Tetamu Rindu

Thursday 19 October 2017

INGKAR CINTA ( BAB 14 )



“SEMUA pelajar diminta untuk berkumpul di depan saya sekarang juga!” laung Zafran dengan menggunakan pembesar suara.
Sebaik sahaja mendengar pengumuman daripada Zafran, seramai 100 orang pelajar semester satu berkumpul berhadapan Zafran. Manakala, fasilitator-fasilitator menjadi pemerhati dari belakang. Mereka juga menanti arahan daripada Zafran selaku ketua fasilitator.
“Hansemnya senior kita ni…” bisik seorang pelajar junior yang berdiri tidak jauh daripada Wardah.
“Haahlah. Hansem gila macam hero Korea. Tak lena aku tidur kalau macam ni…” balas kawan gadis tersebut. Kemudian mereka ketawa kecil.
Wardah hanya tersenyum sendirian. Siapa yang tidak mengkagumi rupa paras yang dikurniakan oleh Allah kepada Zafran, malah ramai gadis yang ingin mendampingi dan menjadi buah hati lelaki itu tapi sayangnya, kelemahan wanita itu digunakan oleh Zafran untuk mempermainkan perasaan perempuan. Apabila ditanya mengapa, pasti pelbagai jawapan yang diberikan oleh Zafran. Sudahnya, Wardah hanya mampu menggelengkan kepala.
 “Lepas ini saya bagi masa untuk kamu semua kemas barang-barang kamu. Kamu boleh ke khemah mengikut kumpulan yang telah diberikan. Lepas 20 minit, kamu semua harus berkumpul di sini semula. Nanti saya akan berikan kumpulan dan fasilitator untuk memantau kamu semua sepanjang Kursus Perintis Siswa ini dijalankan. Faham?” ujar Zafran lagi.
“Faham!!” jerit mereka serentak.
Sebaik sahaja Zafran selesai memberi arahan, semua pelajar beredar ke khemah masing- masing.
“Fasi-fasi semua, sila berkumpul dekat saya sekejap…” panggil Zafran sambil menggamit rakan- rakan untuk mendekatinya.
Mereka berkumpul dalam satu bulatan. Wardah hanya mengikut dan berdiri di sebelah Hafizah. Manakala, Juliana dengan pantas mengambil tempat di sebelah Zafran. Sempat lagi dia menjeling tajam pada Wardah. Wardah hanya mencebik. Macamlah aku hadap sangat nak berdiri sebelah Zafran. Bebel hatinya.
“Baiklah semua dah ada. Kejap lagi saya akan bahagikan kamu mengikut kumpulan. Memandangkan pelajar kita ramai semester ini jadi saya terpaksa pecahkan dalam sepuluh kumpulan. Satu kumpulan ada sepuluh orang. Jadi setiap satu kumpulan akan dijaga oleh dua fasilitator. Berkenaan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan dalam tempoh kursus ini, kita serahkan pada pihak Dejavu Rangers cuma aktiviti hari terakhir saja kita yang uruskan,” Zafran memberi taklimat.
Semua fasilitator mengangguk tanda faham dengan apa yang Zafran sampaikan. Namun, Hafizah mengangkat tangan.
“Ada apa Fizah?”
“Apa aktiviti hari terakhir tu?” soal Hafizah.
Wardah pun ingin tahu. Dia memandang wajah Zafran menanti jawapan daripada ketua fasilitator itu. Namun, dengan pantas dia menundukkan pandangannya saat Zafran membalas pandangannya dengan senyuman. Hati Wardah berdenyut laju. Dia tidak suka dengan pandangan Zafran itu.
“Kita akan adakan pertandingan memasak antara kumpulan. Siapa yang menang kita bagilah hadiah atau hamper sikit. Barulah mereka seronok sikit kalau dapat hadiah. Tapi untuk makluman kamu semua, setiap aktiviti yang dilakukan, semua fasilitator kena turut serta jikalau pihak Dejavu Rangers nak fasilitator terlibat sama,” terang Zafran.
