Tetamu Rindu

Wednesday 23 March 2016

Rebah Di Tirai Cinta ( Bab 2 )



INDRA Syahid tersenyum sambil membalas lambaian si gadis yang berada di tepi pantai. Bunyi desiran ombak dan angin yang kuat menyukarkan suara gadis itu sampai ke telinganya. Sungguh hatinya gembira apabila si pujaan hati sedang menunggunya di kala dia pulang daripada menangkap ikan di lautan.
“Itu buah hati pengarang jantung kau dah tunggu. Sukalah tu…” ucap Muaz sambil memuncungkan mulutnya ke arah Suffiya yang berada di tepi pantai.
“Gila tak suka, buah hati tunggu mestilah suka. Tapi aku jelah yang suka dekat dia, dia belum tentu lagi suka dekat aku…” balas Syahid sambil mengirai-ngirai pukat yang berada di tangannya.
“Kalau dia tak suka dekat kau takkan dia sanggup turun ke pantai semata-mata nak beli ikan dengan kau tiap-tiap hari. Takkan dia makan ikan sekilo sehari. Fikirlah, Syah. Suffiya tu sukakan kau, apa lagi cepat-cepatlah kau hantar rombongan…” tingkah Muaz.
Syahid membeliakkan matanya. Hantar rombongan? Bila? Dia bukan orang yang senang malah keluarga Suffiya pula bukan calang-calang orang. Anak orang kaya di kampung mereka mana nak setaraf dengan penduduk kampung yang bekerja sebagai nelayan macam dia ini.
“Kau agak-agaklah kalau aku masuk meminang Su, mak dia nak kerat aku berapa belas?” soal Syahid sambil ketawa. Dia membetulkan kain pelekat yang diikat di kepalanya.
Muaz turut ketawa. Dia kenal sangat dengan perangai Syahid yang agak merendah diri dalam segala hal. Mungkin kerana hidupnya yang susah, Syahid tidak mempunyai keyakinan diri untuk membuktikan cintanya pada Suffiya. Fikir Muaz.
“Aku rasa berbelas-belas dan mungkin jugak daging-daging kau dikisar buat sambal belacan…” balas Muaz sambil ketawa. Syahid turut ketawa.
Akhirnya, mereka berlabuh di tepi pantai. Bot yang disewa dari ketua kampung yang merupakan ayah Muaz itu ditolak hingga ke tepian pantai. Ketika itu ramai penduduk kampung mengerumi bot-bot nelayan untuk mencari ikan segar. Kebiasaannya memang inilah rutin harian penduduk kampung malah ramai juga penduduk daripada kampung sebelah mencari ikan terus dari nelayan. Lebih murah dan lebih segar.
“Assalamualaikum, Abang Indra…” sapa Suffiya ramah. Tudungnya yang ditiup angin, dibetulkan sedikit.
“Waalaikummusalam, Su. Su tunggu abang ke?” soal Syahid lembut. Dia tersenyum manis. Senyuman mengejek daripada Muaz tidak dipedulikan. Dia lebih suka menatap wajah Suffiya daripada melayan kerenah Muaz yang gemar mengusik.
“Abang ni tanya pulak. Memanglah Su tunggu abang. Su nak beli ikan. Mak suruh…” balas Suffiya malu-malu.
“Mak suruh ke, atau Su sendiri yang datang nak jumpa abang? Takkan semalam baru jumpa dah rindu kut,” usik Syahid sambil ketawa.
Wajah Suffiya berubah rona. Abang Indra ni macam tahu-tahu je aku rindukan dia. Tapi nak mati kalau mak tahu aku datang jumpa Abang Indra sekarang ni. Bisik hati Suffiya.
“Abang ni, Su nak merajuklah macam ni…” ucap Suffiya berpura-pura merajuk. Dia menarik mulut muncung.
Syahid tersengih. Dia menghampiri Suffiya lalu tubuhnya disandarkan di bot. Wajah Suffiya yang kelat ditatap lama.
