Tetamu Rindu

Sunday 22 April 2018

JODOH HAK MILIK ALLAH ( BAB 7 )


LAMA Hans merenung wajah Marissa yang mendiamkan diri. Gadis itu seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
“Apa syaratnya?” Ulang Hans lagi.
“Syaratnya, awak dan saya sama-sama naik lif. Awak tekan butang tingkat berapa yang awak nak turun atau naik dan saya akan buat benda yang sama. Kalau butang yang awak tekan tu sama dengan saya, kita akan berjumpa. Kalau tak, kita tak ada jodoh.” Terang Marissa dengan senyuman nipis menghiasi bibirnya.
“Lagi? Kenapa suka sangat nak main dengan nasib ni?” Soal Hans seakan tidak berpuas hati dengan syarat yang ditetapkan oleh Marissa. Syarat itu sememangnya mustahil untuk dilaksankan.
“Bukan nasib tapi jodoh. Jodoh kita. Kalau awak dan saya berada di floor yang sama, saya akan temankan awak hari ni.” Jawab Marissa tenang.
Hans hanya menggelengkan kepala. Dia menghela nafas sebelum melepaskannya dengan perlahan.
“Katakan saya tak dapat jumpa awak, macam mana?” Soal Hans lagi.
“Maknanya kita mungkin takkan berjumpa lagi. Kalau hari ni kita tak berjodoh, bermakna kita sememangnya tidak berjodoh.” Jawab Marissa.
“Awak ingat senang ke, Rissa? Saya tak tahu pun awak nak turun atau naik ke tingkat berapa. Kenapalah awak nak susahkan diri buat benda macam ni?” Bebel Hans sambil meraup wajahnya. Cuba meredakan otaknya yang kusut dengan syarat Marissa yang tidak masuk akal.
“Saya tak paksa awak…”
“Okey, so sampai bila awak tak nak jumpa saya kalau saya tak dapat cari awak hari ni?” Soal Hans cuba meredakan rasa resah yang bermukim di hati.
Marissa hanya menjongketkan bahu tanda tidak tahu. Kemudian dia menyerahkan buku notanya kepada Hans. Hans terkelu seketika.
“Untuk apa pula ni?” Soalnya ringkas.
“Mungkin sampai awak jumpa duit kertas tu, barulah saya akan jumpa awak semula. Buku nota ni sebagai jaminan saya untuk awak. Saya sayang buku ni, tolong jaga dia sebaik mungkin dan serahkan kepada saya bila kita jumpa nanti,” balas Marissa sambil merenung buku nota itu yang sudah bertukar tangan.
Hans hanya menganggukkan kepala tanda faham. Berat rasa hatinya untuk menuruti kemahuan Marissa namun demi sebuah perasaan, dia terpaksa turutkan.
Mereka berdua bergerak ke arah lif. Marissa mengerling ke sisi. Dia ingin melihat wajah Hans tika ini, ternyata Hans turut mengerling. Pandangan mereka bertembung. Muncul satu perasaan asing dalam diri Marissa apabila melihat wajah Hans yang ikhlas. Namun, perasaan itu cepat-cepat dia padamkan demi sebuah prinsip.
“Awak dah sedia?” Soal Marissa perlahan. Dia menyoroti wajah Hans yang kelihatan tenang.
Hans mengerdipkan matanya. Dia tersenyum manis bagi menutupi rasa hatinya gundah.
“Saya ikut apa yang awak nak ni bukan sebab saya percaya akan ujian jodoh awak tu. Semua ni saya lakukan disebabkan awak. Hanya awak.” Ucap Hans lembut. Dia membalas renungan Marissa dengan perasaan yang berbaur.
Marissa tidak menjawab. Anak matanya terus beralih kepada pintu lif yang masih tertutup. Sungguh, jantungnya bergetar hebat saat ini. Bagaimana jika Hans tidak melepasi ujiannya kali ini? Bagaimana harus dia lupakan perasaan halus yang mula tumbuh untuk lelaki itu? Detik hatinya.
Kau harus kuat, Rissa. Ingat, perasaan tak boleh menghadirkan jodoh. Hanya jodoh yang boleh mengekalkan perasaan. Kau kena percaya dengan apa yang kau buat. Bisik hatinya. Marissa menarik nafas panjang lalu melepaskannya dengan perlahan.
Lantas, Marissa mengambil lif di sebelah kanan dan Hans mengambil lif di sebelah kiri. Kedua-duanya menekan butang turun. Sebaik saja pintu lif terbuka, masing-masing melangkah tanpa berpaling sesama sendiri. Kini, ujian pertama buat Hans lulus. Sewaktu berada di dalam lif, Marissa merenung lama nombor tingkat yang tertera. Dia teragak-agak untuk menekan butang tersebut.
“Nombor berapa agaknya dia tekan?” soal Marissa sendirian. Dengan tangan yang terketar-ketar, Marissa menekan butang bernombor tujuh. Jauh di dalam hati dia berharap agar Hans turut menekan nombor yang sama.
Sebaik saja sampai di tingkat tujuh, Marissa melangkah keluar dari perut lif. Cepat-cepat dia memandang ke sebelah kiri. Ternyata tiada sesiapa pun di situ. Marissa tersenyum hambar. Anak matanya menggambarkan riak kecewa yang cuba disembunyikan.
“Jodoh bukan milik kita, Hans.” Desis Marissa perlahan. Kemudian dia kembali menekan lif dan terus berlalu tanpa menunggu dengan lebih lama.
Pada waktu yang sama, Hans merenung nombor-nombor yang tertera di dinding lif. Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan perlahan. Dadanya berdebar. Jantungnya bergetar saat ini.
“Kenapalah aku kena buat semua ni? Mengarut betul!” bebel Hans lantas jarinya menekan butang bernombor tujuh. Namun, butang itu hanya menyala tetapi lifnya tetap tidak bergerak.
Hans mengerutkan wajah.
“Dah kenapa pula lif ni? Takkan rosak kut.” Omel Hans sendirian. Sekali lagi butang tersebut ditekan. Beberapa saat kemudian barulah lif tersebut bergerak laju.
Sebaik saja sampai di tingkat tujuh, Hans cepat-cepat keluar. Dia memandang ke kiri dan kanan. Kosong. Tiada sesiapa yang kelihatan di situ. Hanya dia seorang. Tiada orang lain apatah lagi Marissa. Hans mengeluh hampa. Dia berdiri kaku sambil memandang buku nota milik Marissa yang berada dalam genggaman.
Dia tersenyum sumbing. Cuba menghilangkan rasa galau di hati.
“Mungkin jodoh masih belum berpihak kepada kita lagi, Marissa. Kita akan bertemu kembali. Pasti bertemu…” ucap Hans perlahan sebelum berlalu meninggalkan tingkat tersebut dengan hati yang libang-libu.

