Tetamu Rindu

Thursday 29 November 2012

Rindu Dalam Sepi ( Bab 9 & 10)


BAB 9

KEDENGARAN  sayup- sayup alunan surah Yassin kedengaran bergema disegenap ruang rumah papan milik keluarga Mardiyah. Sungguh sayu detik itu sesayu hati Mardiyah yang melihat jasad kaku milik Yasir terbaring tanpa gerak. Tepat pukul dua pagi tadi ayahnya telah menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ibunya yang tercinta.

Tiada apa yang dapat diucapkan lagi oleh Mardiyah. Lidahnya bagaikan kelu manakala mulutnya sudah terkunci untuk mengucapkan patah perkataan. Perginya Yasir seakan telah membawa segala semangatnya yang selama ini kukuh di dalam diri.

Perlahan- lahan Mardiyah menghampiri jasad ayahnya yang terbujur kaku. Kain batik yang digunakan untuk menutupi keseluruhan wajah Yasir ditarik dengan tangan yang gementar. Dia melihat wajah ayahnya yang bersih seakan sedang tersenyum kepadanya. Sungguh hatinya pilu di saat ini. Mutiara jernih yang tidak pernah surut diseka dengan jari jemarinya. Dia memegang tangan ayahnya yang sejuk menandakan bahawa di dalam tubuh itu sudah tiada roh.

“ Ayah, maafkan Diya. Diya tahu ayah malu dengan apa yang terjadi tapi percayalah pada Diya ayah, Diya tidak buat perbuatan terkutuk tu. Diya masih ingat pesan ayah supaya menjaga kehormatan walaupun di mana Diya berada tapi kali ini Diya telah malukan ayah dengan kesalahan yang Diya tak pernah lakukan. Maafkan Diya ayah. Ayah tentu kecewa dengan Diya.” Mardiyah berbisik di telinga Yasir. Dia berharap agar ayahnya mendengar apa yang dikatakan tetapi itu amat mustahil.

Tiba- tiba bahunya disentuh seseorang membuatkan Mardiyah tersentak lantas tersedar dari lautan sendunya. Dia berpaling dan kelihatan Mak Zainab tersenyum kepadanya. Tetapi dia tidak dapat membalas senyuman itu kerana dia dapat rasakan bibirnya lumpuh untuk menghadiahkan senyuman walaupun seulas.

“ Sudahlah Diya jangan menangis lagi. biarlah ayah kamu pergi dengan tenang. Jangan meratapi lagi segala yang terjadi ini, mungkin ada hikmah di sebaliknya. Ayah kamu ada pesan kat Mak Long, dia cakap dia dah maafkan semua kesalahan kamu. Dia tak nak kamu terus dihantui rasa bersalah dengan apa yang berlaku.” Ujar Mak Zainab sambil mengosok kepala Mardiyah yang sedang tertunduk.

“ Tapi Mak Long, Diya tetap bersalah pada ayah. Diya yang menyebabkan ayah meninggal. Ini semua salah Diya, salah Diya!” bentak Mardiyah. Dia benar- benar tertekan dengan apa yang berlaku. Jiwanya terseksa dengan ujian yang ditimpakan ke atasnya.

Mak Zainab meraih Mardiyah ke dalam pelukan. Tumpah simpati pada gadis malang ini. Dia mencari kelibat Kamariah yang sepatutnya menenangkan anak gadisnya itu tetapi sampai sekarang Kamariah tidak kelihatan mungkin sibuk menguruskan urusan pengembumian Yasir.

“ Jangan cakap begitu Diya, ALLAH takkan turunkan ujian yang tidak dapat ditanggung oleh hambaNYA. Oleh itu, kamu kena bersabar dan banyak mendekatkan diri dengan ALLAH. Hanya Dia tempat untuk kamu memohon petunjuk atas apa yang berlaku.” Nasihat Mak Zainab lembut.

Dia tahu dalam keadaan tertekan begini, Mardiyah perlu diberikan kata semangat dan dorongan agar semangat gadis itu pulih. Mungkin apa yang berlaku ini merupakan trauma bagi Mardiyah.

Mardiyah diam tidak terkata kerana apa yang diucapkan oleh Mak Zainab ada kebenarannya namun hati kecil miliknya tidak dapat menahan kesedihan yang seakan bermaharajalela. Keriuhan di dalam rumah itu dengan kedatangan tetamu untuk memberi penghormatan terakhir buat Yasir langsung tidak memberi kesan pada Mardiyah. Dia lebih suka melayani perasaannya sendiri.

