Tetamu Rindu

Sunday 22 April 2018

JODOH HAK MILIK ALLAH ( BAB 10 ) - LAST ENTRY-


MARISSA duduk bersendirian di pinggir pantai Jumeirah Palm Beach. Dia menghembus nafas pendek. Sebaik saja terpandang  pantai ini, semerta kenangan bersama Hans kembali terimbas di ruang mata.
“Saya tengah cari jalan ke hati awak. Boleh tak awak tunjukkan?”
Kata-kata Hans terngiang di telinga Marissa sehinggakan menjemput senyum di bibirnya yang mungil. Marissa menggelengkan kepala. Walaupun hanya beberapa hari dia mengenali Hans, namun jujur dia akui sikap Hans menarik hatinya untuk mengenali lelaki itu dengan lebih dekat. Tetapi dia masih lagi berpegang kepada prinsip jodoh. Dia tidak mahu terluka jika Hans bukan lelaki yang ditakdirkan untuknya.
If it’s meant to be, it will be…” desis Marissa perlahan.
Dia menebarkan pandangan ke kaki langit. Beberapa ekor burung sedang berterbangan. Serentak, wajah Hans yang tersenyum tergambar jelas di dada langit. Marissa tersentak.
“Siapa kau sebenarnya? Kenapa kau muncul dalam hidup aku dan mencuri perhatian aku?” Soal Marissa sendirian. Soalan yang pasti tidak ada jawapan.
Kenangan bersama lelaki itu kembali terimbau di fikirannya. Marissa tersenyum sendirian.
“Wahhhh… Cantik sungguh masjid ni.” Puji Hans sewaktu mereka berdua sampai di Masjid Sheikh Zayed petang itu. Hampir tidak terkatup mulut Hans apabila melihat  ruang hadapan masjid itu yang besar bagaikan satu padang bola sepak.
Marmar putih yang bercorakkan flora berkilauan disimbah dengan cahaya mentari petang. Sukar untuk Hans gambarkan perasaannya saat ini apabila melihat dengan mata kepalanya sendiri rumah Allah yang dibina dengan cukup indah dan mempesonakan.
“Subhanallah. Kita digalakkan sebut perkataan itu bila nampak benda yang cantik kan?” Soal Marissa lembut. Dia tersenyum manis.
Hans terdiam seketika. Dia tersipu-sipu apabila ditegur sebegitu. Akibat teruja, dia terlupa untuk mengucapkan kalimah suci itu.
Opsss… Maaf. Saya terlupa. Excited sangat tengok seni bina masjid ni. Tak hairanlah kalau masih ni menjadi salah satu masjid yang terbesar di dunia. Luas bukan main.” Ujar Hans kemudian meneruskan langkahnya ke ruang dalam masjid.
“Kalau awak nak tahu masjid ni ada 82 kubah tau dan mampu memuatkan seramai lebih kurang empat puluh ribu jemaah. Luas kan? Kalau tak silap saya karpet yang terbentang dalam masjid ni merupakan karpet yang terbesar di dunia.  Lampu chandelier yang ada dalam masjid ni pun merupakan lampu chandelier yang terbesar di dunia. Semua lampu ni diperbuat dari tembaga yang bersalut dengan emas. Awak bayangkanlah sendiri berapa kos pembinaan untuk masjid sebesar dan secantik ni.” Terang Marissa dengan mata yang bercahaya sewaktu menatap Masjid Sheikh Zayed yang berwarna putih bersih.
Hans berpaling ke sisi. Hatinya tercuit mendengar kepetahan gadis itu memberi penerangan. Dia tersenyum simpul.
“Tetapi sekali pandang kubah masjid ni sama dengan kubah Taj Mahal kan?” tambah Hans lagi.
Marissa menganggukkan kepala.
“Mungkin sebab warnanya putih. Putih kan lambang kesucian dan Islam itu sendiri adalah suci.” Jawab Marissa petah.
Hans menganggukkan kepala. Lama dia merenung wajah Marissa daripada sisi. Gadis itu kelihatan cantik apabila mengenakan tudung yang menutupi rambut sehingga melepasi dadanya. Wajah itu tampak asli tanpa solekan yang tebal. Malah, Hans hati merasa cukup tenang saat melihat senyuman yang mekar di bibir gadis itu yang merah. Hatinya terasa sesuatu.
“Subhanallah…” ucap Hans tiba-tiba.
Marissa berpaling ke sisi. Pandangan mereka bertaut menjemput rasa indah di hati masing-masing.
“Kenapa?” Soal Marissa pendek.
“Saya ternampak sesuatu yang cantik…” jawab Hans terus merenung ke dalam anak mata Marissa.
“Mana?” Soal Marissa lalu anak matanya melingas ke kiri dan kanan. Mencari sesuatu yang dikatakan oleh Hans.
Hans tersenyum penuh makna. Dia mengangkat kamera DSLR miliknya lalu diarahkan ke Marissa.
Klik! Gambar Marissa yang tidak bersedia diambil.
“Awak!” Marah Marissa. Terkejut dengan tindakan Hans yang tiba-tiba.
“Nah, inilah sesuatu yang saya cakapkan tu…” ujar Hans lalu menyerahkan kameranya kepada Marissa.
Marissa menyambut huluran Hans dengan dahi yang berkerut. Namun, dia tetap memandang skrin kamera yang ditunjukkan oleh Hans. Hatinya bergetar saat skrin kamera itu memaparkan gambar dirinya sendiri. Sungguh, Marissa merasakan dirinya berada di awang-awangan saat ini. Lidahnya kelu untuk mengungkapkan kata.
“Awak….” Marissa tidak jadi meneruskan kata. Dia tergagap buat seketika. Terasa seperti suaranya tersekat di kerongkong.
“Saya nak solat dulu. Jumpa awak kejap lagi.” Ucap Hans tanpa mengulas lanjut. Dia berlalu setelah mengambil kembali kamera daripada tangan Marissa. Sengaja dia biarkan persoalan bermain di minda Marissa kerana saat ini hatinya juga tidak keruan. Semuanya gara-gara gadis bernama Marissa.