SEBAIK saja pulang daripada hotel Hans, Marissa terus melangkah masuk ke biliknya. Rasa penat yang menyelubungi memaksa Marissa untuk merebahkan diri di atas katil. Anak matanya tegak memandang siling biliknya. Satu keluhan dilepaskan.
“Seorang lagi tak lepas ujian jodoh aku. Nampaknya aku kena tunggu dia atau aku jumpa duit tu. Kalau dia atau aku yang jumpa duit tu mesti gempak kan? Barulah betul-betul berjodoh.” Ujar Marissa sendirian. Dia meraup wajahnya. Anak matanya mengerling ke meja sisi. Kelihatan beberapa pucuk surat tersadai di atas meja.
Marissa bingkas bangun kemudian mencapai surat-surat tersebut. Satu per satu surat-surat itu diperiksa sebelum tangannya terhenti pada satu surat. Dia tersenyum gembira. Lantas, dia berdiri dan bergegas keluar dari bilik.
Bilik kerja Dato Seri Anuar menjadi sasarannya. Pintu bilik yang sememangnya sudah terkuak diketuk.
Dato Seri Anuar mendongak. Dia melemparkan senyuman kecil untuk anak gadisnya itu.
“Rissa. Masuklah.” Jemput Dato Seri Anuar lalu membetulkan duduknya.
Marissa akur. Dia duduk di berhadapan dengan Dato Seri Anuar.
“Papa sibuk ke?” Soal Marissa walaupun dia tahu Dato Seri Anuar mana pernah ada masa lapang untuk diri sendiri apatah lagi untuk dirinya.
“Macam yang Rissa tengoklah. Ada apa Rissa cari papa?” Soal Dato Seri Anuar kemudiannya.
“Saja nak borak dengan papa. Tak boleh ke?” Soal Marissa pula.
Dato Seri Anuar kembali menatap komputer riba yang berada di hadapannya. Soalan Marissa dibiarkan tergantung tanpa soalan. Kerja-kerjanya lebih penting saat ini.
Marissa mengeluh bosan. Begitulah sikap Dato Seri Anuar terhadapnya. Sungguh dia terasa jauh daripada Dato Seri Anuar biar pun tika ini lelaki itu berada di hadapannya.
“Papa. Papa tak jawab lagi soalan Rissa.” Ujar Marissa cuba menarik perhatian Dato Seri Anuar yang kelihatan leka dengan kerjanya.
Dato Seri Anuar memandang Marissa sejenak sebelum bola matanya kembali tertancap pada skrin komputer.
“Soalan yang mana? Papa tak ingat.” Ujarnya tanpa memandang wajah Marissa.
Marissa tersenyum sinis. Sedikit kecewa dengan reaksi Dato Seri Anuar. Dia tidak tahu apa silapnya sehingga Dato Seri Anuar yang dahulunya penyayang berubah menjadi dingin dan beku seperti ini.
“Kenapa Rissa rasa papa dah berubah? Papa dah tak macam dulu. Lepas mama meninggal, papa langsung tak ada masa untuk Rissa. Rissa ni menyusahkan papa ke?” Soal Marissa perlahan.
Dato Seri Anuar melepaskan keluhan. Wajah keruh Marissa ditatap.
“Apa yang Rissa merepek ni? Papa sibuk. Rissa kena faham papa.” Balas Dato Seri Anuar menyangkal kata-kata Marissa.
“Rissa sajalah yang kena faham papa? Papa tak nak faham Rissa? Rissa rindu papa yang dulu. Rissa dapat rasakan yang papa makin jauh dengan Rissa walaupun papa ada aje depan mata Rissa ni. Kalau macam nilah, lebih baik Rissa balik Malaysia.” Ujar Marissa.
Dato Seri Anuar terkejut. Lama dia memandang wajah Marissa.
“Rissa nak balik Malaysia buat apa? Bukan ada apa pun yang Rissa boleh buat kat sana.”
“Rissa nak sambung master dekat UM. Rissa dah dapat surat tawaran.” Terang Marissa lalu menyerahkan surat tawaran tersebut kepada Dato Seri Anuar yang jelas kelihatan terkejut.
“Kenapa minta dekat Malaysia? Kenapa tak sambung dekat sini je?” Soal Dato Seri Anuar bertalu-talu.
Marissa tenang.
“Saja. Rissa rindu kampung. Rindu nenek. Kat sana Rissa ada kawan-kawan. Rissa nak sangat balik Malaysia. Papa setuju  tak?” Soal Marissa sambil menyoroti wajah Dato Seri Anuar yang masam mencuka. Sah, tak setujulah tu. Detik hati Marissa.
“Memang papa tak setuju. Papa dah buat keputusan, masa depan Rissa dekat sini bukan Malaysia. Maaf, Rissa. Buat masa ni papa tak bagi Rissa balik Malaysia sebab papa dah ada rancangan lain untuk Rissa.” Jawab Dato Seri Anuar berterus-terang.
Marissa tersentak. Rancangan lain? Apa maksud papanya itu?
“Rancangan lain? Maksud papa? Kenapa papa tak bincang apa-apa pun dengan Rissa?” Soal Marissa, terkejut.
“Nanti papa akan jelaskan pada Rissa. Tentang balik Malaysia, papa memang tak setuju!” ujar Dato Seri Anuar kemudian bingkas bangun dan berlalu meninggalkan Marissa yang terpinga-pinga.
“Papa!” panggil Marissa. Dia tidak berpuas hati. Dia mendengus.

