Tetamu Rindu

Thursday 19 October 2017

INGKAR CINTA ( BAB 13 )



KONTRAK insurans adalah ‘ubbaramae fidei’ yang bermaksud amat suci hati. Ada sesiapa yang nak jelaskan tentang istilah perundangan ni?” soal Zahirul sambil matanya memandang wajah pelajarnya satu persatu. Dia tersenyum apabila semua pelajar menunduk.
Namun, matanya beralih pada wajah Zafran yang duduk di belakang kelas. Kelihatan fikiran Zafran menerawang ke tempat lain. Pandangannya kosong.
“Zafran, tolong jawab soalan saya,” pinta Zahirul. Dia meletakkan buku undang-undang di atas meja. Matanya difokuskan pada wajah Zafran yang masih lagi termenung. Zahirul tersenyum. Entah apalah yang menganggu fikiran Zafran sampaikan dalam kelas pun boleh termenung.
“Ahmad Zafran Wazien!” tekan Zahirul dengan suara yang sedikit kuat.
Zafran tersentak. Dia mendongak memandang wajah Zahirul dengan terpinga-pinga. Dia menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Sekilas dia menjeling pada Wardah yang berada di hadapannya. Dia melihat gadis itu hanya tersenyum nipis.
“Ya, saya Encik Zahirul,” sahut Zafran selamba. Kedengaran bunyi ketawa singgah ke telinga Zafran.
“Jawab soalan saya tadi,” balas Zahirul.
“Soalan apa, encik?” cukup bersahaja Zafran menanyakan soalan pada Zahirul. Dia tersengih apabila Zahirul menjengilkan matanya.
“Awak ni Zafran, terangkan pada saya tentang istilah perundangan ubberamae fidei,” Zahirul mengulangi soalannya.
Zafran menelan air liur. Ubberamae fidei? Binatang apa tu? Tak pernah aku dengar pun. Alahai, abang ni suka sangat tanya soalan yang susah pada aku. Kalau aku tak boleh jawab nanti jatuhlah reputasi aku dekat mata Wardah. Aduh, macam mana aku nak jawab ni? benak hatinya berkata- kata. Zafran menggaru pipinya.
ErrrUbberamae fidei tu… ErrEmm…”
“Apa dia Zaf?” tekan Zahirul lagi. Dia setia menanti jawapan daripada adik kesayangannya itu.
Zafran mula menggelabah apabila suara Zahirul mulai tegang. Abangnya itu bukan boleh dikira sangat, kalau dalam kelas, Zahirul memang seorang yang garang dan tegas.
Ubberamae fidei tu… Entahlah bang… Eh, Encik Zahirul,” ucap Zafran gagap. Tanpa disedari dia tersasul memanggil Zahirul dengan panggilan biasa.
Kedengaran kawan-kawannya sekelas ketawa. Zafran hanya mampu tersengih pada Zahirul yang sudah menggelengkan kepala. Dia tahu pasti Zahirul akan membebel padanya apabila balik ke rumah nanti.
“Zaf, kenapa suka sangat main- main dalam kelas?”
“Zaf, cubalah fokus masa abang tengah mengajar,”
Seakan terngiang-ngiang ayat yang selalu Zahirul gunakan apabila membebel.
“Awak ni Zaf, dalam kelas tempat untuk belajar bukan untuk termenung. Lepas ni tolong jumpa saya di pejabat. Baiklah, ada sesiapa yang nak tolong Zaf?” Zahirul mengubah topik. Pasal Zafran biarlah dia selesaikan di luar kelas.
Perlahan-lahan Wardah mengangkat tangan. Zahirul tersenyum pada Wardah. Kebiasaannya Wardah juga yang menjawab setiap soalan yang diajukan. Budak ni memang bagus.
“Silakan Wardah…” ucap Zahirul.
Wardah tersenyum. Dia berdeham sedikit sebelum membuka bicara.
