Tetamu Rindu

Wednesday 23 March 2016

Rebah Di Tirai Cinta ( Bab 4 )



KENAPA mak buat Muaz macam ni? Kenapa mak pinangkan Su tanpa pengetahuan Muaz? Nasib baik adik yang bagitahu kalau tak sampai mati pun Muaz tak tahu yang mak pinangkan Su untuk Muaz,” keluh Muaz sambil merenung wajah orang tuanya yang kelihatan serba salah.
Haji Muin dan Hajah Haniza berpandangan sesama sendiri. Terpancar riak keresahan di wajah mereka.
“Mak ingatkan kamu suka pada Su jadi kami putuskan untuk masuk meminang dia untuk kamu. Selama ini mak tengok kamu tu rapat je dengan Su jadi mak pinanglah dia untuk kamu,” jawab Hajah Haniza sambil memandang suaminya yang hanya menganggukkan kepala.
Muaz mengeluh panjang. Wajahnya yang lesu diraup dengan kedua belah tapak tangan. Dia cukup tertekan dengan apa yang berlaku. Disebabkan peminangan ini hubungan persahabatan antara dia dan Syahid musnah dalam sekelip mata. Apa yang nyata Syahid sudah meninggalkan kampung ini tanpa sempat dia menjelaskan perkara yang sebenarnya. Hatinya cukup terkilan kerana telah kehilangan satu-satunya sahabat baik.
“Muaz tak pernah sukakan Su, mak. Muaz dah anggap Su tu macam adik Muaz sendiri. Su cintakan Syah. Su sayangkan Syahid bukan Muaz, mak, ayah. Syahid tu kawan Muaz. Takkan Muaz tergamak nak rampas buah hati kawan Muaz sendiri. Mak tahu tak bertapa susah payahnya Syahid tu kumpul duit semata-mata nak meminang Su tapi mak tengok apa yang jadi sekarang. Syahid dah tinggalkan kampung. Dia marah pada Muaz dan Muaz langsung tak sempat nak mintak maaf pun pada dia. Mak dan ayah tentu sukakan tengok Muaz dan Syahid bergaduh macam ni. Kalau mak dan ayah nak berbesan sangat dengan orang kaya tu, mak dan ayah carilah anak lain. Muaz tak nak kahwin!” tegas Muaz.
Haji Muin dan Hajah Haniza terpempan. Lama dia menatap wajah Muaz. Sungguh mereka tidak tahu tentang perkara Syahid dan Suffiya selama ini mereka ingatkan Muaz suka pada Suffiya. Kesempatan itu diambil oleh Puan Watie memujuk Hajah Haniza supaya menyatukan Muaz dan Suffiya.
“Muaz, ayah mintak maaf dengan apa yang berlaku ni. Ayah tak tahu apa yang berlaku tetapi tarikh pernikahan kau dan Su dah ditetapkan. Takkan kita nak batalkan. Malulah pada keluarga Su nanti. Takkan Muaz nak tengok Su dapat malu,” Haji Muin bersuara.
“Muaz ni yang dah malu pada keluarga Syah, ayah. Muaz beria-ia pujuk Syah supaya masuk meminang Su tapi tengoklah apa yang jadi. Muaz malu pada diri sendiri, ayah. Muaz malu sebab dah kecewakan kawan Muaz sendiri. Kalau mak dan ayah nak teruskan perkahwinan ni…teruskanlah tapi….” Muaz menghentikan percakapannya. Dia menelan air liur.
“Tapi apa Muaz?” soal Hajah Haniza tidak sabar.
“Pastikan bukan Muaz pengantinnya,” ucap Muaz selamba. Kemudian dia bangun dan berlalu meninggalkan mak dan ayahnya yang terkejut dengan ucapannya.
“Muaz! Muaz!” panggilan daripada Hajah Haniza tidak langsung diendahkan oleh Muaz.

