Tetamu Rindu

Tuesday 3 June 2014

PENGUMUMAN

TEMPAHAN untuk Rindu Dalam Sepi Istimewa Ramadan -MENGINTAI RINDU sudah DIBUKA..SESIAPA yang berminat boleh membuat pembayaran untuk tempahan...stok adalah TERHAD dan takkan ada cetakan susulan..Siapa cepat dia dapat! Hehehe...

HARGA:

SEMENANJUNG:
RM22 + RM6 (POSTAGE) = RM28

SABAH & SARAWAK:
RM25 + RM9 (POSTAGE) = RM34

Bank in ke account no.: 

 MAYBANK: 156169233499 (asma aziz) 

CIMB BANK : 06010755514525 ( asma aziz ) 

 Email : mujahidah_khadijah25@yahoo.com 

Boleh hantarkan bukti pembayaran ke FB Siti Khadijah atau emailkan ke email di atas..
Tarikh tutup pembayaran: 29 Jun 2014

Rindu Dalam Sepi -Mengintai Rindu ( Bab 3 )


A
MMAR turun dari tingkat atas. Mata hazelnya melilau mencari kelibat mama dan adik- adiknya yang lain. Papanya pasti sudah keluar berjumpa dengan client. Namun, satu kelibat pun tidak kelihatan menyebabkan dahi Ammar berkerut. Tadi mama cakap nak buat kuih rayalah apalah tapi kelibat mamanya tidak kelihatan.
Kaki Ammar dihayunkan ke ruang tamu. Mana tahu Datin Zarina sedang menonton televisyen. Tetapi suasana tetap sunyi hanya kedengaran suara dari peti televisyen. Namun, langkah Ammar terhenti apabila melihat sekujur tubuh terbaring di atas sofa. Mata gadis itu terpejam rapat.
Ammar merengus. Tak balik lagi ke dia ni? Desis hati Ammar. Bengkak pula hatinya melihat Mardiyah yang kelihatan tenang dalam lenanya. Lantas, Ammar berpaling untuk kembali ke bilik namun tiba- tiba langkahnya terhenti. Dia berpaling semula lalu langkahnya dihayunkan ke sofa di sebelah Mardiyah. Dia duduk sambil berpeluk tubuh.
‘Kenapa aku pula yang nak lari sedangkan ini rumah aku? Perempuan ni yang sepatutnya berambus!’ desis hatinya.
Ammar cuba menumpukan sepenuh perhatian pada skrin TV namun hatinya bagaikan meronta- ronta supaya dia meneliti wajah Mardiyah yang sedang lena di sofa. Arghh, kacau betullah. Come on, Am, fokus pada TV. Jangan ikutkan sangat hati tu. Seakan ada suara yang berbisik di telinganya.
Ammar cuba menahan matanya daripada berpaling namun tidak dapat tidak dia tetap mengalihkan pandangannya pada laman wajah Mardiyah yang sedang lena diulit mimpi. Entah apalah yang sedang gadis itu mimpikan. Ammar mengesot sedikit badannya supaya lebih dekat dengan Mardiyah.
Dia menongkat dagu sambil matanya dibiarkan terus menjamah setiap inci wajah Mardiyah. Gadis itu tidaklah cantik sangat cuma sekadar sedap mata memandang. Tetapi wajah itu cukup tenang sewaktu tidur. Ammar terus- terusan memandang wajah Mardiyah, daripada keningnya yang lebat kemudian turun pada hidung gadis itu yang sederhana mancung sebelum anak matanya bergerak pada bibir Mardiyah yang merekah bak ulas limau. Lama matanya difokuskan di bibir itu sebelum matanya dialihkan pada pipi Mardiyah yang mulus. Nampak lembut. Batin Ammar bagaikan dijentik sesuatu, lalu perlahan- lahan tangannya diangkat untuk menyentuh ubun- ubun Mardiyah yang berbalut dengan tudung.
Namun, perbuatannya terhenti. Dia tersedar lalu menyandarkan tubuhnya kembali di sofa. Dia meraup wajahnya beberapa kali. Dia cuba menahan rasa debar yang menyapa di hati. Apa yang aku nak buat tadi? Soal hatinya.
Ammar cuba menfokuskan pandangannya pada kaca televisyen. Siaran berita di waktu pagi tidak langsung menarik minatnya sebaliknya wajah Mardiyah juga yang bermain di mindanya. Ammar mula resah. Lalu, dia bangun dan duduk di birai sofa yang diduduki oleh Mardiyah. Kepala gadis itu yang tidak beralas, dilapikkan dengan bantal kecil. Tudung gadis itu yang senget dibetulkan. Pandangannya dibiarkan terus menatap wajah ayu itu.
Ammar sedikit terkejut apabila melihat mata Mardiyah yang tiba- tiba mengalirkan air mata. Setitis air mata gugur di pipi yang mulus itu diseka dengan jarinya. Dalam tidur pun Mardiyah menangis? Terseksakah gadis itu? Soal hati Ammar.
Sedang asyik dia merenung wajah Mardiyah tiba- tiba telefon bimbit Mardiyah berbunyi. Dengan pantas, Ammar mencapai telefon tersebut dan menekan keypad lock bagi mengelakkan bunyi deringan itu menganggu tidur Mardiyah. Dia cuba meletakkan kembali telefon Mardiyah di atas meja tetapi ada sesuatu yang menariknya untuk memeriksa mesej yang diterima tadi.
Perlahan- lahan dia membuka kekunci telefon jenama Nokia C3 milik Mardiyah. Berderau juga darahnya apabila membaca sebaris nama yang tertera di skrin. Mesej daripada Raqeem!
Ammar cuba mengawal rasa kurang senang yang bermain di jiwanya. Lalu dengan pantas dia menekan punat di papan kekunci untuk membaca mesej yang dihantar oleh Raqeem. 
Diya, jom berbuka dgn sy hari ni..

Sebaris pesanan ringkas yang dihantar oleh Raqeem membuatkan Ammar menarik nafas panjang. Oh, kau nak bercinta dengan minah ni ye? Huh, kesian kau Raqeem, orang yang kau suka tu dah jadi milik orang lain. Desis hati Ammar.
Lalu, dia membalas mesej Raqeem tanpa izin Mardiyah.
Maaflah, sy sibuk.

