Tetamu Rindu

Thursday 19 October 2017

INGKAR CINTA ( BAB 15 ) ~ LAST ENTRY~



ZAFRAN gelisah menanti Wardah yang hilang entah ke mana. Dia mengerling jam di tangan. Sudah hampir pukul 9.00 malam, sepatutnya semua peserta dan fasilitator harus berkumpul di dewan untuk makan malam.
“Abang Zaf tak makan lagi ke? Tadi saya tengok lauk dah nak habis…” tegur Qistina. Dia melabuhkan punggung di sebelah Zafran.
Zafran mengesot ke tepi, memberi ruang pada Qistina untuk duduk di sebelahnya. Dia perasan pelajar- pelajar lain menjeling pada mereka berdua.
“Qis makanlah dulu. Kejap lagi abang makan. Ada sesiapa nampak Kak Wardah tak?” soal Zafran akhirnya.
Dia memandang wajah pelajar-pelajar yang sedang enak menjamu selera. Memang dia sudah tetapkan bahawa semua fasilitator harus makan bersama-sama dengan pelajar barulah kemesraan itu terjalin. Zafran tidak mahu  ada jurang di antara pelajar senior dan pelajar junior.
“Rasanya tadi saya nampak Kak Wardah solat. Mungkin lambat sikit sebab surau penuh, Abang Zaf,” Azlin menjawab.
Zafran terdiam. Wardah memang seorang yang menepati waktu solatnya. Hal itu yang membuatkan Zafran kagum dengan Wardah.
“Abang Zaf pergilah ambil makanan dulu. Nanti habis, abang tak sempat nak makan pula,” sambung Qistina sambil mencuit lengan Zafran.
Zafran sedikit terkejut dengan tindakan Qistina lalu dengan pantas dia melarikan tangannya. Apahal pula budak ni, nak cuit-cuit aku. Jangan nak goda aku sudahlah. Aku tak main budak- budaklah. Bisik hati Zafran.
“Oh, ya ke? Abang pergi ambil dululah,” ucap Zafran lalu melangkah menuju ke meja yang menempatkan lauk pauk.
Qistina tersenyum kemenangan. Dia menayang muka bangga kepada kawan- kawannya yang lain. Sangkanya, Zafran sudah mula terpikat pada dirinya. Perasan!
Tidak lama kemudian, Wardah datang setelah siap bersolat. Dia tahu dia sudah terlambat untuk makan malam tapi apakan daya menghadap Yang Maha Esa lebih penting daripada makan. Wardah tidak kisah tentang itu asalkan tanggungjawab lima waktunya telah sempurna.
Dia mencari kedudukan kumpulannya, dari jauh dia melihat Qistina sedang menempel di sebelah Zafran. Dia mengerutkan kening. Agak janggal pada pandangannya apabila Qistina seorang saja perempuan dalam kalangan pelajar-pelajar lelaki. Ada ulat bulu dah naik daun! Fikir Wardah.
Akhirnya, Wardah melangkah untuk mengambil makanan. Tapi apakan daya, nasib tak menyebelahinya. Semua makanan sudah habis. Nampaknya terpaksalah dia ikat perut malam ini. Wardah melepaskan keluhan. Walaupun perutnya sudah berbunyi tapi dibiarkan saja. Mungkin bukan rezekinya. Lalu Wardah mencapai cawan dan mengambil air.
Dia duduk di sebelah Azlin. Air yang diambil diteguk perlahan-lahan.
“Kak Wardah tak makan ke?” soal Azlin yang tersedar Wardah duduk di sebelahnya.
Wardah berpaling dan melemparkan senyuman kecil pada Azlin.
“Tak sempatlah Azlin. Akak lambat tadi. Akak minum je,” ucap Wardah.
“Saya lupa nak ambilkan untuk akak sekali. Saya lapar sangat tadi sampaikan semua orang saya lupa,” ujar Azlin sambil ketawa kecil.
Wardah turut tergelak dengan kata-kata Azlin. Namun, ketawanya terhenti apabila Zafran duduk di hadapannya sebelum menyuakan pinggan kepadanya. Dahi Wardah berkerut. Kenapa pula dengan lelaki ni? Soal hati Wardah.
“Ambillah nasi ni, aku tahu mesti kau lapar kan. Aku ada simpankan untuk kau…” ucap Zafran  sambil menolak pinggan yang berisi nasi dan ayam masak merah ke hadapan Wardah.
Wardah serba salah apatah lagi saat ini semua mata memandang ke arah mereka berdua. Entah apa yang budak-budak ni fikir. Kenapalah Zaf ni suka sangat mencetuskan kontroversi? Keluh hati Wardah.
