HAMNA melabuhkan punggung di sebelah Fika yang
sedang khusyuk menulis nota. Dia turut mengeluarkan buku tulisnya namun tiba-
tiba plastik yang berisi ubat terjatuh di atas lantai. Alah, jatuhlah pulak.
Desis hatinya.
Fika berpaling apabila terasa ada seseorang di
sebelahnya. Dia melihat Hamna sedang terbongkok mengutip sesuatu. Dahinya
berkerut.
“ Apa benda pulak tu, Na?” soal Fika tiba- tiba.
Hamna tersentak. Serta- merta kepalanya terhantuk
pada bucu meja.
“ Aduh!” dia terjerit kecil sambil menggosok
kepalanya yang terasa sakit. Serentak dengan itu, dia dapat mendengar bunyi
ketawa dari arah belakang. Kelihatan Isyraq sedang mentertawakannya. Namun,
apabila dia memandang, dengan pantas lelaki itu mengalih pandangan ke arah
lain. Hamna mengeluh.
“ Kau ni Na, hati- hatilah sikit. Aku tanya je yang
kau pergi hantuk kepala kau dekat meja tu kenapa?” soal Fika menyembunyikan
tawanya. Lucu pula bila dia lihat wajah Hamna yang berkerut.
Hamna mencebik. Lalu, dia bangun dan kembali duduk
di sebelah Fika.
“ Kau tanya apa tadi?” soal Hamna.
“ Aku tanya, benda apa yang kau pegang tu?” Fika
mengulang kembali soalannya.
Hamna merenung plastik putih yang berada di
tangannya. Kemudian dia tersengih.
“ Ini ubat selesema…” balas Hamna.
“ Ubat selesema? Eh, bukan ke kau tak suka makan
ubat? Nak pergi klinik pun kau tak suka, macam mana kau boleh beli ubat ni?”
soal Fika bertalu- talu.
Hamna menggaru pipinya yang terasa gatal. Apa aku
nak jawab ni? Ni semua mamat tu punya pasal. Kalau dia tak belikan ubat ni
untuk aku kan senang tak payah aku nak jawab soalan Fika yang susah mengalahkan
soalan Matematik Perniagaan ni. Aduh, otak cepatlah berfikir sebelum Fika fikir
bukan- bukan. Desis hati Hamna mula gelisah. Berpeluh dahinya.
“ Errrr….”
Belum sempat Hamna menjawab, telefon bimbitnya
berbunyi menandakan mesej masuk. Hamna tersentak. Dengan pantas dia
mengeluarkan telefon bimbitnya daripada poket beg. Dia menelan air liur apabila
melihat nama yang tertera di skrin telefon. Dia nak apa pulak ni?
Aku nk kau mkn
ubat tu skrg!
Terkumat- kamit Hamna membaca mesej pendek yang
berbaur arahan. Dia nak aku makan ubat tu sekarang? Dia gila ke apa? Bentak
hati Hamna kemudian dia berpaling ke tempat duduk belakang. Isyraq masih
kelihatan selamba.
“ Na, kau ni macam ada yang tak kena je? Ada apa-
apa yang aku tak tahu ke?” suara Fika memecah tembok lamunan Hamna. Dia
berpaling dan memandang wajah Fika yang penuh dengan tanda tanya. Dia tersengih
dan menggelengkan kepala.
“ Tak ada apa- apalah, Fika. Aku okey je cuma tekak
aku ni je yang sakit sikit.” Balas Hamna berbohong.
Tetapi perbualannya diganggu dengan satu lagi mesej
masuk. Hamna mengeluh bosan. Dengan malas, dia menekan punat telefon.
Terpampang mesej daripada Isyraq yang cukup menyakitkan hati Hamna.
Kau degil ya?
Kau jangan menyesal kalo aku sebarkan video kau ni skrg jugak! Org pertama yg
akn dpt adalah kwn baik kau tu dan jgn mnyesal kalo Elyas pn dpt video kau yg
hot ni!
Arggghhhh!! Hamna terasa ingin menjerit namun
jeritan itu hanya bergema dalam hatinya saja. Kenapalah mamat bernama Isyraq ni
suka sangat mengugut. Menyampah betul aku!
Dengan rasa sebal yang tidak berpenghujung, Hamna
terpaksa memaksa dirinya untuk menelan ubat yang tersedia di hadapan mata.
“ Fika, kau ada air masak tak?” soal Hamna lemah.
Fika mengangguk dan menyerahkan sebotol air mineral
yang baru dibelinya tadi. Dia pelik melihat tingkah Hamna yang tidak seperti
kebiasaan.
