Tetamu Rindu

Sunday 22 April 2018

JODOH HAK MILIK ALLAH ( BAB 9 )


HANS duduk termenung di meja kerjanya sambil anak matanya tegak merenung skrin komputer riba. Sudah puas dia mencari idea di carian Google namun satu pun tidak memenuhi kriteria seperti yang diinginkan pelanggannya. Hans meraup wajahnya. Dia menggerakkan kepala ke kiri dan kanan bagi melegakan bahu dan tengkuknya yang terasa lenguh.
“Manalah aku nak cari perkataan yang boleh orang terus jatuh cinta bila tengok iklan tu?” keluh Hans kemudian bangun seketika dan melabuhkan punggung di birai katil.
Dia mencapai kamera DSLR yang berada di atas meja sisi. Satu per satu gambar di dalam kamera itu dibelek. Mungkin dengan cara itu dia boleh mendapat idea. Sedang asyik dia meneliti setiap gambar pemandangan yang diambil di Dubai, tiba-tiba tangannya terhenti apabila pada sekeping gambar yang menarik perhatiannya.
Senyuman dan kerlingan mata gadis itu kembali menari di ruang fikirannya. Hans memejamkan mata sejenak. Dia teringat akan sesuatu. Lantas, dia mencapai beg sandangnya. Sebuah buku nota dikeluarkan dari beg sandangnya.
“Saya percaya pada jodoh dan saya akan terima awak kalau kita ada jodoh.”
Kata-kata gadis itu kembali terngiang di telinganya. Hans tersenyum sinis sambil membelek halaman demi halaman buku nota tersebut.
“Jodoh?” Hans tersentak sendiri. Lantas, dia mencapai telefon bimbitnya. Nombor Azam didail.
“Hello, assalamualaikum. Bro, kau buat apa tu?” Soal Hans sebaik saja talian disambungkan.
“Waalaikummusalam. Aku baru nak suap nasi goreng ke mulut. Kenapa kau call aku? Hah, biar aku teka. Confirm kalau kau call aku ni, sebab kau dah dapat idea kan?” tebak Azam sambil meneruskan suapannya.
“Dah…” jawab Hans sepatah. Sengaja dia biarkan Azam dilanda tanda tanya.
“Hah? Dah dapat? Apa idea kau?” soal Azam teruja.
Hans hanya mendiamkan diri. Dia tersenyum penuh makna.

HANS berdiri dengan tenang di hadapan bilik mesyuarat yang dihadiri oleh wakil daripada syarikat MALTEX. Kelihatan Azam dan beberapa orang kakitangan syarikatnya turut serta dalam mesyuarat kali ini.
Hans memandang wajah yang berada di hadapannya satu per satu. Dia tersenyum dengan penuh yakin. Selepas semuanya dirasakan sudah bersedia, Hans menekan butang enter di komputer riba. Terpapar besar perkataan JODOH di skrin putih.
“Jodoh?” kedengaran bisik-bisik suara yang mula dilanda tanya dengan satu perkataan yang ditunjukkan oleh Hans.
Hans memandang Azam. Dia tersenyum. Azam hanya menganggukkan kepala.
“Sebelum saya teruskan, saya Hans Yusuf Fariq mewakili H&A Advertise berbesar hati dengan kehadiran tuan, puan wakil daripada syarikat MALTEX. Terima kasih kerana sudi bekerjasama dengan kami untuk mempromosikan produk daripada pihak anda. Lebih-lebih lagi MALTEX merupakan  antara syarikat telco yang terbesar di Malaysia dan saya rasa ini adalah peluang besar buat H&A Advertise berbanding projek sebelum ini.” Ucap Hans sebagai mukadimah pembentangannya kali ini.
Hans tersenyum manis saat melihat hadirin yang datang menganggukkan kepala dan membalas senyumannya. Dia kembali memandang skrin putih.
“Pertemuan, perjumpaan, perhubungan, percintaan, perkahwinan, persaudaraan, persahabatan dan lain-lain konsep penyatuan ini adalah kitaran sosial kehidupan manusia. Saya percaya dalam kalangan masyarakat Malaysia, apabila kita menyebut segala hal, kita akan melibatkan satu perkataan. Perkataan itu ialah….”
Hans menunjukkan tangannya ke skrin.
“Jodoh… Dan satu perkataan inilah yang akan menjadi main concept untuk mempromosikan produk terbaharu MALTEX.”
Wakil dari MALTEX berpandangan sesama sendiri sebelum mereka menganggukkan kepala, meminta agar Hans melanjutkan penerangan.
“Jodoh atau kebetulan? Pendapat saya, kebetulan itu merupakan jodoh yang telah ditentukan dan jodoh adalah ketentuan yang tak mungkin dapat kita elakkan. Konsep sosial melibatkan penyatuan tadi mungkin kurang berlaku kerana jarak yang berjauhan. Pasti kita selalu dengar orang-orang tua selalu menyebut, kalau jodoh tak ke mana. Kalau ada jodoh kita jumpa lagi. Kalau berjodoh, sejauh apa pun perhubungan itu tetap akan terjadi…” sambung Hans membuatkan beberapa orang wakil daripada MALTEX kelihatan kebingungan.
Hans berjeda seketika. Dia menarik nafas sebelum menyambung kembali.
“Pihak kami akan mengetengahkan produk MALTEX ni untuk memudahkan konsep jodoh tadi. Jodoh di hujung jari. Pertemuan, percintaan, perhubungan, dan persahabatan hanya di hujung jari. Walaupun perkara ini biasa kita dengar, tapi belum ada mana-mana syarikat telco yang menggunakan konsep jodoh ini dalam mempromosikan produk keluaran mereka.” Terang Hans lagi dengan penuh yakin.
Kali ini wakil daripada syarikat MALTEX menganggukkan kepala tanda faham. Mereka berbisik sama sendiri. Tergambak riak berpuas hati di wajah mereka.
“Okey, untuk konsep iklan seterusnya, saya serahkan kepada Encik Azam…” ucap Hans lalu mempersilakan Azam ke hadapan.
Azam menganggukkan kepala dan terus melangkah ke hadapan mengambil tempat Hans.
Hans duduk di bahagian hadapan. Dia mendengar penerangan Azam dengan khusyuk. Dia menarik nafas lega apabila segalanya berjalan dengan lancar.

