Tetamu Rindu

Wednesday 23 March 2016

Rebah Di Tirai Cinta ( Bab 1 )



SENYUMAN yang mekar di bibir itu menggamit ketenangan pada sesiapa yang melihat. Terpancar cahaya keikhlasan di wajah itu sewaktu mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang singgah di warung berhadapan dengan rumahnya. Sekilas dia berpaling memandang wajah ibunya yang sedang duduk berehat sambil meneguk air. Simpati tumpah saat melihat wajah itu kepenatan.
“Alhamdulillah, ibu. Hari ni rezeki kita lebih sikit,” ujarnya dengan senyuman manis terlakar mesra di bibir merahnya.
Mak Cik Sarimah hanya tersenyum nipis. Wajah anak lelakinya yang sudah berpeluh dipandang dengan penuh rasa simpati. Walaupun cuma anak angkat, tetapi anak muda itu memang seorang yang baik hati dan sanggup menolong dirinya yang serba kekurangan.
Semenjak kematian suaminya Pak Cik Rahim, Mak Cik Sarimah mengambil alih tugas sebagai seorang ayah dan seorang ibu bagi anak-anaknya yang seramai tiga orang. Rata- ratanya masih di sekolah menengah. Mujur ada Syahid yang sudi menolong walaupun anak muda itu terpaksa mengorbankan masa remajanya mencari rezeki bagi mengurangkan beban mereka sekeluarga.
“Alhamdulillah, Syah. Syah tak ke laut ke hari ni?” soal Mak Cik Sarimah sambil menatap wajah anak angkatnya itu.
Syahid tersenyum manis. Dia mengibas tangan bagi menghalau lalat yang berterbangan di sekitar bekas makanannya.
“Petang nanti Syah pergilah, ibu. Syah nak ke bandar sekejap..” balas Syahid.
“Nak buat apa pergi bandar?” soal Mak Cik Sarimah pelik.
“Nak belikan ubat untuk ibulah. Nanti ibu sakit lagi, siapa pula yang nak masak?” ucap Syahid sambil ketawa kecil.
Mak Cik Sarimah turut ketawa. Dia bersyukur kerana dianugerahkan anak seperti Indra Syahid ini. Walaupun hanya anak angkat tetapi anak muda itu tidak pernah mengeluh hidup dalam serba kekurangan. Sudah banyak kali Mak Cik Sarimah meminta supaya Syahid mencari keluarga kandungnya yang lain namun anak muda itu masih berdegil. Baginya cukuplah hidup dengan keluarga Mak Cik Sarimah walaupun hidup serba kekurangan tetapi dia bahagia.
“Bila Syah nak pergi?” soal Mak Cik Sarimah lagi.
“Ni nak pergilah ni. Syah masuk dulu ibu nak tukar baju,” ucap Syahid lalu berlalu selepas melihat anggukan daripada Mak Cik Sarimah.
Mak Cik Sarimah membiarkan Syahid berlalu. Sementara itu dia mengambil alih tempat Syahid. Tidak sampai beberapa minit menunggu, tiba- tiba sebuah kereta Audi A4 berwarna merah berhenti di hadapan warungnya. Dahi Mak Cik Sarimah berkerut apabila melihat pemilik kereta tersebut keluar dan berjalan menghampirinya.
“Mak cik, I nak tanya sikit. Nak ke bandar Rompin macam mana?” soal gadis itu dengan suara yang kedengaran agak angkuh di telinga Mak Cik Sarimah.
Err...anak pergi terus. Sampai dekat simpang tu, anak belok ke kiri lepas tu terus je…” ujar Mak Cik Sarimah memberi tunjuk arah.
Gadis itu mengangguk. Lantas tanpa ucapan terima kasih dan salam, gadis itu terus melangkah masuk ke dalam kereta mewahnya tanpa menghiraukan Mak Cik Sarimah yang agak terkejut melihat perlakuan biadap gadis itu.
“Muka cantik tapi kurang ajar. Hai, apa nak jadi dengan perempuan zaman sekarang…” bebel Mak Cik Sarimah seorang diri. Dia menggelengkan kepalanya.
“Apa yang ibu bebelkan tu?” soal Syahid tiba- tiba mengejutkan Mak Cik Sarimah. Dia mengurut dadanya.
“Syah ni pun, terkejut ibu. Tadi ada perempuan berhenti tanya jalan kat ibu tapi bukan main sombong lagi dia dengan ibu. Bukan setakat salam, terima kasih pun dia tak cakap,” balas Mak Cik Sarimah sambil mencebikkan bibirnya.
Syahid hanya mengangkat bahu. Nak buat macam mana, perempuan zaman sekarang sudah luntur dengan sikap ketimurannya.
“Biasalah, ibu. Perempuan alaf baru. Ibu tak payah fikir sangatlah. Syah dah nak pergi ni,” ucap Syahid.
“Yalah,” balas Mak Cik Sarimah sambil melemparkan pandangan pada Syahid yang sudah mula melangkah naik ke atas motornya. Lambaian Syahid hanya dibalas dengan senyuman. Dia menghantar bayang Syahid sehingga anak angkatnya itu hilang dari pandangan.

