Tetamu Rindu

Wednesday 23 March 2016

Rebah Di Tirai Cinta ( Bab 3 )



TEPAT pukul satu pagi Laila sampai di rumahnya. Dia menghentikan keretanya di hadapan pintu pagar. Hon dibunyikan beberapa kali sebelum pintu pagar tersebut terbuka. Dia merengus marah.
“Kenapa lambat sangat nak buka pintu pagar, hah? Pak Man tidur ke?!” jerkah Laila pada Pak Man yang sudah berusia. Kelihatan lelaki itu terbatuk-batuk menghampiri kereta Laila.
“Pak Man terlelap tadi, nak. Maafkan Pak Man. Kenapa Laila balik lambat sangat ni?” Soal Pak Man lembut. Walaupun hatinya tergores dengan sikap kurang ajar Laila tetapi dia masih bersabar dengan kerenah anak majikannya ini.
“Jangan nak sibuk boleh tak? Suka hati sayalah nak balik pukul berapa pun. Pak Man buat kerja Pak Man sudahlah!” balas Laila lagi dengan lagak sombongnya.
Lalu tanpa menunggu balasan daripada Pak Man, Laila memecut keretanya menuju ke dalam garaj. Mulutnya terkumat-kamit membebel pada Pak Man yang dirasakan sibuk untuk menjaga tepi kainnya. Tak padan dengan pengawal keselamatan, asyik nak menyibuk saja kerjanya. Desis hati Laila.
Pak Man menundukkan wajah. Sungguh nyilu hatinya melihat sikap Laila yang agak bongkak dan kurang ajar. Semasa gadis itu masih kecil, dia selalu bermain dengan Laila malah Laila sungguh manja dengannya namun seiring masa bergerak dengan pantas, sikap Laila mula berubah apabila gadis itu meningkat dewasa. Gadis itu berubah menjadi seorang yang kasar dan berlagak dengan kuasa duit milik walednya.
“Maafkan abang, Ros…” desis Pak Man tiba-tiba sambil matanya memandang ke arah langit yang gelap.
Sementara itu, Laila membuka pintu rumahnya dengan penuh berhati-hati. Dia risau jikalau kepulangannya diketahui oleh Haji Azhar. Masak kalau Haji Azhar masih belum tidur, tentu berbakul-bakul dia dimarahi kerana balik lambat ke rumah.
Namun, saat dia menutup daun pintu tiba-tiba ruang tamu yang tadinya gelap bertukar menjadi terang-benderang. Laila tersentak. Gulppp.. Air liur ditelan.
“Laila dari mana? Jam kat tangan Laila tu dah rosak ke?” sinis soalan Haji Azhar membuatkan Laila berpaling. Dia hanya mampu mempamerkan sengihannya pada Haji Azhar yang berdiri di muka tangga.
“Laila tak pergi mana-mana. Laila cuma ronda-ronda bandar je…” jawab Laila.
“Jauh betul bandar yang Laila pergi sampai pukul satu baru nampak batang hidung…” sinis Haji Azhar lagi. Dia memandang penampilan Laila kemudian kepalanya tergeleng-geleng.
Kenapa susah sangat nak mendidik anak perempuan yang satu ini? Keras kepala betul. Sudah banyak kali dia menasihati gadis itu jangan terlampau menonjol dalam segi pemakaian namun gadis itu tetap ingkar arahannya. Jeans dan baju ketat juga yang menjadi pilihan Laila. Kadang-kadang Haji Azhar malu dengan jemaah masjid yang asyik mengata tentang anaknya itu.
“Satu lagi ni…siapa yang benarkan Laila keluar rumah tanpa pakai tudung ni?” soal Haji Azhar. Kali ini suaranya kedengaran tegang.
Laila menayang muka bosan. Bosan jika perkara yang sama asyik diperkatakan. Dia sudah besar, jadi biarlah dia menentukan masa depannya sendiri. Dia ingin bebas seperti gadis-gadis yang lain bukannya terkurung dengan setiap arahan Haji Azhar.