Wardah mengeluh. Ini yang dia tidak suka. Aktiviti air, memanjat, flying fox segala bagai. Bukan dalam bidangnya. Dia memang bukan seorang yang lasak malah dia tidak gemarkan aktiviti- aktiviti yang melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan.
“Kenapa Wardah? Kau ada masalah dengan apa yang aku cakapkan?” soal Zafran. Fokusnya tertumpu pada Wardah yang kelihatan tidak senang duduk dengan pertanyaannya.
 “Tak ada apa- apalah, Zaf. Aku okey je…” ucap Wardah menyembunyikan rasa yang tidak selesa.
“Itulah, kan aku dah cakap, kalau tak boleh nak jadi fasilitator, tak payah nak join dengan kita orang,” sinis Juliana sambil memeluk tubuh.
Wardah tidak menjawab. Dia malas nak bertekak dengan orang macam Juliana. Macam bagus sangat dia tu!
“Jue, sudahlah. Kita kat sini bukan nak bergaduh. Banyak benda lagi yang kita kena buat. Tak payah nak mengungkit tak tentu pasal,” tegur Zafran dengan nada yang agak tegas.
Juliana menarik muka masam. Sakit hati apabila Zafran terus-terusan membela Wardah. Jagalah kau, Wardah. Kau tunggulah balasan daripada aku nanti! Hatinya berbisik jahat.
“Bila kau nak bahagi kumpulan untuk kita orang? Masa berjalan ni. Kejap lagi budak- budak tu datang pula,” sampuk Hairul menghentikan pertelingkahan kecil Zafran dan Juliana.
“Baiklah, aku berikan sekarang. Hafizah dan Hazwan, kumpulan satu. Hairul dan Sofea, kumpulan dua. Juliana dan Fizi, kumpulan tiga. Iqram dan Ija, kumpulan empat. Bain dan Nadia kumpulan lima, Syukri dan Lina kumpulan 6, Fauzan dan Intan, kumpulan 7, Amir dan Gee, kumpulan lapan. Katrina dan Haiqal, kumpulan sembilan. Saya dan….”
“Aku pula macam mana, Zaf?” pintas Wardah pantas apabila menyedari namanya masih belum disebut oleh Zafran.
Zafran tersenyum manis.
“Wardah, kau dengan aku. Kita handle kumpulan sepuluh…” balas Zafran.
Kedengaran keluhan kasar terbit daripada bibir Juliana. Dia sudah agak. Pasti Zafran akan memilih Wardah menjadi satu kumpulannya. Sakit hatinya makin bertambah.
“Tapi biarlah aku….”
“Okey, saya rasa itu saja setakat ini. Awak semua boleh balik ke khemah masing- masing, kejap lagi kita berkumpul semula…” potong Zafran tanpa sempat Wardah menghabiskan ayatnya.
Dia yakin pasti Wardah akan menyangkal apa yang telah diputuskan. Zafran tidak peduli. Keputusannya sudah muktamad. Selangkah Wardah ingin menjauhkan diri, sepuluh langkah dia akan fikirkan cara untuk terus mendekati gadis itu. Inilah tekadnya.
Wardah tidak puas hati. Kenapa harus dia yang menjadi pilihan Zafran? Padahal, Juliana setiausaha kelab fasilitator, sepatutnya gadis itu yang bersama dengan Zafran bukan dirinya. Dia harus bersemuka dengan Zafran untuk penjelasan.
Sebaik saja semua fasilitator berlalu, Wardah menghampiri Zafran yang sedang mencatatkan sesuatu di atas kertas.
“Zaf, kenapa aku satu kumpulan dengan kau pulak? Kenapa kau tak letak aku dengan Fizah je. Senang sikit aku nak buat kerja,” Wardah meluahkan rasa tak puas hatinya.
