SEBUAH kereta Myvi putih berhenti di pinggir jalan
tidak jauh dari rumah Wardah. Pemiliknya melangkah keluar dengan rasa yang berbaur.
Deretan kereta di hadapan rumah gadis itu sudah menjawab segala persoalan yang
bermain di mindanya. Dia cuba untuk mengagahkan diri untuk melangkah namun
langkahnya terhenti apabila melihat Wardah dan sekeluarga turut melangkah
keluar daripada rumah.
Kelihatan gadis itu tampak cantik dengan jubah
berwarna putih tersarung di badannya. Selendang yang berwarna putih menutupi
kepalanya. Sungguh, sayu benar hatinya apabila melihat senyuman yang mekar di
bibir gadis itu. Dia kelihatan sungguh gembira. Sedangkan aku?
Zafran menyembunyikan dirinya di sebalik pokok
rambutan yang berada tidak jauh daripada halaman rumah tu. Dia mengintai
sedikit untuk mendengar apa yang dibualkan oleh keluarga itu.
“Alhamdulillah, semuanya dah selesai. Wardah pun dah
selamat jadi tunang Emir. Insya-Allah kalau tak ada apa-apa aral, nikahlah
mereka hujung tahun ni…” seorang lelaki tua bersuara.
Zafran terpempan. Hancur hatinya mendengar kata-kata
itu. Terasa seperti hatinya pecah berderai. Tanpa sedar, air matanya turut
berderaian menangisi luka yang menghiris hatinya. Dia meramas dadanya yang
terasa sakit. Ya Allah, inikah rasanya sakit kerana cinta? Soal hatinya sambil
matanya mendongak ke langit.
“Habis tu study
dia orang macam mana?” satu suara mencelah. Zafran berpaling pada wanita yang
agak berusia berdiri di sebelah Wardah. Itu mak. Bisik hatinya.
“Lepas kahwin dia orang berdua ni boleh sambung degree sama-sama. Lebih afdal belajar
bila ikatan dan halal ni,” sampuk seorang lelaki tua yang tidak dikenali oleh
Zafran. Mungkin ayah tunang Wardah. Hati Zafran meneka.
Zafran menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia memegang
batang pokok itu dengan kemas, seolah-olah dengan cara itu dia dapat mengumpul
kekuatan. Senyuman bahagia yang terukir di wajah Wardah membuatkan hatinya
bertambah sakit apatah lagi saat dia melihat Wardah berbalas senyuman dengan
seorang lelaki yang memakai baju melayu berwarna putih. Lama dia amati lelaki
asing itu, siapa dia? Soal hati Zafran.
Apa yang nyata lelaki yang akan menjadi pendamping
hidup Wardah bukan calang-calang orang. Wajahnya memang tenang malah sejuk mata
memandang. Lelaki itu memiliki aura yang tersendiri sehinggakan Zafran dapat
rasakan yang lelaki itu seorang lelaki yang baik. Malah memang sesuai jika
bergandingan dengan Wardah, sedangkan dia? Seorang lelaki yang hanya suka
mempermainkan hati gadis-gadis dan sekarang dia sudah menerima balasannya.
“Sampai hati kau buat aku macam ni, Ada. Takkan tak
ada sekelumit pun peluang untuk aku menetap dalam hati kau? Rasa ini sakit,
Ada. Sakit sangat…” desis Zafran perlahan. Dia menyeka air matanya dengan
hujung jari.
Sungguh dia tidak kuat untuk melihat kegembiraan di
wajah Wardah lagi kerana itu sangat menyakitkan apabila cinta yang diharapkan
tidak kesampaian. Orang yang disayangi kini telah menjadi milik orang lain.
Hatinya hancur. Hatinya sakit.
Perlahan-lahan, Zafran mengundurkan langkah. Dia
berpaling.
“Zaf…” panggil satu suara mengejutkan Zafran. Dia
mendongak. Satu senyuman hambar dilemparkan pada Zahirul yang memandang
wajahnya dengan pandangan sayu.