“Alah waled ni tak supporting betullah. Rimas tau pakai tudung. Serabut je…” jawab Laila berani. Dia merebahkan badannya di atas sofa. Rambutnya yang panjang dikuak ke belakang.
Melotot mata Haji Azhar mendengar kata-kata Laila. Serta-merta darah merah menyerbu ke mukanya. Dadanya berombak ganas. Dia memang pantang kalau orang meremehkan soal agama. Nanti dia juga yang akan dipertanggungjawabkan di padang masyar nanti.
“Rimas? Berani Laila cakap rimas. Hah, kalau berani sangat, waled nak Laila cakap macam tu depan Allah nanti. Berani ke?!” tempelak Haji Azhar. Masih cuba untuk bersabar dengan kerenah Laila yang nampak semakin kurang ajar.
Giliran Laila pula yang tersentak. Dia mendengus benci.
“Laila dah besarlah, waled. Laila boleh fikir sendiri mana yang baik dan mana yang buruk…”
“Laila rasa dengan pakai macam ni, baik sangatlah ya?” pintas Haji Azhar.
“Waled ni, bosanlah asyik cakap benda yang sama. Laila nak tidur…” balas Laila menghentikan bebelan Haji Azhar. Dia mencapai tas tangannya dan cuba untuk beredar namun Haji Azhar pantas menarik lengan Laila.
“Kenapa susah sangat Laila nak dengar cakap waled ni? Apa yang Laila nak semua waled bagi takkan perkara kecil macam ni Laila tak boleh nak ikut? Bukan waled yang mintak Laila tutup aurat ni tapi Allah. Hukum Allah jangan dibuat main, Laila. Buruk padahnya nanti. Cuba jadi anak yang mendengar kata, malu waled pada ayah kamu…” ucap Haji Azhar dengan suara yang kembali mengendur.
“Buat apa nak malu, waled kata ayah Laila dah mati jadi orang mati bukan tahu apa-apa…” balas Laila lantang.
“Laila!” suara Haji Azhar meninggi.
Memang Laila sudah sedia maklum yang dia hanya anak angkat kepada keluarga Haji Azhar. Malah Haji Azhar sendiri yang mengatakan ayah kandungnya sudah meninggal dunia sewaktu dia masih bayi lagi dan sehingga sekarang Haji Azhar yang menjaga Laila sehingga gadis itu menjadi seorang gadis yang cukup cantik dan jelita namun sayangnya budi bahasa gadis itu tidak secantik wajahnya. Itu yang membuatkan Haji Azhar terkilan namun dia sedar, harta, isteri dan anak-anak merupakan sebuah ujian yang dikirimkan oleh Allah untuk menguji sejauh mana keimanannya. Dia redha tentang itu.
“Tuan…” satu suara memanggilnya dari arah pintu membuatkan Haji Azhar tersentak kemudian dia berpaling.
Luluh hatinya saat melihat Pak Man berdiri di muka pintu utama. Dia melihat mata itu berair. Mungkin terasa dengan kata-kata Laila tadi. Haji Azhar menarik nafas panjang.
“Yang Pak Man menyibuk masuk rumah orang pagi-pagi ni kenapa?” Laila melepaskan kemarahannya kepada Pak Man.
“Laila, waled tak pernah ajar Laila kurang ajar dengan orang tua. Laila dah melampau!” jerkah Haji Azhar geram.
Laila mendengus. Dia menjeling benci.
“Waled dengan Pak Man sama je!” bentak Laila lalu berlari menuju ke tingkat atas untuk ke biliknya.
“Laila!” jerit Haji Azhar. Geram dengan sikap Laila yang kurang sopan.
Kemudian, Haji Azhar kembali memandang wajah Pak Man yang kelihatan muram. Lalu, perlahan-lahan dia menghampiri Pak Man. Bahu lelaki itu ditepuk lembut.
“Saya gagal, Man…” ucap Haji Azhar sambil menundukkan wajahnya.
Pak Man tersenyum nipis. Dia memegang bahu Haji Azhar kemudian dia meraih lelaki itu ke dalam pelukan. Belakang badan lelaki itu ditepuk dengan lembut.