“Abang gurau jelah. Itu pun nak merajuk. Tak comellah macam ni. Okey, Su bagitahu abang, berapa kilo ikan yang Su nak hari ni?” soal Syahid cuba menceriakan Suffiya yang kelihatan cemberut.
Namun, cemberut Suffiya tidak lama. Mendengar suara Syahid yang lembut memujuknya membuatkan dia tidak jadi untuk merajuk. Sebaliknya dia mendekati Syahid yang sedang memilih beberapa ikan segar di dalam tong yang terdapat di dalam bot. Kelihatan Muaz sedang mengeluarkan ikan yang tersekat pada pukat dengan berhati-hati.
“Su nak sekilo jelah, bang. Kalau beli banyak-banyak nanti esok Su dah tak boleh datang…” balas Suffiya sambil tersengih.
Syahid berpaling. Mata mereka bertentangan buat seketika sebelum Syahid melebarkan senyuman. Mungkin betul juga apa yang Muaz cakapkan tadi, Suffiya menyukainya. Sinar mata gadis itu memancarkan cahaya cinta yang turut memenuhi ruang hati Syahid cuma dia berpijak di bumi yang nyata. Cinta antara dua darjat, mampukah bersatu dalam sebuah ikatan?
“Bukan setakat esok malah lusa, tulat sampai bila- bila kau tak boleh datang ke sini lagi!” jerkah satu suara menyebabkan orang ramai yang berada di situ terkejut.
Syahid, Suffiya dan Muaz berpaling. Suffiya menelan air liur sedangkan Syahid cuba beriak tenang melihat wanita yang sedang menyinga di hadapan mereka saat ini.
“Mak??!” soal Suffiya cuak.
“Kenapa terkejut? Oh, ini kerja kau petang-petang ya? Aku suruh kau pergi kedai, ke sini kau merayap. Kat tempat busuk ini jugak kau nak menyibuk. Kau nak buat apa, hah? Nak menggatal dengan mamat tak ada masa depan ni ke?!” tempelak Puan Watie dengan suara yang meninggi.
Syahid terpempan. Bulat matanya memandang Puan Watie yang berwajah garang. Bibir wanita itu yang merah terjuih-juih memarahi dirinya. Syahid menggelengkan kepala. Sakitnya hati mendengar kata-kata Puan Watie disimpan jauh di lubuk hati.
“Su ini ikannya. Su pergilah ikut mak Su balik…” ucap Syahid sambil menghulurkan satu plastik ikan kerisi yang diminta oleh Suffiya tadi.
Namun, belum sempat huluran bertukar tangan, Puan Watie terlebih dahulu menepis tangan Syahid menyebabkan plastik yang berisi ikan itu terjatuh di atas tanah.
Astaghfirullahalazim…” Muaz berisghtifar melihat kebiadapan Puan Watie.
Syahid cuba menyabarkan dirinya. Puan Watie orang yang lebih tua, patut dihormati. Bisik hatinya. Perlahan-lahan dia membongkokkan badan mengambil semula plastik yang berisi ikan tersebut.
“Kau dengan ikan tu sama je hanyir. Ada hati nak dekat anak aku. Eh, cerminlah muka kau tu sikit. Dahlah miskin, tak berpelajaran. Sedarlah diri sikit!” maki Puan Watie tidak semena-mena.
Dia menarik tangan Suffiya yang sudah menangis. Malunya hanya Allah saja yang tahu apabila menjadi tontonan orang ramai ketika ini.
“Sebab saya sedarlah saya tak kacau anak mak cik. Kalau saya tak sedar dah lama saya bawak anak mak cik ni kahwin lari dekat Siam…” balas Syahid mendatar. Walaupun nada suaranya tidak tinggi tetapi kata-kata itu cukup berbisa.
Muaz tersenyum manakala Puan Watie tersentak. Oh, melawan nampaknya budak hingusan ni! detik hatinya.
