Tetamu Rindu

Wednesday 23 March 2016

Rebah Di Tirai Cinta ( Bab 5 )



HAJI AZHAR menahan tawa sebaik saja melihat kelibat Laila yang berdiri di hadapannya dengan tepung memutih di baju dan rambut gadis itu yang hitam pekat. Dia memandang tepat pada wajah Laila yang masam mencuka. Malah lebih masam daripada mangga muda.
“Kalau waled nak gelak, waled gelaklah. Waled sukalah tengok Laila kena macam ni. Laila nak waled pecat pekerja baru tu sekarang jugak!” tegas Laila sambil duduk di hadapan Haji Azhar. Tangannya dibiarkan memeluk tubuh. Mulutnya dimuncungkan.
“Laila, apa yang tak kena ni? Kenapa marah-marah ni? Cuba cerita pada waled,” Haji Azhar berpura-pura tidak tahu sedangkan dia sudah melihat segalanya dengan mata kepalanya sendiri.
“Waled tanya kenapa? Waled tahu tak yang pekerja baru waled tu dah malukan Laila? Berani dia curahkan tepung kat kepala Laila? Sedangkan Laila cuma pesan roti mulawah je dengan dia. Dia memang nak tunjuk berani!” marah Laila lagi. Dia menyelak rambutnya yang mengganggu pandangan.
Haji Azhar mengulum senyum. Tingkah Laila masih lagi kebudak-budakan walaupun umur gadis itu sudah menjangkau 25 tahun. Segala perbuatan dan keputusan yang dibuat langsung tidak menggambarkan usia gadis itu yang sudah memasuki alam belia bukannya remaja lagi.
“Laila tahu tak restoren ni buka pukul berapa?” soal Haji Azhar tenang.
“Tahu. Pukul 12 tengah hari,” balas Laila malas. Dia memandang kukunya.
“Dah tu kenapa pesan makanan yang tak siap lagi? Kebiasaannya tukang masak kita akan siapkan roti mulawah tu dalam pukul dua belas ke atas. Laila kena faham cara mereka bekerja, jangan cuba mendesak dalam perkara-perkara yang telah ditetapkan macam ni. Kalau tukang masak tu cabut lari, macam mana? Siapa yang nak masak makanan Arab ni? Laila boleh ke?” agak sinis pertanyaan daripada Haji Azhar membuatkan Laila mengalih pandangan ke wajah Haji Azhar.
“Laila dah agak waled bukannya nak sebelahkan Laila. Budak baru tu dah malukan Laila bukannya waled nak kisah kan?” ujar Laila berjauh hati.
Haji Azhar menarik nafas panjang sebelum menghembuskannya dengan perlahan.
“Pernah tak Laila fikir kenapa Laila dimalukan?” soal Haji Azhar bersahaja.
Laila terdiam. Lama dia menatap wajah Haji Azhar dengan dahi yang berkerut. Kemudian dia menggelengkan kepala.
“Sebab Laila tak pernah tak hormatkan orang lain. Kalau Laila nak orang hormatkan Laila, Laila juga perlu hormatkan orang lain. Kita hidup atas dunia ni bukan berseorangan, Laila. Hubungan sesama manusia juga perlu dijaga bukan pentingkan diri sendiri saja. Sekarang, Laila nak waled buat apa pada Syahid?” soal Haji Azhar setelah memberi nasihat yang percuma.
“Syahid?” soal Laila pelik. Nama itu agak asing di pendengarannya.
“Syahid itulah yang dah mandikan Laila dengan tepung tadi. Takkan dah lupa kut,” usik Haji Azhar dengan ketawa kecil meletus daripada bibirnya.
Laila menarik muka masam. Oh, jadi nama kau Syahid? Syahid apa? Syahid Kapoor ke? Monolog Laila dalam hati. Tanpa sedar dia tersenyum kecil.
“Laila nak waled pecat dia!” tingkah Laila membuat keputusan.
No!” tegas Haji Azhar.
Why?” soal Laila pula agak terkejut dengan ketegasan Haji Azhar.