Wajah Zafran dipandang. Namun, sebaik saja Zafran membalas pandangannya, Wardah mengalihkan pandangan ke tempat lain.
“Kau tak suka ke?” soalan dibalas soalan. Zafran menjongketkan kening.
Wardah mengetap bibir.
“Bukan tak suka…”
“Maknanya, kau sukalah. Good. Tak payah aku nak terangkan panjang-panjang..” jawab Zafran selamba.
“Tapi Zaf, apa yang kau buat ni ada orang tak suka. Aku tak nak ada yang bergaduh dengan aku nanti. Kau kenalah faham…” Wardah masih belum mengalah.
“Kau yang kena faham. Sekarang ni kita ada tanggungjawab untuk uruskan pelajar bukannya untuk bersuka ria. Aku pilih kau sebab aku yang ajak kau masuk kelab ni dan aku selesa bekerjasama dengan kau. Puas hati?” terang Zafran sambil menatap terus ke dalam anak mata Wardah yang hitam pekat.
Jantung Wardah berdenyut lagi. Panahan mata itu menusuk ke dalam hatinya. Dengan pantas Wardah menundukkan pandangan.
“Tapi aku…”
“Tak ada tapi-tapi, Ada. Pasal Jue kau tak payahlah nak risau sangat. Tahulah aku nak handle dia, kau pergilah kemas apa yang patut. Kejap lagi aktiviti dah nak mula..” balas Zafran lembut.
Dia terasa ingin mengangkat dagu gadis itu agar dia dapat melihat terus ke dalam anak mata Wardah yang bundar, namun Zafran sedar Wardah bukan perempuan sebarangan yang boleh disentuh sesuka hati. Mungkin belum tiba masanya. Bisik hati Zafran.
Wardah kehilangan kata. Entah kenapa kali ini dia tidak mampu untuk menyangkal kata-kata Zafran. Nafasnya juga terasa sesak. Selalunya dia dapat mematahkan setiap apa saja kata-kata Zafran yang tidak berkenan di hatinya tetapi kali ini dia kalah tanpa sempat berkata apa-apa. Apa dah jadi dengan aku ni? hatinya menyoal.
Akhirnya, Wardah berpaling untuk melangkah pergi. Tak guna dia berbalah dengan Zafran pasal hal yang remeh, pasti dia akan kalah dengan lelaki itu. Nampaknya terpaksalah dia mengikut kata- kata Zafran kali ini.
Namun, sebaik saja dia melangkah tiba-tiba namanya dipanggil oleh Zafran. Wardah menoleh. Kelihatan Zafran tersenyum padanya. Kenapa pula dengan mamat ni? Asyik senyum je. Tak lenguh ke mulut tu. bebel Wafiya dalam hati.
“Apa dia?” soal Wafiya.
“Cantik kau hari ni,” puji Zafran dengan senyuman yang meleret. Dengan selamba dia mengenyitkan matanya.
“Gila!” terpacul perkataan itu daripada mulut Wafiya sedangkan Zafran sudah pun ketawa kuat. Suka dapat melihat wajah Wafiya yang merah.

AKTIVITI ice breaking di hari pertama Kursus Perintis Siswa berjalan lancar. Zafran dan Wardah berganding bahu mengetuai kumpulan sepuluh. Wardah bersyukur kerana Zafran tidak lokek memberi tunjuk ajar apa yang patut dilakukan. Dia tersenyum apabila melihat telatah pelajar-pelajar perempuan yang tidak berkelip memandang wajah Zafran apabila lelaki itu sedang bercakap.
“Abang Zaf, saya nak tanya satu soalan?” soal Qistina sambil mengangkat tangan.
Zafran berpaling dan tersenyum pada Qistina. Dia mengangguk. Wardah di sebelah hanya mendiamkan diri.
“Ya, silakan.” Balas Zafran.
“Abang Zaf dan ada girlfried ke belum?” tanya gadis itu selamba.