LAMA mata Syahid menatap Masjid Sultan Haji Ahmad Shah yang indah tersergam di hadapan mata. Jam sudah menunjukkan pukul 10 malam sedangkan dia sudah tiada arah tujuan. Hendak bermalam di hotel, dia perlu berjimat memandangkan duit simpanannya tidaklah sebanyak mana jika dia mahu meneruskan kehidupan di bandar Kuantan ini. Untung nasib dirinya masih belum diketahui.
Keputusan yang diambil adalah untuk mengubati hatinya yang sakit. Tetapi untuk menyesali segala keputusan yang dibuat, memang tidak akan dilakukan. Lalu, perlahan-lahan Syahid melangkah ke ruangan solat bahagian lelaki. Dia ingin menunaikan Solat Isyak sementara masih terdaya. Mungkin hari ini dia akan bermalam di masjid. Itulah rancangannya.
Setelah selesai mengambil wuduk, Syahid melangkah ke ruang solat. Sempat lagi dia tersenyum pada seorang lelaki yang duduk di sebelahnya. Lelaki yang sudah berusia itu turut tersenyum padanya.
Selesai bersolat, Syahid duduk berteleku di atas sejadah mengadapkan wajahnya ke arah kiblat. Satu keluhan dilepaskan sebelum tangannya ditadah.
“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Haq, hamba-Mu ini memohon keampunan dan perlindungan di bawah nama-nama-Mu yang suci. Lindungilah aku dan berkatilah keputusan yang telah aku lakukan. Sesungguhnya tiada tempat yang boleh ku tuju di bandar ini selain rumah-Mu ini. Kurniakan aku kesabaran untuk menghadapi segala cabaran yang telah Kau sediakan untuk hamba-Mu ini. Ya Allah, berikan aku pekerjaan yang baik, berikan aku kehidupan yang baik dan berikan rahmat-Mu untukku dan keluargaku. Jauhkan kami dari api neraka,” ucap Syahid seolah-olah berbisik. Dia meraup wajahnya setelah selesai berdoa.
Ini baru permulaan. Bisik hati Syahid.
“Anak ni baru datang ke sini ke?” tegur satu suara mengejutkan Syahid yang sedang leka merenung masa depannya. Dia menoleh ke sisi. Kelihatan seorang lelaki berusia sedang tersenyum manis. Dia membalas senyuman itu dengan seikhlasnya.
“Macam mana pak cik boleh cam?” soal Syahid sambil membetulkan duduknya.
Lelaki tersebut tersenyum nipis. Dia menggosok janggutnya yang sudah memutih manakala kopiah putih yang tersarung di atas kepalanya dibetulkan sedikit.
“Tiap-tiap hari pak cik datang ke sini jadi pak cik dah cam jemaah yang baru atau yang lama. Kenapa anak tak balik lagi? Dah pukul berapa ni. Atau anak ni nak lepak-lepak dekat bandar dulu,” soal lelaki itu lagi dengan ramah.
Syahid ketawa kecil. Nak lepak apanya? Tempat lepak pun tak ada. Bisik hati Syahid lagi.
“Kenapa anak ketawa?” soal lelaki itu.
“Saya ni baru datang dari Rompin. Kiranya saya ni musafirlah. Setakat ini saya tak ada tempat lagi nak dituju jadi saya singgah masjid ini dulu. Mencari ketenangan. Err…saya Indra Syahid…pak cik?” soal Syahid teragak-agak. Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan lelaki itu.
“Panggil pak cik ni Pak Cik Har je. Syahid ni lari dari rumah ke?” soal Pak Cik Har kemudiannya. Salam Syahid disambut.
Dengan pantas Syahid menggelengkan kepala.
“Eh taklah, pak cik. Syah cuma berhijrah je dari kampung datang ke bandar ni. Nak cari pengalaman hidup yang baru…” balas Syahid tersengih-sengih.
“Takkan tak ada kawan-kawan yang boleh tolong?” Pak Cik Har kembali menyoal.