“Zaf terlambat, bang. Cinta dia bukan untuk Zaf.
Kasihnya bukan milik Zaf…” ucap Zafran sebak. Dia menundukkan wajah. Bimbang
air mata yang bergenang dapat dikesan oleh Zahirul.
Sebak dada Zahirul mendengar kata-kata Zafran.
Sepantas kilat dia menarik Zafran ke dalam pelukan. Belakang badan adiknya
ditepuk-tepuk lembut untuk memberi semangat.
“Sabarlah, dik. Jodoh di tangan Allah, bila bukan
jodoh, cintalah sekuat mana pun, tetap bukan jodoh. Mungkin ada yang lebih baik
yang menanti adik abang ni,” Zahirul memujuk lembut.
Zafran mengetap bibir. Matanya berkelip-kelip bagi
menghalang air mata daripada tumpah.
“Tapi masih adakah perempuan sebaik dia, bang?
Kenapa hati Zaf sakit sangat, bang? Sepatutnya Zaf gembira kawan baik Zaf dah
bertunang tapi kenapa hati Zaf tak boleh terima, bang?” soal Zafran
bertalu-talu. Dia mengeratkan pelukan di tubuh Zahirul.
Allah…hanya itu yang mampu Zahirul ucapkan di dalam
hatinya. Soalan yang diajukan oleh Zafran tidak mampu untuk dijawab oleh
Zahirul. Dia memahami kelukaan adiknya tetapi untuk menyembuhkannya, dia tidak
mampu. Hanya masa yang mampu mengubati luka kerana cinta.
“Allah telah menjanjikan lelaki yang baik hanya
untuk perempuan yang baik begitu juga dengan perempuan yang baik untuk lelaki
yang baik. Jadi Zaf jangan pernah meragukan janji Allah. Kembali kepada qada
dan qadar. Dia yang menciptakan hati dan rasa cinta dan Dia juga yang berhak
meletakkan cinta kita kepada hati-hati yang dipilih oleh-Nya untuk kita,”
nasihat Zahirul lagi.
“Dan Zaf bukan lelaki yang baik untuk dia. Zaf
sedar. Memang cinta itu tidak pernah berpihak pada Zaf. Cinta yang dulu Zaf
anggap hanya mainan kini dan memakan diri Zaf sendiri. Mungkin sudah tiba
masanya untuk Zaf mencari cinta yang hakiki…” ucap Zafran sambil meleraikan
pelukan. Wajah abangnya dipandang dengan mata yang berkaca.
Rasa kecewa membuatkan dia pasrah. Pasrah dengan
jalan hidup yang telah diaturkan oleh Yang Maha Kuasa.
“Apa maksud Zaf ni?” soal Zahirul dengan dahi yang
berkerut.
“Zaf pergi dulu….” Ucap Zafran tiba-tiba sebelum dia
menyalami tangan Zahirul.
Zafran menarik kembali tangannya dan mula mengorak
langkah menuju ke keretanya. Panggilan daripada Zahirul tidak dihiraukan. Hati
yang terluka perlu diubati dengan segera sebelum ia menjadi nanah yang tidak
dapat disembuhkan.
“Zaf!” panggil Zahirul kuat. Dia mengejar Zafran
namun semuanya sudah terlambat, Zafran terlebih dahulu memecut keretanya
meninggalkan perkarangan rumah mereka.
“Zaf…” suara Zahirul kembali kendur. Buat seketika
dia memandang rumah Wardah yang masih dipenuhi dengan orang ramai. Satu keluhan
dilepaskan oleh Zahirul.
Kerana cinta, ada hati yang terluka. Kerana cinta
ada hati yang merana dan kerana cinta juga ada jiwa yang bahagia. Semuanya
kerana cinta. Detik hati Zahirul.