Semua yang berada di situ ketawa termasuk Zafran dan Wardah. Namun, sempat lagi Zafran menjeling pada Wardah yang ketawa sambil menekup mulutnya. Ish, sopannya dia. Bisik hati Zafran.
“Awak nak abang jawab tipu ke jujur?” soal Zafran berseloroh.
“Dua-dua pun boleh,” sampuk Zaini.
“Abang ni single but not available,” jawab Zafran kemudian ketawa kecil.
“Maknanya abang dah ada girlfriend, frust kita orang macam ni…” ujar Qistina dengan muka kecewa. Kelihatan pelajar perempuan lain juga menunjukkan reaksi yang sama.
Wardah hanya mampu menggelengkan kepala. Hai, nama pun budak- budak.
“Maksud abang, setiap jodoh manusia itu sudah ditetapkan. Cuma sebagai manusia kita kena berusaha untuk menjadi yang terbaik untuk mendapat jodoh yang terbaik sebab jodoh kita adalah cermin diri kita. Setuju tak?” Zafran mengajukan soalan pada pelajar- pelajarnya.
Kelihatan semua pelajar- pelajar mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju.
“Habis tu, abang tak jumpa lagi ke jodoh abang tu? Takkan tak ada petunjuk kut..” Qistina masih belum puas menanyakan soal jodoh.
Zafran hanya tenang. Sekilas dia mengerling pada Wardah yang berada di sebelahnya. Entah kenapa saat gadis itu berada di sebelahnya dia terasa dirinya lengkap seolah olah dia menemui kedamaian saat menatap wajah yang tenang itu.
“Rasanya dah jumpa tapi tak pasti…” jawab Zafran sambil memandang pada Wardah.
Wardah hanya ketawa kecil mendengar jawapan Zafran. Lelaki itu bercakap pasal jodoh? Rasa macam tak percaya pula padahal Zafran adalah lelaki yang akan menolak mentah-mentah apabila berbicara tentang cinta. Tiada cinta sejati wujud atas dunia ini! Itulah katanya.
Tetapi tawa Wardah berhenti apabila terasa banyak mata yang memandang ke arahnya. Wardah memandang ke kiri dan kanan. Apa hal pula dia orang tengok aku macam nak telan? Aku tak cakap apa- apa pun. Benak hatinya berkata. Tetapi Wardah rasa seperti ada mata yang merenungnya, jangan- jangan…
Wardah menelan air liur. Dia berpaling ke sisi.
Zappp!
Bagaikan terkena kejutan elektrik saat matanya bertembung pandang dengan anak mata Zafran yang hitam pekat. Bulat mata Wardah membalas pandangan Zafran. Namun, cepat-cepat dia memandang ke hadapan.
“Baiklah, kita stop pasal jodoh ni. Kita teruskan dengan aktiviti kita petang ini. Zaf, apa kata kalau kita teruskan dengan aktiviti kita,” tanya Wardah.
Suara Wardah menghentikan lamunan Zafran. Dia berdeham dan tersenyum pada pelajar- pelajarnya yang masih menanti kata- kata daripadanya.
“Baiklah, sekarang ni abang nak kamu semua tengok sekeliling, kemudian cari satu benda. Abang bagi masa 2 minit. Pastikan barang yang kamu pilih itu tak sama dengan kawan kamu yang lain,” ucap Zafran.
“Okey,” balas pelajar- pelajar.
Zafran memandang jam di tangan.
“Okey, masa dah tamat. Sila berdiri dalam bulatan sekarang,” arah Zafran.
Semua pelajar bangun dan berdiri dalam bulatan. Zafran dan Wardah turut serta menyelitkan diri.
“Baiklah, permainan ni nampak simple tapi kamu semua kena tumpukan sepenuh perhatian. Setiap orang perlu mengingati apa yang kawan kamu sebut. Setiap seorang akan menyebut nama barang yang dipilih oleh kawan kamu yang lain, apabila nama barang itu disebut, pemilik barang itu harus tunduk manakala kawan disebelah kena sebut ‘bang’ dan tembak pada kawan yang sebelah lagi. Siapa lambat dia yang kalah. Setakat ini faham?” soal Zafran selepas menerangkan apa yang perlu dilakukan.