Err…tak ada, pak cik. Saya ingat esok saya nak cari kerja,”
“Habis tu kamu nak bermalam di mana?” soal Pak Cik Har lagi.
“Dekat masjid nilah, pak cik. Tak salah kan?”
Pak Cik Har terdiam. Lama dia memandang wajah Syahid yang bersih.
“Kamu belajar sampai mana?” soal Pak Cik Har lagi.
“Hah?” Syahid mula kehairanan. Ini temuduga kerja ke? Bisik hatinya.
“Saya belajar sampai STPM je. Tak sempat nak sambung…” balas Syahid jujur.
“Kenapa?”
“Saya kena beri peluang untuk adik-adik saya sambung belajar. Kalau saya sambung maknanya kos yang perlu ibu saya tanggung lebih tinggi lagipun saya bukan orang yang senang,” tanpa sedar Syahid telah menceritakan kisah hidupnya pada Pak Cik Har yang kelihatan tekun mendengar.
“Kamu pandai memandu?” soal Pak Cik Har tiba-tiba.
Err..pandai. Tapi tak ada lesen,” balas Syahid.
Kesempitan hidup membuatkan dia tidak berpeluang untuk mengambil lesen kereta. Setakat memandu kereta milik Muaz itu memang dia pandai tetapi hanya di dalam kampung saja. Nasib baiklah Muaz ada mengajarnya memandu, jika tidak sampai sekarang dia masih buta tentang kereta. Tiba- tiba saja Syahid teringatkan Muaz. Hatinya sakit tiba-tiba.
Hmmm…apa kata kalau kamu ikut pak cik balik rumah? Kita boleh bersembang lebih panjang,” Pak Cik Har memberi cadangan.
Syahid tersentak. Bayangan wajah Muaz terbang melayang dibawa angina diganti dengan wajah Pak Cik Har yang mengharapkan jawapan daripadanya.
“Pak cik tak takut ke kalau-kalau saya ni orang jahat?” soal Syahid menguji.
Pak Cik Har ketawa kuat. Dia menepuk-nepuk bahu Syahid dengan lembut.
“Ada ke orang jahat datang pukul 10 malam dalam masjid ni semata-mata nak sembahyang?” persoalan daripada Pak Cik Har membuatkan Syahid tersengih.
“Sudah tak payah nak berdalih. Jom temankan pak cik minum.” Ajak Pak Cik Har lagi.
Syahid jadi serba salah. Perlukah dia mengikuti pak cik ni? Kenal pun tak takkan nak ikut senang macam tu je. Buatnya dia ni ketua sindiket, ketua mafia ke. Matilah aku. Monolog Syahid dalam hati.
Pak Cik Har sudah pun mula mengorak langkah untuk keluar namun langkahnya terhenti apabila terlihat Syahid masih lagi termenung di atas sejadah. Anak muda itu kelihatan keberatan untuk mengikutinya. Akhirnya, Pak Cik Har tersenyum nipis. Syahid dihampiri dan bahu lelaki itu ditepuk lembut.
“Jangan takut pak cik takkan jual kamu dekat bapak ayam. Nama pak cik, Haji Azhar bin Zainal Abidin. Pak cik ni salah seorang AJK masjid ni. Pak cik cuma nak berkenalan dengan kamu manalah tahu kalau-kalau pak cik boleh tolong selesaikan masalah kamu. Anggap sajalah pertemuan kita ni Allah yang rancang,” ujar Pak Cik Har cuba menyakinkan Syahid.
Syahid mendongak memandang wajah Pak Cik Har yang bersih. Dia tersengih malu. Malu kerana memikir perkara yang bukan-bukan sedangkan niat Pak Cik Har baik untuk membantunya.
“Tolonglah orang yang memerlukan pertolongan, maka Allah akan menolong kita. Pak cik teringatkan sabda Rasulullah s.a.w. Allah akan menolong seorang hamba selagi hamba tersebut menolong sesamanya. Baginda juga bersabda, siapa yang menolong saudaranya yang memerlukan maka Allah akan menolongnya. Jadi pak cik tak nak terlepas daripada ditolong oleh Allah nanti,” sambung Pak Cik Har lagi dengan senyuman manis.