“Ini bukan kegagalan, tuan. Ini hanyalah sebahagian daripada cubaan yang perlu tuan dan saya hadapi. Insya-Allah, waktu yang sukar pasti akan berakhir…” nasihat Pak Man sambil meleraikan pelukannya.
Haji Azhar mengagahkan bibirnya untuk mengukir senyuman. Ya, waktu sukar pasti akan berakhir. Bisik hatinya.

SYAHID memandang wajah Mak Cik Sarimah dengan penuh pengharapan. Walaupun dadanya berdebar-debar namun niatnya perlu diteruskan. Dia tahu Puan Watie akan menentang habis-habisan peminangan ini tapi Syahid tetap tekad, dia tidak kira apa pun rintangan dia akan sanggup harunginya jua semata-mata untuk mendapatkan orang yang dicintainya. Mungkin dengan peminangan ini Puan Watie akan dapat membuka mata yang dia bersungguh-sungguh untuk memperisterikan Suffiya bukannya setakat omong kosong.
“Ibu, betul ke apa yang kita buat ni? Syah tak salah ke masuk meminang Su ni, bu?” soal Syahid sewaktu ibunya sedang memakai tudung.
Mak Cik Sarimah berpaling dan tersenyum pada anaknya itu.
“Dah berbulan-bulan Syah kumpul duit untuk kahwin dengan Su jadi tak salah pun kalau Syah cuba masuk meminang. Ibu sokong apa saja yang anak ibu buat tapi semua risikonya, Syah kena tanggunglah…” balas Mak Cik Sarimah dengan lembut.
Syahid mengeluh. Risiko? Pinangan ditolak. Itulah risikonya nanti tetapi dia tetap cekalkan hati untuk meneruskan niatnya walaupun dia tahu hatinya akan terluka. Dia teringat pesan Muaz tempoh hari yang membuatkan dia tekad untuk menyunting Suffiya menjadi suri hidupnya.
“Kalau kau betul sayangkan Su kau masuklah meminang. Aku tahu mesti harta yang jadi halangan kau kan? Kau kena ingat, Syah. Allah dah menjanjikan rezeki bagi orang-orang yang ingin membina masjid ni. Perkahwinan ini satu yang mulia, mungkin jodoh kau dah sampai..” nasihat Muaz selepas dia diserang oleh Puan Watie dulu.
“Tapi macam mana pulak dengan mak Su tu? Dia confirm tak suka dekat aku. Tak ke menempah balanya kalau aku pergi meminang Su?” soal Syahid sambil matanya merenung laut yang terbentang luas. Tangannya mengetuk-ngetuk permukaan gitar yang dipinjamnya daripada Muaz.
“Siapa Puan Watie nak halang kalau dah jodoh kau dengan Su? Su suka pada kau, kau pun suka pada Su jadi apa masalahnya sekarang? Bila dah kahwin Su kena ikut kau bukan di bawah tanggungjawab Puan Watie lagi. Lagipun yang nak kahwin dengan kau itu Su, bukannya dia. Kalau Su sanggup susah dengan kau, kenapa dia nak sibuk pulak? Kau kena ingat, yang jadi wali untuk Su nanti bapak dia bukannya Puan Watie. Aku tengok Tuan Kamarul tu macam suka je dekat kau. Kira petanda baiklah ni…” ucap Muaz lagi dengan sengihan memanjang.
Syahid terangguk-angguk. Betul juga apa yang dikatakan oleh Muaz. Kalau Suffiya sanggup hidup senang dan susah dengannya, Puan Watie tidak boleh menghalang.
“Yang kau duk terangguk-angguk ni kenapa? Jomlah kita pergi..” ajakan Mak Cik Sarimah mengejutkan Syahid yang sedang termenung. Dia tersengih kemudian mereka berdua beredar untuk ke rumah Puan Watie.
Setelah sepuluh minit membonceng motorsikal Honda EX5 miliknya, akhirnya Syahid sampai di hadapan rumah Puan Watie. Namun, dahinya sedikit berkerut apabila melihat beberapa buah kereta mewah terpakrir di hadapan rumah Puan Watie.