Semua pelajar mengangguk tanda faham.
“Kalau kalah mesti ada denda kan, bang? Apa dendanya?” soal Ahmad.
Zafran tersenyum. Dia memandang Wardah yang turut tersenyum.
“Dendanya? Wardah sila terangkan..” Zafran memberi peluang pada Wardah untuk bercakap.
“Dendanya ialah, siapa yang menang boleh tanya apa saja soalan kepada yang kalah dan yang kalah kena jawab soalan itu dengan spontan.” balas Wardah.
Semua pelajar sudah tersenyum-senyum. Pasti ada soalan yang sudah berlegar-legar dalam minda mereka.
“Kalau semua dah faham, kita mulakan sekarang,” ucap Zafran.
Para pelajar menganggukkan kepala. Aktiviti pertama mereka bermula. Riuh-rendah suara- suara mereka menyebut nama barang- barang yang telah dipilih. Zafran dan Wardah hanya mampu ketawa apabila melihat mereka bergaduh sesama sendiri bagi menentukan siapa yang kalah.
“Baiklah giliran saya pula ya. Saya nak sebut apa ya,” Ahmad mengetuk-ngetuk dagunya.
Dia memandang satu persatu wajah yang berada di hadapannya. Kemudian dia memandang Azlin yang berada di tengah- tengah antara Wardah dan Zafran. Dia mendapat satu akal.
“Daun!” tekannya.
Dengan pantas, Azlin tunduk. Wardah yang tidak bersedia memandang Zafran yang sedang memandang wajahnya. Namun yang pelik lelaki itu tidak berkata apa- apa. Hanya pandangan yang dilemparkan.
“Bang!!” Dengan pantas Zafran menunjukkan jari telunjuknya pada Wardah yang masih terpinga- pinga.
Wardah menarik nafas panjang kerana tak sempat untuk bertindak. Dia kalah kali ini. Namun, dia tetap tersenyum.
“Kak Wardah kalah, abang Zaf, cepatlah tanya soalan. Tanya soalan yang kaw-kaw gitu,”  Ahmad mengampu.
Zafran tersengih penuh makna. Dia mengenyit mata pada Ahmad. Itu sudah semestinya.
“Kau janganlah tanya soalan add math. Aku tak boleh nak jawab nanti,” seloroh Wardah.
Kedengaran ketawa meletus daripada para pelajar. Zafran turut tergelak.
Hmmm… Soalan saya berbunyi….” Zafran menghentikan ayatnya. Dia sengaja ingin membuat Wardah jadi serba tak kena.
“Apa dia?” soal Wardah tak sabar.
Will you marry me?” tanya Zafran spontan. Dia tersenyum penuh makna.
Suasana menjadi sunyi seketika sebaik sahaja Zafran selesai menanyakan soalan. Semua bagaikan tidak percaya dengan pertanyaan Zafran yang selamba dan spontan. Namun, Zafran hanya tayang muka selamba. Memang itu yang hendak ditanya.
“Hah??” Wardah terkejut.
Soalan apa ni? Dah buang tabiat ke Zaf ni? Tak pernah-pernah tanya soalan maut. Apa aku nak jawab? Buat malu je. Bebel hati Wardah.
“Fuyooo, Abang Zaf melamar Kak Wardah ke?” tanya Azlin.
“Dah Ahmad nak soalan yang kaw-kaw, abang tanya jelah. Itulah soalan yang lelaki nak tanya tapi tak berani. Betul tak Ahmad?” Zafran mengangkat kepalanya pada Ahmad.
Ahmad hanya mengangkat ibu jari tanda bagus.
“Apa lagi Kak Wardah, jawablah soalan tu,” gesa Ahmad sambil diikuti yang lain.