Syahid turut tersenyum. Lantas dia bangun dan membuntuti langkah Pak Cik Har. Mungkin betul kata Pak Cik Har, pertemuan mereka malam ini memang sudah dirancangkan oleh Yang Maha Kuasa.

INILAH pondok buruk pak cik, Syah…” Pak Cik Har menunjukkan rumah banglo tiga tingkat miliknya kepada Syahid yang kelihatan tercengang di hadapan pintu masuk.
Pondok buruk? Syahid menelan air liur. Buruk apa ke bendanya? Besar gila rumah pak cik ni! jerit hati Syahid teruja.
“Jomlah masuk. Nanti pak cik kenalkan dengan anak pak cik. Pak cik ni tinggal berdua je dengan anak pak cik. Isteri pak cik dah meninggal dunia. Anak pak cik pun ada sorang je. Itu pun perempuan,” Pak Cik Har mula bercerita dengan senyuman yang tidak pernah lekang daripada bibirnya.
Syahid hanya mendengar. Namun tiba-tiba matanya tertangkap kelibat seorang lelaki tua sedang menuju ke arah mereka berdua.
“Siapa tu, pak cik?” soal Syahid ingin tahu.
Pak Cik Har menoleh pada lelaki tersebut. Dia menggamit tangannya pada lelaki tersebut sebelum lelaki itu berjalan ke arah mereka.
“Itulah sahabat, teman dan pekerja pak cik. Syah boleh panggil dia Pak Man je. Dia pengawal keselamatan rumah ni tapi bagi pak cik dia tak ubah seperti keluarga pak cik sendiri,” balas Pak Cik Har.
Syahid mengangguk. Dia memerhati wajah Pak Man yang kelihatan tenang. Wajah itu sungguh bersih dan kelihatan bercahaya pada pandangan Syahid. Lantas, salam dihulurkan. Dia menundukkan wajah untuk mencium tangan lelaki tersebut. Hatinya tersentuh apabila Pak Man menggosok lembut kepalanya.
“Assalamualaikum, siapa ni tuan?” soal Pak Man lembut sambil matanya tidak lepas memandang wajah anak muda yang kelihatan asing pada pandangannya.
“Waalaikummusalam, ini Indra Syahid. Man boleh panggil dia Syah je. Saya jumpa dia dekat masjid. Kesian sangat tengok duduk sorang-sorang dalam masjid tu jadi saya jemput dia datang ke rumah. Anak bertuah saya tu mana?” Soal Pak Cik Har sambil memandang ke arah garaj yang kosong.
Pak Man serba salah. Dia mengetap bibir.
“Dia tak ada dekat rumah, tuan. Tak balik lagi. Entah ke mana dia pergi. Dah puas saya halang tapi dia tetap degil nak keluar,” ujar Pak Man dengan suara yang lirih.
Pak Cik Har mengeluh berat. Susah betul nak membentuk anak daranya yang seorang itu. Agak-agaknya apa yang perlu dilakukan agar gadis itu berubah?
Syahid pula hanya mendiamkan diri. Sedikit pun dia tidak menyampuk perbualan antara Pak Cik Har dan Pak Man. Biarlah, mungkin urusan keluarga mereka tak baik menyibuk. Desis hati Syahid. Matanya diliarkan ke arah halaman rumah Pak Cik Har yang besar. Banglo di Bukit Istana siapa tidak kenal dengan kemewahannya? Hanya orang yang betul-betul kaya saja yang boleh tinggal di kawasan ini. Hati Syahid benar-benar teruja.
“Syah..Syah…” panggilan daripada Pak Cik Har menyentakkan lamunan Syahid. Dia berpaling pada Pak Cik Har dan Pak Man yang tersenyum simpul. Syahid tersengih malu.