AKU tak sangka kau otak kau boleh berfikir sejauh ni. Jodoh? Benda yang biasa kita dengar tapi tak ada sesiapa yang terfikir nak gunakan konsep ni. Hebat betul kepala otak kau, Hans.” Puji Azam sewaktu mereka menjamu selera tengah hari itu. Dia mengangkat kedua belah ibu jarinya.
Hans ketawa lepas. Dia menggeleng kecil.
“Dah dia orang nak satu perkataan je. Ingat senang nak promosikan produk dalam satu perkataan? Billboard pula tu. Mana ada aksi-aksi atau lakonan  macam iklan kat TV.” Komen Hans.
Azam hanya menganggukkan kepala tanda setuju dengan kata-kata Hans.
“Betul juga. Tapi aku memang tabiklah dengan otak kau kali ni. Tapi…” Azam meleretkan kata. Dia menyoroti wajah Hans lama.
“Tapi apa lagi? Kita kan dah dapat projek tu. Kau nak tapi lagi tu kenapa?” Soal Hans sambil mengacau jus oren yang sudah separuh diminum.
“Entah. Aku macam dapat hidu sesuatu aje. Idea jodoh kau tu, kau dapat dari Dubai kan? Atau kau dah dapat jodoh dekat sana?” soal Azam dengan rasa curiga. Dia mengecilkan mata merenung wajah Hans yang jelas berubah riak.
Namun, Hans bijak mengawal riak wajahnya. Dia tersenyum dan mencebikkan bibir.
“Hah… Cara kau senyum pun dah lain macam aku tengok. Aku dah agak dah. Kau jumpa jodoh kau dekat Dubai kan?” Soal Azam lagi. Masih belum berpuas hati apabila tiada jawapan daripada Hans.
Hans hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu. Dia mengeluh kecil.
“Entahlah. Aku nak tanya kau, kalau kau jumpa perempuan pelik, suka buat benda-benda mengarut, percaya nasib, jodoh dan kebetulan, apa perasaan kau?” soal Hans tiba-tiba.
Azam terdiam seketika. Anak matanya dihalakan ke atas. Cuba memikirkan jawapan yang sepatutnya diberikan.
“Entah. Aku pun tak tahu. Mungkin aku akan gelakkan dia dan suruh dia bertaubat. Setiap sesuatu tu dah ditakdirkan, dia kena berbalik kepada Qada dan Qadar Allah.” Ucap Azam memberi pendapat.
“Tapi kenapa tiba-tiba kau tanya pasal ni? Kau dah terjumpa dengan perempuan macam tu ke?” sambung Azam. Terkebil-kebil dia memandang Hans.
Hans hanya tersenyum sinis. Dia mengangkat bahu.
“Aku nak masuk ofis dululah. Dah habis waktu rehat.” Balas Hans tanpa menjawab soalan Azam. Dia berlalu meninggalkan sahabatnya yang terpinga-pinga.
“Hah, inilah yang aku tak puas hati sangat ni. Hans!” jerit Azam lalu mengejar Hans yang sudah siap membuat pembayaran di kaunter.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.