Balas Ammar. Selepas mesej tersebut selamat sampai pada Raqeem, dengan pantas Ammar membuang kesemua mesej yang diterima dan dihantar kepada Raqeem. Dia tidak mahu Mardiyah curiga nanti. Dia tersenyum puas apabila sudah tiada balasan daripada Raqeem.
Ammar memandang sekilas pada Mardiyah yang sudah mula bergerak- gerak. Dengan pantas dia berdiri dan duduk di tempat asalnya. Dia mencapai remote control dan berlagak seperti tiada apa- apa yang berlaku.
Mardiyah memisat- misat matanya yang terasa pedih. Dia cuba mencelikkan mata seluas- luasnya namun sebaik saja dia terlihat Ammar yang duduk menonton televisyen cepat- cepat dia bangun dan membetulkan duduknya. Dia menelan air liur. Takut juga kalau dimarahi oleh Ammar kerana tidur di sofanya.
“Maaf, saya tumpang tidur sekejap tadi. Mengantuk sangat,” ujar Mardiyah tanpa sempat Ammar membuka mulut. Dia menjeling sekilas ke arah Ammar yang seperti tidak mengendahkan kehadirannya. Dia dah mula buat muka tak ada perasaan dialah tu. Bisik hati Mardiyah. Dia mendongak memandang jam yang tergantung di dinding. Sudah pukul sepuluh pagi. Lamanya aku tidur. Lebih baik aku pergi Solat Dhuha dululah. Bisik hatinya.
Lantas, Mardiyah bangun dan mula mengorak langkah melintasi Ammar yang sedang menonton rancangan di televisyen.
“Kau nak ke mana pulak tu?” soal Ammar menghentikan langkah Mardiyah.
Mardiyah berpaling.
“Saya nak pergi Solat Dhuha sekejap,” balas Mardiyah.
Ammar terdiam. Solat Dhuha? Hmm…dah lama aku tak buat. Bisik hatinya lalu Ammar turut bingkas.
“Jom solat sekali,” ajak Ammar tanpa memandang wajah Mardiyah.
Mardiyah melongo. “Hah??” soalnya pelik.
“Tak dengar ke apa yang aku cakap tadi? Jomlah solat Dhuha sekali,” Ammar mengulangi ayatnya tanpa sedikit pun memandang wajah Mardiyah.
Mardiyah tersedar kemudian menganggukkan kepala. Lalu, dia membuntuti langkah Ammar daripada belakang dan beredar ke tingkat atas.
Tanpa mereka sedari, Datin Zarina dan Akhil memerhatikan gelagat mereka dengan tawa kecil. Sengaja Datin Zarina menghilangkan diri kerana dia yakin pasti Ammar akan mencari dirinya ternyata apa yang dirancangkan benar- benar menjadi. Hampir terburai tawa dua beranak itu apabila melihat wajah Ammar yang leka memerhatikan wajah Mardiyah yang sedang tidur. Benci konon tapi mata lelaki itu ralit memandang wajah Mardiyah.
“Mama, along tu depan kita bukan main lagi cakap benci pada Kak Diya tapi bila kita tak nampak, bukan main lagi tak berkelip tengok muka Kak Diya. Apalah along ni,” komen Akhil dengan tawa kecil.
Datin Zarina ikut ketawa.

MARDIYAH meraup wajahnya setelah Ammar selesai membacakan doa. Syahdu hatinya apabila solat berimamkan Ammar walaupun Ammar masih enggan menerima dirinya sebagai isteri namun kesudian lelaki itu untuk menjadi imam dalam solatnya sudah cukup membuatkan Mardiyah terharu. Akhirnya, setitis air matanya gugur jua.
Ammar berpaling ke belakang setelah selesai membacakan beberapa potong doa. Sungguh tenang hatinya saat ini apabila dapat menunaikan solat Dhuha yang telah lama ditinggalkan.
“Apa yang sedih sangat tu?” soal Ammar apabila menyedari Mardiyah menitiskan air mata.
Mardiyah tersentak. Dia menggelengkan kepala lalu segaris senyuman hambar dihadiahkan kepada Ammar yang masih duduk mengadapnya. Mardiyah rasa segan apabila bola mata lelaki itu masih lagi merenung wajahnya. Lalu Mardiyah menundukkan pandangan.
“Terima kasih sebab sudi jadi imam saya,” ucap Mardiyah perlahan sambil tertunduk.
Ammar mengulum senyum. Timbul perasaan ingin mengusik gadis itu. Suka pula tengok wajah Mardiyah yang merona merah.
“Apa dia? Aku tak dengarlah..” ucap Ammar sambil mendekatkan wajahnya ke wajah Mardiyah.
Mardiyah tidak keruan apabila tubuh Ammar seakan dekat dengannya. Dia mengesot ke belakang sedikit. Wajahnya sudah berbahang panas. Dia cuba untuk mengangkat muka namun sebaik saja terlihat Ammar yang masih merenungnya, sepantas kilat Mardiyah menundukkan kembali wajahnya. Tidak sanggup rasanya dipanah dengan anak mata Ammar yang tajam.
Ammar ketawa besar melihat tingkah laku Mardiyah. Bukan main pemalunya minah ni. Macamlah aku nak makan dia pun. Bulan puasa kut. Namun Ammar masih belum puas mengusik. Dia menghulurkan tangannya pada Mardiyah.
Mardiyah terkejut. Dia mengangkat pandangan dan memandang wajah Ammar yang serius. Dahinya berkerut melihat tangan yang dihulurkan.
“Tengok apa? Salamlah. Kan dah habis solat ni,” tegur Ammar dengan suara yang dikeraskan padahal dalam hati bagaikan digeletek apabila melihat wajah Mardiyah yang cuak.
Mardiyah kelam kabut. Lalu dia menyambut huluran tangan Ammar dan mengucup tangan lelaki itu dengan lembut. Berdebar hebat jantungnya saat ini kerana inilah kali pertama dia bersalaman dengan lelaki itu walaupun sudah hampir sebulan dia berkahwin dengan Ammar.
Ammar tersenyum. Tersentuh juga hatinya saat Mardiyah mengucup lembut tangannya. Keadaan itu menunjukkan seolah- olah mereka seperti pasangan suami isteri yang lain padahal hakikatnya tidak. Ammar tersedar lalu menarik tangannya dengan kasar. Aku benci dia, sepatutnya aku tak perlu layan dia dengan baik. Bentak hatinya membantah tindakannya sebentar tadi.
Tanpa menunggu lama, Ammar bangun dan meninggalkan Mardiyah yang termangu- mangu di situ. Mardiyah pelik dengan sikap Ammar yang asyik berubah. Mana satu Ammar yang sebenarnya? Soal hati Mardiyah.