 

JASAD Yasir akhirnya selamat disemadikan dengan tenang. Saat talkin dibacakan, air mata Mardiyah tidak henti- henti mengalir. Sesekali dia ada terfikir kenapa bukan dia yang dijemput Ilahi kenapa mesti ayahnya kerana ibu dan adik- adiknya lebih memerlukan Yasir daripada dirinya.

Dia memandang sepi tanah kubur yang masih merah dan berair kerana ditimpa hujan saat ini. Dia tidak peduli baju kurungnya basah lencun dek terkena hujan yang lebat. Mardiyah masih setia memegang batu nisan ayahnya yang telah selamat dikebumikan. Walaupun Aisya Humaira mengajak dia pulang tapi Mardiyah berdegil untuk menunggu di kubur yang sunyi sepi itu.

Air mata yang sentiasa menjadi temannya kini tidak lagi mengalir. Bengkak matanya sudah tidak dipedulikan lagi. Dia lelah untuk menghadapi segala dugaan ini seorang diri tanpa ayah tersayang di sisi dan apa yang membuatkan Mardiyah lebih terkilan, Kamariah lansung tidak menegurnya apatah lagi memberi kata- kata perangsang untuknya. Dia tahu ibunya masih memarahinya begitu juga dengan adik- adiknya tapi dia tidak mampu mengubah kebenaran itu. Jika dia mampu memutarkan semula keadaan ingin sahaja dia memadamkan apa yang berlaku antara dia dan Ammar.

“ Ayah, kenapa ayah pergi cepat sangat. Diya seperti terasa yang ayah ada dekat dengan Diya. Diya tak dapat tanggung ini semua seorang diri ayah. Maafkan Diya kerana tak mampu jadi anak yang boleh ayah banggakan. Diya bunuh ayah dengan perbuatan Diya sendiri. Diya takkan maafkan diri Diya ayah. Kalaulah ayah dengar, Diya nak minta ampun dengan ayah, Diya telah lukakan hati ayah.” Ucap Mardiyah dengan sendu sedannya.

Hari makin gelap namun Mardiyah masih setia menanti di tanah perkuburan itu. tiada siapa yang menemaninya hanya bunyi hujan dan unggas yang kedengaran. Semua itu bukan halangan bagi Mardiyah untuk terus tetap di situ dan berharap agar ayahnya kembali kepadanya. Lama dia merenung tanah kubur yang ditaburi kelopak bunga mawar berwarna merah. Dia mengenggam tanah itu dan serentak air matanya menitis dengan laju.

“ Sayang, baliklah anakku. Teruskan hidupmu jangan kau seksa dirimu dengan meratapi pemergiaan ayahmu ini. Ayah akan sentiasa bersamamu walaupun kita tidak boleh bersatu seperti dahulu lagi. tapi ketahuilah ayah telah memaafkan atas semua kesalahan yang telah kamu lakukan sejak kamu kecil hinggalah sekarang. Baliklah anakku, ibu dan adikmu masih memerlukanmu. Ayah akan sentiasa berada di dalam hatimu.” Sayup-sayup kedengaran suara Yasir membisik  ke telinga Mardiyah membuatkan Mardiyah tersentak. Dia berpaling ke kiri dan kanan tetapi wajah ayahnya tidak ditemui hanya hembusan bayu yang lembut menyapa pipinya.

“ Ayah, jangan pergi! Ayah!” jeritnya.

“ Diya!” panggil satu suara.

Mardiyah tersedar. Rupa- rupanya dia terlelap di tepi batu nisan ayahnya. Namun suara itu tetap terpahat kukuh di dalam hatinya. Dia termenung sejenak sebelum mendongak. Kelihatan Yusuf datang dengan membawa payung untuk dirinya.

“ Jom balik dah dekat nak Maghrib ni. Semua orang risaukan kau. Mak kau suruh aku cari kau.” Ucap Yusuf. Dia tersenyum namun senyuman dia tidak berbalas.

Mardiyah berdiri. Dengan tidak mengendahkan huluran payung daripada Yusuf, Mardiyah melangkah pergi namun langkahnya terhenti bila dia teringatkan sesuatu.

“ Kau boleh tolong aku tak Yus?” tanya Mardiyah tiba- tiba.

Dahi Yusuf berkerut namun dia gagahi juga untuk mengangguk. Sepupunya itu sudah tidak seperti dahulu. Keceriaan yang sering mewarnai wajah yang manis itu telah hilang akibat satu peristiwa pahit.

“ Apa dia? Kalau aku mampu aku akan tolong.” Jawabnya sambil mendekati Mardiyah.