MATA Athira terpaku pada dua orang jejaka yang
berada di sebalik pokok rambutan. Dia mengecilkan matanya untuk mengamati kedua
jejaka tersebut namun hanya seorang saja yang dilihat, itu pun samar-samar
kerana ditutupi dengan daun pokok rambutan yang merimbun.
‘Itu Encik Zahirul. Dia berpeluk dengan siapa pulak
tu?’ monolog Athira dalam hati. Kepalanya terjengul-jengul untuk mencari raut
wajah lelaki yang berpelukan dengan Zahirul itu.
“Apa yang kau tengok tu, Ati?” soal Amira sambil
berbisik di telinga Athira.
Athira hanya tersengih kemudian dia menggelengkan
kepala.
“Eh, tak ada apa-apalah…” jawab Athira kemudian
matanya kembali fokus pada perbincangan kedua belah keluarga.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, kami mintak diri
dululah…” ucap Encik Husin, ayah kepada Emir Rehan.
“Nampaknya semua sudah setuju jadi kita tunggu
hujung tahun nilah. Emir, Ada, kamu berdua ni darah manis, ingat jaga
batas-batas pergaulan. Walaupun dah bertunang tapi itu bukan tiket untuk
segala-galanya,” nasihat Encik Musa pada Emir Rehan dan Wardah yang hanya mampu
tersenyum.
“Ada akan ingat, ayah. Selagi kami tak disatukan
selagi itulah kami akan berpegang pada syariat,” balas Wardah. Emir Rehan hanya
menganggukkan kepala. Dia tersenyum manis pada Wardah yang sudah rasmi menjadi
tunangannya.
“Baguslah kalau macam tu, sejuk hati ni dapat bakal
menantu macam Wardah.” Sampuk Puan Elisya dengan senyuman lebar.
Wardah menunduk malu. Sekali sekala dia menjeling
wajah Emir Rehan yang kelihatan tenang. Hatinya turut tenang melihat wajah itu
tetapi jauh di lubuk hatinya dia dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena.
Hatinya terasa nyilu dengan tiba-tiba. Namun, cepat-cepat dia mengusir rasa itu
jauh daripada hatinya.
Sebaik saja keluarga Emir Rehan berlalu, kini tiba
giliran Athira dan Amira pula untuk beredar. Wardah memegang tangan kedua
sahabat karibnya itu.
“Terima kasih sebab korang berdua sudi datang majlis
aku. Koranglah jantung hati aku,” ucap Wardah dengan tawa kecil. Wajahnya sudah
cukup menggambarkan betapa dia gembira dengan pertunangan ini.
Amira turut ketawa cuma Athira saja yang tersenyum
hambar.
“Aku nampak kereta Encik Zahirul tadi, tapi kereta
Zaf aku tak nampak pulak,” ucap Athira tiba-tiba.
Senyuman di bibir Wardah mati dengan sendirinya sebaik saja mendengar
nama Zafran meniti di bibir Athira. Dia memandang wajah Athira yang
menjengukkan kepala ke arah jalan raya.
“Kau ni macam berminat je dengan Zaf. Kau jangan
risau nanti dia baliklah tu. Mungkin dia ada kerja dekat Kuantan,” balas Wardah
acuh tak acuh.
Athira hanya tersenyum sinis dengan jawapan Wardah.
Dia yakin pasti Zafran sudah maklum tentang pertunangan Wardah kerana dia yang
minta supaya Iqram sampaikan berita ini pada Zafran dan Athira yakin pasti
Zafran akan terluka.
“Kau bukan nak kisahkan dia lagi, kan? Kau dah dapat
cinta sejati…” balas Athira seakan memerli. Entah kenapa dia rasa sakit hati
sangat dengan sikap Wardah kali ini.
“Ati…apa maksud kau ni?” soal Wardah dengan dahi
yang berkerut. Hatinya tersentuh dengan kata-kata Athira.
