Tetamu Rindu

Wednesday 17 August 2016

QARTAL... PEMUSNAH HATI ( Bab 14 )



SAMBIL bersiul kecil, Qartal memandang tangannya yang dipenuhi dengan makanan. Dia tersenyum kecil sambil melangkah kembali ke tempat Aisy ditinggalkan. Semakin hampir dengan tempat Aisy ditinggalkan, hati Qartal terasa semacam. Dia dapat mendengar seperti ada sesuatu memijak daun-daun dan ranting-ranting kering.
Hati Qartal berdetak. Perlahan-lahan dia meletakkan makanan yang berada dalam genggaman di atas tanah. Pistol berwarna hitam dikeluarkan daripada poket belakang. Dia memegang kemas pistol di tangan sebelum melutut untuk mengintai apa yang berlaku.
Dengan berhati-hati, Qartal menjengukkan kepala ke belakang. Dia keluar daripada tempat persembunyian dengan mengacukan muncung pistol tepat pada Aisy yang sedang terlena. Mata Qartal membuntang melihat keadaan Aisy sekarang ini.
Aisy yang terasa seperti ada sesuatu bergerak di sekitar tubuhnya dengan pantas mencelikkan mata. Saat kelopak matanya terbuka luas, dia tersentak. Apa tidaknya muncung pistol milik Qartal menghala tepat ke mukanya. Aisy cuak. Dah kenapa mamat ni nak tembak aku pula?
“Qartal, kau bukan nak bunuh aku kan?” Soal Aisy dengan suara yang tenggelam timbul. Anak matanya sudah berair menahan perasaan gerun melihat wajah Qartal yang bertukar bengis.
“Syhhhh…Diam!” Qartal mengeraskan suaranya. Tangannya sedikit terketar-ketar apabila cuba memastikan sasaran yang ingin ditembaknya adalah tepat. Peluh yang jatuh berderaian di dahi dibiarkan tanpa sekaan.
Aisy terkedu. Tetapi tiba-tiba dia terasa seperti ada sesuatu merayap di bahagian perutnya. Malah hidungnya dapat menghidu sesuatu yang busuk dan hanyir. Bau seperti lumpur!
“Ssyyyyssss….”
Bunyi itu seperti biasa didengari oleh Aisy. Jantungnya mula laju mengepam darah. Di dalam fikirannya sudah terbayang semua perkara apatah lagi saat ini dia rasakan ada sesuatu yang melingkari pinggangnya. Aisy tidak mampu menahan perasaan. Dia mengalihkan bola matanya ke bawah dan….
“Ular!” Suara Aisy seperti tersekat. Hanya mulutnya saja yang bergerak. Dia mengenggam tangannya dengan erat cuba mengusir rasa takut yang semakin menjadi-jadi.
Saat ini, ular sawa batik sebesar lengan Qartal sedang menjalar di batang tubuh Aisy. Dia ingin menjerit namun tiada suara yang terkeluar. Hanya pandangan mata yang dihalakan pada Qartal. Berharap lelaki itu menyelamatkannya. Sungguh, dia kegelian dengan bau hanyir ular itu cukup meloyakan tekak Aisy.
“Tahan nafas, Aisy! Jangan buat sebarang pergerakan kalau kau nak selamat!” Qartal bersuara sambil mengancingkan gigi. Dia tidak mahu suaranya mengejutkan ular sawa tersebut. Bimbang, jika tersalah cara ular itu akan terus membelit leher Aisy.
Memang ular sawa tidak mematuk dan mengeluarkan bisa tetapi jika ia sudah membelit, tiada siapa yang dapat terlepas. Bayangkan seekor lembu pun mampu ditelan apatah lagi gadis bertubuh genit seperti Aisy. Dengan sekelip mata saja mampu menjadi lauknya.
Aisy mengangguk perlahan. Dia memejamkan mata dan menahan nafas. Ketakutan menyelubungi dirinya saat ini. Hanya Allah saja yang tahu perasaannya apabila berhadapan dengan spesis ular sawa yang sangat dia geruni. Badan ular itu yang lembik terasa sejuk apabila menyentuh lengan Aisy.