“Kurang ajar kau ni. Mak kau tak ajar ke kau bila cakap dengan orang yang lebih tua?!” balas Puan Watie geram.
“Dah. Mak ada ajar tapi saya lupa sebab mak cik pun nampaknya kurang ajar sangat dengan saya. Su cuma nak beli ikan je bukannya nak beli saya pun. Mak cik jangan risau, anak mak cik ni baik, perempuan baik hanya untuk lelaki baik…bagi pandangan Allah bukan pandangan mak cik, ya…” selamba saja Syahid menuturkan kata. Bukan niat untuk berkurang ajar tapi untuk menyedarkan Puan Watie yang terlalu bermegah dengan kekayaan yang ada padanya.
Muaz menahan tawa melihat wajah kelat Puan Watie. Dia tidak menyangka lelaki setenang Syahid boleh menghamburkan kata-kata seperti itu pada Puan Watie. Ibu kepada gadis pujaannya. Nampaknya, kau gigit jari jelah Syah nak jadi menantu Puan Watie. Bisik hati Muaz.
“Kurang ajar punya budak! Kau memang tak sedar diri kan, miskin. Merempat. Kurang ajar pulak tu!” tambah Puan Watie lagi. Dia menyinsing lengan bajunya. Dia cuba mendekati Syahid namun dengan pantas dihalang oleh Suffiya.
“Sudahlah, mak. Jangan buat kecoh dekat sini. Malu orang tengok. Jom kita balik,” ajak Suffiya sambil menarik tangan ibunya.
“Oh, pandailah kau membela jantan ni kan. Kau dengan sini ya, jangan mimpi nak jadi menantu aku!” jerit Puan Watie lagi. Dia mengikut langkah kakinya yang ditarik oleh Suffiya. Kesemua mata yang memandangnya tidak dipedulikan.
“Gila betul bakal mak mentua kau tu. Sesuka hati dia je nak maki kau,” bebel Muaz setelah melihat Puan Watie dan Suffiya menjauh.
Mak mentua? Syahid membeliakkan matanya pada Muaz.
“Kau tak dengar ke dia cakap apa tadi? Dalam mimpi pun aku tak boleh berangan jadi menantu dia. Jadi aku kena pastikan mimpi aku tak kaitan dengan anak dia…” balas Syahid cuba berlawak.
Muaz ketawa mendengar kata-kata Syahid. Saat yang tegang seperti ini pun Syahid masih mampu ketawa malah wajah itu tidak menggambarkan yang dia terasa dengan kata-kata Puan Watie tadi. Sudah matikah deria rasa sahabatnya ini? Soal hati Muaz.
“Tapi kau jangan mengalah, Syah. Buktikan yang kau bukan lelaki yang tak guna. Anak dia sukakan kau dan aku pasti kau pun sukakan Su. Kau masuk jelah meminang Su. Pasal rezeki itu biarlah Allah yang mengaturkannya. Kau kena berjuang untuk cinta kau, Syah.” Muaz memberi kata-kata semangat.
Syahid mengeluh kecil. Lama dia memandang wajah Muaz. Dia memikirkan cadangan Muaz. Ada betulnya juga, dia sayangkan Suffiya malah memang dia berhasrat untuk menikahi gadis itu tetapi halangan daripada Puan Watie membantut niatnya untuk menikahi Suffiya. Sekarang umurnya sudah menjangkau 28 tahun, sepatutnya dia sudah pun mendirikan rumah tangga tapi desakan hidup membuatkan niat sucinya itu terputus di tengah jalan.
“Tengoklah nanti. Aku bincang dengan mak aku,” balas Syahid sambil melompat masuk ke dalam bot untuk menolong Muaz mencuci botnya pula.
“Jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama. Dia dikebas orang…” dengan selamba Muaz menyanyikan sepotong lagu untuk mengusik Syahid.
Syahid ketawa dan menunjukkan penumbuknya pada Muaz yang sedang ketawa terkekek-kekek.