“ Takkan kau nak makan ubat tu sekarang? Nanti kau
mengantuk pulak,” tegur Fika.
Hamna hanya tersenyum tawar. Aku terpaksa Fika,
maruah aku dalam genggaman dia. Selagi video dan gambar itu berada dalam tangan
dia, selagi itulah aku kena ikut apa yang dia cakap. Aku terpaksa! Ucap Hamna
hanya dalam hati.
“ Tak apalah, Fika. Aku rasa macam tak sihat sangat
ni,” balas Hamna.
Dia mengeluarkan dua biji pil yang bersaiz kecil dan
ditelan dengan penuh kepayahan. Terasa pahit ubat itu melalui tengkuknya namun
Hamna terpaksa bertahan. Berkerut wajahnya menahan rasa yang menyeksa jiwanya.
Dia menyeka peluh di dahi.
Hamna memegang kepalanya yang terasa sakit. Namun,
dia gagahkan diri juga untuk tersenyum pada Fika.
“ Eh, Na kenapa muka awak pucat sangat ni?” tegur
Elyas yang baru saja menapak masuk ke dalam kelas. Dia menghampiri Hamna dan
Fika yang duduk di hadapan kelas.
“ Na tak sihat, Elyas. Semalam kena hujan, selesema
pula dia hari ni…” balas Fika bagi pihak Hamna.
“ Kalau macam tu, jom saya bawakkan awak pergi
klinik. Minta MC. Nanti saya boleh tolong bagitahu Cik Umi yang awak tak sihat. Jom kita pergi…”
ajak Elyas.
Dia merenung wajah Hamna yang kelihatan pucat dan
tidak bermaya. Timbul simpati dalam dirinya buat gadis itu.
“ Eh, tak payahlah Elyas. Saya dah makan ubat tadi.
Kejap lagi eloklah tu,” balas Hamna lemah. Dia memejamkan mata.
Sementara di sudut belakang kelas, Isyraq
memerhatikan setiap gerak- geri Hamna yang sedang berbual dengan Elyas. Dia
dapat mendengar dengan jelas apa yang dikatakan Elyas pada Hamna. Terasa pedih
pula hatinya apabila melihat senyuman yang Hamna berikan pada Elyas.
‘ Perempuan ni memang tak reti bahasa agaknya. Saja
nak buat aku marahlah tu.’ Desis hati Isyraq. Dia mencebik melihat wajah Elyas
yang kelihatan risau. Huh, risaulah sangat! Bukan mati pun lagi! bentak hati
kecil Isyraq.
“ Sakit sikit pun nak lebih- lebih. Dasar anak
manja!” perli Isyraq dengan suara yang agak kuat. Namun, matanya masih tertacap
pada skrin telefon.
Fika dan Elyas berpaling pada Isyraq yang kelihatan
bersahaja. Masih ada 10 minit sebelum kelas bermula. Awalnya Isyraq masuk kelas
hari ni? desis hati Elyas.
“ Kau ni kenapa Is? Hamna betul- betul sakit. Kalau
kau menyampah sangat, tak payah nak menyibuk!” tempelak Fika dengan mata yang
melotot memandang Isyraq. Sakit hati sungguh bercakap dengan orang tak ada
perasaan macam Isyraq.
“ Aku bukan nak menyibuk tapi berbulu bijik mata aku
tengok orang manja macamlah sakit tu kritikal sangat!” Isyraq terus memerli.
Pandangan mata Fika yang tajam itu tidak dipedulikan. Matanya dialihkan pada
Hamna yang diam membisu. Kelihatan wajah gadis itu benar- benar pucat. Teruk
sangat ke selesema dia tu? Hatinya turut risau.
“ Is, sudahlah tu! Dia tak kacau kau, kau janganlah
kacau dia!” Elyas mula bersuara.
Isyraq tersenyum sinis. Dia memandang Zaim yang
turut memandang ke arahnya. Dia mencebikkan bibir. Sejak peristiwa dia diserang
oleh Elyas tempoh hari, hubungan mereka berempat semakin renggang. Elyas lebih
suka menyendiri daripada bergaul dengan mereka bertiga.
“ Fuyooo, hero dah berbunyilah!” jerit Isyraq sambil
menepuk tangan. Zaim dan Redza ketawa.
Elyas mengetap bibir. Geram melihat sikap Isyraq
yang suka mengejek. Dia menggenggam penumbuk dan melangkah untuk menghampiri
Isyraq. Namun, langkahnya terhenti apabila tangan Hamna menarik lengan baju
kemejanya. Elyas tersentak, kemudian dia menoleh pada wajah Hamna. Gadis itu
tersenyum nipis seraya menggelengkan kepala.
