Tetamu Rindu

Wednesday 23 March 2016

Rebah Di Tirai Cinta ( Prolog )



BUNYI tangisan anak kecil yang dikendong oleh Manan menyentakkan lamunan Azhar yang sedang menangis. Dengan pantas kepalanya didongakkan. Wajah Manan dipandang dengan air mata bercucuran.
“Tuan, janganlah tuan sedih. Mungkin tiada rezeki untuk tuan kali ini,” pujuk Manan sambil melabuhkan punggung di sebelah Azhar yang kelihatan begitu sedih.
Azhar meraup wajahnya yang kelesuan. Baru saja dia mendapat berita yang zuriat yang dinantikan selama ini akhirnya telah selamat bertemu Ilahi sebaik saja selamat dilahirkan oleh isterinya, Ruqayah. Sungguh, dia tertekan. Tertekan untuk mencari alasan yang boleh menyedapkan hati isterinya yang pengsan sebaik saja melahirkan anak mereka.
“Sudah masuk tiga kali Aya tidak dapat kendong bayi dia sendiri. Sudah dua kali saya tengok dia kecewa sebab tak dapat pegang darah dagingnya sendiri. Sedih hati saya bila terkenangkan Aya, Manan. Saya nak dia gembira, saya nak dia ceria dengan kehadiran anak kami tapi ternyata Allah lebih sayangkan anak saya,” luah Azhar tidak dengan teresak- esak.
Manan mengeluh panjang. Dia memandang wajah anaknya yang sedang culas tidur. Wajah bayi itu sangat polos dan setiap kali Manan memandang wajah kecil itu, dia tersenyum. Rasa ketenangan menyapa hatinya.
“Anak-anak ini amanah dan rezeki Allah untuk kita. Apabila Dia tidak mengizinkan kita menjaga amanah itu, tiada siapa yang dapat menghalang ataupun memaksa. Saya berdoa agar tuan memperolehi amanah itu…jangan pernah berhenti berusaha, tuan.” Ujar Manan sambil menepuk lembut bahu majikannya.
“Saya tahu itu, Manan. Tapi puan tak tahu. Puan sangka anaknya masih hidup. Apa yang perlu saya lakukan? Semangatnya tengah lemah sekarang dan saya yakin dia pasti mahu melihat anak yang dilahirkan saat matanya terbuka nanti,” ujar Azhar. Satu keluhan berat dilepaskan. Wajahnya yang kusut diraup beberapa kali.
Tumpah simpati Manan saat melihat majikannya yang bersedih. Apa yang dapat aku lakukan? Tuan Azhar terlalu banyak berjasa kepada aku, takkan tak ada satu pun yang aku boleh lakukan untuk dia? Soal hati Manan. Kemudian, matanya beralih pada wajah anak kecil yang nyenyak tidur. Mungkinkah ini satu pengorbanan?
“Kalau macam tu, tuan tunjukkanlah anak saya ni pada puan. Mana tahu dengan kehadiran anak ini, mampu buat puan ceria kembali…” ujar Manan tersenyum nipis.
Azhar tersentak. Lama dia memandang muka Manan yang kelihatan ikhlas. Terpancar sinar keikhlasan di wajahnya.
“Tapi dia anak awak, Manan…” bantah Azhar. Dia menolak lembut huluran Manan.
“Sampai mati pun dia tetap anak saya tetapi biarlah saya melihat dia dari kejauhan saja. Mungkin nasibnya lebih baik jika bersama dengan tuan…”
“Tapi macam mana dengan Ros?” soal Azhar lagi.
Manan hanya tersenyum.
“Dia akan mengerti suatu hari nanti…” ucap Manan sebelum menyerahkan bayinya kepada Azhar.
Walaupun masih ragu- ragu dengan kata-kata Manan, namun akhirnya Azhar menyambut huluran Manan dengan hati yang sangsi namun sebaik saja terpandangkan wajah anak kecil itu. Hati Azhar kembali tenang. Dia melihat sinar kebahagiaan dengan kehadiran bayi itu.