JAUH dari tempat Syahid dan Muaz melakukan aktiviti hariannya, kelihatan seorang gadis berkaca mata hitam sedang berjalan-jalan berseorangan sambil menikmati angin Pantai Lanjut yang sepoi-sepoi bahasa. Sesekali rambut hitam yang dibiarkan lepas menutupi wajahnya yang jelita diselak ke tepi. Sebuah keluhan dilepaskan.
“Waled tak setuju kalau kau nak kahwin dengan Datuk Hasyim tu. Tak ada orang lain ke yang kau boleh pilih nak jadi suami? Kau sedar tak yang Datuk Hasyim tu sebaya dengan waled?” soal Haji Azhar pada Laila yang duduk berehat di gazebo di halaman rumahnya.
“Waled, pasal usia kita tolak tepi dulu yang penting Datuk Hasyim tu kaya orangnya. Dia sukakan Laila dan dia sanggup ceraikan isteri-isterinya semata-mata untuk Laila. Nanti bila Laila kahwin dengan Datuk Hasyim, Laila juga yang senang. Waled tak nak tengok Laila senang ke?” soal Laila sambil lengan Haji Azhar dipeluk mesra.
Haji Azhar melepaskan keluhan yang kuat. Wajah anak perempuan kesayangannya ini ditenung lama.
“Laila, waled nak Laila tahu yang harta dunia tidak menjamin kebahagiaan sesebuah perkahwinan itu. Laila nak ke berkahwin atas keruntuhan rumah tangga perempuan lain? Laila tak rasa bersalah ke?” soal Haji Azhar lagi.
Laila terdiam sejenak. Dia mengetuk dagu.
“Untuk kesenangan Laila, why not kan? Dah Datuk Hasyim yang beria takkan Laila nak halang pulak kan…” ternyata jawapan Laila mengecewakan hati Haji Azhar.
Apa silapnya, anak yang dididik selama 25 tahun akhirnya menjadi seorang gadis yang liar, keras kepala dan degil. Selama ini Laila dididik dengan penuh kasih sayang dan didikan agama tetapi sampai sekarang anaknya itu tidak pernah mempraktikkan ajaran Islam yang diajarinya. Sudah berbuih mulut Haji Azhar menasihati anaknya itu supaya menutup aurat jika keluar daripada rumah namun sehingga sekarang anak gadisnya itu masih bergaul bebas dengan lelaki dan perempuan yang tidak sealiran dengan Haji Azhar dan sekarang anaknya itu ingin menikahi dengan lelaki korporat yang berstatus suami beristeri dua semata-mata kerana harta. Sungguh Haji Azhar terkilan dengan sikap Laila kali ini.
“Waled tak setuju. Walau apa pun alasan Laila, waled tak setuju kalau Laila kahwin dengan Datuk Hasyim. Waled tak nak menantu waled orang yang cuma kaya dengan harta tapi tak kaya dengan ilmu agama. Kalau dia boleh kahwin dengan Laila dan ceraikan isteri-isterinya yang lain, tak mungkin satu hari nanti dia boleh buat benda yang sama pada Laila. Ingat itu!” Haji Azhar memberi amaran sebelum meninggalkan Laila keseorangan di situ.
“Tapi waled, Datuk Hasyim tu kaya…” kata-kata Laila menghentikan langkah Haji Azhar.
“Laila pilih, waled atau Datuk Hasyim?” ujar Haji Azhar kemudian berlalu.
Laila melepaskan keluhan entah yang ke berapa kali. Kata-kata Haji Azhar membuatkan dia tersepit di dalam dilema. Antara kasihnya pada Haji Azhar dan sayangnya pada harta Datuk Hasyim.
Memang ayahnya itu seorang yang kaya malah semua apa yang diingininya dipenuhi oleh Haji Azhar tetapi dia ingin lebih daripada itu. Dia ingin segala kemewahan dan kemewahan itu hanya mampu diberikan oleh Datuk Hasyim walaupun dia tahu Datuk Hasyim sudah mempunyai dua orang isteri.