Bulat biji mata Isyraq melihat tangan Hamna memegang
lengan baju Elyas. Serta- merta dadanya terasa sakit. Dia menarik nafas panjang
sebelum melangkah keluar daripada kelas. Terasa sesak pula dadanya duduk di
dalam kelas itu lama- lama.
“ Is, kau nak ke mana? Kejap lagi Cik Umi nak
masuk,” Zaim bersuara. Dia sendiri pelik melihat tingkah Isyraq yang berubah
secara mendadak.
“ Aku nak pergi hisap rokok, kejap lagi aku masuk,”
balas Isyraq sebelum berlalu. Namun, sempat lagi ekor matanya menjeling pada
Hamna yang masih lagi dipujuk oleh Elyas. Dia memegang dadanya.
‘ Kenapa hati ni sakit semacam je?’ bisik hati
kecilnya.
“ NA, kau tunggu dekat sini sekejap ye, aku nak
pergi masuk kelas sekejap. Aku tertinggal faillah pulak,” ucap Fika sebelum
berlari- lari anak menuju ke kelasnya yang terletak di tingkat dua. Hamna hanya
mengangguk dan duduk di bangku tidak jauh daripada tempat letak kereta
pensyarah.
Hamna memegang kepalanya yang terasa pening- pening
lalat. Mungkin kesan daripada ubat yang dimakan semasa dalam kelas tadi. Ini
semua mamat tak guna tu punya pasal. Kan kepala aku dah terhuyung- hayang ni.
Macam mana aku nak bawak motor? Aduhhh…rungut hati Hamna.
Dia menggeleng- gelengkan kepalanya, semoga dengan
cara seperti itu rasa pening itu boleh hilang. Kemudian, dia mengetuk- ngetuk
kepalanya dengan jari. Aduh, peningnya. Macam mana nak bertahan ni?
“ Kau Hamna kan?” soal satu suara membuatkan Hamna
mendongak.
Dia mengecilkan matanya yang terlindung di sebalik
cermin mata. Kelihatan seorang gadis berbaju kemeja dan berseluar jeans. Rambut
gadis itu yang hitam keperangan di biarkan lepas melepasi bahu. Siapa pula ni?
“ Betullah tu. Kau ni siapa?” soal Hamna pula.
“ Berani kau tanya aku siapa? Kau dah rampas kekasih
aku, kau boleh tanya aku siapa?!” tengking gadis itu dengan muka yang menyinga.
Terus hilang kecantikannya.
Hamna menggarukan kepalanya yang beralas tudung. Aku
rampas kekasih orang? Kekasih sendiri pun tak ada, inikan pula nak rampas
kekasih orang. Tak logik betul!
“ Aku rampas kekasih kau? Kau gila ke? Tak pun
kekasih kau tu gila!” balas Hamna selamba sambil ketawa kecil. Dia menggelengkan
kepalanya.
Gadis itu mengetap bibir. Sakit betul hatinya
apabila melihat Hamna berada di dalam kereta Isyraq pagi tadi. Selama dia
bercinta dengan Isyraq, belum pernah lagi lelaki itu menjemputnya ke kolej
menggunakan kereta, asyik dengan motor besar tu je. Dia benar- benar cemburu
kali ini. Hal remeh itu pun nak dicemburukan? Entah apa- apalah engkau Damia!
“ Aku nak kau putuskan hubungan kau dengan Isyraq!
Dia milik aku!” ujar Damia dengan tegas.
Hamna terpempan. Isyraq?!
Namun tiba- tiba tawanya meletus. Kuat dan
bersambung- sambung. Terus hilang sakit kepalanya kerana dapat ketawa dengan
sepuas hati. Barulah dia teringatkan sesuatu. Rupa- rupanya inilah Damia, bekas
kekasih Isyraq yang datang berjumpa dengannya tempoh hari. Tak sangka ada juga
perempuan yang tergila- gilakan mamat kurang akal tu. Kutuk hati Hamna.
“ Jadi kau datang dekat aku ni semata- mata nak
suruh aku clash dengan Isyraq? Buang masa jelah. Kau pergi cakap dekat dia
jelah!” balas Hamna berani.
Damia mendengus. Perempuan ni memang nak kena!