“Ibu ada cakap dengan Puan Watie ke yang kita nak datang?” soal Syahid sambil memandang wajah ibunya yang sudah berkedut.
“Eh, tak ada pun. Ibu tak sempat nak bagitahu Puan Watie. Ibu terjah je ni…” balas Mak Cik Sarimah dengan sengihan melebar di bibirnya.
Syahid menepuk dahi. Namun, itu bukanlah masalah baginya. Perlahan-lahan dia menarik tangan ibunya untuk bertemu dengan Puan Watie tetapi saat kakinya melangkah ke anjung rumah, tiba-tiba hatinya terasa seperti ada yang tidak kena. Bunyi gelak tawa orang-orang yang berada di dalam rumah itu membuatkan hati Syahid semakin cuak.
“Kalau semua dah setuju, eloklah kita letak tarikhnya kan…”
Suara itu membuatkan Syahid tergamam di tempatnya berdiri. Tarikh apa? Soal hatinya. Dadanya mula berdebar-debar.
“Saya rasa bulan hadapan eloklah kita nikahkan budak berdua ni. Perkara yang baik eloklah dipercepatkan.” Kedengaran suara Puan Watie mencelah.
Duppp!
Jantung hati Syahid berdegup kencang. Budak berdua? Siapa? Setahunya, Suffiya anak tunggal kepada Tuan Kamarul dan Puan Watie. Jadi siapa yang hendak dikahwinkan ini? Soal hatinya.
“Saya pun rasa macam itu jugak. Muaz tu bukannya muda lagi, bulan depan dah masuk 28 umurnya jadi eloklah kita kahwinkan mereka cepat-cepat.”
Muaz?! Jerit hati Syahid. Takkan Muaz sanggup tikamnya daripada belakang? Tidak! Ini pasti salah faham!
“Syah, ibu rasa baik kita balik. Su pun dah dipinang orang. Kita dah terlambat. Berdosa kita meminang atas pinangan orang lain…” Mak Cik Sarimah bersuara. Dia menyentuh lembut lengan Syahid yang kelihatan terkedu.
Syahid tersentak. Dia memandang wajah Mak Cik Sarimah dengan pandangan sayu. Jika benar Muaz sahabat baiknya itu yang meminang Suffiya, dia perlu dapatkan penjelasan daripada lelaki itu sendiri. Dia inginkan kebenaran. Dia tidak suka hidup dalam tanda tanya.
“Tapi Syah kena dapat kepastian dulu, ibu. Syah…” kata-kata Syahid terhenti di situ apabila Puan Watie muncul di hadapannya. Kepalanya kembali tegak memandang wajah Puan Watie yang bersolek tebal.
“Hah, kau berdua nak apa dekat rumah aku ni?” soal Puan Watie dengan kasar sambil tangannya mencekak pinggang.
“Eh tak ada apa-apalah, puan. Saja singgah nak tanya khabar tapi nampak gayanya puan macam sibuk sangat je ni. Kami balik dululah…” ujar Mak Cik Sarimah sambil menarik tangan anaknya yang masih kaku di hadapan pintu.
“Tak, saya datang nak menyunting Su untuk jadi isteri saya!” tegas Syahid dengan berani.
Buntang biji mata Puan Watie memandang wajah Syahid yang kelihatan begitu yakin tetapi tanpa disangka-sangka dia ketawa malah ketawanya bersambung-sambung sambil matanya merenung Syahid daripada atas dan ke bawah.
“Kalau setakat bawak motor cabuk macam tu datang nak meminang anak aku, baik kau lupakan jelah. Kau tak layak langsung tak jadi menantu aku. Eh, cermin diri tu dulu sebelum masuk meminang anak dara orang. Kau nak anak aku makan pasir ke kalau kahwin dengan kau!” sinis Puan Watie sambil tersenyum dengan senyuman yang dibuat-buat.
“Rezeki bukannya dekat tangan mak cik tapi dekat Allah. Saya yakin saya boleh jaga anak mak cik dengan baik…” sambung Syahid lagi.
