Tetamu Rindu

Thursday 19 October 2017

INGKAR CINTA ( BAB 12 )



SATU per satu tajuk-tajuk buku yang tersusun kemas di atas rak dibaca dengan teliti. Hampir setengah jam dia mencari buku Institusi Islam untuk dijadikan rujukan bagi menyiapkan tugasan yang diberikan oleh Ustaz Fazli. Dia mengeluh kecil apabila buku yang dicari masih belum ditemui.
Wardah menunduk. Dia mengintai di bahagian bawah rak buku tersebut. Satu per satu dibelek sebelum anak matanya melekat tajuk buku yang sememangnya dicari.
“Hah, jumpa pun!” Ucap Wardah sedikit riang. Pantas saja tangannya memegang buku tersebut.
Namun, baru saja dia ingin menarik buku itu keluar, buku tersebut turut ditarik dari arah lain. Arah bersebelahan dengannya. Dahi Wardah mula berlapis-lapis. Siapa pulak nak cari pasal dengan aku ni? Getus hati Wardah. Mulai bengang.
“Maaf, buku ni saya jumpa dulu,” ujar Wardah lantas menarik buku tersebut. Dia mengintai dari celah buku yang sudah ditariknya tadi.
Buntang matanya sebaik saja wajah seorang lelaki menyapa di ruang mata. Lelaki itu turut terkejut melihat Wardah dari celah-celah buku.
“Awak?” Jerit mereka serentak. Namun, sepantas kila mereka menekup mulut apabila menyedari ada dengusan yang tidak menyenangi suara mereka yang kedengaran kuat dalam perpustakaan yang sunyi sepi.
“Awak buat apa kat sini?” Soal Wardah dan Emir Rehan hampir serentak. Mereka berpandangan. Tidak lama kemudian tawa mereka meletus dengan sendirinya.
“Okeylah, saya bagi awak bercakap dulu,” ujar Emir Rehan sopan.
“Awak nak buku ni jugak ke?” Soal Wardah sambil menayangkan buku Institusi Islam yang berada dalam genggamannya.
Emir Rehan mengangguk kecil. Pandangannya beralih ke wajah Wardah yang manis bertudung ungu.
“Saya saja je nak baca. Bosan tak ada nak buat apa jadi saya masuk library ni sementara tunggu kelas. Awak pulak nak buat apa dengan buku tu?” soal Emir Rehan sambil memuncungkan bibirnya ke arah buku yang dipegang oleh Wardah.
“Saya nak buat assignment. Esok dah nak kena hantar tapi satu pun tak siap.” Jawab Wardah sambil tersengih.
“Kalau macam tu jomlah saya temankan awak buat assignment. Mana tahu saya boleh tolong awak apa yang patut lagi pun subjek ni saya dah ambil sem lepas,” balas Emir Rehan menawarkan pertolongan.
Wardah menahan senyum. Hatinya melonjak gembira tapi dia berpura-pura tenang.
“Awak pun ambil subjek ni?” soal Wardah lalu berjalan membuntuti langkah Emir Rehan menuju ke meja yang kosong.
“Mestilah ambil. Awak lupa ke subjek Institusi Islam kan subjek wajib jadi semua kos kena ambil,” jawab Emir Rehan membuatkan Wardah malu sendiri.
Wardah memicit dahinya menahan malu. Macam manalah aku boleh lupa semua ni? Awak punya pasallah ni, satu benda pun saya tak ingat. Detik hati Wardah sambil tersengih ke arah Emir Rehan.
“Maaf, saya lupa sekejap.”
Emir Rehan ketawa kecil. Sikap polos Wardah kadang-kadang mencuit hatinya.
“Awak buatlah assignment awak dulu. Saya nak cari buku sekejap. Nanti saya datang semula,” ucap Emiri Rehan lalu kembali meninggalkan Wardah sendirian.
Senyuman manis tidak lekang daripada bibir Wardah. Dia melabuhkan punggung di atas kerusi. Segala buku dan alat tulis dikeluarkan. Sedaya-upaya dia cuba menumpukan perhatian tetapi kehadiran Emir Rehan kembali mengganggu konsentrasinya. Wardah mendongak memandang Emir Rehan yang sudah pun melabuhkan punggung di hadapannya.