Wardah mula tidak senang duduk. Dia dapat rasakan wajahnya sudah berbahang panas. Malu beb!
“Maaf akak tak dapat nak jawab soalan tu. Bahaya soalan Abang Zaf kamu ni,” akhirnya Wardah bersuara.
“Alah, akak tak sportinglah. Kalau Abang Zaf tanya Qis, mesti Qis jawab yes punya,” sampuk Qistina.
“Memanglah kau akan jawab yes sebab kau gatal. Kak Qis ni perempuan Melayu terakhir, mestilah malu-malu,” tempelak Ahmad selamba membuatkan Qistina terdiam.
Semua yang di situ ketawa. Zafran masih sabar menanti jawapan daripada Wardah.
Wardah gelisah. Dia tidak keruan saat ini.
“Jawab! Jawab! Jawab!” jerit mereka sambil menepuk tangan.
Zafran tersenyum dan mengangkat ibu jari tanda bagus.
“Ya, ya akak jawab!” akhirnya Wardah mengalah.
Zafran terdiam. Dia memandang wajah Wardah. Biar betul dia nak jawab? Hati Zafran mula berdenyut. Niatnya sekadar untuk mengusik tetapi dia tidak menyangka Wardah akan menjawab soalannya itu.
Semua mata memandang wajah Wardah dan mengharapkan jawapan daripada Wardah sedangkan dalam hati Wardah saat ini bagaikan dilantun-lantun. Dia tidak tahu jawapan apa yang perlu diberikan. Kenapalah Zafran tanya soalan yang pelik- pelik?
“Ehem… Jawapan akak…” Wardah serba tak kena. Dia menggaru-garukan dagunya yang terasa gatal.
“Apa kak?” tekan Ahmad lagi.
“Sesungguhnya, hidup, mati, jodoh dan pertemuan dalam hidup akak, akak serahkan kepada Allah. Kalau dia yang terbaik untuk dunia dan akhirat, akak takkan ingkari pilihan Allah untuk akak…” jawab Wardah cukup bersahaja. Sudah puas dia memerah otak untuk memberi jawapan yang sesuai dan jawapan yang diberikan itu dirasakan yang paling selamat untuk menjaga hati semua orang.
Suasana menjadi sunyi sepi. Tiada satu suara pun yang keluar daripada mulut-mulut insan yang berada di hadapan mata Wardah saat ini. Semua terdiam sebaik saja Wardah selesai berkata- kata.
Terkebil-kebil mata Zafran memandang wajah Wardah. Dia sungguh tidak menyangka jawapan itu yang akan diberikan. Dia tersenyum dalam hati.
“Wahhh, jawapan akak betul-betul drama. Tak tidur lenalah Abang Zaf kita,” seloroh Ahmad sambil ketawa sebelum diikuti oleh pelajar yang lain.
Wardah terasa malu. Dengan pantas dia menundukkan wajah. Sedangkan Zafran masih leka memerhatikan Wardah yang tertunduk. Hatinya terasa bahagia. Tidak pernah dirasakan perasaan ini. Cukup indah.
“Kamu yang paksa akak jawab. Jadi terpaksalah akak jawab. Sekarang, akak nak kamu bagitahu akak apa yang kita dapat pelajari daripada permainan itu tadi,” sambung Wardah tanpa menunggu arahan daripada Zafran. Dia pelik kenapa Zafran mendiamkan diri secara tiba- tiba. Takkan terasa kut?
“Fokus!”
“Ingatan kena kuat!”
“Jangan pentingkan diri sendiri, ingat orang lain juga,”
“Sayangi alam sekitar!”
Pelbagai jawapan yang keluar daripada pelajar-pelajar membuatkan Wardah tersenyum walaupun kadang- kadang jawapan yang diberikan tiada kaitan dengan soalan yang diajukan.