Ubberamae fidei membawa maksud amat suci hati. Dalam kontrak ‘ubberamae fidei’ bermaksud ia memerlukan keikhlasan dan kepercayaan dalam membuat kontrak. Dalam kontrak insurans, risiko berlakunya perkara yang dilindungi adalah sangat penting. Oleh itu, menjadi tanggungjawab bagi pihak yang berkaitan untuk memaklumkan segala maklumat-maklumat yang penting kepada syarikat insurans. Tindakan menyembunyikan maklumat-maklumat tersebut membuatkan mereka hilang kelayakan untuk mendapat pampasan,” terang Wardah.
Zahirul tersenyum puas. Penerangan Wardah memang jelas.
“Betul Wardah, boleh bagi contohnya…” pinta Zahirul lagi.
“Sebagai contoh, sekiranya Ali ingin membeli insurans nyawa, dia seharusnya memaklumkan segala fakta material yang penting terutama rekod kesihatannya kepada pihak insurans. Malah, jika Ali mempunyai penyakit yang serius, dia harus memaklumkan kepada pihak insurans. Hal ini kerana jika dia enggan berbuat demikian, maka dia telah membuat salah nyata yang tidak mewujudkan kerelaan bebas,” jelas Wardah lagi.
“Bagus Wardah. Contoh yang tepat. Zaf, cuba ulang balik apa yang Wardah jelaskan tadi,” pinta Zahirul.
Zafran terdiam sebentar. Memang segala apa yang dijelaskan oleh Wardah melekat dalam kepalanya. Maklumlah sepanjang Wardah bercakap, tidak sedikit pun dia berpaling ke tempat lain. Dia lebih berminat mendengar apa yang Wardah katakan berbanding dengan abangnya.
“Kontrak insurans adalah ubberamae fidei atau istilah lainnya, amat suci hati…” Zafran mengulangi satu persatu penerangan yang telah dijelaskan oleh Wardah sebentar tadi.
Zahirul mengangguk-anggukkan kepala. Dia tersenyum pada Zafran.
“Awak ni Zaf, kalau saya yang jelaskan bukan main payah untuk awak ingat. Tapi kalau Wardah, laju macam keretapi je awak terangkan,” tempelak Zahirul dan disambut dengan ketawa pelajar- pelajar lain.
Wardah tertunduk malu sedangkan Zafran hanya tersenyum. Sekilas dia mengerling memandang wajah Wardah yang kemerahan kerana malu disindir oleh Zahirul. Suka dia melihat wajah itu tersipu malu.
Tanpa disedari, Zahirul turut memerhatikan tingkah adiknya itu. Oh, patutlah termenung dalam kelas, rupa-rupanya adik aku ni tengah angau. Bisik hatinya. Dia tersenyum penuh makna.


IBU, jangan tinggalkan adik…” Sayu suara Zafran kedengaran saat melihat si ibu sedang mengemas pakaian lalu disumbatkan ke dalam beg dengan kasar. Zafran menangis.
“Kau jangan sibuk, boleh tak? Kau duduklah dengan ayah kau tu. Tak sanggup aku hidup dalam rumah ni lagi! Hari-hari makan ikan masin. Muak! Kau tahu tak?” Jerkah si ibu dengan pandangan yang cukup tajam. Tangan Zafran yang cuba memeluk tubuhnya ditepis kasar.
Zafran jatuh tertiarap di atas lantai.
“Adik!” Jerit Zahirul lalu mendapatkan adiknya. Tubuh si adik yang sedang menangis hiba, dipeluk dengan kasih sayang.
“Sampai hati ibu buat abang dan adik macam ni. Abang dengan adik ni anak ibu. Kami perlukan ibu!” Zahirul turut mengongoi.
Si ibu mendengus marah. Dia berdiri sambil bercekak pinggang.
“Aku tak perlukan kau. Aku dengan bapak kau yang miskin tu dah tak ada apa-apa hubungan! Kau jangan cari aku! Aku tak perlukan kau orang!” Lantang suara si ibu kedengaran.
Lantas, tanpa belas kasihan, dia mencapai beg pakaianya lalu berlari meninggalkan bilik tidur yang satu ketika dahulu pernah dihuninya. Tanpa sedikit pun berpaling, si ibu meninggalkan dua anak lelakinya yang masih mentah. Tangisan Zahirul dan Zafran langsung tidak dipedulikan.