“ Aku yakin mak kau pasti ceritakan apa yang berlaku pada aku kan? Jadi aku harap demi persahabatan dan hubungan keluarga kita aku harap kau dapat rahsiakan perkara ini daripada Quraisya. Aku tak nak dia tahu yang aku dah bernikah dengan Encik Ammar. Jika dia tahu pun, biarlah itu daripada mulut aku sendiri dan aku harap kau boleh rahsia perkara ini daripada sesiapa pun. Boleh Yus?” tanya Mardiyah meminta kepastian.

Yusuf tersenyum. Dia mengenggam kedua bahu Mardiyah. Wajah sepupunya yang suram dipandang dengan belas kasihan. Dia akan lakukan apa sahaja asalkan sepupunya itu kembali tersenyum.

“ Untuk kau aku sanggup buat apa saja. Kalau kau perlukan tempat untuk meluahkan masalah aku akan ada di sisi kau. Pasal kau dengan Ammar aku janji tiada siapa pun yang akan tahu perkara ini.” Janji Yusuf sambil mengangkat kelima jarinya seperti orang berikrar.

Mardiyah menyeka air matanya. Akhirnya dia tersenyum pahit. Ini baharu permulaan untuk kisah di dalam hidupnya.

 

 

“ IBU jangan buat macam ni kesian kak long ibu.” Rayu Aisya Humaira bila Kamariah mengambil semua pakaian Mardiyah yang berlipat kemas dalam almari dan dimasukkan ke dalam beg.

Tangan Aisya pantas menarik tangan tua ibunya bagi menghalang Kamariah dari mengambil semua barang- barang kakaknya itu. Dia tahu Kamariah amat tertekan selepas kematian Yasir tetapi itu bukan alasan untuk menyingkirkan Mardiyah daripada hidup mereka. Selama ini hanya Mardiyah tempat mereka menyandarkan harapan tapi kini harapan itu hancur lebur selepas kakak sulungnya ditangkap basah.

“ Ini pengajaran buat kak long kau. Dia dah conteng arang ke muka kita mana lagi ibu nak letak muka dengan orang kampung kalau mereka tahu kak long kau kena tangkap khalwat. Kau takkan faham hati seorang ibu.” Rintih Kamariah dengan tangisan yang tidak tertahan.

Kamariah menolak tangan Aisya Humaira yang menghalang kerjanya. Dia rasakan inilah jalan terbaik untuk Mardiyah. Anaknya itu perlu keluar daripada kampung sebelum menjadi buah mulut orang lain. Dia tahu cerita- cerita yang tidak elok seperti ini pasti akan cepat tersebar apatah lagi arwah suaminya merupakan bilal di kampung dan juga ahli masjid pasti orang kampung akan mempertikaikan cara mereka mendidik Mardiyah. Sesungguhnya dia malu untuk menghadapi semua itu.

“ Tapi ibu, kak long tak semestinya bersalah. Mungkin ada orang yang nak aniaya kak long.” Rifqie mula bersuara.

Dia yakin seratus peratus bahawa kakanya tidak bersalah. Dia kenal dengan Mardiyah, kakaknya tidak akan melakukan perkara yang akan memalukan keluarga mereka.

“ Aisya pun rasa apa yang Iqie rasa ibu. Kak long tak bersalah.” Sampuk Aisya.

“ Sama ada kak long kau bersalah atau tidak bukan kau orang yang putuskan. Kalau dia tak bersalah dia takkan kahwin dengan lelaki itu. Entah apa yang dia buat kat KL sana kita tak tahu. Kau orang tahu tak yang kakak kau dah nikah sekarang ini dia dah ada suami biarlah suami dia yang menjaganya.” Tegas Kamariah lagi. dia terduduk di atas tilam bilik anak sulungnya itu. Satu persatu wajah anak- anaknya dipandang. Sayu hatinya bila Aisya dan Rifqie bermati- matian membela Mardiyah.

Memang jauh di dasar hati kecilnya dia percaya Mardiyah tidak bersalah tetapi untuk mengelakkan anak gadisnya menjadi bahan umpatan orang kampung, lebih baik Mardiyah keluar daripada kampung itu. Dia tidak sanggup melihat wajah duka Mardiyah saat jasad Yasir dikafankan. Terasa luluh hati seorang ibu apabila anaknya itu menangis bagaikan anak kecil memohon kemaafan daripada jasad yang tidak bernyawa.

