Tetamu Rindu

Tuesday 17 October 2017

INGKAR CINTA ( PROLOG I )




Saat dendam mengambil takhta, mampukah cinta menyelamatkannya?
JOM main sorok-sorok, nak?” Soal seorang budak lelaki berumur dalam lingkungan sepuluh tahun kepada sahabatnya yang berusia sebaya dengannya.
Kanak-kanak perempuan itu mengetuk dagu sambil matanya di hala ke atas. Lagaknya seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Takkan nak main sekarang? Panas ni.” Kanak-kanak perempuan itu membalas.
Budak lelaki tersebut menarik muka tidak berpuas hati. Dia mencebikkan bibir. Wajahnya mula bertukar keruh.
“Aku bosanlah. Jomlah main.” Rengeknya lagi sambil menarik lengan baju sahabatnya itu.
Kanak-kanak perempuan itu mengeluh kecil. Rengekkan daripada sahabatnya itu mengundang simpati dalam dirinya.
“Yalah, jom kita main!”
Keputusan akhirnya dibuat. Budak lelaki itu menjerit keseronokan. Mereka berdua bersiap sedia untuk memulakan permainan. Bunyi riuh suara mereka berdua sudah cukup untuk menggamatkan suasana. Kadang-kadang mereka berkejaran bagi mengelakkan diri ditangkap.  Akan tetapi, tidak sampai lima belas minit mereka bermain, tiba-tiba budak lelaki tersebut menghentikan langkah di tengah-tengah laman rumah. Kanak-kanak perempuan yang rambutnya diikat toncang turut menghentikan langkah. Dia berdiri berhadapan dengan sahabatnya itu sambil memegang lutut, bertujuan untuk melepaskan lelah.
“Kenapa kau berhenti? Tadi kata nak main sangat.” Ujarnya sambil memandang wajah budak lelaki tersebut dengan tanda tanya bermain di benaknya.
“Aku penatlah. Aku lapar. Kat rumah kau ada makanan tak?” soal budak lelaki itu dengan riak tidak bersalah.
“Makanan? Mak kau tak masak ke kat rumah?” soal kanak-kanak perempuan itu pula.
“Tak. Mak dan ayah aku keluar dari rumah. Tinggal abang aku je kat rumah tu. Abang aku bukannya reti masak. Semalam pun aku tak makan,” adunya lagi. Ada genangan air mata yang cuba disembunyikan.
Kanak-kanak perempuan tersebut terdiam. Lama dia merenung wajah sahabatnya itu.
“Kenapa mak kau tak masak?” soalnya lagi. Inginkan jawapan.
“Entah. Mak aku tak sayang aku kut.” Balasnya bersahaja.
“His, mana ada mak tak sayang anak.”
“Ada. Mak aku.”
“Merepeklah kau ni. Jomlah, masuk rumah aku. Aku rasa mak aku ada masak lebih kerabu mangga tadi. Bolehlah kau makan.” Ajak kanak-kanak perempuan itu dengan senyuman nipis terukir di bibir.
Wajah budak lelaki itu bertukar ceria. Dia melonjak kegembiraan.
Yeayyy! Aku suka kerabu mangga. Dah lama aku tak makan. Kau teman aku makan, ya?” pintanya lembut.
“Yalah. Jom masuk dulu.” Ucap kanak-kanak perempuan tersebut lalu melangkah untuk menaiki anak tangga sambil diikuti oleh budak lelaki tersebut.
Baharu saja kakinya ingin melangkah ke anak tangga yang ketiga, tiba-tiba terdengar riuh suara memanggil dirinya. Langkah budak lelaki tersebut terbejat. Dia berpaling.
“Adik! Ikut abang balik sekarang!” suara si abang kedengaran cemas. Matanya turut berair. Riak wajahnya benar-benar menunjukkan yang dia sedang diamuk dengan perasaan gelisah.
“Adik nak makan dulu. Adik lapar. Kejap lagi adik balik.” Balasnya tanpa memikirkan apa-apa yang berlaku.
Si abang mengetap bibir. Tangan si adik ditarik kuat.
“Sekarang tak ada masa nak makan. Ibu lebih penting!” tekan si abang lalu menarik tangan si adik. Tubuh kurus milik si adik terdorong bersama langkahnya yang laju menuju ke rumahnya yang terletak bersebelahan dengan rumah kanak-kanak perempuan tersebut.
“Ibu? Kenapa dengan ibu?” soal budak lelaki itu dengan rasa pelik menyelubungi fikirannya.
Kini, langkah mereka dua beradik semakin mendekat. Jelas kedengaran bunyi pertengkaran yang kuat dari dalam rumah bersama dengan bunyi hempasan pintu. Jantung budak lelaki tersebut berlari pantas. Dia sudah dapat mengagak apa yang akan berlaku. Dia memandang wajah si abang dengan rasa libang-libu.
“Ibu bergaduh dengan ayah lagi ke, bang?” soalnya polos.
Si abang hanya mendiamkan diri. Sebaik saja sampai di muka pintu, anak mata budak lelaki tersebut terbuntang. Kelihatan ibunya sedang mengemas semua pakaian lalu disumbatkan ke dalam beg. Ayahnya hanya berdiri memerhatikan perbuatan ibunya.