“Sebab dia sebahagian daripada keluarga kita.” Jawab Haji Azhar.
“Hah? Keluarga? Apa maksud waled?” soal Laila pula. Dia terkejut.
Haji Azhar tersenyum melihat reaksi Laila.
“Waled ingat nak ambil dia jadi anak angkat waled. Lagipun waled tak ada anak lelaki,” jawab Haji Azhar dengan senyuman.
“Apa? Waled buat lawak ke apa ni? Budak selekeh macam tu waled nak ambil jadi anak angkat? Tak. Laila tak setuju!” bangkang Laila lalu bingkas berdiri menentang wajah Haji Azhar.
“Entah dari mana datangnya waled terus nak ambil dia jadi anak angkat. Mengarut. Takkan dia tak ada mak bapak sampai waled nak kena bela dia,” sambung Laila lagi.
“Dia tinggal dengan Pak Man, Laila. Waled jumpa dia di masjid dan waled sendiri yang offer dia untuk kerja dengan waled. Dia musafir, Laila. Dia perlukan bantuan dan waled yakin dia seorang lelaki yang baik…” ucap Haji Azhar membela Syahid.
Laila terpempan. Aku tak salah dengar ke ni? soal hatinya tidak percaya dengan kata-kata Haji Azhar.
“Seorang lelaki yang baik takkan layan perempuan macam ni. Waled nampak apa yang dia buat pada Laila, anak waled sendiri,” balas Laila tidak berpuas hati.
“Itu kamu yang cari pasal, jadi sendiri tanggunglah. Waled tetap nak ambil dia jadi anak angkat waled dan kalau boleh waled nak ambil dia jadi menantu waled,” ucap Haji Azhar selamba.
Menantu? Sekali lagi Laila terpempan. Bulat matanya memandang wajah Haji Azhar. Sah, waled aku kena guna-guna dengan lelaki tak guna tu. Apa istimewanya lelaki itu sampaikan waled terfikir nak ambil dia jadi anak angkat? Tak. Aku tak boleh biarkan perkara ini terjadi. Detik hati Laila.
“Waled cari anak perempuan lain kalau waled nak ambil mamat selekeh tu jadi menantu. Laila nak tahu juga apa yang special mamat tu sampaikan waled nak ambil dia jadi anak angkat. Nak cakap waled kenal dia, Laila yakin waled baru kenal dia…” tambah Laila lagi. Wajahnya memang menunjukkan yang dia tidak berpuas hati dengan keputusan Haji Azhar.
Haji Azhar tersenyum. Memang sudah dijangkakan reaksi Laila. Itu baru rancangannya bukannya betul-betul pun. Buat masa sekarang dia masih belum terfikir untuk mengambil anak angkat, cukuplah Laila seorang. Tetapi reaksi Laila membuatkan Haji Azhar terhibur.
“Hormat. Dia cukup menghormati waled dan juga Pak Man sebagai orang tua. Walaupun waled baru kenal dia tapi hati waled kuat mengatakan yang dia lelaki yang baik,” balas Haji Azhar tenang.
“Mana waled tahu? Entah-entah dia ada agenda tersendiri tinggal dengan Pak Man. Waled jangan terlampau mudah percayakan orang yang baru waled kenal nanti buruk padahnya, waled.” Ucap Laila seolah-olah menasihati Haji Azhar.
Baharu saja Haji Azhar ingin membalas kata-kata Laila, namun bunyi ketukan di pintu pejabatnya membuatkan perbualan mereka dua beranak terhenti.
“Masuk!” arah Haji Azhar. Manakala Laila kembali duduk di kerusi.
Pintu berwarna hitam itu terkuak daripada luar. Kelihatan seorang lelaki yang bertubuh tinggi melangkah masuk ke dalam pejabat milik Haji Azhar. Haji Azhar tersenyum ramah manakala Laila hanya menjeling benci.
“Syah, ada apa jumpa pak cik ni?” soal Haji Azhar lembut sambil merenung wajah Syahid yang tertunduk.