Kali ini Puan Watie ketawa besar. Rasa lucu pula dengan kata-kata Syahid. Budak mentah nak mengajarnya tentang agama. Huh, boleh jalanlah. Detik hatinya.
“Kalau setakat yakin je baik tak payahlah. Buang masa kau je. Kau ni aku nak cakap bodoh kan kau marah aku, dah terang-terang aku tak suka kau dekat anak aku tapi yang kau berlagak macam mat remeo ni kenapa? Kalau kau merayu sekali pun aku takkan terima pinangan kau. Anak aku dah nak dikahwinkan dengan anak Tok Ketua. Faham tak? Su dah nak kahwin dengan anak Tok Ketua. Muaz tu beratus kali lebih baik daripada kau!” ujar Puan Watie.
Syahid tersentak. Muaz anak Tok Ketua? Jadi betullah Muaz kawan baiknya itu yang datang meminang Suffiya? Ya Allah, sakitnya hati aku ni. Detik hati Syahid. Bagaikan ditores dengan pisau, hatinya terasa cukup sakit. Rasa lemah lututnya apabila kawan baiknya sendiri merampas orang yang dicintainya.
“Abang Indra…” panggil suara yang cukup lembut itu membuatkan Syahid mengalihkan pandangannya ke arah belakang Puan Watie.
Kelihatan Suffiya berdiri di muka pintu dengan baju kurung berwarna putih tersarung di badannya. Mata gadis itu kelihatan berkaca malah pipi gadis itu sudah basah dengan air mata.
“Maafkan Su, abang. Su terpaksa…” ucap Suffiya dengan linangan air mata.
Syahid tersenyum hambar. Tiada apa yang perlu diperkatakan lagi. Hatinya sudah remuk. Hasrat cintanya tidak kesampaian malah kebaikannya dikhianati oleh sahabatnya sendiri lalu Syahid mengundurkan langkah lalu berpaling.
“Jom ibu…” ajak Syahid membendung rasa sebak yang menampar-nampar dinding hatinya.
Namun, langkahnya terhenti apabila matanya bertentangan dengan anak mata milik Muaz. Dia memandang wajah lelaki itu dengan tajam.
“Aku tak sangka ini yang kau buat pada aku, Muaz. Sahabat baik aku sendiri tikam aku dari belakang…” sebaris ayat itu menikam hati Muaz. Wajahnya tegang. Dia menghampiri Syahid.
“Aku tak tahu menahu tentang ni, Syah. Ini semua rancangan ibu dan ayah aku. Aku tak pernah terniat pun nak rampas Su daripada kau. Aku tahu kau sayangkan dia takkan aku sanggup nak rampas buah hati kawan baik aku sendiri…” Muaz cuba menyakinkan Syahid.
Namun Syahid terlebih dahulu mengangkat tangan kanannya di hadapan wajah Muaz. Dia tidak mahu mendengar apa-apa pun penjelasan daripada Muaz. Inilah kali pertama dia rasa sakit hati malah hatinya sudah cukup terluka dengan pengkhianatan daripada Muaz. Orang yang selama ini dipercayainya.
“Tapi semuanya sudah terbuktikan. Aku harap kau bahagia dengan Su…” ucap Syahid dengan suara yang lirih.
Dia menarik tangan Mak Cik Sarimah yang hanya mendiamkan diri. Sungguh, dia tidak sanggup lagi dimalukan di hadapan orang kampung. Jika maruahnya direndah-rendahkan dia masih boleh bersabar tapi dia tidak mahu ibunya turut mendapat tempiasnya sekali. Biarlah dia seorang saja merasa sakitnya dihina dan dicaci oleh orang kampung tetapi dia tidak sanggup melihat air mata menitis daripada kelopak mata ibunya.
“Syah jangan macam ni. Aku tahu kau marahkan aku. Itu hak kau tapi percayalah aku Syah, aku tak tahu tentang hal ni…” rayu Muaz lagi sambil cuba memegang tangan Syahid.
Spontan Syahid merentap tangannya. Dia melompat ke atas motornya. Selepas Mak Cik Sarimah selamat duduk di belakangnya, Syahid menghidupkan enjin motornya. Dia berlalu membawa hatinya yang terluka. Terluka dengan sikap manusia yang kejam terhadapnya.