“Eh, tak payahlah Zaf. Kau makanlah. Aku dah kenyang,” bohong Wardah. Dia menolak kembali pinggan yang berisi nasi itu ke depan Zafran.
“Kau jangan nak tipu aku. Kau baru je sampai sini, bila masanya kau makan? Petang tadi pun kau tak makan. Jangan nak banyak songeh ya, makan je nasi tu. Nanti sakit macam mana nak buat kerja,” balas Zafran tegas.
Wardah terkulat- kulat. Dia menjeling Azlin yang sudah tersengih- sengih.
“Amboi, Abang Zaf, prihatin benar pada Kak Wardah. Bertuahnya Kak Wardah,” usik Azlin sambil menyiku lengan Wardah.
Wajah Wardah bertukar merah. Dia malu dengan apa yang dikatakan oleh Azlin, dia sendiri pelik dengan sikap Zafran sejak kebelakangan ini. Macam ada yang tak kena.
“Ish, apa yang Azlin merepek ni. Makan cepat. Nanti lambat pula,” tegur Wardah membuatkan Azlin menutup mulut namun bibirnya masih mengukir senyuman penuh makna.
Wardah mendongak memandang wajah Zafran yang masih setia di hadapannya. Lelaki itu tidak berkata apa- apa sebaliknya hanya tenang merenung wajahnya.
“Tunggu apa lagi? Makanlah…” arah Zafran.
Wardah menggelengkan kepala.
“Nasi ni banyak sangat. Aku tak larat nak habiskan,” ujar Wardah. Dia mengalah akhirnya.
Zafran terdiam sebentar, kemudian dia bangun dan menghilangkan diri. Tidak lama kemudian, dia kembali dengan membawa sebiji pinggan. Nasi yang berada di hadapan Wardah diambil dan diletakkan separuh ke dalam pinggan yang kosong sebelum menghulurkan pinggan itu kepada Wardah.
Wardah sedikit terpana dengan perbuatan Zafran. Lelaki itu sanggup berkongsi nasi dengannya, sungguh dia terharu. Entah kenapa dia rasakan Zafran bukan Zafran yang dia kenal selama ini.
“Terima kasih,” hanya itu yang terkeluar daripada mulut Wardah.
“Kasih diterima…” balas Zafran perlahan namun sempat didengari oleh Wardah.
Spontan dia memandang wajah Zafran yang kelihatan bersahaja. Aku tak salah dengar ke tadi? Tak, tak… Dia tak bermaksud apa- apa pun. Come on Wardah, fokus- fokus…

JULIANA mengetap bibir saat melihat kemesraan Zafran dan Wardah dari jauh. Sakit hatinya semakin bertambah apabila Zafran tanpa segan silu makan berhadapan dengan gadis itu. Juliana menggenggam tangannya. Kenapa begitu sukar untuk dia menakluki hati lelaki seperti Zafran?
“Jue, kau okey ke?” sapa Iqram sambil memetik jarinya  di hadapan muka Juliana.
Juliana tersedar kemudian mengalihkan pandangannya pada laman wajah Iqram yang duduk di hadapannya. Sekarang ini hanya tinggal mereka berdua, semua pelajar sudah bergerak ke dewan untuk taklimat aktiviti seterusnya.
“Sakit betul hati aku tengok perempuan tu, saja nak goda Zaf,” ucap Juliana dengan bibir yang terjuih.
Iqram menoleh ke arah yang ditunjukkan oleh Juliana. Wardah?
“Wardah maksud kau?”
“Yelah, perempuan mana lagi kalau dah asyik nak menggatal dengan Zaf. Macam tak ada lelaki lain, Zaf juga yang nak dikejarnya. Dia tak tahu ke yang aku ni kekasih Zaf?” bebel Juliana meluahkan rasa tidak puas hati.
Dahi Iqram berkerut. Erk? Sejak bila Juliana rasmi jadi kekasih Zafran? Setahunya, Zafran tidak pernah serius dengan mana-mana gadis. Playboylah katakan. Cuma kebelakangan ini dia agak pelik dengan sikap Zafran. Kelihatan lelaki itu terlampau baik dalam melayani Wardah. Mungkin ini sebahagian daripada rancangannya untuk mendapatkan Wardah demi taruhan mereka bertiga.
“Aku mintak maaflah kalau apa yang aku tanya ni buat kau marah. Tapi bila pula Zaf ajak kau couple?” soal Iqram.