ALAH, mama takkan Am yang nak kena beli barang. Mama pergilah dengan Akhil tak pun suruh je Mak Mah yang pergi. Am bukannya pandai nak beli barang tu semua,” Ammar membantah cakap Datin Zarina apabila mamanya itu meminta dia untuk pergi ke pasaraya.
“Mama sibuklah kat rumah ni. Mak Mah kamu tu pun tak larat nak beli barang bulan puasa ni. Takkanlah kamu sanggup tengok mama kamu ni bimbit barang- barang yang berat tu. Tak kesiankan mama?” soal Datin Zarina sambil mengelus bahu Ammar dengan lembut.
Ammar mencemikkan muka. Mamanya kalau pujuk memang takkan bagi peluang untuknya menang pasti akhinya dia yang akan kalah.
“Yelah- yelah Am pergi. Mana senarai barangnya?” soal Ammar sambil menghulurkan tapak tangan untuk meminta senarai barang.
Datin Zarina tersenyum lalu meletakkan beberapa helai kertas kecil di atas tangan Ammar. Dia tersengih apabila melihat mata Ammar yang terbeliak.
“Ini senarai barang ke karangan Bahasa Melayu, mama? Panjang bukan main lagi. Mama nak masak untuk buka puasa ke atau mama nak buat kenduri?” soal Ammar geram.
Datin Zarina ketawa mendengar kata- kata Ammar. Wajah cemberut anaknya dipandang lama sebelum dia mengalih pandangan pada kelibat Mardiyah yang baru saja turun dari tingkat atas.
“Hah, Diya ke sini sekejap,” panggil Datin Zarina lembut.
Ammar mula gelisah. Mama ni nak buat apalah pulak panggil minah ni? Soal hati Ammar.
“Ada apa, mama?” soal Mardiyah dengan dahi berkerut.
Datin Zarina tersenyum simpul. Dia menarik lengan Mardiyah supaya merapatinya.
Mardiyah menurut. Kini dia berdiri bertentangan dengan Ammar yang masam mencuka. Di tangan lelaki itu terdapat beberapa helai kertas yang dipegang kemas. Mardiyah bertambah pelik.
“Temankan Am beli barang. Mama nak masak untuk berbuka nanti. Inikan kali pertama mama berpuasa dengan menantu sulung mama jadi mama nak masak yang sedap- sedap tapi Am ni tak pandai pulak nak beli barang maklumlah lelaki. Lelaki kan memang lembab sikit bab barang- barang dapur ni,” ujar Datin Zarina namun sempat lagi dia menempelak Ammar. Ammar menjeling sambil mencebik.
Mardiyah hanya ketawa melihat reaksi Ammar. Tapi kenapa aku pulak yang nak kena teman? Lecehlah nak kena berhadapan dengan lelaki ni lagi. Dahlah garang mengalahkan cikgu disiplin. Kecut betul perut aku tengok air mukanya tu. Bebel hati Mardiyah.
“Tapi mama boleh pergi dengan Diya. Kita ajak Pak Mahmud,” cadang Mardiyah.
Err..Pak Mahmud cuti. Tak mengapalah, kamu berdua pergilah. Tolong mama, mama dah tak larat nak angkat barang- barang. Bolehlah Diya,” pujuk Datin Zarina lagi.
Mardiyah mengeluh. Dia melemparkan pandangan pada laman wajah Ammar yang kelihatan selamba. Lelaki itu tidak membantah seperti kebiasaannya namun Ammar lebih suka mendiamkan diri jika dia ada bersama.
“Encik Am macam mana?” soal Mardiyah takut- takut.
“Ikut sukalah!” balas Ammar malas lalu keluar rumah.
Datin Zarina tersenyum melihat tingkah Ammar. Walaupun masih keras tetapi lelaki itu tetap mengikut kata- katanya. Dia menganggukkan kepala pada Mardiyah yang masih berdiri di sisinya.
Lantas, Mardiyah berlalu mencapai tas tangannya sebelum menyalami tangan Datin Zarina. Cepat-cepat dia berlalu mengikut jejak langkah Ammar. Dia bimbang kalau terlambat, akan dimarahi oleh lelaki itu.
Sewaktu dia sampai di garaj, Ammar sudah pun berada di dalam kereta menunggunya. Mardiyah menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum membuka pintu kereta. Dia menghenyakkan punggung di tempat duduk sebelah pemandu. Wajah Ammar yang membisu dipandang sekilas.
Ammar berpaling ke tepi apabila menyedari Mardiyah sudah berada di sisinya. Lama dia merenung wajah Mardiyah yang bersih tanpa sebarang solekan yang tebal. Dia memandang penampilan gadis itu yang hanya memakai t-shirt lengan panjang yang disingsing sehingga ke paras siku. Cukup santai dengan tudung bawal yang disilangkan ke bahu. Ammar menggelengkan kepala. Kebiasaannya Mardiyah seorang yang menjaga auratnya hari ini apa dah jadi?
“Kenapa kita tak gerak lagi?” soal Mardiyah lurus. Dia mengerling ke arah Ammar.
Berderau darahnya saat bertembung pandang dengan Ammar yang ralit memandang dirinya dari atas ke bawah. Apa yang tak kena pulak ni? Soal hati Mardiyah.
“Turunkan lengan baju tu. Kau nak tunjuk satu dunia ke yang lengan kau tu putih melepak,” perli Ammar sinis.
Mardiyah tersentak. Dia memandang lengan bajunya yang tersingsing. Hampir dia terlupa untuk menurunkan semula selepas solat Dhuha tadi. Macam manalah aku boleh tak perasan. Detik hatinya. Dengan kelam kabut dia menurunkan lengan baju sehingga ke paras pergelangan tangan.
“Tudung tu nak pakai macam tu je ke? Nak tambah dosa aku yang dah sedia banyak ni ke?” perli Ammar lagi. Dia menjeling.
Hah? Mardiyah kebingungan. Tudung? Lalu dia memandang tudungnya yang disilangkan ke bahu sehingga menampakkan dadanya. Oppsss, tak sengaja. Detik hati Mardiyah lalu menurunkan tudungnya sehingga menutupi dada. Dia mencari kerongsang yang di dalam beg tangan namun tidak jumpa- jumpa.
Ammar mendengus melihat Mardiyah yang kelam kabut. Spontan, dia menarik kedua belah bahu Mardiyah supaya mengadap dirinya. Dia mendekatkan wajah ke wajah Mardiyah. Hujung tudung Mardiyah yang senget dibetulkan sedikit. Kemudian, hujung tudung Mardiyah di sebelah kanan ditarik lalu disilangkan ke sebelah kanan. Manakala hujung tudung di sebelah kiri disilangkan ke sebelah kanan lalu dipinkan menggunakan kerongsang yang berada atas tapak tangan Mardiyah. Rambut Mardiyah yang sedikit terkeluar daripada tudung diselitkan ke dalam tudung.
Mardiyah tergamam dengan perbuatan Ammar. Kedudukan lelaki itu yang begitu dekat mendebarkan hati kecil Mardiyah. Sempat lagi dia merenung wajah Ammar yang dekat. Mak datuk memang hensem gila dia ni. Patutlah Isya cakap dia ni hensem kalahkan Lee Min Ho, memang betul pun, wajahnya putih kemerahan, matanya besar tapi tajam. Dahlah anak matanya coklat hazel. Menawan sungguh. Hidungnya tak payah cakaplah, tercacak elok je sesuai dengan bibirnya yang sensual. Rambut? Hitam keperangan. Perfect! Dah macam anak mat salih aku tengok. Tapi tak, dia ni Melayu sejati. Monolog hati Mardiyah sambil meneliti wajah Ammar yang berada di hadapannya. Berkelip- kelip dia merenung wajah Ammar.
Ammar tersenyum puas apabila melihat penampilan Mardiyah. Ini baru betul muslimah. Bisik hatinya. Serentak Ammar mengangkat pandangan. Berderau darahnya saat anak matanya bertaut dengan anak mata Mardiyah yang bundar. Dia membalas renungan Mardiyah yang berkelip-kelip memandang matanya. Namun, semakin lama dia merenung, semakin kuat debaran di dada lalu Ammar mematikan rasa indah itu dengan berpaling ke hadapan. Dia berdeham kecil bagi meredakan perasaannya yang gelisah.
“Lain kali kalau keluar rumah jangan lupa check pakaian tu jangan sesuka hati bantai keluar je. Ingat selangkah kau keluar tanpa tutup aurat dengan betul, suami kau dan ayah kau yang dapat seksa. Jangan nak tambah saham aku dekat akhirat nanti dengan sikap lalai kau tu,” nasihat Ammar sedikit keras. Dia memulas kunci kereta tanpa sedikit pun memandang wajah Mardiyah.
Mardiyah mengangguk. Dia kelu untuk bersuara tetapi apa yang dikatakan oleh Ammar semuanya betul. Dia khilaf hari ini dan dia berjanji tidak akan mengulangi lagi. Tapi kata- kata Ammar yang terakhir itu mencuit hatinya.
‘Jangan tambah saham aku dekat akhirat nanti dengan sikap lalai kau tu.’
Apa maksud lelaki ini? Dia bercadang untuk jadikan isteri aku sampai ke hujung nyawa ke? soal hati Mardiyah. Apa yang pasti soalan itu tidak ada jawapan.