“Eh tak ada apa-apa maksud pun. Betullah kan, kau
tak kisah? Kau jugak yang cakap tadi. Jadi aku cuma ulang apa yang kau cakap,”
balas Athira dengan sengihan melebar.
Wardah hanya tersenyum hambar sebagai balasan. Dia
tahu Athira masih lagi marahkannya disebabkan Zafran tetapi hatinya memang
tidak dapat menerima apa yang Zafran lakukan, takkan dia perlu memaksa hatinya
untuk menerima lelaki itu lagi?
“Sudahlah, korang berdua ni. Ada, tahniah sebab dah
jadi tunang orang. Lepas ni jangan lupa selalu-selalulah contact kita orang ni. Aku akan rindukan kau, Ada. Beruntung Emir
dapat kau,” sampuk Amira setelah agak lama mendiamkan diri.
“Terima kasih, Mira. Aku akan rindukan korang
berdua. Lepas ni kalau kau orang rindukan aku, jangan lupa datang Kuantan. Kita
lepak-lepak…” balas Wardah. Kali ini bibirnya mula mengukir senyuman ikhlas.
“Insya-Allah, Ada. Sebelum kau betul-betul jadi
isteri orang, aku harap kau buka betul-betul hati kau dan nilai perasaan kau
sendiri…” giliran Athira pula yang bersuara.
Wardah mengerutkan dahi. Pelik dengan kata-kata
Athira yang penuh dengan maksud tersirat.
“Apa maksud kau ni, Ati? Aku tak faham…”
“Kalau kau tak faham tak apa, biarlah hati kau aje
yang memahami. Satu hari nanti kau akan faham…” ucap Athira dengan senyuman
nipis tersungging di bibirnya.
Wardah hanya tersenyum sebagai balasan. Biarlah hati
saja yang memahami? Apa maksud Athira sebenarnya?
BILA ku hanya
sesaat bagimu,
Jangan biarkan
ku terlanjur menyayangmu,
Aku tak sanggup
jauh darimu,
Kerna kau yang
membuat aku menyayangmu,
Cinta ku punya
bukan sekadar kata,
Cintaku ini
abadi untuk mu.
Lagu Kasih Jangan Pergi nyanyian Pria Band memenuhi
segenap ruang kereta yang dipandu oleh Zafran. Setiap bait yang dialunkan oleh
penyanyinya cukup menyentuh hati Zafran yang benar-benar kecewa saat ini.
Seakan-akan terbayang segala kenangan manisnya
bersama dengan Wardah dan kenangan itu mampu mengacau-bilaukan hatinya saat
ini. Senyuman manis yang terukir di bibir gadis itu seolah-olah menggambarkan
yang gadis itu tidak kisah dengan derita yang ditanggungnya sekarang ini.
‘Inikah yang aku harus terima setelah hati mula
mengenal cinta? Jika inilah rasa sakitnya, sumpah aku takkan biarkan cinta itu
menghampiri aku walaupun sedikit!’ monolog hati Zafran.
Dia menyapu air mata yang mengalir di pipi dengan
kasar. Dia lelaki, tidak seharusnya dia menangis kerana seorang perempuan yang
tidak menerima cintanya. Sepatutnya dia bergembira kerana Wardah bertemu jodoh
dengan lelaki yang baik. Lelaki yang mampu menjaga gadis itu sebaik-baiknya.
Namun, setiap kali hatinya cuba untuk menerima hakikat itu, jiwanya bagaikan
dirobek-robek dengan belati tajam.
Hanya kerana satu kesilapan yang dilakukan, dia
dibuang terus daripada hidup gadis itu. Cintanya ditolak. Sayangnya tidak
bersambut malah kasihnya tidak dipandang oleh gadis itu. Hukuman yang
diterimanya terlalu berat, seberat hatinya saat ini.
Zafran meneruskan pemanduan tanpa arah tujuan. Dia tidak
tahu dia berada di mana saat ini. Dia hanya mengikuti langkah kaki yang menekan
pedal minyak. Keretanya dibelokkan ke perkarangan masjid yang berkubah kuning.