Wajah Juliana berubah. Soalan Iqram seolah-olah mempersendakannya. Memang Zafran tidak pernah melafazkan kata cinta malah lelaki itu tidak pernah melamarnya untuk dijadikan kekasih tapi layanan Zafran terhadapanya sudah cukup mengatakan yang dia adalah kekasih lelaki itu.
“Bercakap dengan kau ni memang buat aku sakit hati je. Kau tak nampak ke Zaf selalu keluar dengan aku. Dia selalu hang out dengan aku. Tengok wayang, karaoke, makan-makan… Aku tahu dia sukakan aku tapi bila Wardah ada, dia terus tak endahkan aku..” balas Juliana bersungguh- sungguh untuk menyakinkan Iqram.
Iqram tidak membalas. Dia terasa ingin tergelak namun ditahan. Perasannya kau perempuan, kalaulah kau tahu yang lelaki tidak suka pada perempuan yang terlalu mudah untuk dibawa ke mana- mana apa agaknya reaksi kau?
“Itulah, aku nampak Zaf pun dah banyak berubah. Dia jarang keluar malam sejak dia rapat dengan Wardah ni. Yelah, kau tengoklah Wardah tu kan alim, baik, sopan-santun takkanlah dia nak lelaki yang nakal macam Zaf tu. Mungkin Zaf dah berubah untuk pikat Wardah kut,” ujar Iqram lagi, sengaja dia berkata seperti itu untuk menaikkan suhu kemarahan Juliana.
Juliana bertambah bengang.
“Zaf nak pikat Wardah? Kau gila ke apa Iq? Aku tahu, perempuan macam Wardah tu bukan pilihan Zaflah. Kolot, tak up to date. Kalau Zaf nak cari perempuan lain aku tak kisah tapi biarlah perempuan yang lebih cantik daripada aku. Ini Wardah? Aku tak percaya langsung. Zaf tu gilalah kalau pilih Wardah berbanding dengan aku,” balas Juliana berbangga diri. Dia mendabik dada dengan kecantikkan yang diberikan Allah kepadanya. Dia terlupa bahawa kecantikan bukanlah segala-galanya.
Iqram hanya tersengih. Geli pula hatinya bila mendengar kata- kata Juliana yang berbaur riak dengan kecantikan yang diberikan kepadanya.
Kalaulah kau tahu Jue, tak semestinya lelaki memilih perempuan itu kerana kecantikan semata-mata, banyak faktor yang lelaki pandang untuk memilih pasangan hidupnya. Bukan saja Zaf, malah aku sendiri akan pilih perempuan seperti Wardah untuk dijadikan isteri. Perempuan macam kau hanya sesuai untuk dijadikan teman di waktu sunyi. Bukan untuk teman buat selama- lamanya. Kau bangga dengan pakaian yang kau rasakan cukup moden, tapi sebenarnya kau lebih kolot daripada Wardah kerana sesuka hati menayangkan perhiasan yang kau ada pada lelaki yang tiada hubungan dengan kau. Monolog Iqram.
“Kenapa kau diam? Betulkan apa yang aku cakap?” soal Juliana lagi selepas tiada jawapan daripada Iqram.
“Aku iya kan ajelah, Jue…” balas Iqram malas.
“Aku akan pastikan perempuan tu jauh daripada Zaf. Aku tak puas hati kenapa Zaf baik sangat dengan dia,”
“Alah, kau jangan risau. Itu semua lakonan je…” balas Iqram selamba.
Kemudian dia menutup mulut. Dia sudah terlepas cakap.
Juliana terdiam. Dia cuba menganalisis apa yang dikatakan oleh Iqram.
“Lakonan? Apa maksud kau?” soal Juliana inginkan kepastian.
Iqram terdiam seribu bahasa. Sepatutnya tiada siapa yang boleh tahu tentang pertaruhan antara dia, Zafran dan Riduan. Ini rahsia mereka bertiga.
“Tak ada apa- apalah…” dalih Iqram sambil meneguk air sirap yang masih berbaki.
“Kau jangan nak tipu aku, Iq. Aku tahu kau rahsiakan sesuatu daripada aku. Lebih baik kau bagitahu aku sekarang,” balas Juliana tidak sabar.
“Kalau aku bagitahu kau, apa yang aku dapat?” Iqram masih bermain tarik tali.
“Berapa kau nak? Aku boleh bagi…” balas Juliana.
Iqram tersengih. Gambaran duit bermain-main di ruang mata Iqram. Rezeki ni. Aku tak boleh tolak. Bisik hatinya. Syaitan mula mempermainkan peranannya menghasut anak Adam yang tamak haloba.