“ Kau dengar sini perempuan, kau ingat Is tu suka
sangat dekat perempuan yang selekeh macam kau. Dahlah muka buruk, hodoh. Kau
ingat ada mana- mana lelaki yang suka pada kau ke? Eh, cerminlah muka kau
sikit. Kalau aku jadi Is, memang aku malulah nak kenalkan kau sebagai kekasih.
Tak selera langsung tengok perempuan selekeh macam kau!” jerit Damia kuat
sehingga menarik perhatian beberapa pelajar kolej yang lalu lalang. Dia
bercekak pinggang.
Hamna terkesima. Kata- kata hinaan yang Damia lemparkan
menusuk hatinya. Bibirnya bagaikan terkunci untuk membalas kata- kata Damia.
Apatah lagi apabila ada mata- mata memandang pertengkaran mereka. Ada yang
tergelak tidak kurang juga ada yang tersenyum sinis namun tiada siapa pun yang
berani untuk membantunya.
“ Aku malas nak bertekak dengan kau!” ucap Hamna.
Suaranya tenggelam timbul. Kepala yang berdenyut menghalang fikirannya untuk
membalas kata- kata Damia.
Damia ketawa sinis. Dia berjalan mengelilingi Hamna.
Dia memandang Hamna daripada atas hingga ke bawah. Tiba- tiba dia menarik
tudung Hamna daripada belakang.
Hamna terkejut. Dengan sepantas kilat dia menepis.
“ Kau ni apahal? Aku tak nak cari gaduh dengan kau!”
tekan Hamna. Dia cuba memegang dinding yang berhampiran dengannya namun Damia
dengan pantas menepis tangan Hamna. Dia menolak tubuh Hamna sehingga jatuh ke
tanah.
“ Aduh!” Hamna mengaduh apabila tangannya yang
terluka semalam bergesel dengan batu yang terdapat di tanah. Wajahnya berkerut.
“ Padam dengan muka kau! Perempuan tak sedar diri
macam kau ni kena ajar sikit! Dengar sini semua, perempuan yang tak tahu malu
ni dah rampas kekasih aku! Aku memang pantang orang rampas kekasih aku! Kau
terimalah balasan ni. Jangan cuba- cuba nak cabar Damia!” jerit Damia seperti
di rasuk. Dia memanggil beberapa pelajar yang melalui kawasan tersebut namun
semuanya memandang mereka berdua dengan senyuman sinis.
Tidak disangka- sangka, Damia menarik cermin mata
yang dipakai oleh Hamna lalu dipijak- pijak dengan penuh perasaan.
Hamna tidak dapat berbuat apa- apa. Tubuhnya yang
lemah mengekang dia untuk menghalang perbuatan Damia yang memijak cermin
matanya. Dia terkaku dan terkelu. Ya Allah!
“ Sepatutnya muka kau tu aku pijak!!” jerit Damia
lagi.
Dia mencekak kolar baju kemeja yang dipakai oleh
Hamna.
“ Macam manalah muka hodoh macam kau ni boleh buat
Is tersangkut? Bodohnya dia…”
“ Bukan aku yang bodoh, tapi kau!” sampuk satu suara
menghentikan kata- kata Damia. Dia mendongak. Alamak!
Dengan pantas Isyraq menerpa ke arah Damia lalu
menolak tubuh gadis itu sehingga Damia jatuh terduduk di atas tanah. Lengan
Hamna ditarik dan tubuh itu ditegakkan semula. Dia mengambil tempat di hadapan
Hamna bagi melindungi gadis itu daripada diserang oleh Damia yang bagaikan
dirasuk.
“ Is….” Panggil Damia dengan lembut.
“ Apa?!” tengking Isyraq kuat. Pandangannya tajam
menjamah wajah Damia yang terkulat- kulat.
Terhinjut bahu Damia mendengar tengkingan Isyraq.
Kecut perutnya melihat wajah Isyraq yang bengis.
“ Kau cakap aku bodoh sebab pilih dia? Aku
sebenarnya yang bodoh sebab pernah jadikan kau sebagai kekasih aku! Aku
menyesal tahu tak. Tak sangka perempuan yang kononnya cantik rupa- rupanya ada
perangai yang lebih busuk daripada sampah! Kalau kau nak cari gaduh, bukan
dengan Hamna, tapi dengan aku!” tempik Isyraq lagi.
Sakit sungguh hatinya apabila melihat Hamna
dilakukan seperti itu. Sejahat- jahat dirinya belum pernah dia menghina dan
memperlakukan Hamna sedemikian rupa. Bukan dia tidak nampak apa yang Damia
lakukan, menghina dan memijak cermin mata Hamna dengan sesuka hati. Dahlah
gadis itu tengah sakit sekarang, pasti sukar untuk melawan.