“ Tapi ibu…”

“ Tiada tapi- tapi lagi keputusan ibu muktamad kak long kena keluar dari kampung ni malam ini juga. Ibu tak nak tengok pembunuh ayah kau ada dalam rumah ini.” Bentak Kamriah.

Tersentak Rifqie dan Aisya apabila ibu mereka mengatakan Mardiyah pembunuh ayah mereka. Apa perasaan kak longnya jika mendengar kata- kata itu.

“ Memang Diya anak yang tak berguna ibu Diya dah malukan keluarga kita tapi itu bukan kehendak Diya. Diya tak nak pun kahwin dengan lelaki itu tapi Diya terpaksa ibu. Diya terpaksa. Diya tahu apa yang berlaku ini mengecewakan ibu tapi percayalah dalam hati Diya tidak pernah terdetik pun nak lakukan perbuatan sumbang itu. Diya masih waras dan Diya masih ingat ajaran yang ayah dan ibu ajarkan pada Diya.” Ucap Mardiyah tiba- tiba.

Dia sudah mendengar segala butir pembicaraan ibu dan adik- adiknya sebentar tadi. Nasib baik Yusuf sudah pulang jika tidak pasti lelaki itu juga turut mendengar apa yang ibunya ucapkan sebentar tadi.

Aisya dan Rifqie tersentak begitu juga dengan Kamariah. Mereka yakin Mardiyah sudah mendengar perbualan mereka. Kamariah berdiri tegak menghampiri Mardiyah yang berdiri di muka pintu bilik itu. wajah anak kesayangannya dipandang. Terdapat sendu di mata bundar itu.

“ Ibu merayu pada kau Diya. Tolong tinggalkan rumah dan kampung ini. Ibu rasa dah tak ada gunanya kau berada di sini kerna perbuatan kau akan jadi buah mulut orang je. Ibu bukan nak menghalau kau tapi untuk kebaikan kita sekeluarga lebih baik kau keluar daripada rumah ini. Ibu tak nak tengok muka kau lagi.”

Kamariah menyusun kesepuluh jarinya di hadapan Mardiyah seolah- olah merayu pada anak gadis itu. walaupun kedengaran lembut di telinga Mardiyah namun kata- kata tersebut seperti belati yang merobek jantung Mardiyah. Hancur luluh hatinya apabila terus terang ibu yang disayanginya membuang dia dari hidup.

Mardiyah mencapai tangan ibunya. Dikucup tangan itu dengan syahdu. Mungkin ini kali terakhir dia mengucup tangan yang telah melahirkan dan membesarkan dia. Demi kebahagian ibu dan adik- adiknya, Mardiyah mengalah dia akan menghilangkan diri daripada pandangan mereka. Itu tekadnya. Dia tidak mahu ibunya berasa malu kerana telah melahirkan dirinya. Suatu hari nanti dia akan buktikan yang dia masih punya harga diri.

“ Baiklah ibu, kalau itu yang ibu mahukan Diya akan pergi dari sini tapi izinkan Diya untuk memeluk ibu dan adik- adik buat kali terakhir sebab dia takut dia kempunan pulak nak peluk ibu nanti.”Ujar Mardiyah sebak. Air mata yang ingin menitis di tahan agar tidak kelihatan lemah di mata Aisya dan Rifqie.

Aisya menangis teresak- esak mendengar kata- kata kakak kesayanganya itu. begitu juga denga Rifqie yang turut mengalirkan air mata menangisi perpisahan keluarga mereka yang akan berlaku sekejap lagi.

Tanpa berlengah Aisya dan Rifqie menerpa ke arah Mardiyah dah memeluk kakaknya dengan erat. Air mata mereka tumpah di bahu Mardiyah yang membalas pelukan adik-adiknya.

“ Walaupun kak long tak ada tapi kak long tetap sayangkan kamu semua. Kak long akan doakan kejayaan kamu. Ingat Iqie kamu SPM tahun ini, buat elok-elok lepas itu sambung belajar tau. Kamu pun sama Aisya belajar rajin- rajin dan jaga ibu baik- baik. Kak long tak dapat bersama dengan korang lagi tapi jangan lupakan kak long tau.” Ucap Mardiyah bersama tangisan.

Air mata Aisya dan Rifqie diseka dengan jemari runcingnya. Dia melepaskan pelukan dan melangkah ke arah Kamariah yang turut mengalirkan air mata. Dia faham perasaan ibunya di saat ini dan dia yakin sepenuh hati apa yang dilakukan oleh ibunya ini pasti ada kebaikannya.