Disebabkan merajuk dengan Haji Azhar, Laila membawa diri ke Rompin. Entah kenapa dia memberanikan diri singgah di pantai Lanjut ini berseorangan. Apa yang berada di fikirannya hanyalah untuk menenangkan diri dan memikirkan niatnya untuk berkahwin dengan Datuk Hasyim.
“Nak kahwin susah, tak kahwin susah…” Laila bercakap sendirian.
Dia mendepangkan tangannya mengadap laut sambil matanya dipejamkan. Bunyi riuh-rendah di tepi pantai tidak jauh daripada tempatnya berdiri menarik perhatiannya. Dia melontarkan pandangannya ke arah sekumpulan orang kampung yang mengerumi sebuah bot yang membawa hasil tangkapan laut.
Dia melihat seorang wanita tua sedang memarahi seorang pemuda yang sedang berdiri di tepi bot. Wajah lelaki itu tidak jelas kerana ditutupi dengan seorang lagi lelaki yang berdiri di atas bot.
“Apa hal pulak tu?” soal Laila cuba mengatur langkah menuju ke tempat tersebut. Namun, langkahnya tiba-tiba mati.
“Buat apa aku menyibuk? Bukan urusan aku pun.” Desis hatinya. Dia menjuihkan bibir kemudian dia berpaling dan mula mengatur langkah ke arah yang bertentangan. Dia duduk di bawah pohon ru yang beralun lembut akibat ditiup angin pantai.
Rambutnya yang panjang diuraikan menggunakan jari-jemarinya. Rasa tenang menyapa hatinya saat matanya disajikan dengan lautan yang indah terbentang. Laila menarik nafas. Lama. Kemudian dihelakan perlahan-lahan. Bunyi deruan ombak begitu mengasyikkan membuatkan Laila memejamkan mata.
Kau mau apa,
Pasti kan ku beri,
Kau minta apa,
Akan ku turuti,
Walau harus aku terlelap dan letih,
Ini demi kamu sayang,
Petikan gitar dan suara garau yang kedengaran sayup-sayup menyentakkan lamunan Laila. Dengan pantas, dia membuka mata. Matanya melingas mencari pemilik suara namun dia tidak temui.
Aku tak akan berhenti,
Menemani dan menyayangimu,
Hingga matahari tak terbit lagi,
Bahkan bila aku mati,
Ku kan berdoa pada Ilahi,
Tuk satukan kami di syurga nanti,
Suara itu kedengaran sayup-sayup membuatkan Laila resah. Terasa seperti hatinya tersentuh dengan bait-bait lirik yang dinyanyikan oleh suara itu. Namun, di mana pemilik suaranya? Sepantas kilat Laila bingkas. Dia memandang ke kiri dan kanan mencari suara yang mendendangkan lagu itu.
Tahukah kamu apa yang ku pinta,
Di setiap doa sepanjang hariku,
Tuhan tolong aku,
Tolong jaga dia,
Tuhan aku sayang dia..
Namun, suara itu terus terhenti. Petikan gitarnya juga terhenti. Laila resah dalam mencari sesuatu yang tidak pasti tetapi akhirnya langkahnya terhenti apabila melihat seorang lelaki sedang duduk di atas batang pokok yang telah tumbang. Wajah itu tidak jelas kerana kedudukan antara Laila dan lelaki itu agak jauh. Dia yakin lelaki itu yang menyanyi. Kenapa hatinya sayu sangat saat mendengar suara lelaki itu?
Dia ingin merapati, namun lelaki tersebut bangun dan berlalu apabila ada seorang lelaki lain yang datang menyapa. Kedua lelaki tersebut beredar meninggalkan pantai tersebut.
Laila melepaskan keluhan. Siapa lelaki yang bersuara merdu itu? soal hatinya.