DATO SERI ANUAR mundar-mandir di ruang tamu. Telefon bimbit melekap kemas di telinganya. Dia resah menanti panggilannya dijawab.
“Hah, jawab pun kau. Tolonglah, aku dah tak boleh tunggu lagi dah. Rissa tu aje anak aku.” Ujar Dato Seri Anuar sebaik saja taliannya dijawab.
“Hah, ingat pun. Soal anak aku terima ke tak, aku tak nak tahu. Dia mesti ikut walau apa pun yang terjadi.” Ujar Dato Seri Anuar lagi. Sesekali dia menganggukkan kepala apabila mendengar suara di hujung talian menerangkan sesuatu.
“Baiklah. Aku tunggu. Assalamualaikum.” Ucap Dator Seri Anuar sebelum menamatkan panggilan.
Anak matanya tertancap pada gambar arwah isterinya yang terletak di atas meja. Dia tersenyum manis sebelum mencapai gambar tersebut.
“Abang takkan biarkan anak kita jauh dari kita…” desis Dato Seri Anuar. Hanya dia yang mendengar.
Namun, tanpa Dato Seri Anuar sedar Marissa sudah mendengar segalanya. Ada rasa kecewa yang tergambar jelas di wajah Marissa. Lantas, dia berlari menuju ke biliknya.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.