“Saya nak mintak maaf, tuan haji. Saya tak tahu yang Laila ni anak tuan haji,” ujar Syahid sambil mengangkat pandangannya sedikit memandang wajah Haji Azhar yang kelihatan tersenyum.
“Hah, tahu pun nak mintak maaf. Ingatkan mengajar orang lain je pandai. Tapi diri sendiri pun lebih kurang je. Aku tak belajar sivik ke atau kau memang tak cukup sivik!” Laila menghamburkan amarahnya pada Syahid yang masih tunduk merenung lantai.
Syahid mengetap bibir. Nasib baik aku depan Haji Azhar sekarang kalau tidak, aku sumbat mulut kau dengan komputer ni. Omel hati Syahid. Geram.
“Laila, waled tak ajar kamu kurang ajar macam ni,” Haji Azhar bersuara.
“Syah jangan risau, pak cik tak marah. Anak pak cik nakal sikit jadi memang patut pun ada orang sedarkan dia…” jawab Haji Azhar.
“Waled!!” jerit Laila geram. Dia menghentak kakinya.
“Apa Laila? Tak betul ke apa yang waled cakapkan ini?” soal Haji Azhar tenang.
“Waled memang tak sayang Laila!” bentak Laila lalu berlari meninggalkan Haji Azhar dan Syahid. Sempat lagi dia merempuh tubuh Syahid sehingga membuatkan Syahid hampir rebah namun nasib baik dia masih sempat berpaut pada dinding pejabat.
“Aduh!” Syahid mengaduh kesakitan sambil menggosok bahunya yang terasa sengal.
Kasar gila anak haji ni. Tak padan dengan perempuan. Mukanya nampak lembut tapi kurang ajar memang tak boleh tolong. Tapi kenapa Haji Azhar ni baik sangat? Ikut siapalah perangai anaknya itu. Detik hati kecilnya.
“Syah okey ke?” soal Haji Azhar.
Syahid tersentak kemudian dia menganggukkan kepala tanda tiada ada apa-apa. Dia masih lagi berdiri berhadapan dengan Haji Azhar. Takut dan risau jika dia akan kehilangan pekerjaan akibat tindakan luar kawalannya terhadap Laila sebentar tadi.
“Saya benar-benar mintak maaf, tuan haji. Saya tak tahu Laila anak tuan haji kalau saya tahu saya takkan usik dia,” sekali lagi Syahid memohon maaf.
Haji Azhar hanya mengukir senyuman manis.
“Kan pak cik dah cakap, pak cik tak marah. Laila tu manja sangat sampaikan sikap dia jadi kurang ajar macam tu. Dia sangka dia ada duit dan kuasa, semua orang akan tunduk pada dia padahal sebenarnya dia tak ada apa-apa pun. Mungkin silap pak cik sebab terlalu manjakan dia sampaikan lupa nak ajar dia cara-cara menghormati orang lain. Selama ini tak ada seorang pun yang berani bangkang cakap dia apatah lagi buat macam yang Syah buat tu tapi hari ini memang hari yang bersejarahlah apabila dia dimandikan dengan tepung…” terang Haji Azhar dengan tawa yang pecah berderai.
Syahid tersengih. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Pelik dengan sikap Haji Azhar yang tidak melenting apabila ada orang yang cuba cari pasal dengan anaknya sendiri.
“Mesti dia marah saya kan?”
“Marah itu dah sinonim dengan Laila Ibtisam tapi Syah jangan ambil hatilah. Dia anak pak cik, tahulah pak cik nak nasihatkan dia tapi kalau tak jalan nasihat pak cik mungkin pak cik perlukan Syah untuk nasihatkan dia…” balas Haji Azhar sambil tersenyum penuh makna.
Dahi Syahid berkerut. Kurang mengerti dengan kata-kata Haji Azhar.
“Apa yang boleh saya buat, tuan haji?” soal Syahid polos.
Haji Azhar terdiam. Dia mengurut janggutnya yang sudah mula memutih. Wajah anak muda yang tampan itu dipandang dengan penuh makna yang tersirat. Hanya senyuman yang diukirkan tanda jawapan kepada soalan Syahid.

