Tetamu Rindu

Sunday 22 April 2018

JODOH HAK MILIK ALLAH ( BAB 3 )


HANS duduk bersendirian di Dubai Miracle Garden sambil tangannya tidak jemu-jemu menangkap gambar kecantikan dan keunikan taman bunga yang terbesar di dunia ini. Setiap susun atur bunga-bunga segar di dalam taman ini cukup mengkagumkan. Sebaik saja menjejakkan kaki ke taman ini, pasti terasa seperti berada di syurga. Warna- warni, bau yang cukup mengharumkan, rasa segar dan mata pasti akan terpukau dengan susun letak bunga-bunga yang terdapat dalam taman ini. Tidak hairanlah jika taman ini telah tersenarai dalam Guinness World Record kerana susunan bunga-bungaan yang terbesar dan taman bunga terbesar yang telah memuatkan sebanyak 109 milion pokok bunga!
Hans memejamkan matanya sejenak. Ingin menikmati kesegaran bunga-bungaan yang terdapat dalam taman ini. Serentak, seraut wajah lembut menerpa ruang fikiran membuatkan mata Hans terbuka dengan sendirinya. Anak matanya melingas ke kiri dan kanan. Pipinya ditepuk dengan perlahan.
“Apa kena dengan aku ni? Tak pernah-pernah aku teringatkan muka perempuan, kenapa muka perempuan tu pula yang aku ingat?” bebel Hans sendirian.
“Cepat bagi tahu saya, siapa awak yang sebenarnya? Atau awak ni stalker? Tak pun awak ni spy papa saya?”
Kata-kata gadis itu terngiang-ngiang di telinga. Tanpa sedar, Hans ketawa sendirian. Namun tidak lama kemudian, dia menekup mulut.
“Kalau orang nampak aku gelak sorang-sorang, sah dia orang ingat aku tak betul. Semua ni minah tu punya pasal. Ada ke dia cakap muka aku yang hensem ni stalker? Tak patut betul.” Omel Hans lagi sambil menggelengkan kepala.
Lalu, dia mencapai kameranya yang diletakkan di sisi. Gambar-gambar yang telah diambil, dibelek sekali lagi. Namun, jari-jemarinya terhenti apabila terpapar gambar gadis itu yang ditangkap secara curi.
Hans mengamati gambar wajah itu dengan lama. Wajah gadis itu yang ayu menarik perhatiannya tanpa sedar.
“Indah… Sungguh indah ciptaan Allah…” desisnya perlahan.
Tiba-tiba dia terasa seperti ada titisan air yang lembut mengenai pipinya, pantas Hans mendongak ke langit. Ternyata ada gerimis yang menyapa walhal cuaca saat ini cerah.
“Aik, hujan lagi?” Soal Hans sendirian. Kemudian, dia memandang ke hadapan dan…
Dup! Jantung berdegup sebaik saja anak mata menangkap kelibat seseorang yang sedang duduk di bangku tidak jauh dari tempatnya berada. Hans hanya memerhati gelagat gadis itu tanpa ada niat untuk menegur. Sementelah gadis itu langsung tidak menyedari akan kehadirannya mungkin juga gadis itu sedang khusyuk menulis sesuatu pada buku nota yang dibawanya.
Hans hanya tersenyum nipis. Hatinya terasa lain. Lantas, dia melekapkan telapak tangan di dada kiri. Entah mengapa dia merasakan hatinya tidak keruan malah perasaannya terasa hangat. Petanda apakah ini?