“Ibu!” Jerit Zafran kuat. Sedaya-upaya dia menolak tubuh Zahirul lalu berlari untuk mengejar batang tubuh milik si ibu yang sudah jauh ke hadapan. Air mata yang berjuraian, dibiarkan mengalir deras.
Hanya satu dalam fikirannya saat ini, dia inginkan ibunya kembali. Dia masih dahagakan kasih-sayang seorang insan yang bergelar ibu.
“Ibu jangan tinggalkan adik!” Jerit Zafran di muka pintu. Tanpa menyarung selipar di kaki, Zafran terus berlari mendapatkan si ibu yang sudah bersiap-sedia untuk melangkah masuk ke dalam kereta mewah.
Tangan si ibu ditarik dengan sekuat tenaga. Walaupun badannya kecil tika itu namun semangatnya berkobar-kobar. Dia tidak akan biarkan ibunya berlalu begitu saja.
“Hoi, lepaslah!” Jerkah si ibu lalu menepis tangan Zafran dengan kasar.
Pautan terlerai. Zafran masih belum berputus asa. Kedua belah kaki ibunya dipeluk. Dia menangis teresak-esak kerana mahukan ibunya kembali.
“Adik janji adik takkan nakal lagi. Adik akan ikut semua cakap ibu. Tapi ibu jangan tinggalkan adik! Ibu tak sayang adik ke? Ibu tak sayang abang?” Soal Zafran dengan hiba.
Si ibu menarik nafas dalam. Dia mulai bosan. Hatinya mendidih panas. Tidak ada secebis simpati pun dalam hatinya tika ini.
“Tak! Aku tak sayang kau! Kau boleh berambus!” Bentak si ibu lalu menolak tubuh Zafran dengan kuat sebelum dia meloloskan diri ke dalam kereta.
Zafran tergamam. Dia jatuh terduduk di atas tanah bersama dengan tangisan yang tidak henti-henti. Hatinya hancur apabila terkenangkan si ibu yang sanggup tinggalkan keluarga mereka demi mengejar kemewahan yang tidak pernah kekal. Dia ditinggal saat hatinya masih memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada seorang ibu. Sampai hati ibu tinggalkan adik! Adik sayangkan ibu! Jerit hatinya.
“Zaf… Zaf…”
Bunyi suara halus memanggil namanya mengejutkan Zafran daripada tidurnya yang seketika. Mata Zafran terbuka luas. Terkebil-kebil dia memandang seraut wajah lembut yang duduk bertentangan dengannya. Wardah? Aku kat mana ni? Soal hatinya.
“Kau okey tak ni? Tadi kau terlelap. Aku dengar kau meracau-racau. Kau tak sihat ke?” Soal Wardah dengan riak kerisauan tergambar di wajahnya.
Zafran membetulkan duduk. Dia mengamati keadaan sekeliling. Dia menarik nafas panjang dan menghembuskannya dengan perlahan. Aku mimpi rupanya. Desis hati Zafran. Lantas, wajahnya diraup sebelum secangkir senyuman diukirkan buat Wardah yang masih menanti jawapan daripadanya. Senyuman yang dirasakan cukup hambar.
“Aku tertidur ke? Lama ke?” Soal Zafran kemudian.
“Taklah lama. Adalah dalam sepuluh minit. Kau penat sangat ke? Ke kau tak sihat?” Soal Wardah kembali. Risau juga apabila melihat keadaan Zafran seperti itu. Belum pernah Zafran tertidur selepas waktu kelas. Nasib baik keadaan dalam student center ini lengang, kalau tidak pasti lelaki itu menjadi tumpuan pelajar lain.
“Aku sihat je…” Jawab Zafran pendek. Lalu dia kembali merebahkan kepalanya di atas meja. Lengannya dilapikkan di bawah kepala.
Wardah mengetap bibir. Dia dapat mengesan sesuatu yang tidak kena dengan reaksi Zafran. Lalu, Wardah bangun.
“Eh, kau nak ke mana ni?” Soal Zafran pelik. Dia mendongak memadang wajah Wardah yang serius.
“Aku nak pergi kedai kejap. Aku belikan 100 plus untuk kau, ya? Kau nampak tak sihat ni.” Ujar Wardah sambil membalas pandangan Zafran.