Rindu Dalam Sepi Istimewa Ramadan - Mengintai Rindu ( Bab 2 )


DATIN Zarina kelihatan resah memandang jam di dinding yang sudah berganjak ke angka 4.30 pagi. Walaupun masih awal tetapi dia tetap risau jika menantunya itu tidak datang. Dia benar- benar berharap Mardiyah sudi bersahur dengan mereka sekeluarga.
Lamunan Datin Zarina terganggu apabila terdengar loceng rumah dibunyikan. Dia tersenyum. Itu pasti Diya. Bisik hatinya. Lalu dia mengesat tangan dan berlalu menuju ke pintu utama. Mak Mah hanya tersenyum melihat gelagat Datin Zarina. Dia tahu Datin Zarina amat menyayangi Mardiyah cuma Ammar saja yang masih dingin dengan gadis itu.
Datin Zarina membuka pintu. Dia tersenyum lebar apabila melihat Mardiyah yang berdiri di hadapannya dengan menjinjit beg plastik di tangannya. Gadis itu kelihatan santai dengan t-shirt labuh dan seluar jeans tersarung di badannya.
“Alhamdulillah, sampai jugak Diya akhirnya. Mama ingat Diya tak sudi datang,” ucap Datin Zarina sambil menyambut huluran tangan Mardiyah untuk bersalaman.
Mardiyah tersengih. Kalau diikutkan rasanya, memang dia tidak akan datang apabila terkenangkan Ammar tetapi apabila difikirkan tentang Datin Zarina dan Datuk Zainal, dia mengalah. Biarlah sengketanya hanya dengan Ammar tanpa melibatkan keluarga Datin Zarina yang lain. Dia amat bersyukur dengan penerimaan Datin Zarina dan Datuk Zainal sepanjang dia menjadi isteri rahsia pada Ammar.
“Maaf, Diya lambat sikit. Diya ada masakkan lauk, bolehlah makan masa sahur nanti, yang lain mana, mama?” soal Mardiyah sambil melangkah masuk ke dalam rumah Datin Zarina. Matanya melilau- lilau mencari kelibat Aryani dan Akhil yang tidak kelihatan.
“Am tidur lagi dalam bilik tu. Yani dengan Akhil pun sama, papa kamu lagilah. Mama kejutkan bukannya nak bangun. Makin berdengkur adalah. Nasib baik Mak Mah ada temankan mama masak,” ujar Datin Zarina.
Mardiyah hanya tergelak mendengar bebelan Datin Zarina namun tawanya mati apabila Datin Zarina menyebut nama Ammar. Lelaki itu masih belum bangun? Maknanya lelaki itu ada dalam rumah ini sekarang? Mardiyah mula dilanda keresahan. Dia takut untuk berdepan dengan Ammar apatah lagi apabila teringatkan apa yang berlaku sewaktu makan malam pertamanya dengan Datin Zarina sekeluarga dulu. Dia serik apabila diherdik di hadapan Datin Zarina dan Datuk Zainal.
“Diya…Diya…” panggil Datin Zarina sambil mengawang- awangkan tangannya di hadapan wajah Mardiyah.
Mardiyah tersentak. Dia berpaling pada  Datin Zarina. Dia tersengih malu.
Sorry, mama. Diya mengelamun pulak. Tak apalah mama, Diya boleh temankan mama masak,” balas Mardiyah.
Datin Zarina tersenyum. Tiba- tiba dia mendapat satu akal.
“Eh, Diya tak payah tolong mama masak. Diya tolong kejutkan Am kat tingkat atas boleh tak? Mama nak pergi kejut papa, Yani dan Akhil. Dah nak imsak ni,” ujar Datin Zarina.
Erk? Mardiyah rasa tercekik dengan permintaan Datin Zarina. Takkan aku nak pergi masuk bilik mamat tu? Buatnya dia tendang aku keluar bilik, tak ke naya aku nanti? Ish, tak naklah! Bentak hatinya.
Errr…Diya rasa mesti Encik Am tak suka kalau Diya yang kejutkan dia. Nak tengok muka Diya pun dia menyampah, inikan pula Diya yang pergi kejutkan dia. Memang Diya dapat tendangan percuma nanti, mama,” balas Mardiyah perlahan.
Datin Zarina ketawa. Dia tahu Mardiyah masih lagi segan dengan anak lelakinya itu. Tapi sampai bila hubungan mereka dingin begini. Sebagai orang tua dia perlu lakukan sesuatu untuk menyatukan hati dua insan yang hambar ini. Itulah tekad Datin Zarina dan anak- anaknya lain. Walaupun perkahwinan Mardiyah dan Ammar berlaku kerana peristiwa yang mengaibkan tetapi pernikahan yang mereka jalani ini adalah satu hubungan yang suci jadi kenapa perlu diingkari jika itu yang telah ditetapkan sejak azali lagi?
“Mama yakin Am takkan berani. Pergilah, mama tunggu dekat meja makan,” arah Datin Zarina.
Mardiyah gelisah. Dia serba salah. Nak tolak, ini arahan Datin Zarina. Kalau dia terima maknanya dia terpaksa menadah telinga mendengar makian dan tohmahan daripada Ammar. Argghh, susahnya.
“Pergilah, nanti terlepas sahur pulak. Mengamuk lagi suami kamu tu. Bilik Am belah kanan,” Datin Zarina mengulang kembali arahannya membuatkan Mardiyah semakin tertekan.
Akhirnya, dia berlalu selepas menyerah beg plastik yang dibawanya pada Datin Zarina. Dengan langkah yang berat dia berlalu ke tingkat dengan perasaan yang berdebar.

