadanya.
“Kita mula sekaranglah. Mula-mula aku siapkan yang kau punya, lepas tu baru aku siapkan aku punya,” balas Zafran.
“Eh, mana boleh macam tu Zaf, kan Encik Nazam dan Puan Ainul cakap, memang kita satu team tapi ini individu punya projek. Kau buat yang kau, aku buat yang akulah,” bantah Wardah lembut. Dia melihat Zafran hanya tersenyum.
“Benda ni bahaya Ada, biar aku tolong siapkan untuk kau. Sama je kan. Nanti kalau api tu terpercik kat kau macam mana? Ni kerja lelakilah, Ada.” protes Zafran.
Wardah mengeluh. Ni mesti dia ingat aku lembik. Eh Zaf, aku bukan lembik sangatlah. Bantah hati Wardah.
“Kalau ni kerja lelaki, takkan pihak universiti suruh student dia ambil subjek ni, Zaf. Aku tak nak menyusahkan kau, bukan satu task kita kena buat tapi dua takkanlah aku nak bagi kau buat semua sedangkan aku tengok je. Kau jangan risau, bila aku nak welding, kau tengoklah. Aku nak try buat sendiri,” pujuk Wardah lembut.
“Tapi Ada, bahaya…”
“Aku tahu, tapi aku yakin aku boleh. Kau percaya aku kan?” soal Wardah sambil tersenyum manis.
Zafran mengeluh. Bila Wardah tersenyum manis seperti itu, memang dia kalah. Kadang- kadang senyuman Wardah boleh memukau hatinya sehingga membuatkan dia tidak berani membantah kata-kata gadis itu. Wardah memang seorang gadis yang berdikari dan suka buat sesuatu tanpa mengharapkan pertolongan orang lain. Hal itu yang membuatkan Zafran merasakan Wardah lain daripada kawan wanitanya yang lain.
“Yalah…” Zafran mengalah. Sempat lagi dia mencuit hidung Wardah menggunakan sarung tangan. Wardah mengelak dan mencebikkan bibir.
“Cebik lagi mulut tu, aku welding baru tahu,” gurau Zafran sambil tergelak.
Wardah membeliakkan mata sebelum turut sama tergelak. Kemudian, mereka sama-sama memulakan misi untuk menyiapkan kumai lurus. Memang nampak senang, tetapi bila tangan sudah memegang pemacu kimpalan itu, tangan Wardah sedikit menggigil. Yalah, pertama kali bermain dengan api.
Cubaan pertama kali Wardah tidak memuaskan apabila kumai yang dibentuk tidak lurus dan tidak kemas. Kumaian yang kedua pula, sekejap kecil sekejap besar. Tapi bila sampai yang garisan yang ketiga, tiba-tiba elektrod tersebut melekat pada benda kerja. Terjerit-jerit Wardah memanggil nama Zafran. Dengan tenang Zafran menutup suis dan membetulkan elektrod tersebut.
Sepanjang Wardah membuat kimpalan, Zafran setia menanti dengan penuh tekun tapi kadang-kadang dia mengusik Wardah. Dia suka melihat wajah cuak Wardah apabila api atau pun spark tersebut terpercik ke lantai.
“Zaf, kumai aku ni tak luruslah. Tak cantik pulak tu. Tinggal lagi dua ni. Macam mana nak buat jadi cantik ni,” keluh Wardah sedikit kecewa kerana hasil kerjanya kurang memuaskan. Dia menyandar pada tiang.
“Biar aku tolong kau,” ujar Zafran.
“Oh, no, no, aku nak buat sendiri…” bantah Wardah. Dia menggelengkan kepala.
Zafran mengetap bibir dengan kedegilan Wardah. Tapi itulah Wardah, tidak suka berputus asa. Namun, Zafran tersenyum dan menggamit Wardah supaya mendekatinya.
Wardah menghampiri Zafran yang berdiri berdekatan dengan meja kimpalan.
“Apa?” tanya Wardah.
“Kau berdiri depan aku…” arah Zafran.
“Kau nak buat apa ni?” Wardah mula gelabah sedangkan Zafran hanya tergelak kecil.
“Aku nak peluk kau…” balas Zafran selamba sambil kening dimainkan.
“Hah??” Wardah hampir terjerit.
Zafran ketawa geli hati apabila melihat wajah Wardah yang sudah kemerahan. Pantang digertak pasti wajah itu merona merah.
“Kau ni, aku gurau jelah. Kau berdiri depan aku senanglah aku nak tunjukkan cara kumaian yang betul memandangkan kau tak nak aku tolong kau. Meh sini meh,” terang Zafran. Dia memanggil Wardah seperti memanggil budak kecil.
Wardah menarik nafas lega. Dia ingat apalah tadi. Perlahan-lahan dia menghampiri Zafran dan berdiri di hadapan Zafran. Dia menyambut huluran pemacu kimpalan daripada Zafran. Dengan berhati- hati dia meletakkan muncung elektrod tersebut di atas benda kerja.
Namun, tanpa disangka-sangka Zafran memegang tangan Wardah dari arah belakang dan menunjukkan cara membentuk kumaian yang betul. Wardah benar-benar terkedu dengan tindakan spontan Zafran. Laju saja jantungnya berlari pantas menyebabkan nafasnya sesak. Dia dapat rasakan tubuh Zafran yang dekat di belakangnya. Wardah terkesima kali ini.
Pantas, Wardah menutup suis dan menarik kembali tangannya daripada pegangan Zafran. Walaupun berlapik tetapi Wardah tetap tidak selesa. Terasa malu untuk berhadapan dengan Zafran saat ini.
“Aa… Aku… Aku nak pergi minum air kejap. Kau siapkan kerr... ja… Kau dulu nanti aku sambung balik kerja aku…” ucap Wardah tergagap- gagap. Dia menundukkan pandangannya.
“Okey…” balas Zafran bersahaja.
Tanpa menunggu lama, Wardah pantas berlalu menuju ke tempat letak begnya. Dia terpaksa menjauhkan diri daripada Zafran buat sementara waktu untuk meredakan dadanya yang bergetar hebat. Matanya terasa berbalam-balam dan langkahnya bagaikan tidak jejak bumi bila terkenangkan apa yang berlaku sebentar tadi.
Zafran menghantar tubuh Wardah dengan pandangan matanya. Apabila dia yakin Wardah sudah hilang daripada pandangannya, Zafran melepaskan nafas dengan kuat. Dia menggosok dadanya yang tiba-tiba bergetar. Come on Zaf, apa kena dengan kau ni? Bawa bertenang, bawa bertenang. Pujuk hati Zafran apabila jantungnya masih lagi tidak dapat mengawal denyutan yang menyapa dada.  Argh, jantung aku dah nak tercabut!

JULIANA menghentak kaki dari jauh. Kemesraan yang ditunjukkan oleh Zafran dan Wardah memakan hatinya dari dalam. Kedinginan yang ditunjukkan Zafran membuatkan hatinya bertambah sakit. Dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa dia tewas di tangan gadis seperti Wardah. Egonya tercabar.
Sikap Zafran yang suka bermain tarik tali dengannya sedikit sebanyak mencabar ego dan kesabarannya. Selama ini tiada seorang pun lelaki yang berani menolaknya mentah-mentah tetapi Zafran telah berjaya mempermainkan perasaan Juliana. Lelaki itu mendekatinya hanya untuk berseronok dan bila dia mengharapkan komitmen daripada lelaki itu, pelbagai alasan yang diberikan.
Kini, Juliana hanya menginginkan lelaki itu. Dia akan pastikan Zafran kembali ke pangkuannya. Itu tekad Juliana.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.