Tetamu Rindu

Wednesday 18 October 2017

INGKAR CINTA ( BAB 8 )



BUKU yang dipegang direnung lama. Wardah masih lagi tidak percaya buku itu adalah hadiah daripada Emir Rehan. Rasa nak melompat pun ada tapi dia masih punya rasa malu. Sudahnya dia senyum 24 jam sampaikan Athira dan Amira mampu menggelengkan kepala.
Masih lekat dalam fikiran Wardah senyuman Emir Rehan yang manis. Renungan mata lelaki itu yang menusuk ke sanubarinya. Bicaranya yang sentiasa lembut dan sopan. Wardah tersenyum lagi. Dia membelek-belek helaian buku tersebut. Di muka surat pertama tertulis,
Salam perkenalan, Wardah Zahra…
Wardah tersenyum lebar. Namun, senyuman mati dan dahinya berkerut apabila melihat bulatan pada nombor muka surat di dalam buku tersebut. Apa maksudnya ni? Hatinya tertanya- tanya.
Dia bertambah pelik kerana tidak semua nombor muka surat buku tersebut di bulat, hanya sembilan nombor saja yang dibulat dan di atas setiap bulatan itu tertulis nombor satu sehingga sembilan. Permainan apa yang cuba Emir Rehan lakukan?
Tanpa menunggu lama, Wardah mencapai sehelai kertas kosong dan sebatang pen. Dia menyusun nombor yang telah dibulatkan satu-persatu hingga membentuk sebaris nombor. Dahi Wardah berkerut lagi.
“129345687, nombor apa benda ni? Macam nombor…” kata-kata Wardah mati di situ. Dia mula mencongak sesuatu dengan nombor yang Emir Rehan bulatkan. Nak kata nombor password, takkanlah. Nak kata nombor telefon macam tak cukup je.
Nombor telefon? Eh sekejap. Boleh jadi juga cuma nombor kosong saja yang tak ada. Wardah membelek helaian buku itu lagi mencari nombor kosong, tak lama selepas tu dia menepuk dahi. Mana ada dalam buku yang muka suratnya dimulakan dengan kosong.
Lantas, Wardah meletakkan nombor kosong di pangkal susunan nombor tersebut. Maka lengkaplah nombor tersebut menjadi sebaris nombor telefon. Wardah tersenyum-senyum. Nombor telefon Emir Rehan ke? Dia bertanya pada diri sendiri. Pantas dia mencapai telefonnya untuk memastikan nombor tersebut adalah nombor Emir Rehan. Laju saja jari jemarinya menaip mesej.
Assalamualaikum, Emir Rehan?
Mesej dihantar. Debaran sudah mula berlagu di dalam hati menunggu balasan daripada nombor tersebut. Seminit, dua minit, lima minit, telefonnya masih lagi tidak berbunyi. Wardah meraup wajahnya. Mungkin itu bukan nombor Emir Rehan. Hatinya sedikit hampa. Tetapi kalau bukan nombor Emir Rehan, nombor siapa? Takkan nombor telefon cahsier Popular pula.
Wardah mengeluh, dia bingkas berdiri. Hajatnya untuk keluar ke bilik Amira namun sebaik saja kakiknya ingin melangkah, telefon bimbitnya berdering tanda ada mesej masuk. Wardah berpaling, dadanya kembali berdetak tidak menentu. Seakan terketar-ketar tangannya bila mencapai telefon bimbit yang dibiarkan di atas katil. Punat telefon ditekan dan tuan punya nombor tadi membalas hingga membuatkan Wardah hampir pengsan.
Waalaikummusalam, ya saya. Tak sangka awak ni pandai..:-)
Sebaris mesej itu cukup membuatkan Wardah terasa tidak jejak bumi. Bagaikan ada kuntuman-kuntuman bunga ros memenuhi ruang bilik Wardah rasakan. Terasa ingin menjerit apabila Mr. Crush membalas mesejnya.
“Sabar Ada, sabar. Istighfar banyak-banyak,” Wardah menasihati diri sendiri. Dia menarik nafas panjang. Mesej tadi di baca berulang kali. Matanya bersinar. Hatinya mula menyanyikan irama lagu cinta. Pertemuan pertama antara dia dan Emir Rehan kembali memenuhi ruang fikiran. Rasa yang tidak bernama telah mengetuk pintu hatinya saat pertama kali dia bertemu dengan Emir Rehan. Tiada siapa yang tahu kecuali hatinya sendiri.