MARISSA merenung air di kolam yang kelihatan tenang. Namun, bayang peristiwa tengah hari tadi terlayar di ruang fikiran. Dia menggenggam kedua belah tangannya dengan kejap.
“Prinsip saya, kalau benda pertama yang saya lihat dan saya berkenan, saya takkan lepaskan dengan mudah walaupun awak menggelupur dekat sini!”
Kata-kata yang menjengkelkan itu kembali terngiang di telinga Marissa. Dia mendengus geram.
“Mamat gila. Psiko! Dekat mana aku pergi mesti dia ada. Kau bukan stalker, bukan spy papa. Jadi apa maksudnya tu? Jodoh? Oh, tidak! Tak. Tak. Tu bukan jodoh!” ucap Marissa sendirian. Dia menggeleng kepala dengan pantas. Dia mundar mandir di tepi kolam mandi. Memikirkan kebetulan demi kebetulan yang terjadi di antara dia dan lelaki yang tidak diketahui namanya itu.
“Tak naklah aku jodoh macam tu. Dahlah berlagak. Annoying. Kurang ajar. Kurang adab. Haih, memang serba serbi kuranglah. Memang taklah dapat jodoh macam tu.” Bebel Marissa bagi meluahkan rasa hatinya yang terpendam. Dia memicit dahi.
Dia menjeling ke arah buku notanya yang selalu dibawa ke mana saja dia pergi. Dia tersenyum kecil lalu mencapai buku nota tersebut. Halaman demi halaman dibelek sebelum dia beralih kembali ke halaman pertama.
“You’re my serendipity, I wasn’t looking for you, I wasn’t expecting you, but I’m very lucky I met you…” Marissa membaca kembali ayat yang tercatat di bukunya itu.
“Bilalah nak jumpa jodoh macam ni? Serendipity… Tapi tak mustahil kan?” Soal Marissa kepada dirinya sendiri.
Dia membelek ke halaman seterusnya. Ayat yang baru ditulis tengah hari tadi dibaca sekali lagi.
“Kebetulan akan menemukan jodoh dan jodoh adalah kebetulan yang indah?” Ucap Marissa membaca tulisannya sendiri.
Namun, dahinya berkerut apabila terdapat sebaris ayat tertulis selang tiga baris daripada ayat yang di atas.
“Kebetulan itu juga takdir. Takdir yang tidak dijangka oleh manusia tetapi telah diatur dengan sebaiknya oleh Pencipta.” Marissa terkaku seketika. Dahinya bertindih-tindan. Kata-kata itu seolah-olah cuba menjawab soalan pada ayatnya sebelum ini. Tetapi menjadi persoalan, adakah dia yang menulis kata-kata tersebut?
“Aku ke yang tulis ni? Tapi bila? Kenapa tulisan ni tak sama dengan tulisan aku pun?” Soal Marissa sendirian. Dia mengetuk dagu. Lama dia meneliti tulisan tersebut namun dia tidak punya jawapan. Setahu Marissa, tiada sesiapa yang menyentuh bukunya itu tetapi bagaimana kata-kata itu boleh tertulis di dalam bukunya?
“Mungkin aku tak perasan bila aku tulis kut. Lantaklah…”
“Rissa… Buat apa tu?” Sapa Dato Seri Anuar dari arah belakang mengejutkan Marissa. Dia berpaling dan tersengih. Persoalan tentang kata-kata itu lenyap ditelan angin lalu.
“Tak buat apa pun, papa. Ambil angin kat luar ni. Papa baru balik ke?” Soal Marissa berbasa-basi.
Dato Seri Anuar tersenyum lalu menganggukkan kepala. Briefcase miliknya diletakkan di atas bangku panjang buat seketika. Wajah si anak dipandang lama.
“Dari mana aje tadi?” Soalnya sekadar ingin tahu.
“Tak ke mana pun, papa. Burj Khalifa, naik train, pusing Dubai. Bosanlah tak ada teman. Bila papa nak ada masa untuk….”
Hurmm… Papa nak naik rehat. Penat.” Potong Dato Seri Anuar tanpa sempat Marissa menghabiskan kata.
Marissa mengeluh hampa. Dia menggigit bibir menahan rasa dengan sikap dingin yang ditunjukkan oleh Dato Seri Anuar. Dia sendiri tidak tahu apa salahnya sehingga Dato Seri Anuar bersikap seperti itu.
“Tu aje yang papa nak tanya Rissa? Kenapa papa tak nak luangkan masa untuk Rissa? Kalau Rissa tahu papa sibuk sangat sampaikan tak ada masa untuk Rissa, lebih baik Rissa duduk aje dekat Malaysia tu. Dekat sana Rissa ada kawan. Ada nenek yang selalu ada untuk Rissa. Dekat sini Rissa ada papa tapi papa buat macam Rissa ni tak wujud. Apa masalah papa sebenarnya?” Soal Marissa meluahkan isi hatinya yang sudah lama dipendamkan.
“Papa busy Rissa. Cubalah faham papa.” Jawab Dato Seri Anuar lalu melarikan pandangan ke tempat lain. Melihat wajah Marissa yang saling tidak tumpah dengan wajah arwah isterinya menambahkan rasa galau dalam diri Dato Seri Anuar.
Busy? Papa boleh keluar main golf dengan kawan-kawan papa, itu papa kata busy?” Soal Marissa tidak berpuas hati. Dia berdiri sambil menentang wajah Dato Seri Anuar yang kelihatan serba salah.
“Itu urusan kerja papa. Kawan-kawan papa datang dari Malaysia. Rissa kena faham, papa ni pegawai kedutaan dekat sini. Papa kena layan tetamu dari jauh dengan baik…”
“Papa layan tetamu dari jauh dengan baik sampaikan papa lupa anak papa yang ada depan mata papa ni. Rissa tak minta semua masa papa, Rissa cuma nak papa luangkan sedikit masa papa tu untuk Rissa. Seminit pun tak apa, papa. Rissa rindu papa yang dulu. Papa yang selalu ada untuk Rissa. Yang tak pernah jemu dengar cerita-cerita Rissa. Tak boleh ke papa tunaikan permintaan Rissa tu?” Soal Marissa dengan mata yang berkaca. Dia menahan rasa sebak yang mula menghurung dada. Sebolehnya dia tidak mahu air matanya tumpah di hadapan Dato Seri Anuar.
“Kita hidup untuk masa depan Rissa bukan masa lalu…”
“Kalau masa lalu itu lebih membahagiakan, Rissa sanggup untuk hidup dalam masa lalu tu selamanya. Masa itu Rissa ada mama dan papa yang selalu ada untuk Rissa. Tapi sekarang, memang mama dah tak ada. Rissa reda dengan ketentuan tu tapi Rissa minta dari papa, jangan biar Rissa rasa Rissa turut kehilangan papa…” pintas Marissa pantas.
“Rissa!” terjerit kecil Dato Seri Anuar mendengar kata-kata Marissa yang agak berbisa. Namun, dalam hati Dato Seri Anuar mengiakan kata-kata anak gadis itu cuma ego seorang lelaki menidakkan kebenaran itu.
Marissa tersenyum sinis. Tanpa bertangguh, dia berlari-lari anak menuju ke tingkat atas. Meninggalkan Dato Seri Anuar yang masih lagi terkelu untuk membalas kata-kata Marissa.
Satu keluhan terbit dari celah bibir Dato Seri Anuar.
“Maafkan papa, Rissa. Papa tak bermaksud untuk abaikan Rissa. Papa cuma…” kata-kata Dato Seri Anuar terhenti di situ. Dia menundukkan kepala. Tergambar seribu kekesalan di raut wajahnya.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.