LAMA Mardiyah merenung pintu coklat yang berada di hadapannya itu. Dia mengangkat tangan untuk mengetuk pintu tetapi dia membatalkan niat. Mardiyah takut Ammar akan mengamuk jika tidurnya diganggu. Aduh, apa yang aku nak buat ni? soal hati Mardiyah sambil menggigit kuku.
Lalu, Mardiyah membuat keputusan untuk membuka pintu bilik tanpa mengetuk terlebih dahulu. Mungkin ini cara yang paling selamat. Apabila pintu sudah terbuka, Mardiyah melangkah masuk dengan lafaz bismillah. Dia menelan air liur apabila melihat bilik Ammar yang gelap, hanya lampu tidur saja yang dipasang dihujung kepala katil lelaki itu.
Mardiyah menarik nafas lega apabila Ammar masih lagi berbungkus dalam selimut tebal. Tiba- tiba Mardiyah terasa seram sejuk kerana inilah kali pertama dia masuk ke dalam bilik anak teruna orang selain bilik adik lelakinya.
“Nak buka lampu ke tidak? Nak buka? Tak nak buka?” Mardiyah berkira- kira. Jarinya sudah pun berada di suis lampu utama. Namun, dia menjatuhkan tangannya.
Argh, tak payahlah buka. Kalau dia marah tak nampaklah sangat muka dia yang garang tu,” Mardiyah berkata sendirian.
Lantas, dia merapati katil. Dia duduk di birai katil sambil merenung wajah Ammar yang sedang mengiring.
“Nyenyak betul kau tidur sampai langsung tak sedar hari ni start puasa. Apa nak jadi dengan anak orang kaya macam kau kan?” bebel Mardiyah perlahan.
Dia mengangkat tangan untuk menyentuh bahu Ammar namun perbuatannya terhenti. Dia teringat sesuatu.
“Mesti kau tak suka aku sentuh kau. Yelah, aku kan perempuan kotor. Perempuan kotor mana layak sentuh aku, huh!” Mardiyah mengajuk cara Ammar bercakap. Kemudian dia mencebik.
Mardiyah mencapai jam loceng yang berada di atas meja sisi. Dia membelek jam loceng berbentuk kepala katak berwarna hijau. Nampak comel saja. Muka ganas tapi simpan benda alah macam ni. Agak- agak siapalah yang bagi pada dia? bisik hati Mardiyah. Sedang asyik dia meneliti jam loceng tersebut tiba- tiba dia tertekan satu punat yang menyebabkan jam tersebut berbunyi nyaring.
Mardiyah terkejut. Habis melambung jam tersebut dengan bunyi yang tidak sempat ditutup. Mardiyah mengurut dada. Dia benar- benar takut saat ini apatah lagi jam tersebut telah jatuh dekat dengan kepala Ammar.
Dia melihat Ammar sudah bergerak- gerak. Dengan pantas, Mardiyah memanjangkan tangannya untuk mencapai jam tersebut yang berada di atas katil.
“Mama, jangan kacau Am tidur…” suara Ammar kedengaran perlahan sambil menepis tangan Mardiyah yang cuba untuk mencapai jam loceng tersebut.
Mardiyah menelan air liur. Pasti lelaki itu masih belum sedar kehadirannya. Jantung Mardiyah sudah berdetak tidak menentu. Janganlah dia sedar. Janganlah….bisik hatinya.
Namun harapan Mardiyah punah apabila sewaktu dia cuba untuk mencapai jam loceng tersebut, tiba- tiba tangan Ammar menarik pinggangnya menyebabkan Mardiyah jatuh dalam pelukan lelaki itu. Mardiyah benar- benar tergamam. Perkara itu berlaku dengan pantas, tanpa sempat untuk Mardiyah menepis. Kini jantungnya bagaikan ingin melompat keluar apabila dia berada kemas dalam pelukan Ammar!
Ammar yang masih lagi mamai agak berang apabila bunyi jam loceng itu masih lagi memekak di telinganya. Mama ni saja je kan nak bagi aku hangin satu badan. Dahlah mengantuk tahap kritikal ni. Jam ni pula bising. Aduhhh…bebel hati Ammar.
Dia mengeratkan lagi pelukan pada bantal peluk. Keadaan bilik yang sejuk membuatkan Ammar makin selesa memeluk bantal peluk yang terasa hangat.
‘Eh, kenapa bantal peluk aku rasa macam panas semacam pulak ni. Dah tu asyik bergerak- gerak je, takkanlah bantal peluk aku hidup kut,’ monolog Ammar.
Lantas Ammar membuka mata. Dia memandang ke kiri dan kanan. Biliknya masih lagi gelap, dia pelik kerana bayang mamanya tidak kelihatan dalam bilik. Bukan ke mama yang tekan jam loceng aku tadi? Soal hati Ammar.