Qartal melangkah dengan berhati-hati. Dia cuba untuk tidak menghasilkan sebarang bunyi. Kalau ikutkan hati, berkecai kepala ular itu ditembak tetapi Qartal khuatir tembakannya akan tersasar pada Aisy.
Tidak dapat tidak, Qartal mencari kepala ular sawa yang mula merayap ke bahagian kepala Aisy. Kepala ular sawa sebesar penumbuk Aisy diamati betul-betul. Dia melepaskan nafas yang tidak teratur. Inilah kali pertama dia berada dalam situasi yang genting ini.
Qartal memandang wajah Aisy dan ular sawa itu silih berganti. Lantas, sepantas kilat Qartal mencekup kepala ular tersebut dan sedaya-upaya menarik ular itu jauh daripada Aisy.
“Bangun Aisy!” arah Qartal apabila dia berjaya meleraikan belitan ular itu daripada badan Aisy.
Tanpa berlengah, Aisy bangun dan menggeliat kegelian. Dia hanya mampu melihat Qartal yang bergelut dengan ular tersebut sebelum ular itu dicampak jauh ke dalam gaung. Aisy menarik nafas lega.
Qartal termengah-mengah. Dia tunduk memegang lutut.
“Kau tak apa-apa?” Soal Qartal sambil mengalih pandangan pada Aisy yang berdiri tegak di sampingnya.
Aisy menggelengkan kepala tanda dia tidak apa-apa.
“Terima kasih sebab selamatkan aku…” Ucap Aisy lembut.
Qartal mendengus. Dia membetulkan bajunya. Tangannya yang melekit dikesat di kulit pokok.
“Aku dah pesan pada kau tadi kan, jangan tidur. Kau tidur jugak kenapa?!” Suara Qartal meninggi. Melotot dia memandang wajah Aisy yang terkulat-kulat.
“Aaa…aku…”
“Aku apa? Nasib baik aku datang tepat pada masa kalau tak, kau tu dah jadi lauk pada ular tu. Cakap aku bukannya nak dengar. Tahu tidur aje kerja kau. Suka sangat menyusahkan aku!” Marah Qartal lagi sambil menyisip pistolnya kembali ke dalam sarung.
Aisy tersentak. Hatinya terguris. Dia cuba menahan air mata daripada gugur. Berkali-kali dia cuba mengerdipkan mata. Berharap agar mutiara jernih itu tidak gugur.
“Kalau kau tak culik aku, kita takkan ada kat sini. Kalau kau tak culik aku, aku takkan menyusahkan kau!” Balas Aisy sambil mengesat pipinya dengan kasar.
Qartal terdiam. Suara Aisy yang hampir tidak kedengaran itu membuatkan dia mengalih pandangan pada gadis itu. Dia terkelu apabila melihat anak mata Aisy yang mula berair. Menangis ke gadis itu?
“Menjawab! Itulah kerja kau. Asyik menjawab aje. Kau cakap nak selamat tapi cakap aku tak nak dengar. Eh, kalau kau asyik nak menyusahkan aku lebih baik kau pergi cari jalan keluar sendiri! Tak kuasa aku nak hadap perangai kau ni!” bentak Qartal lagi seolah-olah menyimbah minyak ke api yang sedang marak.
Aisy mendengus. Dia rasa tercabar dengan kata-kata Qartal. Dia yang culik aku sekarang aku pulak yang dipersalahkan. Dasar mamat otak biul! Maki Aisy dalam hati. Dia menghentak kaki.
“Baik! Mulai sekarang kau dengan jalan kau, dan aku dengan jalan aku!” Aisy turut membentak.
Tanpa menunggu balasan Qartal, dia berlari meninggalkan lelaki itu. Dia hanya mengikut langkah kaki yang entah ke mana. Habis segala pokok kayu dilanggar. Dia tidak peduli asalkan dia boleh jauh daripada lelaki yang tak ada perasaan seperti Qartal.
Qartal mengetap bibir. Dia meraup rambutnya ke belakang. Susah betul dia nak faham perangai perempuan seperti Aisy. Satu keluhan dilepaskan. Dalam hutan yang tebal ini agak sukar untuk gadis seperti Aisy mencari jalan keluar. Tidak dapat tidak, Qartal terpaksa memanjangkan langkah mengejar gadis itu.
“Aisy!”


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.