MAK CIK SARIMAH memandang wajah Syahid yang sudah siap memakai baju melayu dan berkain pelekat. Songkok hitam yang terdapat di atas meja, dicapai kemudian disarungkan di atas kepalanya. Wajah itu kelihatan tenang dengan air wuduk masih membasahi mukanya yang bujur sirih.
“Syah, sini sekejap dekat ibu.” Panggil Mak Cik Sarimah menggamit Syahid untuk menghampirinya.
Syahid menurut. Dia melabuhkan punggung di hadapan Mak Cik Sarimah di ruang tamu. Rumah mereka tidak semewah rumah orang lain malah rumah yang beratapkan zink ini sungguh daif bagi sesiapa yang melihat. Malah ruang tamunya kosong tanpa sebarang kerusi ataupun meja. Hanya sebuah peti televisyen lama masih terletak elok di sudut dinding.
“Apa yang Syah dah buat pada anak Puan Watie, Si Suffiya tu?” soal Mak Cik Sarimah lembut.
“Buat apa, ibu? Syah tak beranilah nak cuit anak orang kaya tu. Syah sedar siapa diri Syah…” jawab Syahid merendah diri. Dia pasti tentu Puan Watie mengadu perkara yang berlaku petang tadi pada ibunya.
“Puan Watie cakap kamu kacau anak dia dan kamu kurang ajar dengan dia. Betul ke?” soal Mak Cik Sarimah lagi dengan riak tenang. Dia tidak mahu bertekak dalam menentukan siapa benar siapa salah, dia cuma inginkan kepastian daripada Syahid.
“Syah dengan Su tak buat apa-apa pun, ibu. Su datang jumpa Syah dekat pantai sebab nak beli ikan. Itu saja. Tak lama kemudian, Puan Watie tu datang marah-marahkan Syah. Dia hina. Dia maki, Syah. Itu yang Syah melawan balik. Panas telinga Syah bila dia cakap Syah tak ada masa depan,” balas Syahid menceritakan hal sebenar.
Mak Cik Sarimah tekun mendengar. Dia percaya kata-kata Syahid kerana dia cukup kenal dengan anak lelakinya ini. Walaupun cuma anak angkat tetapi perangai Syahid sudah sebati dalam diri Mak Cik Sarimah.
“Syah, ibu tahu kamu cuma nak bela diri tapi kamu tahu kan, Puan Watie tu orang yang lebih tua sepatutnya kamu berlembut dengan dia. Ibu tak suka kalau kamu berkasar dengan orang perempuan. Kamu lelaki sejati kan? Lelaki sejati takkan menyakiti perempuan, kamu ingat itu. biarlah apa pun orang nak cakap pada kita, janji kita jangan sesekali cari pasal dengan orang. Orang lain boleh buat apa saja sebab mereka berduit, sedangkan kita? Nak makan dalam sehari pun terpaksa berfikir panjang. Ibu percaya anak ibu ni baik, taat agama, insya-Allah satu hari nanti Allah akan tolong hamba-hamba-Nya yang tidak pernah berhenti berdoa. Jadi, Syah jangan pernah berhenti berdoa,” nasihat Mak Cik Sarimah. Daun pisang dilap menggunakan kain basah.
“Syah mintak maaf, ibu. Syah tahu salah Syah. Syah terlampau ikutkan perasaan tetapi Syah geram jugak dekat Puan Watie, Syah memang sayangkan Suffiya tapi dia pulak yang nak jadi batu penghalangnya,” balas Syahid sambil mengetap bibir. Bayangan wajah Puan Watie yang bergincu tebal terbayang di ruang mata.
“Syah sukakan Suffiya?” soal Mak Cik Sarimah dengan mata yang membulat.