Hati Zafran tersentuh. Wardah begitu mengambil berat tentang dirinya. Lagaknya tidak ubah seperti seorang ibu yang risaukan anaknya.
“Aku sihatlah, Ada. Otak aku je ting tong sikit. Kau duduklah temankan aku sementara tunggu waktu kelas.” Jawab Zafran. Lalu dengan selamba, dia menarik lengan baju Wardah. Memaksa gadis itu untuk duduk kembali.
Wardah hanya menurut. Dia duduk kembali. Sementara Zafran hanya tersenyum manis. Wajah Wardah ditenung lama sambil kedua belah tangannya ditopangkan ke dagu.
“Kau tahu tak apa beza kau dengan laut?” Soal Zafran tiba-tiba.
Dahi Wardah berkerut-kerut. Dia memandang Zafran dengan penuh tanda-tanya. Apa kaitan aku dengan laut pulak, mamat ni. Keluh hati Wardah.
“Aku rasa banyak perbezaan.” Jawab Wardah ringkas.
“Betul. Memang banyak perbezaan. Laut menenangkan sesiapa saja yang memandang tapi kau, hanya beri ketenangan pada aku…” Jawab Zafran dengan lagak bersahaja.
Mata Wardah membulat. Dia terdiam. Namun, tidak lama kemudian dia ketawa lepas. Kata-kata Zafran cukup untuk membuatkan dia geli hati.
Sweet talker betullah kau ni. Sakit perut aku gelak, kau tahu tak?” Ucap Wardah sambil menutup mulutnya dengan telapak tangan. Dia yakin Zafran bergurau. Tetapi riak wajah lelaki itu kelihatan tenang.
“Aku serius ni, Ada. Kau ada ketenangan yang tak ada pada perempuan lain…” Ujar Zafran perlahan. Anak matanya dibiarkan menatap terus ke dalam anak mata Wardah.
Wardah terdiam. Mati terus tawanya apabila melihat Zafran yang berubah serius. Dia meneguk liur. Tiba-tiba saja bulu romanya meremang mendengar bicara Zafran yang lembut. Ada getar halus mula muncul di celah hatinya.
“Ketenangan tu milik Allah, kalau kau nak cari ketenangan, kau cari Allah. Bukan tengok muka aku, faham?” Tekan Wardah lantas menutup mukanya dengan buku.
Zafran ketawa kecil. Buku yang dipegang oleh Wardah ditarik lalu diletak ke tepi.
“Kau ni apa hal, Zaf? Sejak bila pulak kau jadi romeo dengan aku ni?” Wardah mula berdebar-debar. Renungan Zafran merimaskan dirinya.
“Janganlah tutup muka kau tu. Tak salah rasanya kalau aku nak tatap perhiasan dunia yang cantik depan aku ni…” Jawab Zafran masih dengan ayat-ayat manisnya.
“Perhiasan dunia? Apa?” Soal Wardah polos. Dia memandang ke kiri dan kanan.
Zafran ketawa lagi. Dia mengerdipkan mata.
“Kaulah. Wanita kan perhiasan dunia. Tapi seindah hiasan adalah wanita yang solehah. Kaulah tu…” Jawab Zafran selamba.
Wardah menepuk dahi. Dah parah dah, kawan aku ni. Makin dilayan, makin menjadi. Baik aku cabut lari. Benak hatinya berkata.
“Kau tahu tak, apa beza kau dengan cahaya matahari?” Soal Wardah kemudiannya. Dia mengecilkan mata memandang Zafran.
Zafran terdiam sejenak. Ligat otaknya memikirkan jawapan yang harus diberikan.
“Entah, mungkin aku lebih bersinar kut,” jawab Zafran tersengih.
Wardah tersenyum sinis.
“Salah. Cahaya matahari menyakitkan mata tapi kau menyakitkan hati!” Balas Wardah lantas bingkas bangun. Dia ketawa jahat apabila melihat Zafran yang menarik mulut muncung. Tanpa menunggu lama, dia berlalu meninggalkan Zafran yang tidak berpuas hati.
“Ada, kau…” Zafran mengetap gigi. Dia kalah kali ini.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.