MATA Syahid leka memandang Pak Man yang sedang menyiram bunga di taman mini yang terletak di tepi rumah banglo Haji Azhar. Walaupun wajah Pak Man kelihatan tenang namun Syahid tahu ada sesuatu yang Pak Man rahsiakan dengan sikapnya yang tenang itu. Sudah seminggu dia tinggal dengan Pak Man, jadi setiap gerak geri Pak Man selalu dia perhatikan. Kadang- kala lelaki tua itu akan termenung dan menangis. Kadang-kala lelaki itu akan tersenyum sendirian sambil menatap sekeping gambar. Syahid tahu itu gambar isteri Pak Man, mungkin Pak Man begitu merindui isterinya yang sudah pergi mengadap Ilahi dua puluh tahun lepas.
Syahid mengatur langkah menuju ke arah Pak Man namun kelibat Laila yang menghampiri Pak Man membuatkan langkah Syahid terhenti. Dia menyembunyikan diri di sebalik dinding.
“Pak Man, kenapa Pak Man tak cuci kereta saya? Dah berdebu tahu tak? Takkan saya nak keluar dengan kereta kotor macam ni?!” bentak Laila sambil berdiri bercekak pinggang di hadapan Pak Man yang sedang menyiram pokok-pokok bunga.
“Pak Man nak siapkan kerja Pak Man ni dulu, Laila. Nanti Pak Man cuci kereta Laila,” ucap Pak Man sambil menundukkan kepala. Sedar kesalahan dirinya yang terlupa untuk mencuci kereta Laila.
“Laila? Helo? Pak Man tu siapa nak panggil saya Laila? Panggil Cik Laila, okey? Ingat sikit Pak Man tu orang gaji je, tak payah berlagak nak jadi macam keluarga saya pulak!” tempelak Laila dengan suara yang meninggi.
Tersentak Syahid dibuatnya dengan bahasa yang Laila gunakan. Cukup angkuh dan kasar. Cik Laila? Puihh…kalau dia anak aku, dah lama aku tempeleng muka dia. Detik hati Syahid. Cukup geram dengan perangai Laila yang kurang ajar dengan Pak Man.
“Baiklah, Cik Laila. Nanti Pak Man cuci kereta Cik Laila tapi biarkan Pak Man siapkan kerja Pak Man ni dulu,” ujar Pak Man mengalah.
Laila menjengilkan matanya pada Pak Man. Lalu, paip yang berada di tangan Pak Man dirampas dan tanpa disangka-sangka dia menjirus tubuh Pak Man menggunakan air paip tersebut. Pak Man terkejut. Tubuhnya menggigil.
Syahid terlopong melihat sikap Laila. Simpatinya tertumpah pada Pak Man apatah lagi apabila melihat wajah lelaki yang berusia itu sudah berubah keruh.
“Ini dah lebih!” marah Syahid. Lalu dia menghayunkan langkah menuju ke arah Pak Man dan Laila.
“Pak Man!” jerit Syahid dengan wajah yang berubah garang. Kecil besar, kecil besar saja Laila di pandangannya saat ini.
Laila dan Pak Man berpaling. Laila tersenyum sinis pada Syahid yang semakin menghampiri.
“Wah, hero dah sampai…” sinis Laila sambil berdiri memeluk tubuh.
“Kenapa kurang ajar sangat ni? Tak sedar diri ke yang Pak Man tu lebih tua daripada awak!” marah Syahid sambil menatap wajah Laila yang kelihatan selamba.
So apa kena mengena dengan aku? Dia tua ke? Dia muda ke kalau buat kerja tak betul takkan aku nak kompromi jugak!” balas Laila selamba.
“Sekurang-kurangnya awak hormatlah dia. Umur Pak Man ni sebaya dengan waled awak, sepatutnya awak jangan bebankan dia dengan kerja yang berat-berat. Awak tak kesian pada Pak Man ke?” soal Syahid lagi. Dengan berani dia menentang anak mata Laila yang coklat cair. Mata itu cukup cantik tapi anak mata itu sentiasa merembeskan sinar kebencian untuk dirinya.