Mardiyah memeluk tubuh Kamariah yang kaku. Wanita separuh umur itu tidak membalas pelukan Mardiyah, mungkin masih marah namun Mardiyah tidak sedikit pun berkecil hati. dia mengucup pipi ibunya yang dibasahi dengan air mata buat kali terakhir.

“ Maafkan Diya ibu. Jika ditakdirkan Diya dijemput untuk berjumpa dengan ayah nanti tanpa sempat bertemu dengan ibu, maafkan segala dosa Diya dari Diya kecil hinggalah Diya besar. Halal air susu, makan dan minum yang telah ibu berikan pada Diya selama ini. Diya nak ibu tahu yang Diya sangat sayang pada keluarga kita dan Diya akan pulang jika ibu yang menjemput Diya.” Sambung Mardiyah lagi.

Dia melepaskan pelukan selepas tiada balasan daripada Kamariah. Dengan titisan air mata yang tidak henti- henti Mardiyah mencapai beg sandang yang telah berisi barang- barang dan melangkah keluar daripada rumah yang banyak menyimpan memori sewaktu dia kecil.

Jeritan daripada Aisya dan Rifqie yang memanggil namanya tidak diendahkan. Sedikitpun dia tidak berpaling. Mardiyah cuba mencekalkan hatinya agar dapat mengharungi dugaan ini seorang diri kerana dia yakin suatu hari nanti keluarga mereka pasti akan bersatu semula.

‘ Ibu, maafkan anakmu yang telah mengecewakanmu. Tapi ketahuilah ibu, yang anakmu ini tidak akan pernah melupakan segala jasa dan pengorbanan yang telah kau berikan dalam kau mendidik anakmu ini. Suatu hari nanti anakmu pasti akan pulang, pasti..” rintih hati kecil Mardiyah.

Setelah semuanya selesai Mardiyah memecut kereta Myvi putihnya dengan laju membelah kepekatan malam menuju ke destinasi yang tidak diketahuinya. Dia pergi membawa hati yang lara. Dia pergi bersama dengan kelukaan hati yang dalam.

Tanpa Mardiyah sedari kepergiaannya itu dihantar oleh sepasang mata redup yang tidak henti mengalirkan air mata tuanya.

‘ Maafkan ibu anakku, ibu terpaksa melakukan semua ini untuk kebaikanmu. Andai suatu hari nanti semuanya pulih, ibu pasti akan menjemputmu kerana sayangnya ibu kepadamu tidak akan pernah pudar walaupun nafas ibu terhenti. Moga ALLAH merahmatimu walau di mana kamu berada kerana doa ibu selalu untukmu anakku.’

Hati kecil itu berbisik dalam kesedihan. Kesedihan yang menyaksikan terputusnya kasih yang tidak tahu bilakah akan menyatu.

  

BAB 10

 
“ DIYA kau okey ke?” tanya Quraisya pada malam itu.

Sejak Mardiyah pulang daripada kampung, gadis itu jarang bercakap dengannya. Sepatah ditanya, sepatah yang dijawab. Quraisya faham akan penderitaan yang dilalui oleh Mardiyah tetapi gadis itu kelihatan begitu teruk dan tidak bermaya. Hari- harinya dihabiskan dengan menangis meratapi kematian ayahnya. Sewaktu di kampung Mardiyah dulu Quraisya dapat merasakan kesedihan yang melanda jiwa temannya itu apabila gadis itu tidak henti-henti menangis di hadapan jasad Yasir yang kaku.

Mardiyah yang sedang mengunyah roti hanya tersenyum hambar. Sudah hilang senyum di wajahnya, sudah hilang seri di wajahnya. Mardiyah kini hanya menjadi patung yang bernyawa. Tiada lagi ketawa dan tiada lagi air mata hanya yang ada seorang gadis yang tanpa perasaan.

“ Aku okey je. Macam biasa.” Jawab Mardiyah acuh tak acuh.

Kesedihan yang ditanggungnya meragut semua kegembiraannya. Apa yang mampu diharapkan agar ALLAH mengalihkan mendung yang merajai hatinya.

“ Aku tengok kau dah lain Diya, dah tak macam dulu. Aku macam tak kenal kau sekarang ini. Bila kau sorang kau menangis kau tahu tak kalau menangis selautan sekalipun ayah kau takkan kembali. Cukuplah kau doakan dia supaya ditempatkan di antara orang yang beriman.” Ucap Quraisya cuba menyedarkan Mardiyah ke dunia sebenar.