BUNYI dentuman yang kuat mengejutkan Sarimah daripada tidurnya. Dia bingkas duduk di atas tilam yang beralaskan lantai rumahnya. Dia memandang ke kiri dan kanan mencari arah bunyi dentuman yang kuat itu.
“Tolong!” satu suara menjerit meminta tolong kedengaran jelas di telinganya. Dengan pantas, Sarimah menggerakkan tubuh suaminya yang sedar lena tidur.
“Abang, bangunlah. Imah dengar orang mintak tolong,” ujar Sarimah sambil menggoncang bahu suaminya.
“Alah, awak ni. Bunyi kucinglah tu. Tidurlah, dah malam ni…” balas Rahim sambil menolak lembut tangan isterinya.
“Kucing apa mintak tolong macam tu. Abang, bangunlah sekejap. Tengok apa yang jadi dekat luar tu…” rengek Sarimah lagi.
“Tolong! Tolong!” sayup- sayup kedengaran suara itu meminta tolong.
“Hah, awak dengar tak tu?” soal Sarimah dengan hati yang berdenyut laju. Rasa seram sejuk pula malam ini. Bisik hatinya.
Sebaik saja mendengar suara jeritan itu, sepantas kilat Rahim bingkas bangun. Dia membetulkan kain pelekat yang dipakainya.
“Jom ikut saya,” ajak Rahim. Sarimah hanya mengangguk.
Mereka berdua bangun dan menuju ke luar rumah. Alangkah terkejutnya mereka saat melihat sebuah kereta melanggar tiang lampu di seberang jalan rumahnya. Kereta itu remuk di bahagian hadapan dan kelihatan asap berkepul-kepul keluar daripada enjin kereta.
“Ya Allah, abang! Cepat selamatkan orang tu!” jerit Sarimah lalu berlari ke arah kereta yang tidak tahu jenama itu.
Rahim turut bergegas ke tempat kejadian. Dia menjenguk ke tempat duduk pemandu manakala Sarimah meninjau ke tempat duduk sebelah penumpang. Kelihatan seorang lelaki dan wanita berada di dalam kereta tersebut.
“Abang, ada darah!” ucap Sarimah sambil menarik tangan seorang perempuan yang sudah terkulai layu.
“Ya Allah, ini kes berat ni, Imah. Cepat mintak pertolongan!” ucap Rahim turut cemas.
Sarimah mengangguk. Lalu, dia berlari sekuat mungkin untuk meminta pertolongan. Dengan kawasan yang hanya diterangi oleh cahaya bulan, mereka tidak dapat melihat dengan jelas apa yang berlaku di hadapan mata cuma dalam fikiran mereka adalah nyawa kedua insan yang tidak bersalah itu.
Sementara menunggu Sarimah meminta pertolongan, Rahim cuba membuka pintu tempat duduk sebelah pemandu. Dengan tenaganya yang masih bersisa, dia dapat menarik pintu kereta yang sudah terkopak. Cermin kereta itu pecah berderai.
Saat pintu itu sudah terkopak, dia melihat seorang lelaki dengan nafas yang tersekat- sekat cuba berkata sesuatu kepadanya. Dia cuba menarik tangan lelaki tersebut namun genggaman tangan lelaki itu menghentikan perbuatannya.
“Biarlah saya pergi…sela…selamat..kan..aaa..nakk…saya..” suara itu tersekat-sekat.
Rahim kebingungan. Dia melilau-lilau mencari kelibat budak yang dimaksudkan oleh lelaki tersebut namun hampa, tiada seorang budak pun yang kelihatan di tempat duduk belakang.
“Mana anak awak?” soal Rahim cemas.
Namun, tiada jawapan yang diperolehi. Lelaki itu diam membisu membuatkan Rahim bertambah takut. Dalam keadaan seperti ini, dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Namun, tiba- tiba matanya tertancap pada sesuatu yang terbaring di atas tanah.
Dia mendekati objek itu. Hampir buntang biji matanya saat melihat sekujur tubuh kaku tidak bergerak di atas tanah. Tubuh itu tercampak kira- kira lima meter dari tempat kereta itu terbabas. Memang sah, inilah anak lelaki itu! jerit hati Rahim. Jari diletakkan di hidung budak lelaki itu dan ternyata, budak itu masih bernyawa!
Budak yang berumur dalam lingkungan tiga tahun itu dipangku dan dicempung. Sewaktu Rahim ingin membawa tubuh budak itu ke arah kereta, tiba- tiba telinganya menangkap bunyi desiran yang aneh.
Tidak sempat untuk Rahim mengatur langkah, tiba-tiba…
Dummm!!
 Kereta itu meletup dengan sendirinya membuatkan Rahim terpaksa meniarap di atas tanah bagi mengelak terkena percikan api.
“Allahuakbar!” laung Rahim saat matanya melihat api yang menjulang tinggi. Kedua pasangan suami isteri itu tidak dapat diselamatkan. Pastinya jasad mereka berdua rentung dalam kebakaran itu.
Buat seketika Rahim terkedu dengan apa yang terjadi. Hanya matanya saja memandang api yang semakin marak menjilat setiap inci kereta itu sebelum matanya jatuh pada wajah budak kecil yang pengsan tidak sedarkan diri. Apa akan jadi pada anak ini? Soal hatinya.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.