MATA Syahid melilau mencari tempat untuk memarkir motornya sementara dia hendak ke farmasi untuk membeli ubat untuk ibunya. Sudah puas berpusing di sekitar bangunan kedai itu akhirnya matanya tertancap pada ruang parkir yang dikhaskan untuk tempat letak motorsikal. Lalu, dia mengarahkan motornya ke tempat tersebut.
Namun, belum sempat tayar motornya melangkah masuk ke ruang kuning itu tiba- tiba sebuah kereta Audi berwarna merah memotong motornya dan terus memarkir kereta mewahnya di kawasan tempat letak motor. Bulat mata Syahid melihat sikap kurang ajar pemandunya itu. Nasib baik dia sempat membrek motornya kalau tidak gerenti dia jatuh tersembam.
Dengan rasa geram, Syahid menghampiri kereta tersebut dengan motorsikalnya. Cermin kereta itu diketuk. Tidak sampai beberapa minit, cermin kereta yang di tinted hitam itu terbuka. Terjengul wajah gadis yang cantik jelita. Syahid terpana seketika namun jelingan gadis itu membuatkan Syahid tersedar.
“Kau apa hal?” tanya gadis itu dengan kasar. Wajahnya tidak menggambarkan rasa bersalah malah dengan bongkaknya dia menolak pintu kereta.
“Awak tanya saya apa hal? Awak tahu tak tempat yang awak parking ini tempat letak motor. Siapalah yang ajar awak parking kereta dalam petak parking untuk motor?” sinis Syahid geram. Harapkan muka je cantik macam Wawa Zainal tapi bahasa nauzubillah. Omel hati Syahid.
“Ada aku kisah ke ni parking motor ke parking kereta?”  gadis itu menyoal kembali dengan gaya angkuhnya.
Dia keluar daripada perut kereta. Cermin mata hitamnya dibetulkan sedikit. Wajah Syahid yang terlindung oleh helmet itu dipandang sekilas. Eeeuuu…budak selekeh rupanya yang tegur aku. Detik hatinya dengan bongkak.
“Awak memang tak kisah tapi saya kisah. Dalam banyak-banyak parking kenapa tempat motor ini jugak awak pilih? Kereta dah besar tapi sayang undang-undang jalan raya pun tak tahu. Kesian…” ejek Syahid berani.
Merah padam muka si gadis. Dia menguak rambutnya ke belakang. Cermin matanya ditanggalkan. Dia menentang wajah Syahid dengan berani. Kecil besar, kecil besar saja Syahid di matanya saat ini. Sekali aku tempeleng mamat ni, koma seminggu kang. Detik hatinya.
Syahid seakan terpaku melihat wajah sebenar gadis yang berada di hadapannya. Memang cantik malah cukup sempurna pada pandangan Syahid. Tiba- tiba saja hatinya terdetik sesuatu. Jantungnya mula berdetak saat membalas renungan anak mata bundar itu.
“Jangan menyibuk boleh tak? Kau pergilah parking tempat lain. Ikut suka hati akulah nak parking kat mana pun. Kalau aku kena saman, aku yang bayar. Bukan kau!” tingkah gadis itu lagi.
Sebaik saja mendengar suara gadis itu, berterbangan habis lamunan Syahid. Serta-merta wajah gadis cantik gadis itu kelihatan hodoh di mata Syahid. Agaknya minah ni tak pernah belajar cara menghormati orang dekat sekolah dulu. Desis hati Syahid geram. Dia mengetap bibir.
“Masalahnya majlis perbandaran dah letak tempat parking untuk motor itu dekat tempat awak parking kereta. Awak ni tak faham bahasa ke?!” marah Syahid lagi.
Bulat mata gadis itu mendengar bahasa Syahid. Dia merengus benci.
“Eh suka hati akulah. Kau boleh berambus cari tempat lain. Jangan nak melalak depan aku. Serabai!” balas gadis itu lagi lalu melangkah meninggalkan Syahid yang kelihatan bengang.
Syahid menahan sabar. Rasa mahu ditamparnya mulut gadis itu. Biar tahu adab sopannya sebagai seorang wanita. Ini tidak bahasa mengalahkan gangster, mengalahkan orang yang tak sekolah. Walaupun dia bukanlah seorang yang berpelajaran tinggi tapi dia masih tahu lagi beradap dengan orang lain.
“Oh, kau nak main kasar dengan aku, ya? Memanglah kau kaya, tapi setakat kaya harta je buat apa. Kalau budi bahasa berterabur. Tak apa, biar aku sekolahkan kau hari ni…” ucap Syahid dengan senyuman penuh makna.
Matanya meliar memandang lenggok gadis itu yang melangkah ke dalam bank. Sebelum matanya mencari pondok penguatkuasa bandar raya. Dia tersenyum apabila melihat penguatkuasa yang memakai baju biru gelap sedang duduk di pondok tidak jauh daripada tempatnya.
“Masa untuk balas dendam!” ucapnya dengan senyuman sinis.