“Awak baca buku apa tu?” soal Wardah ingin tahu.
Emir Rehan mengangkat buku yang dipegangnya. Terpapar perkataan Tafsir al-Quran di mata Wardah. Dia tersenyum nipis.
“Malam nanti saya ada usrah dengan kawan-kawan sebilik jadi saya rasa lebih baik saya sediakan dulu topik apa yang nak saya bincangkan. Tak adalah saya terkial-kial masa usrah nanti,” terang Emir Rehan tanpa diminta.
“Selalu ke awak buat usrah?” soal Wardah ingin tahu.
“Setiap malam jumaat saya dengan kawan-kawan buat usrah lepas solat isyak. Kalau tak buat usrah pun, kami buat tadarus. Dulu saya tak biasa tapi bila kawan saya ajak, lama-lama jadi seronok pulak.” Jawab Emir Rehan.
Wardah menganggukkan kepala. Terasa kembang setaman hatinya apabila Emir Rehan tidak kekok menceritakan perihal diri dia. Dia tersenyum manis.
“Oh, patutlah awak ingat semua pasal tajwid kan?”
“Tajwid? Maksud awak?” Kening Emir Rehan sudah bercantum. Kata-kata Wardah mengundang rasa hairan dalam dirinya. Apa kaitan usrah dengan tajwid? Soal hatinya.
Wardah meletakkan pen di atas meja. Wajah Emir Rehan menjadi tatapannya tetapi tidak lama, dia kembali menundukkan pandangan. Walaupun hatinya menjerit yang dia suka pada lelaki ini tetapi rasa malu masih menjadi batas dalam dirinya.
“Saya pernah cakap pada awak kan, kita pernah jumpa sebelum ni. Tapi awak tak percaya,” ucap Wardah tanpa menerangkan hal yang sebenar.
“Tapi saya rasa memang saya baru kenal awak,” balas Emir Rehan masih tetap dengan pendiriannya.
Wardah mengukir senyuman.
“Awak ingat tak, dulu awak pernah tegur seseorang mengaji masa dalam surau. Awak cakap ada kesalahan dalam bacaan tu…” Wardah cuba mengingatkan.
Emir Rehan terdiam seketika. Otaknya ligat memikirkan sesuatu. Jari telunjuknya dibiarkan mengetuk dagu. Semua memori dalam kotak fikirannya cuba digali semula sebelum tiba-tiba anak matanya membesar. Otaknya dapat menangkap sesuatu sebaik saja dia melihat renungan mata Wardah yang redup.
“Awak ke orangnya… Perempuan yang saya tegur dalam surau…” suara Emir Rehan tergagap-gagap. Jantungnya tiba-tiba saja berdegup pantas.
Wardah mengerdipkan matanya. Dia mengangguk kecil.
“Maaf saya tak tahu awaklah orangnya. Patutlah saya macam pernah dengar suara awak ni. Saya mintak maaf kalau teguran saya tu buatkan awak kecil hati,” balas Emir Rehan dengan rasa serba salah.
“Eh, tak adalah. Saya tak kecil hati pun sebaliknya saya patut ucapkan terima kasih kat awak. Awak sudi tegur kesalahan saya walaupun awak tak kenal saya. Masa tu saya terlupa nak ucap terima kasih kat awak. Saya cari awak kat kolej tapi tak jumpa. Bila dah jumpa saya malu nak tegur awak. Tapi alhamdulillah, sekarang Allah bagi kesempatan kat saya untuk kenal awak. Terima kasih juga sebab awak sudi hadiahkan buku pada saya hari tu. Saya suka,” luah Wardah. Senyuman manis tidak pernah lekang di bibirnya.
Emir Rehan turut tersenyum. Patutlah selama ini dia kerap berjumpa dengan Wardah ternyata gadis itu tidak jemu mencarinya sedangkan dia sudah melupakan apa yang terjadi. Sikap Wardah itu menyentuh hati Emir Rehan tanpa sedar. Dia tidak menyangka, hanya secebis perbuatan, dia telah menarik perhatian Wardah. Walhal, tegurannya tempoh hari sekadar tanggungjawabnya sesama muslim.