Imbas kembali…
SAAT itu Wardah duduk berteleku seketika di atas sejadah usai sahaja Solat Zohor. Jam tangan yang diletakkan di sisinya dicapai. Jarum jam sudah menginjak ke angka tiga. Patutlah suasana dalam surau saat ini sunyi sepi. Tiada seorang pelajar pun yang kelihatan di ruang solat wanita saat ini. Hanya terdengar suara lelaki sedang mengangkat takbir dari ruang solat lelaki.
“Ati lambat lagi habis kelas. Amira pulak jumpa lecturer. Aku nak buat apa sementara tunggu dia orang ni?” soal Wardah sendirian. Dia mengetuk dagu.
Dia memandang sekeliling sebelum matanya terhenti pada naskah al-Quran yang disusun tinggi di atas rak. Wardah tersenyum.
“Mengajilah sikit.” Getusnya lalu bangun dan mencapai mushaf al-Quran. Dia duduk kembali di atas sejadah.
Selesai membaca ta’awwuz dan lafaz bismillah, Wardah menyelak helaian al-Quran untuk memulakan pembacaan. Suasana yang tenang membuatkan Wardah larut dalam pembacaannya. Namun, saat bacaan memasuki helaian ke tiga surah al-Baqarah, tiba-tiba dia terdengar bunyi dehaman dari ruang sebelah. Bacaan Wardah terhenti sebentar.
“Assalamualaikum, cik…” suara garau dari ruang sebelah menegur.
Wardah termangu-mangu seketika. Dia memandang ke kiri dan kanan.
Waalaikummusalam. Awak bercakap dengan saya ke?” soal Wardah cuba mengintai ruang sebelah tetapi tidak berjaya kerana kain pemisah antara ruang solat itu agak tebal dan kainnya berwarna hijau gelap.
Kedengaran lelaki itu tertawa kecil.
“Yalah, cik yang tengah mengaji. Awak kan? Kat ruang saya ni hanya saya sorang je yang ada,” lelaki yang tidak diketahui wajahnya itu bersuara.
Wardah hanya tersengih sendirian. Dia tersipu malu.
“Oh, kenapa? Awak nak apa?” soal Wardah lagi. Pelik apabila tiba-tiba ditegur oleh lelaki yang tidak dia kenali.
“Tak ada apa, saya dengar awak mengaji tadi. Masa awak baca wamaa hum bi mu’minin, sepatutnya bacaan mim dengan ba tu samar-samar dengung tapi awak dengung dengan jelas. Dalam ayat tu ada ikhfak syafawi kan? Jadi bacaannya samar-samar dengung, betul tak? Mesti awak lupa. Jadi saya tolong ingatkan.” Ucap lelaki itu dengan suara yang lembut. Persis seorang guru yang sedang mengajar pelajarnya.
Wardah tersentak. Hatinya berdegup.Bola matanya terus dihalakan di dada al-Quran untuk mencari silapnya. Ternyata lelaki itu betul. Wardah mengetap bibir.
“Astaghfirullah-al-azim. Maaf. Memang salah saya, tak sedar terlebih dengung.” Balas Wardah sopan.
“Tak mengapa. Teruskanlah mengaji. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum.” Ucap lelaki itu. Selang beberapa minit kedengaran bunyi pintu surau ditutup rapat.
Waalaikummusalam..” jawab Wardah.
Namun, hatinya diserang tanda tanya. Siapa agaknya lelaki yang menegurnya tadi? Teguran lelaki itu membuatkan hatinya terasa sesuatu. Terbit rasa kagum apabila lelaki itu peka terhadap setiap butir bacaannya sehingga tajwidnya yang tercicir pun mampu dia kesan. Mesti pelajar School Of Islamic Studies yang tegur aku tadi. Tebak hati Wardah.
Dek kerana rasa ingin tahu yang menebal, Wardah menutup seketika mushaf al-Quran. Dia bangun dan melangkah keluar dari surau. Dengan masih lengkap memakai telekung sembanyang, Wardah bersembunyi di sebalik dinding dan mengintai ruang hadapan surau.
Kelihatan seorang lelaki sedang duduk dengan tenang sambil mengikat tali kasut. Wajahnya terpampang jelas di mata Wardah. Timbul rasa tenang sebaik saja melihat wajah lelaki itu. Dia ke yang tegur aku tadi? Soal hati Wardah. Anak matanya meliar ke sekeliling lelaki itu tetapi ternyata tiada orang lain selain lelaki itu. Sah, memang dia orangnya. Wardah yakin.
“Agaknya dia dari kos mana? Sah, budak-budak Islamic Studies tapi jaket tu…” kata-kata Wardah terhenti seketika apabila melihat jaket yang dipakai oleh lelaki tersebut.
Wardah mengecilkan kelopak matanya untuk membaca tulisan yang berada di belakang jaket lelaki tersebut. Jarak mereka yang terpisah beberapa meter membolehkan Wardah untuk membaca perkataan yang disulam dengan benang berwarna oren terang.
Walaupun tulisan itu agak samar tetapi Wardah yakin perkataan Diploma of Science Computer tertera di belakang jaket berwarna hitam berjalur oren yang dipakai oleh lelaki itu. Sekali lagi Wardah terlopong. Rasa kagumnya semakin bertambah malah tanpa sedar seraut wajah itu mula mendapat ruang di celah hatinya. Satu senyuman terukir saat memandang lelaki yang tidak diketahui namanya itu hilang dari pandangan.






No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.