“Kau siapa nak ajar aku? Kau pun kuli waled aku ada hati nak ajar aku pulak? Oh, aku lupa kau kan lelaki yang baik, sopan-santun, berbudi- bahasa tetapi sebenarnya kau ni tak ubah macam parasit. Kau tahu tak apa tu parasit? Oh, aku lupa lagi, kau ni budak kampung je. Budak kampung manalah tahu erti parasit kan?” sinis Laila dengan tawa yang menyakitkan hati.
Sekarang ini dia sudah tidak mood untuk berbalah dengan Pak Man. Kemunculan Syahid membangkitkan kembali amarahnya pada lelaki itu tentang kejadian di restoren tempoh hari. Kata-kata pujian daripada walednya pada Syahid semakin menyemarakkan lagi rasa marahnya pada lelaki itu. Dia cemburu. Ya, memang dia cemburu pada Syahid yang telah berjaya menarik perhatian Haji Azhar.
Syahid cuba bertenang. Dia mengetap bibir. Walaupun dadanya berombak ganas tapi dia cuba bersabar. Dia perempuan tak matang. Dia perempuan yang tak cukup kasih sayang. Jadi jangan ambil hati sangat dengan perangai dia sebab lelaki yang baik, adalah lelaki yang lemah-lembut pada perempuan. Bisik hatinya cuba menenangkan dirinya yang sudah bergelegak menahan rasa marah.
“Hah, saya tahu apa tu parasit. Masa sekolah dulu saya belajar apa itu parasit tapi saya tak tahu pulak yang saya akan disamakan dengan parasit, tapi parasit itu lebih baik daripada biawak hidup kan? Hidup goyang kaki tak buat apa-apa tapi nak duit tiap-tiap bulan. Hidup kalau setakat nak habiskan duit bapak je lebih baik tak payah hidup sebab tak guna hidup atas usaha orang lain!” balas Syahid berani. Suaranya kedengaran mendatar tapi kata-kata itu cukup menikam hati Laila.
Laila mendengus marah. Dia samakan aku dengan biawak? Memang cari nahas lelaki ni. Bisik hati Laila.
“Kau ingat kau siapa, hah? Kau tu menumpang je dekat dalam rumah ni…”
“Eh pembetulan bukan menumpang dalam rumah ni, saya menumpang dalam rumah Pak Man, bukan rumah awak jadi awak tak boleh merungut…” pintas Syahid selamba.
Wajah Laila berubah merah. Dia mengetap bibir.
“Kau dengan Pak Man, sama je. Suka menyusahkan orang!” balas Laila lagi.
Syahid ketawa kecil. Dia merenung ke dalam anak mata Laila sehingga membuatkan gadis itu terdiam.
“Siapa yang menyusahkan siapa sekarang ni? Saya nak makan, saya beli sendiri. Saya nak keluar, saya basuh motor saya sendiri. Awak? Nak makan, Kak Iman yang tolong sediakan. Nak jalan-jalan, Pak Man tolong basuhkan kereta. Apa awak ni Orang Kurang Upaya ke sampaikan semua kerja yang senang, kena orang lain jugak yang buatkan?” soalan daripada Syahid menyentakkan Laila.
“Kau….” Laila menuding jarinya pada wajah Syahid.
“Saya Indra Syahid…” potong Syahid selamba. Dia tersenyum manis.
Laila merengus benci. Kemudian dia merampas kembali paip yang berada dalam tangan Pak Man lalu air paip tersebut dipancutkan ke tubuh Syahid bagi membalas rasa hatinya yang cukup geram dengan segala kata-kata Syahid. Entah kenapa dia selalu kalah apabila berdebat dengan lelaki yang dianggap mamat kampung ini.
Syahid terjerit kecil apabila melihat badannya yang basah dengan air. Dia tidak menyangka ini yang akan dilakukan oleh Laila. Rasa ingin ditamparnya perempuan yang berada di hadapannya ini namun kesabarannya masih lagi bersisa.