“Takkan terima kasih je kut?” soal Emir Rehan tiba-tiba. Dia tersenyum penuh makna.
Wardah tersentak. Wajahnya berubah.
“Dah tu awak nak apa?” Soal Wardah dengan hati yang berdetak kencang.
“Saya nak awak jadi kawan saya, boleh?” soal Emir Rehan kemudian ketawa kecil. Riak muka Wardah yang kelat cukup menghiburkan hatinya.
Wardah mengetap bibir. Ingatkan apalah tadi. Buat luntur semangat aku aje, dia ni. Getus hati Wardah. Tidak lama kemudian dia tersenyum suka. Laju saja kepalanya dianggukkan. Lebih daripada kawan pun boleh. Desis hatinya. Nakal.

ZAF!” Panggilan seseorang membuatkan langkah Zafran terhenti. Berpusing kepalanya mencari empunya suara sebelum anak matanya terhenti pada wajah Iqram yang sedang berjalan menuju ke arahnya.
“Hah, kau rupanya Iq. Ada apa panggil aku?” soal Zafran lantas melabuhkan punggung di bangku tidak jauh dari surau.
“Tak ada apa. Kau buat apa kat sini? Ada kelas ke?” soal Iqram lalu mengambil tempat di sebelah Zafran.
“Ada tapi pukul empat. Aku ke surau kejap tadi…” ujar Zafran. Dia dapat melihat roman wajah Iqram berubah apabila dia menyebut perkataan surau. Ada bunga-bunga tawa yang akan meletus daripada bibir rakannya itu.
“Kau ke surau? Wah, aku tak sangka kau betul-betul berubah.” Sindir Iqram lalu meledakkan tawa.
Zafran mengetap bibir. Bahu Iqram ditumbuk kuat.
“Aku tak berubahlah. Tadi Wardah ada sekali. Dia ajak aku pergi surau. Aku terpaksalah ikut. Kalau tak, nanti buruklah reputasi aku depan mata dia. Kau kenal Wardah tu macam mana kan? Dia suka lelaki yang alim, aku kenalah berlakon. Macam mana aku nak menang dalam pertaruhan tu kalau aku tak dapat tarik perhatian dia?” jelas Zafran membuatkan tawa Iqram terhenti.
“Maknanya kau solat tadi tu tak ikhlaslah? Kau buat semua tu sebab Wardah bukan sebab kau nak solat,” tempelak Iqram.
Berdesing telinga Zafran mendengarnya. Dia menjeling tajam pada Iqram. Kecil besar, kecil besar saja Iqram di matanya.
“Siapa yang ajak aku bertaruh dapatkan Wardah?” Soal Zafran pula.
Iqram tersengih.
“Aku dan Duan.” Jawabnya ringkas.
“Hah, tahu pun kau. Jadi kau orang pun bersubahat dengan aku. Kau orang yang nak aku buat apa saja untuk dapatkan Wardah, jadi ini saja cara untuk dapatkan dia. Bila aku menang pertaruhan tu nanti, tak perlulah aku berlakon lagi. Wardah pun takkan rugi apa-apa,” jawab Zafran tanpa perasaan.
“Kau rasa Wardah akan terima kau semula ke lepas dia tahu apa yang kau buat kat dia?” soal Iqram menyentak Zafran.
“Kalau kita tak bagi tahu dia, dia takkan tahu. Dia perempuan baik, Iq. Aku rasa dia akan maafkan aku kalau dia tahu sekali pun,” balas Zafran antara yakin dan tidak.
Anak matanya ditebarkan ke kawasan surau. Dari jauh kelihatan Wardah, Athira dan Amira keluar dari perut surau. Wajah itu sejuk mata memandang. Tanpa sedar, Zafran tersenyum kecil.
Iqram yang menyedari ada senyuman yang menguntum di bibir Zafran mula terasa sesuatu. Pandangan Zafran yang redup itu sudah cukup memberitahu segala-galanya.
“Dan perempuan baik hanya untuk lelaki yang baik aje, Zaf…” ucap Iqram. Bahu Zafran ditepuk lembut.