Lantas dia berpaling ke kanan untuk menyambung tidur. Sebaik saja tangannya cuba memeluk bantal yang berada di sebelah, dia terdengar bunyi esakan di sisinya. Ammar mencelikkan matanya seluas.
Dia tergamam apabila melihat seorang gadis dalam samar- samar cahaya lampu berada disisinya. Ya Allah, apa aku dah buat tadi? Siapa perempuan ni? soal hati Ammar. Tanpa berfikir panjang dia bingkas bangun dan memetik suis lampu.
Pandangannya terpaku pada figura seorang gadis yang berada di atas katilnya. Dia mengerutkan dahi. Lama dia mengamati wajah itu barulah dia tersedar. Perempuan tu?!!
“Kau?!!” jerit Ammar kuat. Dia benar- benar terkejut dengan kehadiran Mardiyah di dalam biliknya. Melihatkan Mardiyah yang teresak menangis, barulah Ammar menyedari yang dia sudah terpeluk gadis itu. Alamak, kenapalah aku boleh tersalah langkah pulak? Tapi bukan salah aku pun dia yang masuk bilik aku sesuka hati dia je. Padam mukalah kena peluk. Hati Ammar tergelak jahat.
“Macam mana kau boleh masuk bilik aku? Siapa yang benarkan?” soal Ammar bertalu- talu. Suaranya yang kedengaran tinggi akhirnya berubah menjadi perlahan apabila melihat wajah Mardiyah yang merah. Mata gadis itu bersinar dengan air mata yang bergenangan.
Namun, Mardiyah masih membisu. Dia bagaikan kehilangan kata-kata. Lidahnya seolah- olah kelu untuk menjawab pertanyaan Ammar. Apa yang dirasakan sekarang ini adalah malu. Ya, malu apabila teringatkan kejadian sebentar tadi.
“Aku tanya kau ni, dah pekak ke?!” jerkah Ammar lagi.
Terhinjut bahu Mardiyah apabila terdengar jerkahan Ammar. Dia menelan air liur yang terasa kelat. Perlahan- lahan dia mengesot dan duduk di birai katil. Air mata yang masih bersisa dikesat dengan jari.
“Mama suruh saya kejutkan encik untuk bangun sahur…” ucap Mardiyah dengan suara yang lemah. Dia menundukkan wajah. Takut untuk bertentang mata dengan Ammar yang kelihatan bengis.
“Sahur??” soal Ammar.
Mardiyah mengangguk lemah.
Sahur? Hari ni puasa ke? Eh, betullah hari ini hari pertama puasa. Semalam mama jemput perempuan ni sahur sama.Ya Allah, macam manalah aku boleh lupa? Jerit hati Ammar.
“Sekarang pukul berapa?” soal Ammar lagi. Dia mula mundar- mandir. Dia sudah lambat untuk bersahur.
“Dah pukul lima, encik…” balas Mardiyah.
“Pukul lima? Aduh, dah lambat ni!” keluh Ammar.
Lalu, dia menuju ke almari. Tuala yang tersangkut di penyidai dicapai. Dia kena mandi secepat mungkin kalau tidak pasti akan terlepas waktu sahur. Sedang dia tergopoh- gopah untuk ke bilik mandi dia melemparkan pandangan pada Mardiyah yang masih berteleku di birai katil. Langkah Ammar terhenti. Dia berdiri sambil bercekak pinggang.
“Yang kau termenung panjang lagi tu, kenapa? mama suruh kau kejutkan aku dan sekarang aku dah bangun, apa lagi yang kau tunggu!” bentak Ammar garang. Mencerlang matanya menikam wajah Mardiyah yang terkulat- kulat.
Mardiyah tersentak. Serentak dia bingkas berdiri sambil wajahnya ditundukkan.
“Saa..saaa..ya…”
“Saya apa? Kalau kau ingat aku nak mintak maaf atas apa yang terjadi tadi kau silap. Perempuan murah macam kau memang sukalah masuk bilik lelaki. Tambah- tambah lagi kena peluk kan? Bukan luak pun bagi perempuan yang tak ada maruah macam kau!” herdik Ammar lagi. Agak sinis.
Hati Mardiyah tersiat. Dia memegang dadanya yang terasa sakit. Inilah hadiah hari pertama dia berpuasa. Cukup sakit dan memedihkan segala kata hinaan yang Ammar lemparkan.
“Saya bukan macam tu, encik…” Mardiyah cuba membalas.
Arghh, sudah. Tak ada masa aku nak dengar cakap kau. Lebih baik kau keluar sekarang. Berambus!!” halau Ammar. Wajahnya kelihatan garang dan bengis.
Mardiyah tersentak. Dia akur dan berlalu dari bilik Ammar. Air matanya menitis tanpa sekatan apabila teringatkan kata- kata Ammar.