“Jomlah masuk dalam rumah. Nanti pak cik tunjukkan bilik. Malam ni bolehlah Syah bermalam dekat rumah pak cik. Esok pak cik bawak Syah ke restoran…” ujar Pak Cik Har membuat keputusan.
“Restoran?” dahi Syahid berlapis.
Pak Cik Har tersenyum lagi. Dia tahu pasti Syahid kebingungan.
“Syah kata nak kerja. Esok pak cik bawa Syah kerja. Nak tak?” soal Pak Cik Har.
Syahid terpempan. Bulat matanya memandang wajah Pak Cik Har yang menganggukkan kepala. Aku tak salah dengar ke ni? Aku dah dapat kerja?
“Eh mestilah nak, pak cik. Tapi…” suara Syahid terhenti. Dia kelihatan gelisah.
“Tapi kenapa, Syah?”
“Saya seganlah nak tinggal dalam rumah pak cik. Nanti anak perempuan pak cik balik, macam mana pulak? Pak cik bagilah saya tidur kat pondok jaga pun saya dah okey…” balas Syahid teragak-agak.
Entah mengapa dia terasa terlalu banyak berhutang budi dengan Pak Cik Har. Dia tidak mahu nanti kerana budi, tergadai body.
“Takkanlah pak cik nak biarkan Syah tidur dekat pondok jaga pulak. Syah kan tetamu pak cik. Jadi tetamu kenalah dilayan dengan baik…”
“Tapi saya segan. Saya dah banyak menyusahkan pak cik,” ucap Syahid sambil kepalanya ditundukkan.
“Susah apanya, Syah? Tak ada yang susah pun. Baiklah kalau Syah tak nak tinggal dengan pak cik, Syah boleh tinggal dengan Pak Man. Rumah Pak Man ada dekat belakang rumah pak cik ni,” ujar Pak Cik Har memberi cadangan.
“Hah, cantik jugak idea tu. Lagipun Pak Man sorang je tinggal dalam rumah tu. Bolehlah Syah temankan Pak Man,” Pak Man menyampuk.
Syahid mula serba salah. Nak menolak rasa tak sampai hati pula apabila melihat kesungguhan Pak Cik Har dan Pak Man. Akhirnya, Syahid menganggukkan kepala.
“Kalau macam tu Syah tinggal dengan Pak Man jelah buat sementara waktu ni,” ujar Syahid.
Pak Cik Har dan Pak Man berpandangan. Mereka tersenyum puas.

LAILA melangkah masuk ke dalam Restoran Al-Azhar lalu duduk sambil menyilang kakinya. Matanya melilau mencari pelayan restoran untuk memesan makanan.
Oii, kau tak nampak ke aku dekat sini? Bila nak ambik odernya?” jerit Laila kasar pada seorang pelayan wanita yang kebetulan lalu di situ.
Gadis itu mengeluh panjang. Wajahnya cuak apabila melihat wajah Laila yang garang. Lantas dengan perlahan-lahan dia mengorak langkah menuju ke arah Laila.
“Kau ni kerja ke makan gaji, hah?!” soal Laila lagi sambil merampas buku menu daripada tangan Sabrina.
“Maafkan saya, cik. Saya baru sampai…” jawab Sabrina tergagap-gagap.
“Alasan tak logik. Pergi ambilkan aku roti mulawah dan oqda lamb. Aku nak makan, sekarang!” bentak Laila sambil menyuruh Sabrina pergi.
“Tapi cik roti mulawah tak siap lagi…”
“Tak siap? Korang ni pandai buat kerja ke tak?!” jerit Laila lagi. Terjengil matanya memandang Sabrina. Orang tengah lapar, banyak pula alasannya. Bentak hatinya.
“Cik, sekarang baru pukul 10, kedai bukak pukul 12 jadi banyak makanan yang tak siap lagi…” terang Sabrina.
“Itu masalah aku ke?” soal Laila mendatar.