Zafran tersentak. Ayat Iqram seakan-akan merentap tangkai hatinya. Dia berpaling ke arah Iqram. Wajah rakan subahatnya itu ditenung lama.
“Maksud kau?”
“Cuba kau tengok sana…” ujar Iqram lalu memuncungkan bibirnya ke arah Wardah yang sedang bercakap dengan seseorang di hadapan surau.
Zafran turut memandang ke tempat yang ditunjukkan oleh Iqram. Semerta, darahnya berderau. Kelihatan Wardah sedang bertukar senyuman dengan seorang lelaki. Wajah lelaki itu tidak jelas di pandangannya kerana lelaki itu sedang membelakanginya. Siapa lelaki itu? Kenapa Wardah kelihatan bahagia apabila bersua dengan dia? Benak hati Zafran mula resah.
“Siapa lelaki tu?” soal Zafran dengan perasaan yang tertahan-tahan. Ada bahang panas terasa di kulit wajahnya.
“Entah. Aku tak ingat nama dia. Tengok dari gaya kalau tak silap aku, dia ketua Persatuan Mahasiswa Islam,” jawab Iqram.
“Ketua PMI? Macam mana kau tahu?” soal Zafran lagi. Dia menelan air liur.
“Masa sem satu dulu, pernahlah aku masuk PMI tapi aku jarang ikut aktiviti kelab tu. Cuma aku tahulah siapa ketua kelab tu. Selebihnya aku tak tahu…” balas Iqram tersengih.
Zafran merengus. Ternyata Wardah mempunyai kawan lelaki yang jauh lebih hebat daripadanya. Zafran mula terasa sesuatu. Jelas, dia dapat melihat Wardah sedang menghulurkan sesuatu kepada lelaki itu. Dada Zafran mula berombak.
“Kau dah ada saingan, Zaf. Lelaki itu jauh lebih baik kalau nak dibandingkan dengan kau. Silap-silap kau kalah sebelum sempat bertanding,” bisik Iqram seakan-akan menyimbah minyak ke api yang sedang marak. Dia yakin Zafran sedang berperang dengan perasaan sendiri.
Zafran tidak menunggu lama. Dia bingkas bangun dan mendapatkan Wardah yang sedang menuju ke arahnya. Kelibat lelaki yang berbual dengan Wardah hilang daripada pandangan.
“Siapa lelaki tadi tu?” Soal Zafran tanpa sempat Wardah memberi salam.
Wardah berpandangan dengan Amira dan Athira. Lelaki mana? Emir Rehan ke yang Zafran maksudkan? Soal hati Wardah.
“Lelaki mana?” Soal Wardah dengan dahi yang bertindih-tindan.
“Aku nampak kau bagi sesuatu kat lelaki tu. Kau bagi apa?” Zafran melanjutkan persoalan. Wajahnya serius.
Makin berkerut wajah Wardah. Apa yang Zafran merepek ni? Tiba-tiba dia teringatkan air mineral yang diberikan pada Emir Rehan sebagai tanda terima kasih pada lelaki itu yang sanggup menemaninya di perpustakaan pagi tadi.
“Oh, aku bagi air mineral je…”
“Kenapa kau bagi? Dia tak boleh beli sendiri ke?” soal Zafran dengan pandangan tajam. Dia tidak peduli dengan pandangan Athira dan Amira yang kehairanan melihat perubahan sikapnya.
“Salah ke kalau aku nak belanja kawan aku? Air mineral je kut.”
“Salah. Bagi aku salah! Jangan pernah ambil berat pasal orang lain depan aku. Aku tak suka!” tegas Zafran dengan dada yang berombak kecil.
Makin pelik Wardah dibuatnya. Athira mula menyiku lengannya. Ketegangan wajah Zafran membuatkan mereka takut untuk bertanya.
“Kenapa kau tak suka Ada ambil berat pasal orang lain? Kau suka Ada ke?” soal Amira tiba-tiba.
Duppp! Jantung Zafran bagaikan direntap. Persoalan yang terbit daripada mulut Amira umpama bom yang meledak kuat. Dia tersedar dengan sendirinya. Kenapa aku tak suka Ada dengan lelaki lain? Perasaan ni… Perasaan ni betul atau pun cuma lakonan? Rasa apa yang bermain dalam hati aku saat ini? Dari mana wujudnya rasa ini? Jerit hati Zafran hanya dia yang mendengar.