Tanpa ragu, Syahid menganggukkan kepala. Sudah lama dia terpikat dengan sikap Suffiya yang lemah lembut dan berbudi bahasa itu. Dia juga yakin yang Suffiya turut menyukainya tetapi Puan Watie adalah halangan terbesar bagi Syahid untuk mendapatkan Suffiya. Syahid tahu bukan senang untuk memenangi hati Puan Watie yang penuh dengan rasa meninggi diri dan sombong itu. Calon menantunya mestilah mempunyai rumah besar, kereta besar, gaji besar senang cerita semua yang besar- besar. Kalau dia yang masuk meminang, memang akan ditolak awal-awal malah namanya tiada dalam senarai untuk dijadikan menantu.
“Syah nak ibu masuk meminang Su ke?” soalan daripada Mak Cik Sarimah mengejutkan lamunan Syahid. Dia tersengih.
“Memanglah nak, ibu. Tapi Syah bukan ada banyak duit pun nak beli cincin semua tu. Silap-silap hari bulan, orang kaya tu tolak pinangkan kita,” keluh Syahid sambil menundukkan wajahnya.
Mak Cik Sarimah tersenyum manis.
“Allah tak suka kita mengeluh. Kita kena berusaha selagi termampu sebab setiap kesulitan pasti ada jalan keluar. Lagipun Allah memang suka kalau hamba-Nya ingin mendirikan masjid, Syah tahu kan perkara nikah kahwin ni perlu disegerakan bila sampai waktunya jadi ibu tak ada halangan kalau Syah betul-betul nak kahwin dengan Su. Ibu pun berkenan dengan Su,” balas Mak Cik Sarimah menamba seri pada wajah Syahid. Bercahaya matanya memandang wajah Mak Cik Sarimah. Ternyata wanita itu amat memahami hasrat hatinya.
Lagipun Allah pernah berfirman dalam surah An-Nuur yang bermaksud;
 Dan kahwinkanlah orang-orang yang bersendirian di antara kamu dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.
“Betul ke, ibu? Terima kasih, bu!” ucap Syahid seraya ingin memeluk tubuh ibunya namun dengan pantas Mak Cik Sarimah menahan.
“Pergi surau dulu. Nanti lambat pulak nak sembahyangnya,” tegur Mak Cik Sarimah membuatkan Syahid tersengih-sengih.
“Yelah-yelah, Syah pergi dulu, ibu. Assalamualaikum,” ucap Syahid kemudian beredar.
“Waalaikummusalam.” Jawab Mak Cik Sarimah. Dia menggeleng-geleng melihat gelagat Syahid yang agak kelam kabut menuruni tangga rumah mereka. Tidak lama kemudian kedengaran motorsikal Syahid meninggalkan perkarangan rumah.
Syahid kelihatan tenang menunggang motorsikal menuju ke rumah Muaz yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Memang mereka berdua sudah berjanji untuk ke masjid bersama-sama kerana memang itulah aktiviti mereka setiap hari. Sebaik saja pulang daripada laut, mereka terus bersiap-siap untuk ke masjid. Bagi Syahid, sepenat apa pun dia pasti tidak akan melepaskan peluang untuk ke masjid.
“Assalamualaikum, Muaz cepatlah sikit!” laung Syahid setelah tiba di hadapan halaman rumah Muaz.
“Waalaikummusalam, sekejap, sekejap nak pakai selipar ni!” laung Muaz di muka pintu.
Tidak lama kemudian, Muaz berlari-lari anak dan terus melompak ke atas motorsikal milik Syahid. Dengan selamba dia memeluk pinggang Syahid bertujuan untuk mengusik sahabatnya itu.
“Eh, apa kau ni? Batal air sembahyang aku!” marah Syahid sambil menepis tangan Muaz yang melingkari pinggangnya.
Muaz ketawa lepas. Dia memang suka mengusik Syahid. Kadang-kadang lelaki itu agak kelam-kabut tapi bila sampai mood tenangnya, tiada siapa yang mampu mengusik hati lelaki itu. Kadang-kadang Syahid boleh menjadi seorang yang kelakar, namun bila harga dirinya diperkatakan, Syahid boleh menjadi seorang yang tegas. Tegas dalam mempertahankan maruahnya.