“Baiklah, biar akak rumuskan. Apa yang kamu semua cakap itu betul. Fokus, perhatian, dan ingatan kena kuat. Dalam hidup kita, kadang-kadang kita lalai melakukan aktiviti-aktiviti yang tak berfaedah tapi sebagai pelajar, tujuan utama kita ke kolej ini adalah untuk menuntut ilmu jadi kita kena fokus pada matlamat dan tujuan kita ke sini. Tak salah untuk kita enjoy tapi harus ada batasan sama juga dengan permainan tadi. Kalau kita hilang fokus, kita akan kalah. Begitu juga dalam kehidupan kita, sekali fokus kita hilang, hidup kita akan terumbang-ambing,” ujar Wardah panjang lebar.
Semua pelajar terdiam dan mengangguk- anggukkan kepala. Apa yang dikatakan oleh Wardah betul belaka.
Tiba-tiba terdengar tepukan dari sisi Wardah membuatkan dia berpaling. Kelihatan Zafran sedang bertepuk tangan sambil tersenyum manis.
“Rumusan yang baik, Wardah. Dengar semua, jangan sesekali kita hilang fokus dalam hidup kita. Cari matlamat, tetapkan matlamat dan cuba untuk mencapai matlamat insya-Allah kita akan berjaya, bukan saja di dunia malah juga di akhirat,” sampuk Zafran.
Dia memandang wajah pelajar- pelajar yang duduk berdiam diri di hadapannya. Kemudian dia menyambung lagi.
“Sesi kita untuk petang ni dah tamat. Kamu semua boleh bersurai untuk minum petang. Selepas tu, kamu semua boleh solat. Kita berkumpul kembali pada pukul lima petang,” ucap Zafran mengakhiri sesi ice breaking.
Semua pelajar berdiri dan mula beredar meninggalkan Zafran dan Wardah. Wardah mencatat sesuatu di atas kertas tanpa sedikit pun menoleh ke arah Zafran. Setelah siap menulis apa yang patut, dia berdiri.
“Betul kau akan terima kalau Allah jadikan aku jodoh untuk kau?” terpacul soalan itu daripada mulut Zafran membuatkan Wardah berpaling. Dahinya berkerut.
“Apa maksud kau, Zaf? Aku tak faham…” Wardah memberanikan diri untuk menentang wajah Zafran. Dia mendongak.
Zafran tersenyum manis. Dia melangkah setapak, mendekati Wardah. Dia menyuakan wajahnya dekat ke wajah Wardah sebelum anak mata itu ditenung sedalam-dalamnya.
Wardah cuak. Renungan Zafran kembali menggoncangkan hatinya. Ish, dia buat perangai pula petang-petang ni.
“Tadi kau cakap, hidup, mati, jodoh dan pertemuan kau serahkan kepada Allah dan kalau aku ditakdirkan Allah untuk jadi jodoh kau, kau akan terima. Betul ke?” soal Zafran sambil mengulang kembali kata- kata yang telah diucapkan oleh Wardah.
Wardah terpempan seketika. Alamak, dia ingatlah pula.
“Zaf, aku harap kau tak fikir yang bukan-bukan apa yang aku cakapkan tadi. Semua tu sebab budak- budak tu yang paksa aku jawab. Aku tak bermaksud apa- apa pun,” balas Wardah.
Zafran terdiam seketika. Wardah tidak bermaksud apa- apa? Tetapi hatinya sudah berdenyut tidak menentu. Hatinya sekarang sukar untuk dikawal jika Wardah berada di sampingnya. Petanda apakah ini?
“Tapi aku akan pegang kata-kata kau tu, Ada… Aku akan pastikan suatu hari nanti kau…” Zafran tidak jadi untuk meneruskan kata. Dia biarkan kata- katanya tergantung di situ sebelum berlalu meninggalkan Wardah yang terpinga- pinga.
“Kau? Apa? Zaf!” panggil Wardah inginkan kata putus daripada Zafran.
Namun, Zafran meneruskan langkah dengan senyuman penuh makna menghiasi bibirnya.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.