WAJAHNYA tidaklah secantik Emma Maembong tapi kelembutan dan keayuannya kadang- kadang meruntun jiwa lelakinya. Segala nasihat serta tunjuk ajar yang diberikan membuatkan dia merasakan dirinya selalu diperhatikan oleh gadis itu. Jika dulu dia amat rimas dengan layanan gadis itu tetapi sekarang dia rasa senang malah dia suka jika gadis itu menghubunginya. Apa erti perasaannya ini?
Dahulu dia pernah mengatakan yang makhluk Allah yang bernama wanita ini suka menyusahkan dan merimaskan tetapi kehadiran gadis itu memberi ketenangan dalam dirinya. Dia suka jika gadis itu ada bersama. Dia suka bila gadis itu berbual dan ketawa dengannya. Terasa hidupnya ceria dengan kehadiran gadis itu.
Hanya dengan gadis itu dia selesa untuk menceritakan masalah yang melanda dirinya malah dia mengakui dalam hati, senyuman gadis itu mampu memukau sanubarinya. Saat bibir itu melebarkan senyuman, segala masalah terbang di bawa angin yang lalu. Senyuman itu mampu memberikannya kuasa yang menenangkan.
Namun, saat ada lelaki lain yang cuba menghampiri gadis itu, jujur Zafran akui dia tidak boleh terima. Hatinya pasti akan berbahang panas. Dia mahu gadis itu hanya memandang dirinya dan bukan orang lain.
Duhai hati, adakah kau dah terpikat dengannya? Apakah erti perasaan aku padanya sekarang ini? Dia sahabatku, dia temanku tetapi hatiku tidak dapat menerima semua itu lagi. Kenapa?
Zafran meraup wajahnya berulang kali. Entah kenapa hatinya asyik merepek perkara yang bukan-bukan. Mindanya asyik teringatkan gadis itu. Virus apalah yang menyerangnya kali ini. Belum pernah rasa ini menjengah sanubarinya.
“Hoi, termenung nampak!” sergah Zahirul yang masuk ke dalam bilik Zafran secara tiba- tiba.
Zafran tersentak. Dek kerana terkejut dia tergolek jatuh ke lantai. Berkerut dahi Zafran menahan sakit di punggung kerana terhentak di lantai.
“Adoii!!”
Zahirul ketawa mengekek. Tak sangka sampai begitu sekali tindakan refleks adiknya.
“Seronoklah abang kenakan Zaf,” ujar Zafran geram. Dia bangkit perlahan-lahan dan kembali duduk di atas katil. Abangnya yang masih tercegat dibiarkan saja.
Zahirul melabuhkan punggung di birai katil. Dia memandang wajah Zafran. Tangannya di angkat dan membelek-belek wajah Zafran dengan selamba. Kemudian, dia melekapkan telapak tangannya di dahi Zafran. Tak panas pun.
Berkerut dahi Zafran dengan tingkah laku Zahirul. Dia menepis tangan Zahirul yang masih lagi merayap.
“Abang ni dah kenapa? Buang tabiat ke?” Tanya Zafran geram. Dia mengetap gigi.
“Bukan abang yang buang tabiat, tapi kau…” balas Zahirul selamba.
“Kenapa Zaf pula?” soal Zafran pelik. Terkebil-kebil matanya memandang wajah tampan milik Zahirul.
“Abang pelik kenapa kau tak keluar malam ni? Selalunya nak nampak muka kau kat rumah pun payah. Itulah abang cakap kau buang tabiat,” balas Zahirul sambil tergelak.
Zafran geram lantas dia menumbuk lembut bahu Zahirul. Puas hatinya bila melihat Zahirul menggosok-gosok bahunya. Padan muka!
“Sakitlah!” marah Zahirul.
“Itulah siapa suruh abang perli Zaf,” jawab Zafran.
“Kau tu yang buat abang pelik. Kenapa kau tak keluar malam ni? Dah habis ke stok perempuan yang kau selalu usung tu? Abang tak dengar pun telefon kau berbunyi,” suara Zahirul kembali serius.