“Weh, Muaz. Kau tahu tak, ibu aku nak pinangkan Su untuk aku!” Syahid terpaksa menguatkan suaranya supaya dapat didengari oleh Muaz yang berada di belakangnya. Sesekali dia menoleh ke belakang memandang Muaz.
Laaa..ya ke? Alhamdulillah…bila ibu kau nak masuk meminang?” soal Muaz pula. Dia turut menjerit. Angin yang kuat menderu membuatkan kata-kata Syahid sayup-sayup di telinganya.
“Entahlah!” jawab Syahid kemudian ketawa kecil.
Muaz turut ketawa. Namun, tawa mereka berdua terhenti sebaik saja tiba di simpang yang agak jauh daripada rumah Muaz. Sewaktu Syahid ingin membelok motornya, tiba-tiba ada sebuah kereta dari jalan lurus yang dipandu melebihi had laju memotong motor Syahid dengan pantas.
Syahid terkejut. Bergoyang motornya apabila kereta Audi berwarna merah itu memotong motornya.
“Eh, eh…Syah kambing kat depan tu!” jerit Muaz apabila dia rasakan yang Syahid mula terhuyung-hayang ingin mengimbangi motornya.
“Hah, kambing?!” dalam kelam-kabut itu Syahid dapat melihat sekawan kambing yang berada di tengah jalan. Dari mana pulak datangnya kambing ni? Sempat lagi hati Syahid membebel.
Namun, semuanya sudah terlambat saat dia ingin mengelak seekor kambing yang bunting, tiba- tiba seekor kambing yang berwarna putih meluru ke arahnya.
“Syah, kambingggg!!!” jerit Muaz.
Arghhhh!!” Syahid juga menjerit. Akhirnya…..
Bushhhh!!
Syahid, Muaz dan motornya terhumban ke dalam lopak yang berada di kaki lima jalan. Menjerit mereka berdua, disebabkan kereta Audi yang laju menggila dan kambing yang berkhemah di atas jalan, mereka berdua terhumban ke dalam lopak.
“Tak guna punya perempuan! Bawak kereta macam pelesit!” jerit Syahid geram. Dia cuba menolak motor yang menghempap dirinya dan Muaz. Berkerut wajahnya menahan sakit.
“Macam mana kau tahu pemandu dia perempuan?” soal Muaz sambil menolong Syahid mengangkat motor Honda EX5 miliknya.
“Dah kalau bawak kereta macam orang tak betul, siapa lagi kan kalau bukan perempuan!” balas Syahid. Dia mengetap bibir. Baju melayunya yang basah dikibas dengan tangan. Habis berlumpur separuh badannya. Macam mana nak solat ni? Soal hatinya.
“Entah-entah lelaki, Syah. Dahlah jomlah kita balik, baju dah kotor ni. Macam mana nak masuk masjid. Kita sembahyang dekat rumah jelah,” ajak Muaz.
Syahid melepaskan keluhan yang kuat. Kalau bukan kerana kereta itu sudah pasti mereka berdua berada di masjid saat ini.
“Isy, geram betul aku dengan kereta tu. Mintak-mintaklah dia terbungkam dalam longkang!” Syahid menghamburkan kemarahan.
“Tak baik doakan kehancuran orang, Syah. Dah tak payah fikir pasal dia. Apa yang berlaku ni bukan saja-saja nak terjadi, semuanya kehendak Allah,” ujar Muaz menasihati Syahid yang sedang kepanasan.
Astaghfirullah-al-azim,” Syahid berisghtifar panjang. Dia meraup wajahnya.
Dia memandang ke arah jalan raya yang sudah menyepi. Seolah-olah dia dapat melihat kereta Audi yang sudah menghumbankan dirinya dan Muaz ke dalam lopak. Walaupun kata-kata Muaz ada benarnya tetapi dia tetap tidak berpuas hati. Kenapa orang kecil macam dia selalu ditindas?




No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.