“Syah!!!” jerit Muaz.

SYAH, Syah nak pergi mana ni? Syah nak bawak ke mana pakaian Syah ni?” soal Mak Cik Sarimah agak cemas apabila melihat Syahid membimbit beg di tangan. Wajah anaknya itu kelihatan serius.
“Syah nak keluar dari kampung ni, ibu. Syah rasa dah tak boleh nak mengadap muka Muaz lagi. Syah tak sangka dia sanggup buat Syah macam ni. Dia tahu Syah sayangkan Su tapi ibu tengoklah apa yang dia buat,” balas Syahid sambil meneguk air masak yang terhidang di atas meja dengan rakus.
Mak Cik Sarimah mula tidak senang duduk. Dia menggosok belakang badan Syahid dengan lembut.
“Sabar, Syah. Kalau melarikan diri pun tetap takkan selesaikan masalah. Lagipun Syah nak ke mana nak?” soal Mak Cik Sarimah lembut memujuk.
“Syah dah fikir masak-masak, Syah nak berhijrah ke bandar. Syah nak cari kerja dekat sana. Syah nak ubah hidup kita, ibu. Syah tak nak orang lain pandang rendah lagi pada kita. Kita pun ada maruah ibu!” ujar Syahid penuh dengan semangat.
“Tapi Syah bukan kenal pun orang dekat bandar tu. Syah nak tinggal dekat mana?” Mak Cik Sarimah mula gelisah.
“Selagi ibu redha pada Syah selagi itulah Syah akan selamat lagipun Allah kan ada. Niat Syah nak cari rezeki yang halal dan Syah harap ibu tak halang niat Syah kali ini.” ucap Syahid sambil memegang kedua belah tangan ibunya.
Mak Cik Sarimah mengeluh berat. Besar harapan Syahid namun mampukah harapan itu menjadi realiti? Soal hati Mak Cik Sarimah.
“Ibu tetap risaukan Syah. Syah anak ibu takkan ibu nak tengok Syah sorang-sorang dekat sana…”
“Ibu jangan risau. Syah lelaki. Tahulah Syah jaga diri Syah nanti. Ibu jangan risau ya. Syah cuma perlukan doa dan restu daripada ibu. Mungkin bila Syah pergi jauh, Syah dapat lupakan Su. Syah dapat lupakan rasa sakit hati Syah ni.” balas Syahid. Dia mengetap bibir.
Sungguh, sampai sekarang dia masih belum dapat melupakan apa yang berlaku tempoh hari. Sukar untuk menerima kenyataan yang sahabat baiknya sendiri merampas buah hatinya dalam diam. Walaupun bertubi-tubi kata maaf yang dipohonkan oleh Muaz namun Syahid tetap beku. Hatinya sudah beku untuk menerima kata-kata maaf daripada orang yang telah mencarik-carik hati lelakinya.
“Tak baik berdendam, Syah. Ibu tak ajar Syah jadi seorang yang pendendam macam ni…” ujar Mak Cik Sarimah.
Syahid tersenyum nipis.
“Syah cuba maafkan mereka yang menyakiti hati Syah, ibu. Semoga Allah melembutkan hati Syah ni biarlah masa dan takdir yang menentukan segalanya. Syah pergi dulu ibu. Syah janji setiap minggu Syah akan balik kampung jenguk ibu. Lagipun, Kuantan dengan Rompin tu bukannya jauh sangat ibu.” Balas Syahid.
Mak Cik Sarimah melepaskan keluhan berat. Akhirnya dia menganggukkan kepala tanda merestui niat anaknya itu untuk berhijrah. Biarlah masa dan takdir yang menentu segalanya. Bisik hati tuanya.
Dia membuntuti langkah Syahid yang sudah siap memakai helmet. Beg yang berisi pakaian digalaskan di atas bahu. Mungkin inilah masanya. Selamat tinggal kampung. Selamat tinggal semuanya. Bisik hati Syahid lalu motornya meluncur laju membelah kesunyian petang itu.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.