Zafran tersengih kemudian dia menayangkan telefon bimbitnya di hadapan Zahirul.
“Zaf off,” balasnya selamba.
Zahirul hanya menggelengkan kepala dengan sikap Zafran. Dia kembali memandang wajah Zafran. Dia dapat rasakan Zafran seperti menyembunyikan sesuatu daripadanya.
“Kau ada nak cakap apa- apa pada abang ke?”
“Nak cakap apa, bang?”
“Manalah abang tahu. Abang tengok sikap kau lain sejak kebelakangan ni. Hari tu kau tanya abang kat mana nak beli tuala wanita. Kau nak beli untuk siapa tuala wanita tu?” soal Zahirul cuba mengingatkan Zafran tentang peristiwa beberapa hari lepas.
Zafran hanya tersengih mempamerkan giginya yang putih bersih. Kali pertama dia membeli tuala wanita untuk seorang gadis. Gadis yang berjaya menjadikan dia kelam-kabut tempoh hari. Sedaya-upaya dia tahan perasaan malu di hadapan Zahirul semata-mata ingin menyelamatkan gadis itu.
“Beli untuk kawan perempuanlah, abang. Takkan Zaf pulak yang nak pakai.” Jawab Zafran lantas melarikan pandangan.
“Mustahillah kau ambil berat pasal perempuan. Selalunya kalau girlfriend kau ada masalah, kau tinggalkan aje. Kali ni boleh pulak kau tolong. Mesti dia special kan?” soal Zahirul lagi cuba mencungkil rahsia daripada Zafran.
Zafran mengawal riak wajahnya.
“Abang juga yang ajar, kalau orang perlukan pertolongan, kita kena tolong. Tolong orang tu kan satu sedekah. Tak gitu, Encik Zahirul?” soal Zafran kembali.
Zahirul ketawa kecil. Dia merenung wajah Zafran dengan lama. Tawanya terhenti dengan sendiri.
“Betullah, abang rasa kau ni ada masalah. Kau tak nak cerita kat abang ke?” Zahirul masih belum mengaku kalah.
“Eh, tak adalah bang. Zaf tak ada masalah pun. Perasaan abang je kut,” balas Zafran. Dia mengalihkan pandangannya ke tempat lain.
Dia mencapai novel Rasa Yang Tertinggal karya Siti Khadijah yang berada di atas meja. Itulah kesukaan Zafran, membaca novel. Walaupun ramai lelaki tidak suka membaca novel tetapi bagi Zafran, membaca novel merupakan hobinya sejak sekolah lagi cuma tiada sesiapa pun yang tahu akan hobinya itu.
“Kau kalau nak bohong, kau bohong orang lainlah. Abang tahu kau tengah fikirkan sesuatu, ceritalah kat abang,” pujuk Zahirul lagi.
Zafran merenung wajah Zahirul. Namun, wajah Zahirul bertukar dengan gambaran wajah seorang gadis yang bertudung. Manis dengan senyuman yang mekar di bibirnya yang merah. Renungan matanya mendebarkan sukma.
Ya Allah, kenapa dia ada di sini? Dalam bilik aku pula tu.
“Zaf, sejauh mana kau cuba sembunyikan rasa itu tapi debaran di dada tak pernah membohongi hati kau. Jangan sesekali kau ingkari cinta itu,” bisik gadis itu cukup lembut.
Jantung Zafran berdetak tidak menentu. Dia cukup terpukau dengan renungan mata gadis bertudung itu.  Dia menggosok- gosok matanya beberapa kali. Biar betul ni.
“Bukan aku mengingkari cuma aku masih keliru… Rasa ini melemaskan diri aku sendiri…” desis Zafran.
Perlahan-lahan dia mencapai tangan gadis yang berada di hadapannya. Cukup lembut sehingga menggoncangkan naluri lelakinya. Belum pernah dia merasakan perasaan ini dengan mana- mana perempuan yang dikenalinya. Ya Allah, rasa apakah ini? Benak hati Zafran berbisik.
