Tetamu Rindu

Sunday 22 April 2018

JODOH HAK MILIK ALLAH ( BAB 8 )


SUASANA pejabat H&A Advertise Sdn. Bhd. kelihatan tenang pagi itu. Semua kakitangan sedang melakukan kerja mereka dengan khusyuk. Sesekali kedengaran papan kekunci dan bunyi mouse yang diklik saling bertingkah. Tidak lama kemudian, muncul seorang lelaki berbaju kemeja dan berseluar slack serta berjaket kulit menuju ke meja hadapan pejabat.
Morning, July…” ucapnya dengan nada yang ceria. Permukaan meja sengaja diketuk bagi menarik perhatian gadis berambut panjang yang sedang tekun menghadap komputer.
July mendongak. Dia tersenyum sebaik saja melihat wajah Azam yang tersengih-sengih.
“Wah, jam loceng you dah berfungsi sekarang ya?” Perli July cukup bersahaja.
Azam mencebikkan bibir. Dia menjeling manja.
“Tengoklah orang zaman sekarang ni, lambat salah. Awal pun salah. Tak datang terus lagilah salah. Habis tu I nak buat macam mana?” soal Azam bergurau.
July hanya ketawa lepas melihat wajah Azam yang berpura-pura cemberut.
Yalah, Encik Azam kan orang penting. Kenalah jaga disiplin tu.” Balas July.
Azam mencebibkkan bibirnya sekali lagi.
“Eh, eh awak pula yang nak bising. Encik Hans awak tu relaks aje. Oh, saya lupa pula, awak kan mak tiri Encik Hans. Semua bendak dekat syarikat ni awak yang control. Dengan bos besar sekali awak nak control kan?” seloroh Azam. Kemudian dia ketawa apabila melihat July menjeling tidak berpuas hati.
“Encik Azam nak start pertandingan perli-memerli ke ni? Okey, boleh. Saya sahut cabaran. Lagipun saya dah kumpul semua kesalahan Encik Azam dua tiga bulan ni,” balas July tidak mahu mengalah.
Azam membeliakkan mata kemudian dia ketawa diikuti oleh July. Tawa mereka bergabung.
“Ni gelak sakan ni, sah memang tak ada kerja lainlah ni… Mesti tengah mengumpat bos besar,” tegur satu suara membuatkan July dan Azam berpaling.
Azam tersengih. Sedangkan July hanya mampu melemparkan senyuman kelat.
“Kau tu, nama aje bos besar tapi dengan mak tiri kau ni, kau surrender juga.” Gurau Azam sambil menepuk bahu Hans yang berdiri di sisinya sambil menghadap meja kerja July.
“Hesy, Encik Azam ni, tak habis-habis nak perli. Merajuklah macam ni,” ugut July.
Azam hanya mencemikkan muka pada July sebelum ketawa. Hans turut ketawa.
“Aku bukan takut dengan mak tiri tapi kalau tak ada mak tiri ni, siapa yang nak urus jadual aku? Jadual syarikat ni, nak harapkan kau? Kirim salam ajelah.” Balas Hans membela July.
July tersengih. Dia mengangkat-angkat keningnya pada Azam yang kelihatan terkulat-kulat.
“Amboi, back up nampak!” gurau Azam sambil menumbuk lembut bahu Hans.
Hans hanya mengenyitkan mata sebelum ikut ketawa.
By the way, bila kau balik? Tak cakap kat aku pun.” Azam mengalih topik perbualan mereka.
“Sengaja tak nak cakap. Kalau aku cakap, gerenti kau oder minah Arab untuk kau kan? Bukannya aku tak kenal perangai kau tu. Pantang nampak perempuan dahi licin. Semua nak try,” omel Hans.
“Betul tu, Encik Hans. Perangai gatal Encik Azam ni memang tak boleh bendung, nasib baiklah tak berjangkit pada encik.” Sampuk July. Seronok pula dia dapat kenakan Azam kali ini. Selalunya dia saja yang selalu terkena dengan ulah Azam.
Azam menjengilkan mata pada July. Pantas, July menekup mulut sebelum ketawa kecil.
“Walaupun 1 macam ni, tapi I lelaki yang setia tau. One women only.” Ujar Azam tidak mahu mengalah.
July hanya mencebikkan bibir. Dia membuat gaya seperti ingin muntah sebelum dia kembali menatap wajah Hans yang hanya ketawa sedari tadi. Bos besarnya itu nampak kacak dengan rambut yang disisir rapi. Penampilannya yang penuh berkarisma itu cukup membuatkan hati wanita cair apatah lagi saat lelaki itu melebarkan senyuman. Sejuk mata yang memandang.
So Encik Hans, best tak dekat Dubai?” Soal July sekadar ingin tahu.
Wajah Hans berubah. Dia mencapai fail yang dihulurkan oleh July.
Hmmm… Bolehlah…” jawabnya perlahan. Lagak seperti orang yang kecewa.
“Aik, lain macam aje bunyinya tu. Selalunya kaulah orang paling excited nak bercerita bila kau balik dari bercuti. Ada apa-apa yang aku tak tahu ke ni?” Soal Azam sambil merenung Hans dari atas hingga ke bawah. Jelas, sahabatnya itu kelihatan tidak bersemangat. Seperti ada yang mengganggu fikirannya.
“Esok-esoklah aku cerita. Sekarang, sila buat kerja masing-masing.” Ujar Hans kemudian berlalu meninggalkan Azam dan July yang berpandangan sesama sendiri.
“Sah!” ucap Azam tiba-tiba.
July memandang Azam dengan pandangan pelik.
“Apa yang sahnya, Encik Azam?”
“Sah ada benda yang tak kena!” jawab Azam sambil menghantar tubuh Hans sehingga lelaki itu hilang di sebalik pintu pejabatnya.
July hanya mengjongketkan bahu.