BUNYI ombak yang menghempas pantai mengembalikan Marissa ke dunia realiti. Dunia di mana dia berseorangan tanpa teman. Kenangan beberapa hari lalu lenyap ditelan angin pantai yang menghembus lembut. Marissa melekapkan tangan di dada kirinya.
“Aku yakin kita pasti bertemu…” ucapnya perlahan.


AZAM melemparkan pandangan pelik pada Hans yang sedang menghampiri Kedai Buku Popular. Dia menarik lengan Hans. Langkah Hans terhenti.
“Kenapa kau heret aku sampai ke sini? Kau nak buat apa dekat kedai buku ni? Setahu aku kau ni bukan rajin pun nak membaca.” Ujar Azam. Raut wajah Hans ditenung dengan penuh tanda tanya.
“Ikut ajelah. Kau ni banyak bunyi betullah.” Omel Hans lalu menarik tangannya kembali.
“Boleh tak kau cakap dengan aku apa yang dah jadi dengan kau ni? Tak pasal-pasal boleh bawa aku ke sini.” Balas Azam tidak berpuas hati dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Hans. Dia inginkan jawapan yang pasti sedangkan Hans seboleh mungkin ingin mengelak.
“Nanti aku ceritalah. Ini untuk idea billboard tu juga. Kita kena ada rujukan tentang jodoh kalau nak ketengahkan konsep jodoh tu. Sekurang-kurangnya konsep tu tak menyimpang dari maksud sebenar jodoh. Tak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum yang percaya tentang jodoh. Faham?” tekan Hans dengan mengeraskan perkataan faham itu.
“Betul ke ni? Atau semua ni ada kena mengena dengan perempuan yang kau cakapkan tu?” Soal Azam lagi masih tidak percaya dengan kata-kata Hans.
Hesy, kau ni! Malaslah aku nak layan!” bentak Hans lalu melangkah masuk ke dalam kedai buku. Dia menuju ke ruangan motivasi dan kaunseling.
Azam membuntuti langkah Hans. Masih ada persoalan yang masih belum terjawab. Lalu, dia menghampiri Hans. Bahu Hans dicuit. Hans menepis.
“Aku yakin kau datang sini bukan sebab konsep iklan tu aje. Ni mesti kes jodoh kau yang terhalang dek benua tu kan? Tengoklah sampai cari buku pun, kau cari buku kaunseling wanita. Pelik. Memang pelik. Hans yang tak pernah kisah tentang perempuan tapi nak tahu tentang kaunseling perempuan.” Sambung Azam lagi.
Hans menjengilkan mata. Rasa ingin ditepuk saja mulut Azam saat ini.
“Kau diam kejap boleh tak? Daripada kau mengomel mengalahkan mak nenek, lebih baik kau tolong aku cari buku.” Ujar Hans menghentikan bebelan Azam.
Azam menunjukkan jari telunjuk ke mukanya sendiri.
“Aku? Aku kena cari sama?” Soal Azam pelik.
“Taklah. Bukan kau. Aku suruh roh kau yang tolong carikan.” Sindir Hans sambil tersenyum sumbing.
Azam menarik muka. Namun, dia tetap menurut kemahuan Hans. Beberapa buku yang terpapar di hadapan mata, ditarik dan ditunjukkan kepada Hans. Tetapi Hans hanya menggelengkan kepala.
“Habis tu buku macam mana lagi kau nak? Aku bagi buku ni kau tak nak. Aku bagi buku tu kau tak nak. Kalau ya pun nak minta tolong aku carikan, bagitahulah detail buku yang kau nak tu. Senang sikit aku nak cari. Aku ni jenis manusia yang ikut trend, sekarang nak cari benda guna Google je. Simple. Tak payah serabutkan kepala otak cari satu per satu.” Bebel Azam lagi.
Hans menekup telinganya dengan kedua belah telapak tangan. Bebelan Azam cukup membingitkan telinga. Nama saja lelaki tetapi bab membebel kalah mamanya. Sungut hati Hans.
“Kau nak cari ke tak ni?” Soal Hans akhirnya.
Bebelan Azam terhenti. Dia membalas pandangan Hans yang serius.
“Yalah, buku macam mana kau nak Encik Hans Yusuf?” soal Azam sambil mengancing giginya. Menahan rasa geram sebenarnya.
Hans ketawa kecil.
“Buku something like… Cara nak ubah pendirian wanita. Atau apa-apa saja yang berkaitan dengan jodoh. Lebih kurang macam tulah…” jawab Hans sambil perhatiannya terarah pada rak-rak buku.
“Pasal pendirian wanita? Pasal jodoh? Wow, aku dah cakap, kau memang ada sembunyikan something daripada aku kan?” soal Azam lagi. Masih tidak berpuas hati dengan sikap Hans yang cuba tarik tali.
Hans tidak menjawab sebaliknya dia mengerling ke arah jam yang melingkar di pergelangan tangan.
“Aku tak ada masa ni. Tolong cari ya?” ujar Hans kemudian menjarakkan diri daripada Azam. Dia berlalu ke rak yang seterusnya.
“Nak mengelaklah tu. Macamlah aku tak kenal perangai kau macam mana, Hans.” Getus Azam dengan bibir yang sengaja dicebikkan.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.