Dia menarik tangan gadis itu dan di bawa ke bibir. Zafran merasakan dunianya berbunga- bunga dan jiwanya seakan terbang melayang entah ke mana saat bibir gadis itu melebar dengan senyuman yang cukup manis. Namun, apabila bibirnya ingin menyentuh permukaan tangan gadis itu tiba- tiba….
“Hoiiii!!!” jerkah satu suara menyentak Zafran daripada lamunan.
Dia mendongak. Wajah gadis tadi menghilang tapi di ganti dengan wajah Zahirul!
Argghhh!!” jerit Zafran sambil melepaskan tangan Zahirul sepantas kilat. Dia mengesotkan badannya ke belakang dan menjauhi Zahirul.
Zahirul tidak mampu menahan ketawa. Bunyi ketawanya kuat memenuhi segenap ruang bilik Zafran. Berair matanya kerana terlalu kuat ketawa. Bukannya apa, dia tidak tahan melihat mimik muka Zafran yang terkejut. Macam nampak hantu saja gayanya. Zahirul sendiri pelik dengan tingkah laku Zafran yang tiba-tiba merenung wajahnya dan memegang tangannya sambil membisik sesuatu yang tidak jelas di telinga Zahirul.
Namun, Zahirul masih membiarkan Zafran meneruskan sandiwara walaupun hatinya bagaikan digeletek melihat sikap Zafran yang berubah secara tiba-tiba. Tetapi apabila Zafran cuba mengucup tangannya, Zahirul sudah tidak mampu bertahan. Tak pasal-pasal adiknya itu menjadi mangsa jerkahannya. Itulah buang tabiat sangat. Nak cakap mengigau, matanya terbuka luas. Apa-apa jelah adik aku ni.
“Apa abang ni?” marah Zafran. Dia menjeling cuba menutup rasa debar di hati. Habislah aku kali ni dengan abang….
“Kau tanya abang, kenapa? Kau tu yang buang tabiat nak cium tangan abang. Kau ingat abang ni awek kau ke? Abang tak pernah tau tengok kau angau sampai macam ni sekali. Cepat, cakap pada abang perempuan mana yang buatkan dah jadi sasau tahap kritikal ni? Abang nak masuk meminang,” bebel Zahirul sambil berdiri mencekak pinggang. Wajah Zafran yang kemerahan di tenung sedalam- dalamnya.
Angau? Sasau? Takkan semua itu berlaku pada aku? Tidakkkk!! Jerit hati Zafran.
“Mana ada, abang dah salah faham. Zaf practice teater!” Zafran mencipta alasan. Dia sedikit tergagap- gagap.
“Teater?” soal Zahirul namun tidak lama kemudian dia ketawa. Muka cuak Zafran mencuit hati Zahirul.
“Sejak bila pulak kau masuk Kelab Kebudayaan ni, dik?” tempelak Zahirul selepas tawanya reda.
Errr… Zaf… Zaf…” Zafran tergagap- gagap. Tubuhnya sedikit menggigil.
Arghhh!!...” akhirnya Zafran menjerit. Zahirul terdiam sebentar kemudian dia menyambung gelak.
“Abang keluar dulu, ya? Kang tak pasal-pasal Zaf cium pipi abang pulak!” ejek Zahirul sambil mengekek ketawa.
“Abang!” tekan Zafran geram. Dia bingkas bangun dan cuba untuk mengejar Zahirul tetapi Zahirul dengan pantas menyusup keluar daripada bilik Zafran dengan bunyi ketawa yang menyakitkan hati Zafran.
Zafran menutup pintu dengan kuat. Dia menyandarkan belakang badannya di belakang pintu. Debaran di dada cuba diredakan. Namun apabila teringatkan peristiwa tadi membuatkan Zafran malu sendiri. Tak pernah ada dalam sejarah hidupnya cuba mencium tangan abangnya tanpa sebab. Ya Allah, apa dah jadi dengan aku? Bisik hati Zafran. Namun, secara tiba-tiba bibirnya mengukir senyuman. Wajahnya diraup beberapa kali sambil menyebut nama Allah. Dia cuba mengusir bayangan gadis itu yang menghantui fikirannya.
Hebat penangan kau, Wardah!

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.