“Baiklah, deal!” ucap Iqram.

 SERONOK ke berdampingan dengan kekasih orang? Ke mana saja berdua. Makan pun berdua. Tentu hidup kau bahagia kan, Wardah?” sapa Juliana sewaktu Wardah sedang mencuci pinggan di singki.
Wardah hanya mendiamkan diri. Dia pura-pura pekak. Orang macam Juliana ni tak boleh dilayan sangat nanti kesabarannya hilang. Kalau kesabarannya hilang, tak pasal-pasal pinggan tu pecah atas kepala Juliana nanti.
“Hai, baru dapat satu kumpulan dengan jejaka idaman Malaya, dah sombong dengan aku. Wardah, Wardah ubat guna-guna apalah yang kau berikan pada Zaf sampaikan dia terus tak pandang aku? Hebat juga kau ni ya,” Juliana terus- terusan memerli.
Wardah menayang muka selamba. Lebih baik aku cuci pinggan, aku tak nak tercuci muka minah ni pula. Kata hatinya.
“Mungkin bukan kau yang guna-gunakan Zaf, tapi kau yang dipergunakan oleh Zaf. Patutnya kau sedar diri, Ada. Perempuan macam kau tak sesuai langsung dengan lelaki macam Zaf. Macam langit dengan bumi. Dia tak pandang perempuan macam kau ni, jadi aku nasihatkan kau tak payah murahkan diri kau untuk tarik perhatian Zaf,” ucap Juliana lagi dengan ketawa yang cukup sinis.
Berdesing telinga Wardah. Dia memang pantang kalau orang cakap dia murah. Memang nak kena minah perasan bagus ni. Aku dah lama tak basuh orang, jangan sampai aku bagi ceramah agama malam-malam yang mulia ni. Dengus Wardah. Dia menghempas span pencuci pinggan dan berpaling menentang wajah Juliana yang kelihatan samar- samar diterangi cahaya lampu.
“Yang kau ni tak puas hati sangat dengan aku ni kenapa? Kalau kau nakkan sangat si Zaf tu kau ambiklah. Tak payah nak sindir aku. Aku bukan perempuan murah yang senang-senang nak bagi cinta aku kat orang. Zaf tu kawan aku sebelum kau kenal dia lagi. Kalau kau rasa aku rampas Zaf daripada kau, kau memang bodoh. Aku kenal dia sejak kecil, kau tu baru setahun jagung kenal dia dah nak berlagak. Kalau kau nak kepastian kau tanya Zaf sendiri. Aku rimas kau tahu tak, kau asyik kejar aku cakap benda yang sama. Kalau kau cintakan Zafran setengah mati, apa kata kau masuk je meminang Zaf tu. Aku boleh nasihatkan Zaf untuk terima kau kalau dia tak nak!” ucap Wardah panjang lebar. Dia melepaskan nafas yang panjang.
Terasa lapang hatinya kerana dapat meluahkan apa yang terbuku di hati. Dia memandang wajah Juliana yang terkulat-kulat. Gadis itu terdiam seribu bahasa, mungkin terkejut dengan kata-katanya yang agak pedas dan berbisa. Huh, baru kau tahu. Ini Wardahlah. Aku bukan lembik sangat, cuma aku banyak bersabar je tapi bila kesabaran aku hilang, jangan salahkan aku kalau ada hati yang terluka. Benak hatinya berkata- kata.
“Hah, satu lagi aku nak pesan. Jadi perempuan ni cubalah mahalkan diri tu sikit baru orang hargai. Allah ciptakan perempuan tu penuh dengan sifat malu, jangan hilangkan sifat itu demi seorang lelaki yang belum tentu jodoh kita,” pesan Wardah sebelum berlalu meninggalkan Juliana yang kehilangan kata.
Dada Juliana berombak ganas. Dia tidak mampu untuk mematahkan kata- kata Wardah. Dia kalah kali ini.
“Tak guna!!” bentak Juliana sambil menghentak- hentakkan kakinya.
Zafran tersenyum di sebalik dinding. Wardah memang seorang yang berani. Dia sendiri tidak menyangka yang Wardah akan melawan Juliana. Sebab itulah dia mengintip di sebalik dinding, dia takut Juliana buat perkara yang bukan- bukan pada Wardah namun ternyata Wardah pandai membela dirinya sendiri. Dia perempuan yang berani. Zafran kagum dalam diam. Satu lagi ciri- ciri wanita idaman aku ada dalam diri kau Wardah!


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.