“Laila, sudahlah tu!” halang Pak Man sambil merampas kembali getah paip tersebut daripada pegangan Laila.
“Pak Man pergi cuci kereta saya, sebelum saya siram Pak Man sekali dengan parasit ni!” jerit Laila memberi arahan.
“Baiklah, baiklah…” Pak Man akur.
“Pak Man, nanti dulu!” halang Syahid membuatkan langkah Pak Man terhenti. Dia memandang Syahid dengan dahi yang berkerut.
“Kau nak apa lagi? Tak puas kena mandi? Nak lagi ke?” soal Laila kasar.
Syahid mendengus. Dia merenung Laila dengan pandangan tajam. Wajahnya yang basah diraup ke belakang. Lalu, tanpa disangka-sangka dia membuka bajunya yang basah di hadapan Laila yang sudah mula membulatkan matanya. Mungkin terkejut dengan reaksi Syahid yang berani.
Hati Laila mula bergoyang apabila melihat tubuh Syahid yang tegap. Serta-merta wajahnya berubah merah. Rasa bahang mula memenuhi rongga wajahnya apabila Syahid mula melangkah menghampirinya. Laila menelan air liur. Dia mengambil satu langkah ke belakang.
“Kau….kau…kau jangan datang dekat…” Laila memberi amaran. Dia melangkah ke belakang. Langkahnya hampir tersadung akibat rasa gementar dengan panahan anak mata milik Syahid. Dadanya juga berdebar-debar.
Bagaikan ingin pecah tawa Syahid apabila melihat wajah Laila yang cuak. Terasa kemenangan di pihaknya sekarang ini. Eleh, ingatkan berani sangat anak Haji Azhar ni rupa-rupanya dalam hati tetap perempuan. Pantang usik, pasti gelabah. Bisik hati Syahid. Tetapi dia masih belum puas menyakat anak perempuan Haji Azhar yang perasan bagus ini, dia akan teruskan permainan ini sampaikan gadis itu mengaku kalah.
“Takkan Cik Laila takut kut?” sinis Syahid sambil terus menghampiri Laila yang sudah tidak keruan.
“Taa..takut? Eh, kau siapa untuk aku takut?” soal Laila dengan tergagap-gagap.
Dahi Laila berpeluh. Dadanya tidak henti-henti bergendang apatah lagi langkahnya sudah tersekat di dinding batu. Dia meraba-raba permukaan pagar batu tersebut. Alamak, ke mana aku nak lari ni? soal hatinya mulai gelisah.
Syahid tersenyum menggoda. Dia merenung tepat ke dalam anak mata Laila. Dia dapat lihat sinar kegelisahan yang terbit daripada anak mata yang bundar itu. Wajah yang tampak keanak-anakkan itu mengingatkannya pada seseorang. Tapi siapa?
“Cik Laila, kita pernah berjumpa ke sebelum ni?” soal Syahid tidak semena-mena.
“Hah?” soal Laila gelabah. Jarak Syahid yang tidak jauh daripadanya begitu meresahkannya.
“Aku tak pernah jumpa orang gila macam kau!” balas Laila masih lagi berani.
Syahid tersenyum. Langkahnya terhenti.
“Kalau boleh saya pun tak nak jumpa dengan perempuan yang kuat meroyan macam awak ni!” balas Syahid cukup berani.
Tanpa disangka-sangka dia mencampakkan bajunya yang basah ke muka Laila. Melekat baju tersebut di muka Laila yang sudah terkaku dengan sikap berani Syahid. Baju tersebut dialihkan daripada wajahnya lalu dicampakkan ke tanah.
“Tak guna!!!” jerit Laila sambil memijak-mijak baju milik Syahid.
Bunyi ketawa milik Syahid membuatkan Laila semakin sakit hati. Siapa lelaki ini? Kenapa dia berani sangat? Kenapa aku selalu tewas dengan setiap helahnya? Argghhh…aku takkan kalah!




No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.