“Awak dah fikir masak-masak ke nak berpisah? Awak tak kesiankan anak-anak?” suara si ayah kedengaran tegang.
Si ibu menoleh ke arah ayahnya. Senyuman sinis bergayut di bibir.
“Kesian? Awak tu yang tak kesian kat saya. Hari-hari saya terpaksa makan benda sama. Baju saya ni dah bertahun tak berganti. Saya bosan awak tahu tak! Cuba awak tengok rumah awak ni, apa yang ada? Semua barang-barang awak jual sebab nak bayar hutang awak yang berlonggok tu. Macam ni awak nak suruh saya hidup dengan awak. Saya kahwin dengan awak sebab saya nak lari dari kesusahan hidup saya, bukannya nak tambah susah. Budak-budak tu anak awak, awak jelah yang jaga. Kalau dia orang ada pun, cuma nak menyusahkan hidup saya je!” ucap si ibu tanpa perasaan belas.
Zappp!
Kata-kata itu menikam terus ke lubuk hatinya yang paling dalam. Hatinya terluka. Pedih. Perit. Terasa lututnya menggigil mendengar kata-kata yang terbit daripada mulut si ibu yang sepatutnya menyayanginya dan menjaganya.
“Ibu!” panggil dia akhirnya. Dia berlari mendapatkan ibunya yang sedang mengemas baju. Lengan si ibu dipeluk erat.
“Ibu nak ke mana ni? Ibu jangan tinggalkan adik! Adik dengan abang masih perlukan ibu!” rayunya dengan air mata yang mengalir deras.
Si ibu mengetap bibir. Kepala anak bongsunya ditunjal sehingga si anak jatuh terduduk di atas lantai.
“Aku dengan bapak kau dah tak ada kena mengena! Aku nak cari kehidupan aku sendiri. Kau tinggallah dengan bapak kau tu! Kau tu cuma menyusahkan aku nak hidup senang!” balas si ibu cukup garang.
Tanpa berlengah, dia mencapai beg pakaiannya lalu berlari menuju ke luar rumah. Si adik dan si abang terus berlari cuba mendapatkan ibunya yang tergesa-gesa menuju ke arah kereta Mercedes yang terparkir tidak jauh dari halaman rumah mereka.
“Ibu, jangan tinggalkan adik! Adik janji adik takkan nakal lagi! Adik janji adik akan ikut cakap ibu! Adik takkan curi-curi makan lauk ibu. Ibu jangan tinggalkan adik!” rintih budak lelaki itu lalu berlari sekuat hati untuk mendapatkan ibunya.
Kaki si ibu dipeluk kuat. Tangisannya kedengaran kuat. Air mata seakan laju merembes membasahi pipinya yang cengkung. Dia menggelengkan kepala tanda tidak membenarkan ibunya berlalu pergi.
Si ibu merengus. Kakinya direntap kuat. Rambut milik anaknya dicengkam lalu wajahnya didekatkan ke wajah anaknya.
“Aku tak ada anak! Kau orang bukan anak aku!” keras suara itu kedengaran bersama tolakan yang kuat menyebabkan budak lelaki tersebut jatuh tersungkur di atas tanah yang berbatu. Siku dan lututnya mula berdarah. Terluka.
“Adik!” jerit si abang lalu berlari mendapatkan adiknya yang jatuh tertiarap.
Si ibu terus meloloskan diri ke dalam kereta tanpa sedikit pun ada perasaan belas terhadap anaknya. Tanpa menoleh ke belakang, tanpa rasa bersalah, dia terus berlalu pergi.
Tinggallah dua beradik yang menangis sambil berpelukan. Si abang cuba menenangkan adiknya yang meracau. Tangannya tergapai-gapai cuba memanggil si ibunya yang telah hilang dari pandangan.
“Adik nak ibu! Abang, panggillah ibu balik.” Rayu si adik dengan air mata yang sudah lencun membasahi pipi.
“Nanti ibu baliklah tu. Adik jangan sedih. Abang kan ada. Abang akan jaga adik,” pujuk si abang. Air mata yang ditahan, akhirnya tumpah juga. Tubuh adiknya dipeluk dengan erat.
Si adik terdiam bersama air mata yang menitis.
“Aku tak ada anak! Kau orang bukan anak aku!” suara itu kedengaran jelas di telinganya. Takkan dia lupakan suara itu sampai bila-bila. Itu janjinya bersama hati yang hancur berkeping-keping.
Pelukan si abang dibalas dengan erat. Bola matanya dihalakan ke rumah yang terletak bersebelahan dengan rumahnya. Dia mencari seseorang. Namun, kelibatnya tidak kelihatan. Dia menarik nafas lega. Lega kerana tiada sesiapa tahu keretakkan yang berlaku dalam keluarganya.
Tanpa mereka berdua sedari, ada sepasang mata kecil yang memerhati di sebalik tiang rumah mereka berdua. Dia menekup mulut menahan tangisan daripada kedengaran kuat. Hatinya cukup tersentuh sebaik saja melihat air mata budak lelaki itu tumpah. Aku takkan biarkan kau keseorangan, itu janji aku!

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.