“LEPAS sahur ni Diya nak ke mana?” soal Datin Zarina sewaktu mereka sedang menjamu selera. Pandangannya terarah pada Mardiyah yang duduk berhadapan dengan Ammar. Kedua insan itu hanya membisu. Ammar juga tidak bercakap walaupun sepatah. Nak proteslah tu. Bisik hati Datin Zarina.
Mardiyah mendongak dan terus memadang wajah bersih milik Datin Zarina. Dia tidak sanggup untuk memandang ke hadapan kerana bila- bila masa saja wajahnya akan bertentangan dengan wajah Ammar yang masam mencuka. Dia kecut perut apabila lelaki itu menghadiahkan jelingan tajam.
“Diya rasa Diya balik rumahlah. Lagipun hari ni cuti, Diya tak rancang nak pergi mana- mana pun, mama,” balas Mardiyah lembut. Dia kembali memandang nasi yang berbaki separuh di dalam pinggan.
Datin Zarina tersenyum manis. “Alah, Diya tak payahlah balik rumah. Diya solat subuh dekat sini. Lepas tu Diya teman mama dekat rumah. Mama bosanlah tak ada teman nak bersembang. Yani pulak, cuti ke tak cuti ke sama je. Kerja 24 jam. Diya temankan mama, ya?” pinta Datin Zarina lembut.
Dia memandang Datuk Zainal dengan senyuman penuh makna. Datuk Zainal mengangguk. Kemudian, Datin Zarina mengalih pandangan pada wajah Aryani yang telah tersenyum simpul. Datin Zarina tersenyum nipis. Semua anak- anaknya sudah bersetuju. Mereka perlu lakukan sesuatu untuk merapatkan hubungan Ammar dan Mardiyah. Mungkin dengan keberkatan bulan Ramadhan ni, Ammar dan Mardiyah akan berbaik.
Mardiyah sedikit terkejut dengan permintaan Datin Zarina. Dia mendongak memandang Ammar yang sudah merengus benci.
“Diya rasa tak bolehlah mama. Nanti kawan Diya cari Diya, Diya tak tahu nak bagi alasan apa…” Mardiyah mencipta alasan. Bukan niat untuk menipu tetapi hanya itu saja yang boleh dilakukan agar Ammar tidak terus menwujudkan sengketa antara mereka.
“Tak apalah kalau Diya tak sudi, mama tak nak paksa. Yelah, siapalah mama ni kan…” Datin Zarina memulakan lakonannya. Suaranya dilembutkan sehingga kedengaran begitu sayu di telinga Mardiyah.
Mardiyah serba salah. Dia bimbang kata- katanya telah melukakan hati Datin Zarina yang selama ini begitu baik melayaninya.
“Mama, jangan cakap macam tu…Diya..Diya…” Mardiyah kehilangan kata.
“Kalau mama suruh tu, ikut jelah. Banyak pulak songehnya,” Ammar bersuara tetapi kedengaran agak kasar.
Mardiyah bungkam. Dia menguis-nguis nasi yang bersisa di dalam pinggan.
“Bolehlah Diya? Am dah bagi izin tu. Alah, nanti kita boleh bincang pasal raya. Diya dah tempah baju raya belum?” soal Datin Zarina bersemangat. Sebenarnya dia juga tidak menyangka yang Ammar boleh bersuara, fikirnya Ammar akan terus mendiamkan diri tetapi ternyata anak lelakinya itu bukanlah berhati kering.
“Okeylah, Diya temankan mama. Err..baju raya Diya tak prepare apa- apa pun. Biasanya ibu yang jahitkan tapi tahun ni tak tahulah sama ada Diya balik kampung ke tidak…” ujar Mardiyah sayu.
Sebak hatinya apabila terkenangkan kampung halaman. Rasa sedih apabila memikirkan ibunya yang masih belum dapat menerima dirinya lagi walaupun sudah sebulan peristiwa itu berlalu. Bukan dia tidak cuba menghubungi Puan Kamariah malah semalam dia cuba untuk bercakap dengan ibunya tetapi hati Puan Kamariah masih lagi keras.
Mardiyah cuba mengawal air matanya yang hampir menitis. Ya Allah, kuatkan semangat aku. Doanya dalam hati.
“Kak Diya okey ke?” soal Akhil apabila melihat wajah akak iparnya sedikit berubah keruh.
Mardiyah tersenyum hambar dan menganggukkan kepala.
Walaupun tersenyum namun Ammar dapat membaca garis kedukaan yang terpancar di wajah yang tenang itu. Dia tahu Mardiyah sedang kesedihan namun Ammar hanya keraskan hatinya untuk menyelami ke dasar hati isterinya itu.
“Mama, Diya ke dapur dululah ya. Nanti Diya tunggu dekat bilik solat,” ujar Mardiyah. Lalu dia bangun dan mengangkat pinggan kotor menuju ke dapur.
Ammar hanya memerhatikan lenggok tubuh Mardiyah yang hilang di sebalik ruang dapur. Kesian pulak aku dengan dia ni. Dahlah berpuasa dengan keluarga orang lain, ayah pulak meninggal. Tentu merana hidup dia. bisik hati kecil Ammar.
“Apalah nasib Kak Diya kan mama, dahlah ayah meninggal. Kena buang keluarga pulak tu. Sekarang ni pulak bulan puasa. Tentu Kak Diya rindukan keluarga dia kat kampung. Kesian betul Yani tengok Kak Diya,” Aryani bersuara membuatkan semua mata memandang ke arahnya.
“Sebab itulah mama nak dia berpuasa dan raya dekat rumah kita. Kesian sepatutnya di saat hari bahagia ni kita sambut dengan orang yang tersayang bersama- sama dengan family tapi Kak Diya kau? Berseorangan je. Mama berharap sangat dia dapat beraya dengan kita kalau ibu Kak Diya masih tak dapat terima dia. Tapi nak buat macam mana kan, kita je yang beria tapi orang tu tak suka kalau Kak Diya ada dalam rumah ni,” sindir Datin Zarina sambil menjeling pada Ammar yang sedang leka mengunyah nasi.
Ammar tersedar semua mata yang memandang wajahnya. Dia mengeluh. Air putih dicapai lalu diteguk perlahan.
“Itu janji mama dulu, takkan mama lupa,” balas Ammar selamba.
Datin Zarina mengeluh berat. Pasal janji itu juga yang diungkit oleh Ammar. Susah betul nak melembutkan hati Ammar yang keras untuk membenci Mardiyah. Hampir setiap hari dia mendoakan agar Ammar menerima Mardiyah sebagai isteri dengan rela hati tapi sampai sekarang anak lelakinya itu masih menunjukkan tanda negatif.
“Kenapa hati Am keras sangat untuk terima Diya sebagai isteri? Diya perempuan yang baik Am, cubalah Am kenal hati dan budi dia dulu,” jawab Datin Zarina lembut.
Akhil dan Aryani hanya mampu mendengar segala nasihat Datin Zarina yang diberikan pada Ammar. Nak menyampuk, rasa macam tak sesuai pulak.
“Bila Am dah buat keputusan, Am takkan ubah, mama,” balas Ammar. Walaupun mendatar tapi kedengaran tegas.
Dia mengangkat pinggan lalu menuju ke dapur. Datin Zarina hanya mampu menggelengkan kepala melihat kedegilan Ammar.
“Ina jangan paksa sangat untuk Ammar terima Diya. Biar dia terima Diya dengan kerelaan hati dia sendiri. Kalau kita paksa, lain pulak jadinya nanti. Apa yang perlu kita lakukan adalah tolong mereka secara senyap- senyap. Abang ada idea,” ucap Datuk Zainal dengan senyuman penuh makna.
Akhil dan Aryani berpandangan dengan Datin Zarina.
“Idea apa, bang?” soal Datin Zarina teruja.
“Adalah. Tapi idea abang ni perlukan Ina, Akhil dan Yani,” ucap Datuk Zainal.
Akhil, Aryani dan Datin Zarina sudah mengangguk setuju.