Sabrina terdiam. Rasa ingin menangis pun ada dengan perangai Laila yang garang tak bertempat ini.
“Aku tanya itu masalah aku ke?!” seperti halilintar suara Laila menyentakkan lamunan Sabrina. Terhinjut bahunya mendengar tengkingan Laila yang kuat. Air matanya gugur.
Manakala, Syahid mengintai kejadian tersebut di sebalik pintu dapur. Kesian pula dia melihat wajah Sabrina yang keruh kerana terpaksa menahan makian dan amarah seorang pelanggan restoran mereka. Naik gerun juga dia melihat wajah pelanggannya yang merah kerana menahan marah itu. Tapi memang betul juga kata Sabrina, kedai beroperasi pukul 12 tengah hari kenapa pelanggan yang seorang ini datang awal sangat? Detik hatinya.
“Apa yang kau intaikan tu, Syah?” soal Harraz yang muncul daripada belakang.
“Tu hah, kesian Rina kena marah dengan customer..” jawab Syahid sambil memuncungkan bibirnya pada Sabrina dan gadis yang berwajah garang itu.
Harraz terdiam. Lama dia merenung kedua gadis yang sedang bertegang urat itu. Timbul simpatinya melihat wajah Sabrina yang sudah basah dengan air mata.
“Perempuan tu memang suka cari pasal dengan kita. Dia ingat dia kaya, dia bagus sangat agaknya. Aku dah lama angin dengan perempuan tu cuma aku tak berani je nak serang…semua pelayan kat sini dah serik nak layan dia tu…” terang Haraz.
Syahid mendengar dengan teliti. Terbayang wajah Puan Watie yang bongkak di ruang mata. Segala herdikan, hinaan dan tohmahan daripada wanita itu terngiang-ngiang di telinganya sehingga membuatkan dada Syahid berombak ganas. Serta-merta gadis yang berwajah garang itu bertukar menjadi Puan Watie di mata Syahid.
Lalu, Syahid melangkah menuju ke arah Sabrina dan gadis itu.
“Syah, Syah…kau nak ke mana tu?” panggil Harraz.
Syahid tidak mempedulikan panggilan daripada Harraz. Langkahnya terus dihayunkan ke arah Sabrina. Dia berdiri di sebelah Sabrina yang sudah mula menangis.
“Boleh saya bantu?” soal Syahid dengan senyuman manis.
Laila mengalihkan pandangan. Matanya terpaku pada seorang jejaka yang memakai pakaian yang sama dengan Sabrina. Lama dia menatap wajah kuning langsat itu. Senyuman di bibir lelaki itu menenangkan hatinya yang kepanasan.
“Kau pekerja baru ke?” soal Laila selamba.
“Ya. Cik ada masalah ke?” soal Syahid masih lagi lembut padahal dalam hati berdongkol dengan rasa marah. Dia cukup tak suka dengan perempuan yang kurang ajar. Sepatutnya sebagai wanita yang dijadikan dengan sifat yang lemah lembut, gadis di hadapannya ini seharusnya bersikap lebih sopan dengan orang lain.
“Aku nak roti mulawah dan oqda lamb. Boleh buat tak?” tanya wanita itu sedikit kasar.
Mak kau bahasa minah ni, kasar bukan main. Tak apa, tak apa, kau nak roti ya? Tunggu sekejap. Detik hatinya dengan senyuman penuh makna terzahir di bibirnya yang merah.
“Eh, kenapa tak bolehnya? Boleh sangat…”
“Tapi Syah…roti tak….” Sabrina ingin mengatakan sesuatu.
Syhhh…” Syahid meletakkan jari telunjuknya di bibir meminta supaya Sabrina diam.
“Cik duduk dulu. Nanti saya pergi ambilkan roti ya…” ucap Syahid lantas berlalu ke dapur.