Jam di dashboard menunjukkan pukul
tiga petang. Zohornya masih belum ditunaikan lalu dengan pantas Zafran
memarkirkan keretanya di hadapan pintu masuk masjid.
Air mata yang mengalir di pipi diseka dengan jari.
Dia meraup wajahnya yang terasa sembab sebelum melangkah keluar dari kereta.
Dia memandang masjid lambang kebesaran Islam itu dengan perasaan yang berbaur.
Dia menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia ingin mengusir segala kesedihan yang
merajai hati saat ini.
Saat dia melangkah ke dalam masjid itu, terasa
hatinya disapa ketenangan. Malah suasana sunyi itu membantu Zafran untuk lebih
khusyuk dalam solatnya. Dia berdiri di barisan depan. Selepas mengangkat
takbir, Zafran memulakan solatnya.
Setelah selesai memberi salam, Zafran duduk
berteleku di atas sejadah. Semua puji-pujian terlafaz di bibirnya memuji Asma’
Allah serta selawat kepada junjungan yang mulia Rasulullah s.a.w. Air matanya
kembali mengalir mengenangkan dosanya yang tidak pernah surut.
“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim…Ampunilah segala
dosa-dosaku. Sesungguhnya aku insan yang paling hina memohon kemaafan
daripada-Mu. Sesugguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-Mu tetapi aku tidak
sanggup untuk menjejakkan kaki ke neraka-Mu kerana aku tahu pembalasan-Mu
tersangatlah pedih. Tetapi aku tak pernah malu untuk memohon dan merayu agar
Kau maafkan aku.” ucap Zafran dengan tangisan yang mula kedengaran. Dia kembali
bersujud dan berisghtifar.
Namun, perlahan-lahan tubuhnya rebah. Air matanya
sudah tidak dapat dibendung. Zafran menangis di tikar sejadah sambil tangannya
mengenggam kuat sejadah yang berwarna hijau itu.
“Ya Allah, kenapa Kau ciptakan cinta jika harus ada
yang terluka? Kenapa Kau ciptakan cinta jika hati aku yang merasa sakitnya?”
soal Zafran sendirian. Wajahnya ditekupkan ke sejadah.
“Aku tidak mampu untuk menahan rasa sakit ini, Ya
Allah. Tidak pernah dalam hidupku merasakan sakit seperti ini. Aku cintakan
dia, Ya Allah. Aku cintakan dia dengan rasa cinta yang kau tanamkan dalam hati
aku tetapi kenapa aku tak mampu untuk mendapatkan cintanya? Cinta itu kejam!
Cinta itu menyakitkan!” jerit Zafran sambil menumbuk lantai.
Rasa nyilu di hati tidak mampu ditahan lagi. Senyum
dan tawa Wardah menari-nari di mindanya. Lirikan mata gadis itu memenuhi ruang
fikirannya. Hal itu membuatkan jiwa Zafran makin merasa seksanya apabila gadis
yang disayangi akan menjadi milik orang lain dan dia harus menerima hakikat
itu. Tetapi mampukah dia menerima kenyataan itu? Kenyataan yang hanya
membuatkan hatinya luka berdarah.
“Cinta tak pernah kejam malah cinta kepada Allah
itulah yang paling mulia. Kenapa meletakkan cinta kepada manusia itu mengatasi
segala-galanya?” soal satu suara mengejutkan Zafran.
Zafran bangkit dan menoleh ke belakang. Seorang
lelaki berjubah putih dan berserban berdiri di belakangnya dengan senyuman
manis. Lelaki itu memeluk satu buku yang berbalut kemas dengan kain yang
berwarna putih. Dahi Zafran berlapis. Siapa lelaki ini? Soal hatinya.