LAILA melangkah keluar daripada bank setelah urusannya selesai. Dia merengus kerana terpaksa beratur panjang untuk mengambil duit di mesin ATM. Dahlah panas ditambah lagi dengan kesesakan ketika berada di dalam bank, makin membuatkan hati Laila bertambah panas. Dia melangkah menuju ke keretanya yang diparkir di hadapan bank.
Dahinya berkerut dan serta-merta wajahnya berubah apabila melihat tayar keretanya sudah dikunci dengan besi yang berwarna kuning. Terdapat notis saman daripada Majlis Perbandaran Rompin di atas keretanya.
“Argghh!” Laila menjerit geram. Tak sampai setengah jam dia memarkirkan kereta, sudah dapat surat saman?
Namun tiba-tiba matanya tertancap pada sehelai kertas yang diselitkan dicelah wiper keretanya.
“Harga kereta beribu-ribu boleh bayar, takkan saman tiga ratus ringgit tak boleh bayar. Buat malu je, muka cantik tapi perangai hampeh. Budi bahasa itu budaya kita!” Laila membaca ayat yang tertera di atas kertas kecil itu.
Sakit hatinya makin bertambah apabila dia mendengar suara ketawa daripada arah depan. Lelaki itu! Jerit hatinya. Lelaki selekeh tadi sedang mentertawakannya. Sempat lagi lelaki itu memberi lambaian sebelum memecut motornya dengan laju meninggalkan Laila yang sudah mula bengang.
“Tak guna punya jantan!” jerit Laila geram. Dia meramas-ramas kertas tersebut kemudian kertas itu dipijak-pijak seolah-olah muka lelaki itu yang dipijak.
“Kalau aku jumpa kau sekali lagi, siaplah kau aku kerjakan!” dengus Laila.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.