“ Yang awak bela sangat dia ni kenapa?” tingkah
Damia. Dia dah dapat kekuatan.
“ Dah dia kekasih aku, suka hati akulah. Aku dah
beri amaran pada kau, jangan sampai aku bocorkan rahsia kau yang besar tu pada
semua pelajar dekat kolej ni, malu kau nanti!” Isyraq mengugut. Dia meluruskan jari telunjuknya tepat pada
wajah Damia yang cuak.
“ Rahsia a..aapa?” soal Damia tergagap- gagap.
Isyraq tersenyum sinis. Dia menoleh ke belakang, cuba
mencari raut wajah Hamna yang menunduk. Wajah itu memang kelihatan pucat dan
tidak bermaya. Alahai, kesianlah pulak. Namun, dia melangkah setapak ke
hadapan.
“ Yang kau mengandungkan anak datuk tu sebab itu kau
cari aku. Kau ingat aku nak bertanggungjawab? Eh, kirim salamlah. Walaupun
Hamna tak secantik kau tapi perangai dia tak seburuk kau. Dia tahu jaga maruah
diri dia. Tapi kau? Cantik luaran tapi sebenarnya tak ada apa- apa…Sebelum kau
hina orang, kau cermin diri kau sendiri. Atau kau nak aku beli cermin yang
besar baru kau boleh cerminkan diri kau tu!” bisik Isyraq perlahan tapi cukup
berbisa.
Damia tersentak. Berubah air mukanya. Bagaimana
lelaki itu boleh tahu? Tak, tak, dia tak boleh biarkan rahsia ini terbongkar.
“ Awak memang tak guna, Is!”
“ Kau yang tak guna. Kalau kau cari pasal lagi
dengan aku ataupun Hamna, aku tak teragak- agak nak hebohkan satu kolej ini,
kau jangan lupa mulut lelaki seperti aku lebih tajam daripada mata pedang.
Lebih baik kau berambus, sebelum penampar ni singgah muka kau!” ujar Isyraq
dengan kasar.
Damia merengus kasar.
“ Arggghhh!” dia menjerit sebelum berlalu
meninggalkan Isyraq dan Hamna dengan perasaan bengang. Dia tewas.
Isyraq menarik nafas lega. Dia berpaling ke
belakang. Hamna sudah tiada di belakangnya. Ke mana pula minah ni pergi? Soal
hatinya namun matanya tertacap pada tubuh gadis itu yang terduduk secara
melutut di atas lantai sambil tangannya menggenggam cermin mata yang pecah
berderai. Isyraq menarik nafas panjang sebelum turut menunduk.
Dia merenung wajah Hamna yang kelihatan merah. Mata
gadis itu sudah berkaca. Menangiskah dia? Hati Isyraq tersentuh kali ini. Ya,
dia tersentuh melihat air mata itu!
“ Tak payahlah nak menangis, benda tu dah hancur.
Beli je yang baru…” pujuk Isyraq lembut.
Hamna mengangkat wajahnya. Dibiarkan saja matanya
bertentangan dengan anak mata hitam milik lelaki itu. Senangnya cakap. Orang
banyak duit memang cakap pakai air liur je bukan pakai otak!
Isyraq menelan air liur menahan debaran akibat
dipanah dengan anak mata yang bundar itu.
Ish, kenapa pula dengan hati aku ni?
“ Aku bukannya kaya macam kau!” balas Hamna sambil
mengesat sisa air mata yang masih bergenang di kelopak mata.
Isyraq mengetap bibir. Kemudian dia bangun dan
menarik lengan gadis itu untuk bangun sekali. Beg sandang gadis itu dicapai dan
lengan gadis itu diheret hingga ke luar kolej.
“ Kau nak bawak aku ke mana ni? Aku tak sihat
sekarang, tak ada masa aku nak layan kerenah kau!” bentak Hamna geram. Dia cuba
merungkai pegangan tangan Isyraq yang kemas di lengannya.
“ Ke klinik. Tangan kau berdarah balik tu!” jawab
Isyraq selamba. Dia menolak Hamna supaya masuk ke dalam kereta selepas pintu
kereta di buka.
Hamna tidak sempat berbuat apa- apa, dia hanya
mengikut apa yang Isyraq lakukan. Jauh di satu sudut, Fika dan Elyas
berpandangan sesama sendiri melihat apa yang terbentang di depan mata. Hamna
dan Isyraq? Macam mana mereka boleh…..?