BUNYI ketukan dipintu bilik pejabatnya membuatkan Azam mendongak. Terjengul wajah Hans sebaik saja dia memberi arahan untuk masuk. Azam tersenyum penuh makna saat Hans melabuhkan punggung di hadapannya.
“Kau ni dah kenapa tiba-tiba aje senyum? Dah rupa Joker aku tengok.” Kutuk Hans selamba.
Azam ketawa lepas. Dia membetulkan duduknya menghadap Hans.
“Aku senyum ni sebab aku tengok kau ni lain macam aje. Atau kau dah dapat jodoh dekat Dubai tu? Kalau tak, sia-sia jelah cadangan aku supaya kau bercuti dekat Dubat.” Balas Azam cuba mengorek rahsia yang cuba disembunyikan oleh Hans.
“Kau ni memang tak ada benda lain kan? Awek, isteri, jodoh, kahwin. Tapi kau tu tak kahwin-kahwin juga. Sebiji macam perangai papa aku. Kalau July tu kau panggil mak tiri, kau ni bapak tiri. Hah, sesuailah kau orang berdua.” Bebel Hans dengan laju.
Azam terkebil-kebil sambil merenung wajah Hans yang kelat apabila soal kahwin diutarakan. Namun, tidak lama kemudian dia menghamburkan tawa.
“Kenapa kau gelak?” Soal Hans. Dia menjongketkan kening.
“Saja. Kau kalau membebel, kalah mak nenek. Aku bukan tak nak kahwin, tapi jodoh tak datang lagi, nak buat macam mana? Takkan aku nak call jodoh tu datang cepat-cepat. Kalau aku tahu rupa jodoh aku macam mana, dah lama aku cari dalam Facebook, tak pun Instagram.” Gurau Azam kemudian ketawa dengan kata-katanya sendiri.
Hans terdiam apabila Azam menyentuh soal jodoh. Serentak bayang wajah itu menerpa ruang fikiran. Dia melepaskan nafas pendek.
“Jodoh…” desis Hans perlahan. Dia tersenyum sinis sebelum mengangkat bahu.
“Kau cakap apa, Hans? Aku tak dengar.” Ujar Azam sambil merapatkan tubuhnya ke arah meja.
“Tak ada apalah. Cukuplah cakap pasal jodoh. Aku jumpa kau ni sebab nak tanya pasal iklan Billboard Telco Company tu. Macam mana progress projek tu?” Soal Hans kembali kepada topik sebenar dia datang bertemu dengan Azam.
“Jangan risau, kau boleh harapkan aku. Nah…” jawab Azam seraya menyerahkan fail berisi surat penting kepada Hans. Fail bertukar tangan.
“Tapi aku masih anggap 50-50 sebab syarikat ni cerewet sangat. Nak itulah, nak inilah. Pening kepala aku fikir.” Omel Azam dengan mencemikkan wajahnya.
“Biasalah, Zam. Tak pernah ada client yang tak cerewet. Kalau dia orang sanggup bayar setimpal dengan apa yang kita usahakan, kita bersabar ajelah.” Balas Hans berbaur nasihat.
Azam hanya menganggukkan kepala tanda faham. Sejak berkecimpung dalam dunia pengiklanan ni, Azam sudah masak dengan perangai pelanggan yang bermacam-macam ragam. Kalau diikutkan hatinya yang kurang sabar, sudah lama syarikat itu gulung tikar. Tetapi memandangkan Hans adalah ketua syarikat, sedikit sebanyak dia belajar bersabar apabila melihat Hans tenang dalam mengendalikan kerenah-kerenah pelanggan yang cerewet.
“Tapi dia orang nak proposal idea untuk iklan produk baru ni. Detail okey? Dia orang nak sesiapa yang tengok billboard tu, akan terus tertarik dengan iklan tu. Dia orang nak idea yang fresh. Tak nak yang biasa, maksud aku pacak gambar, words berjela. Dia orang nak satu perkataan aje tapi mampu iklankan produk mereka ni. Plus, new model yang super lawa dan lain dari yang lain. Dia orang nak model yang ada kecantikan asli bukan tampal-tampal make up.” Terang Azam secara terperinci.
Hans menghembuskan nafas panjang. Permintaan pelanggan kali ini benar-benar menguji pereka iklan. Satu perkataan tapi mampu menarik perhatian? Perkataan apa? Soal hatinya. Dia meraup wajah sebelum kembali memandang wajah Azam.
“Kau ada idea?” Soalnya.
Azam berjeda. Dia hanya mampu menayang giginya yang bersih. Sedangkan Hans sudah mula mengeluh.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.