Mardiyah diam. Dia tidak mengulas apa- apa hanya matanya yang menahan air mata daripada menitis. Hatinya sebak mendengar ucapan daripada sahabat baiknya itu. Quraisya tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi pada Mardiyah dan dia tidak mahu Quraisya tahu tentang apa yang berlaku sebenarnya. Biarlah dia menyimpannya sendiri kerana semua orang boleh bercakap tapi yang menanggungnya hanya ALLAH yang dapat membantu.

“ Aku tahu kematian ayah kau telah bagi impak yang besar untuk diri kau tapi cuba kau fikir anak- anak yatim yang tinggal kat rumah Nur Cahaya itu, ada di antara mereka yang tak sempat jumpa ayah mereka. Sekurang- kurangnya kau masih ada ibu dan adik- adik kau yang menyayangi kau.”  Sambung Quraisya lagi bila tiada jawapan daripada Mardiyah.

‘ Ya memang aku masih ada ibu dan adik- adik tetapi mereka semua telah buang aku dari hidup mereka. Ke mana lagi harus aku tuju untuk aku mengadu nasib dan menumpang kasih? Ibu aku sendiri meragui kesucian diriku dan menganggap aku sebagai penyebab kematian ayah aku. Ke mana harus aku membawa hati aku yang lara ini? Ke mana?’ jerit hati kecil Mardiyah.

Tanpa Mardiyah sedari setitis air matanya gugur ke bumi. Dia meraup wajahnya yang kusut. Sedaya mungkin dia cuba lindungkan wajahnya daripada pandangan Quraisya tetapi Quraisya lebih pantas menangkap apa yang terjadi pada sahabat baiknya itu.

Quraisya menghampiri Mardiyah yang sedang duduk sambil memeluk lutut di atas sofa di ruang tamu rumah sewa mereka itu. Mata wanita itu difokuskan pada televisyen tapi Quraisya tahu fikiran gadis itu melayang entah ke mana.

“ Aku tahu kau menangis Diya. Menangislah sepuasnya kerana hanya kau yang tahu apa yang kau tanggung tapi aku harap hari ini sahaja kau menitiskan air mata. Aku nak kau kembalikan Mardiyah yang aku kenal dulu. Mardiyah yang sentiasa menghadapi dugaan dengan senyuman.” Ujar Quraisya. Bahu temannya itu dipegang. Wajah Mardiyah yang basah dek air mata direnung dengan penuh simpati. Terasa tubir matanya turut panas menanti air yang akan menitis bila- bila masa.

Mardiyah mengelengkan kepalanya. Dia tidak mampu lagi untuk tersenyum jika apa yang dilaluinya amat berat untuk dia tanggung.

“ Aku tak mampu Isya. Aku tak kuat.” Ujar Mardiyah perlahan. Air matanya merembes laju.

Quraisya mengenggam jari jemari Mardiyah yang dingin. dia tersenyum manis. Dia tahu Mardiyah seorang gadis yang kuat dan mampu menghadapi segala rintangan ini. Jika temannya itu memerlukan sokongan, dia akan sentiasa ada untuk gadis itu.

“ Aku tahu kau mampu Diya, aku akan sentiasa berada di sisi kau sebab aku nak jadi sahabat kau di waktu kau senang mahu pun susah. Jadikan ibu dan adik- adik kau penguat hidup kau kerana mungkin ALLAH sedang menguji sejauh mana keimanan kau terhadapNya dengan mengambil ayah kau. Ingat Diya, ibu bapa dan keluarga hanya pinjaman buat kita. Bila tiba masanya ia akan ditari balik oleh Penciptanya. Aku harap sangat kau tak mudah putus asa dengan cubaan yang ALLAH berikan kepada kau ini.

Kita selalu menghabiskan masa dengan meratapi kesedihan sampaikan kita terlupa bahawa pintu kebahagiaan selalu terbuka pada siapa yang mencarinya. Walau apa yang terjadi, hidup mesti diteruskan Diya. Aku tahu kau dah biasa dengar ayat itu tapi itulah lumrahnya.” Ucap Quraisya panjang lebar. Sempat lagi dia berseloroh dengan Mardiyah.

Mardiyah tersenyum. lama dia berfikir tentang apa yang diutarakan oleh Quraisya itu. segala yang diucapkan ada benarnya. Sudah terlalu lama dia meratapi kematian ayahnya, sekarang sudah tiba masa untuk dia menjadi anak yang solehah dengan mendoakan kesejahteraan ayanhya di sana.

Dia menarik nafas sedalam- dalamnya sebelum dihembus dengan perlahan. Ya, hidup mesti diteruskan. Dia akan buktikan pada Kamariah yang dia bukan pembunuh ayahnya dan dia masih punya harga diri. Dia akan lakukan apa sahaja untuk bersatu dengan keluarganya. Itu tekad Mardiyah.