Laila hanya menurut. Dia duduk sambil menunggu Syahid mengambil makanan untuknya. Sekali sekala dia menjeling jam di tangan. Masa sudah berlalu selama lima minit namun kelibat Syahid tidak kelihatan. Dia mendengus marah.
Namun tidak lama kemudian, kelihatan Syahid kembali dengan senyuman. Tangannya disorokkan ke belakang dan itu yang membuatkan Laila dilanda tanda tanya. Mana roti yang aku nak? Soal hatinya.
“Mana makanan aku? Aku tak ada masa nak bergurau dengan kau sekarang ni!” marah Laila agak kasar.
“Siapa cakap saya bergurau? Saya bawak roti yang cik pesanlah ni…” ujar Syahid menghampiri Laila.
“Mananya?” soal Laila dengan dahi yang berkerut.
“Ini dia!” jawab Syahid.
Lalu, tanpa disangka-sangka sebungkus tepung gandum dicurahkan ke kepala Laila!
Laila tergamam. Bulat matanya melihat debu-debu tepung itu memenuhi kepala dan badannya. Dadanya mula berombak dan amarahnya semakin memuncak.
Hey, what the hell!!” jerit Laila lantas berdiri.
Syahid menepuk-nepuk tangannya. Dia tersenyum melihat wajah Laila yang cemberut. Merah padam wajah itu menahan rasa marah.
“Kan pelayan tadi dah cakap yang roti mulawah tak siap lagi. Kenapa cik ni kurang ajar sangat? Cik ni tak ada belajar sivik ke dekat sekolah? Atau cik nak saya tolong ajarkan? Sekalipun cik ni kaya tapi takkan tak boleh hormat kita orang yang tak berapa nak kaya ni? Kalau cik nak sangat makan roti mulawah tu, apa kata cik uli sendiri dengan tepung yang ada atas kepala cik tu…lagi cepat siap….” Perli Syahid kemudian berlalu ke dapur dengan ketawa yang kuat.
Laila mendengus marah. Dia menghentak-hentak kakinya.
Arggghhh…kau jangan nak cari pasal dengan aku. Buruk padahnya!! Aku akan pastikan hari ni hari terakhir kau kerja dekat sini!!” jerit Laila pada Syahid yang berjalan tanpa sedikit pun menoleh kepadanya.
“Rezeki di tangan Allah bukan di tangan manusia!” jerit Syahid selamba.
Arghhhh!! Waled!!” jerit Laila dengan perasaan geram.
Tanpa mereka sendiri, Haji Azhar tersenyum melihat insiden tersebut. Kali pertama ada orang yang berani melawan Laila. Tak sangka orang itu adalah Syahid. Betul-betul berani mati anak muda itu. Dia hanya mampu menggelengkan kepala melihat wajah Laila yang terkulat-kulat.
Sementara itu, Syahid ketawa berdekah-dekah dengan kawan-kawannya yang lain di bahagian dapur cuma Harraz saja yang mendiamkan diri. Syahid pelik.
“Kenapa dengan kau ni Raz? Tadi bukan main lagi kau setuju aku kenakan minah yang perasan bagus tu, alih-alih muka kau sedih ni kenapa?” soal Syahid pelik.
“Aku tumpang sedih untuk kau…” ucap Harraz dengan suara yang sayu.
Dahi Syahid berlapis.
“Kenapa tumpang sedih untuk aku pulak?” soal Syahid sambil memandang wajah Harraz, Sabrina dan Ali satu persatu.
“Alamak, aku lupa nak cakap kau sesuatu…” Sabrina menyampuk sambil menepuk dahinya. Lagaknya seperti benar-benar terlupa.
“Lupa apa Rina?” Soal Syahid mula kelam-kabut.
“Sebenarnya cik tadi tu…cik tu…” Sabrina tergagap-gagap.
“Apa dia, Rina?” sergah Syahid. Dahinya mula berpeluh.
“Dia anak Haji Azhar! Anak tokey!” ujar Sabrina spontan.
“Apa?Alamak!”





No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.