MARDIYAH berdiri di tepi tingkap di dalam bilik solat yang sunyi sepi. Sementara menunggu subuh masuk dia lebih selesa memandang dada langit yang kelihatan kelam. Rasa tenang menyapa saat dia menarik nafas menghirup udara segar di pagi pertama bulan Ramadhan. Saat ini dia teringatkan arwah ayahnya yang telah pergi menemui Ilahi. Rindunya pada arwah Encik Yasir memang tidak terkata begitu juga rindunya pada Puan Kamariah dan adik- adik. Sepatutnya hari ini dia pulang ke kampung untuk menyambut awal Ramadhan di sana. Kebiasaannya itulah yang Mardiyah lakukan setiap tahun. Tapi kali ini semua berbeza. Hidupnya berubah dengan sekelip mata mujur ada Datin Zarina yang sudi menerima dirinya.
Mardiyah menyeka air mata yang sudah tumpah mengenangkan nasib dirinya yang dibuang keluarga. Sampai bilakah Puan Kamariah akan bersikap dingin dengannya? Sampai bilakah Ammar terus membenci dirinya? Mardiyah begitu inginkan kehidupan seperti orang lain apatah lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini. Tapi masihkah ada bahagia untuk dirinya?
“Ehem-ehem…” bunyi dehaman membuatkan Mardiyah kembali ke dunia realiti. Dia mengesat sisa air mata sebelum berpaling.
Kelihatan Ammar berdiri di muka pintu. Wajah lelaki itu basah dengan air wuduk menyebabkan Mardiyah sedikit terpana memandang wajah kacak milik Ammar. Tidak lama kemudian barulah dia menundukkan pandangan.
“Buat apa termenung sorang- sorang dalam bilik ni?” soal Ammar mendatar.
Mardiyah beku. Lambat- lambat dia mendongak membalas pandangan Ammar.
“Tengah tunggu mama, kata nak solat sama…” jawab Mardiyah takut- takut.
Ammar terdiam. Dia menjeling sekilas pada wajah Mardiyah yang kelihatan basah. Baru lepas menangis ke minah ni? soal hati Ammar.
“Kau dah ambil wuduk belum?” soal Ammar lagi. Kali ini kedengaran lembut.
Dengan pantas Mardiyah menganggukkan kepala.
“Dah tu mana telekungnya? Kenapa tak pakai lagi? Subuh dah masuk ni,” ujar Ammar. Dia memandang Mardiyah yang kelihatan kelam kabut mencari telekung. Dia menghela nafas panjang.
Mardiyah berpusing- pusing mencari telekung di dalam bilik itu. Namun, dia tidak menemui satu pun telekung sembahyang. Dia menggarukan kepalanya yang beralas tudung. Kemudian dia terpandangkan almari yang terletak di satu sudut. Dengan pantas kakinya dihayunkan ke tempat itu.
Dia cuba membuka pintu almari untuk mengambil telekung. Namun, belum sempat dia mengambil, Ammar terlebih dahulu memotong langkahnya. Lelaki itu mencapai sepasang telekung berwarna putih dan dihulurkan kepada Mardiyah.
Walaupun sedikit terkejut, Mardiyah tetap menyambut huluran tangan Ammar. Dia tersenyum nipis.
“Terima kasih…” ucap Mardiyah lembut.
Lalu dia menyarungkan telekung tersebut ke tubuhnya. Ammar masih lagi berdiri di hadapan Mardiyah sambil memandang isterinya memakai telekung. Dia memerhatikan setiap tindak tanduk Mardiyah.
“Senget tu…” tegur Ammar.
Mardiyah tersentak. Dia mendongak meminta penjelasan daripada Ammar.
“Kat mana sengetnya?” soal Mardiyah selamba. Dia membetulkan pelapik telekung di bawah dagu.
“Bukan dekat situ,” ujar Ammar. Dia memandang telekung Mardiyah yang senget di bahagian kepala.
“Habis tu dekat mana?” soal Mardiyah lagi. Sudah habis dipusing telekung yang dipakai tapi Ammar tetap mengatanya senget.
Meh sini aku tolong betulkan. Pakai benda ni pun boleh senget padahal tiap- tiap hari pakai,” bebel Ammar sambil menarik lengan Mardiyah yang beralaskan telekung.
Mardiyah kaget. Dia mengeraskan diri sebaik saja Ammar berdiri dekat dengannya. Dia dapat rasakan Ammar membetulkan telekung yang berada di bahagian kepalanya sebelum menarik sedikit pelapik dagu bagi menutup dagunya. Mardiyah cuba mengawal debaran yang melanda hatinya.
Ammar tersenyum puas melihat wajah Mardiyah yang lengkap bertelekung. Barulah kemas, tak menyerabutkan mata. Bisik hatinya. Namun, tiba- tiba senyumannya mati apabila anak matanya bertembung pandang dengan anak mata Mardiyah yang bulat bundar. Terkedip- kedip gadis itu merenungnya. Hati Ammar mula berdenyut.
Klik!
Bunyi sesuatu mengejutkan Ammar dan Mardiyah. Dia memandang ke arah muka pintu. Kelihatan Akhil memegang kamera DSLR di tangan sambil menangkap gambarnya. Datin Zarina dan Datuk Zainal hanya tersengih. Aryani pula hanya memainkan keningnya dengan senyuman simpul.
Sweetnya along, tolong betulkan tudung Kak Diya sebijik macam suami mithali,” usik Akhil disambut dengan gelak tawa keluarganya yang lain.
Ammar menayang muka selamba sedangkan dalam hatinya sudah berdetak tidak menentu. Malu benar- benar malu saat ini. Sekilas dia mengerling pada Mardiyah yang menundukkan wajah. Merona merah muka gadis itu apabila diusik oleh Akhil. Dalam hati Ammar, dia tersenyum.
“Dahlah, tak nak solat ke?” soal Ammar mengalih topik.
“Alah, alih topik pulak along ni. Kami memang nak solat tapi bila tengok drama sebabak tadi rasa macam bahagia je. Tak gitu, mama?” Aryani menyampuk.
“Sudah-sudah, jom kita jemaah sama. Akhil pergi simpan kamera tu. Takkan nak solat pakai kamera,” sindir Datin Zarina.
Akhil tersengih dan mengangguk.
“Am jadi imam ye,” ucap Datuk Zainal sambil menepuk perlahan bahu anak lelakinya itu.
Ammar menganggukkan kepala. Dia mengerling sekilas ke arah Mardiyah yang sudah berdiri di sisi Datin Zarina sebelum dia berlalu menuju ke hadapan.