I know you can face it beb. You are the strong girl that I know.

Quraisya tidak henti- henti memberi kata- kata perangsang. Bila dia melihat ada riak yang positif dari Mardiyah, Quraisya tersenyum lebar.

Mardiyah membalas pandangan Quraisya. Sisa air mata yang masih menitis diseka dengan telapak tangannya. Selamat tinggal air mata, aku tak nak menangis lagi. guman hatinya.

“ terima kasih Isya sebab ada untuk aku. Aku betul- betul lost bila ayah aku meninggal. Aku tak dapat terima kenyataan bila dia pergi tanpa sempat aku memohon maaf. Tapi kau telah sedarkan aku bahawa setiap yang hidup pasti merasai mati kerana itu janji ALLAH dan janji ALLAH itu pasti.” Mardiyah mula berkata- kata.

Bagaikan mendapat semangat baharu, Mardiyah tersenyum manis. Tubuh Quraisya didakap erat dan itu cukup mengembirakan hati Quraisya. Mardiyah sudah kembali.

Quarisya menepuk-nepuk belakang Mardiyah. Dia menangis kegembiraan. Akhirnya Mardiyah tersedar dari dunia ciptaannya.

Welcome back my friend!”

 

USAI solat Isyak Mardiyah duduk termenung di atas katil sambil melipat telekung dan sejadahnya. Rasa tenang menyapa bila tanggungjawab lima waktunya telah terlaksana.  Dia dapat rasakan semangat baharu telah bertiup di dalam dirinya untuk menjadi lebih kuat. Tiba- tiba dia teringat, hari ini sudah masuk seminggu dia tidak bekerja dan hari ini juga tempoh cutinya tamat dan esok merupakan hari pertama dia bekerja setelah pulih daripada trauma yang mencengkam kuat jiwanya.

Hal ini bermakna esok dia akan bertemu dengan Ammar yang kini sudah menjadi suaminya walaupun taraf itu tidak pernah diakui oleh lelaki sombong itu. Sebenarnya dia sendiri lupa Ammar telah menjadi suaminya. Apa reaksi lelaki itu nanti bila bertemu dengannya? Apa yang pasti lelaki itu cukup membenci dirinya kerana itu dapat dilihat dari sinar mata Ammar pada malam mereka ditangkap basah.

Namun perkara itu tidak menjadi kudis buat Mardiyah kerana dia bukan kisah sangat dengan kehadiran Ammar. Dia tetap keseorangan walaupun telah bersuami dan biarlah status dirinya sebagai isteri Ammar menjadi rahsia mereka sekeluarga.

“ Diya, ada orang nak jumpa kau.”

Terjengul wajah Quraisya di sebalik pintu biliknya.

“ Siapa?” tanya Mardiyah spontan.

“ Entahlah tapi yang nyata lelaki yang nak jumpa dengan kau ni handsome gila kalah Lee Min Ho aku.” Ujar Quraisya sambil tersengih seperti kerang busuk.

Mardiyah mengerutkan dahi. Lelaki? Lelaki mana pula ni?

“ Kau jemput dia masuk tak?” soal Mardiyah lagi.

Quraisya mengeleng.

“ Dia tak nak masuk dia cakap dia tunggu kau dalam kereta dan dia nak jumpa kau sekarang.” Ucap Quraisya sebelum berlalu.

Mardiyah mengeluh. Siapalah yang nak jumpa aku malam- malam ni tak boleh tunggu esok gamaknya. Bebel dia sendirian. Selepas mencapai tudung dia melangkah menuju keluar.

Dia mengamati kereta BMW berwarna putih yang terparkir elok di hadapan rumahnya. Rasanya mcam pernah kenal kereta itu tetapi pemandunya tidak kelihatan. Dengan rasa sangsi Mardiyah mengetuk cermin kereta yang hitam pekat itu.

Setelah cermin kereta itu diturunkan, Mardiyah tergamam melihat tuan punya kereta tersebut. Sudah seminggu dia tidak bertemu dengan lelaki itu dan sekarang lelaki itu muncul di hadapannya tanpa diseru.

“ Masuk!”Arah Ammar.

Tanpa banyak bicara Mardiyah menuruti arahan Ammar walaupun hatinya berat untuk melangkah ke dalam kereta mewah itu kerana pasti ada yang tidak kena.

“ Kenapa encik nak jumpa saya?” tanya Mardiyah lembut. Dia berpaling ke sisi.