“Imam Ibnu Qayyim pernah berkata, cinta yang terpuji
ialah cinta yang mendatangkan kepada pemilik cinta itu hal-hal yang memberinya
manfaat di dunia mahu pun di akhirat. Maka cinta yang seperti ini merupakan
muara sebuah kebahagiaan. Ada pun cinta yang tercela adalah cinta yang
mendatangkan kepada pemiliknya hal-hal yang membawa kepada kerugian dunia dan
akhirat. Cinta semacam ini adalah sumber penderitaan dan duka lara.” Ujar lelaki itu lagi dengan senyuman manis.
Dia melabuhkan punggung di hadapan Zafran yang kelihatan terkaku.
“Saya benci dengan apa yang dikatakan cinta. Cinta
yang membuatkan saya lemah begini. Jika saya tahu cinta itu menyakitkan, sumpah
saya akan elakkan diri saya daripada jatuh cinta!” ucap Zafran
bersungguh-sungguh. Wajahnya tegang.
“Jangan pernah bermain dengan sumpah, nak. Cinta
juga boleh menguatkan anak…”
“Cinta apa yang boleh menguatkan saya? Saya tak
nampak apa-apa yang baik tentang cinta!” balas Zafran agak sinis.
“Cinta kepada Allah. Itulah segala-segalanya cinta.
Cinta kepada-Nya tidak pernah menyakitkan malah semakin membahagiakan kerana
Allah sentiasa ada di saat kita memerlukan ataupun tidak. Dia yang menciptakan
cinta jadi seeloknya cinta itu berlandaskan cinta kepada-Nya,” balas lelaki itu
dengan bibir yang sentiasa mekar dengan senyuman.
Zafran terdiam. Dia menundukkan wajahnya.
“Ambil ni, dalam ini penuh dengan ayat-ayat cinta
yang telah Dia lakarkan untuk kita. Fahamilah, nescaya anak akan menemui cinta
yang sejati…” ucap lelaki tersebut sambil menyerahkan buku yang berbalut dengan
kain putih itu.
Dahi Zafran berkerut namun dengan pantas dia
menyambut huluran itu. Dadanya berdebar-debar saat balutan itu dibuka malah
tangannya turut terketar-ketar apabila melihat senaskah al-Quran terpapar di
hadapan mata. Sungguh, hati Zafran tersentuh.
“Pak cik, ini….” Zafran mengangkat muka. Namun,
kelibat lelaki berjubah putih itu tidak kelihatan di mana-mana. Zafran
gementar.
“Pak Cik!” panggil Zafran kuat tetapi hanya suaranya
saja yang bergema di segenap ruang masjid itu.
‘Ketika cinta menyapamu, jangan silau dengan
indahnya dia, tetapi lihatlah apakah cinta itu akan membuatmua semakin dekat
kepada Allah atau tidak.’
Bisikan itu membuatkan Zafran terjaga daripada
tidur. Dia bingkas daripada pembaringan sambil matanya melilau ke kiri dan
kanan. Dahinya yang berpeluh dikesat dengan tangannya.
‘Mana pak cik tu? Mana al-Quran?’ soal hatinya
sambil memandang tangannya yang kosong. Dia menyentuh dadanya yang
berdebar-debar.
“Ya Allah adakah ini satu petunjuk daripada-Mu?”
soal Zafran sambil menadah tangan.
“Dulu sewaktu aku belum mengenal apa itu cinta, aku
tidak pernah ingin tahu apa itu cinta tetapi bila aku sudah mula mengenalinya,
aku tidak tahu bagaimana cara untuk melupakannya. Di hadapan-Mu aku berserah.
Terimalah cinta ku, Ya Allah…” ucap Zafran seraya meraup wajahnya dengan kedua
belah tapak tangan.
Sungguh saat ini dia mula merasa ketenangan mula
meresap ke dalam hatinya. Ketenangan yang tidak mampu diungkapkan melalui
kata-kata. Mungkin inilah yang terbaik untuknya, dikecewakan oleh cinta manusia
tetapi cinta Allah tidak pernah mengecewakan.