Memang benar kata Quraisya sebentar tadi, lelaki itu memang kacak pada malam ini. Dengan cermin mata hitam yang tersangkut di hidung mancungnya cukup menyerlahkan ketampanan Ammar yang santai berbaju t- shirt dan berseluar jeans. Sempat lagi Mardiyah meneliti penampilan lelaki itu.

“ Aku datang jumpa kau ni bukan suka- suka tapi aku nak cakap sikit dengan kau pasal kita.” Ammar memulakan bicara. nada suaranya kedengaran tegas dan tiada segaris senyuman pun di bibirnya.

Mardiyah terdiam. Dia tahu Ammar masih benci dan marahkannya tapi yang dia dapat lakukan jika takdir telah tersurat begitu. Bukan dia yang merancang apa yang berlaku tapi ALLAH yang menetapkan semua itu.

“ Aku nak bagi amaran pada kau, aku tak nak ada sesiapa pun tahu yang kita sudah bernikah dengan erti kata lain aku tak nak orang sekeliling tahu status sebenar kau. Kalau ada sesiapa tahu, kau tunggulah untung nasib hidup kau. Ini amaran untuk kali terakhir.

Aku nak kau tahu yang aku memang tak ingin beristerikan kau. Perempuan macam kau tak sesuai jadi isteri aku. Sampai bila- bila aku takkan terima kau dalam hidup aku dan jangan pernah kau harap untuk aku terima kau sebab aku dah ada kekasih hati yang jauh lebih cantik daripada kau” Ujar Ammar tanpa sedikit pun memandang wajah Mardiyah.

Bagi Ammar itu keputusan terbaik yang dia lakukan bagi memastikan yang Mardiyah tidak menganggu hidupnya. Walaupun telah di nasihati oleh mamanya untuk menerima Mardiyah namun Ammar tetap berdegil untuk tidak menerima Mardiyah dalam hidupnya. Pada Ammar kehadiran Mardiyah hanya memusnahkan masa depan yang ingin dia bina bersama dengan Lydia.

Mardiyah diam tidak berkata. Rasa sebak mula menerjah ke kamar hatinya yang sayu. Baharu semalam semangatnya pulih dan kini lelaki itu datang membawa kesedihan dalam dirinya. Mardiyah sedar yang dia memang tidak akan pernah ada dalam hati Ammar dan dia tidak pernah berharap yang Ammar menerimanya tapi tidak bolehkah lelaki itu menghormati perasaannya.

“ Kalau dah itu keputusan encik apa saya boleh buat. Saya sedar siapa diri saya di mata encik.” Jawab Mardiyah lirih.

Ammar tersenyum sinis. Dasar perempuan,kalau ikutkan hati memang sekarang juga dia hendak lepaskan Mardiyah namun bila terfikirkan Datin Zarina dia membatalkan hasrat itu. lagipun gadis itu telah bersetuju untuk merahsiakan pernikahan mereka daripada pengetahuan umum.

“ Dan satu lagi, jangan kau cuba-cuba nak dekat dengan famili aku terutama mama aku. Aku tak suka perempuan kotor macam kau ini dekat dengan keluarga aku.” Sambung Ammar dengan kasar. Dia langsung tidak mempedulikan perasaan Mardiyah yang telah terguris bila dipanggil perempuan kotor.

Mardiyah tersentak dengan apa yang diucapkan oleh lelaki itu. terasa seperti kesabaran dia dicabar dan maruahnya di hina. Mardiyah tidak kisah jika Ammar tidak mahu menerima dirinya sebagai isteri tetapi dia rasa cukup terhina bila dilabel sebagai perempuam kotor. Setitik air matanya gugur. Pedih, sungguh pedih.

“ Saya tahu saya hina di mata encik but please jangan panggil saya macam itu. Saya bukan seperti yang encik katakan.” Bantah Mardiyah. Wajah Ammar ditentang berani.

Ammar tersenyum sinis. Muak dia mendengar suara Mardiyah walaupun suara itu cukup lembut.

“ Itu kenyataannya memang kau perempuan tak guna! Sebab kau hidup aku musnah. Aku benci kau.” bentak Ammar.

Mardiyah terkedu saat itu. dengan hati yang sakit Mardiyah keluar daripada kereta itu. dia tak sanggup lagi untuk mendengar tohmahan dan cacian daripada lelaki yang sepatutnya membela nasibnya.

Ammar melepaskan keluhan. Dia puas dapat menyakitkan hati gadis itu.

 

 

 

 

 

 

 

1 comment:

Note: only a member of this blog may post a comment.